You are on page 1of 14

Amalan Takaful Keluarga: Terma dan Syarat

481

BAB C3

AMALAN TAKAFUL KELUARGA: TERMA-TERMA DAN SYARAT-SYARAT SIJIL


PENGENALAN Bab ini akan membincangkan secara terperinci mengenai terma-terma dan syarat-syarat umum yang biasanya terdapat dalam sijil Takaful Keluarga. C3.1 KETERANGAN SIJIL TAKAFUL KELUARGA

Takaful perpaduan keluarga menyediakan perlindungan kepada peserta dengan manfaat perlindungan kewangan dan simpanan jangka panjang. Peserta atau waris akan disediakan dengan manfaat kewangan jika peserta ditimpa musibah. Pada masa yang sama, peserta akan memiliki tabungan peribadi jangka panjang kerana sebahagian daripada sumbangan yang dibayar akan disimpan dalam sebuah akaun bagi tujuan simpanan dan pelaburan. Peserta akan dapat menikmati pulangan pelaburan daripada bahagian simpanan mengikut nisbah yang telah dipersetujui dengan Pengendali Takaful. Adalah penting untuk memahami bahawa perkataan "sijil" dan "kontrak" adalah tidak sinonim atau tidak sama pegertiannya. Sijil adalah alat atau perantaraan (mungkin dalam bentuk kertas atau sebagainya) di mana perjanjian ditulis di atasnya. Sementara kontrak pula adalah sesuatu yang tidak ketara, iaitu perjanjian perundangan yang mengikat pihak-pihak berkenaan. Akta Takaful 1984 mendefinisikan sijil Takaful sebagai apa-apa kontrak Takaful bagi perniagaan perpaduan keluarga atau perniagaan am sama ada atau tidak terkandung dalam atau diterangkan oleh suatu surat cara dalam bentuk sijil, dan sebutan mengenai pengeluaran sijil hendaklah ditafsirkan dengan sewajarnya. Sebutan mengenai sesuatu

482

Amalan Asas Takaful

sijil Pengendali Takaful termasuklah apa-apa sijil yang berkenaan dengannya pengendali adalah di bawah apa-apa liabiliti, sama ada sijil itu telah dikeluarkan oleh pengendali atau liabiliti itu telah berpindah kepada pengendali daripada seorang pengendali lain. C3.2 TRANSAKSI SIJIL

Transaksi sijil boleh dibahagikan kepada tajuk-tajuk berikut:i. Sijil pendua, dan ii. Penyerahan hak sijil Takaful keluarga. 3.2.1 Sijil Pendua

Apabila dokumen sijil hilang atau salah letak, sijil gantian akan dikeluarkan oleh Pengendali Takaful. Pengendali Takaful biasanya memerlukan dari peserta, antara lain, dokumen-dokumen berikut sebelum mengeluarkan sijil gantian:i. surat permohonan; ii. persetujuan untuk membayar ganti rugi kepada Pengendali Takaful sekiranya timbul sebarang kerugian disebabkan pengeluaran sijil pendua berkenaan. Sijil pendua akan dicop dengan perkataan Sijil Pendua, dan menjadi dokumen perundangan yang sah. 3.2.2 Penyerahan Hak Sijil Takaful Keluarga

Perlu difahami bahawa Akta Takaful 1984 mendefinisikan peserta sebagai orang yang diberi perlindungan, dimana setelah sijil diserah hak kepada pemegang serah hak pada masa itu, dan pemegang serah hak berhak mendapat manfaat sijil dari pengendali Takaful kerana ia adalah wakil diri peserta yang telah meninggal dunia. Penyerahan hak ialah suatu pemindahan hak dan liabiliti oleh seseorang kepada seseorang yang lain. Di Takaful, pemindahan

