You are on page 1of 26

1.

0 ULASAN SETIAP ARTIKEL


1.1 Tajuk Artikel : KESAN PENDEKATAN PENGAJARAN BERASASKAN OTAK
TERHADAP MOTIVASI PEMBELAJARAN FIZIK

Penulis : Nor Amira Mazlin dan Zanaton Iksan


Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia

1.1.1 Prosedur Kajian


Kajian berbentuk kuasi eksperimen telah dilakukan untuk melihat keberkesanan
Pendekatan Pengajaran Berasaskan Otak (PPBO) dalam meningkatkan motivasi dan
kefahaman pelajar tingkatan empat berkenaan tajuk daya dan tekanan. Kajian ini
melibatkan seramai 50 orang pelajar Sains tingkatan empat yang mengambil Fizik
sebagai salah satu subjek teras dari dua buah sekolah berbeza. Pengumpulan data
sampel dibahagikan kepada dua kategori iaitu 25 orang pelajar kumpulan
eksperimen menerima pengajaran melalui PBO manakala 25 pelajar kumpulan
kawalan menerima pengajaran secara konvensional. Borang soal selidik Motivasi
Pembelajaran Fizik berskala Likert 5 terdiri daripada 25 item yang diadaptasi
daripada Physics Motivational Questionnaire (PMQ) digunakan dalam kajian ini.
Penulis menggunakan Perisisan SPSS 23.0 untuk membuat analisis inferensi ujian-t
sampel bebas dan PMQ digunakan untuk mengukur tahap motivasi pelajar
berdasarkan skor pelajar dalam pra-ujian dan pasca-ujian.

1.1.2 Hasil Perbincangan Kajian


Berdasarkan dapatan kajian yang diperoleh, penulis mendapati tahap motivasi
pelajar aliran Fizik yang mengikuti pengajaran secara Pembelajaran Berasaskan Otak
lebih tinggi berbanding dengan pelajar yang menerima pengajaran secara
konvensional. Hal ini dapat dibuktikan apabila terdapat peningkatan skor motivasi
dalam pasca-ujian. Penulis menyimpulkan pendekatan PBO ini dapat meningkatkan
motivasi pelajar tingkatan empat untuk belajar Fizik. Penulis berpendapat melalui
PBO, keadaan yang tenang atau relaxed alertness dapat meningkatkan minat pelajar
dan pelajar lebih mudah memahami konsep-konsep fizik menerusi aktiviti hands on
kerana mereka dapat melihat hasil daripada teori yang dipelajari sebelumnya.
Pengkaji juga ada menyentuh pembelajaran Berasaskan Otak in dilihat mampu
mewujudkan strategi pembelajaran aktif serta menarik, mewujudkan komunikasi
baik antara guru dan pelajar serta meransang pelajar memproses maklumat secara
efektif. Di akhir penulisan artikel ini, penulis menekankan bahawa untuk
meningkatkan motivasi pelajar, persekitaran pembelajaran yang tenang perlu
diwujudkan terlebih dahulu.

1.2 Tajuk Artikel : PERANAN MOTIVASI PEMBELAJARAN, GAYA KEIBUBAPAAN


DAN SIKAP DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK

Penulis : Nurul Ain Hamsari dan Azizi Yahaya


Fakulti Pendidikan Universiti Malaysia

1.2.1 Prosedur Kajian


Artikel ini ditulis bertujuan untuk mengetahui hubungan antara motivasi
pembelajaran, gaya keibubapaan dan sikap dengan pencapaian akademik dalam
kalangan pelajar sekolah menengah. Penulis telah memilih seramai 291 pelajar dari
1200 populasi kajian secara rawak melibatkan pelajar tingkatan empat di beberapa
buah sekolah menengah di daerah Kulai, Johor. Kaedah pengedaran borang soal
selidik digunakan kerana penulis berpendapat bahawa kaedah ini lebih mudah
ditadbir oleh pihak sekolah dan penganalisisan data senang untuk diperoleh.

1.2.2 Hasil Perbincangan Kajian


Dalam kajian ini, penulis telah mengkelaskan setiap faktor dominan dalam Motivasi
Intrinsik merangkumi faktor matlamat, minat dan usaha manakala Motivasi Ekstrinsik
diwakili oleh faktor gred, pujian dan ganjaran. Penulis mendapati faktor dominan
dalam Motivasi Intrinsik adalah faktor matlamat dan menyuarakan pendapat bahawa
melalui matlamat pelajar boleh belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-
cita yang diimpikan.
Penulis juga menyatakan faktor gred mempengaruhi motivasi ekstrinsik
seseorang pelajar dalam meningkatkan usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam
akademik. Berdasarkan laporan kajian, penulis mendapati gaya keibubapaan
responden secara menyeluruh adalah gaya keibubapan autoritatif. Oleh itu, penulis
berpendapat bahawa ibu bapa yang berjawatan tinggi mengamalkan gaya
keibubapaan yang bersifat demokratik atau autoritatif dalam mendidik anak yang
kurang masalah tingkah laku dan lebih berjaya dalam pencapaian akademik.
Selain motivasi dan gaya keibubapaan, penulis turut membincangkan hubung
kait antara sikap pelajar dengan pencapaian akademik. Penulis mendapati sikap
pelajar yang ditonjolkan dalam kajian ini adalah bersifat positif. Menurut penulis,
pengalaman sikap positif seperti saling hormat-menghormati, ikhlas dan jujur
merupakan aspek yang penting dalam kehidupan seharian. Kajian ini juga
mendapati, sikap negatif seperti melawan, mengejek dan mengkritik tidak boleh
diamalkan oleh pelajar sekolah kerana ianya boleh membawa impak negatif terhadap
kehidupan pelajar itu sendiri.

