You are on page 1of 2

Cara-Cara Memanfaatkan Masa Cuti 

Sekolah- Karangan Bahagian A

Cuti sekolah merupakan masa yang ditunggu-tunggu oleh murid-murid bagi melepaskan tekanan
pembelajaran di sekolah. Huraikan cara-cara anda memanfaatkan masa cuti sekolah.

Cuti sekolah merupakan masa yang amat ditunggu-tunggu oleh murid-murid sekolah termasuk diri
saya setelah melalui tempoh pembelajaran yang agak panjang di sekolah. Rutin harian saya yang
perlu hadir ke sekolah 5 hari seminggu serta perlu menyelesaikan pelbagai latihan dan tugasan
pelbagai mata pelajaran yang dipelajari di sekolah menyebabkan saya memerlukan rehat atau masa
luang untuk menghilangkan tekanan yang dihadapi. Cuti sekolah membolehkan saya merancang
jadual harian saya sendiri dengan melakukan aktiviti atau perkara yang berfaedah kepada diri sendiri
ataupun keluarga. Terdapat pelbagai aktiviti yang bermanfaat yang boleh saya lakukan pada masa
cuti sekolah.

Pada hemat saya, kita boleh membantu ibu bapa di rumah sebagai untuk memanfaatkan cuti sekolah.
Hal ini dikatakan demikian kerana banyak perkara yang boleh dilakukan di rumah bagi
mengurangkan beban ibu bapa dalam menguruskan rumah tangga. Sebagai tamsilan, kita boleh
menolong ibu mengemas di dalam rumah seperti menyapu, mengemas bilik dan perabot rumah,
memasak atau menolong ibu menguruskan adik-adik. Membantu bapa mengemas kawasan sekeliling
rumah atau membantu bapa di kebun atau kerja-kerja lain yang dilakukan oleh ibu bapa. Impaknya,
tindakan afdal ini dapat meringankan beban tugas ibu bapa dalam menguruskan rumah tangga. Ibu
bapa akan berasa gembira dan senang hati apabila saya ringan tulang  membantu mereka membuat
kerja-kerja rumah atau urusan seharian mereka. Konklusinya, urusan rumah tangga akan menjadi
lebih mudah apabila sebahagian kerja yang sepatutnya dilakukan oleh ibu atau bapa telah saya
lakukan.

Bekerja sambilan. Masa cuti boleh dimanfaatkan dengan membuat kerja sambilan. Sebagai contoh,
pelbagai kerja sambilan yang boleh dilakukan ketika cuti sekolah. Menjadi pembantu jualan di kedai
pakaian, pembantu kedai di kedai runcit atau mengambil upah memotong rumput antara kerja
sambilan yang boleh saya lakukan ketika cuti sekolah. Kerja sambilan yang dilakukan membolehkan
saya mendapat wang hasil titik peluh dan usaha saya sendiri. Melalui wang yang diperoleh saya
dapat membeli barang yang saya ingini tanpa mengharapkan wang daripada ibu bapa. Saya juga
dapat memperoleh pengalaman bekerja, memahami etika dan tatacara yang perlu dipatuhi semasa
bekerja dan menurut arahan dan skop kerja yang diarahkan oleh majikan. Izharnya, bekerja semasa
cuti sekolah membolehkan saya mengumpul duit sendiri dan dapat menimba pengalaman yang
berguna kepada saya untuk digunakan pada suatu masa kelak.

Menyertai pelbagai kem motivasi dan pembangunan sahsiah diri. Masa cuti sekolah perlu diisi
dengan perkara-perkara yang berfaedah kepada diri sendiri. Terdapat pelbagai kursus jangka pendek
yang dianjurkan oleh pelbagai pihak semasa cuti  sekolah. Terdapat kursus yang dianjurkan secara
percuma kepada murid-murid sekolah. Tidak kurang juga kursus yang ditawarkan mengenakan
sedikit bayaran kepada para peserta. Pelbagai kursus yang diadakan termasuklah kursus
pembentukan sahsiah diri seperti kem ibadah, kem bina diri remaja dan kem motivasi diri. Semua
kem yang diadakan mempunyai pelbagai objektif khususnya dalam membina sahsiah diri remaja kini.
Saya akan menggunakan masa cuti sekolah dengan menyertai kem ibadah dan kem motivasi diri.
Terdapat  pelbagai  kebaikan  apabila  menyertai  kem-kem  yang  diadakan.  Kem  motivasi  diri
membolehkan saya meningkatkan keyakinan diri dan menetapkan hala tuju impian saya dalam
kehidupan.  Kem-kem  yang  berbentuk  agama   pula  membolehkan  saya  meningkatkan  tahap
pengetahuan saya dalam bidang agama untuk membolehkan saya menjadi insan yang lebih bertakwa
bak kata peribahasa sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain iaitu ilmu yang diperoleh
melalui kem yang disertai akan menjadikan diri saya lebih berilmu. Sudah terang lagi bersuluh, masa
cuti yang dimanfaatkan dengan menyertai pelbagai kem  motivasi dan sahsiah diri membolehkan saya
menjadi insan yang lebih baik kepada keluarga, rakan-rakan dan agama.

