You are on page 1of 8

1.

0 Pengenalan

Wang ditakrifkan sebagai sesuatu yang diterima secara universal iaitu satu bentuk
pertukaran. Mengikut Dewan Bahasa dan Pustaka (edisi ke-4), wang bermaksud alat pertukaran
yang mempunyai harga atau nilai tertentu dan diakui sah. Selain itu, wang juga sebagai alat
perantaraan untuk tujuan urusniaga bagi mendapatkan sesuatu barang bagi memenuhi keperluan
manusia yang tidak hanya terbatas pada keperluan hidup semata-mata (Shouyong, 1997). Wang
juga dianggap sebagai satu item yang digunakan untuk pembayaran barangan atau perkhidmatan
dan pelunasan daripada hutang. Seterusnya, wang turut memainkan peranan yang penting dalam
menggerakkan ekonomi negara dan sekali gus memangkin ke arah pertumbuhan ekonomi.

2.0 Evolusi Wang

Wang mengalami evolusi atau perubahan apabila masyarakat menjadi semakin


sofistikated dan memerlukan kaedah yang lebih berkesan untuk menjalankan urus niaga. Evolusi
penggunaan wang berlaku apabila permasalahan timbul daripada sistem pertukaran yang
menyukarkan manusia. Sejarah perkembangan wang bermula dengan evolusi tamadun manusia
itu sendiri, iaitu kira-kira 2000 tahun sebelum masihi. Antara tahap evolusi wang ialah sistem
barter atau pertukaran barang, wang komoditi, wang logam, syiling moden, wang fiat dan wang
elektronik.

2.1 Sistem Barter atau Pertukaran Barang

Sistem barter atau pertukaran barang adalah sistem pertama kewangan. Sistem
barter berlaku berpuluh ribu tahun yang lalu di mana amalan pertukaran barang atau
perkhidmatan ditukar dengan barang atau perkhidmatan yang lain. Perkara ini dilakukan
antara dua belah pihak untuk kelebihan dan kebaikan bersama. Contohnya, seorang
nelayan memiliki ikan dan seorang pembeli mahu membeli ikan tersebut, maka pembeli
itu akan menukarkan barang miliknya seperti menukarkan kasut dengan ikan. Pelbagai
barangan pernah digunakan sebagai standard barter. Contohnya adalah tengkorak
manusia. Barang lain yang popular yang digunakan untuk pertukaran adalah garam.
Sistem barter mengalami masalah iaitu proses pertukaran yang agak lambat dan
memakan masa. Pada masa yang sama, kelemahan utama dari sistem barter ini ialah tidak
adanya kriteria standard untuk menentukan nilai sesuatu barangan dan perkhidmatan
yang tepat dan betul. Ini boleh mengakibatkan perselisihan dan pertengkaran antara
pedagang. Kaedah pertukaran yang lebih pantas dan cekap diperlukan oleh manusia. Oleh
itu, wang mengalami evolusi disebabkan sistem barter.

2.2 Wang Komoditi

Pada tahap ini, sekumpulan orang telah bersetuju meletakkan nilai untuk barangan
tertentu yang mewakili nilai tertentu. Bentuk pertama wang komoditi adalah kulit siput.
Begitu juga dengan batu permata berwarna, manik, emas, perak, kambing dan lembu.
Sebagai contoh, penternak itik tidak perlu menjual itik untuk mendapatkan baju, dia
hanya perlu memberi penjual baju itu lapan manik untuk sehelai baju itu. Oleh itu,
penggunaan komoditi ini dapat mempercepatkan proses pertukaran dan perniagaan dapat
dilakukan dalam masa yang singkat.

2.3 Wang Logam

Permulaan wang logam dihasilkan di China pada penghujung zaman batu, iaitu
Cowrie Gangsa dan Tembaga tiruan. Wang logam dicipta untuk menggantikan wang
komoditi yang kurang sesuai peranannya sebagai wang. Antara logam yang pernah
digunakan sebagai wang logam adalah besi, timah, perak dan tembaga.

2.4 Syiling Moden

Duit syiling pertama dibentuk daripada ketulan perak. Syiling merupakan


sekeping bahan keras, dikeluarkan oleh kerajaan untuk digunakan sebagai bentuk wang.
Nilai pertukaran pasaran duit syiling berasas daripada nilai sejarah atau nilai intrinsik
bahan-bahan logam seperti emas atau perak. Syiling biasanya digunakan sebagai unit
nilai rendah.

