Perpaduan

You might also like

You are on page 1of 1

Perpaduan amat diperlukan di negara ini terutama ketika pelbagai cabaran mendatang.

Huraikan cara-cara untuk memupuk perpaduan di negara kita.

Perpaduan merujuk satu suasana atau ikatan yang mesra antara rakyat sesebuah negara itu. Antara impak
yang timbul akibat ketiadaan perpaduan ialah peperangan, sikap saling bergaduh dan juga ketiadaan
pertumbuhan ekonomi yang stabil di sesebuah negara itu. Tulisan mengenai kepentingan perpaduan telah
banyak kali diketengahkan oleh pihak media massa di negara ini lalu membuktikan betapa seriusnya konsep
ini kepada masyarakat kita. Jadi, kaedah-kaedah untuk mencapai perpaduan di negara ini harus diketahui
dengan mendalam pula.

Tindakan yang paling efektif untuk memupuk perpaduan di negara ini ialah perkahwinan campur diberikan
satu lonjakan atau galakan baru. Maknanya perkahwinan campur menjadi satu lumrah dalam masyarakat
kita kerana cara ini merupakan kaedah paling mudah tetapi praktikal untuk dilaksanakan oleh masyarakat.
Impaknya ialah satu generasi muda yang lebih bertoleransi terhadap perbezaan kebudayaan dapat
dihasilkan kerana sudah melihat perbezaan budaya kedua-dua ibu bapa mereka itu. Jadi, perpaduan di
negara ini mampu dicapai dengan mudah jika konsep perkahwinan campur itu dilihat sebagai sesuatu yang
positif dan murni pula.

Pada masa yang sama, konsep rumah terbuka harus diluaskan di negara ini kerana setiap kaum mempunyai
perayaan yang tersendiri pula. Rumah terbuka ketika musim perayaan membolehkan sesiapa sahaja
melawat rumah jiran mereka lalu mewujudkan satu persefahaman tentang kehidupan mereka itu tanpa
disedari pula. Lama-kelamaan lawatan sebegini memberikan satu pandangan yang positif tentang jiran
tetangga yang kemudiannya turut mengukuhkan lagi semangat perpaduan yang wujud dalam jiwa
masyarakat mereka itu. Maka, perpaduan masyarakat berbilang kaum boleh dicapai melalui perluasan
konsep rumah terbuka di negara ini.

Bukan sahaja perkahwinan campur diberi galakan dan konsep rumah terbuka diluaskan tetapi sikap saling
menghormati antara satu sama lain harus ditekankan juga. Sikap saling hormat ini menyebabkan setiap
lapisan masyarakat tidak akan berani untuk mengeluarkan sebarang ungkapan atau istilah yang boleh
menyinggung perasaan kaum yang lain pula. Ketertinggian pandangan terhadap perasaan individu daripada
kaum lain menyebabkan rasa perpaduan itu begitu menebal dalam jiwa setiap insan di negara ini. Justeru,
perpaduan akan terus menjadi sesuatu yang dihargai di negara ini jika sikap saling menghormati itu wujud
dalam jiwa penduduk negara.

Malahan, satu program berunsur perpaduan boleh dianjurkan di peringkat sekolah terutama dalam
kalangan remaja untuk memastikan generasi muda turut memiliki perasaan perpaduan ini. Program ini
boleh menekankan pelbagai aktiviti yang melibatkan pembabitan semua pelajar daripada pelbagai kaum
untuk mewujudkan satu interaksi pula. Jiwa remaja yang masih mudah sudah pasti akan mudah untuk
ditanam dengan unsur perpaduan ini kerana mereka masih belum memiliki sebarang perasaan negatif
terhadap kaum yang lain pula. Maka, penganjuran program yang bersesuaian dalam kalangan remaja
menjadi satu mekanisme yang baik untuk memupuk perpaduan ini.

Konklusinya, semua kaedah untuk mencapai perpaduan tadi memang mampu untuk dilaksanakan lalu
mencapai matlamatnya. Semua pihak perlulah memberikan kerjasama yang baik terutama masyarakat
demi perpaduan sejati itu. Ketiadaan kerjasama yang padu boleh membawa kemusnahan kepada negara ini
pada masa yang mendatang terutama jika isu-isu sensitif terus digunakan oleh pihak-pihak terbabit pula.
Peribahasa “bersatu teguh bercerai roboh” membuktikan perpaduan itu amat penting buat mana-mana
negara di dunia ini kerana tanpanya negara itu pasti akan mudah dijajah oleh kuasa-kuasa asing pula.

You might also like