You are on page 1of 13

PENYEDIAAN PERALATAN MAIN BAGI MEMUPUK KEMAHIRAN

INTERAKSI SOSIAL MURID PRASEKOLAH MASALAH


PEMBELAJARAN

SITI SALEHA SAMSURI


IPG Kampus Tun Hussein Onn
sitisaleha@iptho.edu.my

MANISAH MOHD ALI


ROSADAH ABDUL MAJID
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaaan Malaysia

Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti amalan guru dalam membuat pemilihan, susun atur
dan aplikasi peralatan main yang sesuai bagi merangsang minat murid masalah pembelajaran
untuk belajar melalui aktiviti main. Kajian pelbagai kes dijalankan di lima buah prasekolah
masalah pembelajaran. Data diperolehi melalui pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen.
Data pemerhatian ditriangulasikan dengan semakan analisis dokumen iaitu rancangan mengajar
dan inventori kemudahan dan peralatan main. Data temubual ditranskripsi secara verbatim dan
tema-tema berkaitan amalan pemilihan, penyediaan dan susun atur serta aplikasi peralatan main
telah dikenalpasti. Dapatan kajian menunjukkan guru memilih peralatan main sedia ada di
prasekolah namun kurang dipelbagaikan fungsi peralatan main tersebut serta kurang mencabar
keupayaan murid. Guru menghadapi masalah kekurangan peralatan main, dan peruntukan khas
untuk menyelenggara, membaik pulih dan membeli peralatan main yang baharu. Kajian ini
mempunyai implikasi supaya guru lebih berinovasi dalam melaksanakan aktiviti main dengan
mempelbagaikan fungsi peralatan main dan susun atur persekitaran yang mampu menarik minat
murid masalah pembelajaran.

Abstract

This study aims to identify the teachers practice in making the selection, layout and main
application equipment suitable to stimulate preschoolers interest in learning through play activity.
Multiple case studies were conducted in five preschool learning disabilities. Data were collected
through observation, interviews and document analysis. Triangulation observation data were
reviewed the draft document analysis and inventory teaching facilities and main equipment.
Interview data transcribed verbatim and themes related to the practice of selection, preparation of
play environment setting and application of main equipment have been identified. The findings
show that teachers prefer the existing main equipment in preschool but less diversified functions
of the main equipment and less demanding on students' ability. Teachers face a shortage of main
equipment, and special provisions for maintenance, repair and buy new play equipment. This
study implies that teachers are more innovative in implementing the main activities by diversifying
the main equipment and layout environment capable of attracting preschoolers with learning
difficulties.

Kata kunci: belajar melalui bermain, kemahiran interaksi sosial, peralatan main, murid masalah
pembelajaran
1
Pengenalan
Aktiviti Belajar Melalui Bermain (BMB) sangat sinonim dengan prinsip pengajaran dan
pembelajaran di prasekolah. Murid prasekolah Masalah Pembelajaran (MP) mempunyai
masalah ketidakupayaan dan gangguan sosioemosi yang memerlukan aktiviti pembelajaran
berbentuk santai dan tanpa tekanan. Aspek kemahiran interaksi sosial yang penting dipupuk di
peringkat awal adalah seperti boleh berkongsi peralatan main, menunggu giliran, berkemahiran
play entry, mengikut peraturan main yang betul dan bekerjasama. Justeru pemilihan peralatan
main yang sesuai sangat penting bagi merangsang murid MP mencapai tujuan tersebut. Peranan
guru MP adalah menyediakan peralatan main mengikut tahap keupayaan, keperluan khas murid
MP dan menyediakan aktviti main yang lebih mencabar perkembangan mereka. Aspek
penyediaan peralatan main termasuk semasa memilih, menyedia dan menyusun atur peralatan
main. Selain itu, guru juga berperanan membantu murid MP mengaplikasikan peralatan main
dengan cara yang betul dan selamat.
Peralatan main yang sesuai dengan tahap ketidakupayaan dan minat murid MP adalah
peralatan yang dapat menepati sasaran penyelesaian masalah dan fokus membantu memperbaiki
kelemahan murid MP (Childress, 2011). Kadang kala guru perlu menjadi model terutama
menunjukkan penggunaan peralatan main, menimbulkan ‘mood’, menjurus ke arah tema
terutama semasa main peranan, memotivasikan murid, sentiasa berminat dan mempunyai
keazaman yang tinggi dalam merangsang murid berkeperluan khas melibatkan diri secara total
dalam aktiviti main (Isenberg & Jalongo, 2001).
Pernyataan Masalah
Persekitaran main melibatkan penyediaan peralatan main yang boleh mencabar keupayaan murid
pelbagai kategori masalah pembelajaran. Jurang permasalahan kajian menunjukkan guru kurang
cekap dalam mengurus peralatan dan persekitaran yang merangsang aktiviti main dan
menyesuaikannya dengan perkembangan murid mereka (Rohaty, 2003; Sharifah Nor et al., 2009
& Sharifah Norhaida et al.; 2009). Rohaty (2003) turut mendapati kurangnya peralatan main di
prasekolah yang membantu perkembangan murid dan sudut fizikal main juga tidak diurus
dengan baik.
Kepentingan pemilihan peralatan main dalam aktiviti main murid MP harus diteliti
supaya berupaya meningkatkan perkembangan yang lambat serta berupaya mengatasi
ketidakupayaan murid. Dalam kajian Becker et al.(2009), maklum balas motivasi semasa murid
bermain dengan peralatan main yang pelbagai fungsi perkembangan memerlukan guru
memikirkan semula akan tumpuan penilaian dan penaksiran perkembangan murid. Contohnya
ada peralatan main yang fokus untuk perkembangan fizikal sahaja tetapi sangat kurang nilai
sosialnya. Isu dalam kajian beliau juga adalah berkenaan keperluan fleksibiliti masa yang lebih
panjang bagi memenuhi keperluan minat murid bermain. Adakah memberi masa yang lebih
lama dapat membantu guru menilai pelbagai variasi reka bentuk permainan yang boleh
mempengaruhi interaksi sosial dalam kalangan murid mereka. Justeru, keperluan kajian ini
dijalankan adalah untuk mengenal pasti peranan guru dalam memilih, menyedia dan menyusun
atur peralatan main yang sesuai bagi memupuk kemahiran interaksi sosial murid MP serta cara
pengaplikasiannya.

