You are on page 1of 24

BAB 10 SOSIOLINGUISTIK

Setelah selesai membaca bab ini, anda akan dapat:


1. Menerangkan konsep-konsep penting sosiolinguistik;
2. Menjelaskan bahasa dan status sosioekonomi individu; dan
3. Menentukan persekitaran sosial dan perkembangan bahasa.

RINGKASAN BAB Bab 1 : Pengenalan

Bab 2: Morfologi
Pengenalan Bab 3: Fonetik
10.1 Konsep-konsep penting
10.2 Skop kajian sosiolinguistik Bab 4: Sintaksis
10.3 Bahasa dan status
sosioekonomi individu Bab 5: Semantik
10.4 Persekitaran sosial dan
perkembangan bahasa Bab 6: Variasi Bahasa
Rumusan
Bab 7: Pragmatik
Latihan
Bab 8: Psikolinguistik
Rujukan
Bab 9: Otak Manusia dan Bahasa

Bab 10: Sosiolonguistik


PENGENALAN

ng sosiolinguistik melihat cara ahli masyarakat menggunakan bahasanya dalam masyarakat, sama ada daripada segi daerah

Sosiolinguistik merupakan salah satu bidang dalam ilmu bahasa. Satu bidang lain yang
berkait rapat dengannya ialah sosiologi bahasa. Perbezaan sosiolinguistik dengan sosiologi
bahasa ialah bidang sosiolinguistik memfokuskan kesan masyarakat kepada sesuatu bahasa,
manakala bidang sosiologi bahasa memfokuskan kesan bahasa kepada masyarakat.

Sosiolinguistik berasal daripada dua patah perkataan, iaitu sosiologi dan linguistik. Sosiologi
meliputi hal-hal yang berkaitan dengan ilmu tentang segala jenis hal masyarakat dengan
menyerap ilmu-ilmu sosial yang lain. Linguistik bermaksud ilmu pengetahuan yang mengkaji
soal bahasa yang merangkumi semua segi komunikasi manusia, iaitu daripada pemerian
bunyi-bunyi bahasa kepada analisis seluruh kerencaman pemikiran manusia yang dinyatakan
dalam bentuk pertuturan dan tulisan.

Bidang sosiolinguistik sangat luas dan banyak perkara yang diperkatakan dalamnya. Janet
Holmes dalam buku An Introduction to Sociolinguistics (1996) memperkatakan tentang
bidang linguistik yang meliputi perkara seperti pemilihan bahasa dalam komuniti
multibahasa, pengekalan dan pemindahan bahasa, kelainan bahasa dan negar multibahasa,
bahasa kebangsaan dan perancangan bahasa, dialek daerah dan dialek sosial, dan gaya
bahasa.

2
10.1 KONSEP-KONSEP PENTING

10.1.1 SOSIOLINGUISTIK

Sosiolinguistik merupakan satu kajian tentang kesan seluruh aspek kehidupan manusia
termasuk nilai-nilai budaya, pencapaian dan konteks sesuatu bahasa itu digunakan. Ia
merupakan cara sesuatu bahasa itu berbeza antara kumpulan mengikut variasi sosial seperti
etnik, agama, status, jantina, dan taraf pendidikan, serta cara ia boleh digunakan bagi
meletakkan individu tersebut dalam sesuatu kategori seperti taraf sosial ataupun taraf
sosioekonomi. Sosiolinguistik juga mengkaji penggunaan bahasa yang berbeza daripada satu
tempat dengan tempat lain yang disebut dialek dan perbezaan bahasa antara kelas sosial.

10.1.2 SOSIOLOGI BAHASA

Sosiologi bahasa pula mengkaji tingkah laku manusia berkaitan dengan organisasi sosial dan
perlakuan bahasa. Fishman (1991)menyebut sosiologi bahasa mengkaji interaksi antara dua
aspek tingkah laku manusia, iaitu penggunaan bahasa dan organisasi sosial tentang tingkah
laku. Beliau mengatakan bahasa terbahagi kepada dua, iaitu sosiologi bahasa deskriptif dan
sosiologi bahasa dinamik. Sosiologi bahasa deskriptif berusaha untuk menjawab persoalan
seperti siapa penutur atau penulis, apa bahasanya atau ragamnya, siapa pendengar atau
sasarannya, bila dan untuk apa. Sosiologi bahasa dinamik pula cuba menjawab persoalan
apakah yang menyebabkan perubahan pada kadar yang berlainan dalam organisasi sosial
tentang penggunaan bahasa dan tingkah laku terhadap bahasa.
10.2 SKOP KAJIAN SOSIOLINGUISTIK

SOSIOLINGUISTIK

Definisi dan konsep:


Dialek:
Sosiolinguistik
Sosiobahasa Sosiolek
Idiolek
Kontinum dialek

Komuniti Bahasa
Laras Bahasa

Laras Iklan, Laras Sukan,


Laras Sains, Laras Matematik,
Bahasa Baku
Laras Ugama, Laras Ekonomi,
Laras Undang-undang.

