You are on page 1of 27

Biodata Tokoh: Tun Dr.

Mahathir Mohamad
Tun Dr. Mahathir dilahirkan pada hari Jumaat tanggal 20 Disember 1925. Putera kepada pasangan Mohamad bin Iskandar dan Wan Tempawan binti Wan Hanafi ini dilahirkan di rumah bernombor 18, Lorong Kilang Ais, bersebelahan dengan Jalan Pegawai, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah. Beliau merupakan anak bongsu dikalangan sembilan orang adik-beradik. Dr. Mahathir memulakan alam persekolahan di Sekolah Melayu Seberang Perak pada tahun 1930 selama dua tahun. Beliau melanjutkan pengajian menengah di Goverment English School, Alor Setar yang kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau tamat dengan keputusan Senior Cambridge yang cemerlang pada tahun 1945. Dalam tahun 1947, selepas tamat pengajian peringkat menengah, Dr. Mahathir telah ditawarkan biasiswa Kedah untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura. Semasa di Kolej, beliau merupakan seorang pelajar yang tekun dan bersungguh-sungguh dalam pelajaran, aktif dalam sukan ragbi dan sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar-pelajar lain. Pada tahun 1953, beliau telah dianugerahkan Ijazah Doktor Perubatan (M.B.B.S) dari University of Malaya. Berbekalkan kelulusan berkenaan, Dr. Mahathir telah memulakan perkhidmatannya dalam kerajaan dengan menjadi doktor pelatih di Hospital Besar Pulau Pinang. Pada tahun 1954, Dr. Mahathir telah dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar bagi memenuhi kontrak biasiswanya. Beliau juga telah memberikan khidmat perubatan di Langkawi, Jitra dan Perlis. Perkenalan dengan seorang gadis dari Selangor bernama Siti Hasmah Mohd Ali (kini Tun Dr. Siti Hasmah) yang mengikuti bidang pengajian yang sama di King Edward VII Collage of Medicene berlanjutan sehingga mereka menamatkan pengajian masing-masing. Hubungan erat yang terjalin semasa di Singapura telah diakrabkan lagi setelah kedua-duanya diijabkabulkan sebagai suami isteri pada Ogos 1956. Pasangan bahagia ini telah dikurniakan tujuh orang cahayamata iaitu Marina (kini Datin Paduka Marina), Mirzan, Melinda, Mokhzani (kini Datuk Mohzani), Mukriz ( kini Datuk Mukriz), Maizura dan Mazhar. Pada tahun 1957, setelah tamat kontraknya dengan kerajaan, Dr. Mahathir dengan bantuan dan kerjasama Dr. Siti Hasmah telah membuka klinik persendirian yang bernama Klinik MAHA, di Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar. Klinik MAHA merupakan klinik Melayu pertama di Negeri Kedah. Selain daripada perkhidmatan perubatan, klinik MAHA juga telah menjadi pentas untuk beliau menjalankan aktiviti-aktiviti perkhidmatan komuniti setempat. Keperihatinan beliau terhadap masalah ekonomi dan politik Melayu telah diluahkan dalam bentuk rencana-rencana yang diterbitkan oleh Sunday Times di bawah nama pena 'C.H.E Det' antara tahun 1946-1950. Penulisan merupakan satu dari minat Dr. Mahathir hinggalah ke hari ini. Pada tahun 1945, semasa beliau masih dibangku sekolah, Dr. Mahathir telah menjadi penyunting Darulaman, majalah rasmi keluaran Kolej Sultan Abdul Hamid. Beliau juga berkhidmat sebagai penyunting sebuah majalah yang diterbitkan oleh kolej perubatan di mana beliau menuntut. Kegigihan dan semangat untuk menyuarakan pendapat melalui penulisan telah menyebabkan beliau menghasilkan pelbagai jenis penerbitan termasuklah buku "Dilema Melayu" yang diterbitkan dalam tahun 1970.

Selain daripada menulis, Dr. Mahathir juga merupakan seorang yang rajin membaca dan berpegang tuguh kepada prinsip bahawa pembelajaran adalah proses seumur hidup. Tuntutan profesional dan politik juga tidak menghalang beliau untuk menjadikan seni pertukangan kayu sebagai satu hobi. Dr. Mahathir dikenali sebagai seorang yang kreatif dan pernah mengikuti kursus pertukangan kayu di Great Britain untuk mempertingkatkan tahap kemahiran beliau. Dalam tahun 1989, berdasarkan minat yang berterusan dalam bidang ini, Dr. Mahathir telah dianugerahkan Honorary Freedom of the Worshipful Company of Carpenters oleh British Carpenters Society. Penglibatan Dr. Mahathir di dalam arena politik tidak begitu ketara dalam tahun-tahun 1950an disebabkan beliau masih menuntut di Universiti. Walau bagaimanapun, beliau terus menulis esei dan komentar mengenai isu-isu sosio-politik negara di akhbar The Straits Times. Perletakan jawatan sebagai doktor kerajaan pada tahun 1957 telah membolehkan Dr. Mahathir bergiat semula didalam bidang politik. Beliau telah dipilih untuk bertanding pada pilihanraya negeri tahun 1959, tetapi menolaknya. Semasa pilihanraya umum tahun 1964, Dr.Mahathir diberi kepercayaan menjadi calon dan seterusnya berjaya memenangi kerusi Parlimen Kota Setar di atas tiket Parti Perikatan. Bermula dari sinilah beliau menempa nama di kalangan masyarakat dan senario politik negara. Selepas memenangi pilihan raya umum pada tahun 1964, Dr. Mahathir dilantik sebagai Ahli Parlimen. Bagaimanapun, beliau hilang kerusi pilihan raya umum berikutnya iaitu pada tahun 1969. Kecenderungan dan minatnya yang mendalam dalam bidang pendidikan membolehkan beliau dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pendidikan Tinggi yang pertama tahun 1968, Ahli Majlis Penasihat Pendidikan Tinggi pada tahun 1972, Member Of the University Court and University of Malaya council serta Chairman of the National University Council pada tahun 1974. Dr. Mahathir dilantik sebagai Senator pada tahun 1974. Beliau melepaskan jawatan ini untuk membolehkannya bertanding pada pilihan raya umum tahun 1974 yang mana beliau menang tanpa bertanding. Berikutan daripada pilihanraya itu, Dr. Mahathir dilantik sebagai Menteri Pelajaran. Sebagai Menteri Pelajaran, langkah pertama dalam perancangan beliau adalah mengubah polisi pendidikan negara supaya ianya menggambarkan usaha-usaha ke arah menghapuskan kemiskinan dan mewujudkan keadilan untuk semua dan memastikan semua individu diberi peluang membaiki taraf hidup mereka. Sepanjang menjadi Menteri Pelajaran, beliau mengekalkan pembaharuan seperti peluang yang lebih kepada anak Melayu melanjutkan pelajaran di Institut Pengajian Tinggi, mengubah kuota kemasukan, dan beberapa kriteria kemasukan ke pusat-pusat tersebut, mengadakan biasiswa dan menubuhkan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Beliau juga bertanggungjawab meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti 1975 yang ditentang oleh ahli akademik dan mereka yang terlibat dengan pendidikan. Akan tetapi sebagai seorang yang berdisplin dan tegas beliau berjaya melenyapkan kritikan terhadap polisi-polisi pendidikan. Kini semua pusat pengajian tinggi diuruskan di bawah Panduan Kementerian Pendidikan.

