You are on page 1of 2

BIODATA - DATO' KHALID BIN ABDUL KADIR

Profesor Dato' Dr. Khalid, 46 tahun, dilahirkan di Johor dan telah mendapat pendidikan awal
di Ipoh, Alor Setar, dan Maktab Tentera Di Raja Malaysia. Beliau mempunyai rekod
akademik yang cemerlang sejak di peringkat sekolah lagi di mana pada kemuncaknya beliau
telah memenangi Hadiah Kehormat Komandan (Prestigious Commandant's Prize) pada tahun
1968. Beliau juga aktif di dalam sukan dengan menjadi juara tinju kategori "Bantam Weight"
dan "Penembak Terbaik" di Maktab Tentera DiRaja pada tahun yang sama 1968. Beliau
seterusnya berjaya memenangi biasiswa untuk meneruskan pelajarannya di dalam bidang
perubatan di Universiti Monash, Melbourne, Australia, dan di sana beliau telah mencipta
rekod akademik yang cemerlang dengan memperolehi Kelas Pertama berganda (double first)
-Kelas Pertama Kepujian Sarjanamuda Sains Perubatan ( B.Med. Sc. Hons) pada tahun 1973
dan Kelas Pertama dalam Perubatan (MBBS Hons) pada tahun 1975. Pencapaian
akademiknya yang cemerlang dalam bidang perubatan menyebabkan beliau telah
dianugerahkan hadiah Henry Hindlip Green dan hadiah Harriet Power.

Dato' Khalid kemudiannya telah bekerja di Hospital Alfred dan Hospital Prince Henry,
Melbourne, dalam mendapatkan latihan bagi Ijazah kepakaran FRACP dalam bidang
endokrinologi yang diperolehi pada tahun 1982. Pada masa yang sama juga beliau telah
dihadiahkan "Ansel International Fellowship" dan biasiswa siswazah Universiti Monash
untuk mempelopori bidang penyelidikan yang diakihiri dengan ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)
dalam bidang perubatan pada tahun 1984.

Dato' Khalid pulang ke tanah air pada tahun 1982 dan terus menceburi bidang akademik
sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dengan kecemerlangan beliau yang
terserlah, beliau telah meningkat dengan cepat dimana telah dinaikkan pangkat ke jawatan
Profesor Madya pada tahun 1984 dan dilantik sebagai Ketua Jabatan Perubatan pada bulan
Mei 1985. Beliau telah dilantik sebagai Timbalan Dekan pada tahun 1988 dan seterusnya
dilantik sebagai Dekan Fakulti Perubatan pada bulan Februari 1990. Pada bulan Mei 1990,
beliau telah dinaikkan pangkat ke jawatan Profesor.

Kecemerlangan beliau dalam bidang penyelidikan dan pendidikan terus bersinar di mana
pada tahun 1992 beliau telah menerima empat anugerah Fellow iaitu, FRCP (Edinburgh),
FRCP (Glasgow), FRCP (Ireland), dan juga anugerah Fellow FRCPA (Australia) dalam
bidang Patologi Kimia.

Tumpuan penyelidikan beliau ialah dalan bidang endokrinologi asas dan klinikal hormon
steroid dan tiroid. Beliau talah menerbitkan lebih daripada135 karya saintifik di dalam jurnal
antarabangsa dan tempatan, serta mengarang sebuah buku endokrinologi dan bab dalam tiga
buah buku teks antarabangsa dalam bidang endokrinologi dan diabetes. Beliau talah juga
membentangkan lebih daripada 150 kertas kerja serta pascasidang di persidangan-
persidangan endokrinologi dan perubatan tempatan. Beliau telah dijemput sebagai
penceramah undangan di berbagai persidangan antarabangsa, termasuklah penceramah
undangan di "Asia Oceania Congress of Endocrinology" di Tokyo (1982), Bangkok (1986),
Jakarta (1990) dan Beijing (1994). Beliau telah juga dijemput sebagai penceramah undangan
di "International Diabetes Federation Congress" di Sydney (1988), Washington (1991) dan
Kobe (1994). Pada tahun 1992, beliau dilantik sebagai Presiden,"Asean Federation of
Endocrine Societies".
Beliau juga amat aktif dalam kegiatan luar kampus, termasuklah Persatuan Perubatan
Malaysia di mana beliau telah dilantik sebagi ahli Majlis Persatuan selama enam tahun sejak
1984, dan menjadi Bendahari Kehormat. Beliau juga aktif dalam Persatuan Diabetes
Malaysia dan dilantik sebagai Presiden selama lima tahun hingga 1990. Beliau juga aktif
dalam Akademi Perubatan Malaysia, menjadi ahli Majlis Akademi sejak 1986 dan kini selaku
Bendahari Kehormat. Pada 1986, beliau telah dianugerah Tun Abdul Razak Research Award
dan Darjah Setia Mahkota Johor (SMJ). Pada tahun 1988, beliau telah dianugerah Darjah
Paduka Mahkota Johor (DPMJ) yang membawa gelaran Dato' oleh DYMM Sultan Johor, dan
Johan Setia Mahkota (JSM) oleh Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong pada 1992.

Beliau telah berumah-tangga bersama Profesor Datin Dr. Norella Kong dan mempunyai tiga
orang anak lelaki. Selain daripada Perubatan dan Sains, kegemaran dan minat beliau ialah
menanam bunga orkid dan juga durian di dusun.

You might also like