You are on page 1of 13

KAJIAN PERSEPSI DAN RASA HORMAT MAHASISWA TERHADAP INSTITUSI

RAJA-RAJA DI LEMBAH KLANG

Khairul Hamimah Mohammad Jodi, Ph.D


Institute for Academic Excellence,
Open University Malaya.  
(khairul_hamimah@oum.edu.my)

&
Faridah Che Husain
Centre for the Initiation of Talent and Industrial Training (CITra),
Universiti Malaya.
(irdina@um.edu.my)

Kesultanan merupakan salah satu daripada empat perkara dianggap unsur tradisi
yang diterapkan dalam perlembagaan persekutuan iaitu: Agama Islam, Bahasa
Melayu dan Kedudukan Istimewa Orang Melayu. Setelah 59 tahun Malaysia
merdeka, institusi raja-raja ini kekal relevan walaupun terdapat pelbagai cabaran
yang boleh menggugat institusi tersebut. Perubahan dan realiti keperluan
masyarakat yang dipengaruhi oleh globalisasi telah memberi impak terhadap cara
berfikir dan persepsi masyarakat terhadap institusi raja-raja, khususnya dalam
kalangan pelajar di institut pengajian tinggi. Semua pihak perlu mengakui hakikat
kedaulatan raja-raja Melayu yang terkandung dalam sejarah negara ini yang diwarisi
secara turun temurun. Keutuhan institusi raja-raja merupakan benteng pertahanan
untuk mendaulat dan menjadikan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia apabila
berhadapan dengan pelbagai cabaran. Kajian ini dilakukan untuk mengenal pasti
persepsi mahasiswa terhadap rasa hormat kepada institusi raja-raja. Mahasiswa
merupakan belia yang akan mentadbir negara pada masa hadapan, justeru idea,
pemikiran, tanggapan, harapan, misi dan visi mereka perlu dikenal pasti agar selaras
dengan kehendak negara yang mahu melahirkan masyarakat yang maju
berdasarkan identiti yang tersendiri bagi mencapai matlamat Wawasan 2020. Kajian
ini menggunakan kaedah mix method kuantitatif dan kualitatif dengan teknik edaran
soal selidik, pemerhatian dan temubual. Hasil kajian awal mendapati mahasiswa
kurang berminat dengan subjek sejarah, namun masih wujud perasaan hormat
terhadap institusi raja-raja.
Kata kunci: rasa hormat, mahasiswa, institusi raja-raja

Pendahuluan

Kesultanan merupakan salah satu daripada empat perkara dan dianggap unsur
tradisi yang diterapkan dalam perlembagaan persekutuan iaitu: Agama Islam,
Bahasa Melayu dan Kedudukan Istimewa Orang Melayu (Mohd Salleh Abas, 1992).
Antara unsur-unsur tradisi di atas, institusi beraja dianggap sebagai teras kepada
keseluruhannya yang diterapkan dalam perlembagaan negara yang merdeka dan

1
berdaulat melalui satu sistem yang diperintah oleh rakyatnya sendiri atau secara
demokrasi melalui proses pilihanraya.

Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, terdapat banyak perkara yang


menunjukkan kedudukan, bidang kuasa dan keistimewaan raja-raja Melayu di
peringkat persekutuan antaranya dari segi kedudukan, bidang kuasa, keistimewaan
dan kedaulatan raja-raja Melayu sebagai ketua negara dan negeri.

Berdasarkan sejarah kesultanan Melayu menunjukkan institusi raja-raja


memainkan peranan penting dalam pembinaan masyarakat Melayu yang beragama
Islam. Masyarakat Melayu menganggap raja sebagai ketua, pelindung, penyelamat,
penjaga dan penguasa negara yang prihatin dan sentiasa bertanggungjawab
kepada kesejahteraan rakyat. Sehingga kini, hubungan antara raja-raja dengan
agama Islam boleh dilihat menerusi Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan
Negeri.