2
Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengenal pasti amalan guru dalam

1. memilih peralatan main yang sesuai bagi memupuk kemahiran interaksi sosial murid
prasekolah MP.
2. menyedia dan menyusun atur peralatan main yang sesuai bagi memupuk kemahiran
interaksi sosial murid prasekolah MP.
3. membantu murid mengaplikasi peralatan main dengan cara yang betul bagi memupuk
kemahiran interaksi sosial murid prasekolah MP.

Metodologi Kajian

Kajian kualitatif pelbagai kes ini dijalankan ke atas lima orang guru, lima orang pembantu
pengurusan murid dan 24 orang murid MP di lima buah prasekolah Program Pendidikan Khas
Integrasi Kategori Masalah Pembelajaran (PPKI MP). Kaedah pengutipan data adalah melalui
hasil pemerhatian, analisis dokumen dan temu bual. Pemerhatian menggunakan senarai semak
dilakukan bagi meninjau kemudahan dan peralatan main yang ada di prasekolah yang sesuai
dengan keperluan murid MP. Rakaman video dijalankan bagi melihat aplikasi murid MP dengan
peralatan main sedia ada. Kesesuaian susun atur peralatan main dengan penyediaan ruang
persekitaran main yang disediakan dikaji. Data ini ditriangulasikan dengan bukti rekod inventori
kemudahan dan peralatan main yang dibekalkan ke prasekolah di samping temu bual yang
dilakukan terhadap guru. Hasil temu bual ditranskripsikan secara verbatim bagi menimbulkan
tema-tema yang menjawab persoalan kajian.

Dapatan dan Perbincangan Kajian


Dapatan kajian meneliti hasil pemerhatian dan semakan inventori peralatan main yang ada di
prasekolah yang dikaji. Kajian dari tiga aspek yang dikaji iaitu: i) pemilihan peralatan main; ii)
penyediaan dan susun atur peralatan main; dan iii) aplikasi peralatan main oleh murid MP
menunjukkan peranan guru kurang dalam membuat pemilihan tetapi lebih kepada menyedia dan
membantu murid mengaplikasi peralatan main sedia ada. Ini kerana peralatan main
kebanyakkannya telah dibekalkan terus ke prasekolah. Oleh yang demikian, ada peralatan main
yang kurang sesuai dengan keperluan murid MP.
Hasil dapatan bagi ketiga-tiga aspek yang dikaji dapat dirumuskan seperti dalam Rajah 1.
Aspek pemilihan peralatan main mengkaji ciri-ciri peralatan main yang sesuai mengikut
ketidakupayaan, minat dan keperluan khas murid MP. Manakala proses menyedia dan
menyusun atur peralatan main, kajian mengkaji faktor-faktor yang menjadi pertimbangan guru
dalam memupuk kemahiran interaksi sosial murid. Dalam peringkat aplikasi pula, pemerhatian
yang dilakukan semasa proses P&P adalah bagi mengkaji kebolehgunaan peralatan main yang
boleh memupuk kemahiran interaksi murid secara aktif.

3
mudah guna

interaktif

Fleksibel
Pemilihan
(temu bual
guru/pemerhatian) Merangsang daya fikir

Pelbagai

Bentuk sikap positif

Selamat

Mudah Akses

Penyediaan dan aplikasi Peralatan Main Penyediaan dan Susun atur


mudah capai
(Pemerhatian; senarai semak; temu bual (Pemerhatian/senarai semak/
guru) temubual guru/ Inventori
Peralatan) Susun ikut Pusat
Pembelajaran

Bersih

Kemas dan menarik

Murid faham dan tahu guna

Mudah manipulasi

Aplikasi Fleksibel Masa


(Pemerhatian/ temu bual guru)

Ikut Jantina

Rajah 1 Rumusan Penyediaan Peralatan Main Bagi Memupuk Kemahiran Interaksi


Sosial Murid MP
1. Pemilihan Peralatan Main Bagi Memupuk Kemahiran Interaksi Sosial Murid MP
Peringkat pemilihan peralatan main di prasekolah PPKI (MP) adalah sangat penting bagi
menyesuaikan dengan pelbagai tahap keupayaan dan keperluan khas mereka. Ini termaktub
dalam Kurikulum Prasekolah Kebangsaan (2003) iaitu peralatan main di prasekolah mestilah
mudah digunakan, interaktif, merangsang murid untuk berfikir, merangsang pembentukan sikap
positif, kesesuaian dari segi saiz, warna dan tekstur, mudah ubah dan diguna semula dan selamat

