You are on page 1of 10

| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

1073 | MEDC 2018


Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam 2018
Penyunting: Rahimah Embong, Hanif Md Lateh @ Junid, Mustafa Che Omar,
Mohamad Zaidin Mohamad & Abdul Hakim Abdullah
eISBN 978-967-2231-03-5 (2018), http: //www.unisza.edu.my/medc2018

PEMBENTUKAN MODEL KONSEP PENINGKATAN KESEDARAN MURID


TERHADAP ALAM SEKITAR
*1
ABDULLAH, N.H.L, 1HAMID, H, 2SHAFII, H., 2SEOW, T.W., 3MAHAT, H. & 1AHMAD, J.
1
Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
2
Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
3
Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris
4
Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi Malaysia
*hidayahl@uthm.edu.my

Abstrak: Kemerosotan kualiti alam sekitar masa kini ialah hasil daripada interaksi manusia ke atas alam
sekitar dari dulu hingga sekarang. Alam sekitar perlu dilestarikan supaya boleh dimanfaatkan oleh
generasi akan datang. Oleh itu, pendidikan dilihat sebagai salah medium yang dominan untuk
merealisasikan hasrat tersebut. Pendidikan Alam Sekitar (PAS) di Malaysia dilaksanakan secara
merentas kurikulum dalam kebanyakan mata pelajaran seawal peringkat prasekolah sehingga menengah
dan diteruskan di peringkat pengajian tinggi. Kertas kerja ini bertujuan untuk membentuk model konsep
peningkatan kesedaran murid terhadap alam sekitar. Gabungan dua model dan penambahan dua pemboleh
ubah telah menghasilkan model yang baharu. Peranan yang dimainkan oleh kedua-dua pemboleh ubah
tersebut mempunyai kaitan dengan PAS sama ada diperoleh dari sekolah atau tempat lain seperti rumah,
persekitaran, masyarakat dan lain-lain. Hal ini menunjukkan bahawa pendidikan secara formal, tidak
formal dan bukan formal memainkan peranan yang tersendiri serta mampu mempengaruhi tindakan
manusia terhadap alam sekitar. Kesimpulannya, diharap usaha ini dapat menyokong dan meningkatkan
kesedaran alam sekitar dalam kalangan murid sekolah rendah khususnya di Malaysia.

Kata kunci: Pendidikan alam sekitar, model konsep peningkatan kesedaran murid terhadap alam
sekitar, mempengaruhi

PENGENALAN

Pendidikan alam sekitar (PAS) secara umumnya merupakan usaha untuk menyebarkan ilmu dan
pengetahuan tentang alam sekitar kepada murid supaya lebih prihatin dan bertanggungjawab
terhadap alam sekitar. Namun, cabaran yang paling utama dalam etika alam sekitar ialah
mendidik manusia untuk memelihara perasaan positif dan harmoni menjurus ke arah perlakuan
atau tindakan yang betul dengan mengambil kira kepentingan alam sekitar (Agius, 2006). Etika
alam sekitar amat perlu dipraktikkan kerana objektif utamanya adalah untuk mendidik warga
masa kini supaya mengambil berat tentang alam kerana alam sekitar yang baik diperlukan untuk
kelangsungan kehidupan generasi masa kini dan akan datang. Dengan kata lain, kualiti alam
sekitar pada masa hadapan adalah bergantung kepada pembentukan, penggunaan, pemeliharaan
dan pemuliharaan alam sekitar oleh generasi terdahulu dan sekarang. Etika sensitiviti alam
sekitar masa kini terhadap generasi masa hadapan adalah antara faktor utama diharap dapat
membentuk dan mencorak alam sekitar masa hadapan, justeru pemupukan kesedaran ini perlu
dilakukan seawal usia kanak-kanak lagi supaya dapat dijadikan amalan dan budaya dalam
kehidupan seharian. Hal ini kerana kesedaran untuk memulihara dan memelihara alam sekitar
harus bermula dari dalam diri (Rohana et al., 2012).
Dalam konteks alam sekitar, pendidikan alam sekitar (PAS) merupakan wadah yang
utama dalam penyampaian ilmu tentang alam sekitar kepada manusia dengan harapan dapat
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

