You are on page 1of 6

EKONOMI DAN HUBUNGAN ETNIK

1.              Konsep Modenisasi

Modenisasi merupakan suatu proses perubahan seluruh aspek kehidupan yang mesti ditempuh oleh
semua bangsa atau negara.  Modenisasi sama ada wujud dengan perancangan yang mempunyai
matlamat, kaedah dan ukuran pencapaian ataupun wujud tanpa adanya perancangan. Perubahan
yang ada perancangan dinamakan modenisasi dan ia mengandungi pembangunan ekonomi dan
pembangunan politik. Matlamat pembangunan ekonomi adalah untuk mewujudkan sebuah
masyarakat industri. Kaedah yang sering digunakan ialah pembangunan teknologi menggunakan
teknologi canggih, pembangunan pertanian menggunakan teknologi, kaedah komersil dan
industrialisasi menggunakan skala besar dan teknologi canggih. Ukuran pencapaiannya
menggunakan Keluaran Negara Kasar atau Gross National Product (GNP).

Manakala matlamat pembangunan politik adalah untuk pembinaan negara bangsa. Negara bangsa
ialah kawasan yang mempunyai sempadan, kerajaan dan bangsa. Namun demikian akibat proses
migrasi, perang dan penjajahan, ada negara yang tiada bangsa. Oleh kerana matlamat pembangunan
politik adalah pembinaan negara bangsa, kaedah yang digunakan ialah dasar-dasar negara seperti
Dasar kebudayaan Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan sebagainya. Manakala ukuran yang
digunakan ialah kekerapan konflik, pilihanraya dan sebagainya.

Modenisasi ini mula tercetus di Eropah Barat melalui Revolusi Perindustrian di Peranchis pada akhir
abad ke 18 Masihi dan awal abad ke19 Masihi apabila berlaku perubahan besar dalam sektor
pertanian, pembuatan dan pengangkutan. Secara umumnya model pembangunan ekonomi dan
politik Barat menjadi contoh pembangunan di negara-negara Membangun. Oleh itu harus dibezakan
di antara permodenan dan pembaratan. Pemodenan ialah perubahan semua aspek hidup secara
berperancangan. Manakala pembaratan ialah meniru gaya hidup Barat secara tidak berperancangan.

2.              Malaysia dan Modenisasi

Selepas mengharungi era penjajahan, modenisasi Malaysia melalui beberapa penyesuaian dan
perubahan struktur. Malaysia berhasrat untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi dan mewujudkan
masyarakat industri dengan tumpuan kepada infrastruktur ekonomi, pembangunan pertanian dan
industri gantian import. Pada tahun 1960an, pembangunan ekonomi bertumpu kepada eksport. Di
tahun 2000an, pembangunan ekonomi secara K-ekonomi (Knowledge-Economy). Ukuran
pencapaiannya ialah melalui Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), indeks kualiti hidup, kadar
kemiskinan dan kadar inflasi.

Dalam usaha mewujudkan sebuah negara bangsa, Malaysia memerlukan persekitaran negara yang
stabil dan berintegrasi. Untuk mencapai hasrat tersebut, kaedah yang digunakan ialah dasar-dasar
negara seperti Rukun Negara, Dasar Pertanian, Dasar Perindustrian dan sebagainya. Ekonomi
Malaysia cukup unik kerana faktor-faktor pengeluaran (modal, buruh, tanah dan sebagainya)
dimanipulasi bukan sahaja untuk tujuan ekonomi tetapi juga pembangunan negara yang mempunyai
kepelbagaian etnik. Infrastruktur ekonomi dibangunkan dengan tanaman getah dan kelapa sawit.
Jaringan perhubungan jalan raya, pelabuhan dan keretapi dimajukan. Tenaga buruh dan modal
disediakan mengikut etnik. Sungguh pun setiap etnik terpisah tetapi mereka saling memerlukan
antara satu sama lain untuk melakukan kegiatan ekonomi. Etnik Melayu dari segi demografi sosial
adalah majoriti jika dibandingkan dengan etnik Cina dan India, tetapi dari segi ekonomi etnik Cina
adalah majoriti dan dominan. Inilah yang seterusnya menjadi isu dalam pembangunan ekonomi dan
agihan ekonomi negara. Sesuatu harus dilakukan supaya keseimbangan dapat dilaksanakan dalam
soal ekonomi.