Bahasa Kebangsaan

Bahasa Rasmi

Kepelbagaian Bahasa: Kesantunan Berbahasa:

Pijin Aspek kesantunan


Kreol Kata nama panggilan
Slanga Gelaran & panggilan hormat
Jargon Bahasa istana
Koine Bahasa basahan
Bahasa arkaik

4
10.3 BAHASA DAN STATUS SOSIOEKONOMI INDIVIDU

Dalam bidang bahasa dan status sosioekonomi individu, akan dibincang tajuk-tajuk kecil
tentang komuniti bahasa, bahasa baku, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan kepelbagaian
bahasa.

10.3.1 KOMUNITI BAHASA

Istilah komuniti bahasa mempunyai pelbagai tahap penekanan seperti perkongsian keahlian
komuniti dan perkongsian komunikasi linguistik. Namun demikian, istilah yang paling tepat
untuk komuniti bahasa sukar untuk ditetapkan. Ada yang berpendapat komunikasi bahasa
mestilah terdiri daripada mereka yang benar-benar berada dalam sesuatu komuniti, iaitu
sekumpulan masyarakat yang tinggal dalam lokasi yang sama seperti bandar, kawasan
perumahan atau kejiranan yang sama. Pendapat yang lain pula ada mengatakan bahawa
kesemua manusia mempunyai pekerjaan, jantina, kepercayaan dan agama, kelas sosial,
semangat kekitaan atau sebagainya.

Komuniti bahasa merupakan satu konsep dalam sosiolinguistik yang menerangkan sedikit
sebanyak tentang perbezaan kumpulan manusia yang menggunakan bahasa dalam satu entiti
dan saling berkongsi penerimaan bahasa itu dalam kalangan mereka. Komuniti bahasa boleh
terdiri daripada mereka yang mempunyai profesion yang sama dengan menggunakan jargon
yang sama, atau sekumpulan pelajar di institusi pengajian tinggi yang menggunakan bahasa
khusus, malah mungkin juga merupakan kalangan keluarga dan kawan-kawan. Mereka yang
menjadi ahli dalam sesuatu komuniti bahasa akan membina dan mengembangkan bahasa
slanga atau jargon khusus untuk perhubungan antara mereka, di samping bertujuan untuk
memperlihatkan keistimewaan kumpulan mereka.

Komuniti bahasa merujuk kepada manusia yang tinggal di sesebuah daerah, masyarakat di
sesuatu tempat atau negara, orang ramai umumnya atau sekumpulan individu. Sesuatu
komuniti bahasa mempunyai ciri-ciri tertentu yang dinamik dan dikongsi bersama.
Antara ciri tersebut adalah seperti yang berikut:

1. Berubah-ubah
Komuniti pada umumnya berubah dari semasa ke semasa yang disebabkan oleh pelbagai
faktor. Hal ini memberikan kesan kepada bahasa yang digunakan oleh komuniti tersebut.

2. Kelas dan status


Komuniti mempunyai sistem kelas atau status. Contohnya, Kelas komuniti di India terdiri
daripada kasta. Dalam setiap kasta, terdapat bentuk bahasa tertentu. Kelas yaang tidak tegar
biasanya berbeza dari sudut kumpulan status. Kumpulan ini mempunyai perbezaan bahasa
dan kod bahasa yang tinggi. Perbezaan bahasa tersebut turut meluas ke bidang-bidang yang
lain.

3. Pertentangan kelas
Di banyak tempat di dunia terdapat pertentangan kelas yang disebabkan oleh perbezaan kelas
yang berasaskan etnik, agama dan bahasa yang berlainan. Di Kanada misalnya, terdapat
pertentangan kelas antara penutur bahasa Perancis dan bahasa Inggeris.

4. Dialek sosial
Dalam komuniti yang ada kelas tinggi dan rendah, terdapat perbezaan bahasa seperti yang
dugunakan oleh golongan atasan, golongan kelas menengah dan golongan bawahan.
Perbezaan dialek berlaku pada sebutan, kosa kata, struktur ayat dan lain-lain.

5. Evolusi sosial
Setiap komuniti akan berubah. Hal ini disebabkan pertambahan jumlah anggotanya,
perbaikan pendidikan dan peningkatan ekonomi. Perubahan komuniti menyebabkan
perubahan pada bahasa dan dialek.

6
6. Ketidaksamaan komuniti
Dalam pelbagai komuniti di dunia wujud stratifikasi sosial, dari segi martabat, kuasa,
kekayaan dan hak. Kelompok manusia dipertingkatkan mengikut dimensi dalam pendidikan,
pendapatan, atau pekerjaan.

7. Interaksi komuniti
Dalam komuniti yang kecil, terdapat hubungan dan interaksi berdepan atau bersemuka.
Dalam hubungan seperti ini terdapat komponen tertentu termasuklah peserta, suasana, fungsi
interaksi, tajuk, mesej dan saluran. Bahasa yang digunakan bergantung pada komponen-
komponen tersebut.

8. Mobiliti sosial
Komuniti manusia adalah dinamik dan berubah secara terus-menerus. Sebagai contoh, pada
zaman prakolonial, komuniti Melayu terbahagi kepada dua kelas sahaja, iaitu golongan yang
memerintah dan golongan yang diperintah. Bahasa golongan bangsawan/pemerintah berbeza
dengan golongan yang diperintah.

