You are on page 1of 8

Pendahuluan

Walaupun ibu bapa sedar mereka perlu melibatkan diri dalam persekolahan kanak-kanak
bermasalah pembelajaran, namun masih ramai ibu bapa yang tidak memenuhi
tanggungjawab itu. Comer (1993) mendapati hanya 1 hingga 5 peratus ibu bapa di
Amerika Syarikat terlibat dalam aktiviti persekolahan kanak-kanak. Malah, mengikut
Comer lagi, ada di kalangan ibu bapa yang tidak mahu ke sekolah untuk mewakili rakan-
rakan mereka yang lain dalam apa saja bentuk aktiviti. Kajian lain melaporkan, daripada
46, 000 pelajar yang disoal selidik di Amerika Syarikat, hanya 26 peratus menyatakan
mereka memperoleh sokongan yang kuat daripada ibu bapa mereka dalam aktiviti
persekolahan.

Ibu bapa sebenarnya mengetahui pentingnya penglibatan mereka dalam persekolahan


anak, tetapi kebanyakan responden masih tidak pasti sama ada mereka terlibat ataupun
sebaliknya dalam persekolahan kanak-kanak. Wanat (1997) dalam kajiannya menyatakan
daripada 57 responden, hanya 18 peratus menyatakan mereka terlibat, 25 peratus tidak
terlibat, 11 peratus menyatakan mereka hanya terlibat di rumah. Hampir setengah
ataupun 46 peratus gagal menyatakan sama ada mereka terlibat ataupun tidak dalam
persekolahan anak-anak mereka.

Menurut Coots (1998), penglibatan ibu bapa dalam persekolahan kanak-kanak


bermasalah pembelajaran adalah perlu kerana golongan ibu bapa adalah golongan yang
memiliki banyak kelebihan berbanding guru khas dalam menjalankan fungsi ataupun
tanggungjawab pada persekolahan. Guru khas bertugas secara formal dan dibatasi oleh
faktor-faktor seperti masa, tempat dan peraturan. Manakala ibu bapa berhubung secara
tidak formal dan mempunyai peluang lebih luas melibatkan diri dalam persekolahan.

Konsep Penglibatan
Konsep penglibatan ibu bapa seperti yang dipaparkan dalam beberapa penyelidikan
dalam tahun 90-an menampakkan beberapa bentuk penglibatan. Angkubah-angkubah
seperti persepsi, sikap, interaksi, faktor latar belakang dan ciri kanak-kanak itu sendiri
banyak digunakan ketika menentukan penglibatan ibu bapa dalam persekolahan anak.

Coots (1998) dalam kajiannya menyatakan status kanak-kanak, kepercayaan dan


sosioekonomi, sikap dan persepsi ibu bapa kepada sekolah adalah faktor utama
menentukan penglibatan mereka di sekolah. Menyorot pada kajian lepas, Grossman,
Osterman dan Schmelkin (1999) masih tidak dapat menentukan penglibatan ibu bapa di
sekolah. Walau bagaimanapun kajian mereka merumuskan sumber keluarga, kepercayaan
dan status ekonomi, status anak, sikap dan persepsi ibu bapa terhadap sekolah adalah
penyumbang utama bagi ibu bapa dalam melibatkan diri mereka di sekolah. Seterusnya
mereka mendapati ibu bapa mempunyai sikap positif untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti
yang dilakukan di sekolah. Walau bagaimanapun guru-guru tidak menampakkan
kesungguhan dalam menggalakkan ibu bapa melibatkan diri di sekolah.

Penglibatan ibu bapa dapat dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu penglibatan di rumah,
penglibatan di sekolah dan kedua-duanya. Di rumah ibu bapa dapat mengawasi kerja
rumah anak yang diberi oleh guru. Di sekolah, ibu bapa membuat temu janji dengan guru
khas bagi membincangkan pelajaran si anak, menghadiri mesyuarat, membuat keputusan,
meneliti rancangan dan memeriksa rekod anaknya yang disimpan di sekolah. Ibu bapa
juga berhak membantah mana-mana catatan yang dianggap tidak sepatutnya disertakan
dalam rekod berkenaan.

