You are on page 1of 16

ISI KANDUNGAN

Bil Tajuk Mukasurat

1.0 Pengenalan 2–3

2.0 Pendidikan Literasi Bahasa 4–5

3.0 Faktor-Faktor Pembelajaran Orang Asli 5–6

3.1 Faktor Peranan Ibu Bapa Terhadap Prestasi Pendidikan Anak-Anak 5–6

3.2 Faktor Pelajar 6–7

3.3 Faktor Persekitaran Dan Budaya 7–8

3.4 Cabaran Memahamkan Anak-Anak Orang Asli Apa Yang Diajar 8–9

3.5 Kurang Motivasi 9 – 10

3.6 Hubungan PIBG Yang Longgar 10 – 11

3.7 Masalah Pertukaran Guru 11 – 12

3.8 Pembangunan Modal Insan Guru 13

4.0 Kesimpulan 13 – 14

Rujukan 15 – 16
MERAPATKAN JURANG LITERASI MURID-MURID

ORANG ASLI:APA CABARANNYA?

1.0 PENGENALAN

Masalah pencapaian akademik dan masalah kegagalan murid-murid sekolah di Malaysia

adalah masalah yang universal dalam konteks masyarakat Malaysia masa kini. Isu pencapaian

akademik telah menyebabkan semua pihak yang memainkan peranan dalam pendidikan kanak-

kanak berhempas-pulas bagi menentukan bahawa pencapaian akademik kanak-kanak berada

dalam keadaan yang boleh menjamin masa depan mereka. Pada hari ini hampir semua sekolah di

Malaysia mempunyai unjuran tertentu bagi menentukan semakin ramai kanak-kanak mempunyai

keputusan cemerlang. Dalam masa yang sama, bahang orientasi sistem pelajaran yang

berlandaskan peperiksaan telah menyebabkan ibu bapa yang berkemampuan turut memberi

bantuan serta sokongan tambahan seperti memberikan anak-anak tuisyen dan pelbagai aktiviti

lain yang dianjur pihak persendirian. Sungguh pun begitu, tekanan bagi memastikan kanak-

kanak cemerlang dalam akademik mungkin kurang dirasai oleh kanak-kanak sekolah yang

berketurunan Orang Asli di Malaysia. Pada keseluruhannya pencapaian pelajaran mereka adalah

pada tahap yang amat membimbangkan. Ramai kanak-kanak berketurunan Orang Asli gagal

menguasai kemahiran 3M. Di samping itu, ramai juga yang tercicir sekolah sebelum tahun enam.

Data menunjukkan lebih ramai kanak-kanak Orang Asli yang tercicir dari yang terus bertahan

hingga ke sekolah menengah. Menyedari hakikat ini pada tahun 2006, Kementerian Pelajaran

Malaysia telah memberikan arahan kepada semua 27 buah Institut Perguruan Malaysia di seluruh

negara supaya membangunkan sekurang-kurangnya sebuah sekolah rendah yang majoriti

muridnya adalah keturunan Orang Asli.

Sekolah adalah merupakan agen sosialisasi yang penting selepas keluarga. Bezanya

dengan keluarga ialah sekolah mempunyai garis panduan yang sistematik bagi merealisasikan

Page 1
dasar-dasar pendidikan dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Keberkesanan

sekolah sebagai agen sosialisasi adalah bergantung kepada kemudahan sekolah, hubungan guru

dengan ibu bapa, latar belakang murid-murid sendiri, kerjasama ibu bapa dan guru serta visi

serta misi pihak sekolah dan ibu bapa. Memandangkan sebahagian besar dari murid sekolah

mempunyai masalah menguasai kemahiran 3M, sekolah sepatutnya mempunyai guru-guru yang

mahir dengan pemulihan. Sekolah tidak mempunyai seorang pun guru pemulihan yang benar-

benar pakar dalam mengatasi masalah pembelajaran murid. Maksudnya guru pakar pemulihan

yang boleh memantau dan menjalankan program pemulihan secara berkesan. Pengetahuan

pemulihan yang guru-guru terima adalah terlalu asas dan umum yang mereka dapati semasa

menuntut di maktab perguruan. Padahal masalah kegagalan menguasai 3M adalah amat serius.

