You are on page 1of 13

APLIKASI ALL IN ONE PADLET DALAM MENINGKATKAN KEFAHAMAN

TERHADAP BUNGA KEBANGSAAN NEGARA DI ASIA TENGGARA

Siti Salsabila Binti Mohamad Esa


Pn. Hjh Rokiah Binti Hj. Ahmad
Unit Sejarah IPG Kampus Kota Bharu
insansalsa97@gmail.com

ABSTRAK

Kajian Tindakan ini dilaksanakan untuk melihat keberkesanan aplikasi All in One Padlet
dalam meningkatkan kefahaman terhadap bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara.
Kajian ini melibatkan empat orang peserta kajian dari kelas Takwa di salah sebuah sekolah di
sekitar daerah Kota Bharu, Kelantan. Keempat-empat peserta kajian ini adalah daripada
pelbagai tahap pengetahuan. Hasil ujian diagnostik menunjukkan bahawa masalah utama
yang dihadapi oleh peserta kajian adalah tidak dapat menamakan dan mengenalpasti bunga
kebangsaan negara di Asia Tenggara dengan betul. Penggunaan aplikasi pembelajaran
digital All in One Padlet dalam kajian ini bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah
malahan dapat menarik minat murid untuk mempelajari mata pelajaran Sejarah. Kajian ini
menggunakan kaedah pengumpulan data secara kualitatif melalui temu bual, pemerhatian
dan analisis dokumen. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa penggunaan aplikasi
pembelajaran digital All in One Padlet memberi kesan positif kepada peserta kajian dalam
meningkatkan kefahaman terhadap bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara. Untuk
kajian selanjutnya, penggunaan aplikasi pembelajaran digital All in One Padlet boleh
ditambah baik dengan menjadikannya lebih fleksibel dan diakses dengan cara lebih mudah.

Kata kunci: All in One Padlet, bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara, menamakan,
mengenalpasti

ABSTRACT

This Action Study was conducted to look at the effectiveness of All in One Padlet application
in improving understanding of national flowers in Southeast Asia. The study involved four
study participants from the Takwa class at a school in the district of Kota Bharu, Kelantan.
The four participants in this study came from various levels of knowledge. Regarding the
results of the diagnostic tests indicate that the main problem faced by the study participants is
not being able to properly name and identify the national flowers of Southeast Asia. By using
All in One Padlet digital learning application in this study not only solves problems but also
attracts students to study History subjects. This research also uses the methodology of
collecting data through interviews, observation and document analysis. The result reveal that
the use of All in One Padlet digital learning application has positively impacted the study
participants in increasing their understanding of national flowers in Southeast Asia. For
further investigation, the use of All in One Padlet digital learning application can be improved
by making it more flexible and accessible in a simpler way.

Keywords: All in One Padlet, national flowers in Southeast Asia, nama, identify
PENGENALAN
Permulaan pengenalan KSSR di sekolah menengah telah menyebabkan mata
pelajaran Kajian Tempatan telah ditransformasikan kepada mata pelajaran yang
lebih khusus iaitu Sejarah. Bermula pada tahun 2014, secara rasminya, pihak
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memperkenalkan mata pelajaran
Sejarah sekolah rendah di semua Sekolah Kebangsaan (SK) serta Sekolah Jenis
Kebangsaan (SJK) di Malaysia. Sejarah menjadi mata pelajaran teras yang wajib
dipelajari oleh semua murid melalui Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).
Pelajaran ini difokuskan kepada murid sekolah rendah tahap dua iaitu bermula tahun
4, 5 dan 6. Menerusi KSSR ini, mata pelajaran sejarah telah diperkenalkan dan
diterapkan bersama unsur-unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan
(Zinitulniza, 2011).

