You are on page 1of 5

KAEDAH AUDIO LINGUAL

Kaedah ini merupakan gabungan dua kemahiran iaitu kemahiran mendengar (audio) dan
kemahiran bertutur (lingual). Kaedah ini mementingkan penggunaan bahan bantu belajar berupa
alat-alat audio seperti radio, pita rakaman, compact disk (audio) dan piring hitam. Bahan-bahan
yang diperdengarkan kepada murid-murid ialah petikan bunyi haiwan, bunyi sesuatu suasana
misalnya suasana seram, senikata lagu, nyanyian, petikan cerita, sajak, dan sebagainya. Melalui
kaedah ini, murid-murid akan mendengar (contohnya bunyi sajak daripada pita rakaman).
Melalui pengalaman mendengar tersebut, murid-murid akan berlatih menyebut perkataan, frasa
dan ayat yang didengar termasuk nada dan intonasinya secara latih tubi. Murid-murid seterusnya
akan berlatih mendeklamasikan sajak dengan rakan secara berpasangan atau berkumpulan.
Melalui kaedah ini, murid-murid lebih mudah mengingat maklumat yang didengar. Ingatan
murid-murid juga dapat diperkukuh dengan cara mendengar semula rakaman dan berbincang
dengan rakan-rakan.



KAEDAH KOMUNIKATIF

Kaedah komunikatif mementingkan proses pemerolehan bahasa kanak-kanak yang
melibatkan kognitif dan interaksi bahasa. Kaedah ini menitikberatkan pengajaran kecekapan
bahasa, iaitu tatabahasa dan kecekapan komunikatif khususnya kemahiran mendengar dan
bertutur. Ketika murid-murid melalui proses pemerolehan bahasa, mereka menguasai makna
terlebih dahulu sebelum dapat menggambarkan makna tersebut dalam struktur ayat tertentu.
Proses menggambarkan makna dalam struktur ayat tertentu tersebut memerlukan guru-guru
melatih murid-murid menguasai kemahiran mendengar dan bertutur melalui aktiviti bahasa yang
bermakna. Sehubungan itu, aktiviti-aktiviti bahasa yang bermakna dalam kaedah komunikatif
ialah penyelesaian masalah, perbincangan, dialog, sumbang saran, wawancara dan sebagainya.



TEKNIK- PENGENALAN

Teknik pengajaran merupakan taktik atau cara-cara yang digunakan oleh guru untuk
mencapai hasil segera yang maksimum ketika menyampaikan sesuatu pengajaran. Teknik
dicipta dan ditentukan sebelum pelaksanaan pengajaran. Setiap teknik yang digunakan adalah
selaras dengan kaedah yang digunakan dan sejajar pula dengan pendekatan yang dipegang.
Teknik pengajaran juga boleh dirujuk sebagai alat yang digunakan oleh guru bahasa untuk
menyampaikan bahan-bahan pengajaran yang telah dipilih untuk murid-muridnya.

Teknik pengajaran kemahiran mendengar dan bertutur
Teknik soal jawab
Teknik main peranan
Teknik lakonan/drama
Teknik permainan bahasa
Teknik hafazan
Teknik latih tubi
Teknik perbincangan
Teknik penyelesaian masalah


TEKNIK SOAL JAWAB

Teknik paling lama dan popular digunakan dalam pendidikan. Teknik ini berupaya
mewujudkan interaksi guru dengan murid-murid secara berkesan. Teknik ini dilaksanakan
dengan cara guru mengemukakan soalan berkaitan dengan isi pelajaran, dan murid perlu
memberi tindak balas yang sewajarnya.

Terdapat tiga tujuan utama teknik soal jawab :
- untuk mengesan pengetahuan berbahasa murid
-untuk menggalakkan murid berfikir secara kreatif, inovatif, logik dan kritis
-untuk mendorong murid menyusun dan menghuraikan bahan yang diajar

Soalan yang terancang dan bermutu dapat membantu menajamkan pemikiran murid di
samping dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih dinamik dan berkesan.