4
digunakan. Namun dapatan kajian, peserta guru kurang menekankan aspek ini. Empat dari lima
peserta kajian menggunakan peralatan main yang ada dan menyesuaikan dengan keperluan
aktiviti harian murid mereka walaupun ia kurang sesuai digunakan bagi memupuk kemahiran
interaksi sosial mereka. Pemerhatian menunjukkan tiga guru kerap bermain bebas dengan
peralatan manipulatif seperti lego. Dalam memupuk kemahiran interaksi sosial seperti berkongsi
lego, bersabar semasa menunggu giliran dan berkemas bersama, guru sentiasa bercakap-cakap
dengan murid dan menegur jika murid melakukan kesalahan.
Dapatan lain menunjukkan guru bersetuju jika peralatan main adalah pelbagai guna.
Maksud pelbagai guna ialah peralatan yang boleh merentas semua enam tunjang pembelajaran
dalam kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) bagi mencapai objektif pembelajaran
secara bersepadu. Peserta kajian GP1 dan GP2 bersetuju jika peralatan main digunakan secara
merentas kurikulum iaitu bagi mencapai objektif pembelajaran dalam semua tunjang
pembelajaran. Dapatan ini selaras dengan dapatan kajian Hamm (2006) yang menunjukkan ibu
bapa memilih peralatan main pelbagai guna kerana ia berupaya meningkatkan kemahiran
bermain dengan pelbagai cara mengikut fungsi pekembangan yang berbeza. Selain daripada
peralatan main yang terhad, peserta kajian guru berpendapat dengan cara ini sahaja pelbagai
objektif pembelajaran dapat dicapai dalam masa yang sama.
Pemilihan pelbagai fungsi peralatan main mengikut pandangan peserta kajian guru GP1
dan GP2 juga boleh meningkatkan keupayaan murid semasa mereka bermain. Ini disebabkan
tahap keupayaan yang berbeza menyebabkan cara penggunaan dan manipulasi peralatan main
juga berbeza mengikut tahap pemikiran mereka. Murid syndrome down adalah berbeza dengan
ADHD dan juga Autisme. Keupayaan daya fikir mereka menentukan kemahiran mereka
bermain. Ini dipersetujui oleh GP2 di mana ia menyamai dapatan kajian Hamm et al. (2006)
iaitu peralatan main pelbagai guna dapat meningkatkan kemahiran bermain mengikut tahap dan
keperluan khas mereka.
Fungsinya tu kena banyaklah..Contoh bola kecil, kita genggam, leret, melambung.. manik
tu boleh kita buat macam main buat sambil berlari..sebab nak aktifkan diorang sebab ada
yang suka bergaduh, nak bergaduh tapi tenguk juga macam CP ni tak boleh. Tapi dia kuat
semangat, cuba jugak nak buat.. cara mungkin dia buat lain, kita kena terimalah.
(GP2/SKC19:1673)
Selain itu, guru perlu meneliti fungsi peralatan main yang sesuai mengikut kategori MP.
Murid sendiri menyesuaikan peralatan main tersebut supaya satu aktiviti main boleh dijalankan
dengan sensitiviti deria masing-masing. Dapatan kajian menunjukkan semua peserta kajian guru
bersetuju apabila diajukan persoalan hal ini seperti pernyataan GP2 di atas. Hasil pemerhatian
juga menunjukkan hal yang sama. Contoh nyata di prasekolah S3 yang kekurangan peralatan
main kecuali peralatan main manipulatif. Dengan hanya bermain lego, guru menyesuaikannya
dengan tunjang pembelajaran yang berlainan. Ini jelas dinyatakan oleh Beaver et al (2005) iaitu
hanya dengan satu peralatan main yang diberi boleh meningkatkan perkembangan holistik murid
MP. Permainan ini dinamakan heuristic play dimana ia menggalakkan kanak-kanak meneroka
dan bereksperimen dengan peralatan main yang menggunakan kesemua deria iaitu melihat,
mendengar, menghidu, menyentuh dan merasa. Ini membantu guru menilai dan mentaksir jika
terdapat kelemahan dari segi keupayaan dan keperluan khas mereka semasa bermain tanpa
disedari.