10.3.2 BAHASA BAKU

Bahasa baku disebut sebagai bahasa standard atau bahasa piawai. Bahasa ini berasal daripada
dialek yang telah distandardkan. Bahasa baku juga merupakan satu daripada kepelbagaian
bahasa yang telah diberikan status undang-undang, sama ada secara rasmi atau separuh rasmi.
Bahasa ini merupakan bentuk bahasa yang digunakan di sekolah-sekolah dan media massa.
Pengguna bahasa bagi sesebuah negara dijadikan asas berbanding dengan dialek lain yang
digunakan.

Antara ciri yang menentukan sesuatu bahasa itu sebagai bahasa baku adalah seperti yang
berikut:

1. Mempunyai sistem perkamusan yang mengandungi perbendaharaan kata dan ejaan


yang standard.
2. Mempunyai tatabahasa yang menentukan bentuk, peraturan, dan struktur bahasa.
3. Mempunyai sistem sebutan standard yang dapat dijadikan panduan oleh pengguna
bahasa sebagai sebutan yang betul.
4. Terdapat institusi yang memperkenalkan penggunaan bahasa itu dan diberikan autoriti
untuk menguatkuasakan penggunaannya seperti dalam bidang pendidikan dan pusat
pengajian.
5. Bahasa itu digunakan secara meluas oleh masyarakat di tempat awam seperti di
mahkamah, pentadbiran dan pemerintahan.
6. Sistem bahasa, pengejaan, tatabahasa dan sebutan bahasa standard itu diajarkan di
sekolah-sekolah.

Pada peringkat awal, bahasa Melayu baku telah memberikan penekanan dalam aspek sebutan.
Pada tahun 1963, Dr. Teuku Iskandar mula menyusun Kamus Dewan. Penyemakan dan
pengemaskinian Kamus Dewan dilakukan pada tahun 1984, 1989 dan 1994. Istilah
merupakan realisasi konsep berkaitan ilmu. DBP pula telah menerbitkan sebuah kamus istilah
yang meliputi pelbagai bidang ilmu. DBP menerbitkan buku Tatabahasa Dewan sebagai
panduan tatabahasa yang baku. Sebutan yang baku hendaklah mengikut prinsip fonemik.

Perkamusan

Kamus ialah buku yang mendeskripsikan sesuatu kata seperti ejaan, sebutan, golongan kata,
makna, cara penggunaan, etimologi dan beberapa perkara tentang kata bergantung pada
kesempurnaan sesebuah kamus. Usaha untuk menghasilkan sebuah kamus dalam bahasa
Melayu oleh DBP pada awalnya tidak dapat dilaksanakan kerana tiada orang yang
berkeupayaan untuk melakukannya. Justeru, DBP meminta kerjasama UNESCO untuk
mencari seorang pakar yang dapat menyusun sebuah kamus Bahasa Kebangsaan pada masa
itu. Pada tahun 1963, Dr. Teuku Iskandar yang berpengetahuan dalam bidang kesusasteraan
Melayu telah mula menyusun kamus. Pada tahun 1964, UNESCO menghantar Prof.Dr.
A.Teeuw untuk membantu dalam penyusunan kamus. Pada tahun 1970, edisi pertama Kamus
Dewan diterbitkan. Sejak itu, bermulalah era untuk memantapkan dan membakukan bahasa
Melayu. Kamus Dewan penting bagi menyeragamkan perbendaharaan kata bahasa Melayu
sebagai rujukan umum, terutamanya pelajar institusi pengajian tinggi, pelajar sekolah dan
pengguna bahasa.

8
Peristilahan

Pembakuan dalam bidang peristilahan berkait rapat dengan proses pemodenan bahasa dan
kemajuan masyarakat. Hal ini dengan mudah dapat kita fahami kerana istilah merupakan
realisasi konsep berkaitan dengan ilmu. Dalam konteks pemupukan budaya ilmu sebagai
prasyarat pembangunan masyarakat dan Negara, penggubalan istilah dalam pelbagai bidang
ilmu menjadi tanda berlangsungnya proses intelektualisasi bahasa Melayu. Dalam konteks
Negara kita, pembakuan istilah telah bermula sejak tahun 1995 oleh DBP. Ada beberapa
istilah perlu diubah dan dibakukan apabila dilihat secara berkelompok bagi sesuatu bidang
yang lebih khusus. Sebagai contoh, istilah ‘pusing’ tidaklah sesuai untuk semua keadaan.
Masyarakat Melayu memerihalkan berbagai-bagai suasana ‘pusing’ seperti egah, orbit, liuk,
kisar, putar, ligat, mejam, lilit, pusar dan belit.

Tatabahasa
Dalam aspek tatabahasa, DBP menghasilkan Tatabahasa Dewan sebagai panduan kepada
pengguna bahasa Melayu. Kandungannya meliputi aspek morfologi dan sintaksis bahasa
Melayu. Sebagai contoh, kata-kata berimbuhan mempunyai cara penyebutan yang ditetapkan
sebagai cara yang baku.

Sebutan
Sebutan yang baku hendaklah mengikut prinsip fonemik. Sebagai contoh, huruf vokal ‘u’
hendaklah dibunyikan sebagai [u] pada semua kedudukan seperti [ulat], [buda?], dan [dagu].
Huruf konsonan’r’ hendaklah dibunyikan sebagai [r] seperti pada perkataan [terbang], [roda],
dan [besar].

