You are on page 1of 5

KEINDAHAN DAN KEHIJAUAN FLORA

Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini, kebanyakan
masyarakat masih kurang kesedaran tentang pentingnya alam sekitar kerana terleka
dengan perkembangan yang palsu dalam talian. Isu kemerosotan alam sekitar kerap
kali terpampang di dada-dada akhbar yang menyebabkan bencana alam seperti banjir
dan tanah runtuh berlaku sehingga mampu meragut nyawa seseorang. Statistik yang
sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara
(JPSPN) menjelang pada tahun 2022 menunjukkan bahawa anggaran sebanyak 14
juta tan sampah akan dikutip pada tahun ini. Hal ini berpunca daripada kurangnya
kesedaran masyarakat terhadap kepentingan alam sekitar sehingga tidak memelihara
kecantikan semula jadi yang sudah wujud sejak dahulu. Antara punca berlakunya
kemusnahan alam sekitar ialah masyarakat tidak mempunyai sikap
bertanggungjawab dan memandang remeh terhadap keadaan alam sekitar yang
semakin merosot. Persoalannya, apakah kesan-kesan buruk yang akan berlaku
kepada alam sekitar dan langkah-langkah untuk meningkatkan kesedaran alam
sekitar kepada masyarakat?

Pada realitinya memang tidak dinafikan bahawa dengan kurangnya kesedaran alam
sekitar mampu menyebabkan pencemaran udara berlaku dan menyebabkan lapisan
ozon akan menipis sekiranya masyarakat hanya memandang enteng tentang
kebakaran atau kemusnahan flora secara tidak terkawal. Hal ini berpunca daripada
masyarakat tidak mempunyai rasa cinta akan keindahan semula jadi . Misalnya,
sesetengah masyarakat yang mempunyai sifat ketamakan dalam perindustrian juga
melakukan pembalakan secara haram dan membakarnya secara terbuka tanpa rasa
bersalah. Persis peribahasa bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-
masing. Oleh itu, pembebasan gas karbon monoksida dan karbon dioksida melalui
pembakaran boleh mencemarkan udara dan menipiskan lapisan ozon. Tambahan
pula, kualiti udara yang tidak bersih mampu menjejaskan sistem pernafasan
seseorang sehingga mencetuskan simptom asma dan penyakit paru-paru. Sudah
terang lagi bersuluh, pencemaran udara akan berlaku sekiranya segelintir masyarakat
hanya mementingkan diri sendiri dan keuntungan semata-mata sehingga
merosakkan alam sekitar bahkan menjejaskan kesihatan individu.

Dalam pada itu, pencemaran air dan tanah akan berlaku kerana perbuatan
sesetengah masyarakat di tempat itu sendiri sehingga menyebabkan tanah menjadi
tidak subur. Hal ini berlaku kerana mereka hanya menjalankan rutin harian tanpa
mengetahui kesan kepada alam sekitar. Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang
diketengahkan ialah masyarakat yang tidak bertanggungjawab akan membuang
sampah sarap atau sisa toksik yang menghakis ke tempat yang tidak sepatutnya
seperti sungai dan laut sehingga menjejaskan kesuburan tanah dan kemusnahan
ekosistem akuatik. Sebagaimana yang kita sedia maklum, air merupakan sumber
penting kepada semua masyarakat untuk menjalankan aktiviti penanaman dan
pertanian bagi meneruskan kelangsungan hidup. Dengan kata lain, tumbuhan juga
akan cepat layu akibat daripada tanah yang tidak subur sehingga mengalami
kekeringan lalu terjadinya tanah runtuh. Oleh itu, kita perlulah menjadi masyarakat
yang bertanggungjawab bertepatan dengan aforisme sakit sama mengaduh, luka
sama menyiuk agar nikmat keindahan alam semula jadi dapat dipelihara dan
dilestarikan. Izharnya, jelaslah bahawa pencemaran air dan tanah akan berlaku jika
sesetengah individu tidak mengamalkan sikap bertanggungjawab persis peribahasa
lempar batu sembunyi tangan dan hanya membiarkannya menjadi semakin sirna.
Seterusnya, pelbagai pihak boleh mengambil inisiatif yang signifikan misalnya
ibu bapa boleh mengubah pemikiran anak-anak mereka sejak kecil lagi tentang
kepentingan alam sekitar kepada kehidupan lain. Hal ini tercetus apabila kebanyakan
generasi muda masih mempunyai pemikiran yang dangkal tentang alam sekitar .
Sebagai contoh, ibu bapa perlulah menggalakkan penglibatan anak- anak dalam
pelbagai kempen berkaitan alam sekitar yang dianjurkan oleh pihak kerajaan
ataupun sekolah. Persis mutiara kata anak anak bagaikan permata, selagi tidak
digilap selagi itu tidak bercahaya. Tambahan pula, ibu bapa bolehlah membawa
anak-anak mereka pada cuti sekolah untuk mengunjungi Taman Negara Endau,
Rompin di Johor kerana mempunyai banyak kehijauan alam semula jadi. Impaknya,
generasi muda akan lebih tertarik dengan keindahan dan kehijauan alam sekitar
sehingga wujud kesedaran dalam diri bahawa pentingnya memelihara alam sekitar.
Oleh itu, ibu bapa perlu memupuk kesedaran alam sekitar kepada anak- anak mereka
sejak kecil, bak kata mutiara ibu bapa suri teladan dan nakhoda dalam pelayaran.
Ringkasnya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang pragmatik dalam
meningkatkan kesedaran alam sekitar terhadap anak-anak sejak kecil lagi.