Setelah 59 tahun merdeka, institusi ini kekal relevan walaupun terdapat


pelbagai cabaran yang boleh menggugat institusi tersebut. Perubahan dan realiti
keperluan masyarakat yang dipengaruhi oleh globalisasi telah memberi impak
terhadap cara berfikir dan persepsi masyarakat terhadap institusi raja-raja. Justeru,
semua pihak perlu mengakui hakikat kedaulatan raja-raja Melayu yang terkandung
dalam sejarah negara ini yang diwarisi secara turun temurun. Keutuhan institusi raja-
raja merupakan benteng pertahanan untuk mendaulat dan menjadikan Islam
sebagai agama rasmi di Malaysia apabila berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Bagi mengekalkan kereIevanan institusi raja-raja, platform pendidikan telah


digunakan untuk menyampaikan pengetahuan dan kepentingan institusi tersebut.
Institusi raja-raja telah mula dipelajari oleh pelajar peringkat sekolah rendah tahun
lima melalui subjek sejarah, dan diteruskan pada peringkat menengah melalui
subjek sejarah. Pada peringkat Institut Pengajian Tinggi (IPT), topik ini diajar melalui
kursus Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) yang wajib diambil semua pelajar
ijazah sarjana muda dan lulus untuk tujuan pengijazahan yang bertujuan melahirkan
pelajar yang mempunyai pengetahuan dan penghayatan terhadap nilai-nilai murni
dan sejarah. Antara kursus tersebut ialah kursus TITAS, Hubungan Etnik dan
Pengajian Malaysia. Melalui kursus TITAS dan Hubungan Etnik, topik institusi raja-

2
raja hanya dibincangkan secara tidak langsung dalam sub topik Tamadun Melayu
serta Kesultanan dan Pemerintahan Beraja. Begitu juga dalam Pengajian Malaysia 1
(Sijil) dan 2 (Diploma), fokus perbincangan menjurus kepada peranan, tugas,
keistimewaan, kekebalan dari segi perlembagaan institusi raja-raja Melayu.

Perbincangan topik tersebut di peringkat IPT lebih merupakan pengulangan


secara lebih kritis daripada topik sekolah rendah dan menengah. Persoalannya
ialah, bagaimana hendak menyemai penghayatan kepada golongan pelajar/belia
terhadap institusi raja-raja kerana mereka merupakan pelapis masa hadapan dan
bakal mempertahankan institusi raja-raja ini pada masa-masa akan datang. Selain
itu, institusi raja-raja kini turut dicemari dengan ejekan, hinaan malah dipersendakan
oleh individu tertentu melalui laman sosial tanpa ada rasa takut dan hormat terhadap
institusi ini. Justeru, sudah tiba masanya tanggungjawab dalam memperjuangkan
dan mempertahankan isu-isu yang berkaitan dengan institusi raja-raja Melayu harus
dipikul oleh semua golongan dan kaum tanpa mengira bangsa dan agama. Di
situlah penghayatan dan kesedaran akan timbul bagi meneruskan kesinambungan
institusi raja-raja di negara ini.

Kajian Literatur

Perbincangan mengenai persepsi dan hormat terhadap institusi raja-raja masih


kurang dilakukan. Kebanyakan kajian yang dibentangkan dalam seminar lebih
menjurus analisis mengenai sejarah dan peranan institusi raja-raja. Terdapat kajian
membincangkan hubungan Islam dengan raja-raja (Nazri, 2013), Institusi Raja-raja
Melayu berperanan memelihara kedudukan Islam (Shuhairimi Abdullah, 2013) dan
mendaulatkan Islam di Malaysia (Baharuddin Che Pa, 2006).

Penulisan mengenai institusi raja-raja turut dikupas melalui hubungan luar


kerajaan Melayu dahulu dengan pihak luar seperti Bugis, British (Muhammad Naim
Fakhirin, Jepun (Hashim Musa, 2016), rantau Asia dan Antarabangsa (Ramlah
Adam, 2016). Pada ketika itu hubungan raja-raja turut meliputi gugusan Tanah
Melayu seperti Selangor dan Perak (Ahmad Farhan Abdullah, 2016) dan kerjasama
dengan kuasa luar telah dieratkan melalui perkahwinan (Alwi Daud, 2016).

