You are on page 1of 4

TEKS UCAPAN YANG BERUSAHA

ENCIK SHAHIZAN AFFANDI BIN ZAKARIA


PENGARAH PERBADANAN PERPUSTAKAAN AWAM KEDAH
BERSEMPENA PROGRAM NILAM
SEKOLAH KEBANGSAAN PULAI, BALING.

Terima kasih kepada pengacara majlis.

Assalamualaikum Warrahmatullahhi Wabarakaatuh dan selamat sejahtera,

1. Terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan setinggi-tinggi


kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah kurnia
dan keizinanNya dapat kita semua hadir dan berkumpul di Majlis Perasmian
Nilam Sekolah Kebangsaan Pulai.

2. Pada hari ini, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak
sekolah kerana sudi menjemput saya untuk hadir merasmikan majlis ini.

3. Syabas dan tahniah kepada pihak sekolah atas usaha murni menganjurkan
majlis seperti ini. Semoga usaha pihak sekolah untuk melahirkan murid-murid
yang membudayakan amalan membaca menerusi aktiviti dan program yang
lengkap serta mempunyai capaian perkhidmatan dapat dilaksanakan dengan
jayanya.

4. Pihak sekolah juga menggalas tanggungjawab yang besar dalam usaha


memupuk minat membaca dalam kalangan masyarakat. Hal ini kerana, guru
merupakan individu kedua terpenting selepas ibu bapa yang berperanan
memupuk minat membaca dalam diri murid-murid.

5. Sebagai guru yang berwawasan dan berjiwa pendidik, pasti guru-guru sedar
akan kepentingan membaca dalam kehidupan dan berusaha memupuk minat
membaca dikalangan murid sesuai dengan kata pepatah “melentur buluh biarlah
dari rebungnya. Oleh sebab itu, program NILAM telah diperkenalkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia.
6. ‘NILAM’ atau Nadi Ilmu Amalan Membaca merupakan penggabungan atau
adunan semua aktiviti galakan membaca yang pernah dijalankan di sekolah
dengan memberi pengiktirafan yang sesuai. Pelaksanaan program ini meliputi
penilaian pembacaan yang berterusan sepanjang tahun dan markah
dikumpulkan secara kumulatif sehinggalah mereka tamat persekolahan. Program
ini ialah satu usaha Kementerian Pelajaran Malaysia dengan matlamat untuk
membina tabiat membaca dalam kalangan murid.

7. Suatu tamadun atau bangsa hanya dapat dibina melalui masyarakat yang
mengamalkan budaya ilmu. Cara utama dalam membina budaya ilmu dalam
sesebuah masyarakat ialah melalui amalan tabiat membaca yang berterusan.
Kementerian Pelajaran telah melaksanakan pelbagai program galakan membaca
di sekolah-sekolah.

8. Kami di Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah juga menyahut baik seruan


Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melestarikan budaya membaca dalam
kalangan masyarakat negeri Kedah terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah
dan remaja. Saya menyeru kepada pelajar dan guru berkunjung ke
perpustakaan dan menggunakan segala kemudahan yang disediakan di
Perpustakaan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya kasihi,

9. Selain daripada itu, kami juga mengalu-alukan pihak sekolah untuk membuat
pinjaman secara berkelompok dimana pihak sekolah boleh meminjam bahan
bacaan sehingga seratus buku secara serentak hanya dengan satu kad keahlian
sahaja mengikut syarat yang telah ditetapkan oleh pihak PPAK.

10. Ini dapat membantu pihak sekolah untuk memperbanyakkan bahan bacaan di
pusat sumber serta skop pembacaan pelajar juga akan lebih meluas.

11. Untuk pengetahuan semua, PPAK juga menyediakan aktiviti media seperti movie
screening, movie marathon, permainan interaktif di bahagian media.
12. Sekiranya ingin mendapatkan bahan digital yang komprehensif, boleh ke Kedah
Digital Library yang telah beroperasi sepenuhnya. Dengan prasarana yang
kondusif dan capaian internet yang pantas, saya yakin pelajar-pelajar pasti suka
mengunjungi Kedah Digital Library.

13. Pihak sekolah juga digalakkan untuk membawa pelajar ke perpustakaan kerana
kami menyediakan set ataupun pakej maklumat untuk pelajar melakukan kajian
bagi matapelajaran geografi dan sebagainya.

14. Selain itu, sempena dengan slogan ‘Proud to be Kedahan’ pihak sekolah juga
boleh ke bahagian Koleksi Kedah untuk mendapatkan bahan-bahan bacaan dan
pameran berkenaan dengan negeri Kedah seperti koleksi peribadi tokoh Ismail
Hussein. Selain itu, setiap penyertaan bengkel ataupun program, kami akan
sertakan sekali sijil penyertaan dan semuanya adalah secara percuma.

15. PPAK juga menawarkan lebihan buku-buku untuk diagihkan kepada pihak yang
memerlukan. Buku-buku ini masih lagi dalam keadaan yang baik dan jika pihak
sekolah berminat untuk mendapatkan buku-buku ini, bolehlah menghubungi
PPAK untuk langkah selanjutnya.

16. Kami juga aktif di sosial media seperti facebook menggunakan nama
Perbadanan Perpustakaan Awam Kedah. Setiap aktiviti dan program akan
dikemaskini setiap hari di situ. Rumah kami di PPAK sentiasa terbuka untuk
semua pihak dengan menawarkan pelbagai bengkel dan kursus bukan sahaja
kepada pelajar malahan pihak sekolah ataupun jabatan-jabatan lain boleh ikut
serta.

17. Tujuan perpustakaan sekolah berperanan dalam proses pendidikan sepanjang


hayat. Dengan adanya perpustakaan sekolah seperti pusat sumber diharapkan
juga mampu untuk memberikan sumbangan dalam peningkatan mutu
pendidikan dan upaya meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar.

18. Dengan peningkatan minat membaca dikalangan pelajar akan memberi kesan
yang baik kepada kemajuan pendidikan di Malaysia serta mampu memacu
kepada tujuan negara kita iaitu ‘bangsa membaca, bangsa berjaya’ ‘baca buku
buka dunia’.

19. Akhir kata, dengan adanya Program Nilam ini saya berharap agar para pelajar
kini lebih berminat mengunjungi pusat sumber sekolah dan perpustakaan untuk
mendapatkan bahan bacaan.

20. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Program Nilam


Sekolah Kebangsaan Pulai bagi Tahun 2023.

Sekian,
Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.

You might also like