3.              Pembangunan Ekonomi dan Penyertaan Etnik

·        Rancangan Pembangunan Lima Tahun (1950-1955) diusahakan untuk merancang dan


melaksanakan pembangunan negara dalam tempoh lima tahun akan datang serta mengatasi
masalah politik sosial dan ekonomi selepas Perang Dunia Kedua bermula pada tahun 1950 oleh
Inggeris.

·        Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) seterusnya telah  dirancang sendiri oleh kerajaan


Persekutuan Tanah Melayu dengan matlamat untuk membangunkan sektor ekonomi luar bandar
dan mengurangkan kadar kemiskinan luar bandar. Ini dilakukan melalui usaha memulihkan
perusahaan getah, penubuhan RIDA (Rural Industry Development Authority) kemudiannya dikenali
sebagai Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada tahun 1966 dan penubuhan LKTP pada 1967 yang
ditukar nama kepada FELDA pada tahun 1971 dalam kegiatan membuka tanah pertanian baru,
penempatan semula dan memperbaiki taraf hidup.

·        Rancangan Malaya Kedua (1961-1965) dengan memberi fokus kepada memajukan infrastruktur
asas ekonomi dan mempelbagaikan kegiatan ekonomi luar bandar melalui kemudahan kesihatan,
perumahan, pendidikan dan aktiviti pertanian.

·        Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970) dengan memberi fokus kepada pembangunan


negara secara menyeluruh dalam semua sektor ekonomi di Semenanjang, Sabah dan Sarawak ke
arah perindustrian ganti import untuk menyediakan peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan
dan integrasi nasional. Dalam usaha ini, kerajaan membuka banyak rancangan tanah FELDA secara
besar-besaran, penubuhan LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang), MARDI (Institut Penyelidikan dan
Kemajuan Pertanian Malaysia), FELCRA (Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan) dan
MADA (Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia) untuk meningkatkan taraf hidup penduduk
luar bandar supaya dapat keluar dari kemelut kemiskinan.

·        Rancangan Malaysia Kedua (1971-1975) dengan memberi fokus kepada menyelesaikan masalah
perbezaan ekonomi yang tidak seimbang antara kaum agar kestabilan ekonomi dan politik dapat
dicapai. Ini dilakukan melalui pelancaran Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang berjalan selama 20 tahun
(1970-1990) dengan dua matlamat iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat
tanpa mengira etnik. Banyak usaha yang dilakukan untuk mengurangkan kadar pengangguran,
mengurangkan jurang pendapatan antara etnik dan wilayah, menyediakan peluang latihan dan
modal, memperbaiki kualiti kehidupan melalui penubuhan agensi seperti KEJORA, DARA, PERNAS,
UDA, RISDA dan LPP.

·        Rancangan Malaysia Ketiga (1976-1980) sebagai lanjutan rancangan pembangunan yang


sebelumnya dan merupakan peringkat kedua pelaksanaan DEB. Pembangunan ekonomi pertanian
diperkukuhkan dengan penubuhan KETENGAH dan KESEDAR dengan tanaman getah dan kelapa
sawit untuk meningkatkan komoditi ekspot dan menambah peluang pekerjaan.
·        Rancangan Malaysia Keempat (1981-1985) memberi perhatian untuk mengatasi kemelesetan
ekonomi dunia dengan kejatuhan harga komoditi pertanian. Dalam pada itu sektor industri berat
dan teknologi tinggi mula diperkenalkan melalui penubuhan HICOM dan PROTON. Rancangan
Malaysia Kelima (1986-1990) dan Rancangan Malaysia Keenam (1991-1995) dengan fokus kepada
industri teknologi maju dan penswastaan supaya sektor swasta menjadi pemain utama dalam
pembangunan ekonomi negara selari dengan pelancaran Dasar Pembangunan Nasional (DPN) yang
bermatlamat untuk mengurangkan dan menghapuskan ketidaksamaan sosial dan ekonomi negara.

