You are on page 1of 11

See discussions, stats, and author profiles for this publication at: https://www.researchgate.

net/publication/308964425

BAHASA SLANGA DALAM KOMIK KANAK-KANAK (SLANG IN CHILDREN'S


COMIC).

Conference Paper · October 2016

CITATIONS READS

0 31,865

4 authors:

Nasihah Hashim Noor Aida Mahmor


Universiti Utara Malaysia Universiti Utara Malaysia
11 PUBLICATIONS   13 CITATIONS    23 PUBLICATIONS   155 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Ainal AKMAR Ahmad Maizatul Azura Yahya


Universiti Utara Malaysia Universiti Utara Malaysia
9 PUBLICATIONS   2 CITATIONS    11 PUBLICATIONS   2 CITATIONS   

SEE PROFILE SEE PROFILE

Some of the authors of this publication are also working on these related projects:

Developing student teacher's critical thinking through collaborative brainstorming. (SoTL research project) View project

Le SWinG: Learning Sight Words in Games View project

All content following this page was uploaded by Nasihah Hashim on 10 October 2016.

The user has requested enhancement of the downloaded file.


2nd International Convention on Islam, Science & Education
ISBN:978-967-5852-35-0

BAHASA SLANGA DALAM KOMIK KANAK-KANAK

SLANG IN CHILDREN’S COMIC

Nasihah Binti Hashim i, Noor Aida Binti Mahmor ii, Ainal Akmar Binti Ahmad iii,
Maizatul Azura Binti Yahya iv
i Pensyarah, Jabatan Bahasa, Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden,
Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia,
06010 Sintok, Kedah.
h.nasihah@uum.edu.my
ii Pensyarah, Jabatan Pendidikan, Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden,

Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia,


06010 Sintok, Kedah.
nooraida@uum.edu.my
iii Pensyarah, Jabatan Bahasa, Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden,

Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia,


06010 Sintok, Kedah.
ainal@uum.edu.my
iv Pensyarah, Jabatan Bahasa, Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden,

Kolej Sastera dan Sains, Universiti Utara Malaysia,


06010 Sintok, Kedah.
maizatul@uum.edu.my

Abstrak

Diskusi mengenai penggunaan bahasa slanga yang semakin meluas dalam kalangan
masyarakat hari ini bukanlah isu baru yang melanda bahasa Melayu. Hari ini bahasa slanga
sudah menjadi kelaziman dan tanpa segan silu diujarkan oleh penutur sama ada dewasa,
remaja mahupun kanak-kanak, di tempat-tempat awam mahupun di tempat-tempat rasmi
seperti di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Aktiviti sembang siber yang semakin meluas
juga menjadi faktor penggalak penggunaan bahasa slanga dalam kalangan penutur bahasa
Melayu. Bahasa slanga tidak diguna pakai dan dipelajari secara formal di sekolah tetapi
diperoleh dalam kehidupan seharian. Bahasa Melayu yang diajar di sekolah merupakan
bahasa Melayu standard. Oleh yang demikian, penggunaan bahasa slanga di kalangan
kanak-kanak sekolah boleh menjejaskan perkembangan bahasa standard kanak-kanak
tersebut. Situasi ini juga sekiranya tidak dibendung boleh menggugat usaha pendaulatan
bahasa Melayu. Mutakhir ini banyak kajian penggunaan bahasa slanga telah membuktikan
bahawa bahasa slanga bukan sahaja di gunakan dalam pertuturan oleh golongan tertentu,
malahan telah wujud di dalam filem, drama, rancangan hiburan dan menular ke bahan
bacaan ringan seperti majalah hiburan dan komik. Lambakan pelbagai bentuk bahan
bacaan ringan di pasaran menyebabkan penulis cenderung menggunakan bahasa yang
lebih santai dan dekat dengan pembaca. Sehubungan itu, maka kertas kerja ini akan
mengupas bentuk-bentuk bahasa slanga yang wujud dalam penulisan komik kanak-kanak,
iaitu Siri Komik Ana Muslim yang diterbitkan oleh Ana Muslim Sendirian Berhad. Hasil
tinjauan awal menunjukkan terdapatnya penggunaan bahasa slanga yang sering digunakan
dalam penulisan novel dan cerpen remaja dalam Siri Komik Ana Muslim. Antara bentuk
slanga yang digunakan oleh penulis ialah slanga yang dibentuk dari bahasa asing seperti
‘baby kiut’, ‘terer’, ‘jeles’, ‘otai’ dan slanga untuk kata ganti nama seperti ‘korang’, ‘diorang’,
‘kitorang’ dan sebagainya.