Amalan Takaful Keluarga: Terma dan Syarat

483

semua hak dan tanggungan peserta kepada orang lain disebut sebagai suatu penyerahan hak sijil. Pemegang serahhak, orang yang mengambil alih hak-hak yang diberikan, akan mempunyai hak yang sama seperti yang dinikmati oleh penyerah hak. Oleh itu, hak undangundang di bawah sijil Takaful keluarga boleh dipindahkan melalui penyerahan hak. Penyerahan hak boleh dibuat sama ada serah hak mutlak atau serah hak bersyarat. Penyerahan hak mutlak tidak meninggalkan apa-apa hak untuk penyerah hak, kecuali pembayaran sumbangan sekiranya peserta memilih untuk membayar. Sebaliknya, serah hak bersyarat akan memberi hak kepada penyerah hak untuk membatalkan penyerahan hak sekiranya pemegang serah hak meninggal dunia sebelum manfaat Takaful dibayar atau jika peserta masih hidup sehingga tarikh matang sijil Takaful. Proses penyerahan hak boleh dilakukan melalui prosedur berikut: 1. Penyerahan hak hendaklah dibuat secara bertulis. Tanpa notis bertulis, pengendali Takaful tidak boleh dipertanggungjawabkan keatas bayaran yang dibuat kepada individu lain, selain dari pemegang serah hak; 2. Penyerahan hak boleh dikuatkuasakan melalui endorsemen atau surat ikatan yang berasingan; 3. Notis bertulis mengenai penyerahan hak hendaklah dihantar ke ibu pejabat pengendali Takaful; 4. Apabila menerima notis penyerahan hak, pengendali Takaful hendaklah mendaftarkan notis berkenaan. Ini adalah perlu untuk menentukan susunan keutamaan dalam tuntutan sekiranya sijil berkenaan mempunyai pelbagai penyerahan hak. Mengikut keutamaan, penyerahan hak yang lebih awal tarikhnya perlu didahulukan berbanding dengan penyerahan hak yang didaftarkan selepas tarikh tersebut. Penyerahan Hak Amaun Tuntutan Dalam Takaful, istilah "penyerahan hak" juga digunakan dalam konteks menyerahkan hak prosid atau manfaat sijil. Penyerahan hak

484

Amalan Asas Takaful

prosid sijil timbul apabila peserta mengarahkan pengendali Takaful untuk membayar prosid sijil kepada pihak ketiga. Sebagai contoh, terdapat penyerahan hak prosid sijil apabila peserta mengarahkan Pengendali Takaful untuk membayar ganti rugi yang peserta mempunyai hak keatasnya untuk diserahkan kepada pihak lain. Dalam Takaful Keluarga, penyerahan hak prosid sijil berlaku apabila pemilik sijil / peserta menamakan benefisiari untuk menerima manfaat kematian di bawah sijil berkenaan. Dalam penyerahan hak tersebut, peserta masih kekal sebagai satu pihak kepada kontrak Takaful dan terus bertanggungjawab terhadap liabiliti yang timbul di bawah sijil walaupun selepas membuat penyerahan hak prosid sijil. Semua perolehan sijil bebas untuk diserah hak, melainkan jika kontrak menyatakan sebaliknya. Seksyen 6, Akta Takaful 1984, memperuntukkan bahawa hanya mereka yang telah mencapai umur lapan belas (18) tahun dan ke atas sahaja yang boleh terlibat dalam kontrak Takaful. Oleh yang demikian, peserta boleh melantik seseorang untuk menerima manfaat sijil sekiranya beliau meninggal dunia, dengan memberitahu pengendali Takaful secara bertulis mengenai butir-butir penama berikut: i. Nama dan tarikh lahir, ii. No kad pengenalan atau no sijil kelahiran, dan iii. Alamat. Penamaan tersebut hendaklah disaksikan oleh seseorang yang berfikiran waras, telah mencapai umur 18 tahun dan yang bukan merupakan penama yang dinamakan di bawah sijil berkenaan. C3.3 ENDORSEMEN / PINDAAN KE ATAS SIJIL

