You are on page 1of 14

Vol. 3, No.

4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

PATRIOTISME DAN SEJARAH DALAM CERPEN NAZEL HASHIM


DAN ISMAIL SARBINI: SATU PERBANDINGAN

[PATRIOTISM AND HISTORY IN THE STORY OF NAZEL HASHIM


AND ISMAIL SARBINI: A COMPARISON]
1 ZUL FADLI MOHD KAMAL
aliibnukamal91@gmail.com
*1SHAIFUL BAHRI MD RADZI
sbmr@ukm.edu.my

1
Pusat Pengajian Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (BITARA MELAYU)
Universiti Kebangsaan Malaysia,
43600 UKM Bangi, Selangor Malaysia

*Corresponding Author

ABSTRACT

This nation has achieved independence for 63 years. The multicultural and multiracial people have
lived together in peace and harmony especially after the 13th of May 1969 event. This particular date
is a tragedy and a dark day which is scarred in the history of this country’s history. This bloody
tragedy is an unfortunate event for Malaysia. This event has indirectly opened the people’s eyes to
appreciate the unity that has been achieved. As a true Malaysia, basic knowledge and education about
unity has to be passed down to the younger generation. The introduction of the early days warriors
particularly in Sabah is an example of history learning that should be taught in order to preserve the
value of the fighting spirit. These warriors can be raised as heroes and idols for eternity to increase
teenagers’ love for the nation. Therefore, to ensure that the spirit is forever engraved in our hearts,
the ‘Rukun Negara’ was made as a symbol to portray the element of history. Kesetiaan Kepada Raja
dan Negara is the most important element that connects patriotisme and unity. Based on ‘Rukun
Negara’, a variety of approaches have been taken to strengthen it, and one of them is the writing of
short stories. Among the pioneers of well-known short stories that bring out the value of unity in their
writings are Nazel Hashim and Ismail Sarbini. Although both of these writers bring out the value of
unity in their writings, there are differences in terms of their type stories. That is why this research
focuses on the differences of patriotic symbol used to showcase the value of unity in their own
writings especially through the second Rukun Negara. In conclusion, the value of unity brought by
both of these authors through their writings has the ability to shape the personalities of teenagers
through the writings of history and patriotism.

Keywords: Short stories of unity, patriotism, history, national unity, rukun negara.

ABSTRAK

Kemerdekaan negara sudah dicapai selama 63 tahun. Rakyat yang terdiri daripada berbilang bangsa,
adat dan budaya telah hidup secara aman dan damai terutamanya selepas peristiwa 13 Mei 1969.
Tarikh keramat tersebut merupakan suatu tragedi dan titik hitam yang terpahat kukuh dalam lipatan
sejarah negara. Tragedi berdarah ini merupakan peristiwa malang yang menggemparkan negara

17
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

Malaysia. Peristiwa tersebut secara tidak langsung telah memberi kesedaran kepada rakyat negara ini
untuk menghargai perpaduan yang telah dikecapi. Sebagai anak jati Malaysia pengetahuan dan
pendidikan asas mengenai perpaduan seharusnya diberikan kepada anak-anak muda. Pengenalan
terhadap tokoh-tokoh pejuang terdahulu terutamanya di Sabah merupakan satu bentuk pembelajaran
sejarah yang harus diberikan supaya nilai perjuangan itu tidak hilang. Tokoh-tokoh perjuangan
tersebut mampu diangkat sebagai hero dan idola sepanjang zaman untuk membangkitkan lagi
semangat cinta akan tanah air dalam diri remaja. Oleh itu, bagi memastikan semangat tersebut
sentiasa terpahat dalam diri, platform ‘Rukun Negara’ dijadikan sebagai satu simbolik untuk
menyampaikan elemen sejarah. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara merupakan elemen terpenting
untuk mengaitkan semangat patriotisme dengan perpaduan. Berdasarkan ‘Rukun Negara’ tersebut
pelbagai pendekatan telah dilakukan untuk memperkasakannya yang antaranya melalui penulisan
cerpen. Antara pelopor cerpen popular yang banyak menonjolkan unsur perpaduan melalui karya
ialah Nazel Hashim dan Ismail Sarbini. Walaupun kedua-dua penulis ini menonjolkan unsur
perpaduan dalam penulisan mereka, namun begitu wujud perbezaan dari segi jenis-jenis ceritanya.
Oleh itu, kajian ini memfokuskan kepada perbezaan simbol patriotik untuk menunjukkan nilai
perpaduan yang ditonjolkan dalam karya masing-masing terutamanya melalui Rukun Negara yang
kedua. Secara kesimpulannya, unsur perpaduan yang disampaikan oleh kedua-dua penulis ini melalui
cerpennya mampu untuk membentuk sahsiah para remaja berdasarkan cerita sejarah dan patriotisme.

Kata kunci: Cerpen perpaduan, patriotik, sejarah, perpaduan nasional, rukun negara.

PENDAHULUAN

Kemegahan negara Malaysia sudah lama dikenali. Dalam tempoh 63 tahun merdeka, pelbagai
pembangunan dari sudut ekonomi, politik dan budaya telah berjaya dilaksanakan secara aman.
Ditambah pula negara yang rakyatnya terdiri daripada berbilang bangsa, kaum dan agama merupakan
satu kemajmukan yang berjaya dibawa ke mata dunia. Abdul Aziz A’zmi (2017), menjelaskan
bahawa kemajmukan tersebut merupakan kepelbagaian berasaskan identiti setiap etnik. Kepelbagaian
menjurus kepada perbezaan yang wujud dalam sesebuah masyarakat yang kemudiannya menjadi
cabaran kepada pembinaan identiti kebangsaan dan perpaduan nasional. Oleh itu, bagi
menghasilkan kemajmukan yang stabil kemakmuran harus dijaga dengan rapi. Melakar kemakmuran
negara tersebut, perpaduan berjaya di wujudkan antara kaum Melayu, Cina dan India. Menerusi
perpaduan tersebut, negara pada awalnya sangat aman dan tenteram sehinggalah satu percikan api
yang melibatkan sentimen kaum telah berlaku dalam negara. 13 Mei 1969 adalah tarikh keramat yang
tidak akan dilupakan oleh seluruh rakyat dalam negara. Peristiwa tersebut dikenali sebagai peristiwa
berdarah kerana telah berlaku rusuhan kaum antara Melayu dan Cina. Insiden ini berlaku adalah
kerana ketidakpuasan hati sewaktu pilihan raya umum. Segala bentuk provokasi dimulai dan tidak
tahu berpunca daripada siapa sehingga menyebabkan banyak berlakunya penderitaan oleh mereka
yang tidak bersalah ( Abdul Rahman Ibrahim 2011). Ekoran daripada peristiwa tersebut, keharmonian
negara mula retak dan rakyat mula hidup dalam ketakutan serta benci-membenci antara satu sama
lain. Kerajaan pada ketika itu mula mengambil langkah yang drastik untuk menstabilkan kembali
keadaan dengan mewujudkan ideologi Rukun Negara. Ideologi tersebut telah menjadi satu pegangan
politik baharu untuk memperbaiki dan menangani perasaan tidak puas hati antara etnik yang wujud
dalam kalangan masyarakat. Berdasarkan Ideologi tersebut, golongan penulis mula mengambil
kesempatan di atas dasar yang dibuat oleh kerajaan. Mereka mula berlumba-lumba menghasilkan

18
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

pelbagai karya untuk membantu kerajaan menyampaikan ideologi tersebut. Ramai penulis telah
muncul dan antara yang paling menyerlah pada ketika itu adalah Nazel Hashim dan Ismail Sarbini.
Mereka berdua berjaya menggunakan Rukun Negara sebagai tema utama dalam menghasilkan cerpen
dan Rukun Negara kedua telah diguna pakai oleh mereka untuk mewujudkan semangat patriotisme
supaya nilai perpaduan dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat.

