You are on page 1of 16

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/351209153

ANALISIS KESALAHAN BAHASA DALAM PENULISAN BAHASA MELAYU


PELAJAR ANTARABANGSA [ERROR ANALYSIS IN INTERNATIONAL
STUDENTS' MALAY LANGUAGE WRITTEN COMPOSITIONS] *1 N....

Article · March 2021

CITATIONS READS

0 10,129

2 authors:

Nurul Ain Alizuddin Nik Nur Athirah Nik Mohd Arif


Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
4 PUBLICATIONS   0 CITATIONS    4 PUBLICATIONS   0 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

All content following this page was uploaded by Nurul Ain Alizuddin on 30 April 2021.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

ANALISIS KESALAHAN BAHASA DALAM PENULISAN BAHASA MELAYU


PELAJAR ANTARABANGSA

[ERROR ANALYSIS IN INTERNATIONAL STUDENTS’ MALAY LANGUAGE


WRITTEN COMPOSITIONS]
*1NURUL AIN ALIZUDDIN
ain.alizuddin@pbmpu.upsi.edu.my
1NIK NUR ATHIRAH NIK MOHD ARIF
athirah@pbmpu.upsi.edu.my

1
Pusat Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Malaysia.

*Corresponding Author

ABSTRACT

Teaching and learning of Malay language to international students in university is not a new issue.
Most of public and private universities offer Malay language course as their core or elective course.
Pusat Bahasa dan Pengajian Umum (PBPU) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) in Tanjong
Malim, Perak has taken a great move by offering two courses of Malay language which are Basic
Malay Language Communication and Intermediate Malay Language. The total number of students
who have registered for both courses in PBPU are expanding each year. Therefore, this study aimed
to analyse and discuss on the errors in language learning made by the international students who
learned the Intermediate Malay Language course offered by PBPU. This study was conducted on 26
international students from China, Indonesia, Bangladesh and Egypt. The data of this study was
collected from two short essays themed holidays and festivals in Malaysia. The selected materials
were analysed using the Error Analysis Theory by Corder (1981). The method used for this study was
text analysis method. The findings revealed that the students have produced many language errors in
their written compositions such as errors in the use of morphology, phrase, and syntax. However, the
analysis of this study focused on the errors made in the aspects of morphology and orthography.
Based on this study, it can be concluded that there were many aspects of language errors produced
by the international students. Most of the errors produced by the students were due to native language
interferences and different countries background. Based on the findings, this study was expected to
address the issue in Malay language learning among the international students who are learning Malay
language and hence improving their mastery of the Malay language.

Keywords: error analysis; second language; written compositions; Malay language; morphology;
orthography; international students

ABSTRAK

Pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa di universiti bukan
merupakan perkara baharu. Kebanyakan universiti awam mahupun swasta menawarkan kursus
bahasa Melayu (BM) sebagai kursus teras atau kursus elektif. Sehubungan dengan itu, Pusat Bahasa
dan Pengajian Umum (PBPU), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim, Perak
telah mengambil langkah bijak dengan menawarkan dua kursus bahasa Melayu, iaitu Asas

113
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

Komunikasi Bahasa Melayu (Basic Malay Language Communication) dan Bahasa Melayu
Pertengahan (Intermediate Malay Language). Jumlah pelajar antarabangsa yang mendaftar kursus
BM di PBPU kian meningkat saban tahun. Lantaran itu, artikel ini bertujuan menganalisis dan
membincangkan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh pelajar antarabangsa yang mempelajari
kursus Bahasa Melayu Pertengahan yang ditawarkan oleh PBPU. Kajian ini dilakukan terhadap 26
orang pelajar antarabangsa dari negara China, Indonesia, Bangladesh dan Mesir. Data kajian diambil
berdasarkan tugasan penulisan dua esei pendek bertemakan percutian dan perayaan di Malaysia.
Bahan kajian yang telah dipilih dianalisis menggunakan Teori Analisis Kesalahan oleh Corder (1981).
Kaedah yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah analisis teks. Dapatan kajian menunjukkan
terdapat banyak kesalahan bahasa yang dilakukan pelajar dalam penulisan esei seperti kesalahan
penggunaan aspek morfologi, frasa dan sintaksis. Walau bagaimanapun, analisis kajian ini hanya
tertumpu kepada kesalahan aspek morfologi dan ortografi. Kesimpulan yang dapat dibuat melalui
kajian ini adalah terdapat banyak aspek kesalahan bahasa yang dilakukan oleh pelajar antarabangsa.
Kebanyakan kesalahan ini berlaku disebabkan gangguan bahasa ibunda dan faktor latar belakang
negara yang berbeza. Dapatan kajian diharapkan dapat menangani masalah pembelajaran bahasa
Melayu oleh pelajar antarabangsa yang sedang mempelajari BM dan dapat meningkatkan penguasaan
bahasa mereka.

Kata kunci: analisis kesalahan; bahasa kedua; penulisan esei; bahasa Melayu; morfologi, ortografi;
pelajar antarabangsa

PENDAHULUAN

Bahasa kedua ialah bahasa yang dipelajari selepas memperoleh bahasa pertama. Proses pemerolehan
bahasa kedua berbeza dengan bahasa pertama kerana tidak berlaku secara semula jadi. Proses
pemerolehan bahasa kedua berlaku melalui pembelajaran secara formal di institusi pendidikan seperti
sekolah atau universiti. Menurut Zamri (2007) “Para pelajar mempelajari bahasa kedua melalui
komunikasi dengan masyarakat setempat dan juga secara formal di dalam kelas melalui
pembelajaran.” Beliau berpendapat bahawa pembelajaran dan penguasaan bahasa kedua oleh pelajar
asing bukan sahaja bertujuan untuk lulus dalam peperiksaan, tetapi berfungsi sebagai alat komunikasi.
Ini mendorong pelajar untuk mempelajari bahasa kedua sebaik mungkin. Walau bagaimanapun,
dalam proses pembelajaran tersebut, terdapat pelbagai bentuk gangguan yang memberikan kesan
terhadap penggunaan bahasa yang salah.
Antara faktor yang menyebabkan para pelajar kerap melakukan kesalahan bahasa ialah
penguasaan bahasa kedua yang terhad atau terbatas. Corder (1981) menyatakan bahawa kesalahan
bahasa berlaku disebabkan oleh penukaran atau kehilangan sesuatu bahagian ujaran seperti bunyi,
morfem, perkataan, dan rangkai kata. Beliau juga menjelaskan bahawa kesalahan juga berlaku akibat
kekurangan pengetahuan tentang kaedah pengajaran dan pembelajaran di samping kegagalan
mengaplikasikan penggunaan bahasa dengan konteks yang tepat. Hal ini mengakibatkan kesalahan
bahasa dilakukan oleh semua orang sama ada sengaja atau tidak. Selain itu, menurut Juriah, Raminah
Sabran dan Sofiah Hamid (1994) kesalahan bahasa berpunca daripada kekurangan pengetahuan
berkaitan aspek tatabahasa dan kecelaruan daripada bahasa pertama, iaitu bahasa ibunda. Kesilapan
juga boleh berlaku disebabkan kekeliruan seseorang penutur terhadap perbezaan laras-laras bahasa
yang seharusnya digunakan dalam konteks tertentu.