2.5 Wang Fiat

Wang fiat adalah wang yang disokong oleh kepercayaan penuh kepada kerajaan
dan kredit. Wang fiat mempunyai nilai yang diberikan hanya kerana kerajaan
menggunakan kuasa untuk menguatkuasakan nilai mata wang melalui kawalan berpusat.
Terdapat kategori bagi wang fiat iaitu wang kertas, sistem kewangan, wang plastik,
dompet digital.
i) Wang Kertas

Wang kertas pertama dikeluarkan oleh Brazil pada tahun 1810. Mata wang ini
berbentuk sekeping kertas dengan beberapa tanda tangan serta nilai tulisan tangan di
atasnya. Wang kertas biasanya membawa nilai lebih tinggi.

ii) Sistem Kewangan

Sistem kewangan wujud apabila ekonomi negara memilih untuk berdagang


dengan siapa dan dicampur pula dengan politik dibawa ke mata wang. Oleh itu, sistem
kewangan menggunakan satu set kertas dan duit syiling bagi setiap negara untuk
mencipta mata wang mereka sendiri.

iii) Wang Plastik

Wang plastik terdiri daripada kredit dan debit iaitu hanya menggunakan kad.
Dengan kad itu hanya ‘panggilan bank’ dan mengatakan bahawa seseorang ingin
membuat pembelian. Bank akan membolehkan pedagang mengambil wang secara
langsung dari kad tersebut.

iv) Dompet Digital

Dompet digital wujud sewaktu internet dicipta. Paypal berjaya mendominasi


dompet digital dan digunakan lebih daripada 350 juta untuk melakukan transaksi setiap
hari oleh Paypal.

2.6 Wang Elektronik

Zaman digital bermula pada akhir 90-an, kebanyakkan transaksi ekonomi berlaku
secara elektronik serta tidak berlaku pertukaran dari mata wang fizikal. Wang elektronik
dalam bentuk bit dan bait mula diperkenalkan dan mendapat momentum pada awal tahun
2000. Seterusnya, konsep mata wang kripto diperkenalkan pada tahun 2009 oleh Satoshi
Nakamoto (di alam maya). Mata wang kripto ialah aset digital yang direka untuk
berfungsi sebagai medium pertukaran menggunakan kriptografi untuk menjamin
transaksi dan mengawal penciptaan unit tambahan mata wang. Mata wang kripto ialah
subset mata wang alternatif atau khusus untuk mata wang digital.

3.0 Analisis Hubungan Antara Pertumbuhan Penawaran Wang dengan Kredit dalam
Sektor Perbankan Malaysia

Bekalan wang di Malaysia mengalami perkembangan yang pesat sejak tiga dekad yang
lalu. Peningkatan bekalan wang ini selaras dengan perkembangan yang pesat dalam proses
pengewangan, peningkatan peranan wang dalam ekonomi, pertambahan alat kewangan dan
perkhidmatan perbankan dan perkembangan aktiviti kredit sistem perbankan (BNM, 1994).

Penawaran wang merupakan kuantiti wang nominal yang wujud dalam sesebuah
ekonomi. Menurut McCallum (1989), penawaran wang merujuk kepada gelagat penawaran
wang, yang mana gelagat bank dan lain-lain institusi kewangan yang liabilitinya berfungsi
sebagai sebahagian daripada alat pertukaran. Lazimnya, aktiviti penawaran wang ditentukan oleh
kerajaan dan sistem bank. Kerajaan memainkan peranan dalam menentukan sejumlah wang yang
harus ditawarkan iaitu menentukan berapa jumlah wang yang harus beredar di pasaran.
Penawaran wang juga ditentukan oleh sistem bank melalui penciptaan kredit, hasil daripada
simpanan semasa pemilik atau dengan pinjaman. Selain itu, bank pusat berperanan dalam
mengurus penawaran wang dalam negara dengan berpandukan kepada dasar yang sesuai dengan
keadaan ekonomi. Sementara itu, bank perdagangan turut mempengaruhi jumlah edaran wang
dalam pasaran melalui perkhidmatan kewangan yang diberikan kepada pelanggan. Dengan itu,
masyarakat mampu meninggalkan kesan ke atas penawaran wang dalam ekonomi.