Kontrak Takaful keluarga secara umumnya adalah kontrak jangka panjang dengan tempoh perlindungan berlanjutan sehingga lebih dari 20 tahun. Dalam tempoh yang panjang ini, situasi atau keadaan pemegang sijil mungkin telah berubah. Fleksibiliti yang terdapat

Amalan Takaful Keluarga: Terma dan Syarat

485

dalam struktur kontrak membolehkan beberapa bentuk pindaan boleh dilakukan terhadap sijil Takaful. Dokumen sijil yang standard sering dipinda sebagai pengesahan terhadap perubahan dan perbezaan keadaan serta keperluan seseorang. Endorsemen boleh dilakukan: i. ketika sijil dikeluarkan, atau ii. selepas sijil dikeluarkan. Endorsemen Ketika Sijil Dikeluarkan Secara amnya, berikut adalah tiga syarat-syarat khusus untuk membuat endorsemen terhadap:1. perubahan yang memberi kesan kepada amaun sumbangan atau kekerapan bayaran. Sebagai contoh, jika pindaan melibatkan bayaran ansuran sumbangan, maka suatu syarat yang bersesuaian perlu dikenakan iaitu dengan mengadakan peruntukan bagi potongan apa-apa tunggakan yang belum dibayar, dilangsaikan semasa membuat tuntutan kematian; 2. pindaan yang melibatkan perubahan jumlah perlindungan atau mod bayaran. Sebagai contoh, sekiranya pilihan penyelesaian ialah menggunakan prosid sijil sebagai deposit atas arahan pengendali, maka syarat-syarat khas perlu diperuntukkan semasa membuat endorsemen; 3. pindaan yang menyertakan manfaat tertentu, contohnya pilihan untuk menukar kontrak sedia ada kepada jenis kontrak yang berbeza; perlu menyertakan had atau pembatasan tertentu. Endorsemen Selepas Sijil Dikeluarkan Endorsemen ini dibuat kerana terdapat perubahan dalam: i. mod bayaran sumbangan; ii. perubahan bentuk kontrak; iii. mengenakan atau mengecualikan sumbangan tambahan.

486

Amalan Asas Takaful

Pindaan-pindaan diatas secara amnya boleh dibahagikan kepada kategori perubahan berikut: i. nama atau umur peserta; ii. sumbangan yang perlu dibayar mod bayaran dan tarikh bayaran; iii. jumlah perlindungan dan amaun sumbangan; iv. Pelan Takaful. Pindaan Sijil Bentuk pindaan yang biasa dilakukana ialah: 1. pertukaran alamat - pindaan ini tidak melibatkan sebarang perubahan dalam syarat kontrak dan lazimnya diterima oleh Pengendali Takaful. Perubahan pada rekod pengendali Takaful akan dibuat dan peserta akan diberitahu mengenainya; 2. pertukaran nama (pemohon / peserta adalah individu yang sama) Perubahan ini dilakukan dengan mengeluarkan endorsemen. Dokumen bukti diperlukan untuk melakukan pindaan ini; 3. perubahan kekerapan bayaran sumbangan; 4. perubahan jumlah perlindungan Pengendali Takaful biasanya membenarkan pengurangan jumlah perlindungan dengan syarat amaun yang dikurangkan itu tidak menjadi lebih rendah dari amaun perlindungan minimum bagi kategori perniagaan tersebut. Walau bagaimanapun, Pengendali Takaful tidak menggalakkan peningkatan amaun perlindungan kerana khuatir terdapat anti pemilihan. Dalam keadaan ini, laporan kesihatan yang membuktikan kesihatan peserta adalah memuaskan mungkin diperlukan oleh pengendali Takaful dan amaun sumbangan akan diselaraskan untuk mencerminkan peningkatan jumlah perlindungan. Sebagai alternatif, peserta disarankan untuk mengambil sijil baru dengan jumlah perlindungan yang lebih besar; 5. penukaran benefisiari; 6. perubahan tempoh perlindungan, contohnya dari 10 tahun kepada 5 tahun;

