You are on page 1of 2

DALAM era globalisasi ini, setiap negara dunia berlumba-lumba untuk mencapai kemajuan

sehingga sanggup menggadaikan kelesterian alam sekitar yang sangat berharga. Pada tanggal 7 Mac
2019, negara digemparkan dengan tragedi hitam pabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab yang
hilang kewarasan akal dan kemurnian intergiri dengan rakus membuang bahan buangan kimia terlarang
di Sungai Kim-Kim di Pasir Gudang Johor Bahru hingga mencemari sungai tersebut demi mengejar
kemajuan. Pencemaran sungai berkenaan mengakibatkan lebih 5,848 orang awam menerima rawatan
di hospital, dan menyebabkan 111 buah sekolah ditutup demi keselamatan pelajar. Impak daripada
pencemaran Sungai Kim-Kim, Kerajaan negeri Johor telah meluluskan peruntukan kecemasan sebanyak
RM6.4 juta sebagai bantuan segera untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan dan bantuan kepada
mangsa dan keluarga serta kakitangan keselamatan yang terdedah dengan bahaya pencemaran itu.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “pencemaran” bererti perbuatan mencemarkan kebersihan
alam sekeliling dengan sampah-sarap dan sebagainya. Persoalannya yang tergiang-ngiang di gawang
minda kita ialah apakah punca-punca berlakunya pencemaran di negara kita?

Masalah pencemaran alam sekitar ini dikenal pasti berpunca daripada tangan-tangan kotor
individu yang tidak bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat yang sanggup menodai sungai yang
tidak berdosa. Hal ini demikian terjadi kerana ada segelintir pengusaha kilang penguraian tayar haram
tiada kesedaran sivik dalam diri mereka dan sering memandang enteng isu kelestarian alam sekitar.
Mereka hanya mengejar serta mementingkan kememawahan dan keuntungan tanpa memikirkan
kesannya perbuatan terkutuk yang dilakukan kepada masyarakat di sekeliling mereka dengan
membuang bahan kimia terlarang ke dalam Sungai Kim-Kim. Antara bahan kimia yang disyakki dibuang
di sungai Kim-Kim ialah mentana, hydrogen, klorida, acrylonitrile, acrolein, benzene, toluene, exylene,
dan limonene. Paling mengejutkan lemonene merupakan sebatian yang digunakan dalam proses
paralisis iaitu pengasingan atau menghancurkan elemen tayar untuk kitar semula dan juga digunakan
sebagai sebatian kimia yang digunakan sebagai pelarut organik. Menteri Besar Johor, Datuk Osman
Sapian memaklumkan 300 metrik tan tanah dan enap cemar serta 150 metrik tan air tercemar yang
dikeluarkan akan diurus oleh syarikat pembakaran di Pasir Gudang sebelum dihantar ke Seremban bagi
tujuan pelupusan. Kos pelupusan bahan pencemaran berkenaan memakan kos yang tinggi dan perlu
ditanggung oleh kerajaan dan pembayar cukai. Sekiranya, semua pihak berkepentingan mengikut
peraturan dan tidak membuang bahan buangan industri sebarangan sudah pasti tragedi hitam di Sungai
Kim-Kim tidak akan berlaku kerana apabila sudah terhantuk baru tergadah sudah tidak berguna lagi.
Tegasnya punca berlakunya pencemaran akibat tangan-tangan kotor individu yang tidak
bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat mencemar sungai negara.

Bahkan juga, pembangunan secara tidak sistematik yang dijalankan oleh pihak kerajaan atau
pihak swasta tanpa memikirkan secara terperinci kesan-kesan negatif yang akan timbul terutama yang
melibatkan alam sekitar juga merupakan faktor berlakunya pencemaran air, tanah, udara dan bunyi.
Lebih teruk lagi, jika hal ini dibiarkan berleluasa akan menyebabkan bencana alam seperti tanah runtuh
dan banjir. Bermula dengan pembinasaan kawasan tadahan hujan akan menyebabkan hujan yang turun
tidak dapat diserap ke dalam tanah akibat tiadanya akar pokok yang berfungsi menyerap lebihan air
yang mengalir. Tindakan ini akan menyebabkan struktur tanah menjadi longgar sehingga menyebabkan
berlakunya tanah runtuh. Tanah yang dihanyutkan bersama-sama air hujan ini seterusnya menyebabkan
pencemaran sungai dan mendapan lumpur yang dibawa menyebabkan air sungai menjadi semakin
cetek. Kejadian tanah runtuh di Pulau Pinang iaitu di George Town, Paya Terubung, dan Balik Pulau
antara contoh kejadian tanah runtuh akibat pembangunan yang dilakukan secara tidak sistematik yang
melibatkan kematian dan kecederaan berlaku pada tahun 2018. Selain itu, penggunaan jentera yang
terlalu banyak dalam proses pembangunan sesuatu kawasan juga akan menghasilkan pencemaran bunyi
dan pencemaran udara jika jentera-jentera berteknologi tinggi tersebut mengeluarkan asap yang
berlebihan. Akibat daripada projek-projek pembangunan yang menolak natijah alam maka terciptalah
kemusnahan alam akibat corak yang dilukiskan oleh manusia yang tiada pertimbangan dalam setiap
keputusan yang diizharkan. Jika keduniaan dan keuntungan bernoktah di hati, sudah pasti kewarasan
dalam pertimbangan ditolak ke tepi. Walau bagaimanapun, setiap sakit ada ubatnya. Dalam mencari
penyelesaian kepada permasalahan ini, setiap pihak perlu berhampar lapis, berlicin daun. Tegasnya,
pembangunan secara tidak sistematik yang dijalankan oleh pihak kerajaan atau pihak swasta antara
punca berlakunya pencemaran alam sekitar.