Kata kunci: Bahasa slanga, bahasa santai, kanak-kanak, komik

1
2nd International Convention on Islam, Science & Education
ISBN:978-967-5852-35-0

PENDAHULUAN

Pengaruh bahasa slanga dalam pertuturan seharian terutamanya dalam kalangan golongan
remaja hari ini telah dilihat sebagai satu kelaziman dalam masyarakat. Bukan sahaja
golongan remaja, malah telah menular dalam kalangan kanak-kanak. Apa yang menjadi
kebimbangan pencinta bahasa, pengaruh bahasa slanga ini akan menular penggunaannya
dalam penulisan. Bahasa slanga mempunyai perbendaharaan kosa kata yang tersendiri dan
dikategorikan sebagai kosa kata tidak formal.

Grice (1975), menghuraikan slanga sebagai bahasa yang memiliki kecenderungan


diguna pakai secara paling asas dan umum sebagai memenuhi fungsi sosialnya.
Peranannya sebagai penyataan ekspresi kelompok masyarakat yang beridentiti telah
mewujudkan dialog kolokial dan pada masa yang sama menggalakkan penuturnya dari
pelbagai bahasa bersifat lebih kreatif ketika berbahasa (Drake, 1980). Manakala Harimurti
Kridalaksana (1982), menjelaskan bahawa bahasa slanga adalah bahasa yang tidak rasmi
dan lazim digunakan oleh kelompok sosial dalam kalangan remaja tertentu sebagai
‘komunikasi dalaman’ untuk mengelakkan orang dari luar kelompok mereka memahami kosa
kata dan istilah yang mereka ungkapkan.

Sementara Asmah Omar (1987) pula berpendapat bahawa bahasa slanga juga
berfungsi merumus satu inspirasi malahan manifestasi interaksi sosial dan cerminan
kehidupan bagi sesuatu kumpulan untuk membina identiti dirinya yang serba tersendiri
dalam masyarakat. Hakikat ini menjadikan mereka mudah dirujuk, dikenali dan dikaitkan
dengan ciri-ciri slanga itu sendiri. Apabila terungkap sahaja kosa kata atau diksi bahasa
slanga yang berkaitan dengannya maka sudah tergambar rupa, gaya dan cara hidup
sesebuah kumpulan. Bahasa slanga memiliki ciri-ciri unik dalam bentuk ungkapan dan
pengujaran sehingga akhirnya bahasa slanga ini menjadi sangat sinonim, akrab dan berakar
umbi untuk membentuk identiti kumpulan (Asmah Omar, 1993). Perkara seumpama ini
terjadi dalam semua bahasa di dunia, tambahan pula kosa kata slanga ditakrif seusia atau
lebih awal dengan sesebuah bahasa bagi bangsa itu sendiri (Nik Safiah Karim, 1996). Bagi
Teo Kok Seong (1996) pula bahasa slanga merupakan gejala bahasa yang kompleks
sifatnya dan telah wujud sejak bahasa mula muncul dalam tamadun manusia.

Manakala Zuraidah Mohd Sulaiman (2016) menyimpulkan bahawa slanga bersifat


gejala bahasa, dianggap sebagai fesyen berbahasa, eksklusif dan unik tetapi terbatas.
Ekspresi slanga dalam kalangan kelompok remaja akan memberi kesan terhadap
kemandirian bahasa ibunda dan seterusnya boleh mencemarkan dan merosakkan kekuatan
makna sebenar bahasa ibunda dengan wujudnya penyimpangan makna. Walau
bagaimanapun, bagi kelompok remaja, slanga dipamerkan sebagai unsur pengibaratan
yang realistik dan berkesan mengukuhkan interaksi sosial dan secara tidak langsung
menguapayakan kreativiti berbahasa mereka ke tahap yang dilihat sangat menarik.

Penyataan Masalah

Perkembangan industri penerbitan majalah komik yang semakin pesat secara tidak
langsung memberi pilihan kepada masyarakat untuk memilih membaca majalah komik
sebagai bahan bacaan yang santai. Kanak-kanak juga turut teruja untuk membaca majalah
komik. Secara tidak langsung juga ibu bapa turut membeli majalah komik untuk
2
2nd International Convention on Islam, Science & Education
ISBN:978-967-5852-35-0

menggalakkan anak-anak mereka suka membaca. Penggunaan bahasa dalam majalah


komik yang sangat santai tanpa menghiraukan ketertiban bahasa sehingga wujudnya
penggunaan bahasa slanga dan percampuran bahasa asing amat membimbangkan. Hal ini
kerana, minat membaca majalah komik dalam kalangan kanak-kanak secara tidak langsung
akan mendedahkan kanak-kanak ini dengan penggunaan bahasa slanga dan percampuran
bahasa yang menyalahi sistem bahasa Melayu standard. Situasi ini berkemungkinan akan
mempengaruhi kanak-kanak tersebut menggunakannya dalam perbualan seharian. Jika
sekiranya situasi ini berterusan tanpa kekangan, pastinya akan memberi kesan kepada
sistem pembelajaran bahasa Melayu standard kanak-kanak di sekolah. Kelaziman kanak-
kanak tersebut menggunakan bahasa slanga dalam komunikasi tidak mustahil boleh
menyebabkan mereka tidak tahu membezakan bahasa Melayu yang standard dan bahasa
slanga.