Amalan Takaful Keluarga: Terma dan Syarat

487

7. pindaan kontrak kepada sijil jelas dibayar; 8. perubahan pelan Takaful; 9. penepian sumbangan tambahan apabila peserta tidak lagi terdedah kepada risiko tambahan, seperti hobi, aktiviti masa lapang dan/atau pekerjaan yang merbahaya. Setiap pengendali Takaful mempunyai prosedurnya sendiri untuk meminda sijil. Biasanya, dokumen sijil dan permohonan bertulis dari peserta hendaklah dihantar ke pejabat pengendali Takaful kerana perubahan tersebut akan dimasukkan ke dalam dokumen sijil. Apabila pejabat Pengendali Takaful menerima permohonan bertulis, ia akan menyemak rekod notis serahan hak untuk mengetahui sama ada ia melibatkan pihak ketiga yang mempunyai kepentingan ke atas sijil berkenaan, dan kebenaran dari pihak berkenaan hendaklah diperolehi terlebih dahulu kerana ianya sangat penting. Pengendali Takaful kemudiannya akan mengemaskinikan rekod berkaitan. C3.4 KEISTIMEWAAN DAN SYARAT-SYARAT

Pembayaran jumlah perlindungan adalah tertakluk kepada pemenuhan syarat-syarat tertentu yang dinyatakan dalam sijil Takaful Keluarga. Syarat-syarat sijil secara umumnya boleh dikelaskan kepada tiga kumpulan:1. Syarat yang menambah manfaat perlindungan. Syarat berkenaan juga dikenali sebagai kemudahan; 2. Syarat yang menghadkan skop perlindungan. Ia dikenali sebagai syarat pembatasan dan secara umumnya ia melibatkan risiko yang tidak diambilkira dalam pengiraan kadar sumbangan; 3. Syarat yang menerangkan ciri-ciri kontrak Tempoh Tenggang Sumbangan (grace period) Tempoh selama tiga puluh hari (atau satu bulan kalendar) biasanya dibenarkan sebagai tempoh tenggang bagi pembayaran sumbangan secara tahunan, setengah-tahunan, suku-tahunan dan bulanan. Perlindungan di bawah sijil Takaful akan terus berkuatkuasa semasa

488

Amalan Asas Takaful

tempoh pertangguhan ini dengan amaun penuh jumlah perlindungan. Jika sumbangan masih tidak dijelaskan dalam tempoh tersebut, perlindungan sijil akan ditamatkan, tertakluk kepada sebarang peruntukan tak lucut hak, sekiranya berkenaan. Nilai Serahan Nilai serahan adalah nilai yang terdapat dalam sijil Takaful Keluarga selepas sumbangan dibayar untuk tempoh minimum beberapa tahun. Dalam skim Takaful keluarga, nilai serahan difahami sebagai nilai atau wang tunai yang akan diterima oleh peserta apabila ia 'menyerahkan' atau menamatkan penyertaannya sebelum sijil mencapai tempoh matang. Dalam hal ini, peserta akan dibayar semua baki terkumpul dalam Akaun Peserta, tetapi tiada amaun bayaran dari Akaun Khas Peserta (dana tabarru) kerana sumbangan untuk akaun ini telah dianggap sebagai derma. Pengeluaran Sebahagian Peserta dibenarkan mengeluarkan simpanannya sendiri untuk digunakan sekarang, walaupun sepatutnya ia disimpan dalam tabung untuk kegunaan di masa akan datang. Setiap pengendali Takaful mempunyai set garis panduan mereka sendiri mengenai jumlah wang yang boleh dikeluarkan oleh peserta. Biasanya sehingga 50% daripada baki yang ada dalam Akaun Peserta boleh dibuat pengeluaran sebahagian. Sudah tentu pengendali Takaful tidak mengenakan faedah atas pengeluaran yang dibuat, kecuali caj minimum dikenakan untuk menguruskan transaksi berkenaan. Peserta boleh memilih untuk membayar balik atau sebaliknya atas pengeluaran yang telah dibuat, tetapi harus diingat bahawa pulangan pelaburan Akaun Peserta adalah bergantung kepada amaun yang terdapat dalam akaun berkenaan. Syarat-Syarat Tanpa Bayaran Syarat-syarat tanpa-bayaran merupakan satu keistimewaan yang sangat berharga kepada peserta yang menghadapi masalah untuk

