You are on page 1of 7

SULIT 2 1103/1

Bahagian A

( 30 markah )
[ Masa dicadangkan 45 minit ]
Maklumat di bawah menunjukkan sebagian daripada kebaikan pusat sumber sekolah.
Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan pusat sumber sekolah.
Panjangnya huraian anda hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.
Ulasan Guru:
Karangan Bahan Rangsangan, Bahagian A, Kertas 1 BM SPM Nov yang diuji pada
5/11/2019 antara soalan yang paling mesra calon peperiksaan. Hal ini dikatakan
demikian kerana pusat sumber sekolah merupakan tempat yang sangat rapat dengan
kehidupan murid di sekolah. Selain itu, idea yang tersedia ada pada kertas soalan pula
amat rapat dengan murid yang banyak menulis karangan, terutamanya topik amalan
membaca buku. Oleh sebab hendak seribu saya, tak hendak seribu dalih, murid yang
rajin menulis karangan pasti akan tersenyum lebar dan menikmati hasilnya pada hari
peperiksaan daripada murid yang banyak memberikan alasan untuk tidak menyiapkan
tugasan karangan yang diberikan oleh guru.
Kemungkinan, ada sebilangan pelajar terikut dengan arahan menulis karangan
ransangan ini antara 200 dan 250 patah perkataan. Seyogia, murid yang menulis
karangan ini berdasarkan kemampuan dan masa melebihi 250 patah perkataan tahniah
diucapkan. Pemeriksa kertas sahaja yang berhak mengadili karangan murid, dan
bertuahlah kepada murid yang mampu menghasilkan karangan melebihi 250 patah
perkataan dengan menulis pengolahan karangan secara matang, mengelak daripada
melakukan kesalahan bahasa, ejaan, tanda bacaan, serta memasukkan unsur keindahan
bahasa ( frasa menarik) serta menyelitkan unsur KBAT semasa mengarang.
Pelbagai, persoalan dikemukakan kepada saya, antaranya bagaimana untuk
menghasilkan karangan yang panjang kerana murid juga perlu menulis karangan
Bahagian B, jenis dimensi sepanjang 2 jam 15 minit masa yang diperuntukkan untuk
mengarang kertas Bahasa Melayu 1 (1103/1) . Pepatah Melayu ada mengatakan kalau
hendak seribu daya, dan kalau tak nak seribu dalih. Jawapan mudah daripada saya,
kemahiran mengarang bergantung kepada kemahiran murid kerana murid yang telah
bersedia untuk menghasilkan karangan bahagaian rangsangan dan bahagian dimensi
semasa di medan peperiksaan ialah kalangan murid yang mahir dan telah membuat
banyak latihan. Oleh sebab itu, soal kepanjangan karangan sudah biasa kepada mereka.
Cuma ada sebilangan murid berasa sukar untuk menghasilkan karangan panjang
berkenaan kerana kurang latihan. Oleh sebab itu, cadangan saya hasillah karangan
berdasarkan kebolehan murid kerana penghasilan karangan cemerlang adalah anugerah
Tuhan dan atas usaha seseorang murid.
Penggunaan Kaedah Pengembangan Idea Perenggan Karangan yang saya
terapkan adalah pemangkin untuk murid menghasilkan karangan cemerlang kerana
murid diminta menghasilkan beberapa lapis ayat agar karangan mereka dianggap
matang, dan kematangan berkenaan yang menjadi faktor utama untuk pemeriksa
menggolongkan karangan berkenaan pada slot karangan cemerlang. Contohnya, untuk
menghasilkan karangan cemerlang atau cemerlang atas murid perlu menghasilkan
beberapa lapisan ayat contohnya perenggan isi karangan perlu ada ayat isi, ayat huraian
1 ( bagaimana ), huraian 2 ( mengapa ) ayat huraian 3 ( kenapa), ayat contoh, frasa
menarik, ayat KBAT, ayat penegas. Oleh sebab itu, pelajar yang tidak mampu
menghasilkan karangan panjang, sekurang-kurangnya mereka boleh menghasilkan
perenggan isi dengan membina lapisan ayat mudah karangan mereka perlu sekurang-
kurangnya ayat isi, ayat huraian 1 ( bagaimana ), ayat contoh, frasa menarik, ayat KBAT,
dan ayat penegas untuk memastikan pengolahan karangan masih menarik, berbanding
karangan pelajar yang cemerlang atas. Rumusannya, untuk menghasilkan karangan
cemerlang atas bukan mudah dan tidak boleh dihasilkan dalam masa sehari, seminggu,
atau sebulan tetapi perlu dimulai semenjak pelajar berada di tingkatan empat lagi.
Berdasarkan pengamatan saya, murid yang dapat menghasilkan karangan cemerlang
atas telah memulai mengarang secara cemerlang semenjak mereka berada di tingkatan
tiga lagi, justeru, kecemerlangan mengarang perlu dimulai dari peringkat awal lagi.
Di bawah saya terbitkan contoh karangan rangsangan SPM Nov 2019.