Penggunaan bahasa yang slanga dalam penulisan komik juga sebenarnya secara
tidak langsung menunjukkan sikap penulis dan penerbit terhadap penggunaan bahasa yang
betul dan baik. Oleh yang demikian, kertas kerja ini akan memperlihatkan bentuk-bentuk
kata slanga yang digunakan oleh penulis dalam komik kanak-kanak. Adakah perkataan-
perkataan ini sesuai digunakan dan sememangnya tidak boleh ditukar dengan bahasa
Melayu standard yang lebih baik dan tepat untuk memberi impak yang santai dalam
komunikasi tersebut? Persoalan inilah yang cuba dijawab dalam kertas kerja ini.

Objektif Kajian

Kajian ini dijalankan untuk :

1. Mengenal pasti penggunaan kata slanga dalam Siri Komik Ana Muslim
2. Menganalisis bentuk dan makna kata slanga yang digunakan dalam Siri Komik Ana
Muslim.

Bahan Kajian

Kajian ini dijalankan dengan menganalisis bahasa yang digunakan dalam siri komik Majalah
Ana Muslim, iaitu siri komik Pada Suatu Hari. Majalah Ana Muslim, mula diterbitkan oleh
Blue-T Publication Sdn. Bhd. pada Mei 1998. Majalah ini diterbitkan untuk kanak-
kanak berusia empat hingga enam tahun. Isi kandungannya lebih berkonsepkan keislaman
dan berwarna-warni bagi mendidik kanak-kanak ke arah pembentukan jati diri, keluhuran
budi pekerti dan kecergasan minda. Komik dalam Majalah Ana Muslim menggunakan
konsep komik pendidikan, iaitu menggunakan lukisan kartun atau komik untuk
menyampaikan ilmu dan pendidikan supaya lebih mudah diterima oleh kanak-kanak. Unsur
kemasyarakatan dan nilai-nilai murni diterapkan dalam siri komiknya antaranya Pada Suatu
Hari, Ana Solehah, Rajawali F.C, Kisah Menakjubkan dalam Quran, Islam Agamaku, Ana
Novela dan Satria Bulan Bintang melalui penampilan watak yang menggunakan wajah dan
imej Islam yang sopan. Ruangan lain juga menggunakan kartun dalam menyampaikan
mesej pendidikannya seperti Adab dan Doa, Selamat Pagi Cikgu, Dongeng Haiwan, dan
Nilai Murni. Selain itu, Majalah Ana Muslim juga memuatkan bahan bacaan bagi
pengukuhan program J-QAF di sekolah menerusi cerita pendek bersumberkan al-
Quran dan komik berwarna bagi para pembaca kecilnya. Oleh yang demikian majalah
ini dapat dijadikan bahan alat bantu mengajar di sekolah terutamanya bagi mata pelajaran
Pendidikan Islam. Walau bagaimanapun, sebagai satu tinjauan awal, kajian ini hanya
menganalisis siri komik Pada Suatu Hari yang telah dikompilasikan menjadi 3 kompilasi,
iaitu Pada Suatu Hari 1, Pada Suatu Hari 2 dan The Return of Pada Suatu Hari.

3
2nd International Convention on Islam, Science & Education
ISBN:978-967-5852-35-0

Sorotan Kajian

Bahasa slanga sudah banyak diberi tumpuan oleh pengkaji-pengkaji bahasa terdahulu
dalam pelbagai peringkat sama ada di luar negara mahupun di dalam negara seperti
Hummon (1994), Sanderson (1997), Bembe&Beukes (2009), Nik Safiah Karim (1992), Puteri
Roslina Abdul Wahid (2008), Muhammed Salehudin Aman (2008), dan Zuraidah Mohd
Sulaiman (2016).

Hummon (1994) telah mengkaji fungsi slanga sebagai identiti sosial pelajar yang
menjadi budaya hidup pelajar. Hummon (1994) mendapati bahawa slanga yang
diungkapkan oleh pelajar di kampus merupakan atribut personel yang merangkumi
personaliti, perilaku fizikal dan nilai-nilai tertentu. Manakala kajian Bembe&Beukes (2009)
pula mendapati bahawa terdapat beberapa fungsi slanga dalam kalangan masyarakat belia
antara 14 hingga 21 tahun di Gauteng, Afrika Selatan. Fungsi pertama adalah untuk
keseronokan dan kesan humor seperti kata cheese boy/cheese girl yang digunakan untuk
merujuk lelaki atau perempuan muda yang kaya. Fungsi kedua adalah memperlihatkan
kreativiti atau inovasi leksikal seseorang individu seperti kata chill+relax menjadi chillax
yang merujuk kepada calm down/relax atau take it easy. Selain itu responden kajian ini juga
menggunakan slanga untuk memberi salam, mengucapkan selamat tinggal dan sebagai
penanda identiti.

