You are on page 1of 7

LAPORAN PBS (PENGALAMAN BERASASKAN SEKOLAH) SEMESTER 2

Disediakan oleh: Faten Nadiah Binti Mohd Fauzi Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail PISMP Pendidikan Seni Visual Semester 2

LAPORAN PBS (PENGALAMAN BERASASKAN SEKOLAH) SEMESTER 2

Laporan PBS Hari Pertama (Ahad 4/9/2011) Pada 4 September 2011, saya telah melakukan PBS kedua di Sekolah Kebangsaan Seri Kemaman. Pada hari pertama PBS, saya tiba di sekolah pada pukul 7.20 pagi dan terus pergi ke pejabat sekolah untuk bertemu dan melaporkan diri kepada Guru Besar, Encik Kamarulzaman Bin Kadir, Penolong Kanan 1, Puan Rosnah Binti Awang dan Penolong Kanan KOKO, Puan Zainun Binti Endut. Saya juga turut berbincang dengan dengan Guru Besar tentang tugasan yang perlu dilakukan selama seminggu ber-PBS di sekolah ini. beliau memberi sedikit nasihat dan beliau juga banyak membantu untuk tugasan yang perlu disiapkan dan saya berpendapat beliau seorang yang sangat komited dan tegas dalam menjalankan tugasan. Setelah berbincang dengan Guru Besar, saya dijemput untuk menyertai perhimpunan pagi di dewan. Perhimpunan pagi bermula dengan bacaan doa dan seterusnya nyanyian Lagu Negaraku, Negeri Terengganu dan lagu sekolah. Selepas nyanyian, guru yang bertugas pada minggu tersebut iaitu Ustaz Azwan memberikan ucapan beliau dan seterusnya sedikit ucapan daripada Guru Besar. Selepas perhimpunan pagi, saya terus mencari dan mendapatkan maklumat tentang sekolah di bilik guru sambil berkenalan dengan guru-guru sekolah yang lain. Saya juga turut mencari cikgu yang mengajar matapelajaran Pendidikan Seni Visual untuk dijadikan sebagai guru pembimbing semasa membuat tugasan di sekolah. Saya telah bertemu Puan Ros Mawardah yang mengajar matapelajaran Pendidikan Seni Visual di sekolah ini dan terus meminta beliau menjadi guru pembimbing saya bagi membantu saya mendapatkan maklumat untuk menyiapkan tugasan saya. Beliau banyak membantu saya dalam memberikan maklumat tentang Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR). Selain itu, beliau juga membawa saya melawat bilik seni sekolah tersebut. Saya agak berpuas hati kerana bilik seni sekolah tersebut digunakan sepenuhnya untuk mengajar mata pelajaran PSV dan bahan-bahan dan alat-alat untuk proses pengajaran dan pembelajaran juga lengkap disediakan. Banyak informasi yang saya perlukan terdapat di dalam bilik seni tersebut seperti hasil-hasil karya murid-murid yang

dipamerkan di dalam bilik tersebut sebagai hiasan. Saya juga mengambil peluang tersebut untuk mengambil gambar-gambar hasil karya tersebut sebagai bahan bukti tugasan saya. Pada hari tersebut juga, saya telah bertemu dengan Puan Zalaini iaitu guru PSV bagi Tahun 3. Beliau telah memberi saya maklumat tentang mata pelajaran ini dan beliau juga telah memberikan saya peluang untuk menggantikan beliau untuk mengajar kelas PSV Tahun 3 Ibnu Rusy pada keesokan hari. Saya mengambil peluang ini untuk mencuba dan menjadikannya sebagai pengalaman mengajar. Beliau juga memberikan saya garis panduan dan rujukan untuk saya membuat persediaan mengajar esok hari. Selepas meneliti rujukan tersebut, saya telah membuat keputusan untuk mengajar membuat topeng muka haiwan dalam bidang membuat corak dan binaan. Saya juga ada membuat rujukan dengan bantuan Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual KBSR Tahun 3. Kebanyakan masa di sekolah saya luangkan untuk berkenalan dan berbual-bual dengan guru-guru di bilik guru. Di kesempatan itu juga, saya ada bertanyakan soalan untuk membantu saya menyiapkan tugasan saya. Guru-guru juga ada mengajak saya pergi ke kantin untuk makan bersama mereka. Waktu pulang sekolah tersebut adalah pada pukul 1.15 petang dan saya pulang lebih kurang pada pukul 1.45 petang.

