You are on page 1of 13

MENINGKATKAN KEBOLEHAN MURID TAHUN 3 MELAKUKAN ADAB BERCAKAP

YANG BETUL MENGIKUT SITUASI MELALUI PENGGUNAAN “PuzzLak”

Mohamad Zahier Bin Zamahshari


zahierzamahshari@yahoo.com
Puan Hjh Fadzliyah Binti Hashim
fadzliyah@ipda.edu.my

Jabatan Pendidikan Islam dan Moral


Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman

ABSTRAK

Kajian tindakan ini bertujuan meningkatkan kebolehan murid tahun 3 melakukan


adab bercakap yang betul mengikut situasi melalui penggunaan “PuzzLak”. Peserta
kajian terdiri daripada enam orang murid tahun 3 di salah sebuah sekolah rendah di
daerah Kubang Pasu, Kedah. Intervensi yang dijalankan merupakan gabungan dua
elemen pembelajaran berpusatkan murid iaitu kaedah permainan dan lakonan yang
juga berperanan membantu murid memperbaiki adab bercakap dalam kehidupan
seharian mereka. Instrumen kajian yang digunakan ialah lembaran kerja,
pemerhatian dan soal selidik. Data yang dikumpul telah dianalisis secara statistik
deskriptif serta ditunjukkan dalam rajah, jadual dan teks. Hasil analisis data
mendapati bahawa seramai 6 orang peserta kajian menunjukkan peningkatan
markah yang ketara dalam lembaran kerja 2 berbanding lembaran kerja 1.
Perubahan positif tingkah laku berdasarkan pemerhatian ke atas peserta kajian
selepas aplikasi intervensi turut mempamerkan perubahan yang
memberangsangkan. Hasil dapatan daripada soal selidik juga menunjukkan
perubahan minat yang positif terhadap tajuk adab bercakap. Dapatan kajian secara
keseluruhannya menunjukkan aplikasi “PuzzLak” dapat meningkatkan kebolehan
murid berkenaan adab bercakap yang betul mengikut situasi. Cadangan kajian
seterusnya ialah penyelidik menggunakan aplikasi “PuzzLak” dalam tajuk-tajuk adab
yang lain malah turut mengaplikasikannya dalam bidang Pendidikan Islam yang lain
seperti Akidah, Ibadah dan Sirah dengan penambahbaikan serta inovasi yang sesuai
mengikut keadaan.

Kata kunci : adab bercakap, “PuzzLak”

1
1.0 REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Semasa sesi P&P bagi tajuk Sopan Dalam Percakapan dilaksanakan di dalam kelas tahun 3
Bijak, saya telah menggunakan kaedah syarahan di awal sesi pembelajaran. Kaedah syarahan ini
dirasakan sesuai kerana ia merupakan kaedah penyampaian pengajaran yang umumnya digunakan
di mana-mana pusat pengajian dan sesuai untuk mana-mana topik. Kaedah syarahan merupakan
kaedah pengajaran di mana guru lebih banyak melibatkan diri dalam memberikan huraian, penjelasan
serta penerangan kepada murid-murid. Pembelajaran menerusi kaedah ini bukan sahaja
menampakkan lebih banyak pergantungan murid kepada guru, bahkan boleh mencetuskan perasaan
hormat dan sanjungan kepada guru, yang natijahnya boleh melahirkan rasa kasih sayang antara dua
pihak (Abdullah Ishak, 1989).

Walaubagaimanapun, Devine (1981, sebagaimana yang dipetik dari Choong Lean Keow,
2011), menyatakan bahawa dengan mendengar bukan sahaja menumpukan sepenuhnya perhatian
tetapi melibatkan motivasi dan keadaan fizikal emosi yang mempengaruhi proses pendengaran itu
sendiri. Momentum inilah yang tidak dapat dikekalkan di dalam kelas saya sewaktu mengaplikasikan
kaedah syarahan. Berdasarkan pengamatan saya, murid-murid dapat menumpukan perhatian di awal
sesi pengajaran, namun mula hilang fokus selepas 10 minit sesi pengajaran menggunakan kaedah
syarahan. Hal ini mungkin berlaku disebabkan kurangnya motivasi serta tahap keterlibatan murid
terhadap isi pelajaran yang disampaikan.