Mata pelajaran Sejarah merupakan subjek yang mengandungi banyak idea


abstrak serta konsep di mana kadangkala sukar untuk difahami. Menurut Abdul
Rahim (2012), fakta mempunyai kaitan dengan konsep kerana fakta merupakan
maklumat atau data yang membantu membentuk, membina dan mengembangkan
sesuatu konsep. Semasa pelaksanaan proses pengajaran dan pembelajaran sejarah
di sekolah, penggunaan buku teks yang berlebihan akan mengakibatkan pengajaran
bersifat statik, kurang daya kreatif dan kritis malah menjadikan suasana
pembelajaran tidak memberansangkan. Kajian Noraizan (2010) menunjukkan murid
akan berasa bosan semasa membaca buku teks kerana isi kandungannya terlalu
banyak fakta yang perlu dihafal. Kajian ini juga melibatkan proses pengumpulan data
awal melalui pemerhatian, temu bual dan analisis dokumen.

Justeru itu, aplikasi pembelajaran digital All in One Padlet dijadikan medium
untuk membantu meningkatkan kemahiran mengenalpasti dan kefahaman terhadap
bunga kebangsaan negara di Asia tenggara melalui mata pelajaran Sejarah Tahun 5.

FOKUS KAJIAN

Kajian yang dijalankan telah memberi fokus untuk meningkatkan kefahaman


terhadap bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara. Berikutan itu, sepanjang 3
bulan pengalaman berpraktikum di Sekolah A, pengkaji telah mengesan dan
mengenalpasti beberapa masalah yang telah dihadapi oleh murid apabila
mempelajari topik Bunga Kebangsaan. Didapati bahawa murid-murid lemah dalam
menguasai kemahiran menamakan dan mengenalpasti topik berkenaan. Ini boleh
dilihat pada pendekatan dan strategi yang digunakan oleh guru di mana mereka
sentiasa menggunakan kaedah lama.

Justeru, kajian ini telah mencetuskan idea supaya mencari penyelesaian


baharu yang lebih menarik dan kreatif iaitu dengan melaksanakan satu reka bentuk
aktiviti yang berunsurkan permainan digital sebagai alat sokongan untuk
mengenalpasti bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara bagi negara Brunei,
Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Kemboja. Menurut Noriati A. Rashid et. al (2012),
penglibatan langsung dalam pembelajaran merupakan satu kaedah belajar sambil
bermain yang paling berkesan.

OBJEKTIF KAJIAN

i. Menggunakan aplikasi All in One Padlet bagi meningkatkan kemahiran


menamakan bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara bagi murid tahun 5.
ii. Menggunakan aplikasi All in One Padlet bagi meningkatkan kemahiran
mengenalpasti bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara bagi murid tahun
5.

SOALAN KAJIAN

i. Apakah penggunaan aplikasi All in One Padlet dapat meningkatkan


kemahiran menamakan bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara bagi
murid tahun 5?
ii. Adakah penggunaan aplikasi All in One Padlet dapat meningkatkan
kemahiran mengenalpasti bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara bagi
murid tahun 5?

PESERTA KAJIAN

Kumpulan sasaran bagi kajian ini adalah melibatkan murid-murid tahun 5 dari
sebuah sekolah A. Pengumpulan data awal dilakukan melalui amalan proses
pengajaran dan pembelajaran yang berlangsung sepanjang di bilik darjah.
Kemudian, satu set soalan Ujian Diagnostik diberikan untuk mengukur kefahaman
dan pengetahuan murid tentang topik kajian yang akan dijalankan. Murid yang
terpilih untuk dijadikan sebagai peserta kajian (PK) adalah seramai empat orang
daripada 26 orang murid dari kelas 5 Takwa. Murid-murid tersebut merupakan murid
yang tidak berjaya menjawab soalan Ujian Saringan berkaitan tajuk bunga
kebangsaan negara di Asia Tenggara dengan baik.
Berdasarkan kepada analisis data-data awal yang diperoleh, pengkaji telah
mendapati bahawa empat orang peserta kajian iaitu dua perempuan dan dua lelaki
tidak dapat menamakan dan mengenalpasti bunga kebangsaan negara di Asia
Tenggara iaitu negara Brunei, Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Kemboja secara
terperinci dan betul. Peserta kajian lelaki didapati tidak suka membaca berbanding
dengan peserta kajian perempuan. Perbezaan tingkah laku terhasil akibat daripada
latar belakang peserta kajian yang berbeza dan perkara ini telah menyebabkan
tercetusnya jurang prestasi markah yang diperoleh antara murid. Hal ini dibuktikan
melalui pemerhatian pengkaji semasa pelaksanaan proses PdPc bagi murid tahun 5
Takwa.

