You are on page 1of 7

TANJUNG MALIM, 18 April (Bernama) -- Mulai 1 Mei, semua stesen penyiaran televisyen di negara ini yang mendapat

hak penyiaran kandungan sukan bercirikan kepentingan negara perlu berkongsi kandungan tersebut dengan semua
stesen televisyen bebas ke udara yang tidak memperolehi hak penyiaran.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata langkah itu bagi membolehkan
semua kandungan sukan yang digemari oleh rakyat Malaysia disiarkan secara meluas oleh stesen-stesen televisyen di
negara ini tanpa dimonopoli oleh stesen tertentu sahaja.

"Sukan kenegaraan di mana daya tarikannya itu menyeluruh seperti sukan Olimpik, badminton, bola sepak...kita tidak
benarkan monopoli oleh satu stesen melainkan semua stesen boleh berkongsi dan boleh disiarkan menerusi saluran
masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan 'RTM Mobile' sempena sambutan ulang tahun ke-66


Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini Rabu.

Rais berkata sekiranya acara sukan tersebut tidak disiarkan oleh stesen televisyen bebas ke udara, kandungan tersebut
seterusnya akan dikongsi oleh stesen televisyen berbayar.

-- BERNAMA
Semua Stesen Televisyen Kongsi Kandungan Acara Sukan Mulai 1 Mei - Rais

Khamis, 19 April 2012 09:02

Acara sukan utama di semua TV


Khamis, 19 April 2012 08:56
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my
TANJUNG MALIM 18 April - Berita baik untuk rakyat Malaysia.
Mulai 1 Mei ini, semua rancangan sukan termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak lagi dimonopoli oleh
televisyen tertentu tetapi boleh disaksikan di stesen-stesen televisyen lain di negara ini.

Pada masa sama, lebih 32 juta pemilik telefon pintar mudah alih berteknologi 2G atau 3G di negara ini kini
boleh mengikuti siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara langsung melalui peranti masing-masing
menerusi pelancaran RTM Mobile.

RTM Mobile merupakan aplikasi streaming secara langsung di telefon pintar mudah alih yang membolehkan
pengguna menonton siaran televisyen dan mendengar radio RTM dengan melayari laman
web www.rtm.gov.my.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim mengumumkan kedua-dua
perkara tersebut semasa melancarkan RTM Mobile Sempena Ulang Tahun RTM Ke-66 di Universiti
Pendidikan Sultan Idris di sini hari ini.
 

Sumber Rujukan : http://www.utusan.com.my

RTM Mobile Dilancar Sempena Ulang Tahun RTM Ke-66


Khamis, 19 April 2012 09:01

TANJUNG MALIM, 18 April (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang menjangkau usia 66
tahun hari ini bergerak selangkah lagi dengan pelancaran aplikasi 'streaming' secara langsung di telefon
pintar mudah alih yang dikenali sebagai 'RTM Mobile'.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata RTM Mobile
menyediakan perkhidmatan khas yang membolehkan pengguna telefon pintar mudah alih menonton
televisyen dan mendengar radio kendalian RTM di mana sahaja mereka berada.

"Ia mewujudkan satu sistem siaran 'Internet Protocol Television (IPTV) melalui telefon bimbit dan setiap
yang memiliki telefon bimbit 2G atau 3G boleh mendapat siaran TV1, TV2 dan TVi. Ini menjadi salah satu
perkhidmatan untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan RTM Mobile sempena ulang
tahun RTM ke-66 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini Rabu.

Beliau berkata pemilik telefon pintar boleh mengakses empat saluran televisyen dan sembilan saluran radio
kendalian RTM melalui RTM Mobile di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja bagi memenuhi trend
semasa penonton serta pendengar setianya.

Empat saluran televisyen yang dilayari menerusi aplikasi RTM Mobile adalah TV1, TV2, TVi dan Muzik
Aktif manakala saluran radio pula adalah Klasik Nasional FM, Ai FM, Minnal FM, Traxx FM, Asyik FM,
Voice of Malaysia, KL FM, Muzik FM dan Nasional FM, katanya.

Siaran televisyen dan radio berkenaan boleh diakses secara terus di www.rtm.gov.my.

