You are on page 1of 2

Tradisi Asia Yang Menawan

Malaysia mempunyai jenis-jenis kain dan pakaian tradisional yang berbagai bentuk dan warna,
dari tengkolok bulu burung dan baju kulit kayu, hinggalah kain songket diRaja yang antik.

Pada zaman dahulu, penduduk peribumi memakai pakaian yang diperbuat daripada kulit kayu dan
hiasan manik. Dengan ketibaan tamaddun lama, kain tenunan dan batik Melayu dipakai oleh
orang kenamaan dan kerabat diraja. Dengan ketibaan pedagang asing, pakaian serta kain seperti
sutera Cina, pelikat dan jubah Arab diperkenalkan di negara ini.

Kini, pakaian tradisional seperti baju kebaya Melayu, sari India dan cheongsam Cina masih
digunakan dengan meluas.

Melayu

Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu memakai kain kemban di tempat-tempat awam. Tetapi,
setelah ketibaan Islam, mereka mula memakai baju kurung yang lebih sopan. Baju kurung adalah
sejenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain
panjang yang berlipat tepi. Baju kurung juga boleh digandingkan dengan kain tradisional seperti
songket atau batik. Lazimnya pakaian ini digunakan dengan kain selendang atau tudung kepala

Pakaian tradisional bagi kaum lelaki pula dinamakan baju Melayu. Baju Melayu merupakan
kemeja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya diganding dengan kain
samping yang diikat di bahagian pinggang.
Cina

Pakaian cheongsam atau ‘baju panjang’ yang selesa dan anggun juga sering dilihat hingga ke hari
ini. Lazimnya, cheongsam mempunyai leher yang tinggi, butang di bahagian bahu, bentuk yang
sendat di pinggang dan belahan di kiri dan kanan kain. Pakaian ini selalunya diperbuat daripada
kain sutera, satin dan lain-lain jenis kain lembut.
India

Sari merupakan pakaian tradisional India yang mudah dikenali di seluruh dunia. Sebidang kain
berukuran 5 hingga 6 ela panjang dipadankan dengan kain dalam yang berwarna seakan-akan
kain sari tersebut, serta choli yang berwarna sama atau setentang dengannya. Kain sari ini dililit
pada badan dengan bahagian hujungnya yang bersulam diletak di atas bahu kiri. Kain dalam
dipakai di atas atau di bawah pusat dan berfungsi menyokong kain sari tersebut dari terlucut. Sari
diperbuat daripada pelbagai jenis, corak dan warna kain yang sememangnya indah.

Pakaian salwar kameez atau baju Punjabi, yang juga popular di kalangan wanita di utara India,
terdiri daripada blaus panjang yang dipadankan dengan seluar panjang yang longgar, serta tudung
kepala yang sesuai warnanya.

Kurta pula adalah pakaian tradisional bagi kaum lelaki India di majlis rasmi. Ia merupakan
kemeja panjang yang sampai ke lutut dan lazimnya diperbuat daripada kain kapas atau linen.
Baba Nyonya

Pendatang Cina yang berkahwin dengan penduduk Melayu selalunya memakai pakaian kebaya
yang anggun. Baju buatan tangan ini memerlukan kepakaran bagi menyulam corak-corak yang
kelihatan seakan-akan renda yang halus. Hiasan utama baju kebaya adalah sulaman tebuk lubang
di mana garisan corak motif bunga di jahit manakala bahagian tengah dasar kain yang tidak
terjahit pula ditebuk. Ini menghasilkan hiasan yang seakan-akan renda yang halus, yang
dikenakan pada bahagian leher, lengan, hujung blaus serta dua bucu segitiga di bahagian depan
baju yang dikenali sebagai lapik.
Portugis-Eurasian

Pakaian penduduk Portugis-Eurasia Melaka – keturunan bangsa Portugis yang menetap disini –
mencerminkan warisan mereka. Kaum lelaki memakai jaket serta seluar panjang yang berwarna
hitam dan merah, manakala wanita memakai skirt lebar yang berlapis-lapis.
Sarawak

Negeri terbesar di Malaysia yang mempunyai pelbagai suku kaum ini mempunyai barisan
pakaian tradisional yang tidak terkira jumlahnya. Pakaian yang lazim dilihat pada Orang Ulu
menggunakan pelbagai corak dan motif, dan menggunakan kain tenunan tangan, kain kulit pokok,
bulu ayam dan manik. Sarawak terkenal dengan pua kumbu Iban, kain songket Melayu Sarawak,
pelbagai perhiasan tradisional, serta tengkolok bulu burung.
Sabah

Seperti Sarawak, Sabah juga mempunyai jenis-jenis suku kaum yang pelbagai. Setiap suku kaum
mempunyai pakaian serta perhiasan unik masing-masing. Bagaimanapun, suku kaum berbeza
yang tinggal di kawasan yang berdekatan lazimnya memakai pakaian tradisional yang serupa.
Antara perhiasan yang paling menarik termasuklah topi anyaman wanita Kadazan-Dusun, dastar
kaum Bajau, dan tengkolok suku kaum Lotud yang menandakan jumlah isteri lelaki yang
memakainya.
Orang Asli

Masyarakat Orang Asli yang lazimnya tinggal di kawasan hutan di Malaysia, memakai pakaian
yang diperbuat dari bahan semulajadi seperti kulit pokok terap dan skirt rumput. Perhiasan yang
dipakai oleh mereka termasuklah lilit kepala yang diperbuat daripada daun yang dianyam dengan
pelbagai corak.

You might also like