Pihak sekolah cuba mendapatkan khidmat guru mahir pemulihan tetapi masih lagi gagal dan

kesannya masalah tersebut masih berterusan walaupun faktor sekolah bukan satu satunya faktor

menyebabkan kegagalan menguasai 3M dalam konteks masyarakat Orang Asli.

Perkembangan murid dalam bentuk menyeluruh yang melibatkan perkembangan kognitif,

psikomotor, afektif dan fizikal sesungguhnya memerlukan penggembelingan semua pihak yang

terlibat dengan proses sosialisasi. Dalam aspek ini kerjasama pihak sekolah dengan agen

sosialisasi lain seperti keluarga adalah sangat penting. Ibu bapa sangat sukar memberikan

kerjasama dan memahami perlunya sesuatu program dijalankan dan kepentingannya. Pada

keseluruhannya sekolah adalah agen sosialisasi yang penting dalam perkembangan kanak-kanak

dan keberkesanan peranannya adalah bergantung kepada sokongan dan kerjasama ibu bapa

sendiri dan bagaimana sesuatu program itu dapat dilaksana. Dalam konteks sekolah ini, dari segi

struktur dan fizikal kelihatan sekolah kurang mempunyai masalah bagi perkembangan murid

tetapi sekolah mungkin mempunyai masalah dari segi kepakaran guru dalam menangani

masalah-masalah yang lebih khusus seperti masalah kegagalan menguasai kemahiran 3M,

masalah sikap dan ponteng melampau.

Page 2
2.0 PENDIDIKAN LITERASI BAHASA

Pendidikan literasi bahasa, khususnya Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran utama yang

diajarkan di sekolah seluruh Malaysia perlu dimantapkan lagi bersesuaian dengan kedudukannya

sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara (Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan).

Kejayaan mendaulatkan Bahasa Melayu bersesuaian dengan kedudukannya perlu diusahakan

semua pihak di seluruh negara secara berterusan. Sekolah dan guru mata pelajaran Bahasa

Melayu mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan semua pelajar berkemampuan

menguasai kemahiran literasi Bahasa Melayu seawal tahap satu di sekolah rendah. Ini selaras

dengan matlamat kerajaan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan dan bahasa

pengantar utama negara (Kementerian Pelajaran Malaysia, 2006).

Penguasaan literasi Bahasa Melayu amat berkait rapat dengan fungsi Bahasa Melayu

sebagai bahasa pengantar dan bahasa ilmu dalam sistem pendidikan di Malaysia. Bahasa Melayu

menjadi bahasa perhubungan dan bahasa pengantar dalam mata pelajaran yang diajarkan di

sekolah dan sebagai satu daripada mata pelajaran utama dalam sistem pendidikan negara sejak

lebih setengah abad. Dalam menongkah arus cabaran globalisasi, guru perlu bersedia

memantapkan lagi pedagogi literasi bahasa Melayu dan melakukan satu transformasi bagi

menyesuaikannya dengan keperluan semasa dalam pelbagai bidang ilmu (Kementerian Pelajaran

Malaysia, 2012).

Dalam melahirkan modal insan bertaraf dunia, kerajaan telah menjadikan pendidikan

sebagai satu daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). NKRA pendidikan

merupakan titik permulaan ke arah menambah baik prestasi pelajar secara menyeluruh dan

membolehkan mereka mendapat akses kepada pendidikan berkualiti (RMK10). Namun dalam

usaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkasakan pendidikan negara, terdapat

segelintir murid masih ketinggalan dalam pendidikan iaitu murid Orang Asli. Di Malaysia,

Orang Asli merupakan kumpulan minoriti iaitu 0.5% daripada populasi penduduk Malaysia.

Page 3
Mereka dapat dibahagikan kepada 18 suku kaum (Basir Zahrom, 2009). Basir Zahrom (2009)

menjelaskan jika 100 murid Orang Asli yang memasuki tahun satu, hanya enam pelajar sahaja

yang akan menamatkan pengajian sehingga tingkatan lima. 94% daripada mereka akan tidak

dapat dikesan sama ada menamatkan pengajian atau tidak. Beliau menambah perbezaan

pedagogi dan budaya sebagai antara penyumbang kepada wujudnya permasalahan tersebut.