1.3 Tajuk Artikel : HUBUNGAN ANTARA MOTIVASI DAN PENERIMAAN


DENGAN PENCAPAIAN AKADEMIK PELAJAR DALAM
PELAJARAN MENGGUNAKAN M-PEMBELAJARAN DI KOLEJ
VOKASIONAL

Penulis : Roghdaryanti Hashim & Maizatul Hayati Mohammad Yatim


Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif
Universiti Pendidikan Sultan Idris

1.3.1 Prosedur Kajian


Menurut penulis, apabila trend teknologi peralatan mudah alih mula digunakan
dalam pendidikan, corak pendidikan sedia ada seperti e-pembelajaran akan turut
berkembang dengan kehadiran kaedah pembelajaran baharu iaitu m-pembelajaran.
Kaedah m-pembelajaran ini digunakan oleh penulis dalam kajian ini untuk
menentukan hubungan antara motivasi dan penerimaan dengan pencapaian
akademik pelajar dalam pembelajaran Penyelenggaran Pencegahan Komputer di
kolej-kolej kejuruan. Penulis menjalankan penyelidikan kuantitatif berbentuk statistik
deskriptif dan rekabentuk hubungan (korelasi) melalui kaedah persampelan mudah
rawak melibatkan 70 responden dari 85 populasi jurusan Penyelenggaran
Pencegahan Komputer dari empat buah kolej vokasional di Kuala Lumpur dan
Selangor.

1.3.2 Hasil Perbincangan Kajian


Penulis mendapati faktor Motivasi Instrinsik, keseronokan dan niat tingkahlaku lebih
mempengaruhi pencapaian akademik pelajar dalam m-pembelajaran Computer
Preventive Maintenance di kolej vokasional. Menurut penulis dalam konteks motivasi
instrinsik, pelajar lebih mengutamakan rasa seronok dan puas hati dalam
pembelajaran mereka berbanding dengan mengharapkan ganjaran atau apa-apa
imbuhan setelah melaksanakan sesuatu tugasan. Tambahan penulis selain dari
motivasi instrinsik, niat tingkahlaku juga merupakan hasrat yang tinggi untuk pelajar
menggunakan m-pembelajaran dalam aktiviti pembelajaran mereka. Seterusnya
penulis menyatakan apabila seseorang pelajar itu mempunyai minat, rasa seronok
dan bersemangat maka mereka akan mempunyai hasrat yang tinggi untuk
menggunakan m-pembelajaran. Saya bersetuju dengan pendapat penulis ini kerana
penggunaan peralatan teknologi dalam m-pembelajaran akan mampu menarik minat
pelajar untuk belajar. Bukan sahaja itu, pelajar juga dapat memupuk hasrat atau
keinginan yang tinggi untuk melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti pembelajaran
seperti m-pembelajaran disebabkan oleh persekitaran pembelajaran yang menarik
dan menghiburkan.

1.4 Tajuk Artikel : MOTIVASI INTRINSIK DAN EKSTRINSIK PELAJAR DALAM


AKTIVITI KEMAHIRAN MEMBACA TEKS ARAB

Penulis : 1. Mohd Hazli Yah @ Alias


(Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal
Abidin)
2. Maimun Aqsha Lubis
(Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia)

1.4.1 Prosedur Kajian


Penulisan artikel ini bertujuan untuk mencapai dua tujuan utama iaitu pertama,
mengenal pasti faktor-faktor motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik dalam
mendorong pelajar belajar bahasa Arab. Kedua, mengenal pasti perbezaan antara
pendekatan motivasi intrinsik dan motivasi ekstrinsik berdasarkan jantina pelajar.
Penulis menggunakan pendekatan kuantitatif berbentuk soal selidik melibatkan 131
orang pelajar yang terdiri daripada 65 orang pelajar lelaki dan 66 pelajar perempuan
untuk menjayakan kajian ini. Data yang diperoleh dianalisis menggunakan statistik
deskriptif dan Ujian-t serta diringkaskan dalam bentuk Jadual Frekuensi.

1.4.2 Hasil Perbincangan Kajian


Berdasarkan hasil dapatan kajian, penulis merumuskan pelajar lelaki dan perempuan
mempunyai nilai tahap motivasi yang sama dalam pembelajaran bahasa Arab.
Menurut penulis, seseorang yang mempunyai nilai intrinsik yang tinggi akan
berjuang ke arah kejayaan, sanggup menerima cabaran dan sentiasa berusaha untuk
mencapai impian. Manakala dalam konteks motivasi ekstrinsik, penulis melihat tahap
motivasi pelajar perempuan lebih tinggi berbanding lelaki. Penulis mengesyorkan
program intervensi berkaitan orientasi strategi motivasi ekstrinsik perlu dijalankan
untuk mengatasi isu ini. Di akhir kalam penulisan, pengkaji menulis beberapa
cadangan yang boleh digunakan untuk mengkaji persoalan mengenai pembelajaran
bahasa Arab ekoran kedua-dua motivasi ini memainkan peranan yang penting untuk
meningkatkan motivasi dan memberi dorongan pelajar untuk berusaha mencapai
kejayaan hidup.

