You are on page 1of 5

KELEBIHAN PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH (PBS) YANG TERDAPAT DALAM

KSSR

Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan secara berperingkat bermula


pada awal tahun 2011 adalah transformasi dilakukan Kementerian Pelajaran bagi memastikan
sistem pendidikan negara dapat melahirkan modal insan yang berkesan. Sistem PBS juga
adalah salah satu usaha membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan
penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan
pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi. Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS)
merupakan penambahbaikan bagi sistem peperiksaan yang sedia ada iaitu UPSR dan PMR.
Sistem pentaksiran yang baru ini telah dirangka dan disusun secara sistematik oleh lembaga
peperiksaan Kementerian Pelajaran Malaysia yang mana terdapat buku panduan pengurusan
dan pengendalian pentaksiran berasaskan sekolah yang boleh dijadikan panduan untuk
mengoperasikan PBS di sekolah rendah dan menengah.

Konsep Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu pentaksiran yang


bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan
psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum
Standard Sekolah Rendah (KSSR). Komponen-komponen PBS terbahagi kepada dua bidang
iaitu mentaksir bidang akademik dan bukan akademik yang mana bidang akademik terdiri
daripada Pentaksiran Sekolah (PS) dan Pentaksiran Pusat (PP), manakala bidang bukan
akademik terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani,
Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Kedua-dua bidang ini memberi pengiktirafan dan autonomi
kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif dan sumatif yang berasaskan sekolah.

Antara kelebihan PBS Salah ialah pentaksiran ini tidak membandingkan pencapaian
seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan
menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid tersebut dalam pembelajaran
berdasarkan pernyataan standard. Justeru, murid-murid akan dinilai secara adil dan saksama
sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan
potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Malahan, pihak sekolah juga mampu
mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang
merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang
bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak
didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada
pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing. Selain
itu, Standard Prestasi juga boleh dijadikan kayu ukur standard pendidikan negara dan sebagai
alat untuk membandingkan dengan standard pendidikan negara lain.

Selain itu, seperti yang telah dinyatakan bahawa konsep Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) juga menyediakan pentaksiran bagi menilai murid-murid tidak hanya di dalam
bidang akademik malah terdapat pentaksiran yang dirangka untuk melihat penglibatan murid-
murid di dalam bidang sukan dan kemahiran-kemahiran yang lain. Komponen pentaksiran
tersebut terdiri daripada Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Aktiviti Jasmani,
Sukan dan Kokurikulum (PAJSK). Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum
(PAJSK) adalah sebagai panduan untuk menilai aktiviti fizikal dan kesihatan, mengukur
penyertaan, penglibatan, prestasi murid dalam pelbagai aktiviti sukan, kokurikulum dan
ekstrakurikulum (extra-curricular). PAJSK memerlukan murid melibatkan diri dalam aktiviti
bukan akademik sama ada di dalam atau di luar bilik darjah mengikut keupayaan murid dan
dibangunkan untuk melengkapi sistem pentaksiran pendidikan di Malaysia supaya lebih holistik
dan bersepadu. Ia juga sejajar dengan konsep Satu Murid Satu Sukan (1M1S), pembangunan
modal insan dan perkembangan potensi murid dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan
sosial (JERIS) seperti yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Walaupun ujian bertulis masih lagi dilaksanakan seperti dulu, proses penilaian KSSR
amat mengambil kira kemahiran insaniah dan kebolehan bakat yang ditonjolkan murid dalam
kelas. Oleh sebab sebahagian proses penilaian ini dilakukan oleh pihak sekolah, murid akan
sentiasa berusaha untuk bersaing dengan rakan lain untuk menunjukkan prestasi yang terbaik
di samping meningkatkan pencapaian mereka. Mereka akan sentiasa berasa tercabar dengan
kehebatan pencapaian rakan-rakan yang lain. Mereka akan bersaing dengan murid lain untuk
menunjukkan prestasi yang terbaik di samping meningkatkan pencapaian mereka.

Murid-murid juga tidak akan menjadi terlalu tertekan sekiranya mereka kurang
menguasai sesuatu teori atau fakta yang diberikan oleh guru mereka di dalam kelas, akan
tetapi, mereka dapat menggunakan teori tersebut sebagai panduan dalam mengerjakan
sesuatu amali berdasarkan kebolehan, kemampuan dan bakat mereka terhadap sesuatu
perkara yang semulajadi ada dalam diri mereka. Murid-murid juga akan dapat
mengeksploitasikan diri mereka menjadi lebih berdaya kritis dan kreatif kerana mereka dapat
melakukan sesuatu yang mereka minati secara menyeluruh dan tidak tersekat dengan apa
yang ditetapkan untuk mereka oleh guru sahaja. Setiap individu akan mempunyai minat dan
penguasaan yang menyeluruh dan lebih terhadap sesuatu yang mereka sukai dan gemari dan
ini akan menjadikan murid lebih bertenaga dalam melaksanakan sesuatu kerja atau tugasan
yang diberikan.

Hal ini dapat memberikan keupayaan kepada murid untuk melakukan sesuatu yang baru
bagi mereka dari segi konsep dan pengetahuan sedia ada yang mana pada masa yang sama,
secara tidak langsung, ianya juga memberi peluang yang luas buat murid-murid untuk
memperoleh ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam pelbagai bentuk yang boleh diukur
melalui bahan standard pembelajaran yang telah ditetapkan.