114
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

LATAR BELAKANG PENGAJARAN BAHASA MELAYU SEBAGAI


BAHASA ASING DI PBPU

Kursus Bahasa Melayu yang ditawarkan di Pusat Bahasa dan pengajian Umum (PBPU) melibatkan
dua peringkat, iaitu Asas Komunikasi Bahasa Melayu (BMU3142) dan Bahasa Melayu Pertengahan
(BMU3152). Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mewajibkan semua pelajar antarabangsa pada
peringkat Ijazah Sarjana Muda mengambil kursus Asas Komunikasi Bahasa Melayu sebagai kursus
wajib pengijazahan bagi semua fakulti. Walau bagaimanapun, kursus Bahasa Melayu Pertengahan
merupakan kursus elektif dan merupakan kesinambungan daripada kursus Asas Komunikasi Bahasa
Melayu.
Kursus Asas Komunikasi Bahasa Melayu merupakan kursus pada peringkat permulaan.
Dalam kursus ini, pelajar dilatih menyebut perkataan, diajar untuk berkomunikasi dan didedahkan
dengan konsep tatabahasa. Kosa kata yang diperkenalkan merangkumi aspek kata nama, kata kerja,
kata sendi nama, kata adjektif dan kata tugas. Isi kandungan buku teks kursus ini terdiri daripada
enam unit yang merangkumi sistem bunyi bahasa Melayu, asas bertutur, saya, keluarga dan rakan,
pengangkutan serta kaum dan budaya. Kursus ini juga membolehkan pelajar berkomunikasi dalam
pelbagai situasi harian.
Pada peringkat pertengahan pelajar akan mempelajari kosa kata yang berkaitan dengan situasi
atau aktiviti harian dan keperluan sebagai pelajar asing, iaitu yang melibatkan beberapa aspek
penggolongan kata. Pelajar diharap dapat menguasai kemahiran komunikasi yang meliputi aspek
membaca, menulis, mendengar dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu. Proses pengajaran dan
pembelajaran menekankan elemen komunikasi dalam situasi kehidupan harian. Di samping itu,
penekanan aspek tatabahasa yang merangkumi kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata tugas
turut diajar kepada para pelajar. Kemudian, pelajar akan menggunakan kosa kata yang telah dipelajari
untuk menghasilkan perbualan harian dan penulisan esei. Pada peringkat ini, para pelajar juga telah
berkemampuan untuk menghasilkan projek secara individu, iaitu penghasilan video (vlog) yang
menonjolkan dan memperlihatkan kemahiran komunikasi pelajar.
Kursus Bahasa Melayu Pertengahan ini mula diperkenalkan pada semester 2 sesi 2019/2010.
Kelas ini akan diadakan seminggu sekali selama dua jam. Latar belakang para pelajar yang mengikuti
kursus ini daripada pelbagai negara seperti Indonesia, Bangladesh, Mesir, Iran tetapi majoriti pelajar
berasal dari negara China.

Jadual 1. Bilangan pelajar antarabangsa yang mengikuti kursus Bahasa Melayu Pertengahan

Sidang akademik Semester 1 Semester 2 Bilangan pelajar


2019/2020 - 4 4
2020/2021 26 - 26
Jumlah 26 4 30
(Sumber: Pusat Bahasa dan Pengajian Umum, Universiti Pendidikan Sultan Idris)

Terdapat dua aspek yang dinilai dalam kursus ini, iaitu bahagian kerja kursus (60%) dan bahagian
peperiksaan akhir (40%) pada setiap bahagian. Terdapat empat komponen penilaian dalam bahagian
kerja kursus, iaitu latihan dalam talian (20 markah), pembentangan video (10 markah), simulasi dalam
talian (10 markah), dan penulisan esei pendek (20 markah). Pelajar akan menjawab 40 soalan objektif

115
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

dalam penilaian akhir. Setiap pelajar dikehendaki mendapat sekurang-kurangnya gred C dalam
peperiksaan akhir