3.0 FAKTOR-FAKTOR PEMBELAJARAN ORANG ASLI

3.1 Faktor Peranan Ibu Bapa Terhadap Prestasi Pendidikan Anak-Anak

Ibu bapa berperanan dalam mempengaruhi prestasi pendidikan anak-anak terutamanya di

peringkat awal pendidikan ataupun di sekolah rendah. Bagaimanapun, ibu bapa Orang Asli

kurang memainkan peranan ke arah kejayaan pelajaran anak-anak mereka. Ramai dalam

kalangan ibu bapa Orang Asli langsung tidak mendapat pendidikan formal manakala hanya

sebahagian kecil mendapat pendidikan hanya setakat sekolah rendah itupun sampai tahun tiga

sahaja. Kebanyakan ibu bapa Orang Asli berkahwin muda yang menyebabkan mereka kurang

dengan ilmu kekeluargaan. Dorongan dan semangat daripada ibu bapa amat diperlukan oleh

pelajar bagi meningkatkan motivasi untuk belajar dengan menyediakan persekitaran

pembelajaran di rumah. Menurut Hasan Mat Nor (2001) ibu bapa tidak memarahi anak-anak

sekiranya tidak hadir ke sekolah. Sebaliknya, ibu bapa diam kerana anak yang tidak

bersekolah dapat menolong melakukan kerja rumah atau mengikut mereka ke hutan untuk

mengumpul hasil hutan.

Ibu bapa juga menyerahkan 100 peratus pendidikan anak-anak mereka kepada pihak

sekolah. Mereka juga tidak mengambil berat tentang keputusan peperiksaan yang dihasilkan oleh

anak-anak dalam pelajaran. Ibu bapa juga tidak menyarankan atau menyuruh anak-anak belajar

sewaktu berada di rumah. Dalam keadaan sedemikian ini, maka tidak berlaku proses pendidikan

atau pembelajaran di rumah. Ibu bapa juga tidak memberi cadangan khusus untuk

meningkatkan pendidikan anak-anak mereka. Mereka memohon bantuan kewangan daripada


Page 4
kerajaan, tetapi bantuan kewangan itu bukanlah digunakan untuk pendidikan anak-anak

tetapi lebih kepada perbelanjaan harian. Keadaan ini adalah dipengaruhi oleh tahap pendidikan

ibu bapa itu sendiri. Kebanyakan ibu bapa kurang meluangkan masa untuk anak-anak

seperti memeriksa atau menanya kerja sekolah anak-anak, jauh sekali membeli bahan-

bahan bacaan. Ibu bapa sendiri kurang terdedah kepada alam pendidikan suatu ketika

dahulu. Malah, ibu bapa tidak pernah membayangkan anak-anak mereka akan menjadi seorang

yang bekerjaya suatu hari nanti. Sebaliknya, mereka sekadar mengharapkan anak-anak mereka

dapat membaca dan memperolehi pendidikan yang lebih baik daripada diri mereka sahaja.

3.2 Faktor pelajar

Pelajar juga merupakan faktor penting dalam menentukan pencapaian pelajaran.

Walaupun pelbagai perubahan dan pembaharuan telah dilaksanakan, namun kemajuan

pendidikan tidak akan tercapai sekiranya pelajar itu tidak mahu berubah untuk berjaya. Faktor

motivasi pelajar memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pencapaian prestasi pelajar.

Mereka merasakan pelajaran kurang penting dalam kehidupan mereka. Rata-rata mengatakan

bahawa Ibu bapa mereka masih dapat hidup dengan ‘baik’ walaupun tidak berpelajaran tinggi.

Kemahiran tentang selok-belok hutan adalah lebih penting dalam kehidupan mereka. Oleh

kerana itu, pelajar Orang Asli tidak belajar dengan bersungguh-sungguh.

Kehadiran pelajar ke sekolah amat penting supaya mereka tidak ketinggalan dalam

pelajaran kerana sukatan pelajaran yang diajar berbeza dan bertambah hari ke hari. Sekiranya

pelajar tidak hadir ke sekolah sudah pasti mereka tercicir dalam pelajaran. Keadaan ini sudah

pasti akan mempengaruhi pencapaian prestasi pelajaran mereka. Sesetengah pelajar hampir

sebulan tidak ke sekolah kerana tidak mahu belajar, menjaga adik di rumah sementara ibu bapa

bekerja dan mengikut ibu bapa ke hutan untuk mengumpul hasil hutan (Ibrahim Ngah dan

Khairul Hisyam, 2007).