Tambahan pula, segala perkembangan murid dapat dipantau apabila hasil kerja mereka
termasuk ujian dan peperiksaan disimpan dalam portfolio. Dokumen ini merekodkan kegiatan
dan pencapaian murid sepanjang sesi persekolahannya untuk rujukan guru dan ibu bapa dan
turut membolehkan semua pihak termasuk ibu bapa menilai perkembangan pembelajaran anak
dengan tepat, mengesan kekuatan atau kelemahan murid secara berterusan serta mengenal
pasti bakat dan minat murid. Melalui pendekatan baru ini, ia membolehkan guru menilai murid
dengan lebih berkesan menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan tahap
penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam secara teratur.

Setiap band memiliki penilaian bermula band satu bermaksud murid tahu, band dua
(tahu dan faham), band tiga (tahu, faham dan boleh buat), band empat (tahu, faham dan boleh
buat dengan beradab), band lima (tahu, faham dan boleh buat dengan beradab terpuji) serta
band enam (murid tahu, faham dan boleh buat dengan beradab mithali. Band satu merupakan
peringkat paling asas dan menjadi kayu ukur sama ada murid berjaya menguasai sukatan
pembelajaran atau tidak sebelum beralih ke band berikutnya. Hal ini juga memudahkan dan
memberi ruang kepada para guru untuk menyemak rekod pembelajaran murid serta
mengetahui kelemahan setiap mereka dan cara-cara mengatasi kelemahan mereka dengan
cara yang berkesan. Hal ini dapat diibaratkan seperti sesuatu perindustrian. Sesebuah
perindustrian biasanya akan ada satu standard yang perlu dicapai. Sebagai contoh, dalam
pembuatan kereta Proton akan ada standard dalam pemasangan bahagian-bahagian kereta
yang perlu dicapai. Begitu juga dalam KSSR , yang mana pihak kementerian ingin mewujudkan
satu standard yang perlu pelajar dicapai dalam sesi pembelajaran terutamanya dalam sudut
perkembangan murid-murid.
Semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) baru-baru ini, kami telah
menemu bual seorang guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan di Sekolah Kampong Raja iaitu
Pn.Zaiton Binti Mohd Yusof. Semasa sesi temubual tersebut telah menyatakan beberapa
kelebihan mengenai Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dalam KSSR. Antara yang
dinyatakan ialah :

 Mendidik guru berintegriti.


 Mudah merujuk pencapaian murid.
 Memberi makna kepada gred pelajar.
 Menunjukkan pertumbuhan murid dalam pnp.
 Taburan markah / gred tidak ditetapkan.
 Tidak membanding bezakan murid dengan gred.
 Tiada had peratusan murid untuk mencapai standard.
 Ia dilaksanakan sepanjang tahun sewaktu pnp dijalankan.
 Pentaksiran menyeluruh jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Beliau menerima baik pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) ini dan
mengharapkan kita mampu melahirkan murid yang lebih cemerlang dalam semua aspek kerana
pentaksiran telah dilakukan daripada peringkat awal dan bukan sahaja terhad kepada bidang
akademik tetapi juga merangkumi sahsiah, sukan dan kokurikulum.

Justeru, setiap individu yang terlibat dalam pembangunan atau pelaksanaan sistem
pentaksiran pendidikan adalah bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang
dikendalikan. Kualiti hendaklah menjadi tumpuan utama dalam semua aspek dan peringkat
pentaksiran. Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan
menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Maklumat yang tepat boleh
membantu pembuat dan penentu dasar melakukan perubahan bagi tujuan meningkatkan
pengajaran dan pembelajaran. Maka dengan itu, kementerian pelajaran juga telah bersiap sedia
menyediakan indikator atau petunjuk utama bagi penjaminan kualiti dalam Pentaksiran
Berasakan Sekolah ini iaitu kesahan, kebolehpercayaan, kebolehtadbiran dan keadilan.
Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS pula dapat dicapai melalui proses pementoran,
penyelarasan, pemantauan dan pengesanan.

Selain daripada itu, pihak kementerian pelajaran juga telah menyediakan beberapa
langkah untuk mengkaji kelemahan dan kebaikan perlaksanaan system PBS ini. Antaranya
ialah menyediakan sebuah portal rasmi maklumat berkaitan PBS yang terkandung di dalamnya
sebuah kajian soal selidik mengenai tahap kesediaan guru melaksanakan PBS. Kajian soal
selidik tersebut wajib diisi oleh guru-guru tahun satu, dua, tiga dan tingkatan satu. Ianya
bertujuan untuk mendapatkan maklumat kesediaan guru dan dapatan soal selidik tersebut
dapat membantu Kementerian Pelajaran Malaysia merangka pelan tindakan penambahbaikan
pelaksanaan PBS.

Tuntasnya, jelas terbukti bahawa Pentaksiran Berasaskan Sekolah ini telah dirangka
dengan sempurna dan tersusun bagi meningkat dan menjamin mutu pendidikan negara pada
masa akan datang. Apa yang penting, setiap perancangan rapi yang telah disusun haruslah
berakhir dengan perlaksanaan yang sempurna. Maka PBS ini jika dilaksanakan dengan baik
dan terancang, serta mendapat kerjasama yang jitu daripada semua pihak yang terlibat, ianya
bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis di sekolah untuk perkembangan individu dan
pada masa yang sama memberi banyak manfaat serta mampu mengurangkan masalah gejala
sosial yang berlaku pada masa sekarang ini selain memberi transformasi yang positif terhadap
pendidikan di Malaysia.

You might also like