3
Raja-raja tidak dapat lari daripada persepsi dan sikap ambil peduli daripada
masyarakat. Tidak semua generasi Y tidak mengambil sikap tidak ambil peduli
terhadap institusi raja-raja kerana mereka sedar bahawa Institusi Raja berperanan
menjaga kestabilan dan keamanan negara (Hanum Hassan, et al, 2014). Ini
ditunjukkan melalui pengetahuan mereka terhadap institusi ini adalah tinggi (Idris
Md. Noor, et al , 2013), namun dalam kalangan belia persepsi mereka masih berada
pada tahap sederhana kerana mereka berpendapat kritikan kepada raja-raja untuk
kebaikan institusi tersebut (Ong Guan Sai, 1999). Begitu juga apabila dilihat persepsi
bangsa lain terhadap institusi ini. Bangsa Melayu yang bekerja di sektor awam
mempunyai persepsi dan kefahaman yang lebih baik berbanding mereka yang
bekerja di sektor swasta (Ramlah Adam dan Noormaizatul Akmar Ishak, 2013).
Justeru, pendedahan perlu diberikan kepada orang ramai bagi memperkukuhkan
persepsi positif terhadap institusi raja.

Berdasarkan kajian lepas, masih terdapat ruang yang belum dikaji iaitu rasa
hormat masyarakat khususnya belia terhadap institusi raja-raja yang termaktub
dalam perlembagaan. Isu-isu kedudukan raja-raja sering menjadi polemik dalam
masyarakat Malaysia yang terdiri dari pelbagai etnik dan sering dibangkitkan dalam
media massa. Justeru kajian mengenai rasa hormat dalam kalangan belia
khususnya mahasiswa terhadap institusi raja-raja relevan dilaksanakan. Kefahaman
dan rasa hormat terhadap institusi ini akan melahirkan mahasiswa yang lebih
memahami dan menghormati peranan serta kepentingan raja berperlembagaan.

Pernyataan Masalah

Akhir-akhir ini institusi raja-raja berhadapan dengan cabaran dalam memastikan


kerelevenannya. Wujud pelbagai tindakan beberapa pihak yang mempertikaikan
sistem beraja dan mencabar institusi ini, seperti tindakan Alvin Tan dan Namawee
yang mempersendakan institusi raja tetapi tiada tindakan yang diambil terhadap
mereka.

Semakin ramai generasi kini yang tidak lagi menghormati institusi raja-raja.
Sebagai buktinya, wujud individu yang mengakui dirinya sebagai waris ketujuh
Sultan Melaka dan layak memberi anugerah Dato kepada rakyat biasa. Manakala

4
mantan Pengerusi DAP, mendiang Karpal Singh mahu menyaman Sultan Perak,
Allahyarham Sultan Azlan Shah. Kes-kes yang melibatkan penghinaan raja-raja di
laman sosial pula dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab seperti Wan
Fatul Johari, 68, seorang warga emas didenda RM120,000 atau penjara 30 bulan
oleh Mahkamah Sesyen selepas didapati bersalah menghina raja-raja Melayu
termasuk Yang di-Pertuan Agong. Terdapat pelbagai penghinaan lain terhadap raja-
raja yang dinyatakan dalam facebook seperti, Faizal Sharil Rauf dan Zul Yahya
yang menghina fizikal Sultan Johor; Chow Jack yang mahu raja-raja keturunan
Melayu dihapuskan dan digantikan dengan bangsa lain; Kumaran Ruthiah, mahu
menghapuskan institusi raja-raja dan digantikan dengan sistem demokrasi; Rayer,
Adun Delima DAP menghina adat istiadat pengebumian Sultan Azlan Shah yang
didakwa telah menghabiskan ribuan ringgit.