5
Penggunaan peralatan main yang fleksibel juga penting. Ini dipersetujui oleh semua
peserta kajian guru yang dikaji yang menyatakan fleksibiliti penggunaan peralatan main penting
untuk perkembangan bermain murid. Oleh yang demikian, jenis peralatan main yang sesuai
ialah peralatan main manipulatif. Sepanjang pemerhatian, pengkaji mendapati semua peserta
kajian guru memfokuskan peralatan main konstruktif yang menggunakan lego kecuali GP2.
Mereka berpendapat penggunaan lego lebih fleksibel terutama dalam membantu meningkatkan
kemahiran kognitif, fizikal selain daripada pemupukan kemahiran interaksi sosial seperti
berkongsi lego dan bercerita semasa membina model. Ini dapat mencabar kebolehan berfikir
mereka di samping perbincangan dengan guru. Murid pula tidak menunjukkan rasa jemu
bermain dengan lego. Hal ini bersesuaian dengan pendapat Tuominen (2005) yang menyatakan
pemilihan peralatan main harus mengikut kesesuaian umur, minat, kemahiran dan kebolehan
yang boleh mencabar keupayaan sebenar mereka. Ia sepatutnya mudah diakses dan mudah ubah
mengikut perbezaan kemahiran, ketidakupayaan dan kebolehan menerima pembelajaran.
Dapatan kajian menunjukkan guru memilih peralatan main yang mudah guna. Maksud
mudah guna adalah melibatkan peralatan main yang murid tahu cara penggunaannya dan tahu
peraturan main dengan peralatan tersebut. Mudah guna juga bertujuan untuk mencapai objektif
pembelajaran di mana murid mudah faham dan tahu main untuk memperlihatkan perkembangan
pembelajaran yang dikehendaki mengikut kurikulum. Contoh yang jelas bagi GP2 menyatakan
penggunaan yang mudah ialah apabila murid diberi peralatan main, mereka boleh berkongsi
peralatan dan berinteraksi sosial dengan baik bersama rakan sebaya mereka.
Melalui pemerhatian yang dijalankan, peserta kajian GP3 dan GP5 memberi banyak
peluang untuk murid bermain lego. Ini membuktikan bahawa murid lebih mudah memanipulasi
lego supaya menjadi satu permainan yang tidak menjemukan. Dalam soalan yang diajukan
secara mendalam terhadap GP3 mengapa murid asyik bermain lego, beliau menjawab sebab
tiada permainan yang lain. Namun hasil semakan pengkaji di stor mendapati ada peralatan main
disimpan di situ. Justeru itu, pengkaji membuat kesimpulan bahawa bermain dengan lego
memudahkan guru dan dapat mengekalkan tumpuan murid supaya lebih lama. Ini diakui oleh
Mark dan Bergen (2002) iaitu peralatan main sosial seperti blok, lego, bola dan anak patung
lebih digemari dan memudahkan interaksi murid.
Faktor utama yang difikirkan oleh guru ialah keselamatan murid. Pemilihan peralatan
main biasanya tidak terlalu kecil, tidak mengandungi bahan toksid, tidak berbucu tajam dan
sebagainya. Ia juga mudah dimanipulasikan oleh murid sebagai peralatan main yang tidak
membahayakan orang lain atau diri sendiri. Hal ini sangat dititikberatkan oleh GP2, GP3 dan
GP5 di mana mereka memilih aspek keselamatan adalah yang paling utama. Bukti temu bual
seperti berikut:
Yang utama tu..dari segi penggunaan tu mesti sesuai untuk mencapai objektif pelajaran..
yang kedua keselamatanlah
(GP2/SKC17:1546)
Pilih peralatan tu yang penting mesti selamat untuk budak ni main..kemudian sesuai
dengan tahap diorang..yang tahan lama..
(GP3/SKC17:1858)

6
..keselamatan juga penting..macam blok kayu tu patut elakkan.

(GP5/SKC17:983-992)
Keselamatan peralatan main biasanya mengikut tahap keupayaan kategori MP. Dapatan
kajian menunjukkan semua guru yang dikaji sangat peka dalam hal ini. Bagi murid ADHD
misalnya, peralatan main perlu diteliti sebelum bermain kerana murid ini sering
menyalahgunakan penggunaan peralatan main sehingga membahayakan diri sendiri dan orang
lain. GP1 dan GP4 sangat perihatin dalam pemilihan peralatan yang sesuai supaya tidak
membahayakan murid tersebut. Bagi GP3, walaupun kedua-dua murid yang ada adalah kategori
ADHD, beliau tidak mengalami masalah kerana mereka tidak terlalu agresif sehingga sukar
dikawal. Sepanjang pemerhatian yang dijalankan, GP3 tidak berenggang dengan muridnya. Ini
bagi memastikan keselamatan murid semasa bermain terjamin.
Pemilihan peralatan main harus merangsang daya fikir murid MP. Bagi tujuan tersebut
terdapat guru yang membuat sendiri peralatan main yang boleh mencabar pemikiran murid.
Hasil pemerhatian semasa P&P dijalankan, GP2 sentiasa mementingkan peralatan main yang
boleh meningkatkan pemikiran setiap murid MP yang ada. Guru berusaha membuat peralatan
menggunakan sumber bahan terbuang seperti kertas surat khabar bagi membina model
permainan. Terdapat beberapa jenis permainan yang boleh merangsang murid berfikir seperti
kad domino, kad bergambar, kostum pakaian yang digunakan oleh GP2.
Walaupun peralatan main bertujuan untuk merangsang daya fikir dan perkembangan
kognitif murid MP, GP2 berpendapat ia juga sesuai sebagai perantara untuk kemahiran interaksi
sosial murid. Ini kerana murid suka bermain secara main peranan “cikgu cikgu”. Seorang murid
berlakon mengajar rakannya memadan kad gambar yang sama. Secara tidak langsung, berlaku
interaksi seperti bersoal jawab, memberi pujian seperti ”pandai” dan saling bertolak ansur.
Peralatan main seperti ini dikategorikan sebagai alat “self- expressive” oleh Isenberg & Jalongo
(2001) yang menggalakkan pemikiran mencapah. selain daripada peralatan main “self-
expressive”, ada juga peralatan main konsep, motor kasar, manipulatif, binaan dan bahan
semulajadi yang boleh menggalakkan kemahiran interaksi sosial.
Pembentukan sikap positif seperti menjaga kebersihan, keselamatan, kasih sayang, adil,
dan sebagainya sangat penting dipupuk di peringkat awal kanak-kanak. Proses P&P di
prasekolah sangat menekankan hal ini. Oleh yang demikian, pemilihan peralatan main yang
boleh memupuk sikap positif juga penting. Hasil dapatan kajian menunjukkan secara tidak
langsung, semua guru sentiasa mengutamakan peralatan main yang boleh membantu memupuk
sikap positif. Peralatan seperti senapang, pistol, pedang, dan sebagainya tidak digunakan oleh
GP2, GP3 dan GP5. Namun sebaliknya di S4, ada murid yang bermain dengan senapang
mainan. Walaupun, ia dianggap tidak membahayakan kepada murid lain tetapi penggunaan
peralatan main yang membentuk sikap dan pemikiran negatif seperti mengujudkan suasana
perang, membunuh dan sebagainya haruslah dielakkan.
Hasil dapatan kajian melalui pemerhatian, semua peralatan main di dalam kelas
prasekolah adalah mengikut saiz, warna dan tekstur yang sesuai dengan murid MP. Namun
guru-guru menyatakan pandangan ketidaksuaian beberapa peralatan main di padang permainan.
Buaian dan papan gelongsor terlalu tinggi mendedahkan risiko terjatuh dan mengalami