Seterusnya ibu bapa juga dipelawa ke sekolah memberi sumbangan mengajar anak
mereka membaca misalnya dalam kelas seterusnya menyambung aktiviti itu di rumah.
Sejauh manakah kemampuan ibu bapa memberi pengaruh yang positif pada anak ini
perlu dikaji dengan lebih mendalam supaya ibu bapa mendapat gambaran yang lebih jelas
peranan mereka.

Faktor Penglibatan
Antara faktor yang dikenal pasti adalah seperti berikut:
Umur
Umur mempengaruhi penglibatan ibu bapa baik di rumah ataupun di sekolah. Semakin
tinggi umur seseorang ibu ataupun bapa, semakin banyak ibu ataupun bapa itu
memikirkan pembelajaran anaknya dan semakin rapat hubungannya dengan kegiatan
anak. Walau bagaimanapun ibu bapa yang tua sedar sumbangan, pengetahuan dan
kemahiran mereka tidak lagi dihargai. Mereka juga didapati kurang aktif dalam hal
persekolahan anaknya. Mereka lebih terlibat dalam hal keagamaan dan kebajikan diri
sendiri dan komuniti.
Bilangan anak
Bilangan anak yang ramai menghalang ibu bapa memberi tumpuan yang sama rata
kepada anak. Semakin ramai bilangan anak, semakin kurang penglibatan ibu bapa dalam
aktiviti pembelajaran. Ini kerana mereka terpaksa memikirkan pembahagian masa yang
lebih dalam hal mencari sumber rezeki untuk anak-anak yang ramai. Dalam hal ini, bapa
didapati lebih komited kepada kerja berbanding persekolahan anak. Walau bagaimanapun
bapa yang mempunyai anak yang tidak ramai didapati lebih bertanggungjawab dalam
persekolahan anaknya.
Pendapatan
Menurut Teori Keperluan Maslow, keperluan fisiologi seperti makanan, pakaian dan
tempat kediaman perlu dipenuhi terlebih dahulu sebelum individu itu dapat memenuhi
keperluan-keperluan lain seperti melibatkan diri secara aktif di sekolah dan sebagainya.
Penglibatan ibu bapa tidak bermakna sekiranya tidak mendapat sokongan terutama
daripada segi kewa-ngan dan kebendaan. Banyak kajian lepas yang mendapati faktor
ekonomi keluarga memberi kesan pada peranan ibu bapa dalam persekolahan anak
(contoh Troph,1984: Furstberg dan Nord, 1985: Noraini, 1994). Ini jelas menunjukkan
faktor ekonomi keluarga mempunyai pengaruh yang amat penting menentukan
penglibatan ibu bapa di sekolah.

Walaupun kadar kemiskinan di Malaysia secara keseluruhannya berkurangan daripada


42.4 peratus pada tahun 1976 kepada 17.5 peratus pada tahun 1990 (Rancangan Malaysia
Ketujuh, 1996) namun kekayaan yang dinikmati oleh satu-satu keluarga masih tertumpu
kepada beberapa golongan keluarga.
Abdul Rahman (2000) menyatakan bagi golongan kelas menengah rendah ataupun kelas
menengah bawahan yang berpendapatan bulanan sebanyak RM2000 ke bawah sebulan,
sebahagian mereka tidak memiliki rumah dan tekanan ekonomi ke atas kehidupan mereka
amat berat.

Keluarga yang mempunyai rumah mempunyai kesan pada perkembangan kanak-kanak


terutama meningkatnya masalah hubungan dengan rakan sebaya, akademik dan kehadiran
di sekolah (Heflin dan Rudy, 1991). Bagi mereka yang mempunyai rumah tetapi sesak
terutama apabila bilangan ahli dalam keluarga ramai dan pendapatan terhad, ibu bapa
tidak ada masa hendak memikirkan bagaimana dan bila mereka akan melibatkan diri
dalam persekolahan kanak-kanak. Kurangnya perhubungan ibu bapa dengan anak-anak
boleh menyebabkan kurangnya galakan dan rangsangan ibu bapa ini ke atas anak-anak
mereka.