Kemenangan beliau di dalam pertandingan kerusi Naib Presiden dalam Perhimpunan Agong UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) tahun 1975 telah menyumbang kepada kejayaan politik beliau. Berikutan kembalinya Tun Abdul Razak ke Rahmatullah dan perlantikan Tun Hussein Onn sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-3 dan Presiden UMNO, Dr. Mahathir telah dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri dimasa yang sama menjadi Timbalan Presiden Parti. Daripada jawatan Menteri Pendidikan, Dr. Mahathir berpindah ke Kementerian Perdagangan dan Industri dalam tahun 1978. Beliau juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Kabinet dimana beliau tidak putus-putus menggalakkan perdagangan dan pelaburan asing. Kemenangan Dr. Mahathir dalam pilihanraya umum tahun 1978 telah membolehkan beliau mengekalkan jawatannya di dalam kabinet dan parti. Akhirnya, pada 16 Julai 1981 berikutan perletakan jawatan Perdana Menteri oleh Tun Hussien Onn atas sebab kesihatan, Dr. Mahathir telah dipilih menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri yang ke- 4 pada usia 55 tahun. Dr. Mahathir digelar "Bapa Pemodenan Malaysia" dan merupakan pemimpin yang paling lama memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, iaitu dari 16 Julai 1981 hingga 31 Oktober 2003. Sepanjang 22 tahun beliau memegang jawatan pentadbiran tertinggi negara, banyak kemajuan dan pembangunan yang telah beliau rancang dan laksanakan. Walaupun kadangkala cetusan idea dan wawasan beliau kurang difahami, namun hakikatnya beliau merupakan seorang yang berpandangan jauh dan terkehadapan, malah lebih jauh daripada pemikiran orang Melayu khususnya. Pada tahun 1997, majalah Asiaweek telah menamakan Dr.Mahathir sebagai antara 50 individu yang paling berkuasa di Asia, dimana beliau menduduki tempat kedua dalam senarai yang dikeluarkan oleh majalah tersebut. Penamaan beliau memang tepat kerana ekonomi dunia ketika itu berada dalam kegawatan manakala krisis matawang melanda kebanyakan negara di dunia terutamanya negara-negara di Asia seperti Indonesia, Thailand dan Filipina. Dr. Mahathir berjaya mengawal kegawatan ekonomi dengan menambat ringgit kepada dollar Amerika, satu pendekatan yang mendapat kritikan hebat pada mulanya oleh badan kewangan dunia seperti Bank Dunia dan International Monetary Fund (IMF). Terbukti kesannya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang berjaya melepaskan diri daripada belenggu kegawatan tersebut tanpa perlu 'mengikat diri' kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh IMF seperti yang berlaku kepada negara-negara lain di Asia. Malah, Pengurus Besar IMF, Horst Kohler, pernah memuji tindakan yang diambil Dr. Mahathir dalam mengawal matawang negara. Kedudukan beliau sebagai Chief Executive Officer (CEO) Malaysia adalah sesuai dan tepat dengan visi yang beliau rancang dan sasarkan. Dr. Mahathir telah mengubah sektor ekonomi asas negara daripada sebuah negara yang berasaskan pertanian kepada sebuah negara berasaskan perindustrian. Detik-detik awal beliau diamanahkan menjadi Perdana Menteri Malaysia, sektor ekonomi negara pada ketika itu banyak bergantung kepada bahan komoditi utama seperti getah, kelapa sawit, timah dan industri petroleum yang masih lagi diusahakan secara kecil-kecilan.

Memandangkan komoditi tidak dapat membantu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, maka pada awal tahun 1980-an Dr. Mahathir telah membuat keputusan untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi negara dan sekaligus mengurangkan pergantungan terhadap bahan komoditi. Keputusan yang beliau ambil adalah tepat kerana pada pertengahan tahun 1980-an, harga bahanbahan komoditi jatuh dengan teruk. Hal ini ditambah pula dengan peningkatan harga matawang Yen yang menyebabkan berlaku kegawatan ekonomi selama beberapa tahun. Kini, kebergantungan ekonomi negara terhadap bidang perindustrian begitu ketara apabila sektor perkilangan membentuk 30% daripada asas ekonomi negara manakala sektor pertanian menurun kepada 8% sahaja berbanding 23% kira-kira 22 tahun lalu. Dr. Mahathir telah memperkenalkan dasar Persyarikatan Malaysia iaitu suatu dasar dimana Malaysia diandaikan sebagai sebuah syarikat dan rakyatnya sebagai pekerja dan pemegang saham. Beberapa agensi kerajaan telah diswastakan untuk meringankan bebebanan kewangan dan kerajaan. Dimasa pentadbirannya banyak syarikat-syarikat utiliti seperti Lembaga Letrik Negara, Jabatan Telekom dan sebagainya, telah disenaraikan sebagai korporat awam. Persyarikatan Malaysia telah berjaya meningkatkan prestasi, daya pengeluaran serta imej negara. Di antara langkah-langkah lain, ialah peningkatan pembagunan industri berat dan yang penting juga pertukaran teknologi asing kepada teknokrat Malaysia. Salah satu kejayaan didalam gerakan ini ialah penubuhan industri otomatif negara, yang menunjukkan kereta-kereta dan motosikal nasional adalah yang terlaris di Malaysia. Persyarikatan juga bertujuan menjana kerjasama dan bekerja sebagai rakan kongsi antara sektor awam. Dr. Mahathir juga meningkatkan penyertaan bumiputera dalam pemilikan saham sektor perusahaan dan perdagangan dengan penubuhan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Amanah Saham Nasional serta Amanah Saham Bumiputera dan beberapa saham amanah dalam porfolio PNB. Dalam usaha melakar nama negara di arena antarabangsa, pelbagai projek gergasi telah diilhamkan oleh Dr. Mahathir. Antara yang terawal ketika beliau baru memegang jawatan sebagai Perdana Menteri ialah projek pengeluaran kereta proton melalui HICOM (Heavy Industries Corporation of Malaysia). Walaupun projek beliau ini dianggap agak keterlaluan memandangkan negara ketika itu masih muda dalam projek pembuatan kereta nasional namun negara kita boleh berbangga kerana projek ini begitu berjaya sehingga mampu bersaing dengan pengeluar kereta lain di seluruh dunia. Sebagai orang yang memegang tampuk tertinggi pengurusan negara, masalah kewangan sering menjadi perhatian beliau dan antara tugas penting beliau adalah memastikan perbelanjaan kewangan negara berada dalam keadaan terkawal. Dasar penswastaan negara ialah contoh pengurusan kewangan beliau yang agak memberangsangkan walaupun mencetus kontroversi di awal perlaksanaannya. Dasar yang diperkenalkan di penghujung tahun 1980-an ini bertujuan mengurangkan perbelanjaan oleh pihak kerajaan di samping memberi perkhidmatan yang lebih baik. Walau banyak pihak mempersoalkan dasar ini, disebabkan terdapat tuduhan berlaku sikap pilih kasih terhadap syarikat yang ditawarkan projek-projek kerajaan, namun lebih ramai orang dapat menikmati hasil yang lebih baik daripada dasar yang dibuat ini.

Selain itu, dasar ini juga membawa perubahan yang sangat besar terutamanya dalam bidang teknologi kerana pihak-pihak yang terbabit perlu mempunyai kepakaran dalam bidang teknologi untuk memastikan perkhidmatan yang ditawarkan murah tetapi bermutu tinggi. Kebijaksanaan Tun Dr. Mahathir dalam mengurus 'perniagaan' sememangnya sesuatu yang semula jadi kerana beliau pernah menjadi usahawan muda di Pekan Rabu, Alor Setar semasa masih berada di alam persekolahan. Selain projek kereta nasional, satu lagi projek besar (mega project) yang beliau cetus ialah Koridor Raya Multimedia atau Multimedia Super Corridor (MSC). Projek ini ilhamkan dan direalisasikan memandangkan Dr. Mahathir telah sedar akan peri pentingnya teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam dunia perdagangan masa kini dan masa depan. Projek-projek besar yang dibangunkan dan direalisasikan semasa beliau menjadi 'CEO' Malaysia antaranya ialah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Stadium Nasional Jalil, Litar Antarabangsa Sepang, tempat perlumbaan sukan permotoran berprestij, Formula One dan Menara Berkembar Petronas. Projek-projek ini secara tidak langsung berjaya meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara sedang membangun yang dikenali dunia. Malah corak pentadbiran dan ketegasan yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir semasa menjadi Perdana Menteri menyebabkan negara ini disegani dunia. Sepanjang tempoh 22 tahun sebagai Perdana Menteri, Dr. Mahathir telah membawa Malaysia ke persada kecemerlangan. Malaysia telah melalui pelbagai pembaharuan fizikal, mental dan sosial. Malaysia telah menjadi negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia. Malaysia mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dikalangan negara-negara maju dunia. Kejayaan Malaysia sebagai negara membangun dan sebuah negara Islam yang unggul di rantau ini telah diiktiraf dunia. Warisan pusaka yang ditinggalkan oleh Dr. Mahathir dapat kita lihat berada di mana sahaja. Sumber: Buku Majlis Konvokesyen Khas Sempena Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) Kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Mahathir bin Mohamad dan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Kerja Sosial) kepada Y.A.Bhg. Tun Dr. Siti Hasmah binti Mohd Ali.