Kajian slanga di kalangan pelajar juga telah dijalankan oleh Nik Safiah Karim (1992).
Kajian Nik Safiah Karim(1992) menjurus kepada perbincangan faktor penggunaan bahasa
slanga dalam kalangan mahasiswa Universiti Malaya. Kajian ini mendapati bahawa terdapat
tiga faktor penggunaan bahasa slanga, iaitu menimbulkan perasaan dan ciri identiti
kumpulan, keadaan mahasiswa yang mudah mengalami tekanan emosi, dan keinginan
mahasiswa itu sendiri untuk meringkaskan perkataan dan rangkai kata yang digunakan
dalam komunikasi sehari-hari. Manakala bagi Minah Sintian (2015) pula telah membuat
kajian tentang penggunaan slanga dalam kalangan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan
Idris dari etnik Kadazan Dusun. Hasil kajian ini memperlihatkan bahawa mahasiswa etnik
Kadazan Dusun cenderung menggunakan bahasa slanga dalam kalangan kumpulan
mereka sahaja atas tujuan gurauan, slogan dan melahirkan perasaan. Salah satu faktor
penggunaan slanga ialah pengaruh akibat kelaziman dalam persekitaran keluarga dan
masyarakatnya di negeri Sabah. Kata-kata slanga yang diungkapkan mempunyai ciri-ciri
kedaerahan dan etnisitis dari sudut kata, dan sebutan selari dengan pengalaman hidup
mahasiswa di universiti.

Sementara kajian Nuraini Yusoff, et al. (2006) pula mengkaji bahasa slanga dalam
pengacaraan rancangan hiburan televisyen, iaitu Melodi, Muzik-Muzik, Sempurnakan
Harimu dan Mencari Cinta. Kajian ini mengkategorikan penggunaan bahasa slanga oleh
pengacara-pengacara rancangan hiburan sebagai salah satu punca pencemaran bahasa.
Antara kata-kata slanga yang paling kerap digunakan oleh pengacara ialah merujuk kata
ganti nama diri, iaitu diorang dan kitorang. Selain itu, kajian ini juga mendapati para
pengacara menggunakan kata-kata slanga yang dicipta khusus untuk sesuatu rancangan
dan menunjukkan identiti diri seperti kata zas dan layan.

Puteri Roslina Abdul Wahid (2008) pula mengkaji slanga di dalam penjara yang
digunakan oleh penghuni penjara untuk mereka berkomunikasi antara dan sesama mereka.
Siri televisyen yang popular iaitu Prison musim kedua telah dijadikan bahan kajian dalam

4
2nd International Convention on Islam, Science & Education
ISBN:978-967-5852-35-0

kajian ini. Kata slanga yang digunakan oleh mereka kebanyakannya berkaitan dengan
perlakuan jenayah, seks dan keganasan. Terdapat juga sistem panggilan tertentu yang
digunakan oleh mereka untuk merujuk kepada watak tertentu seperti kata Boss yang
merujuk warden penjara. Selain Puteri Roslina (2008), Sidang Editor Dewan Bahasa (2008)
juga telah membuat kajian bahasa slanga penjara dengan mewawancara beberapa orang
banduan Penjara Kajang. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa slanga penjara berfungsi
untuk menimbulkan keakraban dan kemesraan dalam kalangan penghuni penjara.
Contohnya kata air dan kaum yang merujuk kepada rakan-rakan dalam kumpulan yang
sama. Slanga juga digunakan untuk mengusik dan bergurau senda untuk mengurangkan
tekanan, kesedihan dan kesunyian kerana terpaksa menghabiskan masa yang panjang
menjalani hukuman.

Muhammed Salehudin Aman (2008) pula pernah membuat tinjauan awal mengenai
slanga ‘Mat Gian’. Kajian dibuat melalui wawancara dengan pelatih-pelatih di pusat serenti
dan pusat jagaan lanjutan. Kajian mendapati bahawa bahasa slanga ‘Mat Gian’ tidak
dituturkan oleh pelatih ketika di pusat-pusat pemulihan tetapi digunakan jika berlakunya
aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan najis dadah. Maka segala kegiatan yang
berhubung dengannya perlu dilakukan secara berahsia. Antara slanga yang sering
digunakan ialah barang, kaki, gonjeng, amenda, pokai dan rewang-rewang.