1074 | MEDC 2018

membentuk sikap manusia supaya lebih cakna terhadap alam sekitar. Hal ini kerana pendidikan
memainkan peranan yang signifikan untuk melindungi alam sekitar (Hanifah, 2016; Nur
Hazirah & Rosta, 2013). Sesuai dengan matlamat PAS untuk membentuk masyarakat yang
lebih peka dan prihatin terhadap isu-isu alam sekitar serta memperoleh pengetahuan, kemahiran,
nilai dan komitmen untuk berusaha dan bertindak secara individu atau bersama ke arah
penyelesaian isu-isu alam sekitar (KPM, 1998). Pembentukan sikap yang dibina dalam PAS
seterusnya diharapkan dapat melahirkan tingkah laku yang positif untuk diaplikasikan semasa
berinteraksi dengan alam. Penyataan Palmer (1998), dalam The World Conservation Strategy
menyatakan bahawa PAS mempunyai pengukur untuk mentransformasikan sikap dan tingkah
laku masyarakat sehingga dapat membentuk etika terhadap alam sekitar.
Malaysia turut melaksanakan PAS merentas kurikulum dengan giat selepas Persidangan
Bumi pada tahun 1992 dengan menerapkan nilai-nilai murni alam sekitar di semua peringkat
khususnya di peringkat sekolah dengan harapan murid memperoleh ilmu, kemahiran dan nilai
malah dalam masa yang sama bertindak secara mesra alam. Rasionalnya, pendidikan boleh
dijadikan sebagai kunci untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan awam berkenaan
masalah alam sekitar untuk manfaat generasi masa hadapan (Esa, 2010). Malah pendidikan telah
diterima sebagai medium yang paling sesuai dalam usaha untuk mengawal alam sekitar dan
pembangunan lestari, pendidikan untuk alam sekitar dan pendidikan untuk kelestarian sejak dari
Persidangan Tbilisi pada tahun 1977 (Turtle, Convery & Convery, 2015). Justeru, penulisan ini
ingin meneliti bagaimana kesedaran alam sekitar boleh dibentuk menerusi satu model yang
terjana mengikut konteks Malaysia.

PENDIDIKAN ALAM SEKITAR DI MALAYSIA

Penekanan terhadap pembelajaran nilai-nilai moral dan nilai murni dalam kurikulum sekolah
negara ini bermula dengan Perakuan 191 Laporan Jawatankuasa Kabinet 1979. Perakuan ini
menegaskan bahawa pendidikan di negara ini adalah untuk mencapai perkembangan murid yang
menyeluruh seperti yang termaktub dalam FPK. Hasil laporan Jawatankuasa Kabinet 1974
yang diterbitkan pada tahun 1979 juga telah memutuskan pelaksanaan PAS merentas kurikulum
dalam struktur KBSR dan KBSM (KPM, 2010). Pembentukan Kurikulum Baru Sekolah
Rendah adalah berlandaskan Perakuan 57 (a) Laporan Kabinet pada tahun 1979:

Kurikulum sekolah rendah itu hendaklah dirancang untuk membolehkan murid-murid mencapai
kemahiran dalam tiga bidang asas iaitu bidang komunikasi, bidang manusia dengan alam
sekitar dan bidang perkembangan diri individu sesuai dengan keperluan, minat, bakat dan
kemampuan mental serta kesediaan murid-murid itu.

Dalam hal ini, PAS membantu generasi masa hadapan mengawal kehidupan seharian dan
memakmurkan masa hadapan dengan pengetahuan dan kesedaran yang tinggi terhadap alam
sekitar (Perikleous, 2004). Hal ini kerana melestarikan kesedaran alam sekitar dalam diri murid
adalah penting bagi memakmurkan negara dengan tidak mengabaikan kepentingan alam semula
jadi. Langkah mengintegrasikan PAS di sekolah ialah langkah yang tepat dan difikirkan
berkesan untuk membentuk sikap dan transformasi tingkah laku sekiranya semua pihak
memberi kerjasama yang jitu ke arah menyelamatkan alam. Oleh itu, komponen afektif yang
diuruskan dengan baik dan positif boleh menyumbang ke arah pembentukan kepercayaan dan
sikap terhadap alam sekitar.
Pelaksanaan PAS di Malaysia merupakan langkah yang bijak dan tepat untuk memelihara dan
memulihara alam sekitar yang telah mengalami kemerosotan. Kemerosotan yang ketara ini
berlaku sejak negara mencapai kemerdekaan kerana pada ketika itu pembangunan negara
merupakan keutamaan agenda negara sehingga mengabaikan alam sekitar. Menurut Chan
(2006), negara-negara membangun selalu meletakkan keutamaan pada pembangunan ekonomi
melebihi bidang pembangunan lain yang mengakibatkan kemerosotan alam sekitar. Keadaan ini
diburukkan lagi dengan kelemahan perancangan dan pengurusan alam sekitar yang
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