Sementara itu Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail berkata pelancaran RTM Mobile itu
mengukuhkan jenama RTM di medan digital dan sejajar perubahan zaman.

"RTM Mobile memberi kepelbagaian medium kepada orang ramai dan mampu meningkat jumlah penonton
dan pendengar," katanya.

Pada majlis itu Rais menerima sijil 5S - Sisih (Seiri), Sapu (Seiso), Susun (Seiton), Seragam (Seiketsu) dan
Sentiasa Amal (Shitsuke) - daripada Perbadanan Produktiviti Malaysia.

-- BERNAMA
 

Tiada lagi monopoli acara sukan di televisyen

         

TANJUNG MALIM: Mulai 1 Mei depan, semua stesen televisyen di negara ini yang mendapat
hak penyiaran kandungan sukan bercirikan kepentingan negara perlu berkongsi kandungan itu
dengan semua stesen televisyen bebas ke udara yang tidak memperoleh hak penyiaran.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, langkah
itu bagi membolehkan semua kandungan sukan digemari rakyat Malaysia disiarkan secara
meluas oleh stesen televisyen di negara ini tanpa dimonopoli stesen tertentu saja.

“Sukan kenegaraan ada daya tarikan menyeluruh seperti sukan Olimpik, badminton, bola sepak,
kami tidak benarkan monopoli satu stesen melainkan semua stesen boleh berkongsi dan boleh
disiarkan menerusi saluran masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan ‘RTM Mobile’ sempena sambutan ulang tahun ke-
66 Radio dan Televisyen Malaysia (RTM) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini,
semalam.

Rais berkata, sekiranya acara sukan itu tidak disiarkan oleh stesen televisyen bebas ke udara,
kandungan itu seterusnya akan dikongsi stesen televisyen berbayar.

Katanya, langkah itu dilaksanakan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang
bertujuan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menonton dan mengikuti acara sukan
popular dan membabitkan pasukan negara.

Beliau berkata, stesen televisyen boleh memilih dan menyiarkan acara sukan yang ingin
disiarkannya daripada stesen televisyen yang mendapat hak penyiaran sukan itu.

Menurutnya, antara acara yang disenaraikan Sukan Olimpik musim panas, Sukan Komanwel,
Sukan Asia, Sukan Sea, Sukan Malaysia, Piala Thomas dan Uber, All England, BWF Super
Series, AFC Asian Cup, Asean Football Federation Cup, Fifa World Cup (separuh akhir dan
akhir) dan English Premier League (perlawanan akhir). - Bernama

Fragmen: Adakah kita memerlukan stesen TV lagi?


Oleh Zainuri Misfar
zainuri@bharian.com.my
2010/03/31
TUJUH stesen TV berbayar? Pastinya ramai rakyat Malaysia tidak tahu kita boleh mempunyai
tujuh stesen TV berbayar seperti Astro, jumlah yang lebih banyak daripada stesen TV percuma
dengan enam saluran sahaja iaitu TV1, TV2, TV3, TV9, 8TV dan ntv7. 

Menjelang tahun 2012, apabila RTM memasuki era penyiaran digital, dilaporkan sekurang-
kurangnya 19 lagi saluran baru diwujudkan. Ini bermakna, kalau Astro sendiri sekarang sudah
menyediakan kira-kira 150 saluran, bayangkan berapa banyak saluran lagi yang boleh kita dapat
sekiranya semua tujuh stesen TV berbayar itu beroperasi.

Memang kalau boleh kita mengalu-alukan satu atau dua stesen berbayar. Sekurang-kurangnya
sebagai pengguna, kita ada pilihan untuk melanggan stesen TV yang bersesuaian dengan
kemampuan untuk melanggan, selain kualiti program yang ditawarkan.

Namun, apakah kita memerlukan sehingga tujuh stesen TV berbayar? 


Sejarah menunjukkan industri TV bukanlah mudah untuk dibangunkan. Malahan daripada
sejarah juga pernah membuktikan betapa ada stesen TV percuma yang terumbang-ambing
sehingga operasinya hampir ditutup sebelum diambil alih oleh pengurusan lain bagi meneruskan
survivalnya. 