10.3.3 BAHASA KEBANGSAAN

Bahasa kebangsaan ialah bahasa pentadbiran dan bahasa pengantar utama dalam sesebuah
Negara. Bahasa ini juga digunakan oleh media massa, institusi pengajian tinggi,
pemerintahan, parlimen, majlis konvokesyen dan upacara rasmi kerajaan. Bahasa
kebangsaan menjadi kemegahan dan kebanggaan bagi sesebuah Negara.

Beberapa faktor yang menyebabkan hal ini berlaku. Antaranya:


1. Sikap positif bangsa tersebut terhadap bahasanya, contohnya bahasa Melayu berjaya
menjadi bahasa kebangsaan kerana sikap positif penduduk Malaysia pada bahasa itu.
2. Sikap ketaatan bahasa, para nasionalis, pejuang kemerdekaan dan pejuang bahasa
serta budaya amat setia pada bahasanya.
3. Bahasa kebangsaan adalah untuk menggambarkan sesebuah negara itu telah merdeka
dan berdaulat.
4. Menunjukkan jati diri, bahasa kebangsaan ialah identiti bagi sesebuah negara.
5. Mempunyai sejarah gemilang. Contohnya bahasa Melayu menjadi bahasa pentadbiran,
bahasa dalam hukum kanun dan bahasa perniagaan serantau.
6. Bahasa peribumi, contohnya di Singapura.
7. Bahasa lingua franca.
8. Banyak yang mengetahui dan boleh bertutur dalam bahasa tersebut.
9. Bahasa yang berkembang.

10.3.4 BAHASA RASMI

Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan untuk pentadbiran dan urusan rasmi dalam
sesebuah negara. Misalnya, untuk kegunaan dalam sebaran am, surat-surat rasmi kerajaan
seperti borang permohonan perjawatan, dokumen-dokumen rasmi seperti surat beranak, kad
pengenalan, minit mesyuarat rasmi dan urusan pos.

Bahasa rasmi dalam sesebuah negara boleh ditentukan lebih daripada satu, iaitu mungkin dua
atau tiga.

 Di Brunei Darussalam, ada dua bahasa rasmi, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

 Di Singapura, terdapat empat bahasa rasmi, iaitu Inggeris, Mandarin, Melayu dan
Tamil.

 Di Switzerland ada empat bahasa rasmi, iaitu Perancis, Jerman, Itali dan Romansch.

 Di India, untuk peringkat kebangsaan terdapat dua bahasa rasmi, iaitu Inggeris dan
Hindi; tetapi di peringkat negeri-negeri , ada 14 bahasa rasmi seperti Tamil di Tamil
Naadu.

10
Penetapan bahasa rasmi biasanya berdasarkan kepraktisan dan untuk menyenangkan hati
pelbagai pihak dalam negara yang berkenaan. Contohnya:

 Di Singapura terdapat empat bahasa rasmi. Bahasa Inggeris dipilih untuk


memudahkan pentadbiran kerana semasa zaman penjajahan dahulu, bahasa
Inggeris digunakan untuk pentadbiran. Bahasa Melayu, Cina dan Tamil dipilih
untuk menyenangkan hati penduduk yang menuturkan bahasa tersebut dan juga
untuk mendapatkan sokongan politik daripada penutur-penutur bahasa tersebut.

 Di Filipina, bahasa rasminya ialah bahasa Inggeris dan Filipino. Di samping itu,
di bahagian utara Filipina digunakan juga bahasa Sepanyol oleh golongan
Katolik yang biasa menggunakan bahasa ini di gereja-gereja. Di bahagian selatan
Filipina, terdapat pula penggunaan bahasa Arab untuk menyenangkan hati orang-
orang Islam di sana.

 Di Cameroon, Afrika Barat, terdapat dua bahasa rasmi, iaitu Inggeris dan
Perancis. Ini adalah untuk kepraktisan kerana separuh bahagian Cameroon
pernah dijajah oleh Inggeris dan separuh bahagian lagi oleh Perancis. Selain itu,
terdapat 200 jenis bahasa peribumi, tetapi bahasa-bahasa ini tidak mampu untuk
menjadi bahasa rasmi.

 Di Somalia, penduduknya berbahasa Somali walaupun negara ini pernah dijajah


oleh Inggeris, Perancis, Itali dan Ethiopia. Selain itu, terdapat bahasa Arab
kerana mereka beragama Islam. Negara Somalia yang pernah dijajah oleh
Inggeris dan Itali membentuk Somalia. Sekarang, mereka menggunakan tiga
bahasa, iaitu Somali, Inggeris, dan Arab. Dalam tulisan, mereka menggunakan
tulisan Arab, Inggeris dan Itali.

10.3.5 KEPELBAGAIAN BAHASA

Kepelbagaian bahasa ialah bentuk yang membezakan satu bahasa dengan bahasa yang lain
secara sistematik dan koheren. Kepelbagaian merupakan konsep yang lebih luas daripada
gaya bahasa. Kajian tentang kepelbagaian bahasa perlulah menghubung kait aspek sosial
sesuatu bahasa mengikut konteksnya. Bentuk kepelbagaian bahasa termasuklah pijin, kreol,
slanga, jargon, koine dan bahasa arkaik.
1. Pijin (Pidgin)

Pijin ialah bahasa campuran antara dua atau lebih bahasa dan bahasa yang terbentuk
itu tidak boleh dikategorikan sebagai salah satu bahasa asal. Pijin berlaku dalam
negara kota atau tempat yang mempunyai pelbagai komuniti bahasa, sedangkan
mereka tidak menguasai bahasa campuran, iaitu pijin. Ia digunakan dalam kalangan
penutur yang terdiri daripada dua atau lebih bahasa yang berbeza-beza dan saling
tidak memahami. Kosa kata sesuatu pijin sedikit dan diambil daripada perbendaharaan
kata para penuturnya.