Di US, kebanyakan kanak-kanak yang menerima program pendidikan khas terdiri


daripada keluarga yang mempunyai pendapatan $25,000 ke bawah setahun. Dianggarkan
25 peratus kanak-kanak di Amerika Syarikat hidup dalam kemiskinan. Keadaan menjadi
bertambah buruk apabila 25 peratus daripada kanak-kanak itu adalah di bawah umur 6
tahun (Children’s Defense Fund, 1996). Kebanyakan keluarga daripada golongan
ini tidak berminat berbincang ataupun mengambil tahu pergolakan ataupun
perkembangan dalam pendidikan khas di sekolah.
Kemiskinan juga mempengaruhi sajian makanan yang dimakan (Sherman, 1994). Ibu
bapa yang miskin mempunyai sajian makanan yang tidak seimbang dengan kadar protein
yang tidak mencukupi. Protein amat penting bagi pertumbuhan mental seseorang,
terutama dalam masa dua tahun pertama pertumbuhan. Kekurangan protein di peringkat
ini menyebabkan pertumbuhan otak menjadi terbantut. Selain itu kanak-kanak yang
datang daripada keluarga miskin turut menggambarkan kurangnya bahan-bahan bacaan
dan rangsangan lain bagi meningkatkan kemahiran asas 3M selain peluang melawat ke
tempat-tempat lain adalah kurang serta tidak mampu membeli komputer.
Jenis pekerjaan
Bapa sering dikaitkan dengan tugas mencari rezeki dalam sesebuah keluarga. Bapa yang
terpaksa meninggalkan rumah disebabkan oleh tugas tidak mampu melibatkan diri
sepenuhnya dengan program-program yang dijalankan oleh pihak sekolah. Menurut
Lareau (1989), status pekerjaan ibu bapa didapati mempunyai kaitan dengan tahap
penglibatan mereka di sekolah. Ini menunjukkan status pekerjaan ibu bapa turut
mempengaruhi penglibatan mereka di sekolah. Ibu bapa yang terikat dengan masa kerja
didapati lebih sukar menghadiri sebarang aktiviti persekolahan anak. Walau
bagaimanapun ini tidak bermakna mereka langsung tidak memperuntukkan masa untuk
pendidikan anaknya.

Ibu bapa yang bertanggungjawab selalu memikirkan masa terbaik untuk anaknya,
mengikuti setiap perkembangan dan meneliti keperluan pembelajaran yang mesti
dipenuhi. Penglibatan secara langsung di rumah seperti melihat kerja sekolah yang diberi
oleh guru selain membantu menyelesaikan kerja sekolah itu dikira sebagai penglibatan
akademik anak.
Ibu bapa dikehendaki melibatkan diri dalam kewajipan pada pembelajaran seperti
menyiapkan kerja sekolah, menyiapkan kelengkapan sekolah, kewajipan berkomunikasi
dengan guru: kewajipan membantu guru dan pelajar belajar seperti lawatan, membantu
mentadbir perpustakaan, menambah tabung kewangan, hubungan komuniti, kesedaran
politik dan program pembangunan sekolah, dan kewajipan menyertai kumpulan pembuat
keputusan pentadbiran dan undang-undang.

Walaupun bagaimanapun, penglibatan ibu bapa di sekolah menunjukkan perkembangan


yang dapat meningkatkan kerjasama ibu bapa dan guru. Di Malaysia sebarang kenyataan
ataupun statistik mengenai penglibatan ibu bapa dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah
tidak diperoleh.

Pendidikan bapa
Penglibatan bapa pada persekolahan anak turut dipengaruhi oleh tahap pendidikan ibu
bapa. Pendidikan yang tinggi mendorong bapa menjawat jawatan yang tinggi setara
dengan kelayakan yang ada. Mereka terpaksa bertungkus lumus dan mengejar segala
peluang yang ada untuk mengejar status hidup. Peruntukan masa untuk pihak sekolah
bagi membincangkan pelaksanaan RPI menjadi terbatas. Pengabaian tanggungjawab ke
atas anak istimewa berlaku secara tidak disedari. Mereka menyerahkan segala-galanya
yang berhubung dengan pelajaran anak-anak mereka kepada guru dan sekolah.