Contoh karangan kebaikan-kebaikan pusat sumber sekolah

Pada era ledakan teknologi yang semakin maju seiring dengan kemajuan negara,
pelbagai kemudahan telah disediakan oleh pihak kerajaan untuk merangsang
kemenjadian murid. Salah satu daripada kemudahan tersebut ialah pusat sumber
sekolah yang merupakan sebuah institusi yang telah wujud sejak zaman kegemilangan
tamadun Islam pada suatu ketika dahulu. Pada zaman kegemilangan kerajaan Abbasiyah
misalnya, Khalifah Umar Bin Abdul Aziz telah membina sebuah perpustakaan yang
dikenali sebagai Baitul Hikmah yang berfungsi sebagai pusat penyimpanan khazanah
ilmu, pusat penterjemahan serta perjumpaan para cendekiawan dan ulama. Begitu juga
kewujudan pusat sumber sekolah dibina dan sentiasa dibuat penambahbaikan sejajar
dengan fungsi pusat sumber sekolah sebagai gedung dan pusaka ilmu. Tambahan pula,
pusat sumber sekolah pada zaman siber kini menyediakan pelbagai kemudahan
prsarana untuk murid mendapat sumber rujukan bahan dan sumber ilmu agar murid
mampu memperkasakan penguasaan ilmu untuk menghadapi peperiksaan. Tambahan
pula, pusat sumber sekolah kini dikelolakan oleh seorang guru pusat sumber sekolah
yang dilantik khusus menyelaras gedung ilmu berkenaan agar kewujudannya mampu
membantu murid memperluas ilmu dan mempertajam minda mereka. Pendayung sudah
ada di tangan perahu sudah ada di air, terpulang kepada murid sama ada mahu atau
tidak menggunakannya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan
datang melayang. Persoalannya, apakah kebaikan-kebaikan pusat sumber sekolah?

Antara kebaikan pusat sumber sekolah (PSS) ialah murid dapat menimba
pelbagai ilmu pengetahuan kerana gedung ilmu berkenaan tersimpan pelbagai
khazanah dan sumber rujukan. Hal ini demikian kerana pusat sumber sekolah
menempatkan pelbagai koleksi bahan bacaan amat berharga untuk kegunaan murid
menambah dan meningkatkan pengetahuan mereka terutama untuk menguasai mata
pelajaran yang perlu dikuasai oleh mereka. Dalam hal ini, murid yang cakna ilmu sering
mengunjungi perpustakaan sama ada untuk mendapatkan maklumat atau membaca
pelbagai buku bersesuaian dengan cogan kata “Membaca Jambatan Ilmu.” Suasana
perpustakaan yang kondusif dan hening mampu memberikan ketenangan kepada
mereka untuk menelaah dan membongkarkan pelbagai sumber ilmu yang ada di
dalamnya, Sebagai contoh, pelbagai buku serta majalah disediakan di PPS melibatkan
pelbagai kemahiran yang boleh diterokai oleh murid seperti kemahiran berbahasa,
agama, falsafah, serta ilmu pengetahuan berkaitan matematik, geografi sains, dan
teknologi. Pada hari ini ilmu pengetahuan sangat berguna dalam kalangan murid dan
PSS umpama tulang belakang membina kemenjadian dan kecemerlangan mereka
Bahkan juga, di pusat sumber juga terdapat pelbagai koleksi majalah, akhbar harian yang
memaparkan berita semasa, serta pelbagai buku fiksyen yang boleh menjadi bahan
bacaan untuk muird mengisi masa senggang mereka secara santai. Sekiranya, murid
menggunakan pusat sumber sebagai tempat memperkasakan ilmu sudah pasti mereka
akan tergolong dalam kalangan murid berjaya dan cemerlang dalam pelajaran. Sudah
terang lagi bersuluh, pusat sumber sekolah merupakan tempat murid menimba pelbagai
ilmu pengetahuan terutama sebagai persediaan menghadapi peperiksaan awam.