1.5 Tajuk Artikel : TAHAP MOTIVASI HOLISTIK, INTRINSIK DAN EKSTRINSIK


TERHADAP PEMBELAJARAN KOSA KATA BAHASA ARAB
DALAM KALANGAN GRADUAN UNIVERSITI AWAM

Penulis : 1. Lily Hanefarezan Asbulah (Universiti Malaya)


2. Maimun Aqsha Lubis dan Ashinida Aladdin
(Universiti Kebangsaan Malaysia)
3. Musab Sahrim (Universiti Sains Malaysia)

1.5.1 Prosedur Kajian


Kajian penyelidikan berbentuk kaedah tinjauan ( cross-sectional) digunakan dalam
kajian ini untuk mengukur tahap motivasi pelajar terhadap pembelajaran kosa kata
bahasa Arab dalam kalangan graduan bahasa Arab di universiti awam. Pemilihan
sampel secara rawak dilakukan melibatkan seramai 531 orang pelajar pengajian
sarjana muda Bahasa Arab tahun akhir dari lapan buah universiti yang menawarkan
kursus pengajian bahasa Arab. Perisian IBM SPSS versi 19.0 digunakan untuk
melaporkan analisis deskriptif dan penulis merujuk kepada nilai interpretasi tahap
skor min yang digariskan oleh Oxford (1990) dalam penganalisisan data. Pengukuran
tahap motivasi holistik, intrinsik dan ekstrinsik dalam kajian ini menggunakan skala
Likert 4 mata sahaja. Seterusnya Index Kesahan Kandungan ( Content Validation
Index, CVI) dan nilai skor Alpha Cronbach digunakan untuk menentukan
kebolehpercayaan instrumen kajian.

1.5.2 Hasil Perbincangan Kajian


Berdasarkan analisis kajian, penulis mendapati motivasi holistik dan keagamaan
mempunyai nilai interpretasi tertinggi yang mempengaruhi graduan mempelajari
kosa kata bahasa Arab. Penulis berpendapat hal ini kerana agama Islam mempunyai
hubung kait dengan bahasa Arab, bahasa Arab merupakan bahasa ibadah umat
Islam, keinginan pelajar untuk bertutur dalam bahasa Arab serta memahami dan
menguasai bahasa al-Quran dan hadis. Menerusi kajian ini, domain motivasi intrinsik
lebih berdasarkan kepada kepuasan pelajar menguasai kosa kata bahasa Arab yang
sukar serta ketekunan dan keinginan pelajar mempelajari bahasa Arab yang
dipengaruhi oleh faktor orientasi pembelajaran berbentuk intrinsik. Hasil kajian
penulis ini sama dengan hasil kajian Mohd Zaki (2009) yang mendapati motivasi
intrinsik dapat dilihat berdasarkan faktor pelajar ingin merebut peluang belajar
bahasa Arab dan keinginan untuk mendapat keputusan cemerlang dalam
peperiksaan.
Namun, penulis menyimpulkan bahawa antara lonjakan motivasi dalam
pembelajaran bahasa Arab adalah disebabkan oleh faktor agama dan bukan kerana
ganjaran atau pengiktrifan semata-mata. Dalam konteks motivasi ekstrinsik pula,
dapatan kajian menunjukkan ransangan luaran atau sokongan moral dari guru, ibu
bapa, rakan dan sesiapa sahaja membuatkan pelajar bersemangat untuk
mempelajari kosa kata bahasa Arab. Penulis menyokong penyataan Abraham et al.
(2012) yang menyebut tentang penghargaan guru kepada pelajar, intensif atau
mendapatkan markah yang baik dalam peperiksaan juga memberi kesan kepada
motivasi pelajar. Keseluruhan dapatan kajian mendapati rata-rata graduan universiti
awam mempelajari kosa kata bahasa Arab adalah disebabkan oleh motivasi holistik
dan bukannya dipengaruhi oleh motivasi intrinsik serta motivasi ekstrinsik semata-
mata. Di akhir penulisan artikel, penulis menyimpulkan terdapat kelainan yang
berjaya ditonjolkan dalam dapatan kajian artikel ini iaitu hasil kajian berbeza dengan
dapatan kajian barat yang mana motif keagamaan atau holistik merupakan
penggerak utama pelajar muslim mempelajari kosa kata bahasa dengan lebih baik.