Laporan PBS Hari Kedua (Isnin 5/9/2011) Untuk hari yang kedua, saya ke sekolah seperti biasa pada pukul 7.20 pagi dan terus ke bilik guru untuk meletakkan barang-barang saya. Kemudian, saya teruskan kerja saya dengan mencari maklumat yang berkaitan. Alhamdulillah, walaupun baru dua hari berada di sekolah, sudah banyak maklumat yang saya perolehi untuk menyiapkan tugasan saya. Pada pagi hari tersebut, saya terus pergi ke bilik seni sekolah untuk membuat persediaan mengajar seni Tahun 3 pada pukul 10.45 pagi. Setibanya di bilik seni, saya berkenalan pula dengan Cikgu Hadi yang sedang mengajar mata pelajaran Pendidikan Muzik. Beliau memberi saya kebenaran untuk menggunakan bahan-bahan dan alat yang terdapat dalam bilik seni tersebut untuk mengajar. Tanpa membuang masa, saya terus mengambil bahan dan alat yang diperlukan untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran kelas PSV tersebut. Pada hari tersebut, masa banyak diluangkan berada di dalam bilik seni tersebut dengan membuat model topeng muka haiwan untuk digunakan sebagai contoh kepada murid-murid. Tepat pada pukul 10.45

pagi, saya mengiringi murid-murid kelas 3 Ibnu Rusy ke bilik seni dan memulakan kelas seni. Saya bernasib baik kerana semua murid kelas tersebut memberikan kerjasama yang baik semasa proses pembelajaran dan membuatkan semuanya berjalan dengan lancar. Ternyata mereka sangat gembira melakukan aktiviti tersebut. Saya juga mengambil peluang untuk bergambar dengan mereka bersama hasil karya topeng muka yang mereka buat. Sebelum selesai waktu pengajaran kelas PSV tersebut, saya menyuruh murid-murid membersihkan kembali bilik seni itu. Hal ini dapat memupuk nilai yang baik dalam diri murid-murid seperti sikap bekerjasama, ambil berat dan sikap toleransi. Keseluruhannya, saya amat gembira kerana dapat mengajar kelas tersebut dengan jayanya pada hari tersebut. Selain daripada itu, pada hari tersebut juga saya masih terus mencari maklumat untuk menyiapkan tugasan saya dengan berbual-bual dan menemuramah beberapa orang guru di dalam bilik guru. Seperti biasa, saya pulang dari sekolah tersebut pada pukul 1.15 petang.

Laporan PBS Hari Ketiga (Selasa 6/9/2011) Pada hari ketiga menjalani PBS di sekolah, saya telah membantu guru menggantikan kelas yang ketiadaan guru pada hari tersebut. Saya membantu guru tersebut untuk masuk ke kelas Tahun 2 Ibnu Khaldun kerana ketiadaan guru. Semasa berada di dalam kelas tersebut, saya mengambil peluang untuk berkenalan dengan murid-murid dan bercerita di dalam kelas. Alhamdulillah, saya dapat mengawal kelas tersebut daripada hilang kawalan dan membuat bising dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang menarik minat mereka seperti bermain permainan teka-teki dan sebagainya. Selain itu, saya juga menghabiskan masa yang terluang dengan menyertai guru-guru pra sekolah membuat latihan pertandingan koir yang disertai oleh kanak-kanak pra sekolah yang comel. Mereka berlatih dan menyanyi dengan penuh semangat membuatkan saya berasa seronok memerhatikan kerenah kanak-kanak kecil ini. Disamping itu juga, saya masih meneruskan tugasan saya mendapatkan maklumat yang saya perolehi daripada guru-guru seni sekolah ini. Saya juga ada bersiar-siar di sekitar kawasan sekolah dan mengambil gambargambar menarik di sekolah ini. Selain itu, saya juga melawat pusat sumber sekolah dan kelas pemulihan.