Selain itu, semua peserta kajian yang telah dipilih sering menunjukkan sifat
kurang minat ketika proses PdPc berlangsung. Malah, mereka juga kurang memberi
perhatian yang baik serta sukar memahami isi kandungan yang dipelajari. Merujuk
kepada hasil pemerhatian yang dilakukan, prestasi peserta kajian A dan C di dalam
kelas adalah agak lemah manakala peserta kajian B dan D adalah agak baik.

TINDAKAN YANG DIJALANKAN

Pengkaji telah mengenalpasti punca, masalah dan mencari jalan penyelesaian


dengan mereka cipta satu aplikasi secara digital iaitu aplikasi All in One Padlet
sebagai medium untuk mengajar dan belajar. Bahan secara digital ini merupakan
antara langkah efektif untuk dilaksanakan kerana murid-murid kini lebih cenderung
untuk belajar sambil meneroka. Oleh itu, terdapat empat aktiviti berbeza iaitu Scan
Me, Watch Me, Try Me dan Click Me. Aktiviti yang terkandung dalam aplikasi All in
One Padlet ini merupakan satu kaedah yang seiring dengan Revolusi Industri 4.0 (IR
4.0) yang menekankan kepada empat elemen utama iaitu kolaboratif, komunikasi,
kritis dan kreatif.

Aktiviti 1 iaitu Scan Me di mana peserta kajian akan melihat paparan peta
Asia Tenggara terhadap negara Brunei, Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Kemboja
beserta dengan gambar bunga kebangsaan. Stesen pertama ini merupakan
pendedahan berkaitan dengan maklumat dan nota bergambar kepada peserta kajian
untuk diteroka melalui imbasan Augmented Reality (AURASMA). Semasa aktiviti
dijalankan, pengkaji akan memberi arahan kepada peserta kajian untuk
menggunakan peranti telefon pintar bagi mengimbas bunga kebangsaan negara Asia
Tenggara bagi mengetahui nama bunga kebangsaan tersebut. Pada tahap ini,
peserta kajian akan meneroka satu persatu maklumat berkenaan nama bunga
kebangsaan, negara Asia Tenggara beserta bentuk bunga kebangsaan yang terlibat
secara digital menerusi gabungan komputer riba bersama peranti telefon pintar.

Seterusnya, aktiviti kedua pula dinamakan sebagai stesen Watch Me. Pada
peringkat ini, peserta kajian dikehendaki untuk menonton video berkenaan dengan
topik bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara menerusi paparan Padlet tersebut.
Stesen Watch Me ini bertindak sebagai amalan pengukuhan kepada peserta kajian
terhadap aktiviti penerokaan maklumat yang dilakukan dalam langkah sebelumnya.
Aktiviti ini memberi kesinambungan yang terus daripada stesen Scan Me yang
sebelumnya.

Di samping itu, aktiviti ketiga dan keempat ini pula merupakan latihan
pengukuhan. Aktiviti ketiga ini dinamakan sebagai stesen Try Me. Cetusan idea
nama pada stesen ini berkisarkan mengenai permainan puzzle secara digital
menerusi perisian Jigsawplanet. Peserta kajian perlu menyelesaikan susunan
gambar yang rawak sehingga terbentuknya satu bunga kebangsaan negara di Asia
Tenggara yang lengkap. Jadi, terdapat lima puzzle bunga kebangsaan negara di
Asia Tenggara dan kesemuanya perlu diselesaikan oleh peserta kajian. Setelah itu,
peserta kajian diminta untuk meneka nama beserta negara bunga kebangsaan di
Asia Tenggara tersebut dan sekiranya peserta kajian menjawab dengan betul dan
tepat, pengkaji akan memberi ganjaran.