1.6 Tajuk Artikel : FAKTOR YANG MEMPENGARUHI MOTIVASI


PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU DALAM KALANGAN
MURID DI SJKC CHUNG HWA TELUK KEMANG

Penulis : Alhaadi Ismail dan Norimah Zakaria

1.6.1 Prosedur Kajian


Artikel ini ialah mengenai kajian penerokaan tahap penguasaan bahasa Melayu
sebagai bahasa kedua dalam kalangan pelajar Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan
Cina Chung Hwa Teluk Kemang. Penulis menggariskan dua objektif penyelidikan
yang utama iaitu mengenalpasti faktor-faktor yang mempengaruhi motivasi pelajar
Cina terhadap bahasa Melayu dan menganalisis faktor yang paling dominan dalam
moyivasi intrinsik dan ekstrinsik berdasarkan pelajar Cina yang dikaji. Objektif ini
dicapai melalui pelaksanaan kaedah kajian berbentuk tinjauan dan pengumpulan
data menggunakan instrumen borang soal selidik. Seramai 30 orang pelajar daripada
76 populasi dipilih menggunakan kaedah pensampelan mudah yang melibatkan
murid tahap 2 iaitu pelajar tahun 4, 5 dan 6 di SJKC Chung Hwa Teluk Kemang.
Penulis telah mengaplikasikan Teori Motivasi Robert C. Gardner (2005) untuk melihat
faktor intrinsik dan ekstrinsik yang mempengaruhi motivasi pelajar Cina dalam
pembelajaran bahasa Melayu.

1.6.2 Hasil Perbincangan Kajian


Berdasarkan dapatan kajian yang diperolehi, penulis mendapati sikap pelajar Cina
terhadap mata pelajaran bahasa Melayu berbeza-beza. Kajian melaporkan pelajar
menunjukkan sikap positif dalam pembelajaran bahasa Melayu apabila 26.67%
pelajar selalu berfikir ketika berada di kelas bahasa Melayu. Pelajar Cina masih
menunjukkan minat dan keinginan untuk mempelajari bahasa Melayu apabila
76.67% murid menyatakan mereka ingin belajar bahasa Melayu di pusat-pusat
tuisyen dan 60.00% pelajar memilih untuk belajar bahasa Melayu melalui media
masssa atau atas talian selain daripada pembelajaran bahasa Melayu secara formal
di sekolah.
Dalam konteks motivasi ekstrinsik pula, pengkaji mendapati 83.33% murid
masih mengambil berat pembelajaran bahasa Melayu apabila mereka sering merujuk
guru jika mempunyai masalah atau tidak memahami apa yang dipelajari. Penulis
juga ada menyentuh peranan ibubapa pelajar Cina dalam membantu pembelajaran
bahasa Melayu kerana ibu bapa lebih banyak meluangkan masa bersama anak-anak
berbanding guru. Rata-rata pelajar menyatakan mereka mendapat sokongan
daripada ibu bapa mereka dalam menguasai pembelajaran bahasa Melayu. Penulis
turut menyentuh faktor rakan sebaya dalam mempengaruhi pembelajaran murid-
murid Cina dalam kelas bahasa Melay. Tambahan itu, penulis juga mendapati pelajar
Cina menyukai pembelajaran bahasa Melayu kerana guru menyediakan dan
melaksanakan pelbagai aktiviti di dalam bilik darjah, bahan bantu mengajar yang
pelbagai serta peneguhan positif seperti pemberian hadiah, pujian dan ganjaran.
Saya bersetuju dengan pendapat penulis bahawa dapatan kajian ini boleh
dimanfaatkan dan digunakan oleh pihak sekolah terutamanya guru untuk membantu
meningkatkan pencapaian murid dalam pembelajaran bahasa Melayu. Hal ini kerana,
penulisan artikel ini tertumpu kepada pengenalpastian faktor yang mempengaruhi
motivasi murid untuk mempelajari bahasa Melayu.
1.7 Tajuk Artikel : KEBIMBANGAN UJIAN DAN MOTIVASI DALAM KALANGAN
PELAJAR KURSUS BAHASA ARAB DALAM KONTEKS
KEMAHIRAN LISAN

Penulis : 1. Ghazali Yusri (Universiti Teknologi Mara, Malaysia)


2. Nik Mohd Rahimi dan Parilah M. Shah (Universiti
Kebangsaan Malaysia, Malaysia)

1.7.1 Prosedur Kajian


Penulis menjalankan kajian ini bertujuan untuk melihat aspek kebimbangan ujian,
motivasi intrinsik dan ekstrinsik dalam kalangan pelajar yang mengambil kursus
bahasa Arab di UITM Shah Alam Malaysia dalam konteks kemahiran lisan.
Penggunaan instrumen borang soal selidik berskala Likert 7 yang diadaptasi daripada
instrumen pembelajaran kendiri MSLQ ( The Motivated Strategies for Learning
Questionaire) oleh Pintrich et al. (1991) telah digunakan dalam menjayakan kajian
ini. Seramai 279 orang daripada 1000 orang populasi pelajar sepenuh masa tahap
tiga Kursus Bahasa Arab telah dipilih mengikut dua kaedah pemilihan sampel yang
berbeza iaitu menerusi persampelan rawak berstrata (strastified random sampling)
dan teknik dispropotionate sampling. Ujian deskriptif dan ujian korelasi Pearson
digunakan dalam penganalisisan data.
1.7.2 Hasil Perbincangan Kajian
Melalui taburan data ujian deskriptif, penulis menyatakan kebimbangan ujian pelajar
berada pada tahap sederhana dan menjadi penghalang kepada pencapaian pelajar.
Penulis mengesyorkan beberapa langkah pencegahan dengan merujuk kepada artikel
Hill dan Wigfield (1984) serta Wigfield dan Eccles (1989). Seterusnya penulis turut
melaporkan dalam kes pembelajaran kemahiran lisan bahasa Arab di UiTM, motivasi
intrinsik dan ekstrinsik masih berada di tahap yang tinggi disebabkan kedudukan
bahasa Arab yang tinggi pada pandangan pelajar muslim di UiTM.
Penulis merujuk kepada hasil kajian Kaseh, Nik Farakh & Zeti Akhtar (2010)
yang menjelaskan bahawa pembelajaran bahasa Arab sememangnya tidak boleh
dipisahkan dengan budaya masyarakat muslim di Malaysia sehingga aspek agama ini
dikaji dan dikenal pasti sebagai motivasi penting bagi pelajar. Dari hasil dapatan
ujian korelasi pula, penulis mendapati motivasi ekstrinsik mempunyai perkaitan yang
signifikan dengan motivasi intrinsik pada kekuatan perkaitan sederhana. Manakala,
kedua-dua motivasi didapati tidak mempunyai hubungan signifikan dengan
kebimbangan ujian kemahiran lisan pelajar bahasa Arab dan perlu ditangani secara
berasingan.