7
kecederaan. Ada peralatan main pula kurang sesuai dari segi saiznya di prasekolah PPKI(MP)
sebaliknya ia sesuai di prasekolah arus perdana.
Dalam kajian ini, GP1 dan GP2 menyatakan pandangan supaya saiz peralatan main perlu
diambil perhatian iaitu supaya bersesuaian dengan murid MP kerana ada yang tidak selamat iaitu
terlalu kecil. Bagi murid golongan ini yang mempunyai perkembangan yang lewat terutama dari
segi intelektual, mereka sukar berfikir tentang sebab dan akibat. Ada peralatan main yang
dimasukkan ke dalam mulut atau ke dalam lubang hidung yang menimbulkan masalah
keselamatan. Dalam hal ini, guru perlu lebih peka dalam pemilihan peralatan main yang
bersesuaian dengan murid mereka seperti yang dinyatakan oleh Ellen et al. (2006). Beliau
menyatakan agar murid diberi peluang mengikut keupayaan kerana kemahiran main yang terhad
disebabkan pelbagai perbezaan tahap perkembangan.
Guru berpendapat keperluan permainan yang interaktif. Bagi menyokong tujuan tersebut,
alat permainan perlu mempunyai pelbagai cara untuk diaplikasi menggunakan semua deria murid
MP. Semua prasekolah yang dikaji mempunyai peralatan main fizikal dan manipulatif. Hanya
S1 mempunyai lima buah komputer dan disediakan dengan layar LCD yang memungkinkan
permainan yang lebih interaktif alat. Perisian yang menarik memerlukan murid memberi respon
secara aktif melalui deria penglihatan dan pendengaran. Ia juga merangsang murid bermain
dengan lebih lama. Banyak peralatan main di prasekolah yang dikaji, tidak mengeluarkan bunyi
atau pergerakan menyebabkan murid bermain dengan peralatan yang sama setiap hari.
Pemilihan peralatan main yang interaktif iaitu menggunakan perisian komputer yang bersesuaian
dengan keupayaan murid terutama bagi murid autism sangat dialukan dalam kajian Beaver, et al.
(2005). Peranan guru dalam hal ini hanya sebagai pembimbing dan memantau serta
mendisiplinkan mereka supaya peralatan main tidak rosak. Rutin dan peraturan yang mudah
serta jelas sangat membantu murid memahami cara penggunaan yang betul.
Hasil dapatan kajian menunjukkan guru sendiri tahu cara menarik minat murid dengan
peralatan main yang ada. Dari aspek pemilihan ini, kesemua guru agak selektif dalam membuat
pemilihan peralatan yang menarik minat murid mereka. Beberapa peralatan yang biasa
digunakan seperti lego untuk mereka bermain dan saling berinteraksi. Ini dibuktikan dalam sesi
temu bual, GP5 menyatakan “Ikut yang budak minat..budak sini minat ikut warna dan untuk
binaanlah..(GP5/SKC17: 971-982). Peralatan yang menarik minat sangat penting kerana
menurut GP2 dan GP5, secara tidak langsung semua murid akan bermain dan masa ini interaksi
berlaku. Mereka akan bertanya cara penggunaan, cara untuk berkongsi peralatan tersebut dan
saling bertolak ansur. Namun keberkesanan dalam menarik minat murid MP bergantung juga
kepada daya kepimpinan guru iaitu dengan mengujudkan sistem komunikasi yang menggalakkan
mereka berinteraksi bersama rakan sebaya. Ini juga bagi mengujudkan mereka yakin diri dan
berdikari (Shahabuddin et al. 2007).
Hasil temu bual dengan GP2, beliau menyatakan walaupun disediakan dua bilik terapi
untuk murid MP tetapi secara spesifiknya beliau memerlukan pengetahuan tentang peralatan
main yang khusus bagi menangani permasalahan murid. Ini diakui oleh semua peserta kajian
yang lain yang mahukan kursus-kursus bagi memahirkan mereka menyusun strategi aktiviti
BMB seperti terapi main bagi membantu mengatasi masalah murid MP. Oleh yang demikian,
peralatan main yang bersifat inklusif diperlukan seperti kelengkapan peralatan terapi yang
dijalankan oleh pihak hospital. Mereka mengharapkan supaya dapat didedahkan cara