Biodata Tun Abdul Razak


Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein Perdana Menteri Malaysia Kedua (1970-1976) Bapa Pembangunan Malaysia Era Tun Razak menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 untuk menggantikan parti memerintah, Parti Perikatan. Beliau telah berjaya menambah bilangan ahli parti dan menjana perpaduan untuk membentuk ketahanan nasional melalui kestabilan politik. Tun Abdul Razak dikenali sebagai Bapa Pembangunan bagi menghargai segala sumbangannya di dalam pembangunan kebangsaan dan luar bandar. Allahyaraham Tun Abdul Razak merupakan seorang negarawan yang telah mengabadikan kehidupannya untuk kemakmuran dan kemajuan rakyat serta negara Malaysia. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein lebih dikenali sebagai Bapa Pembangunan Malaysia oleh rakyat yang menyanjunginya yang juga mengenali beliau sebagai Tun Razak. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein dilahirkan di Pulau Keladi, Pekan, Pahang pada tanggal 11 Mac 1922. Allahyaraham Tun Abdul Razak merupakan anak sulung kepada Dato' Hussein bin Mohd Taib dan Hajah Teh Fatimah bt Daud. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein berkhidmat menggantikan Allahyaraham Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kedua. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein meninggal dunia sewaktu masih berkhidmat sebagai Perdana Menteri pada 14 Januari 1976 Asal Usul Pendidikan awal Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein di Sekolah Melayu Kampung Jambu Langgar memberikan kesedaran tentang kehidupan masyarakat Melayu yang dirundung masalah kemiskinan. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein terpaksa berulang-alik ke sekolah yang jaraknya lebih kurang 4 batu dari rumahnya. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein meneruskan pendidikan di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan kemudiannya di Raffles Kolej, Singapura. Perang Dunia ke 2 menyebabkan pendidikan Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein terpaksa dihentikan buat sementara waktu. Lantaran itu, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein menyertai Angkatan 136 (Force 136), sebuah unit elit tentera bersekutu yang dipayung terjunkan ke Malaya untuk mensabotaj tentera Jepun, dan menjawat jawatan sebagai Kapten Pasukan Wataniah ketika Jepun menyerah. Pada tahun 1947, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein dikurniakan biasiswa oleh Kerajaan Kolonial sebagai balasan jasa-jasanya untuk melanjutkan pengajian di bidang undangundang di England. Pada tahun 1950, beliau menerima Degree of an Utter Barrister daripada Lincoln's Inn dan menjadi seorang peguam yang berkaliber pada tahun 1950. Sewaktu di England, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein adalah salah seorang `King's Scolar'. Semasa menuntut lagi, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein telah menunjukkan kebolehannya untuk memimpin dan meraih sokongan orang lain. Beliau telah menubuhkan Malayan Forum yang dipengaruhi oleh Parti Buruh British dengan tujuan untuk memberi kesedaran politik kepada anak-anak Persekutuan Tanah Melayu. Selain itu, beliau juga

menganggotai Persatuan Fabian dan Malayan Student's Union. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein sememangnya seorang yang cerdas, dalam masa 18 bulan sahaja Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein menamatkan pengajian undangundangnya dan dalam masa yang sama Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein aktif sebagai pemimpin pelajar serta menubuhkan 'Forum Tanah Melayu', sebuah persatuan yang menyemaikan semangat Kemerdekaan Tanah Melayu. Di England jugalah Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein berkenalan dengan Allahyaraham Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj dan mereka menjadi rakan karib. Sekembalinya dari England, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein menggantikan bapanya yang telah meninggal dunia sebagai Orang Kaya Indera Shahbandar. Pada masa yang sama, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein memulakan perkhidmatan dalam Malay Civil Service. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein mula melibatkan diri dalam politik tanah air pada tahun 1950 apabila Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO setelah hanya empat bulan menyertainya. Pada tahun 1951 Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein dipilih sebagai Timbalan Yang DiPertua UMNO. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein bertanggungjawab membawa Allahyaraham Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj menjadi pemimpin tertinggi Umno dengan mengenepikan dirinya sendiri. Kerjaya perkhidmatan awam Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein bermula pada tahun 1952 dengan perlantikannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Pada Februari 1955 Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein dilantik sebagai Menteri Besar Pahang. Pada Jun 1955 Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein mengorbankan jawatannya dalam kerajaan dan bertanding dalam Pilihan raya Persekutuan atas tiket Perikatan. Berkat sokongan masyarakat, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein memenangi kerusi Majlis Undangan Persekutuan Kawasan Semantan. Kemenangan Perikatan menampilkan penglibatannya dalam kabinet apabila Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein dilantik sebagai Menteri Pelajaran, Persekutuan Tanah Melayu pada 9 Ogos 1955. Sumbangannya yang terpenting sebagai Menteri Pelajaran ialah memperkenalkan 'Penyata Razak' yang intipatinya ialah menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama dalam usaha mewujudkan sebuah bangsa yang bersatu padu. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein mengahwini Toh Puan Rahah dan anak sulung Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein ialah Datuk Seri Najib Abdul Razak. Peranan Dan Sumbangan Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein berperanan dalam membentukkan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati di peringkat antarabangsa. Khidmat dan bakti kepada masyarakat dan negara diberi keutamaan. Tindakan pertama Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein sebagai Menteri Pelajaran adalah merombakkan sistem pelajaran penjajah yang mengamalkan dasar pecah dan perintah. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein mendapati sekolah-sekolah Melayu serta sekolah-sekolah vernakular Cina dan Tamil tidak diberi sebarang kelebihan. Hasil usaha Tun Abdul Razak, melalui Penyata Razak 1956, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein berjaya menyatupadukan sistem pelajaran untuk membina satu bangsa yang bersatu padu dengan

harapan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan akan menjadi bahasa penghantar utama. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga merupakan salah seorang ahli Parti Perikatan yang telah ke London bersama rombongan kemerdekaan dan pulang membawa kejayaan. Apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein memegang portfolio Kementerian Pertahanan pula pada tahun 1957. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein membawa perubahan kepada Angkatan Tentera dengan melengkapkannya dengan senjata yang moden dan cekap. Sebagai Menteri Pertahanan, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein yang mempunyai pengalaman dalam peperangan gerila dan mengenali taktik pengganas komunis telah melancarkan gerakan anti-komunis dengan jayanya sehingga 'darurat', iaitu satu tempoh 12 tahun memerangi pengganas komunis disytiharkan tamat pada tahun 1960. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga melancarkan Relawan Rakyat (RELA) dan skim Rukun Tentera untuk menjamin keselamatan rakyat. Setelah berjaya menangani 'masalah perang dengan komunis' ketika darurat, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein kemudiannya diberikan satu tugas yang lebih penting iaitu 'mengisi keamanan dengan pembangunan' apabila dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar. Selama 10 tahun memegang potfolio itu, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein telah berjaya membasmi buta huruf di kalangan tiga juta rakyat. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga merangka program pembangunan luar bandar dengan menangani masalah kemiskinan apabila menitik beratkan penambahan prasarana asas luar bandar serta mempertingkatkan produktiviti pertanian. Sebanyak tiga juta ekar padi, kelapa dan pelbagai tanaman lain diberikan kemudahan tali air manakala 800 000 ekar hutan telah dibuka untuk pembangunan. Kejayaan yang dicapainya termasuk merangka satu dasar pembangunan yang meliputi setiap keperluan negara, yang dikenali sebagai 'Buku Merah'. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga bertanggungjawab menubuhkan Barisan Nasional pada 1 Januari 1973 untuk menggantikan parti memerintah, Parti Perikatan. Beliau telah berjaya menambah bilangan ahli parti dan menjana perpaduan untuk membentuk ketahanan nasional melalui kestabilan politik. Di arena antarabangsa Di arena antarabangsa, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga adalah orangnya yang bertanggungjawab berunding dengan Indonesia untuk menamatkan 'konfrantasi' yang dilancarkan oleh negara itu ke atas Malaysia yang didalangi oleh Parti Komunis Indonesia (PKI). Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga mewakili Malaysia ke Rundingan Bangkok 1966 dan Rundingan Manila 1963. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein juga telah mengadakan beberapa lawatan keamanan ke negara-negara Asia, Eropah dan Amerika Syarikat. Pada 13 Mei 1969, negara dikejutkan dengan rusuhan kaum tiga hari selepas pilihan raya umum. Perlembagaan negara digantung, Parlimen dibubarkan, dan darurat diisytiharkan seluruh negara. Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditubuhkan dan mengambil alih pentadbiran kerajaan. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein dilantik oleh Allahyaraham Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj sebagai Pengarah MAGERAN. Di bawah MAGERAN ketenteraman awam berjaya dipulihkan.