·        Rancangan Malaysia Ketujuh (1996-2000) memberi penekanan kepada pembangunan seimbang


semua etnik dalam pertumbuhan dan agihan, kepentingan sumber manusia menerusi latihan dan
pendidikan dalam usaha untuk mengekalkan pembangunan dan menjayakan ekonomi negara.
Manakala Rancangan Malaysia Kelapan (2001-2005) memberi fokus kepada industri yang
berteraskan ilmu pengetahuan iaitu K-ekonomi (knowledge-Economy) sesuai dengan Dasar
Wawasan Negara iaitu Wawasan 2020 untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi mapan dan
mewujudkan masyarakat bersatu dan saksama. Beberapa strategi digunakan untuk mejayakannya
seperti dasar kewangan dan fiskal berhemah, pemantapan pengetahuan dan kemahiran pekerja,
meningkatkan perindustrian dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta
memupuk nilai murni antara rakyat.

·        Rancangan Malaysia Kesembilan (2006-2010) merupakan peringkat kedua Wawasan 2020


untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Untuk tujuan itu pelbagai usaha dilakukan untuk
meningkatkan nilai tambah ekonomi, meningkatkan pengetahuan dan inovasi, pembangunan
seimbang dan saksama serta mengukuhkan keupayaan institusi negara melalui pelancaran koridor-
koridor ekonomi Utara, Selatan, Pantai Timur, Tengah, Sabah dan Sarawak.

·        Rancangan Malaysia Kesepuluh (2011-2015) memberi fokus kepada kemakmuran ekonomi dan
keadilan sosial Gagasan 1 Malaysia, Program Transformasi Kerajaan dan Model Baru Ekonomi. Ini
dilakukan melalui usaha-usaha memacu ekonomi, memanfaatkan kebolehan pelbagai etnik, tingkat
produktiviti, pendapatan tinggi, inovasi, modal insan cemerlang, perkongsian pintar sektor awam
dan swasta, pembangunan inklusif, alam sekitar dan daya saing global.

3.1          Dasar Pertanian

Meskipun perubahan corak ekonomi telah beralih kepada sektor perindustrian, sektor pertanian
tetap diberi keutamaan kerana sifatnya yang strategik. Kerajaan Malaysia mewujudkan agensi
pelaksana seperti Federal Land Development Authority (FELDA), Lembaga Pemasaran Pertanian
Persekutuan atau Federal Agricultural Marketing Authority(FAMA), Federal Land Consolidation and
Rehabilitation Authority (FELCRA), Malaysian Agricultural Research and Development
Institute (MARDI) Bank Pertanian Malaysia (Agro Bank), BERNAS (Beras Nasional) LKIM (Lembaga
Kemajuan Ikan Malaysia), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan
Pertanian Kemubu (KADA) dan seumpamanya untuk memajukan sektor pertanian dan membasmi
kemiskinan di kalangan peladang dan masyarakat luar bandar melalui pemberian tanah, bantuan
kewangan, khidmat nasihat, strategi pemasaran dan subsidi untuk baja, biji, benih dan racun. Ia
memberikan penekanan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan.

Semua ini dilakukan bagi memenuhi keperluan makanan negara dan sebagai asas sumber mentah
untuk industri dan meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian. Strategi untuk
meningkatkan masyarakat perdagangan dan perindustrian Melayu dan bumiputera dilakukan untuk
menyusun semua masyarakat.
3.2          Dasar Perindustrian

Kerajaan Malaysia serius untuk mempergiatkan proses industrialisasi agar sektor pembuatan
menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Selaras dengan itu kerajaan
memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur, Dasar Penswastaan, Teknologi ICT (Internet, Computer
and telecomunication) dan K-ekonomi (Knowledge Economy). Dalam masa yang sama sistem
pendidikan menyediakan tenaga kerja yang diperlukan, penubuhan prasarana latihan industri seperti
Giat Mara, Institut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Kemahiran Tinggi. Banyak infrastruktur
industri dibangunkan seperti kawasan perindustrian, lebuhraya, bank dan pelabuhan di samping
insentif-insentif kewangan dan percukaian. Industri memproses bahan mentah diteruskan di
samping industri teknologi tinggi serta industri kecil dan sederhana (IKS).