Ibu bapa yang tidak berpendidikan tinggi hanya berpengetahuan menyekolahkan anak
dan melepaskan diri daripada tanggungjawab penjagaan di rumah yang panjang. Mereka
kurang memberi kerjasama pada guru-guru di sekolah sekiranya diperlukan oleh guru.
Tahap pendidikan yang rendah sering dikaitkan dengan status pekerjaan yang rendah
juga. Ibu bapa yang berpendidikan rendah biasanya mempunyai persepsi yang negatif
pada sekolah. Ini berlaku disebabkan pengalaman mereka semasa zaman persekolahan
dahulu. Umpamanya ibu bapa yang pernah didenda oleh guru pada zaman
persekolahannya didapati kurang menunjukkan komitmen kepada sekolah. Ini semata-
mata hanya dipengaruhi oleh pengalaman bapa itu semasa persekolahannya yang secara
tidak langsung memberi kesan yang negatif pada persekolahan anaknya.

Pengetahuan bapa
Perasaan ibu bapa kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran berkait rapat dengan
banyak manakah pengetahuan ibu bapa mengenai kanak-kanak bermasalah pembelajaran,
program di sekolah, guru khas dan bentuk pengajaran yang digunakan.

Ibu bapa memerlukan maklumat yang terperinci mengenai keistimewaan yang bakal anak
peroleh, maklumat penggunaan RPI, maklumat penggunaan alatan khas, maklumat
pengurusan tingkah laku, agensi yang dapat memberi latihan dan maklumat yang sesuai
untuk anak-anak mereka. Pengetahuan bapa mengenai keperluan persekolahan anak akan
menarik minat mereka supaya lebih terlibat dalam pendidikan ini.

Anak
Seperti yang dijelaskan masalah pembelajaran adalah gangguan minimum pada sistem
saraf deria ataupun saraf otak yang meng-ganggu prestasi normal individu dalam
pembelajaran, khususnya pada aspek penanggapan, pengkonsepsian, pembacaan, bahasa
dan bermatematik. Bapa berperanan memberikan rangsangan dan menyediakan
persekitaran yang sihat bagi pertumbuhan dan perkembangan anak-anak. Justeru itu, bapa
dikehendaki juga terlibat dengan program-program yang dianjurkan oleh sekolah bagi
meningkatkan perkembangan kanak-kanak itu. Ini kerana kanak-kanak bermasalah
pembelajaran yang diabaikan akan membentuk sikap-sikap liar, nakal dan tidak
mempunyai disiplin pada diri mereka. Keadaan ini menjejaskan pembelajaran, keluarga
dan masa depannya.
Banyak kajian yang mendapati faktor anak seperti umur dan tahap kecergasan minimum
memberi kesan pada penglibatan bapa dalam persekolahan anak sehingga mengganggu
fungsi keluarga. Selain itu jantina anak juga mempunyai kaitan dengan peranan bapa di
mana bapa didapati lebih suka kepada anak lelaki berbanding anak perempuan.
Faktor Psikologikal
Interaksi
Interaksi yang berkesan adalah interaksi yang merapatkan hubungan antara bapa dengan
guru, sama ada bersifat verbal ataupun tidak. Walau bagaimanapun, interaksi yang
berkesan kurang dipraktikkan oleh bapa kerana mereka sibuk dengan tugas harian di
samping itu keadaan diri mereka sendiri yang bersikap tidak mengambil peduli ataupun
menyedari cara interaksi berkenaan. Ini menyebabkan mereka sering melakukan
kesilapan ketika berinteraksi dengan guru-guru khas. Antaranya kurang menjadi kawan
kepada guru, menegur secara negatif dan enggan berbincang.

Persekitaran rumah yang disediakan untuk anak seharusnya berkualiti bagi memastikan ia
memberi kesan yang positif kepada pembelajaran anak-anak. Persekitaran rumah ini
dipengaruhi juga oleh ciri-ciri yang terdapat pada bapa, kanak-kanak dan perhubungan
antara kedua-duanya.