Akhir sekali adalah stesen yang dinamakan sebagai Click Me. Ia merupakan
langkah terakhir dalam aplikasi All in One Padlet yang juga bertindak sebagai ujian
akhir. Peserta kajian diminta untuk menjawab kuiz digital melalui aplikasi Quizizz
yang dihubungkan melalui Padlet. Soalan yang terkandung dalam Quizizz ini
merangkumi berkenaan dengan topik bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara.
Tuntasnya, pengaplikasian aplikasi All in One Padlet telah digunakan oleh peserta
kajian yang juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran mengenalpasti bunga
kebangsaan negara di Asia Tenggara menerusi mata pelajaran Sejarah.

DAPATAN KAJIAN

Temu bual merupakan satu instrumen utama yang diaplikasikan dalam kajian untuk
mengutip dan mengumpul data yang melibatkan interaksi bersemuka. Kaedah ini
digunakan untuk mendapatkan maklum balas daripada peserta kajian serta menilai
peningkatan yang berlaku terhadap kemahiran menamakan bunga kebangsaan
negara di Asia Tenggara bagi murid tahun 5. Teknik temu bual yang berfokus
kepada soalan separa berstruktur iaitu soalan utama telah disediakan, namun kajian
ini turut menerima jawapan susulan daripada peserta kajian. Kriteria item temu bual
mengambil kira aspek sebelum dan selepas pengaplikasian aplikasi All in One
Padlet.

Perbandingan hasil dapatan temu bual sebelum dan selepas menunjukkan


peningkatan yang baik daripada keempat-empat peserta kajian. Hal ini dibuktikan
dengan semua peserta kajian telah menunjukkan tindak balas yang positif apabila
disoal dan mengemukakan jawapan dengan baik serta yakin berbanding dalam temu
bual sebelum. Buktinya, dapat dilihat pada respon PK B baris ayat 14 dan 16 yang
menunjukkan bahawa beliau dapat menamakan bunga kebangsaan negara di Asia
Tenggara dengan lebih lancar daripada sebelumnya. Selain itu, PK B turut
memaklumkan bahawa beliau lebih memahami tajuk berkenaan selepas melepasi
setiap aktiviti dan pemainan dalam aplikasi All in One Padlet dengan jayanya. Ini
menunjukkan bahawa peserta kajian telah berjaya menguasai dan mencapai
persoalan kajian pertama.

Bagi persoalan kedua pula, hasil dapatan amat memberansangkan apabila


setiap soalan yang dikemukakan boleh dijawab dengan baik. Ia menunjukkan
peningkatan selepas menjalankan intervensi. Contohnya, PK B sungguh yakin
dengan jawapan-jawapan yang dilontarkan kepada pengkaji atas soalan yang
diberikan dan membuktikan bahawa PK B betul-betul menghayati dan mengamati
penggunaan aplikasi pembelajaran digital All in One Padlet sehingga beliau dapat
mengenalpasti bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara dengan tepat. Selain itu,
pemerhatian juga antara instrumen yang digunakan dalam kajian ini.

Bagi persoalan kajian pertama, analisis dapatan dibuat melalui senarai


semak pemerhatian. Peningkatan dapat dilihat bagi setiap aktiviti yang dijalankan
seperti apabila peserta kajian melakukan permainan puzzle digital iaitu Jigsawplanet,
ianya mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada peserta kajian A, B,
C dan D di mana mereka sangat khusyuk dan bersungguh-sungguh menyelesaikan
setiap satu puzzle bunga kebangsaan tersebut sehingga lengkap. Keterujaan
peserta kajian terhadap pembelajaran topik ini juga didapati berbeza sebelum
tindakan dilaksanakan. Persoalan kajian kedua pula, dapatan menunjukkan semua
peserta kajian berjaya mencapai soalan kajian kedua berdasarkan tindakan yang
telah dilaksanakan. Pengamatan daripada nota lapangan mendapati bahawa semua
peserta kajian menunjukkan minat yang tinggi kepada pembelajaran Sejarah selepas
menggunakan aplikasi pembelajaran digital All in One Padlet sebagai medium utama
mereka.