Selain itu wujud juga konflik dalaman antara raja-raja seperti kes Raja Izuddin
(Bekas Raja Kechil Besar Perak) yang diisytiharkan muflis. Menurut Ong Guan Sai
(1999) terdapat raja-raja yang memihak kepada sesetengah parti politik dan ada
juga yang mencampuri urusan politik khasnya di peringkat negeri masing-masing.
Keadaan ini telah menimbulkan ketegangan dan boleh menjejaskan pentadbiran
dalam kerajaan. Ini dibuktikan daripada laporan akhbar, Berita Harian, 8 Januari
1993, “Sultan Kelantan diminta usah berpolitik”.

Kes-kes di atas menimbulkan persoalan sejauh mana institusi raja-raja


dihormati dan diterima oleh masyarakat Malaysia khususnya golongan belia yang
bakal menjadi pemimpin negara suatu masa nanti. Tindakan sebegini
menggambarkan seolah-olah generasi kini tidak lagi menghormati peranan dan
kepentingan institusi raja-raja. Hal ini memberi kesan kepada sesetengah pihak yang
mempertikaikan sistem beraja yang telah lama diamalkan di negara ini.

Institusi raja-raja merupakan lambang ketamadunan Melayu sejak zaman


berzaman. Nilai-nilai murni dalam masyarakat Melayu seperti menghormati raja dan
sultan adalah selari dengan tuntutan Islam dan relevan dipraktikkan sejak zaman
kesultanan Melayu Melaka. Sebagai contoh, penghormatan terhadap raja pernah
ditonjolkan melalui watak Hang Tuah yang memberi sepenuh hormat dan patuh
kepada Sultan.

5
Justeru kajian terperinci terhadap persepsi dan rasa hormat terhadap
institusi raja-raja perlu dilakukan bagi mempertahankan institusi raja-raja di negara
ini.

Objektif

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti persepsi dan rasa hormat mahasiswa
terhadap institusi raja-raja.

Metodologi kajian

Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dengan kaedah kajian kes. Teknik
edaran borang soal selidik kepada 120 mahasiswa Universiti Malaya bagi mengenal
pasti persepsi dan rasa hormat mereka terhadap institusi raja-raja. Kaedah ini
merupakan antara kaedah yang baik untuk mengukur atau menilai sikap, persepsi
dan penerimaan satu pandangan umum (Wiersma,1995). Selian itu, temubual turut
dilakukan dengan beberapa mahasiswa untuk menyokong soal selidik tersebut.

Soal selidik ini mengandungi 4 bahagian meliputi item-item yang dibina


berasaskan sorotan karya dan objektif kajian menyatakan persepsi dan rasa hormat
mereka mengikut skala Likert 1-5; iaitu 1- Sangat tidak setuju, 2 - Tidak Setuju, 3 –
Agak Setuju, 4 – Setuju dan 5 - Sangat Setuju. Bahagian soal selidik meliputi
demografi, persepsi, rasa hormat terhadap institusi raja-raja dan cadangan bagi
mengukuhkan institusi raja-raja.

Pemilihan responden dilakukan secara rawak dengan mengedarkan borang


soal selidik kepada mahasiswa yang mengambil kursus TITAS dan Hubungan Etnik
pada Semester 1, Sesi 2017/2018. Hal ini kerana kursus ini menekankan elemen
sejarah dan ketamadunan Melayu. Data yang diperoleh akan dianalisis dengan
menggunakan perisian Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 22
dan dijelaskan dalam bentuk deskriptif.

Dapatan Kajian

6
Sebanyak 120 borang soal selidik telah diedarkan kepada mahasiswa yang
mengikuti kursus TITAS pada Semester 1, Sesi 2017/2018. Namun, untuk kajian ini
hanya 103 mahasiswa sahaja yang menjawab dengan sempurna, manakala borang
soal selidik selebihnya tidak dapat dianalisis kerana sebahagian mahasiswa tidak
menjawab dengan lengkap. Jadual 1 di bawah memperincikan demografi
mahasiswa.