SOROTAN KAJIAN

Kajian dan pandangan terhadap karya kreatif cerpen merupakan satu kajian yang telah banyak dikaji
oleh pengkaji-pengkaji sebelum ini. Kajian ke atas cerpen-cerpen dalam negara merupakan salah satu
kajian yang agak popular kerana terdapat banyak tokoh penulis seperti A. Samad Said, Usman
Awang, Ishak Haji Muhammad, S. Othman Kelantan, Muhammad Haji Salleh dan lain-lain lagi telah
dikaji oleh para pengkaji di Malaysia. Kajian terhadap cerpen terbahagi kepada beberapa jenis iaitu
cerpen umum dewasa, cerpen kanak-kanak dan remaja. Sebelum ini kajian terhadap cerpen umum
dewasa telah banyak dikaji, begitu juga dengan cerpen kanak-kanak dan remaja. Bezanya dalam
kajian ini, ketokohan Nazel Hashim dan Ismail Sarbini sebagai penulis remaja diambil kerana karya
cerpen mereka tidak ada lagi yang dilakukan secara terperinci. Kebanyakannya kajian yang ada
hanyalah menyentuh nama mereka sepintas lalu sahaja. Oleh itu, kajian perbandingan antara mereka
berdua akan dibuat melalui isu perpaduan dan sudut kepengarangan mereka.
Berdasarkan penelitian terhadap kajian cerpen dalam negara. Kajian pada awalnya banyak
membicarakan cerpen tentang semangat roh kenegaraan. Kajian tersebut merangkumi kajian umum
dan sebahagian cerpen tersebut adalah daripada cerpen-cerpen yang diterbitkan sebelum perang dunia
kedua. Pada tahun 1975, menerusi kajian Hashim Awang yang bertajuk cerpen-cerpen Melayu
sebelum Perang Dunia Kedua membicarakan tentang aspek tema dan struktur dalam cerpen. Hashim
Awang menerusi kajian tersebut menceritakan serba sedikit latar perkembangan cerpen Melayu dan
membuat perbincangan mengenai tema dari sudut moral, kebebasan sosial, pelajaran, nasionalisme
dan ekonomi. Dari sudut struktur pula beliau membicarakan plot, penokohan, latar, sudut pandangan
dan gaya bahasa. Kesemua aspek ini dibuat untuk menampakkan jenis penulisan karya di Tanah
Melayu dan sebahagian perbincangan ini Hashim Awang turut menjelaskan bagaimana bentuk awal
cerpen remaja.
Rentetan daripada itu terdapat pelbagai kajian terhadap bahan bacaan kanak-kanak dan
remaja yang telah dilakukan. Pada tahun 1978, Masari Hj. Abdul Rashid telah membuat satu kajian
tentang cerita kanak-kanak terpilih yang terdapat di dalam Dewan Sastera dari segi tema dan struktur.
Perbincangan menerusi tema dan struktur cerita kanak-kanak terpilih terbitan DBP dari tahun 1959
sehingga 1976 telah diambil sebagai contoh kajian. Dalam kajian tersebut nama penulis Ismail Sarbini
juga terlibat dalam penulisannya. Perbincangan perihal tentang peranan sastera di dalam kehidupan
kanak-kanak dalam proses pendidikan merupakan salah satu fokusnya. Nama dan karya Ismail
Sarbini yang terdapat dalam kajian beliau adalah sebahagian kecil sahaja dan ianya tidak
memfokuskan penulis itu sahaja tetapi bercampur dengan penulis-penulis lain.
Kajian seterusnya yang dijalankan adalah berkaitan dengan aspek buku kanak-kanak
berdasarkan buku-buku yang telah diterbitkan. Othman Puteh (1977), menjelaskan serba sedikit
tentang tinjauan ringkas mengenai tema dan struktur yang terdapat dalam bahan bacaan kanak-kanak.
Perbincangan mengenai novel dan cerpen kanak-kanak telah diambil sebagai contoh untuk
membicarakan tentang tema dan struktur yang menjadi pilihan para penulis kanak-kanak. Tema-tema

19
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

tentang pengembaraan, kepahlawanan, keluarga, sains fiksyen, detektif, dunia pelajar perempuan,
hubungan kaum, keagamaan, binatang dan seram menjadi pilihan para penulis kanak-kanak ketika
itu. Dari segi struktur pula, plot, watak/perwatakan, latar atau seting, sudut pandangan dan gaya
bahasa adalah bercirikan ke arah moden dan bersifat mudah untuk difahami. Menerusi kajian ini juga,
karya daripada Nazel Hashim Mohamad tidak terkecuali menjadi salah satu bahan kritikan beliau.
Selain itu, pada tahun 1985 Mariani Che Hanafi muncul dengan kajian beliau tentang cerpen-
cerpen Dewan Siswa 1979-1985. Tinjauan beliau adalah tentang pendekatan dan teknik dalam
cerpen-cerpen remaja. Dalam kajian tersebut, dibincangkan tentang golongan remaja dan pelajar-
pelajar sekolah menengah di tanah air. Jelasnya lagi, kemunculan Dewan Siswa pada 1979, telah
banyak membantu perkembangan genre sastera kreatif Malaysia, terutamanya dalam bidang cerpen
dan puisi remaja. Dalam kajian beliau, dapat dijelaskan tentang bagaimana penulis-penulis cerpen
Dewan Siswa 1979-1885 menggarap persoalan dan mengeksploit teknik-teknik penulisan cerpen
dalam usaha mencorakkan sebuah karya yang menarik dan dalam kajian ini juga ada menyentuh dan
berbincang tentang karya Ismail Sarbini. Dalam kajian tersebut, teknik-teknik penulisan cerita remaja
juga turut diolah seperti adanya teknik penulisan ke arah kemodenan dan unsur yang lain daripada
yang lain, contohnya sains dan teknologi, penyiasatan dan lain-lain lagi.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini merupakan sebuah kajian kualitatif yang memerlukan kepada teks dan pentafsiran. Oleh
itu kajian perpustakaan dan kajian lapangan akan dibuat. Kaedah ini digunakan kerana kajian ini amat
memerlukan penelitian terhadap bahan-bahan bacaan yang membicarakan isu tersebut dan antara
bahan bacaan yang ditekuni dalam proses menyiapkan kajian ini adalah tesis-tesis yang berkaitan,
artikel dalam jurnal, tulisan dalam beberapa kertas kerja yang telah dibentangkan, bab dalam buku,
karya-karya cerpen dan makalah akademik. Penelitian sebegini dilakukan supaya kajian yang
dijalankan berasas dan tidak bercanggah daripada fokus kajian. Penelitian dibuat terhadap bahan-
bahan bacaan tersebut berhubung dengan isu yang dikemukakan. Selain dari penelitian buku-buku,
kajian ini juga dibuat melalui sesi temu ramah dengan penulis itu sendiri dan keluarga penulis sambil
berbincang tentang karya penulis itu. Segala perbincangan yang dibuat akan direkodkan dan
didatakan dengan teliti. Berikut merupakan beberapa perkara yang penting dalam metodologi kajian
ini;

i. Mengutip dan mengumpul data cerpen remaja Nazel Hashim Mohamad dan Ismail
Sarbini. Segala data cerpen yang diperolehi akan dikumpul, dibaca dan ditafsirkan. Segala
bentuk nilai perpaduan yang terkandung seperti dinyatakan dalam Rukun Negara akan
dijelaskan satu persatu.