1.8 Tajuk Artikel : PERANAN MOTIVASI TERHADAP PEMBENTUKAN TINGKAH


LAKU MANUSIA.

Penulis : Mariam binti Abdul Majid dan Zanariah binti Dimon

1.8.1 Prosedur Kajian


Penulisan artikel ini menggunakan metode dokumentasi yang membincangkan
tentang pengertian motivasi, peranan motivasi dalam tingkahlaku manusia serta
keperluan dan matlamat yang mendorong tingkahlaku seseorang manusia.

1.8.2 Hasil Perbincangan Kajian


Di awal penulisan artikel ini, penulis mengetengahkan pendapat bahawa tingkahlaku
manusia tidak berlaku secara kebetulan tetapi digerakkan, didorong dan
dimotivasikan oleh faktor-faktor dalaman dan luaran diri seseorang manusia. Penulis
menyentuh tentang pengertian motivasi secara menyeluruh berpandukan kepada
beberapa rujukan artikel tahun-tahun sebelumnya. Selain itu, perkaitan di antara
aspek motivasi dengan faktor-faktor yang mendorong tingkahlaku seseorang
manusia turut dimasukkan dalam penulisan ini. Penulis menjelaskan proses motivasi
bermula dengan lahirnya keinginan atau wujudnya keperluan dalam diri manusia
yang mana keperluan ini dapat menentukan matlamat seseorang. Menurut penulis,
pencapaian sesuatu matlamat yang disasarkan oleh seseorang manusia merupakan
titik noktah kepada kitaran motivasi sekaligus kepuashatian individu dapat dipupuk.
Seterusnya, penulis telah menggunakan beberapa pendapat ahli-ahli psikologi
untuk membincangkan keperluan dan matlamat yang mendorong tingkahlaku
seseorang manusia seperti yang dinyatakan di bawah:
i. Agama
ii. Matlamat untuk memenuhi keperluan biologi (naluri dan kestabilan diri)
iii. Matlamat untuk memenuhi keperluan psikososial
iv. Memenuhi matlamat Biopsikososial (Teori Abraham Maslow)

Di akhir penulisan, penulis menekankan pelaksanaan suatu proses motivasi perlu


menunjuk kepada suatu matlamat yang betul dan tepat dalam diri manusia. Suatu
proses motivasi perlu seiring dengan proses pembimbingan tingkah laku seseorang
untuk memastikan tindakan yang betul dapat dilaksanakan sekaligus mewujudkan
rasa kepuashatian apabila berjaya mencapai matlamat yang diinginkan.

1.9 Tajuk Artikel : KAJIAN GAYA PEMBELAJARAN DAN MOTIVASI TERHADAP


PENCAPAIAN PELAJAR DIPLOMA KEJURUTERAAN DI
POLITEKNIK

Penulis : 1. Uk Raai a/p Chen


2. Alias bin Masek
3. Mohd Hasril bin Amiruddin
(Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional Universiti Tun
Hussien Onn Malaysia)

1.9.1 Prosedur Kajian


Penulis telah melaksanakan satu kajian mengenai gaya pembelajaran dan aspek
motivasi yang mendorong pembelajaran dalam kalangan pelajar diploma
kejuruteraan di politeknik. Borang soal selidik telah diedarkan kepada 291 orang
pelajar diploma Kejuruteraan Elektrik dari Politeknik Tuanku Sultanah Bahiya sesi
2013. Penulis telah menggunakan Index Learning Styles (ILS) daripada Model Felder
dan Silverman untuk mengenalpasti gaya pembelajaran pelajar kejuruteraan. Kajian
rintis menggunakan nilai pekali Alpha Cronbach digunakan untuk menentukan
kebolehpercayaan 100 item soalan yang terdapat dalam borang soal selidik. Pengkaji
menganalisis data yang dikumpul secara statistik deskriptif dan inferensi
menggunakan ujian ANOVA satu hala.