Persepsi
Pengalaman yang dilalui oleh ibu bapa kanak-kanak istimewa adalah kurangnya
sokongan dan nasihat daripada kaum keluarga, sahabat dan masyarakat untuk berbincang
mengenai kanak-kanak istimewa. Salah tafsir ibu bapa mengenai masalah itu mendorong
bapa mempunyai persepsi yang sama kepada sekolah. Justeru, mereka tidak berhubung
dengan guru khas dan tidak bersedia menyelesaikan kesulitan anak mereka. Sistem
pendidikan yang juga sering mengadakan maklumat yang tidak jelas sekali gus
menambah persepsi bapa yang salah terhadap sekolah.

Selain itu ada di kalangan bapa yang memberi pandangan mereka kepada sekolah
berdasarkan pengalaman mereka yang lepas. Pengalaman semasa mengalami proses
pembelajaran yang negatif turut mendapat reaksi yang negatif di kalangan ibu bapa ini.
Dalam hal ini para bapa perlu membuka minda masing-masing. Persepsi yang negatif
mendorong kepada implikasi yang negatif juga pada penglibatan bapa itu dalam
persekolahan anaknya.

Sikap
Sikap mempunyai kaitan yang signifikan dalam menjayakan aktiviti-aktiviti dan program
di sekolah khas bermasalah pembelajaran khususnya RPI. Sikap yang ditunjukkan oleh
bapa kepada pekerjaan, anak, guru dan pentadbir mendatangkan kesan kepada
pembelajaran anak-anak. Bapa seharusnya menunjukkan sikap yang bersesuaian kerana
ia dapat dikaitkan dengan faktor penggalak dan berkesan dalam mempengaruhi keinginan
kanak-kanak belajar. Sikap bapa dapat memberi kesan yang kuat bagi meningkatkan
potensi dan pembelajaran anak.

Sikap yang realistik ke atas kanak-kanak terutamanya oleh bapanya membantu


meningkatkan pencapaian akademik anak-anak mereka. Sungguh pun demikian, bapa
perlu berhati-hati supaya tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi ataupun terlalu
rendah kepada anak-anak mereka. Di samping itu, kepercayaan bapa turut mempengaruhi
tindakan mereka kepada kanak-kanak. Ini menyebabkan perubahan dalam kepercayaan
kanak-kanak dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku kanak-kanak dalam
pembelajaran mereka di sekolah dan di rumah.

Penglibatan dalam Rancangan Pendidikan Individu (RPI)


Polisi Rancangan Pendidikan Individu (RPI) menggalakkan penglibatan ibu bapa. RPI
adalah rancangan pengajaran bertulis yang disediakan khusus untuk setiap pelajar. Ia
mengandungi garis panduan yang dibentuk khusus bagi mendidik kanak-kanak istimewa
ini menguasai kemahiran asas pembelajaran. RPI mengandungi komponen seperti tahap
pencapaian terkini, tahap kefungsian kanak-kanak daripada segi mental, fizikal, emosi,
sosial, aspek-aspek lain yang berkaitan dengan pendidikannya, matlamat jangka panjang
dan pendek, struktur perkhidmatan pendidikan dan sokongan, penilaian dan tindakan
susulan.

Berdasarkan komponen RPI itu, kejayaan RPI yang dijalankan di kelas khas bermasalah
pembelajaran bukan hanya bergantung kepada kecekapan dan ketabahan guru khas
semata-mata, malah merangkumi kerjasama dan penglibatan ibu bapa itu sendiri. Ibu
bapa mesti memberi sumbangan yang wajar dan memainkan peranan masing-masing
menyokong usaha guru khas dan bukannya secara pasif. Ini bermakna bagi menentukan
kejayaan RPI dan menentukan kejayaan pembelajaran kanak-kanak bermasalah
pembelajaran, ianya perlu dikongsi bersama.