Page 5
Kekangan yang dihadapi oleh pelajar dalam proses pembelajaran ialah masalah

berkomunikasi. Pelajar Orang Asli kurang faham dengan penerangan yang diberikan oleh guru

dalam Bahasa Melayu semasa proses pembelajaran dan pengajaran. Sesetengah istilah harus

diterangkan dalam Bahasa Orang Asli oleh guru bagi membolehkan pelajar faham. Secara

keseluruhannya, faktor pelajar sendiri merupakan faktor yang penting dalam mempengaruhi

kejayaan mereka dalam pendidikan. Anak Orang Asli telah dibentuk dan diprogram sejak

daripada lahir lagi mengikut persekitaran dan budaya Orang Asli. Pendedahan persekitaran yang

sedemikian ini menyebabkan perjalanan kehidupan mereka mengikut kelaziman dan sukar untuk

diubah dan dibentuk.

3.3 Faktor persekitaran dan budaya

Faktor persekitaran dan budaya mempengaruhi pencapaian prestasi pelajar Orang Asli.

Kehidupan Orang Asli amat terikat dengan persekitaran mereka iaitu hutan yang merupakan

sumber rezeki yang utama. Antara faktor persekitaran dan budaya yang dikenalpasti termasuklah

faktor sosioekonomi, tiada tokoh berjaya dan tiada persaingan positif. Kegiatan ekonomi mereka

masih lagi tertumpu kepada aktiviti tradisional seperti mencari hasil hutan dan pertanian saradiri.

Ramai dalam kalangan pelajar ponteng sekolahnsemata-mata untuk mengikut ibu bapa mereka

mencari hasil hutan. Perkara ini sukar untuk dibendung kerana mencari hasil hutan merupakan

salah satu sumber kewangan kepada mereka untuk perbelanjaan harian mahu pun persekolahan.

Oleh kerana terlalu kerap tidak hadir ke sekolah, mereka banyak ketinggalan dalam

pembelajaran. Komuniti Orang Asli berpuas hati apa yang mereka dapat sekarang berbanding

dengan apa yang diperolehi pada masa akan datang. Oleh sebab itu, ibu bapa kurang

mementingkan pendidikan untuk anak-anak mereka. Mereka merasakan pelajaran tidak memberi

kemahiran untuk kegunaan dalam kehidupan sekarang. Keadaan kehidupan mereka tidak

memerlukan pendidikan yang tinggi dan tidak wujud persaingan yang kuat dalam meneruskan

Page 6
kehidupan. Oleh itu, kehidupan yang dinikmati sekarang sudah selesa bagi mereka, dengan kata

lain mereka berada dalam “zon selesa”.

Selain itu, model atau tokoh merupakan seorang yang penting untuk menjadi sumber

aspirasi dan boleh mempengaruhi minat seseorang untuk berjaya. Walau bagaimanapun, tidak

terdapat ‘role model’ atau orang yang telah berjaya sebagai contoh untuk mereka tauladan dalam

mencapai kejayaan. Tambahan lagi, ibu bapa dan pelajar itu sendiri tidak mengetahui kelebihan

orang yang berpendidikan tinggi dan hasil daripada kejayaan mereka. Kajian mendapati hanya

dua peratus sahaja anak-anak Orang Asli yang bekerja dalam sektor awam, manakala 98.0

peratus bekerja sendiri sebagai petani dan mengumpul hasil hutan.

Suasana pembelajaran tidak begitu mencabar dan persaingan untuk berada di tempat

teratas adalah kurang. Kemungkinan ketiadaan kaum Melayu, Cina atau India dan lain-lain

menyebabkan tiada saingan kepada mereka untuk berlumba-lumba mencapai keputusan yang

lebih cemerlang dan menduduki tempat teratas. Menurut pandangan Hasan Mat Nor (2001)

proses pembelajaran bagi pelajar Orang Asli hanyalah sebagai memenuhi tuntutan kehidupan

yang ditetapkan oleh kerajaan dan bukanlah satu matlamat yang penting bagi menjamin masa

depan mereka. Atitud yang sedemikian inilah yang menyebabkan anak-anak Orang Asli tidak

berminat untuk bersekolah. Malahan, mereka hanya bersekolah setakat darjah tiga atau tidak

akan menamatkan alam persekolahan peringkat rendah.