2. Kreol (Creole)

Istilah kreol berasal daripada bahasa Portugis, crioulo, iaitu melalui bahasa Sepanyol,
criollo dan bahasa Perancis, creole. Kreol ialah bahasa pijin yang telah menjadi bahasa
pertama atau bahasa ibunda. Biasanya, kreol ialah percampuran antara bahasa
penjajah dengan bahasa peribumi seperti kreol Perancis di Haiti, kreol Inggeris di
Hong Kong, kreol Portugis di Macau dan Melaka. Setelah terbentuk, kreol boleh kekal
sebagai bahasa standard tempatan kedua seperti Kreol Cape Verdean. Kreol kadang-
kadang menerima proses balikan semula kepada bahasa asal untuk menjadi bahasa
yang sempurna dan baku.

3. Slanga

Slanga merupakan satu kelainan bahasa yang dicirikan oleh perbendaharaan kata yang
baru digubal dan sifatnya cepat berubah. Bahasa ini sering digunakan oleh golongan
muda seperti kumpulan rock dan kawan melepak, dan pelajar pengajian tinggi bagi
menghindarkan daripada diketahui oleh anggota komuniti bahasa yang lain. Slanga ini
adalah bahasa yang tidak formal dan tidak standard. Dalam slanga, kata-kata baharu
dihasilkan dan kemudian hilang dengan cepat. Sebagai contoh, terdapat kata-kata
seperti ‘cun’, ‘bengang’ dan ‘muka toye’.

12
3. Jargon

Jargon merupakan bahasa yang khusus digunakan dalam sesuatu bidang. Jargon
bersifat setempat atau kumpulan sosial, kumpulan sepekerjaan dan dalam kalangan
masyarakat kelas bawah. Sebagai contoh, jargon digunakan oleh para doktor,
terutamanya semasa dalam bilik pembedahan dan dalam keadaan kecemasan. Jargon
jenis ini dikenali sebagai ‘terminologi teknikal’.

5. Koine

Koine merupakan bahasa yang digunakan oleh semua orang dalam sesuatu daerah
atau wilayah. Bahasa koine ialah dialek yang menjadi bahasa standard yang sepunya
bagi daerah-daerah yang secara politik dalam stu kesatuan. Contohnya Bahasa Arab
klasik tergolong sebagai bahasa koine.

6.Bahasa Arkaik

Bahasa arkaik ialah bahasa kuno yang tidak berkembang lagi dan telah mati. Sebagai
contoh, bahasa Sanskrit yang telah mati sejak abad ke-2 masihi. Bahasa ini digunakan
untuk kitab-kitab suci agama Hindu seperti Rig Veda.

10.4 PERSEKITARAN SOSIAL DAN PERKEMBANGAN BAHASA

Dalam bidang persekitaran sosial dan perkembangan bahasa akan dibincangkan tajuk-
tajuk tentang dialek, laras bahasa dan kesantunan berbahasa.

10.4.1 DIALEK

Istilah dialek berasal daripada perkataan Greek, dialektos yang merujuk kepada kepelbagaian
ciri bahasa yang dituturkan oleh sekumpulan pengguna atau penutur sesuatu bahasa. Dialek
juga digunakan terhadap bentuk bahasa yang digunakan di sesuatu kawasan atau disebabkan
oleh faktor kelas sosial. Ia merujuk kepada bahasa daerah, terutama bukan bahasa tulisan atau
bahasa
standard. Tegasnya, dialek merupakan satu bentuk bahasa yang digunakan dalam sesuatu
daerah atau oleh sesuatu kelas sosial yang disebut juga sebagai loghat, pelat daerah atau
negeri, dan berbeza daripada bahasa standard.

Pada umumnya, dialek merupakan satu sistem komunikasi verbal yang lengkap dengan
perbendaharaan kata dan peraturan tatabahasa yang tersendiri sungguhpun dialek tidak
mementingkan bentuk penulisan. Sesuatu dialek dapat dibezakan melalui penggunaan kosa
kata, tatabahasa dan cara penyebutannya seperti fonologi dan prosodi. Malah ada dialek yang
dapat dikenali dengan mudah hanya melalui cara-cara penutur menuturkannya.

Pada umumnya, tidak terdapat kriteria yang bersifat universal bagi membezakan antara
‘bahasa’ dengan ‘dialek’. Perbezaan sebenar antara bahasa dengan dialek bersifat subjektif
bergantung pada rangka rujukan penggunaannya. Ahli linguistik antropologi berpendapat
dialek merupakan satu bentuk bahasa khusus yang digunakan oleh sesuatu komuniti penutur.
Contohnya:

Sosiolek
Sosiolek merupakan dialek yang digunakan oleh kelas sosial yang tertentu. Ia terhasil
daripada satu wilayah pertuturan.