Jelasnya, kajian-kajian terhadap penggunaan bahasa slanga terdahulu lebih


ditumpukan kepada kewujudan dan penggunaan bahasa slanga dalam kelompok
masyarakat tertentu berbanding dengan bahan-bahan penerbitan.Oleh yang demikian,
maka kertas kerja ini akan menganalisis penggunaan bahasa slanga yang terdapat dalam
penulisan komik kanak-kanak agar dapat memperlihatkan kepada masyarakat bahawa
bahasa slanga telah menular penggunaannya dalam bahan penerbitan bukan hanya
digunakan dalam perbualan kelompok masyarakat tertentu.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan kaedah analisis kandungan. Kaedah analisis kandungan mengikut
Merriam (2001) merupakan satu prosedur yang sistematik untuk menjelaskan kandungan
komunikasi. Kaedah ini pada masa kini banyak digunakan dalam media komunikasi, iaitu
dengan memberi keutamaan analisis kekerapan dan kepelbagaian mesej serta
mengesahkan hipotesis. Lazimnya penyelidikan yang menggunakan analisis kandungan
adalah berbentuk urutan yang bertolak daripada pembinaan kategori kepada persampelan,
pengumpulan data, analisis dan interpretasi data (Othman Lebar,2015). Manakala bagi
analisis makna bagi setiap kata slanga dianalisis berdasarkan pendekatan pragmatik. Yule
(1996) telah menyimpulkan mengenai analisis pragmatik kepada beberapa definisi, iaitu: 1)
pragmatik ialah kajian tentang makna penutur, iaitu merujuk kepada kajian makna yang
dikomunikasikan oleh penutur atau penulis dan yang diinterpretasikan oleh pendengar atau
pembaca. Oleh yang demikian, pragmatik menfokuskan kepada analisis tentang makna
ujaran penutur dan bagaimana kata atau frasa yang digunakan itu memberi manfaat kepada
penutur itu sendiri; 2) pragmatik ialah kajian makna berdasarkan konteks, iaitu merujuk
kepada interpretasi ujaran penutur berdasarkan konteks dan bagaimana konteks tersebut
mempengaruhi apa yang dituturkan. Interpretasi juga mengambil kira bagaimana penutur
menyusun atur ujaran yang dilafazkan, orang yang dilawan tutur, tempat, masa dan tujuan
dituturkan; 3) pragmatik ialah kajian untuk memperoleh makna tersirat daripada makna

5
2nd International Convention on Islam, Science & Education
ISBN:978-967-5852-35-0

tersurat; dan 4) pragmatik ialah kajian hubungan keakraban dan jarak antara penutur
dengan pendengar dengan merujuk kepada konteks komunikasi.

DAPATAN DAN PERBINCANGAN

Berdasarkan kajian dapatlah dilihat bahawa terdapatnya perkataan slanga yang digunakan
oleh penulis secara jelas dalam penulisan komik Siri Komik Ana Muslim. Perkataan-
perkataan slanga yang terdapat dalam komik ini merupakan perkataan slanga yang telah
diterima pakai oleh masyarakat dan digunakan secara meluas dalam pertuturan seharian
oleh masyarakat terutamanya golongan remaja. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat
tiga bentuk perkataan slanga yang digunakan oleh penulis dalam siri komik Pada Suatu
Hari, iaitu kata slanga merujuk kata ganti nama diri, kata slanga untuk memudah ekspresi
dan kata slanga yang dimanipulasikan daripada bahasa asing.

Kata Slanga Merujuk Kata Ganti Nama Diri Orang

Nik Safiah Karim et al. (2013) menjelaskan bahawa kata ganti nama diri orang ialah
perkataan yang menjadi pengganti kata nama khas orang dan kata nama am orang. Kata
ganti nama diri orang mengandungi perkataan yang merujuk diri orang tertentu, iaitu diri
orang pertama, diri orang kedua dan diri orang ketiga. Kata ganti nama diri orang pertama
merangkumi saya, aku, beta, patik, kami, dan kita. Kata ganti nama diri orang kedua pula
merangkumi anda, saudara, engkau, awak dan kamu. Manakala kata ganti nama diri orang
ketiga ialah ia, dia, beliau, mereka dan -nya. Hasil kajian menunjukkan terdapat
penggunaan kata slanga yang merujuk kata ganti nama diri orang, iaitu diorang, kitorang,
bro, gua dan korang. Berikut disenaraikan contoh ayat menggunakan kata slanga yang
merujuk kata ganti nama diri orang.

Bil Ayat Kata Makna


Slanga
1. Tanpa aku sangka siti perambat diorang Diorang Mereka
dengan penyapu.
2. Kitorang mandi pakai air perigi je. Kitorang Kami
3. Mari la masuk solat sama-sama bro Bro Awak;kamu;abang
4. Gua tengah kerja la. Gua Saya;aku
5. Apa lagi yang korang boleh buat ye? Korang Awak semua;kamu semua
Jadual 1: Kata Slanga merujuk kata ganti nama diri orang

Berdasarkan senarai contoh dalam jadual 1, perkataan slanga yang merujuk kata ganti
nama dalam komik Pada Suatu Hari merupakan perkataan-perkataan yang biasa didengar
dan digunakan dalam perbualan seharian golongan remaja khususnya pada hari ini.
Misalnya kata diorang merupakan kata ganti nama orang ketiga merujuk kepada kata ganti
nama ‘mereka’. Kata diorang berasal dari rangkai kata dia orang yang dipermudahkan
sebutan dan ejaannya menjadi diorang. Manakala kitorang pula berasal dari rangkai kata
kita orang yang diringkaskan sebutannya dan ejaannya menjadi kitorang untuk merujuk
kepada kata ganti nama orang pertama, iaitu ‘kami’. Begitu juga dengan kata slanga korang
yang merujuk kepada kata ganti nama orang kedua, iaitu ‘awak semua’ atau ‘kamu semua’.
Sementara bagi kata slanga bro dan gua pula merupakan kata pinjaman daripada bahasa
Inggeris dan bahasa Cina. Bro merujuk kepada kata panggilan ‘abang’ juga merujuk kepada
kata ganti nama ‘kamu’ atau ‘awak’. Gua pula berasal daripada bahasa Cina yang bermakna
‘saya’ atau ‘aku’.