Membangunkan Malaysia Walau bagaimanapun, sumbangan Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein yang paling penting adalah ke arah pembangunan Malaysia. Tujuan Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein adalah untuk menghapuskan kemiskinan, kejahilan dan penyakit. Dengan itu, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein melancarkan Dasar Ekonomi Baru yang mencartakan pembangunan negara secara berperingkat melalui Rancangan-Rancangan Malaysia dari 1970 hingga 1990. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein sedar masyarakat Melayu jauh ketinggalan dalam kemajuan sosio-ekonomi. Oleh itu Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein berupaya meningkatkan taraf hidup golongan luar bandar melalui Rancangan Buku Hijau (1974) serta pembukaan tanah melalui FELDA dan FELCRA. Rancangan-rancangan ini benar-benar membantu masyarakat Melayu memutuskan rantaian kemiskinan. Pada 22 September 1970, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri yang kedua setelah Allahyaraham Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj dengan rela hati meletakkan jawatan ekoran tekanan politik dari dalaman UMNO sendiri. Pada tahun 1971 Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein dipilih sebagai Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO ke 22. Iltizam utamanya sebagai Perdana Menteri ialah menangani ke peringkat akar umbi sebab-musabah yang menyumbang kepada rusuhan kaum. Ada dua sebab utama yang menjadi punca ketegangan kaum iaitu kemiskinan orang-orang Melayu serta rapuhnya perpaduan kaum. Menyedari hakikat ini, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein telah melancarkan Dasar Ekonomi Baru dan Rukun negara. 'Dasar Ekonomi Baru' (DEB) yang dilancarkan pada 21 Jun 1970 adalah satu falsafah pembangunan yang menekankan keseimbangan antara pembangunan sosial dan perkembangan ekonomi dengan menjadikan matlamat utamanya: ? Membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum ? Menghapuskan identifikasi kegiatan ekonomi berdasarkan kaum. Di era Tun Abdul Razaklah bermulanya pelan pembangunan yang menyeluruh dan sistematik yang dikenali dengan 'Rancangan Pembangunan Malaysia' lima tahun yang bermula dengan Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua. Meskipun telah wujud rancangan sebegini sebelum era Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein namun matlamat dan perlaksanaannya tidak secara kolektif dan pragmatik. Tradisi ini diteruskan sehingga ke hari ini dengan Rancangan Malaysia ke-7 yang dilancarkan pada tahun lalu. Rancangan Malaysia Pertama dan Kedua merupakan pemangkin Dasar Ekonomi Baru (DEB). DEB mempunyai kerangka waktu 20 tahun dari 1970-1990 merumuskan bahawa ekuiti bumiputera dalam negara harus mencapai 30% di akhir tempoh itu. Antara institiusi yang paling penting hasil dari DEB ialah ' Federal Land Develoment Authority' (FELDA), suatu badan yang membuka tanah dan mengagihkannya kepada rakyat untuk tujuan pembagunan. Program ini sehingga hari ini dikenali sebagai program reformasi tanah yang paling besar dan berjaya di dunia dan seterusnya menjadikan Malaysia pengeluar terbesar getah dan minyak kelapa sawit. Pemimpin yang berjiwa rakyat Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein adalah seorang pemimpin yang berjiwa rakyat.

Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein gemar melawat ke kampung-kampung dan meninjau sendiri permasalahan yang rakyat alami. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein berjaya menghidupkan semangat bergotong-royong dan mengurangkan budaya kolonial di kalangan pentadbir Melayu. Dalam memupuk perpaduan antara kaum, Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein telah melancarkan 'Rukunegara' pada 31 Ogos 1970. Rukunegara merupakan ideologi kebangsaan yang mengandungi hasrat murni ke arah membentuk sebuah masyarakat dan negara Malaysia yang demokratik, adil, saksama, liberal dan progresif. Era kepimpinan adalah era revolusi mental yang menampilkan falsafah budaya, sosial, politik dan ekonomi negara dirumus semulakan secara komprehensif dan pragmatik. Di bawah pentadbiran Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein, Malaysia melalui satu proses transformasi yang besar sehingga makna Kemerdekaan benar-benar dapat dirasai. Gelaran 'Bapa Pembangunan' memang bertepatan buatnya kerana Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Husseinlah yang bertanggungjawab meletakkan batu asas kepada pembangunan yang kita amati hari ini. Keistimewaan Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein adalah seorang pemimpin yang peka terhadap masalah-masalah yang dialami rakyat negara ini. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein seorang pemimpin yang mencintai keamanan dan pembangunan. Kepimpinan Tun Abdul Razaklah yang mengasaskan perancangan yang sistematik dan teliti melalui sistem `Bilik Gerakan'. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein adalah salah seorang tokoh tanah air yang telah berbakti dalam bidang pendidikan, pembangunan, pertahanan dan sosio ekonomi. Pelbagai kurniaan dan darjah kebesaran dicurahkan kepada Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein di dalam dan luar negara sebagai tanda aprisiasi perkhidmatan Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein kepada pembangunan bangsa dan negara sehingga menyandang gelaran Bapa Pembangunan Malaysia. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein meninggal dunia pada 14 Januari 1976 di London kerana penyakit leukemia dan digantikan oleh Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn. Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein adalah seorang pemimpin yang berjiwa besar dan seorang negarawan yang ulung dan setia. Rakyat Malaysia haruslah berbangga kerana negara melahirkan seorang pemimpin sepertinya yang berjaya mengisi Kemerdekaan dengan pembangunan yang sejati. Allahyaraham Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein telah disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Pemergian Allahyaraham Tun Abdul Razak Dato' Hussein merupakan satu kehilangan besar bagi seluruh rakyat Malaysia.

Biodata Tokoh: Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj


Biodata Tokoh: Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj

Nama : Tunku Abdul Rahman Putra AlHaj Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Lahir : 08 Februari 1903, di Istana Tiga Tingkat, Alor Setar (Istana Pagoda). Pendidikan : 1911 - Maktab Sultan Abdul Hamid Alor Setar. 1916 - Penang Free School, Penang. 1925 - Lulus B.A. dari University Cambridge. 1945 - Lulus LLB, dari Inner Temple, London.