Idiolek
Idiolek merupakan kepelbagaian bahasa yang unik kepada seseorang individu atau gaya
pertuturan yang digunakan oleh seseorang individu. Idiolek digambarkan oleh bentuk
pemilihan perkataan, tatabahasa, frasa, simpulan bahasa atau sebutan yang unik kepada
seseorang individu itu.

10.4.2 LARAS BAHASA

Dalam linguistik, laras bahasa ialah subset sesuatu bahasa yang digunakan untuk tujuan
tertentu. Istilah ini pertama kali digunakan oleh Thomas Bertram Reid dalam tahun 1956.
Laras ini digunakan dalam kewangan umum pada tahun 1960-an oleh sekumpulan pakar
linguistik yang
14
mahu membezakan antara variasi bahasa berdasarkan pengguna dengan variasi bahasa
berdasarkan kegunaannya.

Laras merupakan satu konvensi sosial. Sesuatu laras akan digunakan untuk keadaan atau
situasi tertentu. Justeru, dengan memilih lars yang tidak sama untuk situasi yang berlainan,
anggota sesuatu masyarakat dapat menunjukkan bahawa mereka sedar akan situasi-situasi
sosial berbeza yang wujud di sekitar mereka. Tegasnya, laras ialah bentuk bahasa yang
wujud akibat situasi sosial yang berlainan.

Laras bahasa berbeza berdasarkan bidang yang hendak diperkatakan seperti bidang
ketenteraan, sains, komersial dan lain-lain. Oleh itu, ayat-ayat dalam laras tertentu
mengandungi kata-kata serta ungkapan yang berlainan. Laras merupakan fenomena sosial
kerana selain elemen linguistik, laras juga boleh dimanifestasikan melalui tingkah laku orang
yang bercakap, gerak-geri tangan dan intonasi suara. Namun demikian, penanda utama laras
ialah ciri-ciri linguistik yang wujud dalam bentuk sesuatu laras.

Jenis-jenis Laras Bahasa

Ada beberapa jenis laras bahasa dam bidang linguistik. Antaranya ialah:

1. Laras Iklan- bentuk bahasa yang digunakan dengan tujuan memperkenalkan barang-
barang yang hendak diniagakan.

2. Laras Sains – bersifat ilmiah dan formal serta sangat mementingkan ketepatan makna
dan fakta.

3. Laras undang-undang – ia kaya dengan penggunaan istilah dan kata-kata yaang khusus.

4. Laras Sukan – ia lebih mudah difahami kerana tidak banyak guna istilah khusus dan
spesifik.

5. Laras Ekonomi – bersifat ilmiah dan formal serta sangat mementingkan ketepatan
makna dan fakta.

6. Laras Matematik – digunakan dalam bidang matematik, mengandungi formula-


formula tertentu untuk menyelesaikan persoalan matematik.
7. Laras Agama – ia mempunyai ciri-ciri khusus yang membezakannya dengan laras
bahasa lain, membicarakan hal-hal ketuhanan, suruhan dan larangan Allah.

10.4.3 KESANTUNAN BERBAHASA

Kesantunan berbahasa merujuk kepada cara penggunaan kata dan ujaran secara sopan dan
beradab. Kesantunan berbahasa memperlihatkan budi bahasa dan tingkah laku yang
bertatasusila. Brown dan Levinson (1987) menyatakan terdapat dua jenis kesantunan, iaitu
kesantunan positif dan kesantunan negatif. Kesantunan positif bermaksud keinginan untuk
mengekalkan hubungan yang baik dan menghargai kehendak orang lain. Ini termasuklah
keinginan individu untuk dihormati, diberikan perhatian, difahami dan dilayan sebagai
sahabat. Kesantunan negatif bermaksud keinginan individu untuk mempertahankan hak, dan
tidak diganggu oleh orang lain. Hal ini termasuklah membenarkan setiap individu tidak
disekat daripada melakukan hal masing- masing yang difikirkannya betul.

Situasi sosial dan konteks berperanan dalam menentukan kesantunan bahasa yang harus
diujarkan. Ada beberapa perkara yang menjadi amalan bagi sesuatu masyarakat. Antaranya
ialah aspek kesantunan, kata nama panggilan, gelaran dan panggilan hormat, bahasa istana,
dan bahasa basahan.

Aspek Kesantunan

Leech (1993) menjelaskan kesantunan melibatkan perhubungan antara dua orang peserta.
Matlamat kesantunan adalah untuk mencapai matlamat perbualan itu sendiri. Darjah
kesantunan dihurai berdasarkan empat matlamat perbualan seperti yang berikut:
1. Bersaing – matlamat perbualan bersaing dengan matlamat sosial.
2. Beramah-tamah – matlamat perbualan sama dengan matlamat sosial.
3. Kolaboratif – matlamat perbualan tidak peka terhadap matlamat sosial.
4. Berkonflik – matlamat perbualan berkonflik dengan matlamat sosial.

Strategi kesantunan digunakan bagi mencapai matlamat dan kerjasama dalam perbualan.
Brown dan Levinson (1987) menegaskan terdapat dua jenis ‘muka’ atau face imej kendiri
individu, iaitu muka positif dan muka negatif. Muka positif bermaksud keinginan individu
untuk disukai dan

16
diterima oleh khalayak. Muka negatif bermaksud keinginan individu untuk mempertahankan
hak, dan tidak diganggu oleh orang lain.