Amalan Takaful Keluarga: Terma dan Syarat

489

membuat bayaran sumbangan atau buat sementara waktu ia tidak dapat memenuhi tanggungjawabnya. Peruntukan tanpa-bayaran memainkan peranannya setelah sijil memperolehi nilai tunai. Ia adalah nilai tunai yang terkumpul didalam Akaun Peserta yang digunakan untuk membiayai manfaat / kemudahan tanpa-bayaran. Berikut adalah antara kaedah yang digunakan untuk melaksanakan peruntukan syarat-syarat tanpa-bayaran: Pendahuluan Automatik dari Akaun Peserta Di bawah peruntukan ini, setiap sumbangan akan dibayar secara automatik apabila sampai masanya setelah tamat tempoh tenggang. Sumbangan akan terus berbayar sehingga nilai tunai habis digunakan dan selepas itu perlindungan akan ditamatkan. Pengendali Takaful membuat peruntukan ini dalam kontrak mereka untuk menyediakan kesinambungan perlindungan apabila peserta tidak mampu atau cuai dan gagal membayar sumbangan. Peruntukan ini juga membenarkan peserta pada bila-bila masa hak untuk mengembalikan status asal sijil dengan membayar amaun yang tertunggak kepada pengendali Takaful. Bukti kebolehlindungan tidak diperlukan untuk mengembalikan semula sijil kepada status asal. Tambahan pula, dengan menggunakan pendahuluan automatik dari Akaun Peserta, ia membolehkan manfaat tambahan seperti penepian bayaran sumbangan dan manfaat kematian akibat kemalangan dapat diteruskan. Tujuan peruntukan tanpa-bayaran ini adalah untuk melindungi kepentingan peserta yang terlupa membayar premium atau tidak berkemampuan untuk berbuat demikian buat sementara waktu. Kemudahan ini bukanlah bertujuan untuk membolehkan peserta memperolehi perlindungan Takaful keluarga dengan kos minimum.

490

Amalan Asas Takaful

Takaful Berbayar Pilihan Takaful Berbayar ini membenarkan peserta membuat penukaran amaun bersih nilai tunai kepada sijil Takaful berbayar dari jenis yang sama seperti sijil asal tetapi amaun muka yang berkurangan. Sebaik sahaja sijil ini ditukar menjadi sijil Takaful berbayar, sumbangan selanjutnya tidak perlu dibayar, dan semua rider serta manfaat tambahan seperti hilang upaya dan kematian akibat kemalangan akan dimansuhkan. Bagi segelintir peserta, peruntukan Takaful berbayar ini merupakan sesuatu yang dialu-alukan khususya apabila peserta akan mencapai umur persaraan, yang biasanya pendapatan mereka akan berkurangan. Takaful Bertempoh Yang Dilanjutkan Pilihan Takaful bertempoh yang dilanjutkan ini membenarkan peserta menukar nilai tunai diperolehi kepada perlindungan Takaful bertempoh berbayar dengan amaun penuh jumlah perlindungan tetapi tempoh perlindungan dipendekkan. Tempoh perlindungan adalah bergantung kepada amaun nilai tunai terkumpul yang ada dan boleh digunakan sebagai bayaran sumbangan tunggal bersih pada tarikh penukaran. Pilihan ini adalah lebih sesuai ketika perlindungan Takaful masih diperlukan tetapi kemampuan kewangan untuk membayar sumbangan telah terjejas. Untuk sijil yang mempunyai nilai tunai (endowmen), perlindungan bertempoh yang disediakan biasanya tidak melebihi tarikh matang sijil asal. Syarat-Syarat Pengembalian Semula (Reinstatement Condition) Syarat pengembalian semula membolehkan seseorang memohon untuk menguatkuasakan semula kontrak setelah tempoh tangguh dan tempoh tanpa-bayaran telah berakhir. Bukti kesihatan dan bukti-bukti lain mungkin diperlukan dan pengendali Takaful biasanya berhak mengenakan termanya sendiri untuk mempertimbangkan permohonan