Konsep perkongsian dapat diaplikasikan melalui proses perbincangan terutama dalam


mencari formula meningkatkan pencapaian 3M. Sejauh mana kemampuan perkongsian
itu dapat bertahan, ianya banyak bergantung kepada cara RPI dan ahli anggotanya
mengendalikan RPI itu. Sekiranya pihak sekolah memandang perkongsian sebagai
perkara yang global tanpa ada sekatan dan perlu diambil berat, ianya dapat berjalan
dengan baik. Jika sebaliknya iaitu terlalu rigid dan tidak pernah mengambil kira
pandangan ibu bapa, perkongsian tetap gagal (Dryfoos, 1994). Pendek kata, perkongsian
mesti dijalankan secara tulus dengan melibatkan penyertaan kedua belah pihak iaitu ibu
bapa dan guru.

Bagi ibu bapa yang melibatkan diri dalam aktiviti persekolahan, kanak-kanak akan
melihatnya sebagai pendorong dan pengukuh kepada kejayaan pembelajaran. Dorongan
dan pengukuhan yang banyak dan kuat menghasilkan kanak-kanak yang berani
mengambil risiko melalui percubaan dan kesilapan yang dilakukan, walaupun pada
peringkat awalnya kanak-kanak bermasalah pembelajaran melalui kesukaran menguasai
kemahiran yang diberi. Ibu bapa menjadi jurutunjuk dalam membantu anak-anak
mencapai kejayaan. Sikap terbuka ini secara tidak langsung memberi semangat kepada
anak-anak terus mencuba yang akhirnya menjadi orang yang kreatif dan berjaya. Apabila
ibu bapa mengambil kira pendapat ataupun pandangan kanak-kanak dan membenarkan
mereka menyatakan perasaan dan pemikirannya, kanak-kanak itu merasakan diri mereka
penting dan dihargai seterusnya membentuk estim diri yang baik dalam diri dan
berkeyakinan apabila melakukan apa saja aktiviti.

Dapat dirumuskan penglibatan ibu bapa dalam persekolahan kanak-kanak adalah dengan
menyediakan persekitaran yang memberangsangkan, memberi sokongan dan seliaan,
menentukan jadual menonton televisyen, memastikan kerja rumah dapat disiapkan,
melibatkan diri dalam aktiviti pembelajaran di rumah, menekankan keupayaan mendidik
serta meningkatkan latihan keibubapaan. Pendek kata, penglibatan ibu bapa umpama
suatu prinsip kepada ibu bapa, iaitu apabila kanak-kanak bersekolah ibu bapa tidak harus
lepas tangan. Ibu bapa harus terlibat secara langsung dengan meminta kanak-kanak
melakukan tugasan yang diberi secara aktif menerusi aktiviti yang berkait rapat dengan
apa yang diajari oleh guru khas di sekolah. penglibatan seperti ini memberi kanak-kanak
kefahaman yang lebih baik, di samping memberi bimbingan yang nyata kepada kanak-
kanak itu bagaimana menguasai kemahiran asas membaca.

Hubungan Ibu Bapa dan Sekolah dalam RPI


Ibu bapa mempunyai peranan yang penting kepada pembangunan pendidikan anak. Ini
bermakna hubungan ibu bapa dengan pihak sekolah selain membantu anak di rumah
dalam hal persekolahan anak, mereka dapat membantu ke arah pendidikan yang lebih
baik di kalangan anak-anak ini.

Di sekolah khas, penglibatan ibu bapa amat diperlukan sebagai sokongan pada
pencapaian akademik anak-anak mereka. Peranan yang dimainkan oleh para bapa
terutamanya, memberi erti yang begitu besar pada pembentukan estim diri di kalangan
pelajar seterusnya berupaya membantu daripada segi pencapaian akademik pelajar
berkenaan. Dalam kaedah menggalakkan penglibatan ibu bapa dalam program berbentuk
sokongan ini, pihak sekolah khas membentuk program yang dikenali sebagai Rancangan
Pendidikan Individu (RPI).

Dalam program ini, para ibu bapa amnya digalakkan supaya melibatkan diri bagi
memberi sokongan kepada pihak sekolah, seterusnya membantu anak mereka
meningkatkan lagi prestasi akademik. Salah satu matlamat RPI adalah sokongan yang
diperlukan di kalangan ibu bapa supaya melibatkan diri, di mana penglibatan ini memberi
faedah kepada ibu bapa dan pelajar itu sendiri sekiranya ia dapat dimanfaatkan
sepenuhnya oleh para ibu bapa itu.

