You are on page 1of 6

Pelbagai sistem tulisan yang pernah digunakan oleh bahasa Melayu sepanjang riwayat

hidupnya. Ini dapat dibuktikan daripada tinggalan sejarah dalam bentuk palaeografi dan
juga epigrafi. Namun sistem tulisan Jawi adalah yang paling lama dan luas digunakan
oleh bahasa Melayu. Tulisan Jawi telah digunakan dalam manuskrip Melayu sejak abad
kesepuluh Masihi sehingga dewasa ini. Tulisan Jawi adalah tulisan rasmi bagi Negara
Brunei dan digunakan meluas di Malaysia, Filipina dan Indonesia.
Tulisan Jawi telah mengalami beberapa tahap pensisteman dalam sejarah
perkembangannya. Tulisan ini bersumberkan tulisan Arab tetapi ditambah lima abjad
baru untuk melambangkan lima bunyi bahasa Melayu yang tidak ada dalam bahasa Arab.
Dengan demikian, tulisan Jawi mengandungi 29 abjad Arab dan lima abjad ciptaan
Melayu sehingga menjadi 34 abjad semuanya. Pada tahun 1986 telah ditambah satu lagi
abjad untuk melambangkan bunyi v yang berasal dari Eropah. Penyesuaian dan
pembaikan masih lagi difikirkan bagi sistem ejaan Jawi yang disempurnakan oleh Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Sejarah Ringkas Kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu dan Tulisan Jawi
Tulisan Jawi telah berkembang sejak zaman kerajaan Islam Pasai. Tulisan
Jawi kemudian disebarkan ke kerajaan Melaka, Johor dan juga Acheh pada abad ke 17.
Tulisan dan skrip Jawi berasal daripada skrip Arab yang sampai ke Kepulauan Melayu
bersama-sama dengan kedatangan agama Islam. Kedatangan Islam ke Kepulauan
Melayu memainkan peranan penting dalam penyebaran agama Islam dan tulisan Jawi.
Mengikut beberapa pendapat kebanyakan pengkaji, skrip Arab mula diadaptasikan
sebagai skrip untuk mengeja bahasa Melayu dibuat sesudah abad ke 13 Masihi.
Oleh itu, sejarah kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu ada kaitannya
dengan tulisan Jawi. Ini dibuktikan dengan kemunculan tulisan Jawi bersumberkan
tulisan Arab/Islam. Pelbagai teori dan pandangan dikemukakan bagi menguatkan hujah
tentang kedatangan Islam. Para pengkaji barat dan Timur termasuk pengkaji tempatan
sendiri seperti Syed Naquib al-Attas, Omar Awang, Fatimi S.Q., Wan Hussin Azmi dan
sebagainya menegaskan bahawa kedatangan Islam bukan sahaja membawa agama dan
kepercayaan tetapi aspek budaya Melayu yang lain.
Perkembangan Tulisan Jawi
Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam
masyarakat. Tulisan ini digunakan sebagai perantara penting dalam semua urusan
pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan. Sebagai contoh, tulisan Jawi digunakan
dalam perjanjian-perjanjian penting antara pihak-pihak di-Raja Melayu dengan pihakpihak berkuasa Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain itu Pemasyuran Kemerdekaan
1957 bagi negara Malaysia ditulis dalam tulisan Jawi. Tulisan Jawi merupakan tulisan
rasmi bagi Melayu Tidak Bersekutu semasa penguasaan British. Kini tulisan Jawi
digunakan dalam urusan agama Islam dan adat istiadat Melayu di Johor, Kedah,
Kelantan, Perlis dan Terengganu.