SOROTON KAJIAN

Yong dan Subramaniam (2012) melakukan kajian di Universiti Multimedia, Cyberjaya terhadap
pelajar asing dalam pembelajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Kajian ini menekankan
pendekatan analisis kontrastif dan analisis kesilapan aspek morfologi yang dilakukan terhadap 75
orang pelajar dari pebagai negara. Pemerhatian dilakukan selama lapan minggu dan tugasan penulisan
digunakan dalam proses pengumpulan data. Hasil kajian mendapati sebanyak 182 kes kesilapan
ortografi/ejaan telah dikenal pasti dan dikategorikan kepada lima aspek, iaitu kata sapaan, kata
komunikasi asas, angka asas, kata ganti nama diri dan kata tanya. Dapatan kajian menunjukkan
bahawa peranan guru bahasa, persediaan kaedah, bahan rujukan dan aktiviti pengajaran amat penting
agar dapat menarik minat para pelajar.
Selain itu, Alice (2015) membincangkan kesilapan yang dilakukan oleh 39 orang pelajar dari
negara China di Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kota Kinabalu, Sabah. Sebanyak 230 patah
perkataan telah dianalisis. Data diperoleh berdasarkan ujian membaca yang dijalani para pelajar
dalam Kursus Bahasa Melayu Asas Tahap II yang ditawarkan oleh Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa.
Hasil kajian menunjukkan terdapat banyak kesilapan sebutan yang berlaku dalam kalangan pelajar
China. Kesilapan ini berpunca apabila para pelajar membunyikan perkataan bahasa Inggeris ke dalam
perkataan bahasa Melayu dan mereka tidak memahami maksud perkataan yang disebut. Hal ini
demikian kerana para pelajar hanya menghafal perkataan tersebut tanpa cuba untuk memahami
makna perkataan yang dipelajari.
Di samping itu, Salinah Jaafar dan Rohaidah Haron (2016) dalam kajiannya terhadap pelajar
dari Universiti Kebangsaan Yunnan mendapati bahawa tahap kemahiran pelajar China yang belajar
di Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya masih pada tahap asas. Dalam kajian ini,
penelitian dilakukan terhadap skrip jawapan peperiksaan 39 orang pelajar. Hasil kajian menunjukkan
pelajar melakukan kesilapan dari aspek morfologi, sintaksis dan mekanikal. Antara kesalahan aspek
morfologi yang dilakukan oleh para pelajar ialah penggunaan imbuhan, kata sendi nama, kata hubung,
kata ganda, penggunaan kata pinjaman dan pemilihan kata atau istilah. Dalam penulisan ini juga
penulis memberikan cadangan untuk menggalakkan pelajar asing mempelajari bahasa Melayu dengan
lebih konsisten.
Seterusnya, Alhaadi Ismail dan Zaitul Azma (2018) menyatakan bahawa murid-murid Cina
seringkali melakukan kesalahan semasa proses mempelajari bahasa kedua. Kajian yang dijalankan
terhadap murid tahun lima di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Chung Hwa Teluk Kemang bertujuan
untuk untuk menganalisis kesalahan aspek morfologi dalam penulisan. Beberapa skrip jawapan
bahagian C kertas penulisan telah di dipilih secara rawak dan bahan kajian dianalisis menggunakan
Teori Analisis Kesalahan oleh Corder (1981). Dapatan kajian menunjukkan kesalahan morfologi
yang sering kali dilakukan oleh murid Cina ialah kesalahan imbuhan awalan ‘di-’, imbuhan awalan
‘meN-’ dan kesalahan pemilihan istilah.
Zeckqualine dan Dayang Nurlisa (2020) dalam kajiannya terhadap kesalahan penggunaan
bahasa pelajar di Universiti Malaysia Sarawak (UMS). Objektif kajian ialah mengenal pasti jenis
kesalahan tatabahasa dalam skrip jawapan peperiksaan akhir pelajar dalam kursus Bahasa Melayu
Komunikasi Lanjutan. Seramai 38 orang pelajar yang terlibat dari pelbagai negara, iaitu Bangladesh,

116
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

China, Jepun, Morocco dan Afrika. Terdapat 215 kesalahan bahasa yang telah dikenal pasti yang
merangkumi aspek morfologi dan aspek sintaksis. Berdasarkan kajian, kesalahan ortografi
mencatatkan kekerapan yang paling tinggi, iaitu 76%.
Kesimpulannya, berdasarkan kajian-kajian lepas menunjukkan bahawa pelajar menghadapi
masalah kesilapan ortografi dan morfologi semasa menguasai bahasa kedua. Lantaran itu, kajian ini
dijalankan untuk mengenal pasti kesalahan ortografi dan morfologi dalam penulisan esei pendek
penutur asing
PERNYATAAN MASALAH

Di Malaysia tidak dapat dinafikan telah banyak kajian tentang pengajaran dan pembelajaran bahasa
yang telah dilakukan. Namun kebanyakan kajian menjurus kepada bahasa pertama, iaitu bahasa
ibunda seperti kajian Abdullah Hassan (1987), Muhammed Salehudin Aman (1993), Supian Mohd
Noor (1994), Zamri Mahamod (1999, 2000), Ramli Md. Salleh, Ismail Salleh, Idris Aman dan Fadzeli
Jaafar (2000). Kajian terhadap pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa kedua agak kurang
dijalankan.
Dalam pada itu, kajian pemerolehan bahasa kedua juga bukan merupakan perkara baharu yang
dibincangkan oleh penyelidik. Terdapat kajian yang telah dijalankan mengenai penguasaan bahasa
kedua, namun kebanyakan kajian hanya tertumpu kepada aspek kesalahan bahasa pelajar Cina atau
India di peringkat sekolah rendah atau menengah. Antaranya kajian Norsimah Mat Awal, Nadzrah
Abu Bakar dan Nor Hasimah Jalaluddin (2012), Alhaadi Ismail & Zaitul Azma Zainon Hamzah
(2018) dan Nur Syafina Mohd Sabri (2018).
Kajian tentang aspek bahasa dalam kalangan pelajar antarabangsa di universiti masih kurang
dijalankan. Kebanyakan kajian hanya membincangkan aspek strategi pembelajaran bahasa seperti
Nur Syafina (2008), Yong, Siti Saniah dan Chan (2009), Juwairiah, Jamilah, Anis Nabilla dan Jamal
(2018). Namun, kajian-kajian ini tidak membincangkan aspek kesalahan bahasa yang dilakukan oleh
pelajar (Salinah & Rohaidah, 2016). Kajian aspek morfologi, sintaksis dan mekanikal, khususnya
kesalahan ejaan/ortografi masih kurang dijalankan. Lantaran itu, penyelidikan terhadap aspek
mekanis, iaitu sistem ejaan amat dititikberatkan dalam kajian ini.
Selain itu, tahap kemahiran pelajar yang mengikuti kursus BMU3152 adalah pada tahap asas
dan masih kurang memuaskan. Fai’zah et. al (2010) mendapati bahawa tempoh pembelajaran yang
singkat merupakan salah satu faktor pelajar asing lemah dan gagal menguasai kemahiran berbahasa.
Hal ini menyebabkan pelajar tidak dapat menguasai kemahiran yang diterapkan terutama kemahiran
menulis.
Di samping itu, kajian ini penting bagi mengenal pasti pengaruh bahasa ibunda dan latar
belakang pelajar yang mendorong kesalahan bahasa dalam kalangan penutur asing. Hal yang sama
dibuktikan oleh Money (2004) yang berpendapat bahawa gangguan bahasa pertama merupakan salah
jadi faktor pelajar membuat kesalahan dalam penulisan mereka. Selain itu, pelajar antarabangsa
seringkali mencampur-adukan bahasa pertama dalam penguasaan bahasa kedua. Maka, kajian
berkenaan analisis kesalahan bahasa perlu dilakukan.