6
2nd International Convention on Islam, Science & Education
ISBN:978-967-5852-35-0

Perkataan-perkataan slanga yang terdapat dalam komik ini juga sering dijumpai
dalam perbualan di media-media sosial mahupun di rancangan-rancangan televisyen, filem-
filem atau drama-drama yang ditayangkan di kaca-kaca televisyen. Seperti hasil kajian
Nuraini Yusoff, et al. (2006) bahawa penggunaan kata slanga diorang, kitorang dan
korang merupakan kata slanga yang paling kerap ditemui dalam pengacaraan rancangan-
rancangan hiburan di televisyen berbanding kata-kata slanga yang lain. Hal ini menunjukkan
bahawa kelaziman penggunaan perkataan-perkataan ini telah mempengaruhi penulis komik
untuk menggunakannya dalam hasil karya mereka bagi memperlihatkan bahawa bahasa
yang digunakan selari dengan situasi hari ini dan bersesuaian dengan sasaran pembaca.
Selain itu, keadaan ini juga menggambarkan bahawa penulis berhasrat untuk mendekati
pembaca dengan menggunakan kosa kata yang mudah, santai dan dekat dengan pembaca.

Kata Slanga Untuk Memudah Ekspresi

Kata slanga yang digunakan untuk memudah ekspresi merupakan perkataan atau rangkai
kata yang dipermudahkan sebutannya seperti diringkaskan atau digabungkan daripada
dua/tiga perkataan menjadi satu perkataan. Berikut ialah contoh-contoh perkataan slanga
yang bersifat memudahkan ekspresi dalam siri komik Pada Suatu Hari:

Bil Ayat Kata Slanga Makna


1. Mak sediakan bekal nasi goreng, pastu bagi Pastu Selepas itu
pulak duit belanja seringgit
2. Kekadang bila dah siap nak jalan, tetiba Kekadang Kadang-kadang
ayah buka kasut naik atas rumah balik Tetiba Tiba-tiba
pulak.
3. Heran jugak aku Heran Hairan
4. Takpe la itu cerita lama. Takpe Tidak mengapa
5. Memang nak kena babap ni. Babap Pukul
6. Apapun takleh buat kan Chot. Takleh Tidak boleh
7. Dia masih suka layan citer Jepun. Citer cerita
8. Mari la jenjalan sesama. Jenjalan Berjalan-jalan
sesama Bersama-sama
Jadual 2: Kata Slanga bertujuan untuk memudah ekspresi

Berdasarkan senarai contoh-contoh dalam jadual 2, didapati bahawa terdapat beberapa


bentuk kata slanga yang bertujuan memudahkan ekspresi. Antaranya penggabungan dua
perkataan menjadi satu perkataan seperti pastu (selepas itu), takpe (tidak mengapa) dan
takleh (tidak boleh). Terdapat juga kata slanga yang dibentuk daripada ringkasan kata
ganda seperti kekadang (kadang-kadang), tetiba (tiba-tiba), jenjalan (berjalan-jalan) dan
sesama (bersama-sama). Sementara bagi kata slanga heran (hairan) dan citer (cerita)
merupakan kata slanga yang terbentuk akibat kelaziman dalam pertuturan seharian.
Manakala bagi kata slanga babap (pukul) merupakan kata slanga yang dibentuk untuk
memperlihatkan kesan lembut dan manja bagi perkataan pukul. Babap terhasil daripada
bunyi tindakan memukul, iaitu bap bap. Dapatan ini jelas memperlihatkan bahawa bahasa
slanga yang digunakan ini bukan sahaja menunjukkan sifat penulis yang berhasrat untuk
meringkaskan sesuatu perkataan malahan memperlihatkan kreativiti seorang penulis remaja
untuk membina kosa kata yang mudah diekspresikan dan ringkas.

Kata Slanga Daripada Bahasa Asing

Hasil kajian juga menunjukkan terdapat kata slanga yang dicipta secara sewenang-
wenangnya daripada bahasa asing. Perkataan-perkataan tersebut diambil daripada bahasa
7
2nd International Convention on Islam, Science & Education
ISBN:978-967-5852-35-0

asing tetapi dieja mengikut rumus bahasa Melayu. Antara bahasa asing yang terlibat ialah
bahasa Inggeris, bahasa Arab dan bahasa Cina.