Banyak kajian telah dilakukan tentang perkembangan sistem tulisan Jawi


di Kepulauan Melayu yang dijalankan oleh orang Barat. Mereka berbuat demikian
kerana tugas atau ada kaitan dengan keperluan pentadbiran, perniagaan dan agama
Kristian. Ada juga yang melakukannya disebabkan oleh kecenderungan kesarjanaan
mereka, iaitu sebagai pembawaan daripada tradisi pengajian yang dialami mereka di
Universiti Cambridge, Oxford, Leiden dan lain-lain.
Shellabear yang menulis artikel tentang perkembangan ejaan Melayu
(Jawi) pada tahun 1901 (the Evolution of Malay Spelling, JMBRAS, 1901,Vol. 36: 75
135), telah menyebut dan memberi ulasan terhadap beberapa orang pengkaji Barat yang
telah menyelidiki bahasa Melayu, termasuk ejaannya (Jawi). Antaranya ialah van
Rongkel,van Elbinck, Robinson, Gerth v. Wijk, Werndly, van der Wall, Cohen Stuart, de
Hollander, van der Tuuk, Pihnappel, Klinkert dan Wilkinson dan Shellabear. Mereka
telah menyuarakan rasa kagum kerana keseragaman ejaan Jawi yang terkandung dalam
manuskirp-manuskrip, sebelum kurun ke -17 Masihi yang tertulis di seluruh pelosok
Kepulauan Melayu dari Acheh ke Sulawesi. Beliau telah memberi dua sebab tentang hal
itu. Pertama, kemahiran menulis pada masa itu, hanya dikuasai oleh beberapa orang
tukang tulis. Mereka ini tentu sekali terlatih dalam kaedah penulisan dan dengan itu
dapat menjaga keseragamannya. Kedua, teks pada masa itu tentang agama dan kerajaan,
yang ditulis oleh mereka yang terpelajar sahaja.
Satu perkara yang amat menarik yang dinyatakan oleh Shellabear (ibid.:
77-78) ialah orang Melayu menerima sistem tulisan Jawi ini secara langsung daripada
orang Arab, dan orang Arablah yang mula-mula menggunakan sistem tulisan Arab untuk
menulis bahasa Melayu yang seterusnya terkenal dengan nama tulisan Jawi itu.
Oleh sebab kebanyakan sistem tulisan Arab tidak menggunakan tanda
baris, maka penulisan tanpa tanda baris telah menimbulkan kekeliruan dalam bahasa
Melayu. Kekeliruan tersebut berlaku kerana tanda baris bahasa Melayu tidak dapat
diramalkan seperti dalam bahasa Arab. Oleh itu pada awal penggunaan tulisan Jawi,
mengikut Shellabear, tanda baris digunakan, termasuklah tanda tasydid. Tetapi setelah
jurutulis-jurutulis sudah biasa dengan ejaan perkataan-perkataan, maka tanda baris itu
ditiadakan kecuali;
... in the cases of unusual words and peculiar derivatives.
Demikianlah caranya kata Shellabear, bahasa Melayu ditulis dengan tulisan Jawi pada
awal abad ke-17 Masihi.
Pada tahun 1812 Marsden telah memperkatakan tulisan Jawi dalam
bukunya A Grammar of the Malayan Language (London, 1812). Marsden menyebut
tentang 28 abjad Arab (yang sebenarnya 29, iaitu abjad hamzah tidak diambil kira
olehnya), yang dipinjam oleh bahasa Melayu dan mencipta enam abjad baru (termasuk
yang kemudian digugurkan). Marsden menghuraikan penggunaan tiap-tiap abjad dalam
perkataan dan menamakan abjad-abjad itu sebagai konsonan seperti halnya dalam bahasa
Arab (Marsden, 1812: 14). Tentang vokal, Marsden mengatakan tulisan Melayu juga

