You are on page 1of 4

Saturday, 24 November 2012

peranan bahasa melayu dalam sistem pendidikan

BAHASA MELAYU DALAM SISTEM PENDIDIKAN NEGARA

Pengenalan

Bahasa ialah satu sistem bunyi yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu
kelompok manusia, iaitu di antara seorang individu dengan individu yang lain. Kebiasaannya bahasa
menggunakan peraturan dan gaya yang direka bentuk khusus oleh manusia untuk kegunaan
tertentu. Terdapat beberapa sifat bahasa iaitu mempunyai sistem, mempunyai lambang, terdiri
daripada bunyi, bermakna, arbitrari, bersifat konvensional, produktif, unik, universal, dinamik,
bervariasi, bebas dan manusiawi. Bahasa Melayu juga merupakan satu bahasa yang digunakan di
Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam pelbagai bentuk komunikasi di Malaysia. Terdapat pelbagai
teori mengenai asal usul bahasa Melayu, antaranya ialah bahasa Melayu berasal dari Yunan dan
Nusantara. Menurut Asmah Haji Omar “ bahawa pemindahan orang Melayu dari daratan Asia ke
Nusantara ini tidaklah sekali gus dan juga tidak melalui satu laluan. Ada yang melalui daratan, iaitu
semenanjung, melalui Lautan Hindi dan ada pula yang melalui lautan China. Namun beliau menolak
pendapat yang mengatakan bahawa pada mulanya asal bahasa mereka satu perbezaan yang berlaku
kemudian adalah kerana faktor komunikasi”. Berdasarkan penjelasan teori yang telah di kaji, bahasa
Melayu dikenali sebagai bahasa Lingua Franca. Di mana terdapat pelbagai bahasa asing yang telah
diambil daripada hubungan di antara pedagang atau migrasi daripada negara luar. Bahasa Melayu
kini telah di nobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar ilmu sejak
kemerdekaan negara pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan
bahasa rasmi diwartakan dalam perlembagaan Persekutuan, sementara kedudukan bahasa Melayu
sebagai bahasa rasmi khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967 dan sebagai bahasa
penghantar ilmu pila diwartakan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian dalam Akta Pendidikan
1996. Bahasa Melayu yang digunakan di negara ini perlu di perkukuhkan kedudukannya dari segi
penggunaan di dalam negara mahu pun di luar negara. Terdapat beberapa langkah dalam
memartabatkan bahasa Melayu iaitu di dalam sistem Pendidikan negara, iaitu daripada peringkat
sekolah rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi. Kesedaran tentang pemantapan bahasa
Melayu perlu dipertingkatkan di kalangan setiap warga Malaysia untuk memartabatkan bahasa
Melayu.

Pemantapan bahasa Melayu dan Penyata Razak

Penyata Razak 1956 merupakan satu cadangan yang dibuat oleh jawatankuasa oleh kerajaan
Malaysia bagi mengkaji semula sistem pendidikan di Malaysia. Jawatankuasa pelajaran ini
ditubuhkan pada bulan September 1955 dan dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran Malaysia ketika
itu Tun Abdul Razak Hussein. Dalam Penyata Razak Pemantapan bahasa Melayu di dalam sistem
pendidikan ditekan iaitu, cadangan dikemukakan oleh penyata Razak yang diluluskan oleh kerajaan
persekutuan Tanah Melayu dan antara perkara penting yang dicadangkan adalah mewujudkan dua
jenis sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan
(SRJK) menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar semasa pengajaran dan
pembelajaran di jalankan di sekolah. Para pemimpin terdahulu telah sedar dengan kepentingan
bahasa Melayu di Tanah Melayu dengan membawa kesan yang baik dalam pelbagai bentuk
penggunaannya di kalangan kaum yang pelbagai iaitu bangsa Melayu, cina dan india. Selain daripada
itu, kesedaran mengenai penyelarasan cara berhubung dengan di antara kaum dalam menjamin satu
bahasa yang boleh menyatupadukan pelbagai kaum. Selain daripada itu, cadangan mengenai
sekolah kebangsaan yang menggalakkan murid daripada pelbagai kaum bersekolah di sekolah yang
sama dengan menggunakan satu bahasa dan satu kurikulum yang selaras dengan bahasa Melayu
sebagai bahasa penghantar.

Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar disekolah

Berdasarkan Penyata Razak yang menekan kepentingan bahasa Melayu perlu di beri keutamaan
sebagai bahasa penghantar di sekolah dengan mengesorkan bahasa Melayu digunakan di sekolah-
sekolah. Tujuan utama penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar disekolah adalah
untuk menggalakkan hubungan di antara kaum yang terdapat di Malaysia saling berhubung di antara
satu sama lain dalam menjalinkan hubungan yang lebih baik. Ini menunjukkan kepentingan bahasa
Melayu dalam memupuk perpaduan antara kaum. Dengan kesedaran ini kerajaan telah menetapkan
bahawa bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa
komunikasi.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan

Menyedari bahawa bahasa Melayu adalah bahasa yang perlu digunakan di dalam hubungan di
antara kaum di negara kita, kerajaan telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan
negara kita. Mulai tahun 1970, bahasa Melayu secara berperingkat telah menggantikan bahasa
Inggeris sebagai bahasa penghantar disekolah-sekolah. Di mana semua sekolah perlu menggunakan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam berhubung di antara satu sama lain. Sebuah
badan berkanun iaitu Dewan Bahasa Dan Pustaka bertanggungjawab untuk memajukan dan
memperkayakan bahasa Melayu. Kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang berpaksikan perkara 152 perlembagaan
persekutuan, selain daripada akta bahasa kebangsaan dan akta pendidikan yang sedia ada. Sehingga
kini kita dapat melihat bahawa bahasa Melayu digunakan di sekolah-sekolah di negara ini secara
meluas dan dipelajari oleh semua golongan kaum di Malaysia dan diterima pakai oleh pelbagai kaum
di Malaysia sebagai bahasa kebangsaan Malaysia.

Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan


Menurut Kamus Dewan (1994), perpaduan bermaksud penggabungan, perihal bergabung menjadi
satu dan sebagainya. Dengan erti kata lain, perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat
bersifat tolenrasi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan dan etnik yang berbeza untuk
mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Perpaduan adalah satu proses
menyatupadukan seluruh masyarakat untuk membentuk satu identiti dan nilai bersama serta
perasaan cinta dan bangga akan negara. Selaras dengan dasar pendidikan, bahasa Melayu diajar
sebagai mata pelajaran wajib dan telah dijadikan bahasa penghantar utama bagi semua peringkat
pendidikan seperti dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke pengajian tinggi di Malaysia. Mata
pelajaran ini menekan kan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis dalam bahasa
Melayu. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dapat dilihat dari aspek penyatuan
antara kaum dengan menggunakan bahasa yang sama dalam satu sistem pendidikan yang di guna
pakai oleh setiap kaum yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar. Berlainan
dengan sekolah yang menggunakan bahasa daripada kaum selain daripada kaum Melayu iaitu cina
dan india yang telah menggunakan bahasa ibunda mereka di sekolah, mereka menjalankan haluan
masing-masing dan tidak dapat melahirkan satu identiti bangsa. Penggunaan bahasa Melayu sebagai
bahasa penhantar di peringkat sekolah ini dapat mendidik murid-murid atau pelajar-pelajar tentang
hubungan perpaduan antara kaum dalam membentuk satu identiti warga Malaysia yang sebenar
yang boleh di kenali oleh negara lain sebagai bangsa Malaysia dan membentuk perpaduan daripada
peringkat awal sehinggalah kepada peringkat seterusnya.

Bahasa Melayu sebagai Bahasa komunikasi

Berdasarkan Kamus Dewan, komunikasi bermaksud satu interaksi di antara hidupan untuk
berhubung di antara satu sama lain di dalam kehidupan seharian. Manusia menggunakan bahasa
sebagai alat komunikasi yang penting dalam kehidupan seharian. Hal ini demikian kerana bahasa dan
pertuturan yang membezakan manusia dengan haiwan. Komunikasi merupakan satu elemen yang
sangat penting dalam mengeratkan hubungan di antara kaum yang menggunakan bahasa yang
berlainan. Dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah, komunikasi di
antara kaum dapat diperluaskan dengan hubungan komunikasi yang dapat membantu dari segi
mengenali antara satu sama lain dengan menggunakan bahasa Melayu, seterusnya mengeratkan
hubungan di antara kaum.