Kata Nama Panggilan

Dalam manusia bersosilisasi, mereka mempunyai peraturan dan etika yang perlu diikuti.
Penggunaan kata nama panggilan yang bersesuaian dipilih untuk menggambarkan hubungan
mesra antara penutur dan pendengar. Kata nama panggilan dalam sesuatu peristiwa
pertuturan mempunyai kaitan yang erat dengan hubungan sosial, kekeluargaan, taraf dan
umur.

Dalam manusia bersosilisasi, mereka mempunyai peraturan dan etika yang perlu diikuti.
Etika kata nama panggilan digunakan untuk:
 Menyapa dan memanggil pendengar
 Orang ketiga
 Diri penutur

Kata nama panggilan perlu digunakan secara berhati-hati, terutamanya terhadap seseorang
yang mempunyai gelaran dan berpangkat. Antara kata nama panggilan yang biasa digunakan
bagi memperlihatkan kesantunan dalam perbualan adalah seperti yang berikut:

Pak cik Digunakan untuk orang lelaki yang sebaya dengan ayah sendiri. Dari
segi hubungan keluarga, terdapat kata nama panggilan seperti ‘Pak
Long’, ‘Pak Ngah’, ‘Pak Lang’, dan ‘Pak Su’.
Mak cik Digunakan untuk orang perempuan yang sebaya dengan emak
sendiri. Dari segi hubungan keluarga, terdapat kata nama panggilan
seperti ‘Mak Long’, ‘Mak Ngah’, ‘Mak Lang’, dan ‘Mak Su’.
Abang/ Bang Digunakan untuk orang lelaki yang tidak setua ayah sendiri dan
tidak semuda diri sendiri. Dari segi hubungan keluarga, terdapat
kata nama panggilan seperti ‘Bang Long’, ‘Bang Ngah’, ‘Bang
Lang’, dan ‘Bang Cik’.
Kakak/ Kak Digunakan untuk orang perempuan yang tidak setua emak sendiri
dan tidak semuda diri sendiri. Dari segi hubungan keluarga,
terdapat kata nama panggilan seperti ‘Kak Long’, ‘Kak Ngah’,
‘Kak Lang’, dan ‘Kak Cik’.

Saudara / saudari Digunakan untuk orang lelaki atau perempuan yang kira-kira
sebaya atau lebih muda serta hubungannya belum rapat dengan
diri sendiri. Kata panggilan ini boleh juga digunakan bagi merujuk
ahli dalam mesyuarat, perbahasan, dan perbincangan.

Gelaran dan Panggilan Hormat

Gelaran dan Panggilan Hormat merupakan nama panggilan bagi individu tertentu atau nama
khas yang diberikan kerana jasa dan sumbangan seseorang. Individu yang mempunyai
gelaran tertentu perlu disapa mengikut gelaran dan panggilan hormat tersebut, sama ada
dalam wacana lisan atau tulisan agar tidak dianggap sebagai biadap atau tidak berbudi
bahasa. Berikut diperlihatkan contoh gelaran dan panggilan hormat yang digunakan di negara
ini.

Orang yang disapa Panggilan hormat


Sultan, Raja, Sultanah, Tengku Ampuan Duli Yang Maha Mulia
Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Yang Amat Berhormat
Menteri
Ketua Hakim Negara Yang Amat Arif

Bahasa Istana
Bahasa Istana ialah bahasa diraja yang digunakan secara khusus dalam hubungan yang
melibatkan salah satu pihak terdiri daripada keluarga diraja. Bahasa istana juga disebut
sebagai bahasa halus atau bahasa dalam. Antara kata dan ungkapan yang terdapat dalam
bahasa istana adalah seperti yang berikut:

18
Bersemayam Bermaksud duduk di atas takhta atau singgahsana.
Bersiram Bermaksud mandi
Menjunjung titah Bermaksud mematuhi dan mengerjakan kata-kata /perintah kerana amat
memuliakan orang tersebut.
Bercemar duli Bermaksud raja yang akan berangkat ke sesuatu tempat.

Bahasa Basahan
Bahasa basahan disebut sebagai bahasa pasar yang digunakan untuk urusan harian. Dalam
bahasa ini, wujud percampuran unsur bahasa lain, iaitu dari segi kosa kata, ungkapan,
struktur ayat dan sebutan. Sebagai contoh, penutur Melayu yang tidak boleh berbahasa Cina
dan penutur Cina yang tidak fasih berbahasa Melayu akan menggunakan bahasa basahan
dalam perbualan mereka. Bahasa basahan tidak wajar digunakan dalam penulisan. Hal ini
kerana gaya mengujarkan bahasa ini tidak mematuhi peraturan struktur ayat dalam sesuatu
bahasa itu.

10.5 KESIMPULAN

Dalam kajian sosiolinguistik banyak perkara boleh diperkatakan, iaitu hal-hal yang ada kaitan
dengan bahasa itu sendiri. Antaranya ialah dialek, laras bahasa, bahasa baku, bahasa
kebangsaan, bahasa rasmi dan kepelbagaian bahasa. Ahli sosiolinguistik juga mengkaji
tingkah laku sosial yang ada hubungan dengan bahasa seperti penggunaan bahasa halus atau
bahasa istana yang hanya digunakan oleh kumpulan tertentu dalam masyarakat.