menggunakan sistem pemvokalan seperti bahasa Arab (ibid.) dengan menggunakan


tanda-tanda baris, iaitu atas, bawah, dan hadapan. Marsden juga membincangkan tandatanda ortografi dalam tulisan Jawi seperti jezm (tanda mati), tasydid, hamzah, meddah
(panjang pendek) dan angka (ibid,:20).
Pada tahun 1913, R.O. Winstedt telah memperkatakan ejaan Jawi dalam
bukunya Malay Grammar (Oxford, 1913). Kajian Winstedt tentang ejaan ini jelas
berasaskan kajian-kajian terdahulu, terutamanya yang dilakukan oleh Marsden (1812)
dan Shellabear (1901). Oleh itu tidak banyak perkara baru yang diperkatakannya, kecuali
tentang tiga teori yang berkaitan dengan penggunaan huruf saksi oleh tukang tulis Jawi
yang berpendidikan Arab dan kemunculan penggunaan hamzah ( Winstedt, 1913: 4142). Selain ejaan Jawi, Winstedt juga telah memperkatakan ejaan Rumi bahasa Melayu
(ibid.:43).
Di kalangan orang Melayu, Raja Ali Haji ialah tokoh yang mula-mula
memperkatakan sistem ejaan Jawi seperti yang tercatat dalam tulisannya Bustan alKatibin (1267 H./1857 M.) Huraian Raja Ali Haji tentang ejaan Jawi, sebenarnya
merupakan panduan untuk mengenal, menyebut dan menggunakannya dalam bentuk
tulisan.
Tokoh Melayu seterusnya yang memperkatakan sistem tulisan Jawi ialah
Muhammad Ibrahim, iaitu anak Abdullah Munshi, yang telah menerbitkan Kitab
Pemimpin Johor pada tahun 1878 M. Buku ini juga merupakan panduan tentang kaedah
ejaan Jawi.
Tokoh Melayu yang mula-mula menganalisis sistem ejaan Jawi dengan
bersungguh-sungguh dari segi prinsip dan segala permasalahannya ialah Zainal Abidin
bin Ahmad (Zaba) dalam tulisannya yang bertajuk Jawi Spelling (JMBRAS, vol. IV,
1928, hlm. 80-104). Beliau telah memperkatakan tulisan Jawi dari segi sebab-sebab
timbulnya ketidakseragaman ejaan, sistem pemvokalan dalam Jawi, sistem ejaan dalam
suku kata terbuka dan tertutup, kepanjangan, tekanan dan intonasi, perkembangan
penggunaan abjad , , penggunaan abjad-abjad , dan penyebutan serta
pengejaan bunyi a pada akhir kata. Zaba seterusnya menerbitkan buku Daftar Ejaan
Melayu Jawi-Rumi pada tahun 1949. Beliau juga telah membincangkan kaedah ejaan
Jawi dan Rumi dalam buku nahunya yang termasyhur, iaitu Pelita Bahasa Melayu
penggal I (1940).
Dua orang tokoh Melayu lagi yang pernah memperkatakan ejaan Jawi
ialah Raja Haji Muhammad Tahir bin almarhum Murshid Riau yang termuat di dalam
bukunya Rencana Melayu (1928). Seorang lagi tokoh Melayu ialah Mejar Datuk Haji
Muhammad Said Sulaiman yang telah menulis buku Buku Katan (1936) dan Panduan
Bagi Ejaan PBmPB (1936).
Pada tahun 1954, sebuah jawatankuasa penyiasat tulisan Jawi-Rumi dalam
Kongres Persuratan Melayu se-Malaya Kedua di Seremban, telah membandingkan sistem
tulisan Jawi dan Rumi. Hasil daripada penyiasatan itu maka disimpulkan (dalam

Memorandum Mengenai Tulisan Rumi untuk Bahasa Melayu 1954) 11 kelebihan tulisan
Rumi berbanding dengan 12 kelemahan tulisan Jawi, dan satu kelemahan tulisan Rumi
berbanding dengan satu sahaja kelebihan tulisan Jawi.
Daripada hasil penyiasatan di atas, maka Angkatan Sasterawan 50 telah
mengesyorkan bahawa tulisan Rumi dirasmikan bagi persuratan Melayu dengan tidak
menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya. Pengesyoran ini telah
diterima oleh Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga, di Singapura/Johor Bahru,
1956, sambil mengambil ketetapan membentuk satu badan untuk mengkaji bagaimana
hendak memelihara tulisan Jawi dan bagaimana hendak menyamakan ejaan tulisan Jawi
di Malaya dan Indonesia.
Dalam tahun 1972, Raja Mukhtaruddin Dain, telah mengesyorkan satu
sistem pemvokalan ejaan Jawi melalui penggunaan tanda-tanda baris sepenuhnya dengan
mengetepikan penggunaan abjad , , untuk menandakan bunyi vokal (Raja
Mukhtaruddin Dain, 1972: 309-312). Beliau mengesyorkan tanda baris di atas
melambangkan vokal a, tanda baris di bawah melambangkan vokal i, tanda baris di
hadapan melambangkan vokal u, dan sebagainya.
Pada tahun 1981 Jawatankuasa Mengkaji Penggunaan Bahasa Malaysia di
bawah naungan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengesyorkan supaya ejaan
Jawi pada masa itu dikaji semula dan diperkemaskan. Oleh itu, pada tahun 1983, melalui
daya usaha Dewan Bahasa dan Pustaka, Awang Mohamad Amin, telah membuat
penyelidikan tentang tulisan Jawi yang berjudul Satu Kajian Terhadap Kaedah Ejaan
Jawi Zaba. Tujuannya adalah untuk mencari data tentang ejaan Jawi bahasa Melayu
dengan harapan bahawa data itu akan digunakan sebagai asas untuk menyempurnakan
ejaan tersebut.
Bagaimanapun, hasil kajian tersebut telah dibahaskan oleh Raja
Mukhtaruddin bin Raja Mohd. Dain dalam artikelnya Laporan Tentang Satu Kajian
Kaedah Ejaan Melayu Zaba yang dibuat oleh Tuan Awang Mohd. Amin dan Haji
Hamdan bin Haji Abdul Rahman dalam artikelnya Sistem Ejaan Jawi Bahasa Melayu
Bagi Memenuhi Keperluan Masa Depan dalam satu bengkel yang diadakan di Dewan
Bahasa dan Pustaka pada bulan Februari 1983. Sebagai kesan daripada perbincangan
dalam bengkel itu, satu jawatankuasa ejaan Jawi Dewan Bahasa dan Pustaka, telah
dibentuk untuk menyemak sistem tulisan yang ada pada masa itu (khususnya sistem
tulisan Jawi Zaba) dan memperkemaskannya.
Sistem ejaan itu dibengkelkan dalam Konvensyen Kebangsaan Tulisan
Jawi di Terengganu pada bulan April, 1994. Sistem ejaan itu diterima oleh konvensyen,
dan sebagai natijahnya, pada tahun 1986, diterbitkanlah buku Pedoman Ejaan Jawi Yang
Disempurnakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Buku ini mengandungi tiga bab, iaitu
tentang pengenalan abjad dan huruf, bentuk huruf dan cara penulisan dan kaedah mengeja
Jawi. Pada tahun 1988, Dewan Bahasa dan Pustaka menerbitkan pula buku Daftar Ejaan
Rumi-Jawi.