1075 | MEDC 2018

mengakibatkan kemerosotan alam sekitar seperti masalah sumber air bersih, jerebu dan
pencemaran-pencemaran berkaitan alam sekitar berleluasa.
Dalam kajian Özmen dan Karamustafaoğlu (2006), menegaskan tentang kepentingan
kesedaran alam sekitar dalam usaha untuk membentuk dan membangunkan kesedaran individu
terhadap alam sekitar telah mendapati bahawa PAS perlu memainkan peranan yang penting
dalam semua tahap bermula dari pendidikan rendah hingga ke peringkat tertinggi. Dapatan ini
menunjukkan bahawa kesedaran individu terhadap alam sekitar perlu dipupuk sejak di bangku
sekolah rendah lagi supaya boleh dijadikan amalan apabila berinteraksi dengan alam sekitar
dewasa kelak. PAS mesti diintegrasikan dengan baik dalam kurikulum sekolah, kempen PAS
secara umum sepatutnya berterusan, perlindungan alam sekitar perlu diletakkan pada agenda
politik dan sektor korporat yang mempunyai tanggungjawab (Chan, 2012). Jika dilihat dalam
konteks Malaysia, kerajaan telah mengambil langkah yang tepat dengan memperkenalkan PAS
merentas kurikulum bermula dari pendidikan prasekolah hingga peringkat sekolah menengah
dan seterusnya ke peringkat tertinggi pengajian. Dengan harapan, ilmu pengetahuan yang
diperoleh dapat dijelmakan dalam bentuk tingkah laku positif terhadap alam sekitar.
Rentetan daripada itu, alam sekitar merupakan salah satu fokus utama dalam pendidikan
Malaysia. Keprihatinan terhadap kepentingan pendidikan dan alam sekitar telah menghasilkan
Strategi Hijau Malaysia dalam Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) yang telah dilancarkan pada
14 November 2002. Strategi ini menumpukan ke arah bidang-bidang tertentu termasuk bidang
pendidikan dan kesedaran yang disenaraikan sebagai bidang pertama. Dalam DASN,
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (2002) menyatakan bahawa bagi memperoleh
kefahaman yang lebih mendalam dan lebih baik tentang konsep kesejahteraan alam sekitar dan
pembangunan lestari, sikap prihatin terhadap alam, pendidikan dan kesedaran alam sekitar
adalah digalakkan secara menyeluruh dengan penggabungan penyebaran makluman serta
latihan selaras dengan cadangan-cadangan dalam Agenda 21. Hal ini dapat dijelaskan melalui
pendidikan dan kesedaran dalam Strategi Hijau Malaysia selaras dengan Agenda 21. Tindakan
kerajaan Malaysia memperkenal dan melaksanakan Dasar Alam Sekitar dengan tujuan untuk
meneruskan kemajuan ekonomi, sosial, budaya dan peningkatan kualiti hidup rakyat menerusi
kesejahteraan alam sekitar dan perkembangan lestari amat tepat (Mumtazah, 2011). Walau
bagaimanapun, dasar ini akan menjadi sukar untuk dilaksanakan dan mencapai objektif
sepenuhnya sekiranya tiada kerjasama daripada semua pihak.
Di Malaysia, kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar kepada negara telah bermula
dengan pemimpin utama negara yang mementingkan perlindungan alam sekitar sama seperti
kepentingan pembangunan negara. Kenyataan ini dapat dijelaskan dengan Dasar Pembangunan
Negera (DPN) yang telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana
Menteri Malaysia yang ke-4 pada 17 Jun 1991. Rangka Rancangan Jangka Panjang Kedua
(RRJP 2) 1991-2000 telah digubal berdasarkan DPN untuk menjadikan Malaysia sebuah negara
maju menjelang 2020. Dalam strategi pelaksanaan ke-8 menyatakan bahawa untuk mencapai
hasrat ini, perhatian yang sewajarnya perlu diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan
ekologi supaya pembangunan negara dapat diusahakan secara berterusan. Perkara ini demikian
kerana manusia memerlukan penggunaan alam sekitar untuk kelangsungan hidup dan
kesejahteraan tetapi pada masa yang sama manusia juga perlu melindungi alam sekitar untuk
tujuan yang sama (Milfont & Duckitt, 2004).
Penerbitan Buku Panduan Guru Pendidikan Alam Sekitar Merentas Kurikulum (1998)
oleh Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK), sekarang Bahagian Perkembangan Kurikulum
(BPK) merupakan buku rujukan utama PAS yang dapat memandu guru dalam penyampaian
ilmu ini. Ketua Pengarah Pendidikan, KPM ketika itu, Dato’ Dr. Abdul Shukor bin Abdullah
berharap agar buku panduan tersebut dapat membantu guru menerapkan nilai-nilai murni alam
sekitar dalam setiap mata pelajaran melalui proses PdP (KPM, 1998). Kini, pelaksanaan
PAK21 yang merupakan PdP berpusatkan murid berteraskan 4 elemen iaitu komunikasi,
kolaboratif, pemikiran kritis dan kreativiti. Selain itu, aplikasi atau penerapan nilai murni dan
etika juga sangat ditekankan. Kepentingan penerapan nilai murni dan etika selari dengan
keempat-empat elemen tersebut dan merupkan salah asas daripada 5 asas standard PAK21.
Penerapan nilai-nilai murni dalam PdP diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran murid
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