TEKNIK MAIN PERANAN

Main peranan bermaksud melakonkan satu situasi atau masalah atau peristiwa yang
dianggap penting. Teknik ini adalah satu bentuk drama yang tidak memerlukan penghafalan
skrip. Murid-murid yang berlakon dalam teknik ini akan cuba untuk menjelaskan sesuatu situasi
kepada murid lain. Murid-murid yang lain pula akan mempraktikkan peranan murid-murid yang
berlakon tadi secara spontan. Teknik ini biasanya dimulakan dengan pemikiran masalah yang
sesuai (contoh : amalan berbudi bahasa). Masalah ini dikemukakan kepada murid-murid dengan
cara membacakannya atau memperlihatkannya melalui filem, televisyen, dan sebagainya.
Berdasarkan apa yang dibaca, dilihat, didengar itu, murid-murid akan melakukan main peranan
untuk menunjukkan amalan berbudi bahasa tersebut. Murid murid lain pula akan
mempraktikkan peranan yang telah dimainkan secara spontan.


TEKNIK LAKONAN/DRAMA

Tujuan utama teknik ini adalah untuk melatih murid-murid menggunakan kemahiran
bahasa khususnya kemahiran mendengar dan bertutur, unsur paralinguistik (jeda, nada, intonasi),
dan bukan linguistik (mimik muka, gerak tangan, kepala) dengan berkesan dalam sesuatu
interaksi bahasa atau perbuatan. Penggunaan teknik ini dapat mendorong dan merangsang murid-
murid untuk menghubungkan perasaannya dengan mata pelajaran yang dipelajarinya. Teknik ini
dapat menimbulkan keseronokan dan keberkesanan pembelajaran kepada murid, di samping
menyuburkan sahsiah mereka.

*teknik ini berbeza dengan main peranan kerana murid berlakon berdasarkan skrip


TEKNIK PERMAINAN BAHASA

Teknik ini adalah satu-satunya cara untuk mempelajari bahasa melalui permainan.
Penglibatan dalam permainan akan memberi peluang kepada murid-murid bagi memperoleh
latihan intensif, pembelajaran bermakna dan sebagai alat pengesanan (diagnostik). Teknik ini
dapat merangsang kemahiran lisan, menambah kefasihan dan keyakinan, menyediakan konteks
pembelajaran, serta sebagai alat pemulihan, pengukuhan dan pengayaan. Terdapat beberapa jenis
permainan bahasa yang boleh digunakan untuk mengajar Bahasa Melayu iaitu :
Permainan menyampaikan pesanan
Permainan tekalah saya
Permainan memerhati dan mengingat
Permainan berpasangan
Permainan slip undian


TEKNIK HAFAZAN

Teknik ini turut dikenali sebagai teknik latih tubi informan. Pengajaran dibahagikan
kepada dua bahagian iaitu demonstrasi dan latih tubi. Pembahagian ini mempunyai nisbah 2 : 1
(1 demonstrasi dan 2 latih tubi). Bahagian demonstrasi adalah pengajaran tentang tatabahasa atau
nahu, sebutan dan perbendaharaan kata. Demonstrasi dilakukan oleh guru atau informan yang
terdiri daripada penutur jati. Melalui bahagian latih tubi pula, informan jati atau guru akan
membaca beberapa baris ayat, manakala murid-murid mengajuk sebutan tersebut sehingga ayat-
ayat itu dapat dihafal. Berdasarkan teknik hafazan ini, tatabahasa atau nahu diajarkan secara
induktif atau melalui ayat-ayat contoh. Selepas tatabahasa diajarkan, pelajaran diteruskan dengan
memberi kuliah, mengadakan pementasan drama dan perbincangan.