Terdapat analisis daripada beberapa kajian menyatakan RPI itu sendiri dilaksanakan tidak
seperti yang dirangka. Ianya tidak lengkap, tidak efektif dan banyak kesilapan. Misalnya,
objektif yang ada dalam RPI tidak jelas dan tidak sesuai. Guru tidak merekodkan objektif
yang sempurna dan secara umumnya pengawalan usaha adalah kurang. Ada antara RPI
itu tidak mengikut prosedur yang ditetapkan, termasuklah tidak mempunyai matlamat
yang jelas, hanya sedikit objektif yang ditentukan tercapai dan beberapa kesilapan
berhubung dengan pencapaian kanak-kanak itu sendiri dengan matlamat jangka panjang
RPI itu. Turut dipertikaikan adalah tentang kebolehpercayaan, ketepatan dokumen dan
kesinambungan proses RPI yang dijalankan.

Sehingga keutuhan kajian diperoleh, RPI masih dilaksanakan oleh guru khas di sekolah-
sekolah. Ini kerana RPI berjaya menghubungkan ibu bapa dan guru Walaupun tidak ada
suatu kaedah pun yang dikatakan sesuai untuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran
meningkatkan pencapaian akademik mereka (Deno, 1990: Green & Shinn, 1994,
Kavale, 1990) namun RPI membuktikan banyak manfaat sekiranya dilaksanakan dalam
pendidikan khas dan memberi banyak perlindungan kepada kanak-kanak istimewa yang
memerlukan pendidikan. Ini bermakna RPI adalah program terbaik dalam pengajaran dan
pembelajaran kanak-kanak bermasalah pembelajaran.

Satu perkara yang jelas dalam program RPI ini adalah kebanyakan program RPI yang
dirancang menunjukkan kesan yang baik dan berpanjangan apabila ianya mendapat
sokongan daripada pihak ibu bapa. Seperti yang dimaklumi, ibu bapa adalah guru yang
terdekat dalam kehidupan anak-anak. Mereka yang membentuk sikap-sikap asas,
semangat berusaha dan pandangan pada diri kanak-kanak yang masih kecil. Kegagalan
ibu bapa mendidik anak-anak sering dikaitkan dengan kegagalan dalam pencapaian
akademik. Di sinilah letaknya tugas dan tanggung-jawab ibu bapa sebagai individu yang
memainkan peranan penting memberikan pendidikan kepada anak-anak. Pendek kata,
“….ibu bapa mestilah mempunyai motivasi tinggi dan menyediakan
keperluan kanak-kanak bermasalah pembelajaran”.

Tidak diragukan lagi, banyak faedah dapat diperoleh daripada RPI. Sekurang-kurangnya
ibu bapa dan guru dapat berbincang mengenai perkara-perkara biasa serta mengawasi
perkembangan kemajuan akademik anak mereka. Pakatan terperinci dan spesifik ini
hanya dapat memberi faedah kepada kanak-kanak. Tetapi tidak seperti yang kita lihat, ia
kelihatan lebih sukar dibuat untuk menjadi fleksibel dan pemusatan kepada kanak-kanak
bagi mencapai tujuan pemahaman individu.

Penutup
Penglibatan bapa dalam persekolahan anak sememangnya menguntungkan banyak pihak
sama ada sekolah, ibu bapa seterusnya pelajar itu sendiri. Hubungan yang baik antara ibu
bapa dan pihak sekolah memberi kesan yang positif pada tingkah laku serta pencapaian
akademik anak. Selain itu suatu kajian di Amerika oleh Metropolitan Life pada tahun
1987 turut mendapati hal yang sama di mana 77% daripada responden kajiannya yang
terdiri daripada kalangan ibu, bapa dan guru menyatakan hubungan antara kedua-duanya
adalah baik dan amat diperlukan. Selain itu 60% daripada mereka juga berpendapat
hubungan yang wujud antara mereka dapat memberi sokongan antara satu sama lain.

You might also like