Oleh yang demikian, saya telah mengambil keputusan untuk melaksanakan kuiz
menggunakan kaedah soal jawab di akhir sesi P&P ini berlangsung. Saya yakin bahawa dengan
menggunakan kaedah ini, murid saya akan berasa seronok untuk belajar dan menjawab soalan yang
diajukan dengan betul. Menurut Salihin Siais (1993, sebagaimana yang dipetik dari Ahmad Mohd
Salleh, 2008), kaedah menyoal dapat membangkitkan kecerdasan dan menggalakkan seseorang
berfikir. Fenomena ini akan dapat menumpukan perhatian dan fikiran terhadap apa yang sedang
diingati. Kaedah ini juga dapat mengelakkan murid tersebut memikirkan perkara lain.

Namun setelah beberapa ketika, ramai dalam kalangan murid sudah hilang fokus dan mula
melakukan aktiviti yang tidak berkaitan dan berbual dengan rakan-rakan lain apabila kumpulan
mereka gagal menjawab soalan kuiz. Situasi ini sedikit sebanyak telah menjentik minda saya tentang
keberkesanan kaedah soal jawab ini. Tidak dinafikan kaedah ini merupakan salah satu kaedah yang
popular dan seringkali digunakan oleh guru-guru kerana keberkesanannya. Namun kesesuaiannya
untuk diaplikasikan terhadap kumpulan sasaran yang lemah perlulah diambil kira.

Apabila saya merenung kembali proses P&P adab yang dilakukan sewaktu sesi pengajaran
tempoh hari, saya dapati keadaan ini telah menimbulkan jurang antara amalan dan nilai kepercayaan
saya. Sehubungan dengan itu, satu aktiviti yang menarik dan seimbang bagi murid yang bijak dan
lemah perlulah dirancang agar objektif P&P dapat dicapai. Berdasarkan Standard Jemaah Nazir

2
(2004), dalam bab elemen P&P yang menyentuh disposisi guru, telah menekankan akan kepentingan
amalan pembelajaran menyeronokkan dalam kalangan guru sekolah.

Bagi merapatkan jurang antara amalan dan nilai kepercayaan ini, saya telah memilih untuk
melaksanakan satu intervensi melalui kaedah bermain dan lakonan menggunakan “PuzzLak”.

2.0 FOKUS KAJIAN

Kajian ini berfokuskan kepada salah satu tajuk adab yang terkandung dalam bidang adab
tahun 3 iaitu Sopan Dalam Percakapan. Tajuk Sopan Dalam Percakapan ini membincangkan
mengenai adab-adab bercakap yang sepatutnya seorang yang bergelar individu muslim aplikasikan
dalam kehidupan seharian. Adab bercakap ini merupakan topik yang saya rasakan amat penting
untuk disematkan dalam diri murid-murid kerana ianya mencerminkan keperibadian individu muslim
itu sendiri. Adab bercakap juga merupakan adab asas yang bertindak sebagai pencetus kepada
adab-adab lain kerana ianya berlaku hampir setiap ketika dan di mana-mana sahaja dalam
kehidupan kita.

Setelah meneliti refleksi P&P lalu yang telah dibuat, saya mendapati bahawa masalah utama
murid-murid saya adalah berkaitan kurangnya pemahaman dan kebolehan mengaplikasi adab dalam
percakapan. Berdasarkan masalah-masalah yang telah dikenalpasti tersebut, saya telah
memfokuskan kajian saya kepada bagaimana meningkatkan kebolehan murid tahun 3 dalam
melakukan adab bercakap yang betul mengikut situasi menggunakan “PuzzLak” seterusnya

mendorong murid untuk mengamalkan adab bercakap pada setiap hari dalam kehidupan mereka .

Antara kepentingan kajian ini ialah untuk meningkatkan penguasaan murid berkaitan adab-
adab bercakap. Selain itu, apabila seseorang murid berjaya meningkatkan penguasaan mereka
berkaitan adab bercakap menggunakan kaedah bermain dan lakonan ini, mereka juga boleh
mengaplikasikannya dalam tajuk-tajuk adab yang lain. Malah perkara yang sama juga boleh
digunapakai untuk pembelajaran matapelajaran yang lain.

3.0 OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN

Objektif khusus kajian ini adalah supaya:


a) Meningkatkan kebolehan murid tahun 3 melakukan adab bercakap yang sesuai
mengikut situasi melalui aplikasi “PuzzLak”.
b) Meningkatkan minat murid tahun 3 melakukan adab bercakap yang sesuai mengikut
situasi melalui aplikasi “PuzzLak”.

Berdasarkan objektif yang saya nyatakan di atas, saya telah membina soalan kajian seperti berikut:

3
a) Adakah penggunaan aplikasi “PuzzLak” dapat meningkatkan kebolehan murid tahun
3 melakukan adab bercakap yang sesuai mengikut situasi?
b) Adakah penggunaan aplikasi “PuzzLak” dapat meningkatkan minat murid tahun 3
melakukan adab bercakap yang sesuai mengikut situasi?