Bil Ayat Kata Slanga Makna


1. Kita dah besar, mainan ni baby-baby kiut je Baby-baby Bayi-bayi comel
layan. kiut
2. Jangan jeles. Jeles Cemburu
3. Gerenti dia kena marah punya pasal biarkan Gerenti Sudah pasti
aku kelaparan.
4. Dia memang terer melukis Terer Pandai
5. Macam Power Rangers kaler hijau. Kaler Warna
6. Dia buat dunno je Dunno Tidak peduli
7. Suspen la pulak Suspen
8. Mulai waktu itu tiap kali Sarah datang ke opis Opis Pejabat
dia tak akan penat bercerita.
9. Dia akhirnya melanjutkan pelajarannya ke Obesi Luar Negara
obesi.
10. Abang Zafran la nampak hensem jugak. Hensem Kacak
11. Satu lagi abang aku eksen je. Eksen berlagak
12. Telur masin nenek memang glamer kat sini. Glamer Popular
13. kontrol..kontrol..jangan membazir. kontrol Kawal
14. Rasa macam koboi dengan unggun api. Koboi Gelaran untuk gembala
lembu yang
menunggang kuda di
Amerika Syarikat
15. Teknik pembelajarannya berbeza dengan Otai veteran
cikgu-cikgu otai yang lain.
16. Jangan nak usha sangatlah. Usha Tengok,lihat,pandang
Jadual 3 : Kata slanga daripada bahasa asing

Jadual 3 jelas menunjukkan penggunaan kata slanga yang dimanifestasikan daripada


bahasa asing dan dieja dengan rumus bahasa Melayu sama ada mengekalkan atau
mengubah makna asal perkataan tersebut. Antara bahasa yang terlibat ialah bahasa
Inggeris, iaitu perkataan baby-baby kiut, jeles, gerenti, terer, kaler, dunno, suspen, opis,
obesi, eksen, hensem, kontrol, glamer dan koboi. Sementara perkataan otai pula
pinjaman daripada bahasa Cina yang bermaksud ‘ketua’. Walau bagaimanapun dalam
kajian ini kata otai merujuk kepada kosa kata ‘veteran’. Perkataan usha pula
dimanifestasikan daripada bahasa Arab yang membawa makna ‘melihat’ atau ‘memandang’.
Dapatan kajian ini memperlihatkan sifat kreatif penulis mengubah ejaan bahasa asal seperti
bahasa Inggeris dengan ejaan rumus Melayu yang lebih mudah disebut. Walau
bagaimanapun, situasi ini akan mewujudkan kekeliruan dalam kalangan kanak-kanak yang
membacanya dengan ejaan standard perkataan-perkataan tersebut, sedangkan jika
sekiranya penulis mengekalkan ejaan asal yang tepat adalah lebih baik kerana setengah-
setengah perkataan tersebut membawa makna yang sama seperti kaler (colour), koboi
(cow boy), hensem (handsome) dan jeles (jealous).

Berdasarkan kajian juga didapati bahawa kata-kata slanga yang digunakan oleh
penulis adalah dalam perbualan seharian antara watak-watak remaja sesama rakan sebaya,
rakan-rakan yang lebih muda, ahli keluarga seperti ibu, bapa juga abang, kakak atau adik
dan monolog watak-watak remaja. Perbualan yang bersifat rasmi tidak menggunakan
bahasa slanga. Hal ini menunjukkan bahawa bahasa slanga dimasukkan oleh penulis
sebagai variasi bahasa perbualan santai dalam siri komik Pada Suatu Hari.

8
2nd International Convention on Islam, Science & Education
ISBN:978-967-5852-35-0

PENUTUP

Sebagai rumusannya, didapati bahawa wujud gejala penggunaan bahasa slanga dalam
penulisan komik kanak-kanak. Penggunaan kata slanga, menurut Nik Safiah Karim, tidak
perlu dibendung kerana kata slanga tidak merebak dalam tulisan dan penggunaan rasmi.
Hal ini dikatakan demikian kerana penggunaan slanga terhad dalam kalangan kumpulan
sosial yang menuturkannya sahaja. Slanga berkaitan dengan kesesuaian sosial, bukan
berkenaan dengan ketepatan nahu kerana slanga tidak melanggar struktur ayat, seperti
yang dihujahkan oleh Connie C. Able dalam Slang and Sociability (S.Nathesan, September
2012). Walau bagaimanapun menurut Mohd. Amin Arshad (2002), walaupun bahasa slanga
bersifat sementara namun, sekiranya penggunaannya tidak dibendung, terutama dari segi
sistem pembentukan kata dan istilah, besar kemungkinannya akan turut menjejaskan status,
kemurnian dan ciri penting bahasa Melayu, iaitu bahasa yang menekankan kesopanan dan
kesantunan berbahasa. Apa yang lebih dibimbangi ialah penggunaan bahasa slanga akan
meluas dalam bidang penulisan. Kebimbangan para pengkaji bahasa terhadap penggunaan
bahasa slanga ini, kini telah terbukti dengan hasil kajian ini.