ii. Menemuramah penulis Nazel Hashim dan keluarga penulis arwah Ismail Sarbini bagi
mendapatkan lagi pengukuhan data-data cerpen yang ditulis oleh mereka. Seterusnya
dikumpulkan segala maklumat peribadi penulis dengan lebih terperinci bagi menjelaskan
pandangan penulis terhadap remaja. Di samping itu turut disentuh pandangan dan idea
dari penulis itu sendiri mengenai nilai sebenar ke atas karya yang ingin disampaikan oleh
mereka. Setelah menemu ramah pihak yang terlibat, perbandingan akan dibuat menerusi
karya-karya cerpen mereka.

20
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

iii. Mengenal pasti bahan bacaan untuk membuktikan penulisan cerpen mampu dijadikan
sebagai bacaan tambahan untuk tujuan pendidikan sahsiah remaja. Selain mengangkat
nilai-nilai murni dan moral yang terdapat dalam cerpen mereka berdua, kajian ini akan
merumuskan bagaimana keistimewaan dan perbezaan dua orang penulis ini menggunakan
isu perpaduan untuk menyampaikan pesanan dan dakwah melalui penulisan.

iv. Menganalisis data. Segala data cerpen yang diperolehi akan diolah dengan teliti dan dilihat
sejauh mana keberkesanan isu perpaduan yang digunakan itu membantu dalam proses
pembentukan sahsiah remaja. Selain itu, perbandingan ke atas dua orang penulis ini dibuat
adalah untuk mengenal pasti perbezaan mereka berdua mendidik remaja menerusi karya
sahaja. Karya mereka berdua mampu mengawal minda remaja sehingga golongan remaja
ini nampak keindahan perpaduan itu benar-benar wujud dalam dunia realiti.

Keseluruhan kajian menggunakan kaedah pengumpulan data kualitatif. Pemerhatian dan


penelitian dilakukan terhadap cerpen-cerpen yang telah disenaraikan. Proses analisis data dilakukan
selepas penelitian dibuat mengikut kaedah analisis data yang telah dipilih, seterusnya akan dikupas
dengan lebih terperinci. Seterusnya kajian ini juga akan dibandingkan di antara dua orang penulis
iaitu Ismail Sarbini dan Nazel Hashim. Perbandingan antara mereka berdua akan dibuat dengan teliti
dan akan diukur keistimewaan serta kekuatan mereka berdua dalam mendidik remaja melalui
penulisan kreatif cerpen Melayu.

DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN

BIBLOGRAFI PENULIS

Pada era 70-90-an, terdapat ramai penulis remaja muncul dengan fahaman perpaduan nasional.
Kemunculan mereka telah menjadikan dunia sastera Melayu bertambah lebih maju. Pada awalnya,
penulis remaja sebenarnya berasal daripada penulis kanak-kanak. Setelah penulisan remaja mendapat
tempat dalam kalangan masyarakat, status sastera kanak-kanak dan remaja telah dipecahkan dua pada
tahun 80-an. Walaupun kedua ini telah dipecahkan kepada dua fokus dan penyampaiannya adalah
sama sahaja iaitu untuk memberi pengajaran dan pembelajaran awal kepada generasi muda tentang
nilai-nilai murni. Proses pembelajaran ini amatlah penting untuk menjamin mereka di masa akan
datang. Kepentingan dan keperluan sastera kanak-kanak dan remaja ini telah menjadikan dua orang
penulis iaitu Nazel Hashim dan Ismail Sarbini mendapat tempat di dalam dunia sastera. Kedua penulis
ini sudah awal lagi menulis untuk generasi muda sehinggalah munculnya sastera remaja secara
khusus.
Penulis Nazel Hashim atau Pak Nazel yang namanya sebenar adalah Hashim Bin Mohamad
dilahirkan pada hari Khamis di Kampung Masjid, Port Swettenham (kini dikenali sebagai Pelabuhan
Klang) pada 23 April 1942, bersamaan 7 Rabiulawal 1361. Begitu juga dengan Ismail Sarbini, beliau
juga dilahirkan di Kampung Bukit Kapar Klang Selangor Darul Ehsan pada 5 Mei 1959. Kedua
mereka ini datang daripada keluarga yang susah, bapa Nazel Hashim merupakan seorang kelasi kapal
tunda Malayan Railway (Marine) manakala bapa Ismail Sarbini bekerja sebagai petani dan penoreh
getah di kawasan kampung Bukit Kapar. Dari sudut pendidikan, Nazel Hashim mendapat pendidikan
awal di Sekolah Melayu Port Swettenham dari tahun 1949 hingga awal 1952. Ismail Sarbini pula,
mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Binjai, Pekan Meru.
Kedua orang ini merupakan penulis yang berlatar belakangkan seorang guru. Sifat ingin
mendidik dan rasa tanggungjawab yang tinggi dalam diri telah menjadikan dua orang penulis ini mula

21
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

menulis untuk generasi muda menerusi karya cerpen. Penulisan yang dibuat oleh mereka sebenarnya
adalah untuk memberi pengajaran dan pembelajaran kepada golongan remaja apabila membaca
karya-karya kreatif seperti cerpen. Kesanggupan mereka menulis itu sedikit sebanyak telah
membantu remaja memahami sesuatu situasi yang baik atau buruk. Pada waktu yang sama, karya-
karya ciptaan mereka juga secara tidak langsung banyak menyentuh tentang perpaduan dan ia
bagaikan satu anugerah apabila kerajaan turut menegaskan bahawa masyarakat seharusnya sama-
sama membantu untuk menyebarkan makna perpaduan. Situasi tersebut telah berjaya direbut oleh
mereka dengan baik sekali kerana mendapat sokongan penuh dari pihak kerajaan.