4.0 KUMPULAN SASARAN

Sebahagian murid dari Kelas 3 Bijak telah menjadi pilihan untuk kajian tindakan saya pada
kali ini. Kelas ini merupakan kelas pertama daripada dua kelas di sekolah ini yang terdiri daripada 26
orang murid yang kesemuanya berbangsa Melayu dan beragama Islam. Namun hanya 6 orang
sahaja yang terdiri daripada 2 orang murid lelaki dan 4 orang murid perempuan yang telah diambil
untuk menjadi peserta kajian atau kumpulan sasaran untuk kajian tindakan saya. Berdasarkan temu
bual dan perbincangan dengan guru kelas dan guru mata pelajaran Pendidikan Islam yang pernah
mengajar kelas ini, murid-murid ini mempunyai prestasi akademik yang sederhana dalam mata
pelajaran Pendidikan Islam. Berdasarkan pemerhatian saya juga, 6 orang peserta kajian ini tidak
dapat menumpukan perhatian dan kelihatan cepat bosan sewaktu sesi P&P berlangsung.

Namun begitu, keenam-enam peserta kajian ini mempunyai keunikan mereka yang tersendiri.
Antara ciri-ciri unik peserta kajian ini ialah mereka memiliki kecerdasan yang pelbagai. Saya dapati
murid-murid ini sangat aktif dalam kelas dan ingin melibatkan diri mereka dalam proses P&P. Namun
keupayaan mereka untuk fokus dan menumpukan perhatian terhadap isi pelajaran adalah terhad dan
mereka mudah bosan.

5.0 PELAKSANAAN TINDAKAN

5.1 Prosedur Tindakan

Aktiviti 1:

Guru menerangkan adab-adab bercakap kepada murid sebagai pengetahuan asas mereka
berkenaan tajuk adab bercakap. Kemudian murid-murid dipamerkan dengan gambar perlakuan adab
bercakap yang sesuai mengikut situasi dihadapan kelas dan mereka diminta memberi sumbang
saran berkenaan gambar tersebut. Guru menjelaskan dialog-dialog yang sesuai dan sepatutnya
dituturkan berdasarkan gambar yang dipamerkan itu. Murid-murid membaca dialog tersebut
mengikut bacaan guru secara kumpulan dan individu. Seterusnya, guru mengedarkan Lembaran
Kerja 1 (LK1) kepada murid sebagai bahan untuk dianalisis.

4
Aktiviti 2:

Guru menerangkan secara ringkas tentang perlakuan adab bercakap yang sesuai mengikut
situasi kepada murid-murid. Kemudian guru menjelaskan dialog-dialog yang sesuai dan sepatutnya
dituturkan berdasarkan gambar. Murid-murid dibahagikan kepada 3 kumpulan yang terdiri daripada 2
orang ahli setiap kumpulan. Setiap kumpulan akan diberikan sekeping plastik jernih, gam dan
sekeping sampul yang mengandungi potongan-potongan gambar. Selepas itu, murid-murid diberi
penerangan tentang syarat-syarat serta cara-cara bermain puzzle yang betul sebelum memulakan
aktiviti. Murid-murid seterusnya diminta untuk melakonkan situasi bercakap dengan sopan
berdasarkan gambar yang telah mereka susun dalam permainan puzzle. Kumpulan lain diminta
memberikan perhatian kepada lakonan rakan-rakan mereka dihadapan kelas.

Aktiviti 3:

Murid-murid dibahagikan kepada 3 kumpulan yang terdiri daripada 2 orang ahli setiap
kumpulan. Setiap kumpulan akan diberikan sekeping plastik jernih, gam dan sekeping sampul yang
mengandungi potongan-potongan gambar. Selepas itu, murid-murid akan diberi penerangan tentang
syarat-syarat serta cara-cara bermain puzzle yang betul sebelum memulakan aktiviti. Murid-murid
seterusnya diminta untuk melakonkan situasi bercakap dengan sopan berdasarkan gambar yang
telah mereka susun dalam permainan puzzle dan kali ini mereka akan dibantu dengan dialog yang
telah disediakan dibahagian belakang gambar. Kumpulan lain diminta memberikan perhatian kepada
lakonan rakan-rakan mereka dihadapan kelas. Guru mengedarkan Lembaran Kerja 2 (LK2) kepada
murid sebagai bahan untuk dianalisis.