Selain itu, perpustakaan juga boleh dijadikan tempat untuk mengulangkaji


pelajaran. Hal ini demikian kerana pada masa kini pusat sumber sekolah bukan sahaja
menyediakan bahan bacaan seperti buku rujukan, majalah, buku-buku fiksyen tetapi juga
telah dilengkapi dengan sistem pendingin hawa yang menjadi tempat kondusif untuk
pelajar mengulangkaji pelajaran secara santai dan bebas daripada ketegangan serta
suasana hiruk-pikuk rakan-rakan yang kurang bermotivasi untuk menimba ilmu di
sekolah. Bahkan juga, murid yang cakna menjalankan aktiviti mengulangkaji pelajaran,
terutama sebagai persediaan menghadapi peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran
Malaysia ((SPM) atau Pentaksiran Ting. 3 (PT3) secara berkumpulan amat sesuai
menjalankan aktiviti mereka di PSS. Hal ini demikian kerana susun atur kerusi meja di
pusat sumber sekolah tersusun kemas serta dekorasi persekitarannya yang ceria amat
sesuai untuk mereka menjalani aktiviti berkenaan. Selain itu, dengan adanya sistem
penghawa dingin yang disediakan di PPS mewujudkan keselesaan kepada murid
menjalankan ulangkaji pelajaran. Murid yang menjalankan aktiviti mengulangkaji
pelajaran di PSS juga boleh merujuk pelbagai sumber rujukan di PSS, contohnya mencari
makna perkataan menggunakan Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka atau mencarinya
menggunakan e-kamus. Di samping itu, pelajar juga boleh merujuk koleksi soalan-soalan
peperiksaan sebenar atau buku panduan mengulangkaji pelajaran sebagai bahan
sokongan untuk aktiviti mengulangkaji secara berkumpulan dan sudah pasti aktiviti
pembelajaran mereka lebih efisien. Sekiranya, murid menjalankan aktiviti mengulangkaji
pelajaran secara berseorangan mahu pun secara berkumpulan di dalam kelas atau di
tempat lain, mereka sukar menumpukan perhatian kerana gangguan dan pengaruh
daripada rakan sebaya yang sering menghabiskan masa berbual kosong, dan
menghabiskan masa senggang dengan aktiviti yang sia-sia kerana masa itu ibarat mata
pedang, sekiranya kita lalai mata pedang itu akan memenggal kita. Tegasnya,
perpustakaan juga boleh dijadikan tempat untuk mengulangkaji pelajaran.

Selain itu, pusat sumber sekolah zaman siber ini menyediakan kemudahan
internet untuk murid mengakses maklumat kerana maklumat di hujung jari dan dunia
tanpa sempadan.Sebagai mana kita sedia maklum, PSS juga menyediakan perisian
komputer yang boleh mengakses maklumat menggunakan pelbagai laman sesawang
untuk pelajar merujuk pelbagai sumber rujukan. Hal ini demikian kerana laman sesawang
mata pelajaran di alam maya dikendalikan oleh guru-guru berpengalaman dalam bidang
mereka, justeru, murid boleh menggunakan prasarana terkini tersebut untuk
memperkasakan penguasaan mereka terhadap mata pelajaran yang sukar seperti
menghasilkan karangan cemerlang, menyelesaikan masalah Matematik Tambahan,
menjawab soalan Sejarah, Kimia dan sebagainya. Malah, murid juga boleh merujuk
soalan-soalan SPM sebenar atau soalan Peperiksaan Percubaan SPM Se-Malaysia
tahun-tahun lepas untuk mereka membuat latihan sebagai persediaan menghadapi
peperiksaan. Selain itu, murid juga boleh merujuk skema jawapan yang disedia atau
dikumpulkan oleh guru-guru mata pelajaran berkaliber di laman sesawang seperti yang
dihasilkan oleh Dr. Tan CL, Laman Cikgramsulbmspm.blogspot, dan Laman Bahasa.
wordpress.com. Hanya pelajar cakna dan sedar kepentingan ilmu menggunakan perisian
moden berkenaan untuk memperkasakan penguasaan mereka terhadap mata pelajaran
yang perlu mereka kuasai kerana hanya mutu sahaja yang mengenal manikam.
Sekiranya murid sentiasa dan cakna akan kepentingan ilmu, mereka boleh menggunakan
perisian komputer di pusat sumber sekolah untuk mengakses maklumat, justeru, murid
tiada alasan untuk mengatakan mereka tidak mampu mengakses maklumat di internet
atas alasan kemiskinan, tidak mampu membeli perisian komputer kerana hendak seribu
daya, tak nak seribu dalih. Kesimpulannya, pusat sumber sekolah zaman siber ini
menyediakan kemudahan internet untuk murid mengakses maklumat kerana maklumat
di hujung jari dan dunia tanpa sempadan.

Intihanya, tiada makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T yang perlu memandang
diri mereka lemah atas faktor kemiskinan untuk bersaing dengan murid dalam kalangan
orang berada kerana sebenarnya mereka diberikan Allah kelebihan berfikir. Cuma setiap
insan perlu merebut peluang untuk memajukan diri menggunakan prasarana yang
disediakan di sekolah terutama kewujudan pusat sumber sekolah sebagai gedung ilmu.
Lantaran itu, murid yang cakna perlu menggunakan pelbagai kemudahan PSS sebagai
sumber pengetahuan dan maklumat untuk berjaya dalam pelajaran. Oleh sebab itu, murid
seharusnya menjangkau sehabis tangan untuk merebut peluang dan menggunakan
sebaik mungkin kemudahan yang disediakan oleh pihak pengurusan pusat sumber
sekolah untuk membongkar segala khazanah ilmu yang tersimpan di situ. Jelaslah
bahawa pusat sumber sekolah mempunyai banyak kebaikannya, namun begitu
terpulanglah kepada murid untuk meneroka sumber ilmu di PSS kerana segala-galanya
sudah berada dalam tangan masing-masing bersesuaian dengan kata peribahasa
Melayu yang bulat tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.

You might also like