Kerjaya : 1946 - Bertugas dengan Kerajaan Kedah sebagai D.O. (Pegawai Daerah) Langkawi, Kulim dan Sungai Petani, (sebelum lulus LLB). Dilantik Penolong Pendakwa Raya KL dan Presiden Mahkamah Session Selangor. 1951 - Dilantik Presiden UMNO dan bergiat sepenuh masa untuk UMNO. 1956 - Rombongan Merdeka ke London. 1957 - Merdeka. Perdana Menteri Pertama. 1962 - Rombongan ke London - Gagasan Malaysia. 1963 - Gagasan Malaysia - 16.09.1963. 1970 - Bersara dari Politik. 06 Disember 1990 Tunku kembali ke rahmatullah. Seluruh Negara berkabung atas pemergian Almarhum. Seluruh dunia menghantar Ucap Takziah. Atas wasiat Almarhum, jenazah disemadikan di Makam Di Raja Langgar.
Home Biodata Biodata Tan Sri Muhyiddin B Mohd Yassin

Biodata Tan Sri Muhyiddin B Mohd Yassin


Rabu, Ogos 12, 2009

Nama : Haji Muhyiddin bin Mohd. Yassin Gelaran: Y.B. Tan Sri Dato' Jawatan : Timbalan Perdana Menteri Malaysia Kawasan : Ahli Parlimen Pagoh Biodata Peribadi Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dilahirkan pada 15 Mei 1947 di Muar. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani dan Sekolah Kebangsaan Ismail di Muar. Kemudiannya beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pengajian Melayu (1971). Kerjaya Beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (1970) dan kemudiannya Penolong Pegawai Daerah Muar (1974). Pengalaman sebagai penjawat awam digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk berkecimpung dalam dunia korporat. Antara tahun 1974 hingga tahun 1978, Y.B. Tan Sri Dato' telah memegang beberapa jawatan penting di SGS Ates Sdn. Bhd. sebagai Pengurus Perjawatan, Pengarah Urusan Sri Saujana Berhad serta Pengarah Syarikat Equity Mal Sdn Bhd. Y.B. Tan Sri Dato' kini mengetuai UMNO Bahagian Pagoh iaitu jawatan yang beliau pegang sejak April 1985 lagi. Sebelum itu beliau telah dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian

Pagoh pada tahun 1976. Dari situ karier politiknya terus berkembang apabila beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia (1982). Pada tahun 1985, buat pertama kalinya, Y.B. Tan Sri Dato' Muhyiddin dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO. Jawatan ini digunakan sepenuhnya untuk menabur bakti dan kemudiannya menjadi tokoh yang dipilih menduduki kerusi Naib Presiden bermula September 1993 sehinggalah ke hari ini. Y.B. Tan Sri Dato' pertama kalinya dipilih menjadi wakil rakyat apabila beliau memenangi kawasan Parlimen Pagoh pada pilihan raya tahun 1978. Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi parlimen berkenaan pada pilihan raya umum pada tahun 1982 telah dilantik menjadi Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Umum ke-7 apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Serampang. Di bawah kepimpinan beliau, negeri Johor terus berkembang pesat dan menjadi antara negeri yang termaju di Malaysia. Y.B. Tan Sri Dato' juga pernah dilantik menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Luar Negeri pada tahun 1981, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan pada tahun 1982 dan Menteri Belia dan Sukan selepas Pilihan Raya Umum ke-9 iaitu pada Mei 1995. Empat tahun kemudian, beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mulai bulan Disember 1999. Pada bulan Januari 2004, beliau diberi kepercayaan mengetuai Kementerian Pertanian berikutan penstrukturan semula Kabinet Persekutuan. Selepas Pilihan Raya Umum ke-11, beliau dilantik semula menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang fungsinya ditambah bagi memajukan sektor pertanian dan industri yang berkaitan agar lebih berdaya saing. Oleh itu, beliau bertekad untuk membalas kepercayaan Y.A.B. Perdana Menteri dengan meletakkan sektor pertanian di tahap yang sepatutnya dengan menumpukan usaha menjadikannya satu sektor yang moden, dinamik, dan mampu membawa perolehan yang besar kepada negara. Di samping itu, beliau terus memberi perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Pagoh agar rakyat hidup selesa dan bebas dari kemiskinan melalui program pembangunan pertanian yang dijalankan di situ. Selepas Pilihan Raya ke-12, beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Selain itu, Y.B. Tan Sri juga banyak terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan. Beliau pernah dilantik menjadi Yang DiPertua Royal Johor Country Club dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (1986-1995) serta Presiden Persatuan Kanak-Kanak Spastik negeri Johor selama 10 tahun (1986-1996). Y.B. Tan Sri Dato' Muhyiddin telah mendirikan rumahtangga pada 1972. Hasil daripada perkongsian hidup beliau bersama Puan Sri Hajjah Norainee Abd. Rahman, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata. Pada masa lapang, YB Tan Sri Dato' gemar bermain golf dan badminton. Anugerah * 2007-Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP), Dato Seri * 1991-Seri Paduka Mahkota Johor (SMPJ), Dato' * 1988- Panglima Setia Mahkota (PSM), Tan Sri * 1980-Setia Mahkota Johor (SMJ) * 1879-Bintang Sultan Ismail (BSI) * 1974-Pingat Ibrahim Sultan (PIS)

Y.A.B Tun Hussein bin Dato' Onn (1976-1981)

Tun Hussein Onn dilahirkan pada 12hb. Februari, 1922 di Johor Bahru. Beliau adalah anak sulung Datuk Onn bin Ja'afar dan Datin Halimah binti Hussein yang mempunyai lapan orang anak. Beliau mendapat didikan awal di Singapura dan pelajaran menengahnya di English College, Johor Bahru. Selepas tamat sekolah pada tahun 1940, beliau berkhidmat sebagai kadet dalam Pasukan Timbalan Setia Negeri Johor. Pada awal tahun 1941, beliau dihantar ke Akademi Tentera di Dehra Dun, India dan menerima tauliah pada tahun 1942. Selepas itu beliau menyertai Regiment Hydrabad Ke 19 di India. Apabila perang dunia kedua meletus, beliau berkhidmat di Timur Tengah. Setelah peperangan tamat beliau dihantar ke India di Bahagian Perisik Tentera di Markas Tentera, New Delhi. Memandangkan kepada pengalamannya yang luas, pihak British melantiknya menjadi jurulatih di Pusat Rekrut dan Latihan Polis Malaysia di Rawalpindi. Ketika itu beliau berpangkat Kapten. Beliau pulang ke Malaya pada tahun 1945 dan bertugas sebagai Komanden Polis Depot, Johor Bahru. Selepas enam bulan di dalam perkhidmatan tentera di Malaya, beliau memasuki Perkhidmatan Pentadbiran Melayu sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Daerah Segamat dan kemudian sebagai Pegawai Daerah di Kuala Selangor dan Kelang. Ketika itu British sedang mengemukakan rancangan Malayan Union dan Datuk Onn sendiri memainkan peranan penting menentang Malayan Union dengan menubuhkan UMNO. Berjuang di samping bapanya, Hussein Onn telah meletakkan jawatannya sebagai Pegawai Daerah untuk turut serta dalam kegiatan politik UMNO. Datuk Onn telah memberikannya tugas sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dikenali sebagai Perikatan Pemuda UMNO dan seterusnya dalam tahun 1950 beliau telah dilantik sebagai Setiausaha Agung UMNO dan bertugas sepenuh masa. Beliau juga telah dilantik menjadi Ahli Majlis Undangan Negeri Johor dan Majlis Undangan Persekutuan. Semasa darurat beliau dilantik menjadi Pegawai Penjaga Pasukan Kawalan Kampung di Johor. Tun Hussein keluar dari UMNO mengikut bapanya, setelah tercetus satu krisis dalam parti pada bulan Ogos 1951. Seterusnya Datuk Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya, malangnya parti itu tidak mendapat sambutan. Sewaktu bersara dari politik, beliau telah pergi ke London untuk belajar undang-undang di Lincoln's Inn, England dan telah lulus sebagai seorang peguam pada tahun 1958. Pada tahun 1968 atas desakan Tun Abdul Razak, Hussein Onn kembali menyertai UMNO. Pada