3.4 Cabaran memahamkan anak-anak Orang Asli apa yang diajar

Pelajar Orang Asli kurang memahami penerangan yang dibuat oleh guru dalam Bahasa

Melayu dan sesetengah istilah sukar difahami oleh pelajar. Masalah ini timbul kerana

penguasaan Bahasa Melayu oleh anak-anak Orang Asli adalah agak lemah. Pelajar menggunakan

Bahasa Melayu hanya semasa berada di sekolah khususnya untuk berhubung dengan guru sahaja.

Apabila berhubung dengan kawan-kawan mereka tetap menggunakan dialek dan bahasa

tempatan. Semasa berada di rumah, komunikasi antara sesama mereka juga tetap menggunakan
Page 7
dialek dan bahasa tempatan. Keadaan ini menyebabkan pelajar Orang Asli lemah penguasaan

dalam menguasai Bahasa Melayu. Guru terpaksa mengulangi penerangan sesuatu perkara

berulang-kali dan dalam sesetengah keadaan guru terpaksa memberi penerangan sesuatu istilah

dalam dialek bahasa tempatan. Oleh sebab itu, guru terpaksa mempelajari dialek bahasa

tempatan atau Bahasa Orang Asli bagi memudahkan proses pengajaran bagi memastikan pelajar

faham perkara yang diajar. Keadaan menjadi serius kerana kebanyakan mereka tidak aktif di

dalam kelas semasa sesi pembelajaran dan ketika diajukan soalan. Situasi ini menyebabkan guru

tidak dapat menilai sama ada pelajar berkenaan faham apa yang diajar atau sebaliknya. Malahan,

kajian mendapati guru juga tidak dapat menegur pelajar dengan nada yang tinggi kerana mudah

merajuk dan menyebabkan kerap tidak hadir ke sekolah. Menurut Shahril Hj Marzuki. (2005),

kebanyakan pelajar sukar untuk menceritakan masalah yang dihadapi kepada guru. Oleh kerana

itu, para guru tidak mengetahui dan tidak memahami masalah yang dihadapi oleh mereka. Dalam

keadaan ini, maka tindakan susulan untuk membantu pelajar tidak dapat dilakukan.

3.5 Kurang Motivasi

Masalah lain yang dihadapi oleh guru adalah kurangnya motivasi dalam kalangan anak-

anak Orang Asli. Pelajar Orang Asli lebih suka bermain dan kurang memberi tumpuan serta

perhatian ketika guru sedang mengajar. Menurut Mustafa Omar (2004) aktiviti yang paling

digemari pelajar Orang Asli ialah bersukan dan menyanyi berbentuk karaoke. Pelajar sering

meminta untuk melakukan aktiviti berkenaan tanpa mengira waktu belajar atau sebaliknya. Ini

menyebabkan sesi pembelajaran di dalam kelas selalu terganggu, dan dengan itu seterusnya akan

memberi kesan terhadap prestasi pelajaran mereka. Kes ponteng sekolah dalam kalangan pelajar

turut mengundang masalah kepada pihak sekolah khasnya dan guru amnya. Menurut Mustafa

Omar (2004) masalah pelajar yang sering tidak hadir ke sekolah telah menjejaskan prestasi

pembelajaran mereka kerana tertinggal atau terkebelakang dalam proses pembelajaran.

Page 8
Guru juga menghadapi cabaran berkaitan dengan sukatan pelajaran. Masalah ini timbul

kerana sukatan pelajaran yang diajar kepada pelajar Orang Asli adalah sama dengan pelajar di

sekolah biasa sedangkan kebolehan pelajar Orang Asli jauh berbeza dengan kaum-kaum lain di

Malaysia. Pengurusan kebersihan kendiri pun tidak dapat dijalankan dengan sempurna. Menurut

Majid Suhut (2005), tahap IQ dan kebolehan pelajar Orang Asli jauh lebih rendah jika

dibandingkan dengan pelajar Melayu, Cina dan India. Pelajar merasakan sesuatu perkara yang

diajar oleh guru amat asing dan sukar untuk diterima dalam budaya mereka. Keadaan ini

menyebabkan guru sukar untuk mendidik dan memberi kefahaman yang jitu kepada pelajar.