117
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ialah mengenal pasti aspek kesalahan morfologi dan kesalahan ortografi yang
dilakukan oleh penutur asing dalam menguasai bahasa kedua, iaitu bahasa Melayu. Objektif khusus
kajian ini adalah untuk:
i. Mengenal pasti kesalahan penggunaan ortografi dalam penulisan esei pendek penutur asing.
ii. Mengenal pasti kesalahan penggunaan aspek morfologi dalam penulisan esei pendek penutur
asing.

BATASAN KAJIAN

Kajian ini dijalankan di Pusat Bahasa dan Pengajian Umum (PBPU) di Universiti Pendidikan Sultan
Idris yang menawarkan kursus Bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Sampel kajian ini terdiri
daripada pelajar antarabangsa yang sedang mempelajari bahasa Melayu sebagai bahasa kedua. Latar
belakang pelajar berbeza, iaitu dari pelbagai negara seperti China, Bangladesh, Indonesia dan Mesir.
Para pelajar telah diberikan tugasan penulisan pendek yang perlu diselesaikan dalam tempoh masa
yang ditetapkan. Dalam menganalisis kesalahan pelajar, kajian ini hanya memberi tumpuan kepada
aspek kesalahan morfologi dan kesalahan ortografi dalam penulisan esei pelajar. Data dianalisis untuk
mengenal pasti dan menganalisis jenis-jenis kesalahan yang dilakukan oleh pelajar dalam
meningkatkan penguasaan bahasa Melayu mereka.

METODOLOGI KAJIAN

Reka bentuk kajian ini berbentuk kaedah kualitatif dengan teknik kajian analisis kesalahan morfologi
dan ortografi dalam penulisan esei pendek pelajar. Dalam kajian ini pengkaji menggunakan teknik
analisis teks dalam menganalisis data. Data diperoleh hasil daripada penulisan esei pendek yang
dihasilkan oleh pelajar antarabangsa. Berdasarkan penulisan esei ini, data dianalisis bagi mengenal
pasti kelemahan dan kesalahan dalam kalangan pelajar antarabangsa. Kajian ini berlandaskan teori
yang diperkenalkan oleh Corder (1981) yang menyatakan bahawa antara kesalahan bahasa yang
berlaku disebabkan oleh kesalahan morfologi, sintaksis dan mekanis. Corder (1981) mentakrifkan
kesalahan bahasa sebagai kegagalan menggunakan bahasa dengan situasi yang tepat dan pertuturan
yang melanggar bentuk-bentuk pertuturan penutur natif.

Sampel Kajian

Sampel kajian terdiri daripada 26 orang pelajar antarabangsa yang mengambil kursus Bahasa Melayu
Pertengahan (BMU3152) di UPSI. Responden terdiri dari pelbagai negara, iaitu China, Indonesia,
Bangladesh dan Mesir yang mempunyai latar belakang dan bahasa ibunda yang berbeza. Majoriti
responden ialah pelajar dari negara China. Daripada jumlah tersebut, 10 orang pelajar lelaki,
manakala 16 orang pelajar perempuan.

118
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

Taburan sampel mengikut jantina dan negara


25

20
Lelaki Perempuan
15

10

0
China Bangladesh Indonesia Mesir
Rajah 1: Taburan sampel mengikut jantina dan negara

DAPATAN DATA DAN PERBINCANGAN

Bahagian ini akan membincangkan hasil dapatan kajian. Para pelajar diminta menulis dua esei pendek
tidak melebihi 100 patah perkataan. Tajuk esei pendek yang diberikan ialah ‘Pengalaman Berkunjung
ke Sebuah Tempat Pelancongan di Malaysia’ dan ‘Sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri oleh
Masyarakat Melayu di Malaysia’. Hasil daripada penganalisisan yang telah dilakukan, kesalahan
bahasa dapat dikategorikan kepada kesalahan ortografi/ejaan dan morfologi.

Analisis Kesalahan Ortografi/Ejaan

Kesalahan ortografi ialah kesalahan ejaan perkataan yang berkaitan dengan penggunaan kurang atau
lebih huruf yang memberi makna lain kepada perkataan tersebut. Kesalahan ortografi dapat
dikategorikan kepada kesalahan ejaan dan kesalahan huruf besar/kecil. Dalam menentukan kesalahan
bahasa pelajar, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu Daftar Ejaan Rumi Bahasa Melayu
(1987) digunakan dalam kajian ini. Berikut merupakan jenis kesalahan sistem ejaan pelajar:

Bil Kesalahan Kekerapan Peratusan (%)


1. Kesalahan sistem ejaan 97 68
2. Kesalahan huruf besar atau kecil 38 27
3 Kesalahan ejaan kata pinjaman 8 6
Jumlah 143 100

Jadual 2: Kesalahan morfologi dalam penulisan pelajar

Jadual 2 menunjukkan terdapat tiga kesalahan ortografi, iaitu kesalahan sistem ejaan, kesalahan huruf
besar dan kecil dan kesalahan kata pinjaman. Hasil daripada analisis yang telah dilakukan, terdapat
sebanyak 143 kesalahan ejaan (68%) yang telah dikenal pasti. Kesalahan huruf besar atau kecil
sebanyak 38 kesalahan (27%). Akhir sekali ialah kesalahan kata pinjaman, iaitu sebanyak 8 kesalahan
(6%).

119
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

Kesalahan ejaan

Kesalahan Pembetulan
kakek kakak
banya banyak
kampon kampung
sebulum sebelum
bolih boleh

Berdasarkan contoh di atas, jelas terdapat kesalahan ejaan terhadap perkataan kakak. Perkataan kakak
telah disalah eja menjadi kakek apabila vokal a telah digantikan dengan vokal e. Seterusnya,
perkataan banya sepatutnya dieja sebagai banyak. Dalam ejaan ini, berlaku pengguguran huruf k
dalam sistem ejaan yang ditulis oleh pelajar. Selain itu, kesalahan ejaan juga berlaku terhadap
perkataan boleh, yang dieja sebagai bolih. Menurut pola keselarasan huruf vokal o-e (taling),
seharusnya vokal o bertemu dengan vokal e taling. Berdasarkan analisis, dapat disimpulkan bahawa
kesalahan penggunaan sistem ejaan berpunca daripada kelemahan para pelajar memahami 18 pola
keselarasan huruf vokal dalam bahasa Melayu dan sebutan yang tidak tepat oleh pelajar. Perkara ini
turut dibincangkan oleh Zeckqualine dan Dayang Nurlisa (2020:23) yang menyatakan bahawa
"Pelajar Bangladesh kerap menukar vokal depan "e" kepada perkataan yang mempunyai vokal
belakang "a" dan sebaliknya. Manakala pelajar Jepun kerap menggunakan vokal belakang tinggi "u"
untuk menggantikan vokal depan separuh tinggi "e".