4.              Isu-isu Hubungan Etnik Dalam Ekonomi Malaysia

4.1          Pertumbuhan dan agihan

Apabila berlaku pertumbuhan ekonomi, maka timbul persoalan agihan pendapatan dan kekayaan.
Agihan mestilah merata, saksama dan seimbang di kalangan semua rakyat Malaysia yang telah
berkorban untuk kemajuan kerana terdapat:

·        Kelas sosial yang berbeza iaitu golongan atas, menengah dan bawah.

·        Etnik yang berbeza iaitu Melayu, Cina dan India serta etnik lain di Semenanjung Malaysia,
Sabah dan Sarawak.

·        Wilayah Semenanjung yangg terdiri dari Pantai Barat dan Pantai Timur serta Wilayah
Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Sarawak.

4.2          Persamaan (Equality) dalam Fasal 8 Perlembagaan dan Hak Istimewa Orang Melayu


(Malay Special Privilage) dalam Fasal 153 Perlembagaan Malaysia

Fasal 8 menegaskan bahawa semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat
perlindungan yang sama di sisi undang-undang. Oleh itu keadilan dan kesamarataan mesti
diperjuangkan di Malaysia di kalangan rakyat. Fasal 153 ialah Hak Istimewa Orang Melayu dengan
tidak mendiskriminasi etnik yang lain semata-mata kerana sebab agama, etnik, keturunan dan
jantina. Usaha serius mesti dilakukan bagi memastikan tiada kelompok etnik yang ketinggalan dalam
merebut peluang dalam semua sektor ekonomi.

4.3          Dasar Ekonomi Baru (DEB) (1971-1990)

Bagi menyelesaikan masalah perbezaan ekonomi antara sektor dan kaum supaya kestabilan politik
dan ekonomi dapat dicapai. Matlamat Dasar Ekonomi Baru ialah untuk membasmi kemiskinan tanpa
mengira kaum dan menyusun semula masyarakat. Pelbagai usaha dilakukan untuk meningkatkan
pemilikan saham bumiputera kepada 30% menjelang 1990 dan menyusun semula ekonomi bagi
memastikan setiap etnik tidak cemburu atau dengki dengan pencapaian etnik lain. Usaha
menyelesaikan masalah sosio ekonomi ini dilakukan dengan mewujudkan peluang pekerjaan,
meningkatkan daya pengeluaran dan pendapatan, memodenkan kehidupan luar bandar dan
memperbaiki kualiti hidup. Rangka kerja yang dilakukan antara lain ialah mewujudkan lembaga
kemajuan pembangunan wilayah seperti KESEDAR, KETENGAH, DARA, KEJORA dan MADA.

                                                                                                            

4.4          Pendidikan dan Ekonomi

Pendidikan menjadi alat untuk pembangunan ekonomi. Bahasa Kebangsaan menjadi medium untuk
perpaduan kaum, pendidikan menjadi alat mobiliti sosio-ekonomi bagi mendapat peluang hidup
yang lebih baik menerusi akademik, latihan dan kepakaran. Anak-anak Melayu dan Bumiputera
diberi peluang pendidikan tinggi dengan kemudahan seperti asrama desa, Sekolah Berasrama Penuh,
MRSM, Giat MARA, IKBN, bantuan persekolahan dan sebagainya dengan harapan supaya mereka
dapat mempersiapkan diri untuk bersaing dengan etnik lain untuk mobiliti sosial. Sumber manusia
yang berkualiti, berwibawa dan cemerlang mampu menjana pembangunan negara menerusi
pengembangan bakat, kreativiti dan inovasi serta sentiasa memenuhi kehendak majikan.

5.              Globalisasi, Ekonomi Malaysia dan Hubungan Etnik

Keadaan ekonomi dunia yang sentiasa mengembang dan menguncup sering menyebabkan berlaku
keluar masuk modal asing dalam pasaran Malaysia sehingga membawa kepada kemakmuran
ekonomi. Akan tetapi ia juga boleh membawa kesan buruk kepada ekonomi apabila berlaku
kemelesetan (recession)  melalui pengaliran keluar modal asing sehingga menyebabkan berlaku
inflasi dan pengangguran.