Kurang motivasi daripada ibu bapa untuk memastikan anak-anak mereka pergi ke sekolah

dan menyebabkan ramai murid tercicir. Kadar keciciran yang tinggi dalam kalangan Orang Asli

menyebabkan kadar tamat sekolah adalah rendah. Didapati hanya 30 peratus murid Orang Asli

menamatkan sekolah rendah, iaitu kurang daripada separuh purata peringkat kebangsaan iaitu 72

peratus. Untuk pencapaian akademik pula didapati hanya 61 peratus murid lulus mata pelajaran

teras dalam peperiksaan UPSR berbanding purata peringkat kebangsaan, iaitu 87 peratus. Selain

itu, hanya 1 peratus sekolah kebangsaan berada dalam band sekolah berprestasi rendah (Band 6

and 7) berbanding 35 peratus SK Asli (Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2012).

Maklumat ini menunjukkan bahawa murid orang asli menghadapi pelbagai masalah

pembelajaran.

3.6 Hubungan PIBG Yang Longgar

Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) turut memberi cabaran kepada guru. Prestasi

pencapaian pelajar turut dipengaruhi oleh sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang

pembelajaran anak-anak mereka. Kehadiran ibu bapa ke mesyuarat PIBG bukan kerana pelajaran

anak sebaliknya kehadiran mereka kerana pihak sekolah mengadakan jamuan makan untuk ibu

bapa. Menurut Hasan Mat Nor (2001) sekiranya ingin mengadakan sesuatu program yang

Page 9
memerlukan kehadiran ibu bapa, pihak sekolah harus mengadakan jamuan. Sekiranya tidak ada

jamuan sudah pasti kehadiran ibu bapa amat mengecewakan.

3.7 Masalah pertukaran guru

Masalah pertukaran guru turut menjadi satu situasi yang perlu dihadapi oleh guru.

Menurut Basir Zahrom (2009) guru yang berkhidmat di sekolah Orang Asli sukar untuk

ditukarkan ke sekolah lain. Permohonan guru untuk bertukar sekolah akan hanya

dipertimbangkan selepas guru berkhidmat minimum lima tahun di sekolah-sekolah kebangsaan

Orang Asli. Cabaran ini terpaksa ditempuhi oleh guru sekolah Orang Asli kerana sukar untuk

mendapatkan pengganti. Tidak ramai guru yang sanggup mengajar di sekolah Orang Asli

terutama yang jauh di pedalaman. Dijangkakan apabila keadaan ini berlarutan, kemungkinan

besar motivasi guru untuk memberi perkhidmatan yang baik akan berkurangan. Justeru, ia boleh

menjejaskan prestasi pelajar Orang Asli apabila guru bersifat mengajar sambil lewa sahaja.

Kaedah pendidikan arus perdana yang tidak bersesuaian dengan tahap kefahaman,

penggunaan bahasa serta budaya orang Asli. Kaedah pengajaran membosankan, bahan

pengajaran kurang sesuai, Pusat Sumber Sekolah (PSS) kurang mempunyai buku, guru kurang

berpengalaman mengajar orang Asli dan pengajaran guru terlalu terikat dengan sukatan pelajaran

dan peperiksaan awam. Penempatan guru besar dan guru-guru yang kurang komited dan

motivasi. Terlalu ramai guru baru yang tidak berpengalaman. Ini menyebabkan ramai murid

belum menguasai kemahiran 2M (SUHAKAM, 2010).

Pelbagai masalah yang berlaku di atas telah mencetuskan pelbagai usaha dan program

bagi membantu mencemerlangkan komuniti orang Asli amnya. Bukan sahaja dalam bentuk

bantuan dan program tetapi juga mencari jawapan yang lebih jitu kepada masalah yang dihadapi

terutama dalam bidang pendidikan. Pendidikan adalah satu proses pembelajaran yang dilalui

oleh seseorang bagi meningkatkan pengetahuan melalui perkembangan dan penyuburan

pemikiran. Pendidikan boleh didefinisikan sebagai saluran menyebarkan tradisi budaya, nilai dan
Page 10
ilmu pengetahuan sama ada secara formal atau tidak formal kepada masyarakat supaya

menjadikan ahli masyarakat berpendidikan dan berpengetahuan (Kamarudin & Siti Hajar, 2004).