Kesalahan huruf besar/kecil

Kesalahan Pembetulan
Muslim Muslim
Malaysia Malaysia
Melayu Melayu
Islam Islam
Bahasa Melayu bahasa Melayu

Para pelajar kerap melakukan kesalahan ejaan, iaitu huruf besar dan huruf kecil. Punca utama perkara
ini berlaku adalah kerana pelajar tidak memahami dengan tepat makna sesuatu perkataan tersebut.
Hal ini mengakibatkan pelajar tidak dapat membezakan perkataan tersebut, sama ada golongan kata
nama am dan kata nama khas. Dalam sistem ejaan bahasa Melayu, kata nama am perlu dieja dengan
huruf kecil kecuali pada permulaan ayat manakala kata nama khas perlu dieja dengan huruf besar.
Dapatan ini selaras dengan dapatan kajian Yong dan Subramaniam (2012), iaitu terdapat kesalahan
ejaan yang dilakukan oleh para pelajar dalam proses pembelajaran bahasa kedua.

Kesalahan ejaan kata pinjaman


Kesalahan Pembetulan
traditional tradisional
television televisyen
police polis
perabut perabot
music musik

120
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

Berdasarkan perkataan di atas, terdapat beberapa kesalahan ejaan kata pinjaman yang dilakukan oleh
para pelajar. Dalam sistem ejaan kata pinjaman, perkataan yang dipinjam daripada bahasa asing,
seperti bahasa Inggeris atau Nusantara perlu disesuaikan mengikut sistem ejaan bahasa Melayu.
Namun, berdasarkan contoh ejaan pelajar di atas, jelas menunjukkan bahawa para pelajar masih
mengekalkan ejaan perkataan tersebut mengikut sistem ejaan bahasa asal.

Analisis Kesalahan Morfologi

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa dan Abdul Hamid Mahmood (2015:43) mentakrifkan
“Morfologi ialah bidang bahasa yang mengkaji perkataan dari segi struktur, bentuk dan penggolongan
kata.” Berdasarkan penelitian terhadap tugasan esei pelajar, terdapat beberapa kesilapan morfologi
yang dilakukan seperti penggunaan perkataan yang tidak tepat, kesalahan penggunaan kata hubung,
kesalahan penggunaan imbuhan, kesalahan penggunaan kata sendi nama, kesalahan penggunaan kata
pemeri, kesalahan penggunaan kata ganti nama diri dan kesalahan penggunaan kata ganda. Dapatan
kesalahan morfologi dipaparkan dalam Jadual 3.

Bil Kesalahan Kekerapan Peratusan (%)


1. Kesalahan penggunaan perkataan tidak tepat 80 29.1
2. Kesalahan penggunaan kata hubung 51 18.5
3. Kesalahan penggunaan imbuhan 45 16.4
4. Kesalahan penggunaan kata sendi nama 34 12.4
5. Kesalahan penggunaan kata pemeri 29 10.5
6. Kesalahan penggunaan kata ganti nama diri
21 7.6
orang
7. Kesalahan penggunaan kata ganda 15 5.5
Jumlah 275 100

Jadual 3: Kesalahan aspek morfologi dalam penulisan pelajar

Kesalahan yang paling kerap dilakukan oleh pelajar ialah penggunaan perkataan tidak tepat (PTP),
iaitu sebanyak 80 kesalahan (29.1%) yang telah dikenal pasti. Kedua, kesalahan kata hubung (KH),
iaitu sebanyak 51 kesalahan (18.5%). Ketiga, kesalahan imbuhan (KI), iaitu sebanyak 45 kesalahan
(16.4%) dilakukan oleh pelajar. Keempat, kesalahan kata sendi nama (KSN), iaitu sebanyak 34
kesalahan (12.4%). Kelima, kesalahan penggunaan kata pemeri (KP), iaitu sebanyak 29 kesalahan
(10.5%) di kenal pasti. Keenam, kesalahan penggunaan kata ganti nama diri (KGND), iaitu sebanyak
21 kesalahan (7.6%). Yang terakhir, ialah kesalahan penggunaan kata ganda (KG), iaitu sebanyak 15
kesalahan (5.5%) dicatatkan.

Penggunaan Perkataan yang Tidak Tepat/Tidak Sesuai

Penggunaan perkataan yang tidak tepat ialah pemilihan perkataan yang tidak bersesuaian dengan
situasi sehingga menyebabkan khalayak atau pembaca tidak memahaminya. Penggunaan perkataan
ini paling kerap ditemui dalam penulisan esei pelajar seperti ayat contoh berikut:

121
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

Kesalahan Pembetulan
a) Sekiranya anda berpeluang bermain di Sekiranya anda berpeluang melancong di
Malaysia… Malaysia...
b) Penjual menjual beras buluh yang Penjual menjual lemang yang diperlukan
diperlukan semasa perayaan Aidilfitri. semasa perayaan Aidilfitri.
c) Saya mengalami Eid al-Fitr bersama rakan- Saya menyambut Eid al-Fitr bersama rakan-
rakan di Malaysia. rakan di Malaysia.
d) Orang Islam berkabung kubur orang Orang Islam mengunjungi kubur orang yang
yang mereka sayangi mereka sayangi
e) Genting Highland ialah sebuah bandar Genting Highland ialah sebuah bandar yang
yang dipenuhi awan putih. dipenuhi kabus.