Amalan Takaful Keluarga: Terma dan Syarat

491

pengembalian semula sijil. Selain dari tempoh tangguh dan tempoh tanpa-bayaran, biasanya terdapat tempoh lanjutan di mana pengembalian semula sijil boleh dilakukan. Semasa tempoh perlindungan di bawah fasal tanpa-bayaran, adalah kebiasaan untuk menyambung perlindungan sijil dengan amaun penuh jumlah perlindungan asal iaitu dengan membayar semua tunggakan sumbangan. Sijil yang dikembalikan semula kuatkuasanya adalah tertakluk kepada bukti kesihatan yang memuaskan. Pengembalian semula sijil biasanya tidak dibenarkan dalam keadaan berikut:1. Sijil yang telah luput untuk tempoh tertentu (tertakluk kepada terma dan syarat pengendali Takaful) 2. Peserta adalah seorang wanita yang mengandung 8 bulan atau lebih (tertakluk kepada terma dan syarat pengendali Takaful) 3. Peserta yang telah mencapai umur maksimum akan (tertakluk kepada terma dan syarat Pengendali Takaful) Adalah penting untuk diketahui bahawa bagi setiap sijil yang dikuatkuasakan semula, tarikh kuatkuasa untuk: i. fasal tidak boleh tanding dan fasal bunuh diri yang terkandung dalam Syarat-Syarat dan Kemudahan sijil, dan ii. tempoh menunggu yang dinyatakan dalam sijil atau rider, adalah bermula dari tarikh sijil berkenaan dikembalikan semula. Syarat-syarat Pembatasan Klausa Bunuh Diri Sekiranya peserta membunuh diri dalam tempoh yang dinyatakan dalam sijil, sijil akan batal dan Pengendali Takaful tidak bertanggungjawab membayar tuntutan, kecuali mengembalikan semula sumbangan yang diterima melalui Akaun Peserta (tertakluk kepada terma dan syarat pengendali Takaful).

492

Amalan Asas Takaful

Perjalanan dan Menetap Di Luar Negara Kebanyakan sijil tidak menghadkan peserta untuk melakukan perjalanan atau menetap di luar negara. Klausa ini tertakluk kepada terma dan syarat pengendali Takaful. Pekerjaan dan Hobi yang Merbahaya Sumbangan tambahan mungkin dikenakan untuk pekerjaan atau aktiviti berisiko tinggi, contohnya lumba kereta, luncur udara, pekerja kuari, pekerja pelantar minyak, polis dan sebagainya. Salahnyata Umur dan Fasal Tanpa Tanding Fasal tanpa tanding biasanya dimasukkan dalam kebanyakan sijil Takaful, selaras dengan Seksyen 26, Akta Takaful 1984 yang memperuntukkan bahawa tiada sijil Takaful keluarga yang boleh dipersoalkan oleh pengendali Takaful atas alasan salah nyata umur peserta. Begitu juga, sekiranya kenyataan yang diberi atau tidak memberitahu dalam borang cadangan atau laporan perubatan atau mana-mana dokumen sehingga menyebabkan sijil Takaful yang dikeluarkan tidak tepat atau palsu atau mengelirukan, ia tidak boleh dipertikaikan kecuali Pengendali Takaful boleh membuktikan bahawa kenyataan yang dibuat atau tidak diberitahu dilakukan dengan niat untuk menipu. Penggantian Sijil Takaful Keluarga Penggantian sijil boleh merugikan kepentingan peserta dan sekiranya perkara ini dibiarkan berterusan, ia akan meninggalkan kesan buruk terhadap prestasi kewangan jangka panjang pengendali Takaful serta imej industri Takaful keseluruhannya.