Dalam konteks masyarakat yang kompleks seperti Malaysia, pendidikan dapat menjadi

mekanisme penyama dan ini akan dapat membantu mempercepatkan proses integrasi Orang Asli

ke dalam masyarakat aliran perdana. Demikian pentingnya pendidikan kepada pembangunan di

Malaysia amnya dan kepada komuniti orang Asli khasnya (Majid Suhut, 2005).

Menurut Shahril (2005), pengajaran merupakan aktiviti atau proses yang berkaitan

dengan penyebaran ilmu pengetahuan atau kemahiran yang tertentu. Ia meliputi perkara seperti

aktiviti perancangan, pengelolaan, penyampaian, bimbingan dan penilaian dengan tujuan

menyebarkan ilmu. Beliau turut menafsirkan pengajaran dalam konteks masa kini sebagai suatu

proses, komunikasi, sains dan seni. Manakala pembelajaran pula adalah satu proses

pengumpulan maklumat dan pengalaman secara berterusan dan berlaku dalam diri seseorang

sejak dilahirkan (Kamarudin dan Siti Hajar, 2004). Dalam sesi pembelajaran, guru kerap

berhadapan dengan murid yang berbeza dari segi kebolehan mereka. Hal ini memerlukan

kepakaran guru dalam menentukan strategi pengajaran dan pembelajaran. Semasa mengajar pula,

guru-guru akan menyusun isi-isi pelajaran secara sistematik supaya jelas dan mudah difahami,

dan menggunakan bahasa yang mudah. Ini bermakna, guru perlu mengajar dalam bahasa yang

mudah untuk murid memahami bait-bait kata yang dipertuturkan oleh guru. Strategi yang dipilih

perlulah sistematik, selain berpotensi memeransangkan murid belajar secara aktif, ia juga harus

mampu membantu menganalisis konsep atau idea dan berupaya menarik hati murid serta dapat

menghasilkan pembelajaran yang bermakna.

3.8 Pembangunan Modal Insan Guru

Pembangunan modal insan guru melalui latihan, bengkel dan kursus yang dijalankan oleh

pihak JHEOA, pihak Pejabat Pendidikan Daerah dan pihak sekolah sendiri adalah lebih kurang
Page 11
sama. Kadangkala program yang dijalankan adalah program bersama. Pihak sekolah sering

menghantar guru untuk kursus anjuran JHEOA dan Pejabat Pelajaran Daerah bertujuan untuk

meningkatkan prestasi guru seperti kursus komputer, teknik-teknik pengajaran yang berkesan

dan sebagainya. Guru yang mengajar Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris juga dibekalkan

dengan komputer riba. Pejabat Pelajaran Daerah dan JHEOA tidak ketinggalan mengadakan

kursus motivasi bagi meningkatkan motivasi guru. Lazimnya kursus motivasi dijalankan

sekurang-kurangnya tiga kali setahun.

Di samping itu, pihak JHEOA dan Pejabat Pendidikan Daerah juga mengadakan kursus

untuk guru memahami adat dan kebudayaan Orang Asli. Kursus ini diutamakan kepada guru

yang baru mengajar di sekolah Orang Asli. Antara program bersama yang telah dijalankan

termasuklah kursus pemahaman bahasa dan pendedahan dan pemahaman budaya dan adat resam

Orang Asli.

4.0 KESIMPULAN

Pencapaian pendidikan merupakan ukuran dan jalan bagi merealisasikan impian untuk

hidup lebih cemerlang dan berjaya. Namun untuk mencapai kejayaan yang sedemikian di dalam

pendidikan memerlukan usaha yang gigih dan berterusan yang melibatkan semua Jabatan

Kemajuan Orang Asli dan Kementerian Pendidikan Malaysia, walaupun menghadapi pelbagai

cabaran dan dugaan. Sehubungan dengan itu, isu persekitaran, kurang dorongan ibu bapa, pelajar

kurang motivasi dan sebagainya perlu ditangani. Begitu juga dengan cabaran yang dihadapi oleh

guru dalam mendidik pelajar Orang Asli perlu diatasi dan dipandang serius. Tanggapan komuniti

Orang Asli menolak kemajuan, sukar diubah atau tidak mahu berubah, lemah dalam pemikiran

dan primitif adalah kurang tepat. Kajian mendapati sekiranya usaha dirancang dan dilaksanakan

dengan betul dan teratur, pemikiran dan tanggapan orang asli boleh diubah dan diperbaiki.