CERPEN PERPADUAN NASIOANAL

Rahman Shaari (2001) menjelaskan cerpen merupakan singkatan daripada cerita pendek yang dapat
didefinisikan sebagai kisah rekaan relatif pendek yang dihasilkan dalam bentuk prosa dengan tujuan
untuk menghasilkan satu kesan utama yang mengandungi unsur dramatik. Menurut Othman Puteh
(1999), sesebuah cerpen biasanya mengandungi 500- 15,000 patah perkataan dan bentuknya lebih
jelas dengan susunan yang lebih kukuh. Cerpen mempunyai satu anekdot tersendiri yang ingin dicapai
terutamanya dalam plot. Selain plot, unsur lain seperti tema, watak, nada, mood, gaya bahasa dan
kesan merupakan elemen yang penting dalam penulisan sesebuah cerpen (Safian Hussain 1988). Oleh
itu, bagi menjelaskan lagi bentuk cerpen perpaduan, istilah perpaduan nasional seharusnya dikenal
pasti terlebih dahulu. Menurut Wan Hashim Wan Teh (1985), beliau mendefinisikan perpaduan
nasional sebagai satu bentuk proses pembinaan kesatuan daripada kumpulan-kumpulan masyarakat
berpecah belah untuk mewujudkan satu bangsa dalam sesebuah unit politik yang mengandungi
komuniti-komuniti yang mempunyai warisan tradisi dan sistem sosial yang berbeza. Kesatuan
tersebut perlu diatur dengan baik supaya kesemua pihak mendapat kepuasan yang adil supaya tidak
berlaku pertelingkahan, konflik dan rusuhan etnik.
Daripada kenyataan tersebut, dapat dirumuskan bahawa perpaduan nasional adalah satu
proses untuk menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui satu identiti bersama
dengan menyesuaikan perbezaan dan identiti masing-masing. Oleh itu, untuk melahirkan sebuah
cerpen yang mempunyai nilai perpaduan yang tinggi, ciri-ciri yang digambarkan dalam perpaduan
nasional seharusnya dipahat di dalam sesebuah karya yang ingin dikarang. Sehubungan dengan itu,
cerpen bertemakan perpaduan menjadi satu inisiatif yang boleh dilakukan bagi menentukan ukuran
nilai perpaduan. Tema perpaduan merupakan salah satu nilai penting dalam sejarah pembentukan
negara bangsa. Perpaduan ialah penyatuan, dan darjah serta jenis penyatuan yang dipamerkan
sesebuah masyarakat ataupun kumpulan dan jiran mereka. Ia merujuk kepada semua perhubungan
sosial yang mengaitkan manusia. Istilah ini lazimnya digunakan dalam bidang sosiologi ataupun sains
kemasyarakatan. Asas perpaduan bagi sesuatu masyarakat berbeza. Dalam masyarakat ringkas atau
biasa, ia mungkin berdasarkan hubungan kekeluargaan dan nilai saling menghormati dan
menyayangi. Oleh itu, bagi mendapatkan perpaduan yang lebih sempurna kerjasama antara kaum
perlu diperkuatkan agar penggabungan kaum dalam negara dapat dilaksanakan dengan sempurna
(Maruwiah Ahmat 2010). Bagi melaksanakan tugasan tersebut konsep perpaduan seharusnya diajar
lebih awal kepada anak-anak muda supaya kelak mereka tidak mengulangi kesilapan-kesilapan yang
pernah dilakukan oleh generasi terdahulu.
Kesusasteraan merupakan alat penyampaian maklumat terbaik dan dianggap mustahak
sebagai penyampai ilmu pengetahuan. Sastera dalam bentuk penulisan dianggap sebagai penyubur

22
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

daya kreatif dan imaginatif untuk menghidupkan semangat dan menyerap nilai-nilai murni. Ali
Ahmad (1994), menjelaskan bahawa sastera dipercayai dapat mendorong satu pembentukan peribadi
yang halus dan mulia, serta mampu mengukir watak-watak manusia yang boleh berfikir dan bertindak
secara matang. Selain itu, sastera juga mampu dijadikan sebagai bentuk komunikasi harian, bagi
memberi motivasi dari sudut akademik dan pergaulan sosial kepada anak-anak muda (S. Wolf dan
S.Heath 1988). Pembentukan moral melalui sastera sedikit sebanyak akan menambahkan ilmu
pengetahuan berkaitan kehidupan sebenar. Dalam konteks kajian ini, pendidikan menerusi cerita
sejarah yang mempunyai nilai patriotik tinggi harus diguna pakai untuk tujuan pendidikan supaya
jiwa dan fahaman golongan muda tidak tercemar oleh anasir-anasir jahat. Pendidikan tersebut berjaya
diajar dan ditunjukkan oleh dua penulis tersebut. Mereka berdua telah bertungkus-lumus
menghasilkan karya cerpen remaja yang berunsurkan perpaduan. Unsur perpaduan tersebut telah
digarapkan berdasar Rukun Negara yang kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’. Menerusi
tema kedua tersebut terdapat beberapa perbezaan yang ada pada penyampaian karya-karya mereka.
Sungguhpun mereka berdua ini sama-sama menghasilkan karya berbentuk perpaduan, perbezaan
terlihat berdasarkan beberapa faktor utama yang antaranya ialah pemikiran penulis itu sendiri.
Walaupun cara mereka berbeza dalam berkarya, fokus utama mereka tidak jauh iaitu sama-sama ingin
menyampaikan pesanan dan pengajaran kepada golongan remaja. Cerita-cerita yang bersifat nilai
kehidupan yang berteraskan kepada tradisi dan semangat kebangsaan telah dihuraikan dalam setiap
cerita yang disampaikan. Seruan kerajaan yang mewujudkan dasar perpaduan antara kaum telah
diguna pakai oleh penulis demi menghasilkan karya yang berlandaskan seruan kerajaan yang
inginkan pemerkasaan semangat muhibah antara kaum. Oleh itu, penggunaan tema kedua dalam
Rukun Negara sangat-sangat menepati nilai yang perlu diajar kepada golongan remaja. Berikut
merupakan rajah teori perbandingan yang dibuat berdasarkan karya mereka berdua dan dalam kajian
ini Rukun Negara yang kedua sahaja diguna pakai untuk menunjukkan nilai patriotisme;

RUKUN
NEGARA

Kesetiaan Kedaulatan
Kepercayaan Kepada Raja Keluhuran Undang- Kesopanan dan
Kepada Tuhan Perlembagaan Kesusilaan
dan Negara Undang

Rajah 1.1 Perbandingan melalui Rukun Negara

KESETIAAN KEPADA RAJA DAN NEGARA

Penghayatan prinsip kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’ merupakan satu prinsip yang
perlu diterapkan dalam diri rakyat Malaysia. Negara mempunyai 9 orang raja yang harus ditaati dan
dihormati. Raja merupakan lambang kemelayuan tulen yang harus dikekalkan dan dijaga dengan
baik. Jurai keturunan mereka adalah warisan asal Melayu terdahulu dan tidak perlu disangsikan.
Menurut Abdul Rahman Abdul Aziz (2010), prinsip kedua dalam Rukun Negara berteraskan kepada
amalan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda

23
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua negara. Selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong
sebagai Raja mengikut Perlembagaan, sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri, dan Yang Di-
Pertua Negeri bagi negeri-negeri yang tidak beraja. Seri Paduka Baginda, Raja-Raja dan Yang Di-
Pertua Negeri merupakan lambang perpaduan rakyat. Kesetiaan kepada Raja dan Negara bermaksud,
bahawa setiap warganegara hendaklah menumpukan sepenuh taat setia, jujur dan ikhlas kepada Seri
Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Di peringkat negeri pula, rakyat dikehendaki menumpukan
taat setia kepada raja yang memerintah negeri tempat mereka bermastautin tanpa mengurangkan taat
setia kepada Yang di-Pertuan Agong. Dalam Rukun Negara kedua ini juga semangat patriotisme
merupakan salah satu perkara yang termaktub dalamnya. Semangat patriotik sering kali dikaitkan
dengan perjuangan mempertahankan tanah air daripada belenggu penjajah. Sejarah telah
membuktikan bahawa negara kita pernah dijajah oleh Portugis, Belanda, jepun dan Inggeris. Seluruh
semenanjung termasuk Sabah dan Sarawak telah berjaya dirampas oleh pihak Inggeris dan bibit-bibit
perjuangan masyarakat tempatan mendapatkan kebebasan dan hak mereka berjaya dilakukan
sehingga mereka sanggup berkorban untuk tanah air tercinta. Sifat ini merupakan perlambangan yang
sangat luar biasa kerana sanggup melakukan apa sahaja untuk negara, maruah dan bangsa. Justeru
itu, pengetahuan yang berhubung dengan patriotik dan sejarah perjuangan orang terdahulu seharusnya
diberikan kepada anak muda untuk membentuk satu persepsi yang positif di kalangan pelajar. Sifat
patriotik merujuk kepada pembelajaran mengenai hal ehwal negara yang merangkumi soal cinta akan
negara merupakan satu nilai yang penting bagi meningkatkan lagi rasa cinta akan negara tanpa
mengira kaum dan agama.