Dalam sudut perniagaan, memang sesiapa pun berhak untuk menubuhkan stesen TV baru di
negara ini. Tapi fakta sejarah industri penyiaran membuktikan mewujudkan sebuah stesen TV
boleh dilakukan, tetapi untuk bertahan lama secara konsisten adalah memeritkan. Banyak faktor
perlu dilihat. 

Kita tentunya belum lupa bahawa sebelum ini ada beberapa stesen TV yang operasinya hampir
ditutup atau hidup segan mati tak mahu’ kerana dibebani dengan kos dan pengurusan sehingga
menanggung hutang yang agak besar jumlahnya. 
Dan jangan lupa kita pernah ada stesen TV berbayar dikenali sebagai MiTV yang dilancarkan
pada September 2005. Stesen ini mula beroperasi pada tahun 2005. Bagi mendapatkan
perkhidmatan TV ini, pelanggan dikehendaki memasang satu antena UHF televisyen standard
sebagai ganti cakera satelit untuk menerima siaran. 
Bagaimanapun, pada Oktober 2006, MiTV yang dimiliki oleh Kumpulan Berjaya terpaksa
distruktur semula dengan semua aktiviti langganan dan pemasarannya digantung. Buat masa ini
MiTV juga dikenali sebagai pengendali operator telefon bergerak yang dikenali sebagai U
Mobile. 

Satu lagi saluran TV berbayar yang pernah wujud ialah Fine TV yang dilancarkan pada
Disember 2005. Menerusi Fine TV, pelanggan boleh memilih dan membeli program yang
hendak ditonton saja. Fine TV dikendalikan oleh Network Guidance Sdn Bhd, salah satu anak
syarikat Eurofine Sdn Bhd. 

Selain MiTV dan Fine TV, malahan sebelum kemunculan Astro lagi, kita sudah saluran TV
berbayar dikenali sebagai Mega TV, iaitu siaran kabel TV secara analog. Mega TV adalah
saluran TV berbayar pertama di Malaysia yang mana perkhidmatannya dimulakan pada tahun
1995. 

Beroperasi di bawah TV3, Mega TV ketika itu menawarkan enam saluran iaitu CNN, Discovery
Channel, ESPN, HBO, Cartoon Network dan AXN. Namun, disebabkan masalah prasarana,
selain persaingan sengit daripada stesen TV percuma, ditambah pula dengan kemunculan Astro
menyebabkan operasi Mega TV terpaksa ditamatkan menjelang tahun 2000. 

Penduduk Malaysia bukanlah besar sangat. Lebih separuh daripada rakyat negara ini adalah
daripada golongan kelas pertengahan. Pastinya mereka tidak ada keperluan yang sangat penting
atau belum bersedia untuk melanggan lebih daripada satu atau dua stesen TV berbayar. 

Oleh itu, walaupun kerajaan sudah memberikan lesen kepada tujuh stesen TV berbayar, tetapi
belum ada yang berani memulakan operasinya. 

Tujuh stesen TV berebut 26 juta penduduk Malaysia sebagai penonton! Ini tidak termasuk
dengan stesen TV sedia ada. 

Kita kurang memerlukan banyak stesen TV tetapi apa yang diinginkan oleh penonton ialah
pengisian kandungannya. Penonton negara ini masih agak konservatif kerana pegangan yang
masih kuat terhadap nilai budaya Timur dan pegangan agama yang utuh. 

Oleh itu, bukan sembarangan kandungan atau program boleh disiarkan menerusi stesen TV, baik
secara percuma atau berbayar. 

Lazimnya program yang berbentuk sensasi disukai boleh ‘melariskan’ sesebuah stesen TV. Ini
dilihat penting dari aspek persaingan dan pasaran untuk mendapatkan iklan. Begitupun, nilai
sensasi dalam sesebuah program TV selalunya mudah tergelincir daripada norma-norma budaya
dan nilai kehidupan masyarakat kita. Dalam erti kata lain, stesen TV percuma atau berbayar tidak
bebas secara mutlak dalam menentukan kandungan program masing-masing. 
Selain soal pengisian kandungan, faktor lain yang perlu difikirkan oleh pembekalan program.
Bayangkan kalau semua tujuh stesen TV berbayar ini beroperasi. Dari mana mereka hendak
mendapatkan bekalan kandungan, terutama bagi program tempatan secara berterusan untuk
tempoh enam hingga 12 bulan bagi tempoh 24 jam sehari. 