Dalam ayat (b), didapati bahawa pelajar telah menggunakan istilah beras buluh dalam ayat tersebut.
Penggunaan istilah ini tidak tepat untuk menjelaskan perkataan lemang. Seterusnya dalam ayat (e)
pula, pelajar menggunakan istilah awan putih untuk menjelaskan perkataan kabus. Penggunaan
perkataan yang tidak tepat ini berpunca daripada sikap pelajar yang tidak memahami maksud sesuatu
perkataan tersebut. Para pelajar lazimnya menterjemah perkataan atau ayat menggunakan perisian
google translate dan ini menyebabkan maksud perkataan yang diberikan berbeza dengan makna asal
perkataan. Zamri dan Zarina (2001) menyatakan bahawa kebanyakan pelajar menggunakan bahasa
ibunda dan menterjemahkannya dalam bahasa Melayu apabila membuat latihan menulis karangan.
Hal ini menyebabkan struktur ayat yang dihasilkan tidak menepati pola ayat bahasa Melayu dan
dianggap berbeza dari makna asal perkataan tersebut. Selain itu, kesalahan ini berlaku kerana kosa
kata yang terhad menyebabkan pelajar memilih perkataan yang dirasakan sesuai dengan perkara yang
ingin disampaikan. Dapatan kajian menyamai kajian Hazlina Abdul Halim dan Ang Lay Hoon (2015)
yang menyatakan bahawa pelajar sering kali menggunakan istilah yang paling dekat dengan perkara
yang mahu disampaikan walaupun perkataan tersebut tidak sesuai digunakan dalam ayat tersebut.

Kesalahan Penggunaan Kata Hubung

Kata hubung ialah perkataan yang bertugas menggabungkan ayat, frasa dan perkataan (Nik Safiah
Karim et. al, 2015). Antara kesalahan yang dikesan adalah seperti berikut:

Kesalahan Pembetulan
a) Ipoh mempunyai banyak bangunan Ipoh mempunyai banyak bangunan unik dan
unik serta banyak makanan Cina. banyak makanan Cina.
b) Dan saya berpeluang melihat beruang Dan saya berpeluang melihat beruang kutub
kutub utara dan penguin dari dekat utara dan penguin dari dekat
c) Saya makan sate dan rendang serta Saya makan sate dan rendang sambil berbual-
berbual-bual dengan tetamu. bual dengan tetamu.
d) Ramai orang datang ke sini dan Ramai orang datang ke sini untuk membeli-
membeli-belah setiap hari. belah setiap hari.
e) Orang Islam menyambut perayaan di Orang Islam menyambut perayaan di rumah
rumah serta menziarahi saudara dan menziarahi saudara mara…
mara…

122
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

Kesalahan penggunaan kata hubung berlaku kerana pelajar tidak memahami dengan tepat
penggunaan kata hubung yang berfungsi sebagai penyambung ayat. Pelajar masih tidak dapat
membezakan antara penggunaan kata hubung dan kata sendi nama. Selain itu, didapati pelajar sering
kali keliru penggunaan kata hubung serta dan apabila menghubungkan dua klausa atau lebih yang
setara sifatnya. Sebagai contoh, dalam ayat (a) kata hubung serta telah digunakan untuk
menggabungkan dua unsur yang setara. Kata hubung yang sepatutnya digunakan oleh pelajar ialah
kata hubung dan Dalam ayat (b) pelajar menggunakan kata hubung gabungan dan pada permulaan
ayat. Hal ini demikian kerana pelajar tidak dapat membezakan kata hubung dan penanda wacana.
Perkara ini juga diakui oleh Salinah & Rohaidah (2016:2014) bahawa penggunaan kata pada
permulaan ayat juga menunjukkan bahawa pelajar masih belum menguasai sepenuhnya aspek
morfologi dan sintaksis yang ada dalam bahasa Melayu.

Kesalahan Penggunaan Imbuhan

Menurut Abdullah Hassan (2006: 12) Proses pengimbuhan ialah proses yang menggandingkan
imbuhan dengan kata dasar, sama ada imbuhan awalan, imbuhan akhiran dan imbuhan sisipan.
Berikut ialah contoh kesalahan imbuhan yang dilakukan oleh pelajar:

Kesalahan Pembetulan
a) Kami berjalan-jalan untuk lihat mural di Kami berjalan-jalan untuk melihat mural di
Ipoh. Ipoh.
b) Banyak haiwan akuatik bekerjasama Banyak haiwan akuatik bekerjasama dengan
dengan pelatih untuk memberikan pelatih untuk memberikan persembahan
persembahan hebat. hebat.
c) Kami meninggal di tepi laut yang indah. Kami tinggal di tepi laut yang indah.

d) Sekiranya anda datang ke Malaysia Sekiranya anda datang ke Malaysia untuk


untuk pelancongan, anda tidak… melancong, anda tidak…
e) Saya melihat baju Melayu yang di pakai Saya melihat baju Melayu yang dipakai
oleh rakan saya sangat cantik. oleh rakan saya sangat cantik.

Dalam ayat (c) pelajar meletakkan imbuhan MeN- pada kata kerja tinggal. Hal ini demikian
kerana pelajar beranggapan bahawa semua kata kerja perlu diletakkan imbuhan. Perkara ini berlaku
kerana pelajar tidak dapat memahami dengan jelas kata kerja transitif dan kata kerja tak transitif.
Dalam ayat (c) kata kerja tinggal merupakan kata kerja tak transitif berlengkap. Akibatnya, konteks
makna dalam ayat (c) berbeza daripada makna asal, iaitu menetap atau menginap di sesuatu tempat.
Selain itu, penggunaan imbuhan di- dalam ayat (e) adalah tidak tepat. Imbuhan ini ditulis
secara terpisah dengan kata kerjanya, iaitu di pakai. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015) imbuhan
awalan di- ialah awalan yang digandingkan dengan kata dasar untuk membentuk kata kerja pasif bagi
ayat yang subjeknya ialah pelaku orang ketiga. Dalam proses pembentukan kata secara pengimbuhan,
imbuhan awalan di- perlu ditulis secara bercantum dengan kata dasar. Kesalahan ini berlaku kerana
pelajar masih keliru dengan penggunaan imbuhan awalan di- dan kata sendi nama di. Berdasarkan
contoh ayat di atas, jelas memperlihatkan bahawa pelajar tidak dapat menguasai imbuhan bahasa
Melayu dengan baik kerana tempoh pembelajaran yang singkat, iaitu empat belas minggu.