bulan Jun 1969 beliau dilantik menjadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, dan dalam tahun yang sama beliau telah memenangi pilihanraya umum di kawasan Parlimen Johor Bahru Timur, dan dilantik sebagai Menteri Pelajaran pada 22 September, 1970. Sebagai Menteri Pelajaran beliau telah menghadapi beberapa isu penting yang berkaitan dengan pelajaran, termasuk mengenai masalah keciciran di kalangan penuntut-penuntut sekolah. Pada masa ini juga satu perjanjian antara Malaysia dan Indonesia mengenai sistem ejaan baru telah diadakan di Kuala Lumpur. Pada tahun 1972, Tun Hussein telah dipilih sebagai salah seorang Naib Presiden UMNO. Pada 13 Ogos 1973 pula, beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan tempat Tun Dr. Ismail yang telah meninggal dunia. Beliau juga menjawat jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Penyelarasan Perbadanan Awam. Pada 14 Januari 1976, Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-3 menggantikan Tun Abdul Razak yang juga telah meninggal dunia. Berikutnya, beliau mengumumkan satu Kabinet baru yang agak memeranjatkan, di mana peluang-peluang yang luas diberi kepada tokoh-tokoh muda dalam UMNO untuk memegang jawatan-jawatan penting. Beliau telah memilih Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad sebagaiTimbalannya. Dalam soal luar negeri, seperti juga dengan pemimpin-pemimpin sebelumnya, Tun Hussein Onn terus mengadakan perhubungan yang baik antara Malaysia dengan negara-negara luar termasuklah negara- negara barat dan lain-lain anggota ASEAN. Pada akhir tahun 1977, krisis melanda Kerajaan Kelantan, berikutan dengan penyingkiran Datuk Haji Mohamad Nasir sebagai Menteri Besar Kelantan. UMNO telah menunjukkan jalan-jalan kepada PAS bagaimana menyelesaikan krisis itu tetapi tidak dihiraukan oleh pucuk pimpinan PAS. Kerana krisis itu mungkin membawa kepada keadaan huru hara, Tun Hussein Onn telah mengistiharkan darurat di negeri tersebut. Dalam bulan Mac 1978, satu pilihanraya diadakan bagi Negeri Kelantan, yang mengembalikan kerajaan Barisan Nasional setelah 18 tahun berada di tangan parti pembangkang. Dalam pilihanraya umum yang diadakan pada tahun 1978, Barisan Nasional yang bermanifesto "A man whom you can trust" (Tun Hussein) telah beroleh kejayaan yang cemerlang dengan 131 kerusi daripada jumlah 154 kerusi Parlimen, di samping menguasai semua kerajaan-kerajaan Negeri. Dalam pergerakan UMNO, Tun Hussein Onn berusaha sedaya upaya bagi mengekalkan perpaduan di kalangan ahli-ahli dan pemimpin- pemimpin supaya parti dapat menghadapi cabaran-cabaran yang timbul. Selaku seorang yang tegas pendiriannya, telah mengambil beberapa tindakan bagi menghapuskan perbuatan rasuah dalam Kerajaan ataupun parti. Di samping itu beliau telah menerima desakan dari ahli-ahli supaya menghapuskan elemen-elemen yang disyaki terlibat dalam kegiatan-kegiatan pro-Komunis.

Y.A.B Tun Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi (2003-April 2009)

Tun Abdullah Ahmad Badawi dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-lima pada 31 Oktober 2003. Tun Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan menengah di Sekolah Tinggi Bukit Mertajam dan di Penang Methodist Boys School, Pulau Pinang. Beliau kemudiannya meneruskan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam pada tahun 1964. Tun Abdullah menyertai UMNO pada tahun 1964. Beliau mula bergerak aktif dalam arena politik setelah dipilih menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas pada tahun 1978 dan beliau berjaya mengekalkan kerusi parlimen tersebut sehingga kini. Beliau adalah ahli Majlis Tertinggi UMNO semenjak 1981. Tun Abdullah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO pada tahun 1984 hingga 1990, dan dipilih semula memegang jawatan berkenaan pada tahun 1996. Pada Perhimpunan Agung UMNO 2000, Tun Abdullah dilantik sebagai Timbalan Presiden bagi penggal 2000 - 2003. Beliau dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang pada tahun 1999. Tun Abdullah pernah memegang jawatan-jawatan penting dalam beberapa kementerian. Beliau dilantik sebagai Setiausaha Parlimen di Kementerian Wilayah Persekutuan (1978-80), Timbalan Menteri, Kementerian Wilayah Persekutuan (1980-81), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (1981-84), Menteri Pelajaran (1984-86) dan Menteri Pertahanan (1986-87) . Pada 15 Mac 1991, beliau dilantik sebagai Menteri Luar sehingga Februari 1999 dan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri pada Februari 1999. Tun Abdullah berkahwin dengan Datin Seri Endon binti Dato' Mahmood dan mereka dikurniakan dua cahaya mata.

Tan Sri Dato' Ungku Dr. Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz

Y.M. Tan Sri Dato' Ungku Dr. Zeti Akhtar binti Ungku Abdul Aziz dilahirkan 27 Ogos 1947 yang merupakan anak kepada Profesor Diraja Ungku Aziz dan Sharifah Azah Aziz, adalah wanita yang pertama dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia. Beliau juga dilihat sebagai salah seorang wanita yang begitu berkuasa di Malaysia. Beliau dilahirkan di Johor Bahru dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya pada 1958. Pada tahun 1970, beliau menerima Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dalam bidang Ekonomi Analitikal kemudain melanjutkan pengajian sarjana dan doktor falsafah dalam bidang kewangan dan ekonomi antarabangsa pada 1978. Beliau memulakan kerjaya sebagai Penyelidik ekonomi di Pusat Penyelidikan dan Pembelajaran Bank Pusat Asia Tenggara (South-East Asia Central Bank Training & Research Centre) pada tahun 1979 hingga 1984. Kemudian beliau dilantik sebagai Penolong Pengurus Jabatan Ekonomi di Bank Negara Malaysia. PAda tahun 1994, beliau telah dilantik sebagai Ketua Jabatan Ekonomi Bank Negara Malaysia. Pada 1 September 1998, beliau dilantik sebagai Pemangku Gabenor Bank Negara Malaysia selepas Datuk Ahmad Mohd Don mengundurkan diri. Kemudian pada 1 Mei 2000, beliau dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia ketujuh dan wanita pertama dilantik dalam jawatan tersebut. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Danaharta Nasional Bhd dari tahun 1998 2000. Beliau juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Bhd sejak tahun 2004.

YM. Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz

YM. Professor Diraja Tun Dr. Ungku Abdul Aziz bin Ungku Abdul Hamid merupakan seorang tokoh yang paling disegani terutamanya dalam bidang pendidikan dan seorang ahli ekonomi yang banyak menyumbang idea kepada agama, bangsa dan negara. Beliau juga memenangi Hadiah Budaya Asia Fukuoka IV 1993 Beliau dilahirkan di London pada 28 Januari 1922, merupakan keturunan diraja Johor. Bapanya Ungku Abdul Hamid bin Ungku Abdul Majid merupakan seorang Leftenan dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor (JVC). Ibunya bernama Hamidah bte Abdullah. Beliau telah berkahwin dengan Azah Aziz telah dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Y.M. Tan Sri Dato' Ungku Dr. Zeti Akhtar, Gabenor Bank Negara Malaysia sekarang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Batu Pahat, kemudian menyambung pengajiannya di Raffles College kemudiannya Universiti Malaya Singapura dan mendapat ijazah pada 1951. Kemudian pada 1964, beliau mendapat Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang ekonomi di Waseda University, Tokyo. Beliau menyertai Perkhidmatan Awam Johor (JCS) pada 1951, kemudian sebagai Pensyarah Ekonomi di Universiti Malaya Singapura (1952-1961). Pada tahun 1961-1965, beliau telah dilantik sebagai Professor dan Dekan di Fakulti Ekonomi di Universiti Malaya,Kuala Lumpur. Kemudian dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya dari 1968 hingga 1988. Beliau merupakan Naib Canselor Universiti Malaya paling lama berkhidmat dengan universiti tersebut kira-kira 20 tahun. Beliau yang dianugerahkan gelaran Professor Diraja pada 17 Jun 1978, juga merupakan pengasas gerakan koperasi dan Yang Dipertua ANGKASA sejak ditubuhkan pada 1971. Pada 1997, beliau telah dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah oleh Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong. Beliau juga merupakan Pengerusi Cosmopoint. Beliau juga menempa sejarah negara apabila menjadi penerima pertama Anugerah Melayu Terbilang sempena sambutan ulang tahun Ke-59 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) 11 Mei 2005. Antara sumbangan utama Ungku Aziz kepada negara ialah: Perlaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi membantu bumiputera menikmati agihan kekayaan negara serta Majlis Perundingan Ekonomi Negara(Mapen) II.