Seterusnya, peningkatan semua peserta kajian dalam mencapai persoalan


kajian pertama dan kedua turut disokong dengan kaedah analisis dokumen. Bagi
memastikan kesahan dan kebolehpercayaan yang tinggi dalam setiap penilaian
ujian, rubruk penilaian telah digunakan sepanjang penilaian dilakukan. Oleh itu,
analisis ujian akhir Bahagian A menunjukkan bahawa keempat-empat peserta kajian
mendapat jumlah peratusan markah yang bagus iaitu sebanyak 100% di mana
kesemua lima soalan dapat dijawab dengan tepat. Hal ini dapat disimpulkan bahawa
dapatan ujian pada Bahagian A telah menunjukkan peningkatan dalam menamakan
bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara.

Perbezaan Markah Ujian Awal Dan Ujian Akhir


Bahagian A
120
100
80
60
40
20
0
PK A PK B PK C PK D
UJIAN AWAL UJIAN AKHIR

Rajah 8: Graf Bar Perbezaan Markah Ujian Awal Dan Ujian Akhir Bahagian A

Persoalan kajian kedua dilihat melalui analisis dokumen dalam Bahagian B.


Perubahan yang ketara dapat dilihat bagi PK D. Beliau berjaya mengenalpasti bunga
kebangsaan negara di Asia Tenggara bagi negara Brunei, Indonesia, Myanmar,
Vietnam dan Kemboja dengan betul dan tepat setelah menjalani intervensi dengan
menggunakan aplikasi digital All in One Padlet secara mendalami. Peningkatan ini
telah membuktikan bahawa PK D berjaya memperoleh markah sebanyak 90% dan
berada pada tahap yang cemerlang dan memuaskan. Secara kesimpulannya,
perubahan drastik ini dapat disimpulkan bahawa PK D mengalami peningkatan
dalam mengenalpasti bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara.
Perbezaan Markah Ujian Awal Dan Ujian Akhir
Bahagian B
120
100
80
60
40
20
0
PK A PK B PK C PK D
UJIAN AWAL UJIAN AKHIR

Graf Bar Perbezaan Markah Ujian Awal Dan Ujian Akhir Bahagian B

Secara konklusinya, pengaplikasian aplikasi digital All in One Padlet dapat


membantu meningkatkan penguasaan murid dalam kemahiran menamakan dan
mengenalpasti bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara bagi negara Brunei,
Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Kemboja.

REFEKSI

Berdasarkan dapatan kajian yang telah diperolehi, pengkaji mengenalpasti


kesalahan yang dilakukan oleh murid Tahun 5 semasa menjawab soalan-soalan
kajian termasuklah mereka menjadi keliru dengan maklumat untuk menamakan
bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara bagi negara Brunei, Indonesia,
Myanmar, Vietnam dan Kemboja. Dengan itu juga, mereka berhadapan dengan
masalah untuk mengenalpasti bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara. Oleh itu,
rekaan aplikasi pembelajaran digital All in One Padlet merupakan alat intervensi bagi
membantu peserta kajian menghadapi masalah. Pengkaji telah memperuntukkan
empat aktiviti utama dalam aplikasi digital tersebut dengan meletakkan nama-nama
singkatan berdasarkan aktiviti yang dilaksanakan.

Aplikasi pembelajaran digital All in One Padlet ini terdiri daripada aktiviti Scan
Me, Watch Me, Try Me dan akhir sekali adalah Click Me. Pemerolehan maklumat
daripada dapatan kajian menjelaskan bahawa aplikasi digital ini telah memberikan
perkembangan positif dalam kalangan peserta kajian. Dengan menggabungkan
kedua-dua permasalahan ini, pengkaji dapat menyesuaikan aktiviti-aktiviti dengan
tahap pengetahuan dan penguasaan peserta kajian untuk berhadapan dengan
aplikasi digital tersebut. Ini bukan sahaja boleh diaplikasikan dalam tajuk bunga
kebangsaan negara di Asia Tenggara, malah tajuk-tajuk lain juga boleh diaplikasikan
menggunakan dengan kaedah yang sama. Tambahan pula, aplikasi pembelajaran
digital yang disediakan oleh pengkaji turut berorientasikan konsep permainan yang
mana setiap aktiviti itu melibatkan kaedah bermain yang menguji tahap kognitif
peserta kajian terhadap tajuk kajian yang dijalankan.