Hukum berdiri dengan sakti, adat berdiri dengan tanda, justeru kurangnya bukti yang boleh
mengheret individu yang terbabit dalam pencemaran lantaran pemantauan yang tidak konsisten oleh
pihak berkuasa juga dilihat sebagai faktor penyumbang kepada pencemaran yang kini berleluasa tanpa
mampu dikekang. Peranan pihak berkuasa dilihat semakin kurang menyebabkan ramai individu yang
tidak bertanggungjawab membuat onar seperti tiada takut akan antah. Undang-undang yang
diimplementasikan dilihat sekadar hiasan perlembagaan tanpa adanya penguatkuasaan. Pihak-pihak
berkuasa khususnya pihak kerajaan seharusnya membuka mata dan lebih peka terhadap pembangunan
yang dijalankan oleh semua pihak dengan mengambil kira masalah pencemaran yang bakal terjadi dari
setiap projek pembangunan yang menjadi ukur tara kemajuan negara tersebut dan bukan hanya
melihat kepada peningkatan taraf hidup masyarakat sahaja. Perkara ini sangat penting untuk membantu
mengurangkan pencemaran udara, air, tanah dan bunyi, hasil daripada pembangunan pesat yang giat
dijalankan dan tingkah laku sesetengah organisasi dan individu yang semakin nafsi dan kurang
kesedaran sivik. Pihak kerajaan juga seharusnya mengambil tindakan drastik dengan membuat serbuan
ke tempat-tempat yang disyaki menjadi punca pencemaran dengan segera kerana jika kerajaan kurang
memainkan peranan dalam menilai aspek-aspek kemaslahatan rakyat, maka masalah pencemaran pasti
berada di tahap yang semakin membimbangkan. Situasi pencemaran yang berlaku di Sungai Kim-Kim di
Pasir Gudang, Johor contohnya, sehingga kini masih tidak ada keputusan pendakwaan diputuskan
terhadap penjenayah yang melalukan pencemaran yang memberi kesan kepada lebih 5,848 orang
awam sedangkan jika tidak ada angin masakan pokok bergoyang. Perlukah sudah patah baru hendak
melantai? Tegasnya, pemantauan dan penguatkuasaan yang kurang konsisten pihak berkuasa antara
faktor membarahnya pencemaran alam sekitar di negara kita.

Natijahnya, jika setiap pihak mengambil langkah sederap ibarat ke bukit sama di daki, ke
lurah sama dituruni, sudah pasti kemelut ini dapat diatasi. Kupasan demi kupasan berkaitan punca-
punca pencemaran yang telah dikenal pasti ini harus diambil serius oleh semua pihak dan organisasi
agar belenggu yang merantai permasalahan pencemaran clam sekitar seperti pencemaran air, udara,
tanah dan bunyi ini dapat dirungkai dan diselesaikan hingga ke akar cerucuknya. Namun, kejadian demi
kejadian pencemaran terus berlaku seperti lautan yang tidak ada penghujungnya. Tragedi pencemaran
Sungai Kim-Kim dan kejadian tanah runtuh yang berlaku di Pulau Pinang perlu diambil iktibar oleh
masyarakat dan pihak berkuasa agar peristiwa tragis berkenaan tidak berulang kembali kerana
mencegah lebih baik daripada mengubati. Selain itu, penguatkuasaan undang-undang perlu diutamakan
kerana setiap pesalah yang terlibat menodai kelestarian alam sekitar ibarat enau dalam belukar melepas
pucuk masing-masing perlu diadili dan menerima hukuman sewajar dengan kesalahan yang mereka
lakukan. Hal ini penting untuk memastikan kelestarian dan kehijauan flora dan fauna yang bebas
daripada pencemaran dapat dikekalkan dan diwariskan sebagai tatapan generasi masa hadapan yang
akan mendepani realiti dunia yang pantas berubah dan berkembang

You might also like