Jadual 1: Demografi
Item Kategori N

Jantina Lelaki 38
Perempuan 65
Umur 19 55
20 - 23 48
Tahun pengajian Pertama 84
Kedua 17
Ketiga 2
Bangsa Melayu 77
Cina 14
India 7
Lain-lain 5
Agama Islam 81
Budhha 9
Hindu 6
Kristian 6
Lain-lain 1
Sumber: Borang soal selidik

Berdasarkan Jadual 1 di atas, jumlah pelajar perempuan adalah lebih ramai


daripada pelajar lelaki yang mewakili 65 daripada 103 pelajar. Dari sudut umur pula
menunjukkan keseimbangan pelajar yang menjawab soal selidik ini, iaitu 19 tahun
seramai 55 pelajar dan mereka yang berumur lingkungan 20 hingga 23 tahun
seramai 48 orang. Majoriti responden adalah mahasiswa tahun pertama (n=84) yang
mengambil kursus TITAS, berbangsa Melayu (n=77) dan beragama Islam (n=81).

7
Analisis rasa hormat mahasiswa terhadap institusi raja-raja adalah berdasarkan
Jadual 2 di bawah.

Jadual 2: Rasa Hormat Mahasiswa


Bil. Item Mean
1. YDP Agong merupakan Ketua Negara 4.21
2. YDP Agong sebagai pelindung agama Islam 4.38
3. YDP Agong merupakan ketua pemerintah tertinggi 4.07
angkatan bersenjata
4. Sultan/Raja /YDPB merupakan ketua pemerintah/ketua 4.25
negeri

5. Sultan/Raja /YDPB bertanggungjawab menjaga 4.12


kedudukan istimewa orang Melayu

6. Sebagai payung negara/pelindung rakyat 4.14

7. Merupakan simbol perpaduan rakyat 4.13

8. Memperkenankan undang-undang negara 4.01

9. Kedudukan Sultan/Raja adalah di atas rakyat 3.68

10. Bidang kuasa dan kedudukan Sultan/Raja ditetapkan dan 3.87


dilaksanakan mengikut perlembagaan negeri
Sumber: Borang soal selidik

Dapatan kajian menunjukkan majoriti mahasiswa sangat menghormati


institusi raja-raja berdasarkan nilai min yang diperolehi iaitu Agong/Raja dan YDP
sebagai pelindung agama Islam (M=4.38) dan Sultan/Raja /YDPB merupakan ketua
pemerintah/ketua negeri (M=4.25). Hasil kajian ini selari dengan firman Allah dalam
surah al-Nisa ayat 59 yang bermaksud “....taatilah Allah, Rasul dan para pemimpin
dalam kalangan kamu....". Penegasan hormat kepada pemimpin turut ditekankan
melaui hadis nabi yang bermaksud "Sesiapa taat kepada pemimpin maka dia telah
taat kepadaku dan sesiapa yang menderhakai pemimpin maka dia telah derhaka
kepadaku".(Bukhari, no.2957). Nilai min yang tinggi ini mempunyai hubungan
dengan majoriti pelajar yang umumnya beragama Islam. Ini menunjukkan bukti
bahawa mahasiswa memiliki kefahaman untuk menghormati pemimpin dalam Islam.

8
Item Kedudukan Agong/Sultan/Raja adalah di atas rakyat (M=3.68) dan
Bidang kuasa dan kedudukan Agong/Sultan/Raja ditetapkan dan dilaksanakan
mengikut perlembagaan negeri (M=3.87) mendapat min yang rendah berbanding
item lain. Ini menunjukkan bahawa mahasiswa berpendapat kedudukan
Agong/Sultan/Raja perlu sama dengan rakyat daripada sudut hierarki manusia
berdasarkan maksud Surah al-Hujurat ayat 13 yang bemaksud “Sesungguhnya
manusia yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah mereka yang
bertakwa”. Ini menunjukkan bahawa mahasiswa melihat rasa hormat terhadap
kedudukan raja ini daripada sudut berbeza walaupun mereka sangat menghormati
raja sebagai ketua dan pemimpin agama Islam. Pada pandangan mereka walaupun
raja dihormati sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan, namun sekiranya
berlaku polemik antara rakyat dan raja, raja juga turut tidak terlepas daripada diadili
oleh perundangan negara seperti mana rakyat.

