You are on page 1of 2

FAEDAH-FAEDAH MENGGUNAKAN

PERPUSTAKAAN
Pada era ledakan teknologi yang semakin maju seiring dengan kemajuan ekonomi negara, pelbagai
kemudahan telah disediakan oleh pihak kerajaan. Satu daripada kemudahan tersebut ialah perpustakaan yang
merupakan sebuah institusi yang telah wujud sejak zaman kegemilangan tamadun Islam pada suatu ketika
dahulu. Pada zaman kegemilangan kerajaan Abbasiyah misalnya, Khalifah Umar Bin Abdul Aziz telah
membina sebuah perpustakaan yang dikenali sebagai Baitul Hikmah yang berfungsi sebagai pusat
penyimpanan khazanah ilmu, pusat penterjemahan serta perjumpaan para cendekiawan dan ulama. Pada
masa ini, semua perpustakaan yang dibina di seluruh pelosok negara memainkan peranan yang sama iaitu
sebagai gedung dan pusaka ilmu bagi kemudahan semua pihak. Tambahan pula, perpustakaan pada zaman
ini menyediakan kemudahan jalur lebar atau kemudahan Internet yang boleh menambahkan lagi kesenangan
pengguna untuk mencari maklumat yang diperlukan. Ternyata perpustakaan yang disediakan oleh pihak
kerajaan mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada masyarakat, cuma terpulang kepada masyarakat sama
ada mahu atau tidak menggunakannya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak akan datang
melayang.

Antara faedah menggunakan perpustakaan ialah pelajar serta orang awam dapat menimba pelbagai ilmu
pengetahuan yang tersimpan di dalamnya. Hal ini demikian kerana perpustakaan menempatkan jutaan ilmu
pengetahuan yang dinukilkan oleh penulis dari seluruh pelosok dunia dengan menggunakan pelbagai bahasa.
Malahan di sesetengah perpustakan elit, tersimpan ilmu pengetahuan yang dihasilkan oleh tokoh atau bijak
pandai jutaan tahun dahulu. Dalam hal ini semua pihak hendaklah rajin mengunjungi perpustakaan sama ada
untuk mendapatkan maklumat atau membaca pelbagai buku bersesuaian dengan cogan kata Membaca
Jambatan Ilmu. Suasana perpustakaan yang kondusif dan hening mampu memberikan ketenangan kepada
pengunjungnya untuk menelaah dan membongkarkan pelbagai rahsia tersembunyi daripada bahan yang
dibaca. Di perpustakaan, kita boleh memperoleh pelbagai ilmu pengetahuan seperti keagamaan, falsafah,
kemanusiaan serta ilmu pengetahuan berkaitan sains dan teknologi. Pada hari ini ilmu pengetahuan sangat
berguna dalam hidup kita umpama tulang belakang yang berfungsi menampung tubuh badan kita untuk
mneruskan kehidupan. Tuntasnya, setiap individu seharusnya mempunyai ilmu pengetahuan yang tinggi dan
perpustakaanlah tempat yang wajar dikunjungi atas sebab kekayaan ilmu pengetahuan di situ.

Selain itu, perpustakaan juga boleh dijadikan tempat untuk mengisi masa lapang secara berfaedah khususnya
kepada golongan muda dan para pelajar. Hal ini demikian kerana pada masa ini perpustakaan bukan sahaja
menyediakan bahan bacaan seperti buku dan majalah tetapi juga telah dilengkapi dengan pendingin hawa,
komputer dan Internet. Kemudahan-kemudahan yang disediakan boleh menarik minat generasi muda
mengunjungi perpustakaan sekali gus mengelakkan remaja terlibat dengan budaya lepak serta melakukan
pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah. Suasana kondusif yang diwujudkan di dalam perpustakaan akan
mendorong masyarakat untuk meluangkan banyak masa senggang secara lebih proaktif kerana
sesungguhnya masa itu emas. Sebagai contoh,Perpustakaan Sultan Ismail di Johor Bahru telah menyediakan
sebuah ruang untuk kegunaan proses pembelajaran secara interaktif. Di perpustakaan tersebut, Petrosains
dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah membuka cawangan mini bagi mendorong lebih
ramai generasi muda melawat dan menghabiskan masa di situ. Sesungguhnya, dengan mengunjungi
perpustakaan kita dapat menguruskan masa secara bijak kerana masa itu ibarat pedang yang tajam,
sekiranya kita terlewat mata pedang itu sendiri akan memenggal kepala kita.

Seterusnya, penggunaan perpustakaan secara berterusan juga mampu menyemai serta memupuk budaya
membaca dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda. Dalam hal ini ibu bapa memainkan peranan
yang dominan dengan sering membawa anak-anak berkunjung ke perpustakaan agar mereka terbiasa dengan
buku-buku bersesuaian dengan kata peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa perlulah
berindak sebagai suri teladan kepada anak-anak dengan berkunjung ke perpustakaan sama ada untuk
membaca, meminjam buku atau menggunakan kemudahan Internet yang disediakan. Dengan berkunjung ke
perpustakaan orang ramai boleh memilih bacaan yang mereka gemari mengikut usia masing-masing seperti
akhbar, majalah, jurnal, komik serta pelbagai bahan ilmiah yang telah diterbitkan. Budaya suka membaca
penting diterapkan dalam kalangan generasi muda yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara agar
mereka dilengkapi dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Situasi ini penting agar mereka mampu bersaing di
peringkat global sekali gus membolehkan Malaysia duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-
negara maju yang lain. Dalam konteks ini, kita perlulah menjadikan negara matahari terbit, Jepun sebagai
contoh kerana kejayaan membangunkan negara mereka hasil daripada budaya membaca yang tinggi
masyarakatnya. Jelas bahawa perpustakaan mampu menerbitkan budaya membaca dalam kalangan
masyarakat sekali gus melahirkan masyarakat yang berjaya kerana Masyarakat Membaca Masyarakat
Berjaya.

Intihanya, tiada suatu objek atau makhluk yang diciptakan oleh Allah S.W.T di muka bumi ini tanpa ada
hikmah atau kemaslahatan di sebaliknya. Lantaran itu, bilangan perpustakaan yang merupakan gedung ilmu
perlulah ditambah dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan teknologi demi menggamit dan mendorong
masyarakat berkunjung ke perpustakaan. Masyarakat khususnya golongan pelajar seharusnya menjangkau
sehabis tangan untuk merebut peluang dan menggunakan sebaik mungkin kemudahan yang disediakan oleh
pihak pengurusan perpustakaan untuk membongkar segala khazanah ilmu yang tersimpan di situ. Jelas
bahawa perpustakaan mempunyai banyak kebaikannya, namun begitu terpulanglah kepada orang ramai
kerana segala-galanya berada dalam tangan masing-masing bersesuaian dengan kata peribahasa yang bulat
tidak akan datang bergolek, yang pipih tidak akan datang melayang.

You might also like