1.9.2 Hasil Perbincangan Kajian


Jenis gaya pembelajaran yang dikaji dalam kajian ini merangkumi gaya pembelajaran
aktif, reflektif, konkrit, intuitif, visual, verbal, tersusun dan global. Berdasarkan hasil
analisis, pengkaji mendapati 31.3% pelajar mengamalkan gaya pembelajaran visual
yang mencatatkan peratusan tertinggi manakala gaya global mencatatkan peratusan
yang terendah. Penulis berpendapat pelajar yang memiliki gaya pembelajaran visual
lebih mudah memahami sesuatu topik pelajaran kerana mereka gemar belajar
menggunakan huruf, gambar atau gambar rajah, persembahan dalam bentuk grafik
dan sebagainya.
Seterusnya dalam konteks motivasi, penulis melihat faktor motivasi ekstrinsik
merupakan faktor yang dominan yang mendorong pembelajaran pelajar kejuruteraan
terutamanya dari aspek keluarga berbanding dengan motivasi intrinsik. Motivasi
ekstrinsik yang dikaji dalam kajian ini merangkumi aspek keluarga, gaya pengajaran
pensyarah dan masyarakat manakala mtivasi intrinsik pula diwakili oleh aspek minat,
sikap dan teknik pembelajaran. Penulis mendapati tiada perbezaan dalam
pencapaian akademik disebabkan oleh gaya pembelajaran pelajar Kejuruteraan
Elektrik yang berbeza-beza. Penulis menyimpulkan semua aspek dalam motivasi
intrinsik dan ekstrinsik memainkan peranan ke atas pencapaian pelajar kerana saya
bersetuju dengan pendapat penulis yang menyatakan keinginan pelajar untuk belajar
tidak hanya bergantung kepada salah satu aspek motivasi sahaja malah turut
melibatkan aspek motivasi yang lain. Di akhir penulisan artikel, penulis menggariskan
beberapa cadangan kajian lanjutan yang boleh digunakan untuk tujuan penyelidikan
di masa hadapan.

1.10 Tajuk Artikel : SIKAP DAN MOTIVASI PELAJAR TERHADAP


PEMBELAJARAN BAHASA MELAYU

Penulis : 1. Zaliza Mohammad Nasir (Akademi Bahasa Universiti


Teknologi Malaysia)
2. Zaitul Azma Zaino Hamzah (Jabatan Bahasa Melayu,
Universiti Putra Malaysia)

1.10.1 Prosedur Kajian


Penulis menjalankan kajian ini untuk mengenal pasti sikap dan motivasi pelajar asing
yang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua di Universiti Teknologi
Malaysia (UTM). Kajian berbentuk deskriptif ini dijalankan dengan mengedarkan
borang soal selidik kepada 16 orang responden yang terdiri daripada pelajar luar
negara dan latar pendidikan yang berbeza.

1.10.2 Hasil Perbincangan Kajian


Di awal penulisan, penulis banyak menyentuh tentang motivasi belajar Bahasa
Melayu dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Penulis
menjalankan kajian ini kerana penulis berpendapat prestasi pelajar asing dalam
matapelajaran Bahasa Melayu di UTM masih belum mencapai tahap yang boleh
dibanggakan dan kelemahan penguasaan Bahasa Melayu ini berkait rapat dengan
sikap dan motivasi pelajar asing dalam mempelajari bahasa berkenaan. Selepas
kajian dijalankan, penulis mendapati pelajar asing mempunyai sikap positif yang
tinggi dalam mempelajari Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, berdasarkan
temubual secara rawak, pengkaji mendapati sesetengah pelajar asing tidak tahu
mengapa mereka perlu belajar Bahasa Melayu. Penulis menyimpulkan hal ini
mungkin kerana pelajar asing ini merupakan pelajar kejuruteraan yang hanya
menggunakan bahasa Inggeris dalam silibus pelajaran mereka.
Dari segi motivasi pelajar asing pula, penulis menyimpulkan pelajar asing
bermotivasi mempelajari bahasa Melayu kerana mereka ingin berkomunikasi dengan
masyarakat tempatan dan minat terhadap teknik pengajaran guru Bahasa Melayu.
Ada beberapa cadangan yang diutarakan oleh penulis mengenai peranan masyarakat
dan guru dalam meningkatkan motivasi pelajar asing mendalami bahasa Melayu di
akhir penulisan yang mana boleh dijadikan rujukan untuk memartabatkan Bahasa
Melayu dan juga menarik minat pelajar asing untuk mempelajari bahasa ibunda ini.