8
pembuatan dan fungsi peralatan untuk aktiviti intervensi atau terapi main bagi membantu pulih
murid MP secara berkesan.
2. Penyediaan dan Susun Atur Peralatan Main Bagi Memupuk Kemahiran Interaksi
Sosial Murid MP
Penyediaan dan susun atur peralatan main yang menarik boleh merangsang murid untuk
bermain. Guru perlu kreatif untuk menyusun peralatan main di ruang dan pusat pembelajaran
yang bersesuaian supaya boleh merangsang murid berekplorasi dengan alat. Semua peserta
kajian guru bersetuju supaya peralatan main memudahkan murid mengakses secara kendiri.
Melalui pemerhatian yang dijalankan, kesemua guru yang dikaji memberi kebebasan murid
untuk mengakses peralatan main yang disukai. Salah satu cara untuk menarik perhatian murid
adalah dengan menyusun secara kemas dan pada aras ketinggian murid. Analisis kajian
menunjukkan semua peserta kajian guru merangsang murid mereka untuk bermain dengan
menyediakan peralatan main yang sesuai di hadapan mereka tetapi jika murid tidak berminat,
mereka memberi kelonggaran kepada murid untuk meneroka sendiri persekitaran kelas dan
mengambil peralatan main yang digemari. Proses ini membantu guru mengekalkan minat untuk
bermain dengan sentiasa bertanya soalan supaya murid dapat menjana idea yang lebih kreatif
dari segi penggunaan peralatan tersebut bersama rakan sebaya.
Keadaan ini menunjukkan guru faham keperluan pengajaran yang bersifat timbal balik di
mana proses intersubjektiviti bagi mencapai objektif pembelajaran tidak semestinya terlalu rigid
mengikut apa yang telah dirancang. Modifikasi peralatan main yang dilakukan oleh murid perlu
digalakkan namun dalam masa yang sama, guru perlu menimbang semula supaya sesi P&P yang
berlangsung tidak lari jauh daripada matlamat asal ( Nutbrown 2006). Oleh yang demikian, cara
guru menyusun atur peralatan main juga sangat penting. Susun atur peralatan main sosial
sepatutnya mampu menarik perhatian murid untuk bermain bersama rakan sebaya. Guru boleh
membantu dalam memberi galakan dan memulakan permainan dengan mengenalkan peralatan
main tersebut. Semua peserta kajian guru bersetuju dalam hal ini. Cara yang dilakukan guru
seperti mengubah suai kedudukan susun atur peralatan main sekerap yang mungkin.
Sepanjang pemerhatian yang dilakukan, GP1 sentiasa mengubah suai tempat dan ruang
supaya murid tidak mudah merasa bosan apatah lagi dengan keluasan kelas yang terhad untuk
pergerakan murid. Semua guru bersetuju untuk menyusun atur peralatan main mengikut aras
ketinggian murid. Ini bagi memudahkan murid untuk mencapai peralatan main tersebut dengan
sendiri atau memudahkan mereka memulang semula peralatan main di tempat asal. Aspek ini
dapat membantu guru bagi mengujudkan keadaan kelas yang kondusif dan selamat untuk murid
meneroka dan mengakses kendiri peralatan main yang ada secara mudah capai. Hal ini
ditekankan oleh Kasnani Ab Karim et al. (2006) bagi menimbulkan perasaan ingin tahu untuk
murid menjelajah, meneroka dan mengenali diri mereka sendiri dengan alam persekitaran
mereka.
Semua peserta kajian bersetuju bahawa mereka perlu kerap mengubahsuai kedudukan
dan susun atur kelas serta persekitaran main supaya boleh mengikut perubahan perkembangan
dan kebolehan murid. Justeru itu, peralatan main juga harus disesuaikan juga dengan ruang
pembelajaran dan susun atur persekitaran main yang menggalakkan interaksi sosial murid.
Melalui amalan scaffolding persekitaran, Nutbrown (2006) menyatakan bahawa penyediaan
persekitaran harus boleh meningkatkan daya imaginasi dan cara berfikir murid secara kreatif.
Susun atur kelas haruslah yang boleh membangunkan idea, konsep dan kemahiran selain boleh
9
mengekpresikan ketakutan dan boleh mengurangkan pengalaman yang gelisah. Akhirnya ia
boleh mengujudkan rasa selamat dalam diri murid MP. Hasil dari penerokaan yang selamat dan
ceria dapat menarik minat dan tumpuan murid supaya bermain dengan gembira, seronok dan
berinteraksi sosial dengan rakan sebaya secara lebih positif.
Semua peserta guru mementingkan keselamatan dan kebersihan. Mereka bersetuju jika
peralatan main sentiasa dikawal dan diselenggara dengan baik. Bukti kepentingan peralatan
main yang bersih dan selamat dinyatakan seperti berikut;
Ikut yang budak minat..budak sini minat ikut warna dan untuk binaanlah..keselamatan
juga penting..macam blok kayu tu patut elakkan.
( GP5/ SKC15: 1123)
Peralatan tu ada yang tak sesuai tak sesuai dengan tahap keupayaan budak..sebab
peralatan sama dengan budak prasekolah biasa.. kalau boleh kena beza untuk
keselamatan..contoh macam biji main congkak tu, macam biji smartis.. budak ingat boleh
makan, dia pun makan.
(GP1/SKC15: 1467)
Pilih peralatan tu yang penting mesti selamat untuk budak ni main..kemudian sesuai
dengan tahap diorang..yang tahan lama..warnapun penting jugak yang boleh menarik
perhatian mereka…
(GP3/SKC17: 1009)