Di kalangan orang Timur, Kang Keong Seock (1986) dari Korea telah
menyiapkan satu kajian berjudul Perkembangan Tulisan Jawi dalam Masyarakat
Melayu sebagai satu tesis Sarjana Sastera di Universiti Malaya, yang kemudiannya
diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (1990). Dalam kajiannya, Kang menyentuh
tentang sejarah perkembangan tulisan Jawi daripada bentuk Arab kepada Melayu asli dan
menghuraikan perkembangan tulisan Jawi. Kang telah mengesyorkan satu sistem gaya
tulisan Jawi yang baharu. Pengesyorannya yang pertama adalah untuk melestarikan
prinsip penggunaan baris yang ada pada ejaan Arab bagi bunyi-bunyi vokal pada suku
kata tertutup. Pengesyorannya yang kedua pula adalah bunyi vokal dalam suku kata
terbuka mesti dilambangkan oleh abjad vokal yang sebenar.
Penutup
Secara ringkasnya tulisan Jawi berkembang dengan kemunculan dan
penyebaran akhbar-akhbar dan majalah-majalah Melayu dalam ejaan Jawi dan penubuhan
sekolah-sekolah Melayu dan penerbitan buku-buku pelajaran sekolah. Namun terdapat
masalah dalam penyelarasan ejaan Jawi terutama sekali dalam pengejaan diftong dan juga
pada persukuan kata tertentu. Walaupun terdapat kedua-dua buah buku panduan ejaan
Jawi yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, namun dari segi perlaksanaannya
mengambil masa yang lama terutama untuk mengubah sesuatu sistem yang sekian lama
wujud dan telah berakar umbi dalam kebiasaan masyarakat Melayu. Namun setelah
tulisan Jawi diketepikan dalam pengajaran di sekolah, maka penggunaanya kini telah
merosot.
Kesimpulannya pada penghujung tahun 1991, belum ada penyelarasan
pada peringkat kebangsaan dalam sistem ejaan Jawi. Syarikat Utusan Melayu dalam
terbitan-terbitan yang berbentuk Jawi masih lagi menggunakan sistem ejaan lama
misalnya dalam akhbar Utusan Melayu dan majalah Utusan Qiblat. Begitu juga dengan
Bahagian Pendidikan Agama, Kementerian Pendidikan yang menggunakan sistem tulisan
Jawi yang berbeza dengan yang dikemukakan Dewan Bahasa. Ekoran daripada itu, pada
tahun 1991, Konvensyen tulisan Jawi anjuran Pusat Islam di Kuala Lumpur telah
mewujudkan satu Jawatankuasa Penyelarasan Ejaan Jawi cadangan pembaikan terhadap
Pedoman Ejaan Jawi Yang Disempurnakan (PEJYD) oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
(1986/87).
Malah dengan perkembangan teknologi canggih, mesin komputer
digunakan untuk penggunaan, pembelajaran dan penyebaran tulisan Jawi melalui
perkataan (hardware) dan perisian (software) komputer dalam tulisan Arab secara meluas.
Pada 5 Mac 1992, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri telah melancarkan
penggunaan dan penyebaran tulisan Jawi dengan terciptanya al-Bayan Arabic-English
Bilingual Wordprocessor Jawi Version di Pusat Islam, Kuala Lumpur. Untuk meluaskan
penggunaan tulisan Jawi, Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah mengambil
prakarsa untuk mengarahkan semua institusi yang berada di bawahnya menggunakan
Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka dengan
sepenuhnya dalam penggunaan tulisan Jawi mereka.

You might also like