Analisis Persepsi mahasiswa terhadap institusi raja-raja adalah berdasarkan Jadual


3 di bawah.

Jadual 3: Ciri-ciri Raja yang disanjungi


Bil Item Mean
.

1. Berpendidikan 4.63

2. Berpengetahuan dalam agama Islam 4.58

3. Mempunyai akhlak yang mulia 4.71

4. Mesra rakyat 4.69

5. Bijaksana 4.71

6. Memiliki personaliti yang baik 4.67


Sumber: Borang soal selidik

9
Item Agong/Sultan/Raja mempunyai akhlak yang mulia dan bijaksana
mendapat min yang tinggi (M=4.71) diikuti mesra terhadap rakyat (M=4.69) dan
mempunyai personaliti yang baik (M=4.67). Akhlak mulia merupakan aspek penting
dalam pembentukan peribadi Muslim. Ini bersesuaian dengan peranan
Agong/Sultan/Raja sebagai pemimpin dan ketua agama Islam di negara ini.
Penekanan terhadap akhlak mulia terdapat dalam hadis Rasulullah yang
bermaksud: “Manusia yang paling baik ialah manusia yang paling baik akhlaknya.”
(HR. Imam Tabrani). Kajian ini selari dengan dapatan kajian Roselena Mansor dan
Mohd Izham Mohd Hamzah (2015) yang meletakkan keperibadian positif
merupakan kriteria seorang pemimpin selain daripada berpengetahuan,
berkemahiran, memberi sumbangan dan kesanggupan memimpin .

Sebagai seorang ketua negara, Agong/Sultan/Raja perlu memiliki sifat adil,


bijaksana dalam setiap tindakan, keputusan dan tidak mudah dipengaruhi oleh
unsur-unsur yang bersifat kepentingan peribadi. Ini disokong oleh Boyatzis, (2011),
Bush, T. (2008) dan Gentry et al. (2013) yang menyatakan bahawa seorang
pemimpin perlu bijaksana dan berupaya melaksanakan tugas dengan efektif bagi
memastikan negara dan rakyat di bawah naungannya berada dalam keadaan aman
dan sejahtera.

Kebijksanaan Agong/Sultan/Raja juga turut merangkumi mempunyai


pengetahuan dalam semua aspek. Ini akan memberi kesan terhadap segala
tindakan agar keputusan yang diambil adalah yang terbaik dan bermanfaat kepada
negara dan rakyat.

Item persepsi bagi pengetahuan Agong/Sultan/Raja dalam agama Islam


mendapat min yang paling rendah (M=4.58). Dapatan ini menunjukkan terdapat
percanggahan dengan item pesepsi yang mendapat min tertinggi iaitu
Agong/Sultan/Raja mempunyai akhlak yang mulia (M=4.71) dan item rasa hormat
mahasiswa terhadap Agong/Sultan/Raja sebagai pelindung agama Islam yang
mendapat min tertinggi (M=4.38). Dapatan ini seolah-olah tidak selari dan tidak
menyokong antara satu sama lain. Seorang pemimpin yang dianggap sebagai
pelindung agama Islam seharusnya memiliki akhlak yang mulia hasil daripada
pengetahuan agama Islam yang tinggi. Ini menunjukkan seperti wujudnya pemisah
antara pengetahuan agama, akhlak dan peranan Agong/Sultan/Raja. Berdasarkan
10
dapatan ini, menunjukkan pelajar telah memisahkan komponen akhlak dengan
agama Islam sedangkan akhlak merupakan komponen utama Islam selain akidah
dan syariah. Justeru, kajian lanjut mengenai pemikiran ini perlu dijalankan untuk
mengenal pasti isu dan permasalahan yang timbul.