2.0 ULASAN KESELURUHAN ARTIKEL


Berdasarkan hasil dari 10 artikel yang dikaji, saya mendapati hampir keseluruhan
artikel menggunakan kaedah kuantitatif berbentuk tinjauan dan penggunaan
instrumen soal selidik kecuali kajian artikel 1 (kuasi eksperimen) dan artikel 8 yang
lebih berbentuk dokumentasi. Rata-rata penulis menggunakan instrumen borang soal
selidik kerana data lebih mudah dikumpul dan dianalisis. Hal ini disokong oleh
beberapa pendapat seperti Azizi et al. (2006) yang menyatakan melalui borang
selidik tujuan utama tinjauan deskriptif dapat diterangkan dengan jelas manakala
Nurul Ain dan Azizi pula berpendapat soal selidik menjamin kerahsian dam
menimbulkan respon yang lebih jujur.
Dalam kaedah pemilihan sampel pula, hampir semua penulis menggunakan
pemilihan sampel secara rawak mudah atau berkelompok kecuali penulis artikel
ketujuh yang menggunakan persampelan rawak berstrata (strastified random
sampling) dan teknik dispropotionate sampling. Kaedah pemilihan sampel
memainkan peranan penting dalam kajian penyelidikan untuk memastikan matlamat
dan objektif kajian dapat dicapai dengan jayanya. Penggunaan nilai pekali Alpha
Cronbach turut didapati dalam pengujian keberkesanan instrumen soal selidik seperti
yang dinyatakan dalam artikel 2, 3, 5, 6 dan 9. Item soal selidik dalam artikel ini
boleh digunakan untuk kajian penyelidikan yang seterusnya kerana tahap
keberkesanan instrumen telah sedia diuji. Dalam penganalisisan data, statik
deskriptif dan inferensi lebih banyak digunakan oleh penulis-penulis artikel.
Keseluruhan artikel lebih banyak menyentuh tentang sikap dan motivasi pelajar
dalam sesuatu pembelajaran. Motivasi memainkan peranan yang penting untuk
memastikan seseorang individu itu berusaha untuk mencapai cita-cita yang
diimpikan. Penulisan kesepuluh artikel menggunakan jenis motivasi intrinsik dan
ekstrinsik. Namun, dalam penulisan artikel kelima telah mengaitkan satu lagi jenis
motivasi yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar selain dari motivasi
intrinsik dan ekstrinsik iaitu motivasi holistik. Penulisan artikel kelima dan ketujuh
menggunakan fokus yang hampir sama iaitu peranan motivasi dalam pembelajaran
bahasa Arab cuma artikel ketujuh hanya menguji dua jenis motivasi sahaja iaitu
motivasi intrinsik dan ekstrinsik tanpa mengambil kira peranan motivasi holistik
sepeti yang dilakukan oleh penulis artikel kelima. Ini menunjukkan terhadap jurang
penyelidikan berkaitan motivasi holistik dan adalah wajar jika motivasi holistik
diambil kira dalam pengujian tahap motivasi pelajar terutamanya dalam
pengkhususan Pendidikan Islam atau Bahasa Arab. Rumusan artikel yang saya
jalankan mendapati penulisan artikel motivasi ini lebih melibatkan responden yang
berbeza jantina dan tahap pendidikan formal. Adalah lebih baik jika tahap motivasi
dalam kalangan individu yang berbeza latar belakang umur, taraf sosio-ekonomi,
keagamaan dan budaya turut dikaji. Terdapat juga penulis artikel yang
mengesyorkan beberapa cadangan untuk kajian lanjut seperti yang diutarakan oleh
penulis artikel 3 dan 9.

3.0 KESIMPULAN
Motivasi memainkan peranan yang penting dalam kehidupan kita. Tanpa motivasi
dan sokongan yang padu, seseorang individu itu akan mudah menyerah kalah dalam
perjuangan dan sukar untuk mencipta kejayaan. Motivasi yang tinggi diperlukan oleh
semua individu untuk mencapai kejayaan dan matlamat hidup yang disasarkan.
Motivasi sering dikaitkan dengan pencapaian akademik, kerjaya, minat, gaya
pembelajaran dan juga aspek lain yang mempengaruhi kejayaan hidup seseorang
individu.Oleh itu, adalah wajar jika aspek dan peranan motivasi intrinsik, ekstrinsik
dan juga holistik dalam kehidupan seharian dikaji dengan lebih mendalam dan
terperinci sebagai rujukan di hari mendatang.

4.0 RUJUKAN
Abraham, C., Richardson, M., & Bond, R. (2012). Psychological correlates of
university
students’ academic performance: A systematic review and meta-analysis.
Psychological Bulletin, 138(2), 353–387. https://doi.org/10.1037/a0026838
Azizi Yahaya, Fawziah Yahaya, Zurihanmi Zakariya dan Noordin Yahaya (2005).
Pembangunan Kendiri. Skudai: Penerbit Universiti Teknologi Malaysia
Alhaadi Ismail, and Norimah Zakaria. (2019). Faktor yang mempengaruhi motivasi
pembelajaran bahasa Melayu dalam kalangan murid di SJKC Chung Hwa Teluk
Kemang. International Journal of the Malay World and Civilisation , 7 (3). pp. 23-
30. ISSN 2289-1706. Diperoleh pada 16 November 2020 dari
http://www.ukm.my/jatma/en/volume-7-no-3/.
Chen, Uk Raai and Masek, Alias and Amiruddin, Mohd Hasril (2014) Kajian gaya
pembelajaran dan motivasi terhadap pencapaian pelajar diploma kejuruteraan di
politeknik. In: Persidangan Pendidikan (Penyelidikan dan Inovasi) dalam PLTV
(CiE-TVET) 2014, 25-26 Ogos 2014, Mersing, Johor, Malaysia. Diperoleh pada 16
November 2020 dari http://eprints.uthm.edu.my/6734/
Ghazali Yusri, Nik Mohd Rahimi dan Parilah M. Shah. (2010). Kebimbangan Ujian Dan
Motivasi Dalam Kalangan Pelajar Kursus Bahasa Arab Dalam Konteks Kemahiran
Lisan. AJTHLE Vol. 2, No.2, July 2020. Hlm. 46-58. ISSN: 1958-5826. Diperoleh
pada 14 November 2020 dari http://ejournals.ukm.my/ajtlhe/article/view/10497
Hill, K. T., & Wigfield, A. 1984. Test anxiety: A major educational problem and what
can be done about it. Elementary School Journal 85(1): 106-126.
Kaseh, A. B., Nik Farakh, S., & Zeti Akhtar, M. R. (2010). Self-determination theory
and motivational orientations of Arabic learners: A principal component analysis.
GEMA Online™ Journal of Language Studies 10(1): 71-86
Lily Hanefarezan Asbulah, Maimun Aqsha Lubis, Ashinida Aladdin, & Musab Sahrim.
(2018). Tahap motivasi holistik, intrinsik dan ekstrinsik terhadap pembelajaran
kosa kata bahasa Arab dalam kalangan graduan universiti awam. Asia Pacific
Journal of Educators and Education, 33, 75–93.
https://doi.org/10.21315/apjee2018.33
Mariam Abdul Majid dan Zanariah Dimon. Peranan Motivasi Terhadap Pembentukan
Tingkahlaku Manusia. Diperoleh pada 15 November 2020 dari
https://ejurnalfp.files.wordpress.com/2015/08/peranan-motivasi-terhadap-pemb
entukan-tingkahlaku-manusia1.pdf