123
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

Kesalahan Kata Sendi Nama

Kata sendi nama ialah perkataan yang hadir di hadapan frasa nama yang berfungsi untuk
menyambungkan frasa nama dengan kata atau frasa-frasa dalam ayat. Setiap kata sendi nama
memainkan tugas atau peranan yang berbeza walaupun kesemua kata ini hadir di hadapan kata nama
(Nik Safiah Karim et. al, 2015). Contoh kesalahan penggunaan kata sendi nama adalah seperti berikut:

Kesalahan Pembetulan
a) Ramai pelancong luar negara dan dalam Ramai pelancong luar negara dan dalam
negeri ingin berkunjung di Pulau Pinang. negeri ingin berkunjung ke Pulau Pinang.
b) Genting terletak lebih 1,700 meter Genting terletak lebih 1,700 meter dari
daripada permukaan laut. permukaan laut.
c) Saya dan ibu bapa mengambil gambar di Saya dan ibu bapa mengambil gambar di
taman pada hadapan Menara Berkembar taman di hadapan Menara Berkembar
Petronas. Petronas.
d) Saya sangat bersyukur untuk mereka Saya sangat bersyukur kerana mereka
menjaga saya. menjaga saya.
e) Pada awal 2016, saya pergi kepada Pada awal 2016, saya pergi ke Malaysia
Malaysia dengan agensi perjalanan dengan agensi perjalanan antarabangsa
antarabangsa Zhongzhou. Zhongzhou.

Berdasarkan contoh ayat di atas, kesalahan kata sendi nama ini berlaku kerana pelajar keliru dalam
menggunakan kata sendi di dan kata sendi nama ke dengan betul. Kata sendi nama di digunakan untuk
menunjukkan tempat manakala kata sendi ke digunakan di hadapan frasa nama yang menunjukkan
tempat, arah dan masa (Nik Safiah Karim et al., 2015). Selain itu, kesalahan penggunaan kata sendi
nama dari dan daripada juga sering kali berlaku dalam penulisan esei pelajar. Hal ini demikian kerana
dalam bahasa Inggeris kedua-dua perkataan ini membawa maksud from. Seterusnya, berdasarkan
ayat (e) di atas, pelajar menggunakan kata sendi nama untuk dalam menerangkan sebab berlaku
sesuatu kejadian atau perbuatan, sepatutnya pelajar perlu menggunakan kata hubung pancangan
keterangan kerana. Hal ini disebabkan oleh para pelajar belum mampu untuk menguasai imbuhan
bahasa Melayu dengan baik.

Kesalahan Penggunaan Kata Pemeri

Kata pemeri ialah perkataan yang menghubungkan subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat.
Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015: 263), “Kata pemeri ialah hadir di hadapan frasa nama
manakala kata pemeri adalah pula hadir di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama.” Contoh
kesalahan kata pemeri dalam penulisan esei pelajar ialah:

Kesalahan Pembetulan
a) Hari Raya Aidilfitri adalah perayaan Hari Raya Aidilfitri ialah perayaan yang
yang sangat penting di Malaysia. sangat penting di Malaysia.
b) Pemandu pelancong memberitahu kami Pemandu pelancong memberitahu kami
bahawa Genting adalah pusat bahawa Genting ialah pusat peranginan…
peranginan…

124
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

c) Pulau Pinang adalah bandar terbesar di Pulau Pinang ialah bandar terbesar di utara
utara Malaysia. Malaysia.
d) Pelancong ke Pulau Pinang ialah kerana Pelancong ke Pulau Pinang adalah kerana
pelbagai karya seni… pelbagai karya seni…
e) Saya ke sana ialah untuk melihat Saya ke sana adalah untuk melihat
pemandangan… pemandangan…

Para pelajar didapati melakukan kesalahan penggunaan kata pemeri ialah dan kata pemeri adalah.
Para pelajar keliru penggunaan antara kata pemeri ialah dan adalah kerana mereka masih tidak dapat
menguasai dengan baik frasa adjektif, frasa sendi nama dan frasa nama.

Kesalahan Ganti Nama Diri Orang

Kata ganti nama diri orang merujuk diri orang tertentu, iaitu diri orang pertama, diri orang kedua dan
diri orang ketiga (Nik Safiah Karim et al., 2015). Antara kesalahan kata ganti nama yang dilakukan
oleh pelajar ialah:

Kesalahan Pembetulan
a) Kita juga makan makanan enak di sana. Kami juga makan makanan enak di sana.
b) Rasanya unik dan kita semua suka. Rasanya unik dan kami semua suka.
c) Hari ini kita sangat gembira. Hari ini kami sangat gembira.
d) Muzium itu tidak jauh dari rumah Muzium itu tidak jauh dari rumahnya.
mereka.
e) Keesokan harinya, kita membeli kopi Keesokan harinya, kami membeli kopi putih
putih yang paling terkenal di Ipoh. yang paling terkenal di Ipoh.

Kesalahan penggunaan kata ganti nama diri kedua berbentuk jamak ‘kami’, ‘kita’ dan kata ganti nama
diri ketiga ‘mereka’ adalah paling kerap dilakukan oleh pelajar. Kesalahan seperti dalam ayat (a)
berlaku kerana pelajar tidak dapat membezakan penggunaan kedua-dua kata ganti nama kedua, iaitu
‘kita’, dan ‘kami’. Perkara ini turut dibincangkan oleh Yong dan Subramaniam (2012), iaitu pelajar
kerap melakukan kesalahan dalam mengeja kata ganti nama ketiga mereka dengan ejaan seperti
moreka, merka dan merakan.

Kesalahan Pengguna Kata Ganda

Menurut Nik Safiah Karim et. al (2015:55) “Kata ganda ialah perkataan yang terhasil melalui proses
pengulangan kata dasar.” Proses penggandaan terbahagi kepada tiga, iaitu pergandaan penuh,
penggandaan separa dan penggandaan berentak. Kesalahan kata ganda seperti contoh di bawah:

Kesalahan Pembetulan
a) Semua pelancong-pelancong yang Semua pelancong yang berkunjung…
berkunjung…

125
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

b) Terdapat banyak makanan- makanan Terdapat banyak makanan yang sedap yang
yang sedap dan terkenal seperti nasi sedap dan terkenal seperti nasi kandar dan
kandar dan laksa. laksa.
c) Umat Islam meminta orang tua-tua Mereka meminta orang tua mereka
mereka memaafkan diri atas kesilapan memaafkan diri atas kesilapan yang telah
yang telah mereka lakukan sejak setahun mereka lakukan sejak setahun lalu.
lalu.
d) Ada banyak hotel-hotel yang cantik dan Ada banyak hotel yang cantik dan besar di
besar di sana. sana.