SETIA KEPADA TANAH AIR SATU SEMANGAT PATRIOTISME

Menurut Mohd Ridhuan Tee Abdullah (2010), negara mula menerima kedatangan pendatang asing
seperti Cina dan India pada zaman penjajahan British lagi. Kemasukan mereka melalui pihak Inggeris
telah memberi kesan terhadap pertambahan bilangan mereka menetap di sini. Ekoran daripada itu,
selepas negara mendapat kemerdekaan mereka semua telah diberi keistimewaan dan dijadikan
sebahagian daripada rakyat Malaysia. Bagi menjamin mereka hidup aman dalam masyarakat majmuk
segala peraturan yang dibuat oleh pemimpin harus diikuti. Oleh itu, dalam Rukun Negara segala
prinsip yang dibuat harus sama-sama diamati. Prinsip kesetiaan kepada negara yang menuntut
ketaatan, kejujuran dan keikhlasan haruslah ditanam dalam diri setiap warganegara. Sikap ini
merupakan satu nilai baik yang boleh menjadi kebanggaan kepada negara serta dapat dijadikan ikatan
bagi memupuk kecintaan rakyat kepada negara. Kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada negara
juga adalah satu-satunya faktor yang boleh menyatukan rakyat Malaysia (Chew Fong Peng 2013).
Oleh itu, bagi memastikan semangat itu sentiasa ada dalam diri masing-masing, cerpen yang bercorak
ke arah perjuangan bangsa harus diwujudkan supaya golongan remaja tidak lupa akan perjuangan
nenek moyang mereka sebelum ini. Perjuangan orang terdahulu terlalu banyak sejarah. Membuktikan
setiap negeri yang ada dalam negara mempunyai tokoh-tokohnya tersendiri. Kebanyakan tokoh-tokoh
tersebut sanggup menggadai nyawa untuk menjaga maruah dan jati diri mereka.
Dalam konteks kajian ini, Nazel Hashim dan Ismail Sarbini dilihat sebagai penulis yang
berjaya menghasilkan cerita sebegitu. Cara mereka berdua menyampaikan cerita sedikit berbeza dan
mempunyai cara mereka tersendiri. Menerusi cerpen-cerpen mereka, perbezaan paling jelas di sini,
Nazel Hashim tidak menggunakan tokoh sejarah untuk mewujudkan semangat patriotisme tetapi

24
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

menggunakan cerita sejarah penjajah Jepun. Berikut merupakan contoh cerita yang dibuat oleh Nazel
Hashim;
…Malam itu sungguh gelap. Balai polis yang biasanya terang, juga gelap… Namun, di dalam
kegelapan itu ada aktiviti di luar. Di luar sana, di jambatan masuk ke Jalan Raja Syed Alwi, satu -
satunya jambatan menghubungkan Kangar dengan Kuala Perlis, beberapa orang askar Inggeris
berhati-hati berkawal… Malam itu malam bersejarah bagi pekan Kangar. Beberapa hari sebelum
itu tentera Jepun sudah mendarat di Songkhla dan Kota Baharu, di Kelantan. Pihak Inggeris berasa
cemas dan sudah mula melaksanakan strategi bertahan. Mereka khuatir kapal terbang Jepun akan
menyerang Kangar. Maka itulah keluar perintah melarang penduduk memasang lampu… “Tapi
pihak Inggeris tidak boleh bertindak bodoh, Tok Syeikh,” terang Idris… Tok Syeikh selaku pegawai
Melayu tertinggi di Perlis… Idris, seorang anak pegawai kerajaan juga yang ulang bercuti hujung
minggu. Dia belajar di sekolah Inggeris di Pulau Pinang… “Mereka juga hendak mengebom
bangunan pejabat tanah bila-bila masa,” sambung Tok Syeikh. … “mengapa pula bangunan pejabat
tanah sekukuh itu hendak dimusnahkan, tok?” “Sebab di situ ada rahsia negeri ini. Ada peta -peta
yang dapat membantu Jepun kalau mereka berjaya menawan Perlis,”… Hasrat hendak
memusnahkan bangunan pejabat tanah itu juga ditentang keras oleh Tok Syeikh dan beberapa orang
pegawai Melayu… Mereka berbicara itu di rumah Tok Syeikh. Bukan mereka berdua sahaja di situ.
Ramai anak muda belasan tahun sudah berkumpul untuk bertindak menghalang Inggeris
memusnahkan jambatan dan bangunan pejabat tanah itu….Jika kita menghalang Inggeris, mereka
akan menganggap kita pembelot… “Kita tidak perlu menumpahkan darah,”… “Saya mahu kamu
semua fikirkan cara paling baik. Jangan sampai tertangkap. Jangan sampai membunuh dan dibunuh.
Jambatan itu penting untuk perhubungan di antara kampung-kampung dan bandar. Pejabat tanah
itu amat penting kerana di situlah nadi pentadbiran negeri ini. Segala geran dan surat ada di situ…
semuanya mesti dimusnahkan mengikut Inggeris… “Tapi, itu bukan caranya untuk menyelamatkan
warisan kita. Cara Inggeris itu akan merosakkan masa depan kita,”… “Tok Syeikh juga berjiwa
Melayu tulen, sekalipun berkhidmat dengan Inggeris…
Secebis Perjuangan 1996

Cerpen secebis perjuangan merupakan cerpen yang berlatarkan di zaman Jepun. Nazel Hashim
menceritakan bagaimana pergolakan berlaku antara masyarakat di Perlis dengan pihak Inggeris
sewaktu Perang Dunia Kedua. Watak utama dalam cerpen tersebut adalah Tok Syeikh selaku pegawai
Melayu tertinggi di Perlis yang menghadapi masalah dengan pihak Inggeris yang ingin mengebom
bangunan pejabat tanah dan jambatan utama supaya pihak Jepun tidak dapat maklumat rahsia dan
mara dengan pantas. Watak Tok Syeikh merupakan anggota masyarakat yang bertanggungjawab
untuk menyelesaikan masalah tersebut. Perkara yang ingin dilakukan oleh pihak Inggeris telah
dikutuk sekerasnya oleh penulis kerana perbuatan menghancurkan pejabat tanah merupakan satu
kerugian besar untuk masa depan negara. Jika segala maklumat berkaitan tanah dan pentadbiran
musnah geran-geran dan rekod utama negeri akan hilang dan musnah sama sekali. Oleh itu, untuk
menunjukkan masyarakat di Perlis sebagai satu masyarakat yang berani berjuang menolak perbuatan
Inggeris tersebut, penulis menggambarkan sekumpulan watak anak muda belasan tahun yang diketuai
oleh Idris sebagai anggota masyarakat muda yang sentiasa bersedia mempertahankan harta benda dan
kepentingan yang terdapat di kawasan mereka. Perkara sebegini merupakan satu bentuk nilai
patriotisme yang berjaya dirakamkan dalam cerpen beliau. Semangat tersebut amatlah penting untuk
generasi muda pada hari ini mengetahui segala perjuangan mereka yang sebaya pada waktu tersebut.

