You are on page 1of 3

KELANTAN DAN TERENGGANU TIDAK BERHAK MENUNTUT ROYALTI?

1. “PAS tidak berhak untuk menuntut Royalti” Itu kata Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail. Jadi ramai
tertanya tanya apakah PAS memang tidak berhak. Jadi tulisan kali ini untuk memberikan pemahaman
jelas mengenai hak royalti.

2. Ketika perjanjian Persekutuan Tanah Melayu ditandatangani pada 31 Januari 1948 di antara wakil-
wakil pemerintah Negeri-Negeri Selat, Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan Negeri-negeri Melayu Tidak
Bersekutu, telah dipersetujui bidang kuasa negeri ditetapkan dalam lingkungan tiga batu nautika dari
pesisiran pantai negeri. Seksyen 4 Ordinan Darurat 1969 turut mendefinisikan kawasan jajahan negeri
sebagai hanya tiga batu nautika dari pesisiran pantai, tertakluk kepada beberapa pengecualian
termasuklah negeri-negeri baru Sabah dan Sarawak.

3. Kemudian pada Tahun 1973, ketika krisis minyak dunia, Malaysia menubuhkan Petronas dan
memperkenalkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA). Dalam Seksyen 2 PDA 1974, Petronas
diberikan mandat “pemilikan penuh ke atas petroleum yang terdapat di darat dan pesisir pantai
Malaysia”, termasuklah hak eksklusif, kuasa, kebebasan dan keistimewaan dalam meneroka,
memanipulasi, memenangi dan memperolehi kawasan-kawasan ini. Manakala Seksyen 4 PDA 1974,
Petronas hendaklah membuat pembayaran kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri pemunya asset
itu.

4. Bersama PDA 1974 ialah 13 perjanjian lagi yang dikenali sebagai Assignments Deeds dan Vesting
Grants. Kedua-duanya ditandatangani secara berasingan di antara 13 kerajaan negeri dan kerajaan pusat
sekitar tahun 1975 dan 1976. Kesemuanya memberikan hak kepada Petronas untuk ‘petroleum yang
berada di darat atau pesisir pantai Malaysia’, dengan pulangan wang tunai secara tahunan bersamaan
dengan nilai 5% petroleum yang dikeluarkan.

5. Petroleum ditemui di pesisiran pantai Terengganu pada tahun 1973. Sejak itu, Terengganu telah
menerima royalti berjumlah RM7.13 bilion menerusi PDA. Namun pada tahun 2000 ketika PAS
memerintah Terengganu, wang royalti kepada Kerajaan Negeri dihentikan. Perdana Menteri ketika itu,
Tun Dr Mahathir menghentikan pembayaran royalti., dan menggantikan dengan Dana Khas Kerajaan
Persekutuan (DKKP). Perkara ini diakui beliau didalam buku biografinya “The Doctor In The House”.
Beliau menulis “Terengganu was and is the biggest producer of oil in Malaysia and 5% of that revenue,
worth almost RM 1 billion a year, went to the state government. We knew that if the new PAS state
government were to gain access to the money, they would likely use it to enhance their popularity and
promote their cause”. Bermaksud “Terengganu merupakan pengeluar terbesar minyak di Malaysia dan
5% dari pendapatan itu, bernilai hampir RM 1 billion setahun, diperolehi Kerajaan Negeri. Kita yakin
sekiranya Kerajaan Negeri baru dibawah PAS memperolehi dana itu, mereka akan menggunakanya
untuk menaikkan popularity mereka dan mempromosikan perjuangan mereka.” Alasan yang diberikan
Kerajaan Persekutuan adalah Kerajaan Negeri tidak berhak mendapat royalti disebabkan telaga minyak
berada diluar 3 batu nautika daripada persisir pantai Terengganu. Berikutan itu, Kerajaan Negeri PAS
Terengganu telah memfailkan saman keatas Petronas dan Kerajaan Persekutuan dimahkamah, namun ia
ditarik balik oleh Kerajaan Negeri Terengganu selepas Barisan Nasional memenangi Negeri Terengganu
pada PRU 12.

6. Petroleum hanya ditemui di Kelantan pada tahun 90-an ketika PAS sudahpun memerintah Kelantan.
PDA dan Vesting Grant serta Assignment Deed tidak pernah dipersoalkan sebelum itu. Bagi pengeluaran
minyak dan gas dari kawasan ini, yang dikenali dengan nama blok PM2, PM301, Perjanjian Perkongsian
Pembangunan Malaysia-Thailand (MTJDA) dan PM3 CAA Malaysia-Vietnam, kerajaan pusat telah
menerima bahagian royaltinya sebanyak 5 peratus, berjumlah RM4.59 bilion. Secara teorinya, jumlah
yang sama juga wajar diterima oleh Kelantan (juga lima peratus peruntukan royalti). Malangnya, tidak
sesen pun yang diterima oleh negeri terbabit. Lebih teruk lagi, Kelantan tidak langsung merasai
limpahan manfaat daripada pembangunan ekonomi dalam bentuk aktiviti, tapak pengeluaran,
pemprosesan dan pengangkutan hasil gas dan minyak. Kerajaan Persekutuan menggunakan hujah yang
sama untuk menafikan royalti kepada Kelantan iaitu, minyak ditemui diluar jajahan Kelantan. Pada Ogos
2010, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengambil tindakan mahkamah ke atas Petronas di atas kegagalan
syarikat terbabit membayar royalti kepada kerajaan negeri. Kerajaan Pusat bertindak balas dengan
membentuk panel khas penyiasatan yang masih belum mengeluarkan keputusannya.

7. Walaupun kedua dua kes ini mempunyai alasan teknikal perundangan, namun apa yang jelas tekanan
politik kepada negeri yang diperintah PAS mengatasi segalanya. Jelas Perlembagaan Persekutuan hanya
mendefinisikan sempadan maritim. Manakala dokumen lain seperti PDA 1974 dan perjanjian Petronas –
Kerajaan Negeri merupakan rujukan bagi menafsirkan hak pemilikan asset petroleum. Persoalan mudah,
sekiranya takrif 3 batu nautika dalam Perlembagaan Persekutuan digunapakai, maka kenapa perlu ada
perjanjian lain ditandatangani? Malah Pahang yang baru menemui minyak di Kawasan Bertam PM307
dijanjikan royalti walaupun jaraknya 86.3 batu nautika.

8. Pakatan Harapan didalam janji pilihanraya, menjanjikan negeri-negeri pengeluar minyak dan gas akan
diberi royalti yang sewajarnya. Kezaliman UMNO dan Barisan Nasional yang memberi dana berdasarkan
perkiraan politik akan dihentikan. Kerajaan Pakatan Harapan juga akan menambah jumlah royalti
petroleum kepada Sabah dan Sarawak, serta negeri-negeri pengeluar petroleum yang lain, kepada 20
peratus atau nilai yang bersamaan, sebagai salah satu langkah pembahagian hasil petroleum yang lebih
adil. Ini akan membolehkan negeri-negeri berkenaan mengambil alih lebih banyak tanggungjawab
perbelanjaan pembangunan di peringkat negeri. Apakah mereka akan menunaikan janji mereka menjadi
tanda tanya. Sudah tentu rakyat dinegeri Kelantan dan Terengganu memerhatikan perkembangan ini.

Nurul Islam Mohamed Yusoff

Pengarah Pilihanraya DPPM

25 Mei 2018

You might also like