5.2 Cara Mengumpul Data

Menurut Rosinah (2012), data dikumpul menggunakan pelbagai cara seperti pemerhatian,
soal selidik, penelitian dokumen, temu bual dan sebagainya. Untuk mengumpul data yang diperolehi
dalam kajian ini, tiga alat kajian telah digunakan untuk menguji keberkesanan “PuzzLak” dalam P&P
adab bertanya iaitu melalui instrumen lembaran kerja, pemerhatian dan soal selidik.

6.0 DAPATAN : ANALISIS DAN INTERPRETASI DATA

6.1 Lembaran Kerja

Instrumen pertama yang digunakan adalah lembaran kerja. Setelah menganalisis kedua-dua
set lembaran kerja 1 dan 2, saya telah memasukkan data ke dalam jadual dan menukarkannya

5
dalam bentuk peratus. Peratusan markah soalan yang dijawab dengan tepat semasa lembaran kerja
1 telah dibandingkan dengan peratusan markah yang dijawab dalam lembaran kerja 2 dan
ditukarkan ke dalam graf palang seperti dalam rajah 1. Berikut merupakan Rajah 1: Analisis
peratusan markah Lembaran Kerja 1 dan 2.

95 98 98
93 93
100
80 80 83
90
73 73 70
80 68
70
60
50 LK 1 (%)
40 LK 2 (%)
30
20
10
0
Murid A Murid B Murid C Murid D Murid E Murid F

Rajah 1. Analisis peratusan markah Lembaran Kerja 1 dan 2

Merujuk kepada Rajah 1 : Analisis peratusan markah Lembaran Kerja 1 dan 2, murid A
mendapat skor markah 80% pada LK1 manakala dalam LK2, murid ini mendapat skor markah
sebanyak 95%. Ini membuktikan murid A telah menunjukkan peningkatan sebanyak 15% dalam LK2.
Murid B telah memperoleh skor markah 80% dalam LK1 dan 98% dalam LK2. Ini bermakna murid B
telah menunjukkan peningkatan sebanyak 18% dalam LK2 setelah pelaksanaan intervensi.

Murid C pula telah mendapat skor markah sebanyak 73% dalam LK1 manakala dalam LK2
beliau telah memperoleh skor markah 93% menjadikan perbezaan markah yang dicapai oleh murid C
dalam Lembaran Kerja 1 dan 2 adalah 20%. Murid D merupakan murid yang mencapai markah
paling rendah dalam LK1 dengan skor markah 68% dan memperoleh skor markah 83% pada LK2. Ini
menjadikan beliau dan murid A memperolehi peningkatan markah yang paling sedikit dalam
kalangan peserta kajian iaitu 15%.

Bagi murid E pula, beliau mendapat skor markah sebanyak 73% dalam LK1 manakala dalam
LK2, murid ini mendapat skor markah 98%. Ini bermakna murid E menunjukkan peningkatan markah
paling tinggi selepas pelaksanaan intervensi iaitu sebanyak 25%. Murid terakhir iaitu murid F
mendapat skor markah 70% dalam LK1 dan mendapat skor markah 93% dalam LK2. Oleh itu,
peningkatan markah yang dicapai oleh murid ini adalah sebanyak 23% selepas melalui intervensi
“PuzzLak”.

Kesimpulannya, berdasarkan Rajah 1 di atas, kesemua peserta kajian telah menunjukkan


peningkatan dalam Lembaran Kerja 2 selepas melalui pelaksanaan intervensi dengan skor
peningkatan melebihi 15% ke atas. Selain itu, tiada peserta kajian yang mendapat markah kurang
daripada 80% dalam Lembaran Kerja 2. Ini membuktikan bahawa intervensi yang telah dilaksanakan

6
dapat membantu murid dalam melakukan adab bercakap berdasarkan situasi dengan menggunakan
aplikasi “PuzzLak” dalam sesi P&P bidang Adab.
6.2 Pemerhatian

Bagi mengukuhkan lagi data yang diperoleh dalam lembaran kerja, saya telah menjalankan
pemerhatian kepada kesemua peserta kajian saya. Secara khususnya, saya telah membahagikan
pemerhatian ini kepada dua fasa. Pemerhatian 1 (P1) dilakukan sebelum intervensi dijalankan iaitu
sepanjang minggu pertama kajian, manakala Pemerhatian 2 (P2) pula dijalankan selepas intervensi
dilaksanakan iaitu sepanjang minggu kedua dan ketiga kajian. Sehubungan dengan itu, bagi
memudahkan lagi penelitian terhadap analisis yang dilakukan, saya telah menyediakan satu jadual
untuk melihat perbezaan bilangan peserta kajian yang ditanda ‘Ada’ atau ‘Tiada’ berdasarkan
Pemerhatian 1 dan Pemerhatian 2. Selain itu, saya juga turut membuat rumusan dan huraian dalam
bentuk teks berdasarkan peningkatan perubahan positif tingkah laku murid berdasarkan peningkatan
bilangan ‘Ada’ pada Pemerhatian 2. Berikut adalah Jadual 1 : Analisis bilangan murid yang ditanda
‘Ada’ atau ‘Tiada’.