Mohd Zaki Ahmad & Muhammad Firdaus Abdul Manaf. (2017). Penggunaan Motivasi
Intrinsik dan Motivasi Ekstrinsik Untuk Belajar Bahasa Arab. Persidangan
Antarabangsa Pengajian Islamiyyat Kali Ke-3 (IRSYAD2017). Diperoleh pada 16
November 2020 dari
http://conference.kuis.edu.my/irsyad/images/eproceeding/2017/1081.pdf
Mohd Zaki Ahmad. (2009). Motivasi dalam pembelajaran bahasa Arab di Sekolah
Menengah Agama. Unpublished Masters thesis, Universiti Malaya.
Nor Amira Mazlin dan Zanaton Iksan. (2018). Kesan Pendekatan Pengajaran
Berasaskan Otak Terhadap Motivasi Pembelajaran Fizik. Seminar Antarabangsa
Isu-Isu Pendidikan. Auditorium Utama Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.
Diperoleh pada 14 November 2020 dari
http://conference.kuis.edu.my/ispen/wp-content/uploads/2018/08/23.-AMIRA-M
AZLIN.pdf
Nurul Ain Hamsari dan Azizi Yahaya. (2012). Peranan Motivasi Pembelajaran, Gaya
Keibubapan Dan Sikap Dengan Pencapaian Akademik. J ournal of Educational
Psychology & Counseling. Volume 5, Pages 30-57. ISSN:2231-735X. Diperoleh
pada 15 November 2020 dari
http://eprints.utm.my/id/eprint/23001/1/JEPC-5-2012-004.pdf
Oxford, R. L. (1990). Language learning strategies: What every teacher should know .
New York: Newbury House Publisher.
Pintrich, P. R., Smith, D. A. F., Garcia, T., & McKeachie, W. J. 1991. A Manual For
The Use Of The Motivated Strategies For Learning Questionnaire (MSLQ).
Michigan: University of Michigan.
Roghdaryanti Hashim dan Maizatul Hayati Mohamad Yatim. (2019). Hubungan antara
Motivasi dan Penerimaan dengan Pencapaian Akademik Pelajar dalam Pelajaran
Menggunakan M-pembelajaran di Kolej Vokasional. International Journal of
Humanities, Management and Social Science. Vol.2(2), hlm. 89-94. Diperoleh
pada 14 November 2020 dari https://lamintang.org/journal/index.php/ij-
humass/article/view/37
Wigfield, A., & Eccles, J. S. 1989. Test anxiety in elementary and secondary school
students. Educational Psychologist 24(2): 159-183.
Zaliza Mohamad Nasir dan Zaitul Azma Zainon Hamzah. (2014). Sikap Dan Motivasi
Pelajar Terhadap Pembelajaran Bahasa Melayu. Procedia-Social and Behavioral
Sciences. Vol. 134, pages 408-415. Diperoleh pada 15 November 2020 dari
https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2014.04.263
5.0 Lampiran
Artikel 1
Sumber:
http://conference.kuis.edu.my/ispen/wp-content/uploads/2018/08/23.-AMIRA-
MAZLIN.pdf

Artikel 2
Sumber: http://eprints.utm.my/id/eprint/23001/1/JEPC-5-2012-004.pdf

Artikel 3
Sumber: https://lamintang.org/journal/index.php/ij-humass/article/view/37
Artikel 4

Sumber:http://conference.kuis.edu.my/irsyad/images/eproceeding/2017/1081.pdf

Artikel 5
Sumber:https://doi.org/10.21315/apjee2018.33
Artikel 6

Sumber: http://www.ukm.my/jatma/en/volume-7-no-3/
Artikel 7

Sumber: http://ejournals.ukm.my/ajtlhe/article/view/10497
Artikel 8

Sumber:https://ejurnalfp.files.wordpress.com/2015/08/peranan-motivasi-terhadap-
pembentukan-tingkahlaku-manusia1.pdf
Artikel 9

Sumber:http://eprints.uthm.edu.my/6734/
Artikel 10

Sumber:https://doi.org/10.1016/j.sbspro.2014.04.263

You might also like