You are on page 1of 2

PERANAN IBU BAPA DALAM

MEMBERIKAN SOKONGAN DAN


DORNGAN KEPADA ANAK-ANAK DEMI
MEMASTIKAN KECEMERLANGAN
AKADEMIK ANAK-ANAK
Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi,
mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga
merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga,
iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup
bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan
keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal
ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM
2003. Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan
sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau. Jelaslah
bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan
sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan
oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin
kecemerlangan anak-anak.
Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih
terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali
dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk
kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba
mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya
daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai
anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan
Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif
lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan
merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.
Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja
keras dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah.
Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-
anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-
anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka
hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais
petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era
modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa
terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak
mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa
wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-
apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa
rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi
bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang
pelajaran.
Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan
agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna
akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip hidup
yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang
semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang
cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang
sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu
adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama
yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi
kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik.
Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak.
Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan
tebing dan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk
merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang
cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih
dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia
tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah
bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan
negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.

You might also like