5.1          Krisis ekonomi (1985-1986, 1997-1998 dan 2007-2008)

Turun-naik aliran ekonomi dunia dipengaruhi oleh harga minyak, harga komoditi dan krisis
kewangan apabila aktiviti ekonomi diperlahankan ataupun diberhentikan. Ia memberi kesan besar
kepada semua syarikat besar, sederhana dan kecil yang melibatkan peniaga Melayu dan juga bukan
Melayu. Syarikat bukan Melayu yang telah lebih lama berkecimpung dalam perniagaan lebih berdaya
saing dan teguh serta mempunyai plan menyelesaikan konflik ekonomi. Akan tetapi ia menjadi suatu
kesukaran kepada syarikat Melayu dan bumiputera yang baru muncul kerana Dasar Ekonomi Baru
dan Dasar Penswastaan kerana kurang modal, pengalaman dan pengetahuan menyebabkan mereka
mengalami kerugian dan muflis.

5.2          Ekonomi Islam

Fenomena Kebangkitan Islam yang tercetus di tahun 1970an yang menganjurkan kembali kepada
pengamalan Cara Hidup Islam telah mencetuskan dimensi baru dalam bidang ekonomi iaitu
menubuhkan institusi ekonomi dan melaksanakan kegiatan ekonomi yang bertepatan dengan ajaran
Islam. Kerajaan Malaysia melaksanakan agenda Ekonomi Islam di tahun 1980an dengan pengenalan
institusi pengurusan harta seperti Tabung Haji (TH), sistem perbankan Islam, sistem takaful (insuran
Islam), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), al-Rahn (Pajak Gadai),  perniagaan halal dengan penglibatan
besar etnik Melayu secara serius dalam kegiatan ekonomi selaras dengan syarak.
5.3          Dasar Penswastaan

Melibatkan secara serius penglibatan bumiputera yang berdaya maju dalam sektor perindustrian
dan perkhidmatan yang selama ini dimiliki oleh kerajaan. Ini berupaya membentuk suasana baru
apabila ia mencipta peluang pekerjaan, latihan pengurusan dan mengembangkan perniagaan serta
perusahaan Melayu dan Bumiputera. Kerajaan memindahkan tanggungjawab memberi
perkhidmatan dan melakukan kegiatan perindustrian kepada pihak swasta supaya lebih cekap,
berorientasikan keuntungan dan berdaya maju. Mereka diberi peluang untuk bergiat dalam sektor
tertentu seperti perkhidmatan pembersihan, kawalan keselamatan, lebuhraya, pelabuhan,
pengangkutan, pendidikan, telekomunikasi dan sebagainya. Ia turut dapat mengurangkan beban
kewangan dan pengurusan kerajaan, meningkatkan peranan sektor swasta dalam pembangunan dan
juga dapat menjana kutipan cukai yang tinggi. Antara syarikat utama dalam corak ekonomi ini ialah
TM, TNB, KTM, BERNAS, Radicare, POS Malaysia, Malaysia Airline System, Lembaga Pelabuhan Johor,
Lembaga Pelabuhan Kelang, PLUS dan IJN.

5.4          Industri Otomobil

Diperkenalkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 1980an dengan usahasama industri Jepun iaitu
Mitsuhishi Corporation melalui Dasar Pandang Ke Timur. Fokus utamanya ialah pemindahan
teknologi. Ia sebagai memberi peluang kepada etnik Melayu menceburkan diri dalam sektor industri
dan pengedaraan otomobil. Ramai pelajar dari Etnik Melayu dihantar melanjutkan pelajaran dalam
bidang teknikal ke Jepun dan Korea. Usahawan Melayu diberi lesen untuk menjadi pengedar dan
penjual kereta nasional serta industri yang berkaitan dengannya seperti vendor peralatan, eksosari
kenderaan, perbankan, insuran dan sebagainya.

6.              Kesimpulan

Walaupun Malaysia merupakan warisan struktur ekonomi penjajah Inggeris, namun kerajaan telah
melaksanakan pelbagai dasar pembangunan ekonomi yang boleh merapatkan hubungan antara
etnik. Banyak peluang ekonomi diagihkan secara seimbang dan meluas bagi memastikan kekayaan
ekonomi negara dapat dikecapi oleh semua etnik di Malaysia.

You might also like