Ia juga untuk menarik perhatian dan fokus peserta kajian agar lebih
cenderung untuk belajar mata pelajaran Sejarah lebih-lebih lagi topik bunga
kebangsaan negara di Asia Tenggara. Bertepatan dengan kajian Akram Kamarudin
(2010), bermain dapat menyediakan peluang kepada murid melalui proses
penemuan, pengayaan, pembinaan pengalaman dan pengetahuan konsep-konsep
baru. Ini menunjukkan bahawa kajian beliau menyokong reka bentuk amalan
pedagogi secara bermain mampu untuk meningkatkan penguasaan terhadap
kemahiran menamakan dan mengenalpasti bunga kebangsaan negara di Asia
Tenggara bagi negara Brunei, Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Kemboja dalam
mata pelajaran Sejarah.

Kesimpulannya, kajian tindakan yang dijalankan oleh pengkaji terhadap


empat orang peserta kajian menunjukkan satu kejayaan dalam mencapai objektif
kajian dan menjawab semua persoalan kajian iaitu meningkatkan kemahiran
menamakan dan mengenalpasti bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara bagi
negara Brunei, Indonesia, Myanmar, Vietnam dan Kemboja. Justeru, melalui kajian
yang dijalankan telah terbukti bahawa pengaplikasian aplikasi pembelajaran digital
All in One Padlet sebagai bahan bantu mengajar adalah satu inovasi yang dapat
meningkatkan penguasaan murid dalam topik kajian tersebut.

CADANGAN TINDAKAN SUSULAN

Dalam sesuatu kajian tindakan, sesuatu masalah tidak semestinya menghendaki


pengkaji untuk menyelesaikan secara keseluruhan. Apa yang penting adalah
terdapat perubahan atau peningkatan dalam pencapaian peserta kajian selaras
dengan pencapaian objektif kajian. McNiff, J (2014), menyatakan bahawa penekanan
utama dalam penyelidikan tindakan adalah memahami tindakan yang membawa
perubahan. Oleh itu, melalui hasil dapatan kajian mendapati bahawa peserta kajian
telah berjaya meningkatkan kemahiran menamakan dan mengenalpasti bunga
kebangsaan negara di Asia Tenggara bagi negara Brunei, Indonesia, Myanmar,
Vietnam dan Kemboja.

Hasil daripada kajian yang telah dijalankan, didapati penggunaan bahan


bantu mengajar yang melibatkan penggunaan teknologi secara digital sememangnya
sesuai dan dapat menarik fokus peserta kajian untuk terus leka mempelajari mata
pelajaran Sejarah dengan seronok. Pun begitu, bagi tindakan susulan yang
dicadangkan untuk pengkaji akan datang adalah dari segi penetapan yang dibuat
untuk mengakses aktiviti mengimbas gambar di Scan Me menggunakan aplikasi Hp
Reveal ataupun Augmented Reality (AURASMA). Pengkaji perlu mengubah tetapan
yang dibuat daripada privasi kepada umum. Pengubahan ini dicadangkan agar murid
dapat menggunakan aplikasi pembelajaran digital All in One Padlet ini di mana-mana
dan pada bila-bila masa tanpa terikat dengan guru. Dengan pengubahan yang
dilakukan ini, ibu bapa mudah untuk memantau aktiviti pembelajaran yang dilakukan
oleh murid dan membolehkan aktiviti mengimbas gambar tersebut dilaksanakan
dengan jayanya. Hal ini sekali gus mengurangkan kebergantungan murid terhadap
guru dan memupuk sifat inkuiri penemuan dalam diri mereka.

Jika dilihat dengan keperluan dan tuntutan pedagogi semasa, dapat dilihat
bahawa murid pada masa sekarang lebih berminat untuk belajar menggunakan
teknologi maklumat. Justeru, menurut Mohd Saiful (2018), penggunaan teknologi
maklumat dalam kemahiran menguasai maklumat dapat membantu mengatasi murid
yang mempunyai masalah dalam mengingat dan menguasai fakta sejarah.
Penggunaan teknologi maklumat atau aplikasi pembelajaran digital yang
diketengahkan oleh pengkaji ini sewajarnya perlu dikomersialkan lagi agar pengkaji
atau pengguna lebih mahir dalam dalam menghasilkan aplikasi digital yang
mengandungi inovasi yang berkualiti tinggi.