Hasil kajian mendapati kesalahan yang dilakukan oleh para pelajar ialah menggandakan kata nama
yang didahului oleh kata bilangan yang membawa maksud banyak atau jamak. Dalam ayat (a) kata
bilangan tak tentu semua digunakan pada awal kata nama pelancong. Oleh itu, sepatutnya kata nama
pelancong tidak perlu digandakan kerana kata bilangan semua telah digunakan di hadapan kata nama.
Selain itu, berdasarkan analisis, didapati bahawa pelajar kerap menggandakan kata ganda yang
sepatutnya tidak perlu digandakan. Antara kesalahan tersebut adalah seperti:

Kesalahan Pembetulan
a) Mereka-mereka juga melawat saudara- Mereka juga melawat saudara-mara pada
mara pada hari raya Aidilfitri. hari raya Aidilfitri.
b) Masyarakat-masyarakat Melayu Masyarakat Melayu menyambut perayaan
menyambut perayaan ini dengan meriah. ini dengan meriah.

Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015) kata nama yang membawa makna jamak tidak perlu
digandakan Hal ini kerana perkataan tersebut sememangnya telah membawa makna jamak walaupun
tidak digandakan. Kesalahan menggandakan perkataan ini kerap dilakukan oleh para pelajar. Dalam
ayat (a) kata ganti nama ketiga mereka membawa maksud sekumpulan orang. Oleh itu, perkataan
tersebut tidak perlu digandakan.

KESIMPULAN

Kajian ini telah membincangkan hasil kajian kesalahan aspek ortografi dan morfologi yang dilakukan
oleh pelajar antarabangsa dalam menguasai bahasa kedua mereka. Dapatan data menunjukkan aspek
bahasa ibunda banyak mempengaruhi penulisan esei pelajar. Selain itu, didapati bahawa penguasaan
bahasa Melayu pelajar pada tahap asas dan kosa kata yang terhad menyebabkan pelajar mendapat
markah yang rendah dalam penulisan esei. Walaupun para pelajar telah mengikuti kursus Asas
Komunikasi Bahasa Melayu selama satu semester, namun kemahiran asas belum mencukupi. Sesi
pengajaran dan pembelajaran pada minggu pertama hingga minggu keempat belas banyak
menggunakan terjemahan daripada bahasa Inggeris ke dalam bahasa Melayu. Hal ini mengakibatkan
terdapat pelajar yang tidak dapat menguasai kemahiran yang diterapkan terutama kemahiran menulis.
Lantaran itu, pengajar perlu merancang strategi dan memainkan peranan dalam mengatasi
masalah ini. Peranan tenaga pengajar penting dalam melahirkan pelajar yang dapat menguasai bahasa
Melayu dengan baik. Dalam pada itu, para pelajar perlu menggandakan usaha dalam mempelajari
bahasa kedua dan mengambil inisiatif dengan lebih banyak membaca bahan ilmiah bahasa Melayu
untuk meningkatkan kosa kata mereka. Selain itu, kajian ini bermanfaat kepada pengajar untuk

126
Vol. 4, No. 1 (2021) E-ISSN: 2637-0271

memberikan pendedahan kepada para pelajar bagi meningkatkan penguasaan bahasa kedua pelajar.
Pensyarah perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran supaya dapat menarik pelajar mempelajari dan
menguasai bahasa kedua dengan mudah dan berkesan. Dengan cara ini, pengajaran dan pembelajaran
bahasa Melayu akan lebih berkesan dan masalah kesalahan bahasa dapat dikurangkan.

RUJUKAN

Abdullah Hassan. (1987). Isu-isu pengajaran dan pembelajaran bahasa Malaysia. Kuala
Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Abdullah Hassan. (2006). Morfologi. Kuala Lumpur: PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Alhaadi Ismail & Zatul Azma Zainon Hamzah. (2018). Analisis kesalahan dalam penulisan
pelajar bahasa kedua dari aspek morfologi. Jurnal Linguistik, 22(1), 24-31.
Alice Lim. (2015). Bahasa Melayu sebagai bahasa asing: Kajian kes pelajar China di Universiti
Malaysia Sabah. Jurnal Kajian Pendidikan, 5(2), 157-168.
Corder, S.P. (1981). Error analysis and interlanguage. Oxford: Oxford University Press.
Fai’zah Abd Manan, Mohamed Amin Embi & Zamri Mahmod. (2010). Kerangka pembangunan
dan penilaian modul belajar cara bahasa Melayu pelajar asing institusi Pendidikan tinggi
Malaysia. Asean Journal of Teaching and Learning in Higher Education, 2(2), 64-76.
Hazlina Abdul Halim & Ang Lay Hoon. (2015). Kesalahan pemilihan dan pembentukan kata
dalam terjemahan bahasa Perancis. Gema OnlineTM Journal of Language Studies,
15(2), 151-164.
Juriah Long, Raminah Sabran & Sofiah Hamid. (1994). Perkaedahan pengajaran Bahasa Malaysia.
Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti.
Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa & Abdul Hamid Mahmood. (2015).
Tatabahasa Dewan edisi ketiga. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Salinah Jaafar, & Rohaidah Haron. (2016). Kesilapan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar
pelajar Universiti Kebangsaan Yunnan di Akademi Pengajian Melayu. Jurnal Melayu,
15(2). 196-209.
Suthanthiradevi J.N. Money. (2004). Pengaruh bahasa ibunda dalam proses pembelajaran bahasa
Melyu murid India. Tesis Sarjana Tidak Diterbitkan, Diperoleh pada 15
Mac2020 daripada http://psasir.upm.edu.my/8943/1/FPP_1996_7_A.pdf
Yong, C. C., & Subramaniam, V. (2012). Analisis kesilapan dalam pembelajaran Bahasa Melayu
oleh penutur asing. Gema OnlineTM Journal of Language Studies, 12(2), 667 692.
Zainal Abidin Ahmad. (1987). Daftar ejaan Rumi bahasa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Zackqualine Melai & Dayang Nurlisa Abang Zainal Abidin. (2020). Pengajaran Bahasa Melayu
dalam kalangan pelajar asing: Analisis pola kesalahan tatabahasa dalam penulisan. Issues
in Language Studies, 9(1), 86-106.
Zamri Mahamod & Zarina Othman. (2001). Sikap pelajar Cina terhadap pembelajaran Bahasa
Melayu sebagai bahasa kedua. Dewan Bahasa, Februari, 40-43.
Zamri Mahamod. (2007). Psikolinguistik dalam pengajaran dan pemerolehan bahasa pertama
dan kedua. Shah Alam: Karisma Publications Sdn. Bhd.

127

View publication stats

You might also like