Secara lebih luas, sosiolinguistik mengkaji seluruh aspek kehidupan manusia termasuk nilai-
nilai budaya dan konteks bahasa digunakan oleh masyarakat yang menuturkannya. Oleh
sebab berlaku mobiliti masyarakat dari satu tempat ke tempat yang lain, maka berlakulah
penyebaran bahasa yang diujarkan dengan berbagai-bagai gaya oleh masyarakat di tempat
yang baharu. Keadaan ini melahirkan dialek, kepelbagaian bahasa dan laras bahasa tertentu.
RUMUSAN

Bab 10 ini memberikan tumpuan pada sosiolinguistik yang berkaitan dengan kepelbagaian
bahasa, dialek, laras bahasa dan kesantunan berbahasa. Sosiolinguistik ialah bidang ilmu
bahasa yang mengkaji kesan masyarakat kepada sesuatu bahasa. Pertuturan pelbagai bahasa
digunakan supaya difahami oleh penduduk sesebuah negara.

Konsep dialek yang merangkumi sosiolek, idiolek, dan koninum. Dialek turut merujuk kepada
kepelbagaian ciri bahasa yang dituturkan oleh sekumpulan penutur dalam sesuatu bahasa .
Laras bahasa digunakan untuk tujuan tertentu. Fokus diberikan kepada cara bahasa digunakan
dalam situasi tertentu. Penjelasan tentang kepelbagaian bahasa yang terdiri daripada pijin,
kreol, slanga, jargon, koine dan bahasa arkaik.

Kesantunan berbahasa memperlihatkan budi bahasa dan tingkah laku yang bertatasusila.
Matlamat kesantunan berbahasa adalah untuk membolehkan semua pihak yang terlibat berasa
selesa antara satu sama lain. Ia diamalkan supaya dapat mengelakkan salah satu pihak berasa
tersinggung, dimalukan dan terpinggir. Penggunaan gelaran dan panggilan hormat terhadap
individu yang berkenaan memperlihatkan kesantunan berbahasa bagi bangsa Melayu.

Bahasa istana ialah bahasa diraja . Bahasa istana merupakan bahasa halus kerana kata dan
ungkapan bertatasusila banyak digunakan. Bahasa basahan merujuk kepada bahasa pasar
yang digunakan untuk urusan harian. Tujuan penutur menggunakan bahasa basahan adalah
untuk memudahkan perbualan dan pemahaman. Bahasa basahan tidak wajar digunakan dalam
penulisan.

20
LATIHAN

1. Berikan konsep sosiolinguistik dan skop kajian sosiolinguistik.

2. Jelaskan pendapat anda tentang perkara-perkara yang berikut:

(a) Rasional setiap negara perlu mempunyai bahasa rasmi

(b) Rasional sesebuah negara mengiktiraf lebih daripada satu bahasa sebagai bahasa
rasmi

3. Apakah aspek yang dibakukan bagi melahirkan bahasa yang standard? Nyatakan
aspek tersebut beserta contoh yang bersesuaian.

Aspek Contoh

(a)

(b)

(c)

4. Berikan alasan sebab bahasa-bahasa yang yang berikut tidak dianggap sebagai bahasa
standard.

(a) Slanga

(b) Pijin

5. Terdapat beberapa cara untuk memperlihatkan kesantunan dan ada antara perkara
yang berkaitan dengan kesntunan itu telah menjadi amalan bagi sesuatu masyarakat.

Berdasarkan pernyataan di atas, sejauh manakah amalan kesantunan oleh warganegara


Malaysia dapat menjalin dan mengekalkan perpaduan kaum? Kemukakan hujah anda
dengan memberikan contoh amalan kesantunan bagi kaum-kaum tertentu.
RUJUKAN

Asmah Hj.Omar, 1980. “Analisis Wacana”, dalam Jurnal Dewan Bahasa 24:3, hal.
11-25 dan 24: 4, hal. 9-25.

Brown, P. and Levinson,S.C. 1987.Politeness:Some Universals in Language Usage.


Cambridge: Cambridge University Press.

Fishman, J.A. 1991, Sosiologi Bahasa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Forgas,J.P.(ed).1985. Language and Social Situations. New York: Routledge.

nd
Janet Holmes, 2001, An Introduction to Sociolinguistics (2 Edison). Longman.

James Peoples & Garrick Bailey, 2000. Humanity: An Introduction to Cultural


Antropology. Wadsworth/ Thomson Learning.

Leech, G.N. 1974. Semantics. Harmondsworth: Penguin Books.

Leech, G.N. 1993.Prinsip Pragmatik. Azhar M. Simin (terj.). Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Nababan. P.W.J.1984. Sosiolinguistik. Jakarta: Gramedia.

Noriah Mohamed. 1998. Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Malaysia. Penerbit


Universiti Sains Malaysia.

Penalosa,F. 1981. Introduction to the Sociology of Language . Rowley: Newbury.

Pike,K.L. dan Pike,E.G. 1982. Grammatical Analysis. Dallas: Summer Institute of


Linguistics.

Siti Hajar Hj. Abdul Aziz.2009. Bahasa Melayu II. Kuala Lumpur: Oxford Fajar Sdn.
Bhd.
22

You might also like