Jadual 1
Analisis bilangan murid yang ditanda ‘Ada’ atau ‘Tiada’

Bil Aspek Pemerhatian Bil. Peserta Bil. Peserta


Kajian (P1) Kajian (P2)
Ada Tiada Ada Tiada
1. Melibatkan diri secara aktif dalam sesi P&P. 0 6 4 2
2. Murid memberi salam apabila bertemu dengan 2 4 6 0
guru dalam kawasan sekolah.
3. Murid tidak menuturkan perkataan yang tidak 3 3 6 0
sopan apabila berbual-bual dengan rakan.
4. Berkongsi idea dan bekerjasama dalam kumpulan. 0 6 4 2
5. Mempamerkan amalan yang sopan dan beradab 1 5 6 0
apabila bertemu guru-guru dan orang yang lebih
tua.
6. Kemahiran komunikasi yang baik dan sopan. 0 6 6 0
7. Boleh menyatakan adab-adab bercakap dengan 0 6 4 2
betul apabila di tanya.
8. Boleh menyebut dialog adab bercakap mengikut 1 5 5 1
situasi dengan intonasi dan nada suara yang betul.
9. Tertib dan sopan sewaktu hendak bertanyakan 2 4 6 0
sesuatu kepada guru.

Berdasarkan Jadual 1, aspek pemerhatian pertama menunjukkan peningkatan daripada 0


kepada 4 orang peserta kajian yang melibatkan diri secara aktif dalam P&P selepas intervensi

7
dijalankan. Ini telah membuktikan perubahan tingkah laku peserta kajian daripada pasif kepada aktif
di dalam aktiviti yang dijalankan. 2 orang peserta kajian yang masih tidak melibatkan diri secara aktif
di dalam kelas kelihatan mempunyai sifat pemalu yang agak tinggi dan kurang bergaul dengan
rakan-rakan lain di sekolah.

Aspek pemerhatian kedua pula menunjukkan peningkatan daripada 2 kepada 6 orang


peserta kajian yang memberi salam apabila bertemu dengan guru dalam kawasan sekolah. Keadaan
ini memperlihatkan perubahan tingkah laku kesemua peserta kajian terhadap budaya memberi salam
di kawasan sekolah. Bagi mengukuhkan dapatan data pemerhatian berkenaan budaya memberi
salam ini, saya telah berkolaborasi dengan guru-guru lain untuk membantu saya melihat perubahan
sikap 6 orang peserta kajian ini apabila mereka bertemu guru-guru lain di kawasan sekolah.

Aspek pemerhatian yang ketiga pula iaitu murid tidak menuturkan perkataan yang tidak
sopan apabila berbual-bual dengan rakan menunjukkan peningkatan daripada 3 kepada 6 orang.
Oleh itu, dapat dirumuskan bahawa kesemua peserta kajian telah mempamerkan perubahan tingkah
laku dari aspek perbualan yang sopan dengan orang lain.

Berkenaan aspek pemerhatian berkongsi idea dan bekerjasama dalam kumpulan, murid-
murid ini menunjukkan peningkatan daripada 0 kepada 4 orang. 4 orang peserta kajian yang
menunjukkan perubahan positif ini saling bekerjasama dan tolong-menolong sewaktu menyelesaikan
tugasan berkumpulan. Manakala 2 orang peserta yang masih tidak menunjukkan sikap bekerjasama
ini didapati merupakan peserta kajian yang sama dengan aspek pemerhatian 1 yang mempunyai
sifat pemalu yang tinggi.

Disamping pemerhatian yang saya lakukan, saya telah berkolaborasi dengan guru-guru serta
staf sokongan sekolah untuk membantu saya melihat perubahan sikap 6 orang peserta kajian ini
apabila mereka bertemu orang yang lebih tua di kawasan sekolah dan bagaimana komunikasi
mereka. Berdasarkan pemerhatian berkenaan, aspek pemerhatian kelima iaitu mempamerkan
amalan yang sopan dan beradab apabila bertemu guru-guru dan orang yang lebih tua menunjukkan
peningkatan daripada 1 kepada 6 orang dan aspek pemerhatian keenam iaitu berkenaan kemahiran
komunikasi yang baik dan sopan menunjukkan peningkatan daripada 0 kepada 6 orang. Hal ini
membuktikan keberkesanan pelaksanaan intervensi dalam kajian yang dilaksanakan terhadap
keenam-enam peserta kajian.