Secara keseluruhannya, kajian ini telah mendapati bahawa perkataan-perkataan


slanga yang telah diterima dan meluas penggunaannya dalam kalangan masyarakat telah
wujud dalam penulisan komik kanak-kanak. Apa yang dikhuatiri, kanak-kanak yang baru
belajar bahasa akan mudah terikut-ikut dan menganggap bahawa perkataan-perkataan
tersebut adalah betul penggunaannya. Malah, hal ini juga menunjukkan bahawa kanak-
kanak telah didedahkan dengan penggunaan perkataan-perkataan slanga tersebut pada
peringkat awal, walaupun hanya dalam bahan bacaan ringan. Menurut Saodah Wok,
Narimah Ismail dan Mohd Yusof Hussain (2003), kanak-kanak tidak dapat membuat
penilaian dengan lebih kritikal, jadi apa yang dilihat, didengar, dipercayai dan diikuti akan
dilakonkan semula. Mohamad Daud (2012) mencadangkan bahawa, walaupun penggunaan
bahasa slanga yang meresapi kehidupan remaja tidak berupaya untuk dihalang, tetapi
seharusnya masyarakat pengguna bahasa perlu memastikan situasi ini tidak mengganggu
gugat usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu. Oleh yang demikian, pihak penulis dan
penerbit bahan bacaan kanak-kanak seharusnya perlu mengatur strategi bagi mengatasi
masalah penggunaan bahasa slanga dalam bahan bacaan kanak-kanak agar kanak-kanak
hari ini lebih terdedah dengan bahasa yang baik dan seterusnya dapat melestarikan
kesopanan dan kesantunan dalam berbahasa.

9
2nd International Convention on Islam, Science & Education
ISBN:978-967-5852-35-0

RUJUKAN

Abdul Ghani Abu. Mei, 2008.Slanga penjara yang unik. Dewan Bahasa, 8(5). 57-59.

Bembe, M.P.&Beukes, A.M. 2009. The use of slang by black youth in Gauteng. Southern
African Linguistics and Applied Language Studies, 25 (4), 463-472.

Hummon, D.M.1994. College slang revisited language, culture and undergraduate life.
Journal of Higher Education, 65 (1), 5-98.

Minah Sintian. 2015. Penggunaan slanga dalam kalangan pelajar Kadazan Dusun di
Universiti Pendidikan Sultan Idris. Prosiding Seminar Antarabangsa
Linguistik&Pembudayaan Bahasa Melayu IX. Universiti Putra Malaysia.

Mohd. Amin Arshad. 2002. Bahasa slanga: Pembentukan dan ciri-cirinya. Monograf Bahasa,
Sastera dan Budaya Melayu 3, 49-63.

Muhamad Daud. Oktober, 2012. Bahasa slanga remaja cabaran memartabatkan bahasa
Melayu. Dewan Bahasa, 12(10). 18-21.

Muhammed Salehudin Aman. Mac, 2008. Slanga ‘Mat Gian’. Dewan Bahasa, 8(3). 48-51.

Nik Safiah Karim. 1992. Beberapa Persoalan Sosiolinguistik Bahasa Melayu. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Safiah Karim, Farid M. Onn, Hashim Musa & Abdul Hamid Mahmood. 2013. Tatabahasa
Dewan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nuraini Yusuf, Marzalina Mansor, Nasihah Hashim, Faizah Ahmad & Ainal Akmar Ahmad.
2005. Pencemaran bahasa di televisyen: Pengacaraan rancangan hiburan. Laporan
Penyelidikan Universiti. UUM.

Othman Lebar. 2015. Penyelidikan kualitatif. Pengenalan kepada teori dan metode. Tanjong
Malim: Penerbit UPSI.

Puteri Roslina Abdul Wahid. Mei 2008. Slanga di sebalik jeriji besi. Dewan Bahasa, 8 (5).
14-15.

Saodah Wok, Narimah Ismail dan Mohd Yusof Hussain. 2003. Teori-teori komunikasi.
Pahang: PTS Publication & Distributors Sdn. Bhd.

Teo Kok Seong. April,1996. Slanga: Satu fesyen pertuturan. Pelita Bahasa, 8 (4).

Yule, G. 1996. Pragmatics. Oxford: Oxford University Press.

Zuraidah Mohd Sulaiman. Mac, 2016. Slanga mengupayakan kreativiti berbahasa remaja
Melayu dan Cina (Bahagian 1). Dewan Bahasa, 16 (3). 22-25.

Zuraidah Mohd Sulaiman. April, 2016. Slanga mengupayakan kreativiti berbahasa remaja
Melayu dan Cina (Bahagian 2). Dewan Bahasa, 16 (4). 22-25.

10

View publication stats

You might also like