Cadangan Perbaiki Kaedah Pembelajaran dan Pengajaran
Utusan Malaysia 1.12.98
CADANGAN membaiki kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) dikemukakan dalam beberapa kertas kerja yang dibentangkan dalam seminar Isu-Isu Pendidikan Negara, baru-baru ini. Antara yang menarik ialah pengenalan kaedah pengajaran inkuiri dalam mata pelajaran lain selain mata pelajaran Sains. Dalam kertas kerja yang disampaikan oleh Prof. Madya Datin Dr. Zahara Aziz, beliau menegaskan kaedah inkuiri (uji kaji) harus diluaskan kepada semua mata pelajaran lain. ''Kegagalan pelaksanaan kaedah pengajaran yang lebih berinovatif seperti ini menunjukkan kegagalan pendidik memahami dan menghayati kandungan prinsip dan matlamat Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM),'' katanya. Proses pengajaran ini katanya memerlukan penglibatan guru sebagai fasilitator secara lebih aktif dan pelajar diarah kepada aktiviti yang berbentuk pemerhatian, pembinaan teori (penjelasan), pengujian teori melalui uji kaji, perbincangan tentang hasil uji kaji dan pengubahsuaian teori berdasarkan dapatan uji kaji berkenaan. Dalam kertas kerjanya, Dr. Zahara juga mengemukakan beberapa faktor yang menyebabkan kenapa kaedah P&P ini tidak dilaksanakan dalam KBSM. Antaranya menurut beliau ialah kerana kekhuatiran guru untuk keluar daripada prosedur pengajaran biasa. Mereka katanya, amat takut pengajarannya terkeluar daripada sukatan pelajaran dan fakta daripada buku teks kerana soalan-soalan peperiksaan berasaskan sukatan pelajaran dan buku-buku teks tersebut. Tahap kemahiran guru menggunakan kaedah ini juga rendah terutamanya bagi guru- guru yang lama. Di samping itu katanya lagi, masa pembelajaran juga dikatakan menjadi penghalang kerana kadang kala proses P&P inkuiri memerlukan masa yang panjang dan tidak terhad. Sementara itu, cadangan daripada Nadiyah Elias agak menarik yang mencadangkan supaya penggunaan kaedah ABC dalam mendidik anak-anak membaca dilupakan kerana ia kurang berkesan dan mungkin menjadi faktor penghalang kepada minat membaca. Beliau sebaliknya mencadangkan supaya pengajaran awal membaca menggunakan kaedah hafalkata untuk peringkat permulaan dan disulami dengan kaedah fonetik sukukata (mempelajari bahasa melalui bunyian sukukata seperti 'ba' 'bi' dan 'bu'). Kaedah hafalkata merupakan konsep hafalan. Kanak-kanak didedahkan kepada kad imbasan setiap hari dan mereka menghafal jumlah perkataan yang bertambah sehingga mereka meningkat kepada membaca buku. Kajian peringkat awalnya mendapati, kaedah ini tidak memerlukan kematangan mental yang tinggi untuk memulakan proses pembacaan. Katanya, kanak-kanak yang tidak lulus ujian prabacaan tradisional seperti mengenali nama bentuk, warna, atau arah dari kanan ke kiri boleh diajar membaca secara hafalan. Bagaimanapun, terdapat kelemahan dalam kaedah ini kerana, oleh kerana mereka tidak mempunyai kemahiran fonetik, kanak-kanak tidak dapat memindahkan kemahiran membaca kepada perkataan baru. Ini katanya, membuatkan kanak-kanak hanya boleh membaca buku buatan sendiri sahaja. ''Cara terbaik untuk mengatasi kelemahan ini ialah dengan menggunakannya bersama dengan kaedah fonetik sukukata. ''Setelah kanak-kanak berminat dengan membaca buku buatan sendiri, pendidik boleh mengajar peraturan fonetik sukukata menggunakan contoh-contoh dari perkataan yang telah sedia dihafal oleh kanak-kanak,'' katanya.