Pencetus idea penubuhan - Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LTH) - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) - Angkatan Koperasi Kebangsaan Berhad(Angkasa) - Universiti Malaya - Akademi Islam - Pusat Asasi Sains - Pekanbuku.

Tun Abdul Ghafar bin Baba

Tun Abdul Ghafar bin Baba (18 Februari 1925 - 23 April 2006) merupakan Timbalan Perdana Menteri di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad. Abdul Ghafar bin Baba mula memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 7 Mei 1986 sehingga 15 Oktober 1993. Beliau dilahirkan di Kuala Pilah, Negeri Sembilan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kuala Pilah dan dan Sekolah Melayu Tangga Batu, Melaka. Kemudian beliau menyambung pelajaran di Maktab Perguruan Sultan Idris (kini Universiti Pendidikan Sultan Idris), Tanjung Malim. Beliau memulakan kerjaya sebagai seorang guru sebelum beralih sepenuhnya kepada kerjaya politiknya. Tun Ghafar Baba mula mengorak langkah untuk memperjuangkan nasib bangsa dan negara Malaysia, apabila melibatkan diri dalam politik pada tahun 1940 dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda (KMM) di Melaka ketika berusia 15 tahun. Kira-kira 11 tahun kemudian, bintang politik beliau semakin terserlah apabila memegang beberapa jawatan seperti Pengerusi UMNO Melaka, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Setiausaha Agung Barisan Nasional dan menjadi Naib Presiden UMNO. Beliau mula terbabit secara sepenuh masa dalam politik dengan bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri Melaka Luar pada pilihan raya umum pertama 1955.Kawasan pilihan raya terakhir yang diwakilinya ialah kawasan Parlimen Batu Berendam di Melaka yang dimenanginya pada pilihan raya umum 1999. Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka pada tahun 1959 hingga tahun 1963 dan merupakan antara kepimpinan UMNO yang telah berkhidmat di bawah 4 Perdana Menteri iaitu Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir. Ghafar Baba pernah menjadi pengerusi MARA dari 1 September 1967 hingga 31 Otober 1971 dan merupakan pengasas Kolej MARA yang kini sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Utusan Melayu (M) Bhd selama 10 tahun bermula 1 September 1976.

Ghafar merupakan satu-satunya pemimpin UMNO yang diberi kepercayaan menerajui MCA sebagai pemangku presiden selama 10 bulan ketika parti berasaskan kaum Cina itu dilanda krisis akibat perebutan kuasa antara presidennya ketika itu, Tan Koon Swan dan bekas presiden Tan Sri Dr Neo Yee Pan.

Tokoh Negara
Tun Dr. Ismail

Ismail bin Dato Abdul Rahman telah dilahirkan di Johor Bahru pada 4 November 1915. Bapanya Abdul Rahman bin Mohamed Yassin adalah bekas pegawai perkhidmatan awam kerajaan Johor pernah menyandang jawatan Presiden Pertama Dewan Negeri iaitu jawatan tertinggi dalam Kerajaan Johor. Ibunya, Zaharah binti Abu Bakar meninggal dunia sewaktu Tun Dr. Ismail berumur sembilan tahun. Beliau mempunyai lapan orang adik beradik. Beliau telah berkahwin dengan Toh Puan Norashikin binti Dato Mohd. Seth dan mempunyai enam orang anak, empat lelaki dan dua perempuan. Tun Dr. Ismail adalah peminat sukan. Di antara sukan yang digemari ialah golf, ragbi, tenis, badminton, tinju dan bola sepak. Tun juga mempunyai minat dalam bidang fotografi, pengemar lagu-lagu Melayu Asli, suka mengumpul barang-barang antik seperti paip dan pemetik api serta bercucuk tanam pelbagai jenis pokok bunga dan buah-buahan di persekitaran rumahnya. Tun Dr. Ismail telah belajar di Sekolah English College, Johor Bahru dan kemudian menyambung pelajaran ke Maktab Perubatan, King Edward VII College of Medicine, Singapura pada tahun 1935 hingga 1937 dan selepas itu melanjutkan pelajarannya ke Australia. Beliau telah mendapat Ijazah Perubatan dari Universiti Melbourne, Australia dalam tahun 1945 dan merupakan anak Melayu pertama yang lulus dari Universiti tersebut. Setelah kembali ke Tanah Air beliau telah membuka klinik perubatan sendiri yang dinamakan Tawakkal dari tahun 1947 hingga 1952 di samping bekerja secara sambilan di Hospital Besar, Johor Bahru. Pada tahun 1953, beliau mula melibatkan diri sepenuh masa dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air melalui UMNO yang dipimpin oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra. Sebelum itu, Dr. Ismail pernah dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Undangan Negeri Johor dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dalam tahun 1948. Pada tahun 1953, beliau telah menyandang jawatan Menteri Hasil Bumi hingga tahun 1955. Setahun kemudian beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian yang pertama. Beliau juga terlibat dalam rombongan Ketua Menteri, Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra ke London pada 18 Januari hingga 8 Februari 1956 kerana rundingan mengenai Kemerdekaan.

Setelah mencapai kemerdekaan, Dr. Ismail dilantik sebagai Duta Besar Persekutuan Tanah Melayu yang pertama ke Washington di samping menjadi Wakil Tetap di Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada bulan September 1957 beliau hadir di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu setelah Malaya di terima sebagai anggota pertubuhan itu. Memandangkan pengalaman beliau di arena antarabangsa, pada tahun 1959 beliau dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri. Pada tahun 1960 pula beliau dilantik menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan tiga bulan selepas itu ditugaskan menjalankan kerja-kerja sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Pada tahun 1967, Tun Dr. Ismail mengambil keputusan meletakkan jawatan kerana kesihatan sering terganggu disebabkan penyakit jantung. Walau bagaimanapun beliau telah kembali berkhidmat pada bulan Mei 1969. Beliau telah dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Dengan tindakan yang tegas beliau berjaya memulihkan keamanan dalam negara pada masa trajedi 13 Mei 1969. Setelah Y.T.M Tunku Abdul Rahman bersara pada tahun 1970, Allahyarham Tun Razak telah dilantik menjadi Perdana Menteri. Tun Razak telah melantik Tun Dr. Ismail sebagai timbalannya di samping menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian. Tun Dr. Ismail terkenal di kalangan pemimpin kerajaan dan antarabangsa kerana kebijaksanaannya dalam berhujah serta idea-idea yang membina dan bernas. Beliau adalah orang yang mula-mula menganjurkan Dasar Berkecuali Asia Tenggara. Ketika menyandang jawatan Menteri Kehakiman beliau telah menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Kehakiman Komanwel di Australia dan Persidangan Keamanan Dunia melalui undang-undang di Washington pada tahun 1965. Beliau juga telah mewakili Malaysia di upacara perlantikan Presiden Filipina dalam bulan Disember 1965. Dalam tahun 1964, berikutan tindakan Indonesia melancarkan konfrantasi terhadap Malaysia Tun Dr. Ismail telah diutus ke New York sebagai ketua rombongan untuk membentangkan perkara Malaysia/Indonesia dalam Majlis Keselamatan pada 5 November 1964. Tun Dr. Ismail pernah memangku jawatan Perdana Menteri ketika Y.T.M Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak berada di luar negara. Kali terakhir memangku ketika Allahyarham Tun Abdul Razak berada di Kanada bagi menyertai persidangan Ketua-Ketua Kerajaan Negara-Negara Komanwel. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada 2 Ogos 1973 dalam usia 57 tahun di rumahnya. Beliau telah menerima pelbagai anugerah samaada dari dalam atau luar negara kerana kecemerlangan menjalankan tugas dan tanggungjawab. Antaranya Darjah Panglima Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1959. Majlis Senat Universiti Malaya turut memperingati dan menghargai jasa beliau dengan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang pada 13 Jun 1964. Seterusnya pada bulan Oktober 1965, beliau menerima Darjah Kebesaran Vietnam iaitu Vietnam National Order Grand Officer dan dalam bulan yang sama dikurniakan anugerah Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) daripada Sultan Johor. Pada bulan April tahun 1966 beliau telah di anugerahkan pingat Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun. Ketokohan Tun juga mendapat penghargaan kerajaan Indonesia apabila dikurniakan Bintang Republik Indonesia Kelas Dua. Penghargaan ini diperolehi ketika Presiden Suharto melawat Malaysia pada tahun 1970. Dalam Konvensyen Pertama Universiti Sains Malaysia pada 9 Januari 1973 Tun Dr. Ismail telah menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang. Sebagai menghargai jasa-jasa Tun Dr. Ismail terhadap negara dan bangsa jenazah beliau telah disemadikan di