1076 | MEDC 2018

terhadap alam sekitar dan seterusnya bertindak secara positif sama ada secara individu mahupun
kolektif terhadap alam sekitar.

MEMBENTUK MODEL KONSEP PENINGKATAN KESEDARAN ALAM SEKITAR


MURID

Melalui kajian awalan yang dibuat dengan merujuk kepada kajian-kajian lepas mendapati
bahawa pelaksanaan untuk meningkatkan kesedaran murid terhadap alam sekitar masih boleh
ditambah baik. Model yang dibina merupakan hasil adaptasi daripada dua model iaitu Model
Awal Tingkah Laku Pro-Alam Sekitar oleh Kollmus dan Agyeman (2002) dan Model
Pendekatan Pembelajaran PAS oleh Palmer dan Neal (1994) dengan mengambil kira hasil
kajian awalan. Penambahbaikan kedua-dua model tersebut dapat dilakukan dengan menambah
pemboleh ubah demografi dan persepsi kerana kedua-dua pemboleh ubah ini mempunyai
pengaruh yang tersendiri dalam meningkatkan kesedaran murid terhadap alam sekitar.
Dalam Model Awal Tingkah Laku Pro-Alam Sekitar yang dipelopori oleh Kollmuss
dan Agyeman (2002) menyatakan bahawa dengan bekalan pengetahuan sedia ada akan
meningkatkan kesedaran dan keprihatinan (sikap) murid dan seterusnya diharap dapat
melahirkan insan yang mempunyai tingkah laku yang lebih positif terhadap alam sekitar. Rajah
1 menunjukkan Model Awal Tingkah Laku Pro-Alam Sekitar yang menerangkan bahawa
seseorang individu akan menggunakan pengalaman sedia ada bagi melaksanakan sesuatu
tindakan yang selanjutnya.

Rajah 1: Model Awal Tingkah Laku Pro-Alam Sekitar


Sumber: Kollmuss & Agyeman, (2002).

Model ini menjelaskan bahawa hubungan antara pengetahuan, kesedaran, keprihatinan (sikap)
dan tingkah laku terhadap alam sekitar adalah linear. Menurut Kollmus dan Agyeman (2002)
lagi, kesedaran alam sekitar juga dipengaruhi oleh komponen kognitif dan afektif yang
merupakan gabungan dua komponen utama. Komponen kognitif merupakan segala perkara
yang berkaitan dengan kognisi seperti proses pembelajaran, pemahaman dan pemerolehan yang
terbentuk dalam pemikiran manusia serta mendorong manusia bertindak mengikut pengetahuan
yang diperoleh. Pengetahuan yang diperoleh dan dikembang di institusi pendidikan seperti
sekolah dipercayai dapat meningkatkan lagi pengetahuan, kemahiran dan kesedaran murid
terhadap alam sekitar. Komponen afektif pula berkaitan dengan emosi atau perasaan terhadap
alam sekitar yang merupakan faktor yang tidak kurang penting dalam mencorak dan membentuk
kepercayaan, nilai dan sikap terhadap alam sekitar.
Selain itu, terdapat pelbagai pendekatan yang ada dalam usaha untuk menyampaikan
pengetahuan PAS kepada umum khususnya murid. Pendekatan yang dipilih biasanya
diperhalus berdasarkan persekitaran murid, objektif yang hendak disampaikan, pengetahuan
sedia ada murid, kemudahan semasa dan beberapa faktor lain kadang-kala membawa impak
besar kepada pemahaman kumpulan sasaran. Model Pendekatan Pembelajaran PAS merupakan
sebuah model yang mengimplementasikan tiga elemen penting. Ketiga-tiga elemen ini
merupakan komponen yang saling berkait dan perlu difahami serta diambil kira semasa
membina kurikulum PAS (Palmer & Neal, 1994). KPM (1998) dan BPG (2002/2003)
menyatakan bahawa tiga elemen penting yang menjadi dasar atau asas perancangan kurikulum
PAS itu ialah pendidikan mengenai alam sekitar, pendidikan untuk alam sekitar dan pendidikan
melalui atau dalam alam sekitar itu sendiri yang merangkumi seluruh alam semesta. Hubungan
ketiga-tiga elemen tersebut dapat dilihat pada Rajah 2.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

