You are on page 1of 1

bhnews@bh.com.

my

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan mengakui wujud jurang digital dalam kalangan
murid luar bandar untuk mengikuti pembelajaran dalam talian sepanjang pelaksanaan
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Jidin, berkata ini kerana sebahagian murid
tidak memiliki peranti bersesuaian bagi membolehkan pembelajaran dapat diikuti dengan
berkesan.

Katanya, maklumat itu diperoleh hasil Kajian Kesediaan Murid dalam Pembelajaran Secara
dalam Talian yang dilaksanakan oleh kementerian antara 28 Mac hingga 2 April lalu.

Beliau berkata, kajian itu membabitkan 670,118 responden terdiri daripada ibu bapa kepada
893,331 murid, yang mana enam peratus murid mempunyai komputer peribadi; 9.3 peratus
(memiliki komputer riba); 5.8 peratus (tablet) dan 46.5 peratus (telefon pintar).

"Ada juga murid yang memiliki lebih daripada satu peranti bagi kegunaan pembelajaran
secara dalam talian.

"Namun, ada 36.9 peratus murid tidak mempunyai sebarang peranti bagi membolehkan
mereka mengikuti pembelajaran secara dalam talian," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Datuk Mohd Salim
Sharif (BN-Jempol) mengenai usaha dilakukan bagi memastikan murid luar bandar dan
pedalaman tidak tercicir sepanjang PKP akibat jurang digital.

Mohd Radzi berkata, aspek tahap akses internet terhad juga menjadi antara cabaran besar
kerana pembelajaran tidak dapat berlaku secara menyeluruh dan seragam kepada semua
murid.

"Selain itu, pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian adalah sesuatu yang baharu
untuk kebanyakan guru, murid dan ibu bapa, justeru mereka masih memerlukan masa untuk
menyesuaikan diri dengan kaedah baharu ini," katanya.

Beliau berkata, bagi membantu kumpulan murid yang tidak mempunyai akses kepada talian
internet dan alat peranti bersesuaian, kaedah 'Homebased Learning' turut dilaksanakan
melalui siaran TV Pendidikan.

Katanya, siaran dilaksanakan melalui saluran TV Okey dan saluran Tutor TV Astro.

"Guru turut melaksanakan pengajaran dan pembelajaran melalui serahan bahan pembelajaran
kepada murid terutama yang tinggal di luar bandar dan pedalaman.

"Serahan bahan ini dibuat melalui pelbagai kaedah seperti perkhidmatan

pos, bantuan penghantaran oleh Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) dankaunter pandu lalu di
sekolah," katanya.

You might also like