Kepentingan bahasa Melayu dalam sistem pendididikan

Di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan individu yang berilmu
pengetahuan , petikan ini menunjukkan bahawa negara kita ingin melahirkan insan yang
berpengetahuan dan berguna dimasa akan datang dalam menyumbang kepada negara. Petikan ini
dapat membantu dalam menjadikan bahasa ilmu yang boleh digunakan di Malaysia dan luar negara
dalam memperoleh ilmu. Bahasa Melayu merupakan suatu bahasa yang dapat menjadi bahasa
pengantara untuk menyampaikan ilmu pengetahuan daripada peringkat yang rendah sehinggalah
kepada peringkat yang lebih tinggi dan diiktiraf semua pihak tentang penggunaannya.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu

Bahasa Melayu telah menjadi satu bahasa ilmu setelah sekian lama. Ini dapat ditunjukkan dalam
penggunaan untuk mengungkap konsep-konsep dan proses-proses yang tinggi serta kompleks,
terutama sekali dalam bidang agama, falsafah, sastera dan budaya. Konsep-konsep dan proses-
proses ini dapat di lihat dengan penggunaan nya di dalam pengajaran dan pembelajaran yang
disampaikan di sekolah sebagai satu pendidikan yang digunakan. Selain daripada itu penggunaan
bahasa Melayu dalam ilmu dapat dilihat dengan penghasilan banyak buku ilmiah yang dihasilkan dan
boleh dijadikan sebagai bahan rujukan kepada para pelajar-pelajar di negara ini dalam menimba
ilmu. Selain daripada peringkat sekolah, pusat pengajian tinggi juga turut menggunakan bahasa
Melayu sebagai bahasa penghantar dan turut dipelajari oleh pelajar luar negara dalam menuntut
ilmu di dalam negara ini.

Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi

Bahasa rasmi ialah bahasa yang digunakan secara meluas oleh pihak kerajaan dari segi peringkat
menteri sehinggalah ke peringkat bawahan. Bahasa rasmi menjadi satu lambang serta simbol
identiti sesebuah negara dan kebiasaannya digunakan dalam pentadbiran sesebuah negara
terutamanya dalam urusan rasmi. Bahasa Melayu dalam sistem pendidikan di negara kita adalah
sangat penting, kerana kebanyakan proses pendidikan di sekolah menggunakan bahasa rasmi iaitu
bahasa Melayu. Bahasa Melayu merupakan bahasa utama dalam komunikasi, pengajaran dan
pembelajaran, peperiksaan, urusan pentadbiran dan sebagainya. Bahasa Melayu digunakan secara
meluas dalam sistem pendidikan dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat pengajian
tinggi. Dengan penekanan bahasa Melayu perlu lulus untuk melanjutkan pelajaran dan wajib
dipelajari oleh semua pelajar.

Bahasa Melayu sebagai bahasa contoh

Merujuk kepada penggunaan bahasa Melayu yang meluas di dalam sistem pendidikan negara, iaitu
dari segi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, sebagai bahasa penghantar, sebagai
bahasa komunikasi dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa bahasa Melayu adalah satu lambang
atau contoh kepada satu sistem bahasa yang mantap dari segi pengantara untuk menyampaikan
ilmu pengetahuan sehingga ke peringkat tinggi dan diperkenalkan seiring dengan penekanan
terhadap budaya ilmu. Bahasa Melayu tidak berada lagi di tahap yang rendah kerana ia telah
mencapai taraf cendiakawan dan bahasa saintifik. Dengan ini sistem pendidikan negara kita telah
menjadikan bahasa Melayu sebagai satu bahasa yang rasmi dalam sistem pendidikan yang menjadi
contoh berdasarkan kemantapan yang ditunjukkan melalui penggunaan bahasa Melayu sebagai
bahasa ilmu, sebagai bahasa komunikasi, sebagai bahasa perantaraan, sebagai bahasa rasmi dan
sebagai bahasa perpaduan di Malaysia. Dengan ini bahasa Melayu merupakan satu contoh bahasa
yang terbaik yang perlu di jadikan rujukan kepada negara lain dalam memantapkan bahasa. Dengan
ini kedudukan bahasa Melayu di dalam sistem pendidikan negara kita perlu dimantapkan untuk
memastikan bahasa Melayu ialah bahasa yang menjadi identiti Malaysia di mata dunia.

Refleksi

Bahasa Melayu merupakan satu bahasa yang boleh digunakan dalam sistem pendidikan negara
untuk bahasa ilmu, bahasa perpaduan, bahasa komunikasi, bahasa rasmi dan pelbagai lagi kegunaan
bahasa Melayu yang mampu melonjakkan martabat bahasa. Kedudukan bahasa Melayu perlu
dimantapkan untuk menjamin kekuatan dalam penggunaannya secara meluas dari semua peringkat
seperti dari segi sistem pendidikan, pentadbiran dan sebagainya. Pemantapan bahasa Melayu di
Malaysia dapat menunjukkan identiti sebenar negara kita kepada seluruh dunia. “Bahasa jiwa
bangsa”

You might also like