1077 | MEDC 2018

Rajah 2: Model Pendekatan Pembelajaran PAS (Palmer & Neal, 1994)

Model ini menjelaskan bahawa elemen pendidikan mengenai alam sekitar bertujuan untuk
membentuk pengetahuan yang berfokus kepada pembangunan kognitif tentang alam dan sistem
semula jadi melalui aktiviti kajian supaya kurikulum yang terbina dapat diterima oleh kumpulan
sasaran seperti murid dan agen penyampai (guru) untuk mencapai objektif PAS yang telah
ditetapkan. Pendidikan untuk alam sekitar iaitu berhubung dengan perkembangan sikap dan
nilai menyayangi alam sekitar termasuk elemen kefahaman manusia dan tingkah laku pula
bertumpu kepada penglibatan afektif yang dapat menggalakkan murid meneroka respons
peribadi tentang hubungan dengan alam sekitar dan isu-isu alam sekitar dengan mengambil kira
etika personal, sifat bertanggungjawab dan mengambil berat tentang alam sekitar. Pendidikan
dalam alam sekitar pula melibatkan aktiviti dan pembelajaran secara langsung dengan alam
sekitar yang lebih berpusatkan murid.
Kedua-dua model ini mempunyai kekuatan dan kelemahan yang dapat ditambah baik
sekiranya dijalankan secara serentak. Penglibatan pengetahuan, sikap dan tingkah laku dalam
pendidikan alam sekitar adalah penting untuk menghasilkan output yang positif terhadap alam
sekitar. Walau bagaimanapun, pemboleh ubah lain seperti demografi dan persepsi juga didapati
berkait rapat dan berupaya mempengaruhi kesedaran murid terhadap alam sekitar. Steele
(1980) menyatakan bahawa kompetensi alam sekitar termasuk komponen persepsi, kognitif,
afektif, tingkah laku dan peribadi seseorang individu. Dapatan kajian terdahulu juga
menunjukkan bahawa manusia menilai masalah alam sekitar daripada sudut yang berbeza
kerana terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kesan terhadap persepsi dan penilaian
masalah tersebut (Dunlap & Jones, 2002; Milfont & Gouveia, 2006). Persepsi permulaan juga
terbentuk melalui pemerhatian dan pengalaman peribadi dalam persekitaran tempatan dan
liputan media terhadap isu-isu global (Cullingford, 1995). Melalui kajian awalan yang telah
dilakukan, pengkaji mendapati bahawa pemboleh ubah persepsi juga mempunyai pengaruh
terhadap kesedaran murid terhadap alam sekitar. Oleh itu, pemboleh ubah ini diambil kira
untuk mengisi dan mengukuhkan lagi model sedia ada supaya output yang terhasil daripada
model ini lebih berkesan.
Selain persepsi, demografi juga memainkan peranan yang penting dalam menentukan
kesedaran murid terhadap alam sekitar. Hal ini kerana banyak model tingkah laku alam sekitar
yang telah dibangunkan dalam aspek psikologi dan sosial alam sekitar sama ada terlibat secara
langsung mahupun tidak pada pemboleh ubah seperti rumah, ibu bapa atau keluarga (Stern,
2000; Kollmuss & Agyeman, 2002). Demografi seperti taraf pendidikan ibu bapa, ibu bapa
sebagai suri teladan dalam tindakan terhadap alam sekitar, pendapatan dan pendidikan awal
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