Peralatan main perlu bersifat fleksibel dan sesuai memenuhi keperluan murid.
Diantaranya dengan menyediakan peralatan main yang lebih mencabar keupayaan murid
mengikut kategori masalah pembelajarannya. Dapatan kajian selari dengan dapatan kajian
Childress (2011) yang menyatakan kepentingan peralatan dan bahan yang menepati sasaran
penyelesaian bagi memulih kelemahan murid keperluan khas. Semua guru bersetuju jika
peralatan main yang disediakan di prasekolah dapat memenuhi keperluan setiap murid mengikut
kategori masalah pembelajaran merekaa. Contohnya bagi murid autisme yang perlu diberi
peralatan permainan yang interaktif iaitu berbunyi, boleh dilihat dan ada pergerakan. Mereka
memerlukan lebih perhatian semasa main kerana masalah mereka adalah berkenaan interaksi dan
komunikasinya dengan orang lain. Dengan bermain peralatan main yang mudah disesuaikan
mengikut keperluan mereka, sekurang-kurangnya mereka boleh ditingkatkan daya kemahiran
berinteraksi sosial. Hal ini dipersetujui oleh GP2; GP3; dan GP5.
3. Aplikasi Peralatan Main Bagi Memupuk Kemahiran Interaksi Sosial Murid MP
Penggunaan dan aplikasi peralatan main bagi emmupuk kemahiran interaksi sosial yang positif
adalah sangat penting. Guru mesti memahami dan tahu tujuan serta cara penggunaan setiap
peralatan main yang ada. Jika tidak, peralatan main disimpan dalam stor sehingga ia diperlukan
hanya untuk mencapai satu tujuan pembelajaran sahaja. Berikut merupakan hasil dapatan dari
kajian ini mengikut skop yang ditentukan berdasarkan kajian kepustakaan.
Semua peserta kajian guru yang dikaji bersetuju peralatan main perlu difahami oleh
murid dari aspek penggunaannya. Jika tidak, murid mudah merosakkannya dengan mengetuk,
membaling, memukul kawan dan sebagainya. Justeru itu, peranan guru amat penting dalam

10
menunjuk cara penggunaan peralatan main supaya mudah dimainkan oleh murid MP. Hal ini
selaras dengan pernyataan Isenberg & Jalongo (2001) yang guru perlu jadi model dalam
menunjukkan penggunaan peralatan main. Secara tidak langsung murid tahu peraturan mudah di
mana ia merupakan asas kemahiran interaksi sosial yang perlu dikuasai oleh murid. Hal ini
sangat ditekankan oleh GP1 dan GP2.
Di peringkat awal persekolahan, guru banyak memberi pemahaman tatacara penggunaan
peralatan main dan peraturan semasa menggunakannya. Setelah murid biasa menggunakan
peralatan serta peraturannya, guru mempelbagaikan fungsinya supaya boleh mencapai objektif
pembelajaran. kesepaduan beberapa tunjang pembelajaran yang diajar menggunakan peralatan
yang sama tidak menjadi halangan bagi guru. Guru berperanan menerapkan konsep dan
pembelajaran baru tersebut dengan mudah. Melalui pemerhatian pengkaji semasa P&P, semua
guru tiada masalah dalam mengelolakan aktiviti bermain murid. Murid juga tahu menjaga
keselamatan semasa bermain terutama alat yang mudah seperti sebiji bola. Dengan sebiji bola,
guru boleh menggalakkan murid memanipulasi bola tersebut dengan pelbagai cara. Ini
dijelaskan oleh GP1 semasa ditemu bual. Bola boleh dileret, dibaling ke dalam bakul, disepak
dan sebagainya. Dalam permainan ‘Bola beracun’ juga boleh menggunakan bola sebagai alat
edaran sebelum muzik dihentikan. Ini memerlukan latihan bekerjasama dan saling menunggu
giliran yang merupakan salah satu aspek yang ditekankan dalam kemahiran interaksi sosial
murid.
Menggunakan satu peralatan main kemudian dimanipulasikan dengan pelbagai tujuan
merangsang perkembangan yang menyeluruh seperti perkembangan fizikal, sosial, emosi, dan
bahasa adalah sangat digalakkan. Namun ada peserta kajian yang dikaji hanya fokus kepada
satu-satu perkembangan sahaja dan tidak memaknakannya bagi tujuan perkembangan yang lain.
Justeru itu, sangat penting supaya guru dapat didedahkan dengan pelbagai kemahiran
memanipulasikan peralatan melalui kursus atau bengkel yang dianjurkan. Hal ini terjadi kerana
guru sendiri hanya menerima sahaja peralatan main yang dibekalkan tanpa tahu fungsi peralatan
tersebut secara mendalam (Sharifah Nor Puteh et al. 2009). Guru didapati kurang kreatif dalam
penggunaan peralatan main yang dibekalkan dan akhirnya hanya diletakkan di stor simpanan
sahaja.
Hasil dapatan kajian menunjukkan semua peserta kajian guru memberi masa yang cukup
untuk murid meneroka dan memilih peralatan main yang disukai. Hasil pemerhatian
menunjukkan kebanyakan masa murid bermain dengan peralatan yang dipilih sendiri. Guru
mengawasi dan memantau dari segi keselamatan murid bermain dengan peralatan tersebut.
Peranan guru bermain bersama-sama secara santai dan menggalakkanmurid berinteraksi sosial
dengan baik melalui perbualan, soal jawab, teguran dan kata-kata semangat. Waktu bermain
bebas seperti ini biasanya sebelum kelas bermula, masa transisi di antara slot P&P dan selepas
waktu P&P. Semasa P&P, GP2 biasanya mencadangkan peralatan main yang perlu diambil oleh
murid untuk mereka bermain. Contohnya guru berkata, “ok.. kita baca bukulah ye..Amad, ambik
buku yang Amad suka”. Amad bergerak ke rak buku dan memilih buku cerita yang disukai.
Buku tersebut diberikan kepada guru. Semua murid duduk dalam bulatan dan guru mula
bercerita dengan menggunakan buku tersebut. Guru kemudian bertanya kepada murid, siapakah
yang boleh menjadi guru untuk bercerita kepada muridnya. Dalam aktiviti ini, guru membuat
tunjuk cara dahulu dan kemudian menggalakkan murid bermain peranan sebagai guru dan murid
yang sedang membacakan buku cerita.