Makam Pahlawan Negara di Masjid Negara atas kehendak Tun Abdul Razak. Beliau merupakan pemimpin pertama dikebumikan di makam tersebut. Tugas rasmi yang terakhir dilakukannya adalah merasmikan Perayaan Jubli Perak Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 2 Ogos 1973. Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)

Tun Tan Sri (Dr.) Fatimah

Yang Amat Berbahagia Tun Tan Sri (Dr.) Fatimah telah dilahirkan pada 25 Disember 1924 di Parit Kurma, Muar, Johor. Beliau telah mendirikan rumah tangga dengan Tan Sri Abdul Kadir Yusof (Allahyarham) dan mereka mempunyai enam orang anak. Beliau merupakan wanita petama dilantik Menteri Kabinet, iaitu Menteri Kebajikan Am Malaysia. Jawatan itu telah dipegang dari 20 Mei 1969 hingga akhir Februari 1973. Beliau menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Lelaki Parit Kurma, Muar, kerana pada masa itu belum ada sekolah untuk murid perempuan di kampung tersebut. Beliau kemudiannya menyambung pelajaran ke Sekolah Melayu perempuan Mersing dan telah belajar bahasa Inggeris di sekolah malam dengan guru Sekolah Convent Johor Bahru. Tun Fatimah mula menunjukkan minat terhadap kerja-kerja kebajikan sejak di bangku sekolah lagi. Semasa bersekolah, beliau seorang murid yang aktif dan pernah menjadi Ketua Darjah dan Ketua Kumpulan Murid Perempuan, Ketua Kumpulan (murid perempuan) kegiatan berkebun sayur, Ketua Murid Sekolah Melayu Perempuan Mersing dan ketua rombongan pasukan senaman ke pertandingan senaman sekolah-sekolah negeri Johor di Sekolah Air Molek. Tun Fatimah telah memulakan kerjaya politiknya dengan menyertai UMNO pada tahun 1947, ketika berusia 21 tahun. Beliau menganggotai Pergerakan Kaum Ibu (UMNO) Cawangan Kampung Nong Chik, Johor Bahru, dan memegang jawatan sebagai Bendahari. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kaum Ibu Cawangan Johor Bahru. Pada tahun 1956, setelah mengikut suaminya ke Perak, Tun Fatimah telah dipilih menjadi Ketua Pergerakan Kaum Ibu Negeri Perak dan dalam masa yang sama, memegang jawatan Ketua Bahagian Ipoh. Dalam tahun itu juga, beliau telah dilantik Ketua Pergerakan Kaum Ibu Malaya, menggantikan tempat Puan Khadijah Sidek. Semasa memimpin Pergerakan Kaum Ibu UMNO, beliau berjaya membawa wanita-wanita muda melibatkan diri dalam bidang politik dan sekaligus menyertai UMNO. Pada tahun 1959, beliau sekali lagi berpindah mengikut suaminya yang bertugas dalam pekhidmatan kerajaan ke Kedah. Di sana, pada tahun yang sama, beliau telah dipilih menjadi calon pilihanraya bagi kawasan Jitra-Padang Terap. Kemenangan pada tahun 1959 diulangi sebanyak dua kali lagi menjadikan beliau ahli Parlimen bagi kawasan tersebut tiga kali berturut-turut. Pada 20 Mei 1969, beliau telah dilantik Menteri Kebajikan Am, wanita pertama menjawat jawatan menteri. Beliau memegang jawatan tersebut selama empat tahun sehingga besara pada bulan Februari 1973. Selain bidang politik, Tun

Fatimah juga aktif dalam pergerakan sosial terutamnya dalam pertubuah wanita. Pada tahun 1962, sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO dan bersama-sama beberapa orang pemimpin wanita lain, beliau telah memulakan perayaan Hari Wanita pada 25 Ogos. Perayaan tersebut disambut sehingga hari ini. Setahun selepas pelancaran Hari Wanita, diputuskan supaya sebuah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan wanita ditubuhkan, antara lain, menjadi urusetia perayaan Hari Wanita di samping menangani pesoalan-persoalan wanita semasa. Badan tersebut diberi nama Majlis Kebangsaan Petubuhan-pertubuhan Wanita atau National Council of Womens Organisations (NCWO). Tun Fatimah telah dipilih sebagai Timbalan yang Dipertua bagi penggal petama (1962-65). Beliau kemudiannya dilantik Yang Dipertua dan menerajui NCWO selama 24 tahun sehingga bersara daripada jawatan pada tahun 1989. Beliau juga telah menjadi Ahli Jawatankuasa Lembaga Loteri Kebajikan Masyarakat, Ahli Majlis Universiti Malaya, Ahli Jawatankuasa Hospital Assunta, Ahli Jawatakuasa Sekolah Latihan Wanita Ipoh, Ahli Jawatankuasa Perikatan Peringkat Malaya dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pepaduan Kebangsaan Malaysia. Beliau juga pernah dilantik Naib Presiden Persatuan Bulan Sabit Merah. Sebagai Ketua Pergerakan Kaum Ibu UMNO, dengan sedirinya beliau menjadi Naib Yang Dipetua UMNO Malaysia dan menduduki kerusi di Jawatankuasa Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Ahli Jawatankuasa Kewangan UMNO dan Ahli Jawatankuasa Politik. Selaku pemimpin wanita Melayu pertama menjadi Menteri, Tun Fatimah seringkali diundang memberi ucapan dan ceramah dalam seminar-seminar, forum dan persidangan-persidangan yang dianjurkan oleh pelbagai pertubuhan, baik di dalam mahupun di luar negara. Antara mesyuarat dan persidangan yang pernah dihadirinya ialah Perjumpaan Wanita Antarabangsa dalam tahun 1965 di Tehran. Pada tahun 1963, beliau telah membuat lawatan sambil belajar selama dua bulan ke Amerika Syarikat dan sebagai Menterei Kebajikan Am, beliau telah membuat lawatan ke negara-negara jiran, misalnya ke Indonesia. Sebagai Presiden NCWO juga, beliau telah mengikuti beberapa persidangan wanita antarabangsa. Pada 31 Ogos 1958, beliau telah dianugerahi bintang Panglima Mangku Negara (P.M.N) oleh Sri Paduka Baginda Yang Di-Petuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri. Universiti-universiti tempatan juga telah memberi penghormatan kepada beliau seperti Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang oleh Universiti Malaya pada tahun 1975 dan Ijazah Kehormat Doktor Pendidkan oleh UTM pada tahun 2000. Sebelum itu, pada tahun 1995, UTM telah melantik beliau sebagai Pro-Canselor. Pada tahun 2003, beliau telah dikurniai darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (S.S.M) oleh Seri Paduka Baginda Yang Di-Petuan Agong yang membawa gelaran Tun. Sumber: Perpustakaan Negara Malaysia (http://sejarahmalaysia.pnm.my)

You might also like