Bank perdagangan mempunyai fungsi yang unik iaitu penciptaan kredit secara tidak
langsung mempengaruhi penawaran wang dalam ekonomi. Penciptaan kredit adalah proses di
mana bekalan wang sesebuah negara atau rantau ekonomi meningkat. Kebanyakan bekalan wang
adalah dalam bentuk deposit bank. Dalam pada itu, bank perdagangan mampu untuk
memberikan kredit kepada pelanggan, bekalan wang dalam pasaran telah meningkat. Cara untuk
meningkatkan bekalan wang adalah dengan menerima deposit daripada pelanggan yang
mempunyai wang tambahan dan memberi kredit kepada pelanggan yang tidak mempunyai wang
yang mencukupi. Oleh itu, penciptaan kredit adalah proses di mana deposit kecil menghasilkan
bekalan wang yang lebih banyak dalam sistem ekonomi.
Untuk membolehkan proses penciptaan kredit berlaku, sistem perbankan perlu mematuhi
peraturan tertantu yang ditetapkan iaitu kadar rizab yang diperlukan ditetapkan oleh bank pusat,
semua rizab berlebihan dipinjamkan kepada pelanggan bank, semua pembelian barangan
dilakukan dengan cek, jumlah rizab adalah dalam bentuk deposit semasa. Seterusnya, terdapat
juga contoh penciptaan kredit iaitu kadar rizab yang diperlukan ditetapkan pada 10% daripada
jumlah deposit (untuk semua bank), lebihan rizab diberikan sebagai pinjaman kepada pelanggan,
tiada kebocoran dalam sistem perbankan, semua pembayaran dibuat melalui cek, dan deposit
yang diterima ialah deposit semasa.

Sistem perbankan mencipta kredit dengan meminjamkan keluar deposit penyimpan. Bank
meminjamkan rizab berlebihan melalui penciptaan akaun cek baru. Apabila cek ditulis pada
akaun tersebut, deposit baru dicipta di bank lain. Pecahan daripada deposit baru tersebut
disimpan sebagai rizab wajib dan rizab berlebihan dipinjam keluar. Proses penciptaan kredit
berjalan melalui proses gandaan deposit. Sistem perbankan mencipta kredit dengan
meminjamkan keluar wang yang sama.

Sebagai contoh, Encik A mempunyai wang tunai RM1000 dan dia memasukkan ke dalam
akaun semasanya di Bank A. Jika nisbah rizab yang ditetapkan bank pusat 10%, maka RM100
akan dijadikan rizab manakala selebihnya (RM 900) akan dipinjamkan kepada pelanggan lain
iaitu Encik B. Maka, Encik B akan menerima RM900, RM90 akan dijadikan rizab dan
selebihnya iaitu RM810 akan dipinjamkan kepada Encik C. Dengan itu, Encik C akan menerima
RM810, RM81 akan dijadikan rizab dan selebihnya iaitu RM729 akan dipinjamkan kepada
pelanggan seterusnya. Proses penciptaan kredit ini akan berterusan sehingga tiada lebihan rizab
yang boleh digunakan untuk mencipta kredit pinjaman. Ini bermakna proses penciptaan kredit
akan tamat apabila deposit asal RM1000 Encik A digunakan kesemuanya sebagai rizab. Jumlah
perubahan dalam bekalan wang atau wang yang dicipta daripada proses peminjaman adalah
diukur dengan pengganda wang ringkas. Kemudian, selepas tamat proses penciptaan kredit,
wang yang deposit serta rizab yang dikumpul meningkat sebanyak 10 kali ganda. Namun,
penciptaan kredit hanya akan meningkat 10 kali ganda jika tidak berlaku sebarang bocoran atau
semua andaian di atas (1-7) dipenuhi. Ini merupakan proses penciptaan wang oleh bank-bank
komersial.
4.0 Dasar-dasar yang Digunakan oleh Bank Negara Malaysia untuk Mengawal Penawaran
Wang di Malaysia

Bank Negara Malaysia (BNM) ialah badan kewangan yang dimiliki oleh kerajaan bagi
mentadbir operasi kewangan kerajaan dan mengawal kestabilan kegiatan badan-badan kewangan
di Malaysia. Perkara ini untuk menjamin aktiviti dan tindakan institusi-institusi kewangan selaras
dengan dasar-dasar ekonomi Malaysia. Bank Negara Malaysia ditubuhkan pada 26 Januari 1956.
Penubuhan ini tertakluk kepada Ordinan Bank Pusat Malaya 1958. Bank Negara Malaysia
dikenali sebagai Bank Pusat di Malaysia dan bertindak sebagai jurubank dan penasihat kewangan
kepada kerajaan. Selain itu, Bank Negara Malaysia beroperasi untuk mengeluarkan mata wang
dan menyimpan rizab bagi melindungi nilai mata wang. Seterusnya, Bank Negara Malaysia turut
menggalakkan kestabilan monetari dan struktur kewangan yang kukuh.

