You are on page 1of 2

Metodologi

Kajian tinjauan kuantitatif digunakan bagi membolehkan kajian mengenal pasti


perbezaan kesan kolaborasi terhadap ibu bapa murid pendengaran di kawasan bandar dan
luar bandar.
Populasi kajian adalah ibu bapa yang mempunyai anak-anak kategori pendengaran
yang mengikuti pembelajaran di peringkat prasekolah dan kelas pengukuhan di Sekolah
Pendidikan Khas (SPK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) atau Program
Pendidikan Inklusif di seluruh Malaysia. Kajian ini akan menggunakan persampelan
bertujuan kerana kaedah persampelan ini akan terus betumpu kepada ciri-ciri tertentu dan
sesuai dengan penyelidikan yang dijalankan. Seramai 30 orang ibu dan bapa akan terlibat
dalam dapatan kajian ini.
Instrumen kajian yang akan digunakan dalam kajian ini adalah soal selidik yang
diadaptasi daripada instrumen soal selidik CECI-C(r) yang dibina oleh T. Kyarkanaye (2016)
kerana bertepatan dengan konteks kajian ini. Semua item dalam lima skala likert. Data dalam
kajian ini akan dianalisis dengan menggunakan statistik deskriptif dan inferensi menerusi
perisian Statistical Package for the Social Science (SPSS) versi 22.0. Abbott & Brodens
(2005) mengutarakan pendapat mereka bahawa statistik deskriptif dapat membantu
penyelidik untuk membuat kategori dan menggambarkan sesuatu data manakala statistik
inferensi dapat membantu penyelidik untuk membuat kesimpulan hasil daripada dapatan
kajian. Statistik deskriptif melalui teknik taburan kekerapan dan peratusan digunakan untuk
meneliti taburan demografi responden kajian seperti umur ibu bapa atau penjaga, bangsa,
bilangan anak dalam isi rumah, bahasa pertuturan di rumah, tahap pendidikan, status
pekerjaan dan kawasan tempat tinggal sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.
Selain itu, min dan sisihan piawai turut digunakan bagi menjawab persoalan kajian 1
dan 2 iaitu mengukur tahap kefahaman responden berkaitan kolaborasi dan kesan kolaborasi
dalam intervensi awal murid pendengaran terhadap ibu bapa murid pendengaran. Statistik
inferensi iaitu ujian taburan t (t-test) pula digunakan untuk menjawab persoalan kajian 3
untuk mengkaji perbezaan kesan kolaborasi dalam intervensi awal murid pendengaran
terhadap ibu bapa di kawasan bandar dan luar bandar.
Kajian rintis digunakan untuk menguji kesahan dan kebolehpercayaan instrumen
kajian. Ini kerana, kualiti instrumen kajian akan menentukan nilai sesuatu penyelidikan
secara keseluruhan (Suaibah et al. 2007). Oleh yang demikian, kajian rintis perlu dijalankan
sebelum melaksanakan kajian sebenar di lapangan untuk menjamin ketekalan kajian dengan
interpretasi pekali alpha yang konsisten. Ini selaras dengan kenyataan Mohd Majid (2000)
iaitu tujuan kajian rintis dilaksanakan adalah untuk mengetahui kesesuaian dan ketetapan
soalan.

You might also like