25
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

Bagi menanamkan semangat cinta akan tanah air lebih mendalam, iktibar daripada perbuatan penjajah
harus dijadikan pengajaran supaya masyarakat pada hari ini yang rata-ratanya berlainan bangsa dan
agama yang hidup di bawah satu bumbung sama-sama mengenang perjuangan nenek moyang
terdahulu supaya perpaduan sentiasa terpahat tanpa mengira apa jua keadaan.
Seterusnya pula, cerpen kedua yang bertajuk Nyawa di Hujung Banet. Nazel Hashim sekali
lagi menggunakan latar Perang Dunia Kedua untuk menghasilkan cerpen patriotik. Menerusi cerpen
tersebut, penulis cuba menjelaskan bagaimana situasi sebenar kehidupan di bawah pemerintah tentera
Jepun. Watak Kasim sebagai watak utama dilihat sebagai kekuatan dalam cerpen ini. Watak tersebut
digambarkan bagaimana beliau bersusah payah mempertahankan diri dan keluarganya daripada
tentera Jepun yang cuba membuat kacau. Gambaran kemelut yang berlaku pada sebuah keluarga
tersebut dibuat untuk menunjukkan kekejaman yang berlaku sewaktu penjajahan Jepun di Tanah
Melayu. Dalam cerpen tersebut, tentera Jepun telah cuba untuk membunuh keluarga Kasim akibat
salah faham. Tanpa ada rasa prihatin dan belas kasihan dari tentera Jepun tersebut, Kasim cuba
mempertahankan keluarganya daripada menjadi mangsa mereka dengan menunjukkan penderitaan
yang dihadapi sewaktu itu. Pada waktu yang sama juga, Kasim sempat menunjukkan gambar anak
mereka iaitu Mamat yang merupakan pekerja di kapal Jepun yang bertugas membawa dan
menyelamatkan mereka semua sebelum ini. Kesan daripada pertolongan tersebut, tentera itu tidak
meneruskan tindakan untuk memberi hukuman kepada keluarga Kasim. Di sini dapat disimpulkan
bahawa, masyarakat Melayu dahulu telah dipaksa dan diguna pakai oleh tentera Jepun untuk
melakukan kerja-kerja mereka. Kesan daripada peristiwa tersebut banyak keluarga telah berpecah dan
kehilangan orang yang tersayang. Penderitaan ini tidak seharusnya terus berlaku sama sekali di dalam
negara sendiri. Oleh itu, patriotisme yang cuba disampaikan oleh penulis di sini adalah berkaitan
dengan perjuangan mempertahankan tanah air seharusnya bermula dengan mempertahankan keluarga
terlebih dahulu. Jika keluarga sendiri kita mampu mempertahankannya. Proses untuk
mempertahankan tanah air akan lebih mudah dilakukan kerana kita tahu negara adalah tempat kita
tinggal bersama keluarga. Kesan dari peristiwa tersebut, penderitaan yang diterima oleh masyarakat
setempat terlalu banyak, bukan sahaja kepada kaum Melayu, tetapi Cina dan India turut menerima
akibatnya. Oleh itu, sebagai warganegara yang berbilang bangsa, hubungan erat antara kaum harus
dijaga supaya sewaktu berlaku perkara yang tidak diingini kita warganegara mampu menjaga di
antara satu sama lain. Berikut merupakan contoh petikan cerpen tersebut;
“Celaka, tentu askar Jepun,” marah Kasim. Dia tidak mahu membantah kerana dia maklum
akan akibatnya… Belum sempat Kasim membuka pintu itu, dua orang askar Jepun sudah menapak
masuk kerana pintu tadi tidak diselak dari dalam… “Cis, tara arti. Bunuh… mati…” Begitu marah
askar Jepun yang di depan. “Jangan ganggu kami, jangan!” mohon Munah dan cuba mengambil
cucunya. Akan tetapi, tidak berjaya kerana tiba-tiba cucunya tidak menangis lagi dan mata banet
betul-betul beberapa inci sahaja di dada cucunya. “Biada! Tak tahukah kamu kami ini dalam
kesukaran? Tangan kena duri sembilang, cucuku pula digigit semut.” “Bage ro… diam… apa tarak
arti.. semua… hukum.” Dia cuba menerangkan undang-undang darurat yang Kasim sudah maklum…
“tengok!” serta menunjukkan dengan benetnya ke arah sekeping gambar di dalam bingkai yang
tergantung di dinding… “Siapa?” tanya askar yang sangat garang tadi. “I.. itu.. anak kami,” jawab
Kasim… “Nama?” “Mamat.” “Ya, Mamat. Kenal?” tanya Kasim… “Mana ria!” “Kerja,” jawab
Kasim. “Mana?” “kapal… kapal bawa Nippon… Sumatera,” jawab Kasim… “Kapar…kapar
bawa.” Dia menepuk dadanya. “Seramat… Mamat kasi seramat…” “Oh, kapal Mamat bawa kamu

26
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

dan menyelamatkan kamu semua?”… “Hait,” angguk kedua-dua askar itu masih muda-muda
belaka…
Nyawa Di Hujung Banet 1980