Laporan PBS Hari Keempat (Rabu 7/9/2011) Pada hari keempat di sekolah, sekali lagi saya diberi peluang untuk mengajar PSV bagi kelas 3 Ibnu Khaldun pada waktu akhir. Pada sebelah pagi sebelum masuk ke kelas tersebut, saya telah membuat persediaan untuk mengajar membuat origami dalam bidang membentuk dan membuat rekaan. Dengan bantuan buku-buku rujukan seni di sekolah itu, saya telah memilih untuk mengajar murid-murid tersebut cara-cara membuat origami baju daripada kertas. Pada sebelah pagi, saya ada berjumpa dengan seorang lagi guru seni iaitu Puan Fauziah Binti Ismail. Beliau juga banyak membantu saya dengan memberikan saya contoh hasil-hasil karya murid Tahun 1 seperti kolaj dan origami. Pada pagi itu juga, sekolah ada mengadakan pertandingan koir pra sekolah di dewan. Jadi saya mengambil kesempatan itu untuk pergi bersama-sama murid-murid dan guru-guru lain menyaksikan pertandingan tersebut. Pada sebelah tengahari pula, saya juga pergi ke dewan untuk melihat latihan koir sekolah membuat latihan untuk pertandingan tidak lama lagi. Tepat pada pukul 12.15 tengahari, saya mengiringi murid-murid dari kelas 3 Ibnu Khaldun memasuki bilik seni untuk memulakan kelas PSV. Segalanya berjalan dengan lancar mengikut perancangan yang telah disediakan. Saya juga berkesempatan mangambil gambar ketika aktiviti kelas berjalan dan bergambar kenangan bersama-sama mereka. Sesungguhnya, pengalaman mengajar kelas mereka amat menggembirakan dan berharga bagi diri saya. Selepas kelas tamat, murid-murid dibenarkan pulang pada pukul 1.15 petang.

Laporan PBS Hari Kelima (Khamis 8/9/2011) Pada hari terakhir menjalani PBS di sekolah ini, saya dijemput untuk menghadiri jamuan raya yang diadakan oleh Cikgu Hayati dan kelasnya di bawah pondok. Walaupun jamuannya ringkas tetapi semua guru-guru dijemput untuk menikmati jamuan raya tersebut. Disitu saya dapat melihat betapa eratnya hubungan silaturahim antara guru-guru ketika menikmati jamuan. Saya berasa cukup terharu dan gembira kerana dapat menyertai jamuan tersebut kerana dapat berbual-bual dan beramah mesra bersama guru-guru dan murid-murid. Pada hari tersebut juga, saya berjaya menyiapkan segala tugasan yang perlu dilakukan.

Saya juga mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan guru-guru di bilik guru untuk bersalam-salaman memandangkan hari itu hari terakhir saya berada di sekolah ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada guru pembimbing saya, Puan Ros Mawardah dan juga guru-guru lain yang membantu saya dalam melaksanakan tugasan saya. Sebelum pulang, saya pergi ke pejabat untuk bertemu Guru Besar untuk meminta tandatangan dan pengesahan beberapa dokumen yang berkaitan. Alhamdulillah, beliau memberikan komen yang baik terhadap sikap dan sahsiah saya sepanjang menjalani PBS di sekolah ini. Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada Encik Kamarulzaman Bin Kadir, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Kemaman, barisan Guru Penolong Kanan dan semua guru-guru yang banyak membantu saya dari pelbagai aspek sama ada secara langsung atau tidak. Sesungguhnya kenangan manis menjalani PBS di sekolah ini tidak akan saya lupakan sampai bila-bila. InsyaAllah.

You might also like