Mengikuti kelas tuisyen dan kemahiran. Cuti sekolah tidak bermaksud saya boleh melupakan segala
perkara yang berkaitan dengan pelajaran saya di sekolah. Kerja sekolah yang dibekalkan oleh guru-
guru sebelum cuti sekolah perlu saya siapkan ataupun saya perlu mengulang kaji pelajaran.
Persediaan untuk menghadapi peperiksaan perlu dilakukan walaupun pada masa cuti sekolah. Saya
juga akan menyertai kelas-kelas kemahiran diri. Bagi memastikan saya bersedia untuk menghadapi
peperiksaan SPM, saya akan menyertai kelas-kelas tuisyen yang diadakan oleh guru-guru pakar pada
masa cuti sekolah. Saya juga akan menyertai kelas-kelas kemahiran seperti kelas kemahiran menjahit
atau memasak yang biasanya dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu. Melalui kelas-kelas tuisyen yang
disertai, saya akan mendapat tip-tip yang berguna ketika saya menjawab soalan-soalan dalam
peperiksaan SPM nanti. Guru-guru tuisyen lazimnya akan memberi pelbagai panduan kepada murid-
murid untuk menjawab soalan-soalan peperiksaan dan tip-tip yang diberikan mungkin sedikit
berbeza berbanding tip atau panduan yang diberikan oleh guru di sekolah. Penyertaan dalam kelas-
kelas kemahiran pula dapat memberi pengetahuan yang berguna untuk keperluan hidup saya pada
masa depan bak kata orang tua-tua sediakan payung sebelum hujan.Jelaslah, penyertaan saya dalam
kelas-kelas tuisyen dan kelas kemahiran diri amat berguna kepada diri saya dan merupakan aktiviti
bermanfaat semasa cuti sekolah.

Melancong bersama keluarga dan menunaikan umrah. Masa cuti boleh dimanfaatkan dengan
melakukan aktiviti melancong di dalam negeri atau di luar negara. Hal ini bergantung kepada
kemampuan diri seseorang. Selain itu, masa cuti sekolah juga boleh dimanfaatkan dengan melakukan
ibadah. Sebagai contoh, saya akan memanfaatkan masa cuti sekolah dengan mengajak keluarga saya
melancong ke tempat-tempat menarik di negara kita. Tempat-tempat yang dilawati pula tidaklah
terlalu jauh dari tempat tinggal saya memandangkan latar belakang saya daripada keluarga
sederhana. Jika kewangan mengizinkan, saya dan keluarga akan menunaikan umrah di Mekah.
Melalui aktiviti melancong bersama keluarga, hubungan kekeluargaan akan menjadi bertambah erat
kerana pelbagai aktiviti dapat dilakukan secara bersama-sama. Aktiviti melancong juga membolehkan
saya dan keluarga mendapat pengalaman dan pengetahuan baharu tentang sesuatu tempat di
samping dapat mengenali pelbagai budaya yang diamalkan masyarakat setempat bak kata peribahasa
jauh berjalan banyak pengalaman. Peluang menunaikan umrah di Mekah pula akan menjadikan saya
sekeluarga lebih beriman dan bertakwa kepada Allah SWT. Jelaslah bahawa aktiviti melancong atau
menunaikan umrah merupakan aktiviti bermanfaat yang boleh saya lakukan semasa cuti sekolah dan
memberi pelbagai kebaikan kepada diri saya sekeluarga.

Murid-murid perlu memanfaatkan masa cuti sekolah dengan melakukan perkara-perkara yang
berfaedah. Dapat menghalang murid-murid terlibat atau terjebak dengan perlakuan atau perbuatan
negatif seperti melepak, terlibat dalam aktiviti lumba haram atau penyalahgunaan dadah.

You might also like