Kegigihan guru mendidik dan membantu pelajar anak-anak orang asli perlu sentiasa

bersabar secara berterusan, tanpa penat dan jemu. Keadaan bertambah baik sekiranya jalan
Page 12
perhubungan dan komunikasi dapat diperbaiki dan ditingkatkan mutunya. Di samping itu,

formula atau faktor kejayaan segelintir anak-anak orang asli yang berjaya harus dijadikan

tauladan dan dipraktikkan kepada semua pelajar Orang Asli bagi meningkatkan pencapaian

pendidikan mereka. Usaha untuk memajukan Orang Asli dalam pendidikan perlu dilestari dan

ditingkatkan. Pendidikan merupakan senjata utama dalam memajukan sesuatu kaum pada masa

kini. Masalah keciciran pelajar Orang Asli ini begitu ketara sehingga Perdana Menteri Malaysia

sendiri memandang serius masalah ini. Justeru, diharapkan pelbagai pihak semestinya

bekerjasama dalam mengatasi masalah dan cabaran ini untuk memastikan pencapaian prestasi

dan pembangunan pendidikan pelajar Orang Asli terus meningkat dan setanding dengan kaum-

kaum lain di Malaysia.

Page 13
RUJUKAN

Basir Zahrom. (2009). Pendekatan sesuai perlu dilaksanakan tingkat sosioekonomi, tarik minat

pelajar ke sekolah. Berita Harian Online, 7 Disember 2009.

Hasan Mat Nor. (2001). Tanah dan masyarakat orang Asli: Kajian kes di empat buah kampung

orang Asli Di Daerah Batang Padang Perak. UKM: FSKK.

Ibrahim Ngah dan Khairul Hisyam. (2007). Pembangunan mapan komuniti orang Asli. Skudai:

Penerbit UTM.

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. (2002). Kehidupan, budaya dan pantang larang orang asli.

Kuala Lumpur: Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. (2006). Pendidikan untuk orang Asli. Gombak: Perpustakaan

Muzium Orang Asli.

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. (2008). Orang Asli berjaya Edisi II. Kuala Lumpur: Jabatan Hal

Ehwal Orang Asli, Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli. (2009). Data Maklumat Asas Tahun 2008. Kuala Lumpur:

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Kamarudin dan Siti Hajar. (2004). Sekolah dan perkembangan kanak-kanak. Kuala Lumpur.

Utusan Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2006). Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.

Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2012). Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Putrajaya: Kementerian Pelajaran Malaysia.

Page 14
Majid Suhut. (2005). Kertas kerja persidangan dasar pembangunan Orang Asli di masa

hadapan. Kuala Lumpur: Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, Kementerian kemajuan Luar

Bandar dan Wilayah.

Mustafa Omar. (2004). Dampak ekonomi daripada rancangan penempatan semula komuniti

Jakun di Mukim Bekok, Segamat, dan Johor. Kertas Prosiding Seminar Hasil

Penyelidikan Peringkat Kebangsaan. Unit of Research Devolepment & Commercialzation

(URDC, UiTM Johor. 21 Februari 2004.

Shahril @ Charil bin Hj Marzuki. (2005). Amalan Pengajaran guru yang berkesan: Kajian di

beberapa sekolah menengah di Malaysia. Pedagogi merentasi kurikulum: Bahasa dan

komunikasi. Kuala Lumpur: Fakulti Pendidikan Universiti Malaya.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). (2010). Laporan status hak pendidikan

kanak-kanak orang Asli. Kuala Lumpur: SUHAKAM.

Berita Harian. (4 November 2009). Penguasaan kemahiran 3M murid orang Asli, Perpustakaan

Tunku Bainun, Perak. Bisset, R.T. (2009). Pakar pengajaran (Expert Teaching): Model

pengajaran dan pembelajaran, Institusi Terjemah Negara, Perpustakaan Negara Kuala

Lumpur.

Page 15

You might also like