Aspek pemerhatian ketujuh pula adalah berkenaan kebolehan murid menyatakan adab-adab
bercakap dengan betul apabila di tanya. Aspek ini menunjukkan peningkatan daripada 0 kepada 4
orang. 2 orang peserta kajian yang masih tidak dapat menjawab soalan yang diajukan
berkemungkinan masih keliru dan tidak dapat mengingat adab-adab yang dipelajari dengan baik.

8
Aspek pemerhatian kelapan iaitu kebolehan murid menyebut dialog adab bercakap mengikut
situasi dengan intonasi dan nada suara yang betul menunjukkan peningkatan daripada 1 kepada 5
orang. Peningkatan ini membuktikan penggunaan kaedah permainan dan lakonan dalam
menerapkan adab-adab bercakap adalah suatu kaedah yang berkesan dan berjaya menarik
tumpuan dan fokus murid.

Aspek terakhir iaitu kelakuan murid yang tertib dan sopan sewaktu hendak bertanyakan
sesuatu kepada guru juga menunjukkan peningkatan yang amat memberangsangkan daripada 2
kepada 6 orang. Kesemua peserta kajian telah mempamerkan tingkah laku yang positif dan sopan di
dalam kelas terutamanya sewaktu hendak bertanyakan soalan kepada guru atau sewaktu meminta
izin untuk keluar dari kelas.

Kesimpulannya, kesemua peserta kajian menunjukkan peningkatan yang amat memuaskan


berdasarkan 9 aspek pemerhatian yang telah dijalankan. Aspek-aspek tingkah laku positif yang tidak
ditunjukkan oleh murid pada Pemerhatian 1 telah mula diaplikasi oleh majoriti peserta kajian pada
minggu kedua dan ketiga kajian dijalankan.

6.3 Soal Selidik

Instrumen soal selidik digunakan untuk menjawab persoalan kajian yang kedua. Bagi
memudahkan lagi analisis data dilakukan, Jadual 2 telah dihasilkan. Berikut merupakan Jadual 2:
Perbezaan min antara penggunaan kaedah penerangan dengan penggunaan “PuzzLak” bagi item
soal selidik.

Jadual 13
Perbezaan min antara penggunaan kaedah penerangan dengan penggunaan “PuzzLak” bagi item
soal selidik

Bil. Pernyataan Min Perbezaan


Sebelum Selepas Min
penggunaan penggunaan
“PuzzLak” “PuzzLak”
1. Saya berminat untuk belajar tentang adab. 3.33 4.83 1.50
2. Saya suka mendengar rakan-rakan saya 3.83 4.83 1.0
bercakap dengan sopan apabila berbual
dengan saya.
3. Saya berminat untuk belajar berkenaan adab 3.50 4.50 1.0
bercakap.
4. Saya tidak sabar untuk belajar adab-adab 3.33 4.50 1.17

9
yang lain.
5. Saya tidak lagi malas dan bosan untuk 3.50 4.50 1.0
mempelajari bidang adab.
6. Saya suka memberi salam kepada keluarga 3.33 4.67 1.34
sebelum keluar dan sebelum masuk ke dalam
rumah.
7. Saya suka menegur orang yang lebih tua 3.50 4.67 1.17
dengan bertanya khabar & memberi ucapan
yang sopan.
8. Saya suka memberi salam apabila bertemu 3.0 4.50 1.50
rakan-rakan di sekolah.
9. Saya suka memberi salam kepada guru atau 3.33 5.0 1.67
orang yang lebih tua apabila bertemu mereka.
10. Saya suka mengucapkan selamat pagi atau 3.20 5.0 1.80
petang kepada guru yang bukan Islam apabila
bertemu mereka.

Berdasarkan Jadual 2 di atas, pernyataan 1 bagi kaedah pengajaran sebelum penggunaan


“PuzzLak” menunjukkan jumlah min 3.33 manakala min bagi sesi pengajaran selepas penggunaan
“PuzzLak” adalah 4.83 dan perbezaan min adalah1.50. Keputusan ini menunjukkan bahawa murid
lebih berminat untuk belajar tentang adab selepas penggunaan intervensi. Pada pernyataan 2 pula,
min bagi sesi pengajaran sebelum penggunaan “PuzzLak” adalah 3.83 manakala jumlah min selepas
penggunaan “PuzzLak” adalah 4.83 dan perbezaan min adalah 1.0. Perbezaan ini menunjukkan
peningkatan minat murid untuk mendengar pertuturan yang sopan sewaktu berinteraksi dengan
rakan-rakan mereka.