1078 | MEDC 2018

dipercayai dapat mempengaruhi tingkah laku murid terhadap alam sekitar. Perkara ini kerana
menurut Teori Pembelajaran Sosial, proses pembelajaran berlaku melalui pemerhatian,
pengalaman dan pengajaran langsung (Bandura, 1977, 1986). Keadaan ini menyebabkan murid
cenderung untuk meneladani tingkah laku dan perbuatan ibu bapa. Hasil kajian Pe’er et al.
(2007) juga menunjukkan bahawa wujud hubungan signifikan dan positif antara pengetahuan
alam sekitar responden dengan tahap pendidikan ibu. Ibu bapa juga dijadikan sebagai suri
teladan dalam tindakan yang diambil (Shamsul Azhari, 2011). Oleh itu, pengkaji mendapati
bahawa ada keperluan untuk mengambil kira pemboleh ubah demografi sebagai satu daripada
pemboleh ubah yang dapat mempengaruhi kesedaran murid terhadap alam sekitar. Rajah 3
menunjukkan penambahan pemboleh ubah baharu dalam pemboleh ubah sedia ada seperti pada
Model Awal Tingkah Laku Pro-Alam Sekitar.

Rajah 3: Penambahan pemboleh ubah persepsi dan demografi dalam Model Awal Tingkah
Laku Pro-Alam Sekitar

Gabungan kedua-dua model ini iaitu Model Awal Tingkah Laku Pro-Alam Sekitar dan Model
Pembelajaran PAS menunjukkan bahawa pemboleh-pemboleh ubah yang diuji dalam kajian ini
jika digabungjalinkan dengan elemen pembelajaran PAS melalui Model Pembelajaran PAS
dapat merangkumkan pembelajaran PAS secara menyeluruh iaitu pendidikan dalam alam
sekitar, pendidikan mengenai alam sekitar dan pendidikan untuk alam sekitar. Pengetahuan
yang dipelajari secara menyeluruh iaitu dalam, mengenai dan untuk alam sekitar diharapkan
dapat meningkatkan kesedaran murid terhadap alam sekitar secara tuntas. Hal ini kerana
melalui pendidikan rasmi, pemikiran dan tingkah laku murid dapat disemai daripada
pemerolehan pengetahuan, sikap dan persepsi (Skanavis et al., 2004). Rajah 4 menunjukkan
gabungan dua model dan penambahan pemboleh ubah.

Rajah 4: Model gabungan Model Awal Tingkah Laku Pro-Alam Sekitar dan Model
Pembelajaran PAS serta penambahan pemboleh ubah persepsi dan demografi
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

1079 | MEDC 2018

Rajah 4 menunjukkan gabungan Model Awal Tingkah Laku Pro-Alam Sekitar dan Model
Pembelajaran PAS serta penambahan pemboleh ubah persepsi dan demografi. Dengan
pengetahuan sedia ada sama ada diperoleh secara formal atau tidak dan pengaruh demografi
akan membantu murid bertindak secara lebih positif terhadap alam sekitar. Bimbingan dan
didikan daripada ibu bapa dan persekitaran yang positif terhadap alam sekitar akan menjuruskan
tindakan positif murid terhadap alam sekitar. Dengan pengetahuan dan teladan ibu bapa juga
turut dapat mempengaruhi tingkah laku murid terhadap alam sekitar. Hal ini kerana murid
sebagai anak akan mudah meniru tingkah laku ibu bapa. Selain itu, penerapan nilai-nilai
kehidupan seharian terhadap alam sekitar juga banyak diperoleh dari rumah dan persekitaran
berbanding dengan sekolah. Sebagai contohnya, aktiviti kitar semula dan penjimatan elektrik
dijalankan di rumah. Oleh itu, dengan pengaruhi demografi dapat menjuruskan tingkah laku
murid secara positif terhadap alam sekitar setelah melalui pendidikan dalam alam sekitar,
pendidikan mengenai alam sekitar dan pendidikan untuk alam sekitar.
Persepsi dalam konteks ini merujuk kepada pandangan atau tanggapan murid terhadap
isu-isu alam sekitar berdasarkan pengetahuan dan pengalaman yang pernah dilalui. Tanggapan
dan pandangan murid terhadap tingkah laku orang dewasa akan mempengaruhi tindakan
terhadap alam sekitar. Setiap tingkah laku yang dilihat dan didengar akan menyebabkan murid
cenderung untuk meniru kerana pada dasarnya kanak-kanak sentiasa meneroka dan mempelajari
sesuatu benda baharu dalam kehidupannya. Oleh itu, persepsi murid terhadap alam sekitar perlu
dipastikan supaya positif agar dapat mendorong ke arah tindakan yang positif terhadap alam
sekitar. Dengan ini, persepsi positif dapat diterjemahkan dalam pendidikan dalam alam sekitar,
pendidikan mengenai alam sekitar dan pendidikan untuk alam sekitar.
Pembentukan model baharu ini diharapkan dapat membantu meningkatkan kesedaran
alam sekitar murid terhadap alam sekitar. Hal ini kerana pengetahuan yang diperoleh sama ada
secara formal, tidak formal dan bukan formal dapat mempengaruhi persepsi murid seiring
dengan pengaruh demografi dan sikap murid. Pengaruh yang positif kebiasaannya akan
mendatangkan impak yang positif terhadap alam sekitar. Seterusnya, alam sekitar yang ada
pada setika ini dapat dikekalkan dan ditambah baik untuk kegunaan generasi masa akan datang.