Dasar-dasar yang digunakan oleh Bank Negara Malaysia bertindak sebagai mengubah
dan mengawalselia penawaran wang serta kadar bunga di pasaran kewangan untuk membantu
mencapai pertumbuhan ekonomi dan kestabilan harga di Malaysia. Antara dasar-dasar yang
digunakan oleh Bank Negara Malaysia adalah operasi pasaran terbuka, keperluan rizab
berkanun, keperluan mudah tunai dan pengawalan kadar faedah. Kesemua dasar ini akan
membolehkan Bank Negara Malaysia mengawal sistem kewangan terutamanya penawaran wang
di Malaysia.

4.1 Operasi Pasaran Terbuka

Operasi pasaran terbuka merupakan dasar kewangan yang efektif dan terpenting.
Operasi pasaran terbuka adalah kegiatan pembelian dan penjualan sekuriti kerajaan oleh
Bank Negara Malaysia di dalam pasaran terbuka. Dasar ini adalah dasar kewangan yang
paling aktif bagi tujuan penstabilan dan mengawal saiz penawaran wang. Perkara ini akan
memperolehi jumlah rizab bank dan mempengaruhi penawaran wang serta aliran kredit.
Semasa inflasi, Bank Negara Malaysia menjual surat-surat sekuriti atau jaminan kerajaan
seperti bon dan bil perbendaharaan kepada institusi kewangan dan orang ramai untuk
mengurangkan penawaran wang dalam ekonomi. Tindakan ini perlu diambil oleh Bank
Negara Malaysia sewaktu berdepan dengan inflasi dan seterusnya, tekanan inflasi dapat
dikurangkan. Jika berlaku deflasi, Bank Negara Malaysia akan membeli surat jaminan
daripada bank perdagangan dan orang ramai, sekali gus akan menambahkan rizab bank.
Perkara ini akan meningkatkan keupayaan bank perdagangan mengeluarkan pinjaman
tambahan serta menambahkan penawaran wang dalam edaran. Di samping itu, pembelian
surat jaminan oleh Bank Negara Malaysia akan menurunkan kadar faedahnya serta kadar
faedah aset kewangan dalam pasaran secara umum. Hasilnya, penawaran wang dalam
ekonomi dan jumlah pelaburan bertambah. Operasi pasaran terbuka merupakan inisiatif
Bank Negara Malaysia secara langsung dan kawalannya lebih menepati kehendak
kerajaan. Oleh itu, operasi pasaran terbuka adalah dasar yang digunakan oleh Bank
Negara Malaysia untuk mengawal penawaran wang di Malaysia.

4.2 Keperluan Rizab Berkanun

Keperluan rizab berkanun merupakan alat kewangan yang digunakan oleh Bank
Negara Malaysia bagi mengawal keadaan mudah tunai sistem perbankan. Di bawah
Seksyen 37(1)(c) Ordinan Bank Negara Malaysia, institusi-institusi perbankan
dikehendaki menyimpan peratusan tertentu rizab mereka dalam bentuk rizab tunai dengan
Bank Negara Malaysia. Nisbah rizab berkanun adalah peratusan simpanan khas daripada
jumlah tanggungan sebuah institusi kewangan di dalam Bank Negara Malaysia.
Simpanan khas ini adalah diwajibkan bagi setiap institusi kewangan di Malaysia. Dasar
ini mempunyai pengaruh yang sangat besar terhadap penawaran wang. Apabila kerajaan
ingin memperketatkan bekalan wang, maka nisbah rizab berkanun dinaikkan. Dengan
sebab itu, institusi kewangan terpaksa menambah jumlah rizab dan mengurangkan
penciptaan kredit agar nisbah baru dapat dipenuhi. Perkara ini akan mengurangkan
jumlah penawaran wang (mengatasi inflasi). Manakala, tindakan Bank Negara Malaysia
mengurangkan keperluan bagi nisbah rizab berkanun akan meningkatkan keupayaan bank
perdagangan untuk mencipta kredit dengan berkesan. Maka, jumlah wang dalam edaran
akan meningkat (masalah kemelesetan ekonomi).
Nisbah rizab berkanun memberi kesan terhadap keupayaan bank dalam memberi
pinjaman serta memberi kesan kepada perbelanjaan dana institusi kewangan kerana Bank
Negara Malaysia tidak akan membayar sebarang faedah terhadap rizab tersebut. Oleh itu,
nisbah rizab berkanun adalah dasar yang tegas dan kurang boleh diubah. Tetapi, nisbah
rizab berkanun berkesan untuk perubahan yang kecil dalam nisbah keperluan rizab dan
kesan yang besar terhadap kredit dan simpanan.

You might also like