Kesimpulan

Dapatan kajian menunjukkan mahasiswa Universiti Malaya menghormati institusi


raja-raja sebagai pelindung agama Islam dan merupakan ketua pemerintah/ketua
negara/negeri. Daripada sudut persepsi pula, mahasiswa Universiti Malaysia
berpendapat bahawa Agong/Sultan/Raja perlu mempunyai akhlak yang mulia,
bijaksana, mesra terhadap rakyat dan mempunyai personaliti yang baik. Selain itu,
mahasiswa juga berpendapat pentadbiran institusi raja-raja perlu diperkukuhkan,
mematuhi perundangan Islam, mendengar suara rakyat serta tidak terlibat dengan
mana-mana agenda parti politik negara. Kajian ini juga memperlihatkan wujudnya
percanggahan pemikiran mahasiswa antara hubungan akhlak dan agama Islam.
Justeru, kajian komprehensif perlu dilakukan untuk membincangkan perkara ini
dengan lebih terperinci dan sewajarnya.

Rujukan

Ahmad Farhan Abdullah. (2016). Hubungan Politik antara Selangor dengan Perak
1804-1825, Kertas-kertas Seminar Institusi Raja (SIRaj IV) Hubungan Luar
Kesultanan Melayu yang berlangsung pada 29 September 2016 di
Perpustakaan Negara. Kuala Lumpur. (E-prosiding)

Alwi Daud. (2016). Aristokrat Bugis dan Melayu Abad Ke-18: Kajian Berdasarkan
Teks Silsilah Melayu dan Bugis, Hikayat Upu Daeng Menambun dan Hikayat
Negeri Johor. Kertas-kertas Seminar Institusi Raja (SIRaj IV) Hubungan Luar
Kesultanan Melayu yang berlangsung pada 29 September 2016 di
Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur. (E-prosiding)

Baharuddin Che Pa. (2006). Pengaruh Islam dan pelbagai agama dalam Institusi
Raja-Raja Melayu di Malaysia. Kertas Kerja Seminar Islam dan Hubungan
Antara Agama di Malaysia Peringkat Kebangsaan. Kuala Lumpur: Universiti
Malaya.

Boyatzis, R.E. (2011). Managerial and Leadership Competencies: A Behavioral


Approach to Emotional, Social and Cognitive Intelligence. Vision: The Journal
of Business Perspective 15(2): 91-100.

11
Bush, T. (2008). Leadership and Management Development in Education. London:
Sage Publications Ltd.

Gentry, W.A., Eckert, R.H., Munusamy, V.P., Stawiski, S.A. & Martin, J.L. (2013).
The Needs of Participants in Leadership Development Programs: A Qualitative
And Quantitative Cross-Country Investigation. Journal of Leadership &
Organizational Studies 21(1): 83-101.)

H.A. Malik Ahmad. (1971). Akidah Islam : Menurut Quran dan Hadits. Djakarta :
Taufik.

Hanum Hassan, Razli Ahma, Azuddin Bahari. (2014). Reaksi Generasi Y Terhadap
Institusi Raja: Kajian Ke Atas Pelajar IPT. Prosiding Seminar Institusi Raja
(SIRaj II): Seminar Raja Dan Kerajaan Perlis.

Hashim Musa. (2016). Hubungan Kesultanan Melaka Dengan Kerajaan Ryukyu


Jepun. Kertas-kertas Seminar Institusi Raja (Siraj IV) Hubungan Luar
Kesultanan Melayu yang berlangsung pada 29 September 2016 di
Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur. (E-prosiding)

Idris Md. Noor. (2013). Kajian Literasi Pelajar IPTA Terhada Pengamalan Sistem
Raja Berperlembagaan Malaysia: Satu Analisis Deskriptif. Kertas-kertas
Seminar Institusi Raja (SIRaj), Melestarikan Pemerintahan Beraja, yang
berlangsung pada 5-6 Jun 2013, Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala
Lumpur. Perlis: Unversiti Malaysia Perlis.