Berdasarkan dua buah cerpen nukilan Nazel Hashim tersebut secara ringkasnya, beliau
mempunyai caranya tersendiri menyampaikan semangat patriotisme kepada golongan remaja.
Berbanding dengan Ismail Sarbini pula, beliau merupakan penulis yang banyak menggunakan tokoh
legenda tempatan sebagai pemangkin semangat patriotisme. Tokoh-tokoh yang digunakan adalah di
antara tokoh yang terdapat di dalam catatan sejarah Malaysia seperti, Tok Janggut, Mat Kilau, Dato
Bahaman dan pelbagai lagi. Istimewanya lagi beliau ini, tokoh tempatan negeri Sabah dan Sarawak
juga turut digunakan untuk menunjukkan perjuangan masyarakat di sana. Berikut merupakan contoh
cerpen perjuangan masyarakat di Sabah;
“Penipu! Inggeris penipu!” Jerit Mat Salleh. “Dulu lain yang dibincangkan. Sekarang lain
yang ditulis dalam surat perjanjian. Kita tak boleh menghormati penipu. Kita mesti teruskan berjuang
melawan Inggeris!”... “Inggeris penipu!” “Halau Inggeris!” “Pertahankan bumi Sabah!” walaupun
usia baru 16 tahun tetapi semangat ku benar-benar terbakar ketika itu. Rasanya kalau ada saat itu aku
disuruh menyerang Inggeris, aku akan menyerang. “Kamu sungguh bersemangat masa menjerit tadi.
Anak muda macam kamu yang bumi Sabah perlukan,” kata Pak Daud sambil menepuk-nepuk
bahuku.... “Kita perlu bekerja keras membina kubu. Orang Inggeris sentiasa memburu kita,” ujar Pak
Daud. Begitulah, awan yang berarak pada bulan Mac 1898 pun menyaksikan kami Mat Salleh dan
pengikut-pengikutnya membina kubu di Tibabar... “Orang Inggeris sedang menuju ke Tambunan.”
Pemuda itu memberitahu dengan nafas agak termengah-mengah. “Aku sudah menduga. Inggeris
pasti datang. Kita sudah bersedia, kita mesti tentang habis-habisan!” kata Mat Salleh, membakar
semangat kami yang berdiri di kelilingnya.... Beberapa hari kemudian askar-askar Inggeris mula
mengepung kubu Tibabar. Kanak-kanak dan orang perempuan mudah berasa cemas apabila
mendengar bunyi tembakan. Dan aku telah membuang rasa takut. Aku mesti berjuang untuk tanah
airku! Jeritku dalam hati. ... Pada suatu petang, ketika aku sedang terintai-intai dari lubang di dinding
untuk melihat askar Inggeris yang mengepung kami, aku terdengar orang menjerit: “Mat Salleh kena
tembak!” Aku menoleh dan melihat Mat Satur serta beberapa orang lain sedang mengerumi Mat
Salleh. Aku menerpa ke situ. Mat Salleh sudah meninggal dunia. Sama seperti Pak Daud, dia juga
tertembak di kepala. Kali ini aku sudah tidak dapat menahan air mataku dari jatuh berderai.
Sesungguhnya, bumi Sabah kehilangan seorang pahlawan terbilang!...
Kecundang Di Tibabar 1987

Cerpen Kecundang Di Tibabar, merupakan satu bentuk cerita untuk mengenang pahlawan
masyarakat di Sabah. Tokoh tersebut adalah Mat Salleh, yang merupakan pejuang berani mati
menentang Inggeris. Berdasarkan kisah tersebut, Mat Salleh tidak berpuas hati dengan penipuan yang
dibuat oleh pihak Inggeris. Akibat tidak menghormati perjanjian dibuat Mat Salleh bersama
pengikutnya bertindak untuk menyerang kembali pihak Inggeris kerana berani mencemarkan maruah
serta tanah airnya. Menerusi cerpen tersebut, Ismail Sarbini menggambarkan watak anak muda
berusia 16 tahun turut serta memperjuangkan tanah air dari penjajah. Keberanian anak muda seusia
itu adalah lambang patriotisme yang cuba disampaikan oleh penulis. Perjuangan yang digambarkan
itu sangat perit dan banyak nyawa terkorban termasuklah Mat Salleh sendiri. Akibat daripada
perjuangan itu, Sabah telah kehilangan tokoh yang amat di sayangi dan dihormati. Kematian mereka

27
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

itu bukanlah perbuatan sia-sia tetapi itu adalah lambang maruah mereka yang berani menentang
penjajah. Oleh itu, dapat disimpulkan di sini pembelajaran kepada anak muda pada zaman ini tentang
tokoh sejarah sebenar. Tokoh-tokoh ini perlu diangkat sebagai wira sejati dan diberi pendedahan
kepada semua pelajar tentang pengorbanan mereka selama ini. Secara tidak langsung nilai patriotisme
akan terpahat di lubuk hati mereka. Jika semangat patriotisme ada dalam diri mereka semua,
perpaduan akan lebih terserlah kerana tanpa mengenal bangsa dan agama mereka semua akan lebih
sayang kepada negara.
Seterusnya pula, berdasarkan cerpen bertajuk Azam Membara Dalam Dada. Ismail Sarbini
muncul dengan membawa cerita masyarakat di Sarawak. Cerita tersebut adalah tentang perjuangan
Rentap menentang James Brooke. Berikut merupakan cebisan cerpen beliau;
... Angin bulan Ogos 1861 yang bertiup lembut di puncak Bukit Sadok terasa nyaman.
Sepanjang pagi tadi aku membantu orang dewasa membaiki kubu. “Dua kali orang Inggeris gagal
menembusi kubu kita. Kita mesti kukuhkan lagi kubu ini.” begitu kata Rentap, ketua kesayangan
kami, beberapa hari yang lalu.... Ayahku sejak muda menjadi pengikut setia Rentap. Di mana ada
Rentap di situ ada ayahku... Kata ayah, sejak James Brooke memerintah Sarawak, Rentap da n orang-
orangnya termasuk ayah sentiasa berperang dengan orang-orang Inggeris. Pada tahun 1853, begitu
cerita Ayah lagi, Rentap dan pengikutnya menyerang kota di Sekrang. “Serangan itu membuatkan
orang putih marah. Mereka hendak menyerang tempat kita di Su ngai Lang, tapi ketika mereka
menduduki Sungai Sekrang, kami menyerang hendap. Mereka kalah, Kulan. Seorang ketuanya
terbunuh. Kami makin bersemangat!”... “Aku yakin orang-orang Dayak yang menyerang kita senja
itu,” ujar Kumit, mengenang peristiwa pada suatu senja, seminggu lalu. Ketika itu aku bersama
Kumit, Pak Kumang dan Kimil sedang balik berburu apabila diserang oleh sekumpulan lima orang
lelaki. Akibatnya aku dan Kimil luka di tangan... “Orang -orang Dayak baik dengan orang putih.
Orang putih menganggap kita orang Iban sebagai musuhnya. Orang Dayak pun ikut memusuhi kita,”
Jelas Kumit, penuh yakin.... “Saudara-saudaraku,” ujar Rentap sambil memandang semua orang
yang ada di situ. “Kita terpaksa berjuang lagi. Kali ini kita mesti berjuang habis-habisan. Kubu ini
mesti kita pertahankan!” “Kita mesti kalahkan orang putih!” “Kita mesti menang!”...
Azam Membara Dalam Dada 1987

Perjuangan Rentap menerusi cerpen tersebut menggambarkan pertahanan kubu Rentap di Bukit
Sadok merupakan kubu yang terakhir mereka dari terus diburu oleh pihak Inggeris. Dalam perjuang
tersebut, kaum Dayak digambarkan menjadi tali barut pihak Inggeris. Peperangan mendapatkan
kebebasan dibuat oleh penulis adalah bentuk patriotisme yang cuba disampaikan. Semangat
mempertahankan tanah air tercinta di bumi Sarawak sama sahaja berlaku di kawasan Sabah iaitu
mengusir penjajah dari terus menguasai kawasan mereka. Anggapan Inggeris terhadap kaum Iban
sebagai penentang dan pembelot adalah satu perkara yang amat keji dan tidak boleh diterima akal.
Masakan tidak, masyarakat peribumi asal diperlakukan sebegitu tanpa ada adab dan hormat kepada
penduduk asal. Perjuangan Rentap bersama-sama pengikutnya yang menentang Inggeris perlu
diangkat supaya masyarakat pada hari ini terutamanya golongan remaja tidak buta sejarah. Sejarah
juga membuktikan pihak penjajah sebenarnya yang mula membuat onar sehingga penduduk asal
tersisih dan perlu mengikuti peraturan yang dibuat oleh mereka. Oleh itu, bagi menyemai semangat
patriotik dalam diri, lagenda Rentap harus diangkat supaya kesemua lapisan masyarakat yang
berbilang bangsa mengingati perjuangan tokoh setempat. Secara tidak langsungnya, perpaduan akan
dicapai melalui penghayatan bersama cerita-cerita tokoh pejuang terdahulu.