Sementalahan itu, pihak kerajaan juga perlu melakukan anjakan paradigma untuk
meningkatkan kesedaran alam sekitar terhadap golongan masyarakat yang masih
kurang kesedaran. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak kerajaan boleh
bersinergi dengan mana-mana media massa untuk menganjurkan kempen
bersempena alam sekitar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, pihak media massa
boleh menyebarkan dan menguar-uarkan Hari Kempen Alam Sekitar yang
dijalankan pada 21 Oktober pada setiap tahun melalui televisyen, radio atau akhbar.
Kesannya, semua golongan masyarakat akan dapat mengetahui betapa pentingnya
kewujudan alam sekitar yang terpelihara, bak kata mutiara hargailah harta yang
diwarisi kamu kerana kamu akan tercari -cari apabila sudah tiada. Memang tidak
dapat disangkal lagi bahawa pihak kerajaan turut memainkan obligasi yang prima
untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar kepada semua masyarakat.

Pada waktu yang sama, pihak sekolah juga mampu untuk meningkatkan kesedaran
alam sekitar kepada para pelajar dengan menubuhkan Kelab Alam Sekitar dalam
aktiviti kokurikulum. Hal ini dikatakan demikian kerana pelajar boleh mengetahui
tempat -tempat pemeliharaan alam sekitar di Malaysia. Misalnya, Kelab Alam
Sekitar boleh mengajurkan aktiviti-aktiviti yang boleh mendedahkan pelajar kepada
keindahan flora seperti mengadakan lawatan, gotong-royong atau penanaman
semula anak pokok di kawasan sekolah. Hal ini mengakibatkan ramai pelajar mula
timbul perasaan cinta terhadap kehijauan flora dan akan tertarik dengan aktiviti-
aktiviti yang berkaitan alam sekitar seperti peribahasa Melayu tak kenal maka tak
cinta. Akhirnya, jelaslah bahawa pihak sekolah memainkan peranan yang primer
untuk memupuk kesedaran menjaga alam sekitar kepada generasi muda.

Akhirulkalam, sudah terang lagi bersuluh bahawa isu pencemaran alam sekitar
seperti pencemaran udara air dan tanah akan berlaku jika sesetengah masyarakat
masih kurang kesedaran alam sekitar. Oleh itu, pelbagai pihak perlulah bekerjasama
seperti serumpun bak serai, sesusun bak sirih untuk menangani isu ini secara
bijaksana. Hal ini bertujuan untuk membendung masalah kemerosotan alam sekitar
yang kerap terjadi sejak kebelakangan ini. Sememangnya, sikap saling menuding
jari atau melihat kesalahan orang bukanlah satu jalan yang terbaik. Saya berharap
agar semua golongan masyarakat di negara ini seharusnya meluaskan horizon
pemikiran tentang betapa pentingnya alam sekitar untuk generasi seterusnya yang
akan meneruskan kelangsungan hidup dengan menggunakan sumber alam sekitar.
Hayatilah pantun di bawah:

Hari Ahad membeli mangga,

Membeli mangga di kedai Rara,

Flora dan fauna harus dijaga,

Diri bahagia negara terpelihara.

(999 patah perkataaan)

You might also like