KESIMPULAN

Kesedaran alam sekitar dalam kalangan murid dapat ditingkatkan sekiranya semua pihak
memainkan peranan yang berkesan. Hal ini termasuklah ibu bapa, sekolah, masyarakat dan
negara. Faktor demografi dan persepsi memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk
meningkatkan kesedaran murid terhadap alam sekitar. Pengetahuan yang diperoleh dari sekolah
akan dapat dipraktikkan di rumah dengan bimbingan dan didikan ibu bapa ke arah kelestarian
alam sekitar. Begitu juga dengan masyarakat, perlulah sentiasa bertindak secara positif terhadap
alam supaya dapat menunjukkan suri teladan yang positif kepada murid. Melalui pemerhatian
murid terhadap tingkah laku dan tindakan ibu bapa, masyarakat dan persekitaran dipercayai
dapat mencetuskan persepsi yang positif terhadap alam sekitar.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

1080 | MEDC 2018

RUJUKAN

Agius, E. (2006). Environmental Ethics: Towards an intergenerational perspective. Dlm. Have,


H. A.M. J. T. (Ed). Environmental Ethics and International Policy. Perancis: UNESCO
Publishing.
Bandura, A. (1977). Social Learning Theory. Englewood Cliffs, New Jersy: Prentice-Hall.
Bandura, A. (1986). The Social Foundation of Thought and Action: A Social Cognitive Theory.
Englewood Cliffs, New Jersy: Prentice-Hall.
BPG. (2002/2003). Modul Pendidikan Alam Sekitar: Kursus Pendek Kelolaan Maktab (KPM).
Malaysia: KPM.
Chan, N. W. (2006). Striking a balance between development and environment in Cameron
Highlands. Dlm. Chan Ngai Weng (ed) Cameron Highlands: Issues & challenges in
sustainable development: Penang: School of Humanities, Universiti Sains Malaysia, 12-
25.
Chan, N. W. (2012). Awareness of environmental issues and reality: A Malaysian perspective.
Kertas kerja dibentangkan dalam International Environment and Health Conference.
Vistana Hotel: Pulau Pinang. 6-7 Jun. XXV-XLV
Dunlap, R. E. & Jone, R. E. (2002). Environmental concern: Conceptual and measurement
issues. Dlm. Dunlap, R. E & Michelson, W. (eds.). Handbook of Environment Sociology.
Greenwood Press, Westport, CT, 482-524.
Esa, N. (2010). Environmental knowledge, attitudes and practices of student teachers.
International Research in Geographical and Environmental Education, 19(1): 39-50.
Hanifah, M, & Shaharuddin, I. (2016). Education for sustainable development in Malaysia: A
study of teacher and student awareness, GEOGRAFIA, 6(6), 77–88.
Kollmuss, A. & Agyeman, J. (2002). Mind the gap: Why do people act environmentally and
what are the barriers to pro-environmental behaviour? Environmental Education
Research, 8(3): 239-260.
http://www.eric.ed.gov/ERICWebPortal/search/detailmini.jsp?_nfpb=true&_&ERICExtS
earch_SearchValue_0=EJ652842&ERICExtSearch_SearchType_0=no&accno=EJ652842
KPM. (1998). Buku Panduan Guru Pendidikan Alam Sekitar Merentas Kurikulum KBSR. Kuala
Lumpur: PPK.
KPM. (2010b). Modul Pengajian Asas Pendidikan Alam Sekitar Kursus Perguruan Lepas Ijazah
Sekolah Rendah (KPLI SR). Putrajaya: KPM.
Milfont, T. L. & Duckitt, J. (2004). The structure of environmental attitudes: First- and second-
order confirmatory factor analysis. Journal of Environmental Psychology, 24: 289-303.
Milfont, T. L., & Gouveia, V. V. (2006). Time perspective and values: An exploratory study of
their relations to environmental attitudes. Journal of Environmental Psychology, 26: 72-
82.
Mohamad Suhaily Yusri. C. N. & Mohmadisa. H. (2005). Pembangunan dan pendidikan alam
sekitar di Malaysia: Isu dan Cabaran. Dlm. Mohmadisa. H & Mohamad Suhaily Yusri. C.
N. (Eds). Pembangunan dan Alam Sekitar di Malaysia. Tanjong Malim: Penerbit
Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Mumtazah, O. (2011). Penggunaan lestari: Konsep dan pengenalan. Dlm. Mumtazah Othman
dan Nurizan Yahaya (ed.). Penggunaan Lestari: Bagaimana Tingkah Laku Remaja?
Serdang: UPM. 1-11.
Nur Hazirah, H. N. & Rosta, H. (2013). The environmental education knowledge and attitude
among children in selected kindergartens and pre-school. Dlm Nasir Nayan, Mohamad
Suhaily Yusri Che Ngah, Yazid Saleh, Mohmadisa Hashim, Kamarul Ismail, Zainudin
Othman, Mazdi Marzuki, Hamidin Ithnin, Fauziah Che lah, Mohd Faris Dziauddin, Mohd
Hairy Ibrahim & Zuriatunfadzaliah Sahdan (eds). Prosiding Persidangan Kebangsaan
Geografi & Alam Sekitar Kali Ke-4. Tanjong Malim: UPSI, 123-132.
Özmen, H. & Karamustafaoğlu, O. (2006). Environmental consciousness and education
relationship: Determination of how environment-based concepts are place in Turkish
science curricular. Asia-Pacific Forum on Science Learning and Teaching, volume 7,
issue 2, article 7, p.1. December 2006.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