11
Berdasarkan langkah P&P tersebut di atas, guru lebih fleksibel dan tidak menekan murid
mengikut aktiviti yang telah dirancang. Guru memberi masa murid untuk memilih peralatan
main iaitu bahan buku untuk aktiviti main peranan. Konsep ini jelas menunjukkan guru lebih
bertoleransi dan mengamalkan scaffolding seperti saranan Vygotsky (1978) dan Shahabuddin et
al. (2007). Sepanjang pemerhatian yang dilakukan, masa bagi penggunaan peralatan main yang
dipilih oleh murid adalah lebih fleksibel. Murid diberi waktu yang cukup untuk bermain. Hal ini
berlaku kadang kala disebabkan tumpuan bermain murid yang singkat dan mereka biasanya
memilih alat yang lain pula. Hasil daripada pemerhatian, guru kurang mementingkan keperluan
mencapai satu objektif semasa murid bermain dengan satu peralatan main.
Hasil dari pemerhatian juga mendapati guru menyoal dan berbual dengan murid
mengikut kesesuaian keadaan semasa murid. Perbualan guru berkisar tentang kehidupan harian
murid dan agak kurang memotivasikan murid supaya memanipulasi peralatan main bagi
mencapai objektif pembelajaran secara rentas kurikulum. Bagi mengubah keadaan ini, kajian
Becker et al.(2009) mencadangkan supaya cara guru memberi maklum balas motivasi semasa
kanak-kanak bermain perlu diubah. Dengan peralatan main pelbagai fungsi perkembangan, guru
boleh memikirkan semula tumpuan terhadap penilaian dan penaksiran perkembangan murid yang
berbeza.
Kepentingan peraturan yang jelas adalah sangat penting dalam proses P&P supaya
objektif pembelajaran interaksi sosial murid MP dapat dicapai dengan masa yang sesuai. Hasil
kajian mendapati guru mengalami kesukaran membimbing murid MP tentang peraturan dan
penggunaan peralatan bermain secara efektif. Murid mudah berubah tingkah laku dan tumpuan
bermain juga sangat singkat. Ini diakui oleh semua guru terutama di awal persekolahan. Justeru
itu, guru membuat penyesuaian masa P&P di awal tahun supaya peraturan penggunaan peralatan
harus dikuasai dahulu oleh murid. Tujuan ini adalah sebagai rutin pembelajaran dan secara tidak
langsung murid boleh mengikut peraturandan bermain bersama dengan rakan sebaya secara aktif
dan positif.
Kesimpulan
Keseluruhan dapatan kajian menunjukkan semua peserta guru bersetuju aktiviti bermain secara
bebas di awal persekolahan adalah penting dalam memupuk kemahiran interaksi sosial murid
MP yang positif. Penyesuaian rutin yang dijalankan oleh guru semasa murid bermain dapat
menggalakkan perkembangan interkasi sosial murid MP seperti boleh memulakan permainan
dengan cara yang baik, berkongsi peralatan main, mengemas dan memulangkan peralatan main
di tempat asal, menunggu giliran dan saling bekerjasama bersama rakan sebaya. Oleh yang
demikian, kemahiran dalam pemilihan dan penyediaan serta bimbingan terhadap murid tentang
aplikasi peralatan main adalah sangat penting dikuasai oleh guru. Kesemua guru yang dikaji
mengharapkan adanya kursus atau bengkel yang khusus terutama dalam pengelolaan aktiviti
main yang lebih interaktif alat bagi memupuk kemahiran interaksi sosial murid yang positif.
Rujukan
Beaver, M., Booty, M., Brewster, J., Neaum, S., Sheppard, H. & Tallack, J. (2005). Children’s
Care, Learning and Development. United Kingdom: Nelson Thornes Ltd.

12
Becker, T., Sturm, J. & Eggen, B. (2009). Designing Playful Interactions for Social Interaction
and Physical Play. Personel and Ubiquitous Computing.

Childress, D.C. (2011). Play Behaviors of Parents and Their Young Children with Disabilities.
Topics in Early Childhood Special Education. Austin: Aug 2011. Vol 31(2): pg 112.

Hamm, E.M., Mistrett, S.G. & Ruffino, A.G. (2006). Paly Outcomes and Satisfaction with Toys
and Technology of Young Children with Special Needs. Journal of Special Education
Technology. Vol.21(1): 29-35.

Isenberg, J.P. & Jalongo, M.R. (2001). Creative Expression and Play in Early Childhood. New
Jersey: Merill Prentice Hall

Mark, B & Bergen, D. (2002). Play and Social Interaction of Children with Disabilities at
Learning/Activity Centers in An Inclusive Preschool. Journal of Research in early
Childhood Education. 17 (1): 26-37

Nutbrown, C. (2006). Key Concepts in Early Childhood Education & Care. London: SAGE
Publications.

Shahabuddin Hashim, Rohizani Yaakub & Mohd Zohir Ahmad. 2007. Pedagogi Strategi dan
Teknik Mengajar dengan Berkesan. Kuala lumpur: PTS Profesional Publishing Sdn.Bhd.

Sharifah Nor Puteh, Manisah Mohd Ali, Norshidah Mohd Salleh & Aliza Alias. 2009.
Penggunaan dan Pengurusan Bahan Pengajaran dan Pembelajaran dalam Kurikulum
Permainan Pendidikan Awal Kanak-kanak. Laporan Projek Penyelidikan Geran
Penyelidikan Fundamental IPTA (FRGS). Universiti Kebangsaan Malaysia.

Touminen, W. 2005. Play’s the Thing. The Exceptional Parent. Boston: Oct 2005. Vol.35(10):
77.

13

You might also like