Amalan Takaful Keluarga: Terma dan Syarat

493

Definisi Penggantian Sijil Bank Negara Malaysia, melalui surat pekeliling bertarikh 30 Mac 2005, No Ruj: JPI/03/2005/TO mentakrifkan Penggantian Sijil sebagai sebarang transaksi yang melibatkan penyertaan sijil Takaful keluarga sekiranya dalam tempoh 12 bulan sebelum atau selepas sijil baru dikuatkuasakan, sijil Takaful Keluarga yang sedia ada telah:1. Dibatalkan atau diserahkan; 2. ditukar atau diubah menjadi sijil Takaful berbayar, diteruskan sebagai Takaful bertempoh yang dilanjutkan atau pendahuluan automatik dari akaun peserta atau dalam bentuk lain peruntukan tanpa-bayaran atau dikurangkan nilai perlindungan dengan menggunakan peruntukan tanpa-bayaran, atau peruntukan dividen terkumpul dalam dana tertentu seperti Akaun Peserta; atau 3. ditukar atau diubah sehingga menjadikan amaun sumbangan yang perlu dibayar menjadi lebih rendah disebabkan pengurangan jumlah perlindungan dan / atau rider atau membuang rider dari sijil asas, atau dalam tempoh masa tertentu sijil Takaful keluarga sedia ada akan terus berkuatkuasa. Kaedah Mengenalpasti Penggantian Sijil Dalam usaha mengenal pasti dan membendung secara dalaman dan luaran mengenai kegiatan penggantian sijil, Pengendali Takaful dikehendaki mengambil langkah-langkah berikut: 1. melaksanakan mekanisme kawalan yang berkesan, terutamanya perlaksanaan sistem automasi bagi mengesan kegiatan penggantian sijil dimana sijil sedia ada dan sijil baru dikeluarkan oleh Pengendali Takaful yang sama; 2. memasukkan soalan didalam borang cadangan, bertanyakan samada cadangan terbarru ini dibuat untuk menggantikan atau berhasrat untuk menggantikan mana-mana sijil sedia ada yang dikeluarkan oleh Pengendali Takaful semasa atau Pengendali Takaful lain; dan

494

Amalan Asas Takaful

3. melantik pegawai sepenuh masa di kalangan kakitangan syarikat untuk membuat tindakan susulan dan memberi khidmat nasihat secara bertulis kepada pemilik sijil tentang keburukan menggantikan sijil Takaful serta memberitahu alternatif lain yang ada, dalam tempoh 7 hari dari tarikh penggantian sijil dikesan. Dalam surat berkenaan, pengendali dikehendaki menunjukkan jumlah nilai tunai terkumpul di bawah sijil sedia ada dan tempoh (tahun) yang diperlukan untuk mengumpulkan jumlah nilai tunai yang serupa dibawah sijil baru, juga tunjukkan kerugian bersih yang akan ditanggung oleh pemilik sijil akibat dari penggantian sijil berkenaan. C3.5 PENGECUALIAN

Secara amnya, sijil Takaful Keluarga tidak melindungi: 1. kematian, hilang upaya atau perbelanjaan perubatan disebabkan oleh: a. peperangan, operasi persiapan berperang, mogok, rusuhan, kegemparan umum; b. tidak siuman, bunuh diri atau cubaan membunuh diri; c. penyakit kelamin, jangkitan atau parasit; d. mabuk disebabkan alkohol atau dadah; dan e. bersalin, keguguran atau kehamilan. 2. kematian, hilang upaya atau perbelanjaan perubatan yang ditanggung oleh peserta: a. semasa dalam perjalanan di dalam pesawat sebagai anak kapal; b. semasa melibatkan diri dalam sukan bermotor, berbasikal, memburu, mendaki gunung, bermain polo, lumba kuda, melompat-ski air, aktiviti dalam air, atau mana-mana sukan ekstrem yang lain; dan c. semasa melakukan atau cuba melakukan apa-apa perbuatan yang menyalahi undang-undang.

You might also like