TEKNIK LATIH TUBI

Teknik latih tubi ialah aktiviti pengulangan fakta-fakta yang dipelajari. Tujuan teknik ini
adalah untuk mencapai penguasaan kemahiran di samping menjamin ketekalannya. Teknik ini
boleh digunakan untuk mencapai sesuatu kemahiran seperti kemahiran menyebut perkataan,
ayat-ayat atau mengingat fakta-fakta penting. Melalui teknik ini, murid-murid akan mengalami
proses mendengar, melihat dan memikirkan maksud perkataan-perkataan serta tugasnya dalam
situasi yang menggunakan perkataan itu. Teknik ini memberi penekanan kepada lima aspek
kebolehan menggunakan bahasa iaitu :



Aspek kebolehan menggunakan bahasa Huraian
Sebutan (accent) menyebut perkataan atau suku kata
dengan betul termasuk intonasi
yang membawa makna dalam
sesuatu situasi

Tatabahasa (grammar)

penggunaan bahasa yang tepat
berdasarkan hukum-hukum bahasa
daripada semua aspek

Perbendaharaan kata (vocabulary)

meluaskannnya dengan
penggunaan imbuhan yang sesuai
berdasarkan konteksnya dalam
situasi tertentu

Kefasihan (fluency)

menggunakan perkataan dan lain-
lain dengan cara spontan tanpa
menitikberatkan maksudnya

Kefahaman (comprehension)

latihan memahami soalan dan
mengemukakan jawapan yang
wajar





TEKNIK PERBINCANGAN

Teknik ini didefinisikan sebagai suatu aktiviti mengeluar dan mengulas pendapat tentang
sesuatu tajuk. Tujuannya adalah untuk melatih murid-murid meluahkan perasaan dan pendapat
dengan bernas. Teknik ini adalah satu aktiviti pengajaran dan pembelajaran berbentuk perbualan
yang dilakukan oleh murid-murid dengan penyeliaan dan kawalan seorang guru. Terdapat
beberapa langkah dalam menjalankan teknik ini :

1- Guru menarik perhatian murid-murid kepada tajuk perbincangan yang akan dijalankan.
2- Guru membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan dan melantik seorang ketua.
3- Guru memberi tugas kepada setiap kumpulan. Mereka perlu berbincang sesama mereka dan
semasa perbincangan berjalan, guru sentiasa memantau perbincangan tersebut supaya terarah.
4- Guru meminta laporan daripada setiap kumpulan.



TEKNIK PENYELESAIAN MASALAH

Teknik adalah aktiviti yang melibatkan masalah berbentuk perkataan, teka teki, silang
kata dan kuiz. Teknik ini memerlukan murid-murid menggunakan kemahiran, prinsip atau teori
yang telah mereka pelajari untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan. Teknik ini
melibatkan beberapa aktiviti seperti membimbing murid-murid memahami dan mengenal pasti
ciri-ciri masalah, mengingat semula pengalaman lalu, memilih strategi yang sesuai, dan
menggunakan kemahiran lisan untuk menjalankan aktiviti penyelesaian. Terdapat beberapa
prinsip dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui teknik ini :

1- Sesuatu masalah harus diberikan sebaik sahaja murid-murid memperolehi ilmu pengetahuanatau
menguasai kemahiran yang berkaitan.

2- Soalan bermasalah harus dibina berdasarkan kepada kebolehan dan pengetahuan lepas murid-
murid serta sesuai dengan pengalaman mereka.

3- Sebelum proses penyelesaian masalah dimulakan, guru perlu membimbing murid-murid
memahami dan mengenal pasti masalah itu.

4- Guru perlu berbincang dengan murid tentang pelbagai cara untuk menyelesaikan masalah.

5- Guru perlu mengelakkan daripada memberi tunjuk cara untuk menyelesaikan masalah. Guru
hanya boleh memberi sedikit bimbingan kepada murid yang berfikir agak lambat secara individu.

You might also like