28
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

Secara kesimpulannya, berdasarkan empat buah cerpen Nazel Hashim dan Ismail Sarbini.
Mereka sebenarnya mempunyai perbezaan pandangan dalam menyampaikan semangat patriotisme
kepada golongan remaja. Nazel Hashim lebih gemar menggunakan cerita berkonsepkan penjajaha n
Jepun sebagai pembakar semangat cintakan akan negara dan Ismail Sarbini lebih memilih tokoh
tempatan sebagai penyampaian utamanya. Menerusi pendekatan Rukun Negara kedua tersebut proses
penyampaian nilai perpaduan sama sahaja cuma berbeza dari segi tema cerita sahaja.

KESIMPULAN

Hasil daripada kajian ini dapat disimpulkan bahawa, sastera merupakan satu bentuk media yang
penting untuk membentuk perpaduan dalam negara. Sastera dan perpaduan dianggap satu benda yang
berkait rapat dan menurut Chew Fong Peng (2007), sastera perpaduan merupakan satu mekanisme
untuk mewujudkan perpaduan antara kelompok masyarakat yang terdiri dari pelbagai latar belakang.
Kelompok tersebut haruslah mempunyai prinsip-prinsip dari sudut sosial dan budaya yang perlu
dikongsi bersama supaya perasaan toleransi dan perkongsian hidup dapat diwujudkan. Selain itu,
prinsip ini juga akan dapat melahirkan satu sentimen kebangsaan yang mampu mengharmonikan
kesejahteraan negara. Oleh itu, Nazel Hashim dan Ismail Sarbini merupakan dua tokoh penulis yang
harus diberi pujian kerana berjaya membawa sentimen perpaduan dalam karya masing-masing.
Dipercayai, menerusi karya perjuangan tokoh sejarah tempatan dan masyarakat setempat adalah satu
kejayaan yang besar dalam meniupkan roh patriotisme dalam diri masyarakat. Semangat tersebut
amatlah penting untuk memastikan pembelajaran kepada generasi muda supaya mereka akan lebih
mencintai tanah air dan sama-sama menjaga negara dari anasir jahat.
Selain itu, karya-karya Nazel Hashim dan Ismail Sarbini juga dipilih untuk dijadikan sebuah
kajian adalah kerana mereka berdua ini diantara penulis yang paling menyerlah sewaktu pasca 13
Mei 1969. Karya kreatif cerpen pada pasca 13 Mei mempunyai pelbagai versi dan coraknya tersendiri,
ekoran mereka berdua ini bijak memilih tema berdasarkan Rukun Negara yang kedua telah
menghasilkan corak cerpen perpaduan mampu dilakukan dalam pelbagai bentuk, contohnya adalah
cerita tentang sejarah dan tokoh pejuang masyarakat terdahulu. Walaupun berbeza cara mereka
menghasilkan cerpen, fokus utama mereka amatlah jelas iaitu menerapakan nilai-nilai murni yang
terkandung dalam cerpen patriotik. Oleh itu, perbandingan dibuat di antara mereka berdua adalah
untuk menampakkan cara mereka memberi idea, semangat, citarasa, patriotik, muhibah dan pelbagai
lagi di dalam karya cerpen remaja menerusi semangat perpaduan.

RUJUKAN

Abdul Rahman Abdul Aziz. (2010). Rukun Negara dalam Memperkukuhkan Ketahanan Negara.
Jurnal Universiti Utara Malaysia. repo.uum.edu.my
Abdul Aziz A’Azmi. (2017). Realiti Kepelbagaian Kaum Ke Arah Perpaduan Nasional Pasca
Merdeka. Jurnal Sains Sosial Malaysian Journal of Social Science Jilid 2 2017.
Ali Ahmad. (1994). Pengantar Pengajian Kesusasteraan. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Chew Fong Peng. (2007). Masyarakat Berbilang Kaum dalam Sastera Kebangsaan di Malaysia.
Bandung. Universitas Pendidikan Indonesia.
Hashim Awang. (1975). Cerpen-Cerpen Melayu Sebelum Perang Dunia Kedua Satu Analisa
Tentang Tema dan Struktur. Tesis Sarjana Jabatan Pengajian Melayu, Universiti Malaya

29
Vol. 3, No. 4 (2020) E-ISSN: 2637-0271

Ismail Sarbini. (1987). Azam Membara Dalam Dada Antalogi Perjuangan Belum Berakhir. Kuala
Lumpur. Publishing & Distributors Sdn. Bhd.
Ismail Sarbini. (1987). Kecundang Di Tibabar Antalogi Pejuangan Belum Berakhir. Kuala Lumpur.
Publishing & Distributors Sdn. Bhd.
Masari Hj Abdul Rashid. (1974). Cerita Kanak-Kanak Terpilih Dewan Bahasa dan Pustaka- Satu
Tinjauan Tentang Tema dan Struktur. Tesis Sarjana Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan
dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Mariani Che Hanafi.(1985). Cerpen-Cerpen Dewan Siswa 1979-85: Satu Tinjauan Persoalan dan
Teknik. Tesis Sarjana Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan
Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Mohd Ridhuan Tee Abdullah. (2010). Cabaran Intergrasi Antara Kaum Di Malaysia: Perspektif
Sejarah, Keluarga dan Pendidikan. Jurnal Hadhari: An International Journal. Vol 2. No 1.
Maruwiah Ahmat. (2010). Integrasi Nasional. Subang Jaya: Orbit Publication.
Nazel Hashim. (1980) Nyawa Di Hujung Banet antalogi Di Bawah Sarang Tempua. Kuala Lumpur.
Macmillan Publisher Ltd.
Nazel Hashim. (1996). Secebis Perjuangan. Shah Alam. Fajar Bakti sdn. Bhd. Antalogi Putera
Kerbau
Othman Puteh.(1977). Berbagai Aspek Buku Kanak-Kanak Berdasarkan Buku-Buku yang Telah
Diterbitkan. Satu Tinjauan Ringkas: Tema dan Struktur. Kertas Kerja Bengkel Penulisan
Buku Kanak-Kanak 1 Oktober 1977. Dewan Bahasa dan Pustaka.
Othman Puteh.(1999). Cerpen Pendek Malaysia. Kuala Lumpur. Dewan Sastera.
Rahman Shaari.(2001). Bimbingan Istilah Sastera. Kuala Lumpur. Utusan Publications.
Safian Hussain. (1992). Penelitian Sastera: Interaksi antara Pembaca dan Teks. Tesis Ph.D.
Universiti Kebangsaan Malaysia.
Wolf, S. & Heath, S. (1988) The Braid of Literature: Children’s World of Reading. Oxford Review
of Education
Wan Hashim Wan Teh. (1985). Intergrasi Nasional melalui Pendidikan. Dari Sudut Sosio- Budaya
Politik. Kertas Kerja Seminar Pendidikan. Universiti Kebangsaan Malaysia,
Bangi 14 Oktober 1985.

30

You might also like