Pernyataan 3 juga menunjukkan perbezaan min iaitu 3.50 pada sesi pengajaran tanpa
penggunaan “PuzzLak” dan 4.50 selepas “PuzzLak” diaplikasikan. Perbezaan min adalah 1.0 dan ini
menunjukkan minat murid untuk belajar berkenaan adab bercakap semakin bertambah selepas
intervensi dilaksanakan. Bagi pernyataan 4, jumlah min untuk kaedah pengajaran sebelum
penggunaan “PuzzLak” adalah 3.33 manakala jumlah min selepas intervensi “PuzzLak” dilaksanakan
adalah 4.50 dan perbezaan min adalah 1.17. Hal ini membuktikan keinginan murid untuk belajar
berkenaan tajuk-tajuk di dalam bidang adab adalah semakin meningkat.

Pernyataan 5 menunjukkan jumlah min pada sesi pengajaran dan pembelajaran tanpa
penggunaan “PuzzLak” adalah 3.50 manakala selepas “PuzzLak” diaplikasikan, jumlah min adalah
4.50. Ini membuktikan peningkatan yang positif apabila jumlah min selepas penggunaan “PuzzLak”
meningkat sebanyak 1.0. Pernyataan 6 pula menunjukkan perbezaan jumlah min 1.34. Perbezaan ini
terhasil daripada jumlah min sewaktu sesi pengajaran dan pembelajaran sebelum intervensi
dilaksanakan iaitu 3.33 dan jumlah min selepas intervensi dilaksanakan iaitu 4.67. Hal ini

10
membuktikan peserta kajian kini semakin suka memberi salam kepada keluarga sebelum keluar dan
sebelum masuk ke dalam rumah berbanding sebelum ini.

Pada pernyataan 7, jumlah min bagi sesi pengajaran dan pembelajaran sebelum
pelaksanaan intervensi adalah 3.50 manakala jumlah min selepas pelaksanaan intervensi adalah
4.67 dan perbezaan jumlah min adalah 1.17. Perbezaan ini membuktikan bahawa peserta kajian kini
semakin suka untuk menegur orang yang lebih tua daripada mereka apabila bertemu. Begitu juga
dengan pernyataan 8, murid-murid mendapat jumlah min sebanyak 3.0 sebelum aplikasi “PuzzLak”
dilaksanakan manakala selepas aplikasi “PuzzLak” dilaksanakan, murid-murid ini mendapat jumlah
min sebanyak 4.50. Oleh itu, perbezaan min pada pernyataan ini adalah 1.50 dan ini membuktikan
bahawa peserta kajian kini semakin suka memberi salam apabila bertemu rakan-rakan di sekolah.

Untuk pernyataan 9 pula, jumlah min bagi sesi pengajaran dan pembelajaran sebelum
pelaksanaan intervensi adalah 3.33 manakala jumlah min selepas pelaksanaan intervensi adalah 5.0
dan perbezaan jumlah min adalah 1.67. Perbezaan jumlah min ini jelas menunjukkan bahawa
peserta kajian kini lebih kerap dan suka memberi salam kepada guru atau orang yang lebih tua
apabila bertemu mereka. Bagi pernyataan terakhir iaitu pernyataan 10 pula menunjukkan perbezaan
jumlah min terbesar iaitu 1.80. Perbezaan ini terhasil daripada jumlah min sewaktu sesi pengajaran
dan pembelajaran sebelum intervensi dilaksanakan iaitu 3.20 dan jumlah min selepas intervensi
dilaksanakan iaitu 5.0. Hal ini membuktikan peserta kajian kini lebih selesa dan suka untuk
mengucapkan selamat pagi atau petang kepada guru yang bukan Islam apabila bertemu mereka.
Kesimpulan daripada hasil perbezaan min soal selidik 1 dan 2 ini dapatlah dirumuskan
bahawa peserta kajian semakin berminat untuk mempelajari malah mengaplikasikan adab-adab
bercakap dalam kehidupan seharian mereka. Hasil daripada intervensi “PuzzLak” yang telah
dilaksanakan juga, peserta kajian semakin selesa dan seronok dalam mengamalkan adab bercakap
menurut Islam serta tidak lagi bosan untuk mempelajari bidang adab seperti sebelum ini.