Pastinya kerajaan tidak akan membenarkan semua stesen TV itu hanya menyiarkan program
yang diimport saja. Atau, adakah penonton yang melanggan hanya disediakan dengan program
ulangan saja. Ketika ini pun, penonton atau pelanggan Astro sudah asyik merungut tidak berpuas
hati kerana stesen TV itu kerap sangat membuat ulang siar sesuatu program. 

Oleh itu, memang ada kewajarannya Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk
Seri Dr Rais Yatim dalam kenyataannya kepada media di Cyberjaya pada Isnin lalu, bahawa
pemberian lesen kepada tujuh stesen TV berbayar akan dikaji semula dan jika didapati mereka
tidak berkemampuan, ia akan ditarik balik. 

Dr Rais juga enggan menyebut nama syarikat yang tidak aktif beroperasi kerana itu akan
memberi gambaran negatif sedangkan mereka belum lagi memulakan operasi. 

"Untuk berlaku adil kepada orang ramai pula, mereka ini perlu menunjukkan prestasi kerana jika
tidak, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia) akan masuk campur dan menarik
balik (lesen). Tak ada faedahnya jika diberi lesen, penerima tidak mampu menggunakannya,"
katanya. - zainuri@bharian.com.my

Mengenai Kami
Mula diwujudkan pada tahun 2008 dengan nama RTM World yang diilhamkan oleh mantan
Menteri Penerangan YB Tan Sri Zainuddin Maidin. Pelaksanaan bermula pada bulan Mac tahun
yang sama, kemudian nama ditukar kepada RTM Online pada Ogos 2008.
Bersandarkan kepada salah satu piagam pelanggan RTM iaitu menyalurkan maklumat yang
cepat, tepat, padat dan muktahir, RTM Online memikul tanggungjawab bersama menggalas 
peranan tersebut melalui kaedah media baharu  dengan menyebarkan maklumat muktahir
menerusi laman sesawang RTM di www.rtm.gov.my . Laman ini  menawarkan pelbagai 
rancangan menarik untuk  santapan para penonton, antaranya  terdapat  empat  saluran TV secara
live streaming seperti  TV 1 , TV2, TVi dan Muzik Aktif. Manakala terdapat sembilan  saluran
radio live streaming disediakan seperti radio  Nasionalfm, KLfm , Muzikfm , Klasiknasional ,
Aifm , Minnalfm , Traxxfm , Asyikfm dan Suara Malaysia (VOM ). Saluran TV Muzik Aktif
dan dua saluran radio iaitu Muzikfm dan Suara Malaysia, hanya dapat ditonton dan didengar
secara eksklusif di `web streaming’. Selain Laman korporat yang menjadi pintu masuk ke laman
yang tersebut, RTM Online turut membangunkan laman Khas seperti Laman Orkestra RTM 50
Tahun, Laman Khas Perlantikan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Laman khas
5S.
Sepanjang  tahun 2011, RTM Online telah menyediakan 216 rancangan dalam bentuk Video On
Demand ( VOD ) daripada siaran TV1 dan TV2. Peningkatan sebanyak 136 rancangan
berbanding tahun sebelumnya  menunjukkan terdapat permintaan yang tinggi para penonton
terhadap rancangan siaran RTM itu sendiri. Peningkatan tersebut turut disumbangkan hasil
daripada penyiaran promo rancangan TV dan Radio sebanyak 402 dalam pelbagai bentuk seperti
banner, video dan rerayap  (crawler) di laman web RTM itu sendiri.
Sebagai langkah mendekati masyarakat dengan lebih dekat mulai bulan November 2011,
Seksyen RTM Online maju setapak lagi dengan memperkenalkan RTM Mobile. Ia membolehkan
masyarakat menonton dan mendengar siaran RTM melalui mobile gajet dan telefon pintar walau
dimana jua mereka berada.
Siaran melalui mobil gajet ini merupakan yang pertama dilakukan oleh sebuah stesyen ‘Free to
Air’ di Negara ini. Siaran mobile boleh di layari melalui www.rtm.gov.my.
MAJLIS PELANCARAN RTM MOBILE SEMPENA ULANG TAHUN RTM KE-66 DI
UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS, TANJONG MALIM, PERAK PADA
18/04/2012

You might also like