Kamarudin Hussein, et.al. (2013). Peranan Institusi Pengajian Tinggi Dalam


Memartabatkan Dan Memperkasakan Institusi Raja Di Malaysia,
(https://www.academia.edu/25018350/Peranan_IPT_Dalam_Memartabat_dan_
Memperkasakan_Institusi_Raja_Di_Malaysia)

Kertas-kertas Seminar Institusi Raja (Siraj IV). (2016). Hubungan Luar Kesultanan
Melayu, yang berlangsung pada 29 September 2016 di Perpustakaan Negara,
Kuala Lumpur. (E-prosiding).

Kertas-kertas Seminar Institusi Raja (Siraj). (2013). Melestarikan Pemerintahan


Beraja, yang berlangsung pada 5-6 Jun 2013, Lanai Kijang, Bank Negara
Malaysia, Kuala Lumpur. Perlis: Unversiti Malaysia Perlis.

Mohd Salleh Abas. (1992). Unsur-Unsur Tradisi dalam Perlembagaan Malaysia.


Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muhammad Naim Fakhirin. (2016). Kolonialisasi British Dan Implikasi Terhadap


Hubungan Selangor-Bugis, 1874-1941, Kertas-kertas Seminar Institusi Raja
(Siraj IV). Hubungan Luar Kesultanan Melayu, yang berlangsung pada 29
September 2016 di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur. (E-prosiding)

12
Nazri Muslim. (2013), Peranan Institusi Raja-Raja Melayu Menurut Perlembagaan
Dalam Memelihara Kedudukan Islam Dari Perspektif Pendidikan Sejarah,
Seminar Pendidikan Sejarah dan Geografi 2013 (UMS, 29 – 30 Ogos 2013).

Nazri Muslim. (2014). Institusi Raja-Raja Melayu: Peranannya dalam Memelihara


Kedudukan Islam dari Sudut Perlembagaan, International Journal of the Malay
World and Civilisation (Iman) 2(2), hal: 121 – 127.

Ong Guan Sai a/l Ong Han Hui. (1999). Persepsi Generasi Muda terhadap Institusi
Raja-raja Melayu. Dissertation, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti
Malaya.

Prosiding Seminar Institusi Raja (SIRaj) (2015), Pemeintahan Diraja Dalam


Manuskrip Melayu: Mendaulatkan Pemerintahan Beraja, yang berlangsung
pada 26 Februari 2015 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. (E-
prosiding).

Ramlah Adam. (2016). Hubungan Luar Kesultanan Melayu Melaka dengan Kawasan
Sekitar dan Antarabangsa, Kertas-kertas Seminar Institusi Raja (Siraj IV)
Hubungan Luar Kesultanan Melayu yang berlangsung pada 29 September
2016 di Perpustakaan Negara, Kuala Lumpur. (E-prosiding)

Ramlah Adam dan Noormaizatul Akmar Ishak. (2013). Persepsi dan Pengetahuan
Rakyat Terhadap Institusi Raja Malaysia: Satu Kajian Kes di Perlis dan Kedah,
Kertas kerja Seminar Institusi Raja (SIRaj II): Seminar Raja dan Kerajaan
Perlis, 12hb hingga 13hb Jun 2013 anjuran Universiti Malaysia Perlis
bertempat di Universiti Malaysia Perlis.
http://dspace.unimap.edu.my/dspace/handle/123456789/35706

Rebore, R.W. (2003). A Human Relations Approach to the Practice of Educational


Leadership. Boston: Allyn and Bacon.

Roselena Mansor& Mohd Izham Mohd Hamzah. (2015). Kepimpinan Berkualiti:


Perspektif Mengenai Kompetensi yang Diperlukan untuk Memimpin dengan
Berkesan, Jurnal Pengurusan (45), 143 – 154.

Shuhairimi Abdullah. (2013). Relevansi Institusi Raja-Raja Melayu di Malaysia:


Mendaulatkan Islam di Malaysia, Kertas kerja Seminar Institusi Raja (SIRaj II):
Seminar Raja dan Kerajaan Perlis, 12hb hingga 13hb Jun 2013 anjuran
Universiti Malaysia Perlis bertempat di Universiti Malaysia Perlis.

13

You might also like