7.0 PERBINCANGAN DAN REFLEKSI

7.1 Dapatan Kajian

Dapatan kajian yang diperoleh daripada ketiga-tiga instrumen pengumpulan data yang
digunakan menunjukkan hasil yang sangat positif dan memberangsangkan. Kebolehan peserta
kajian dalam melakukan adab bercakap yang sesuai mengikut situasi dilihat sebagai batu loncatan
yang dapat membantu mereka untuk mengaplikasi adab-adab bercakap dalam kehidupan seharian
dengan lebih baik.

Daripada analisis keseluruhan data bagi instrumen yang digunakan iaitu Lembaran Kerja 1
dan 2 serta pemerhatian menunjukkan bahawa kesan penggunaan “PuzzLak” ini dapat membantu

11
murid dalam meningkatkan kebolehan mereka melakukan adab bercakap yang sesuai mengikut
situasi seterusnya mengaplikasikannya dalam kehidupan harian.

Selain itu, melalui instrumen soal selidik pula saya mendapati bahawa berlakunya perubahan
yang positif di mana murid-murid lebih berminat untuk melakukan adab bercakap samada sewaktu
P&P mahupun dalam kehidupan sebenar mereka. Oleh itu, dapatan kajian ini telah menunjukkan
bahawa intervensi yang dijalankan berjaya menjawab kedua-dua persoalan kajian seterusnya
mencapai objektif kajian yang telah ditetapkan.

7.2 Refleksi

Penggunaan “PuzzLak” telah banyak membantu peserta kajian meningkatkan kebolehan


melakukan adab bercakap yang betul mengikut situasi. Walaupun pada permulaannya peserta kajian
agak kekok dan malu untuk melakonkan adab bercakap, namun setelah beberapa kali melakukannya
bersama-sama rakan, peserta kajian mampu melakukannya dengan baik tanpa bantuan saya.
Kesemua peserta kajian telah menunjukkan peningkatan dalam pencapaian pada setiap kali aktiviti
dijalankan dan melalui lembaran kerja yang diedarkan kepada mereka. Prosedur pelaksanaan
“PuzzLak” yang mudah dan teratur meningkatkan lagi keberkesanannya terhadap prestasi peserta
kajian.

8.0 CADANGAN KAJIAN SETERUSNYA

Dalam kajian akan datang, saya berhasrat untuk memperkembangkan lagi kajian ini pada
peringkat yang lebih luas. Hal ini berdasarkan kesan positif yang dapat dilihat daripada perubahan
yang berlaku kepada peserta kajian khususnya dalam perubahan tingkah laku berkenaan adab
bercakap seharian mereka. Oleh itu, pada kajian yang seterusnya, saya ingin menerapkan aplikasi
“PuzzLak” ini kepada tajuk-tajuk adab yang lain. Ini kerana saya ingin murid-murid saya berjaya
menguasai bidang adab secara keseluruhannya dengan menggunakan kelebihan daripada intervensi
ini.

Saya juga mencadangkan agar kajian ini dilanjutkan dengan lebih meluas dalam proses P&P
Pendidikan Islam yang lain seperti Akidah, Ibadah dan Sirah. Ini kerana murid-murid kini lebih
berminat terhadap unsur-unsur hands on dan hiburan seperti kaedah permainan dan lakonan ini.

Selain itu, saya juga bercadang untuk berkongsi aplikasi “PuzzLak” ini kepada semua guru di
sekolah tidak kira bidang dan mata pelajaran yang diajar. Dengan adanya pendedahan sebegini
secara tidak langsung akan meningkatkan pengetahuan guru untuk menggunakan teknik baru
semasa menjalankan pengajaran dan pembelajaran di kelas.

12
9.0 SENARAI RUJUKAN

Abdullah Ishak. (1989). Sejarah Perkembangan Pelajaran dan Pendidikan Islam. Kuala Lumpur : Al-
Rahmaniah, Badan Dakwah dan Kebajikan Malaysia.

Ahmad Mohd Salleh. (2008). Pengajian Agama Islam & j-QAF: Metodologi dan Pedagogi Pendidikan.
Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Choong Lean Keow. (2011). Murid dan Alam Belajar Edisi Ke-2. Kuala Lumpur : Kumpulan Budiman
Sdn. Bhd.

Rosinah Edinin. (2012). Penyelidikan Tindakan:  Kaedah Dan Penulisan. Kuala Lumpur : Freemind
Horizons.

Standard Jemaah Nazir. (2004). Standard Kualiti Pendidikan Malaysia-Sekolah. Putrajaya :


Kementerian Pelajaran Malaysia.

13

You might also like