Pengkaji juga mencadangkan agar guru mata pelajaran lain mengaplikasikan


aplikasi pembelajaran digital All in One Padlet ini dalam PdPc. Kaedah ini
sebenarnya bukan sahaja sesuai kepada murid Tahun 5, malah kepada semua
murid Tahap 1 dan Tahap 2 iaitu bermula daripada murid Tahun 1 hingga murid
Tahun 6. Cadangan kepada penglibatan peserta juga boleh dipertimbangkan kerana
penggunaan aplikasi pembelajaran digital All in One Padlet boleh digunakan secara
meluas dan dapat diakses oleh semua orang tanpa had. Dengan ini, setiap individu
mendapat manfaat yang sama dan tugas guru dapat diringankan melalui bantuan
teknologi. Guru tidak lagi perlu menggunakan tenaga yang banyak dalam
menyampaikan sesuatu PdPc dalam bilik darjah.
Seterusnya, aplikasi pembelajaran digital ini juga bersifat universal di mana
penggunaannya tidak terhad kepada mata pelajaran Sejarah sahaja. Malah,
penggunaannya secara luas boleh diaplikasikan untuk semua mata pelajaran serta
mana-mana tajuk di dalamnya. Hal ini agar pengkaji-pengkaji akan datang tidak
terikat dengan satu mata pelajaran sahaja, bahkan terbuka untuk
mengaplikasikannya kepada mana-mana mata pelajaran lain demi menaikkan
semangat peserta kajian atau murid supaya lebih terlibat dalam aktiviti yang
dirancang. Namun kesesuaian aktiviti mestilah saling berkaitan dengan apa yang
hendak dicapai. Penggabungjalinan untuk setiap mata pelajaran juga boleh
dimasukkan bagi mempelbagaikan lagi cara atau teknik pengajaran yang dilakukan.

Kesimpulannya, penguasaan murid dalam meningkatkan kefahaman


terhadap tajuk bunga kebangsaan negara di Asia Tenggara ini harus disesuaikan
mengikut masa dan peredaran zaman. Penggunaan bahan-bahan yang menarik dan
pelbagai serta menerapkan kaedah terkini mampu meransang penguasaan
maklumat terhadap apa yang dipelajari. Oleh itu, diharapkan pengkaji-pengkaji lain
dapat menambahbaik kajian ini untuk membantu murid-murid yang kurang atau
gagal sekalipun dalam menguasai maklumat dalam mata pelajaran Sejarah.
RUJUKAN

Abdul Rahim Abd. Rashid. (2012). Nilai-nilai Murni Dalam Pendidikan: Menghadapi
Perubahan dan Cabaran Alaf Baru. Utusan Publication & Distributors Sdn.
Bhd.

Akram Kamarudin. (2010). Kaedah Permainan dalam Pengajaran Subjek


Perdagangan dan Sains.

Chee, M. K. (2011). Kajian Tindakan Dari Proses Ke Produk. Unit Penyelidikan Asas
(UPPA) Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia.

Chua. Y. P. (2016). Kaedah Penyelidikan. McGraw-Hill.

Kementerian Pelajaran Malaysia. (2014). Buku manual kajian tindakan edisi ketiga.
Kementerian Pelajaran Malaysia.

McNiff, J. (2014). Writing and doing action research. Sage.

Mohd Saiful Mohd Sahak. (2018). Generasi Pelajar Celik Digital. Utusan Melayu.
http://www.utusan.com.my/pendidikan/kampus/generasi-pelajar-celik-digital-
1.745047

Noraizan Hussien, (2010). Penyelidikan kualitatif: Pengenalan kepada teori dan


metod. Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Noriati A. Rashid et. al. (2012). Falsafah Pendidikan di Malaysia. Oxford Fajar Sdn.
Bhd.

Othman Lebar. (2011). Kajian Tindakan dalam Pendidikan: Teori dan Amalan.
Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Zinitulniza Abdul Kadir. (2011). Sudut Pandang Muhyiddin Yassin. Institut


Terjemahan Negara Malaysia.

You might also like