1081 | MEDC 2018

http://www.eric.ed.gov/ERICWebPortal/search/detailmini.jsp?_nfpb=true&_&ERICExtS
earch_SearchValue_0=EJ847942&ERICExtSearch_SearchType_0=no&accno=EJ847942
Palmer, J. A. (1998). Environmental Education in the 21st Century: Theory, Practice, Progress
and Promise. London and New York: Routledge.
Pe’er, S. Goldman, D. &Yavets, B. (2007). Environmental literacy in teacher training:
Attitudes, knowledge and environmental behavior of beginning students. The Journal of
Environmental Education. 39(1): 45-59.
Perikleous, E. (2004). The Status of Environmental Education in Cyprus Today. Dlm. MIO-
ECSDE. The Status of Environmental Education in The Mediterranean Countries Within
the Formal Non-Formal Educational System. Dec, Issue No. 34.
Rohana, O., Rosta, H., Azizi. M. & Ismi Arif, I. (2012). Kesan aktiviti melukis dan penghayatan
mural sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan kesedaran alam sekitar dalam
kalangan pelajar sekolah menengah di Kuala Lumpur. Dlm. Azizi Muda, Mohmadisa
Hashim, Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah & Nasir Nayan (eds.). Pendidikan Alam
Sekitar: Melestarikan Kesedaran Masyarakat di Malaysia. Tanjong Malim: UPSI.173-
188.
Shamsul Azhari, Z. B. (2011). Sikap remaja terhadap penggunaan lestari. Dlm. Mumtazah, O.
dan Nurizan, Y (eds). Penggunaan Lestari: Bagaimana Tingkah Laku Remaja? Serdang:
Universiti Putra Malaysia. 46-62.
Skavanis, C., Petreniti, V. & Giannopoulou, K. (2004). Educator and environmental education
in Greece. Protection and Restoration of the Environment VII: Social, Cultural,
Educational and Sustainability Issues, 7(2).
Stern, P. C. (2000). Toward a coherent theory of environmentally significant behavior. Journal
of Social Science, 56(3): 407-424.
Turtle, C., Convery, I., & Convery, K. (2015). Forest Schools and Environmental Attitudes: A
Case Study of Children Aged 8 – 11 years. Cogent Education, 11(1), 1–14.
| Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam, 7-8 November 2018 |

1082 | MEDC 2018

You might also like