You are on page 1of 4

Perbezaan Antara Buta Dan Penglihatan Terhad

Pengenalan
Sehingga Jun 2012 terdapat kira-kira 285 juta orang mengalami masalah penglihatan di serata
dunia dengan 39 juta daripadanya dikategorikan sebagai buta dan selebihnya iaitu seramai 246
juta lagi mengalami penglihatan terhad. 90% daripada mereka ini berada di negara membangun.
Dianggarkan 80% daripada masalah penglihatan ini boleh dielak atau dipulihkan. Penyebab
utama masalah penglihatan adalah rabun yang tidak dibetulkan. Manakala katarak pula adalah
penyebab utama kebutaan di negara yang rakyatnya berpendapatan rendah dan sederhana.
Takrifan penglihatan terhad dan kebutaan mengikut definisi yang diberikan oleh World Health
Organizatin (WHO) mengikut International Statistical Classification of Diseases, Injuries and
Causes of Death adalah seperti berikut :
1. Penglihatan terhad - seseorang individu dikatakan mempunyai penglihatan terhad
apabila tahap penglihatan pada mata terbaik selepas pembetulan kurang daripada 6/18
hingga 3/60. Atau keluasan medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari titik fiksasi.
1. Kebutaan - seseorang individu dikatakan buta apabila mempunyai tahap penglihatan di
mata terbaik selepas pembetulan kurang daripada 3/60.
Pengkelasan antara penglihatan terhad dan buta yang digunakan oleh WHO ataupun oleh sesuatu
negara ini biasanya digunakan untuk mengesahkan status penglihatan dan hak seseorang
mengikut istilah perundangan. Mereka yang dikategorikan buta mengikut pengkelasan ini
kebanyakannya masih lagi mempunyai sedikit sebanyak sisa penglihatan yang boleh
dimanfaatkan.
Manakala daripada segi perubatan pula, kebutaan sebenar hanya terjadi ke atas individu yang
tidak mempunyai sebarang sisa penglihatan walaupun untuk melihat cahaya iaitu tidak dapat
membezakan keadaan antara gelap dan terang pada mana-mana mata.
Berdasarkan kepada definisi oleh WHO - yang membezakan antara seseorang yang
berpenglihatan terhad dan buta adalah keupayaan dan potensi maksimum mereka dalam
memanipulasikan sisa penglihatan yang masih ada. Ringkasnya tahap penglihatan dan keluasaan
medan penglihatan individu yang berpenglihatan terhad adalah lebih baik daripada individu buta.
Oleh itu proses penyesuaian dan rehabilitasi penglihatan ke atas individu berpenglihatan terhad
adalah lebih mudah berbanding ke atas individu yang mengalami kebutaan.
Di Malaysia, istilah Kurang Upaya Penglihatan yang boleh didaftarkan melalui Jabatan
Kebajikan Masyarakat adalah bermaksud buta di kedua-dua belah mata ATAU buta sebelah mata
ATAU penglihatan terhad di kedua-dua belah mata ATAU lain-lain gangguan penglihatan kekal.
Bagi mana-mana individu yang tergolong dalam kategori seperti yang dinyatakan di atas, boleh
memohon untuk didaftarkan sebagai OKU penglihatan setelah mendapat pengesahan daripada
Pakar Oftalmologi. Di Malaysia pendaftaran OKU bukanlah sesuatu yang diwajibkan; namun
begitu sekiranya anda telah berdaftar, anda layak mendapat semua keistimewaan yang sepatutnya
anda peroleh sebagai seorang OKU.

Simptom dan Tanda


Individu yang mempunyai masalah penglihatan biasanya akan mengadu simptom sukar untuk
melihat dengan jelas. Bagaimanapun, kesan simptom ini berbeza antara individu walaupun
masalah penglihatan yang mereka alami hampir sama. Seseorang yang dilahirkan sebagai buta
lebih mudah menyesuaikan diri berbanding individu yang mengalami kebutaan agak lewat dalam
fasa kehidupan mereka. Individu yang kehilangan penglihatan secara tiba-tiba juga mengalami
kesukaran menyesuaikan diri berbanding mereka yang kehilangan penglihatan secara beransuransur.
Pelbagai masalah penglihatan lain juga boleh menjadi petanda seseorang itu akan menjadi buta;
antaranya adalah melihat objek menjadi herot, melihat titik-titik hitam, melihat cahaya terang
secara tiba-tiba dan penglihatan berganda.
Tanda-tanda awal individu yang berisiko menjadi buta adalah melihat cahaya yang sangat terang
dalam penglihatan mereka. Cahaya tersebut boleh jadi malap, sangat terang atau muncul
berwarna-warni. Cahaya terang seperti ini mungkin menjadi petunjuk awal kepada kelekangan
atau koyakan pada retina yang akhirnya boleh menyebabkan kebutaan.
Kehilangan penglihatan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Oleh itu setiap simptom dan
tanda yang dialami oleh seseorang individu tidak boleh dipandang ringan. Namun begitu ia
tidaklah bermakna jika seseorang itu mengalami satu atau dua daripada simptom seperti yang
dinyatakan, beliau akan mengalami kebutaan secara automatik.
Komplikasi
Kehilangan penglihatan yang disebabkan oleh kerosakan saraf optik, diabetes retinopati,
glaukoma, kelekangan retina dan degenerasi makula adalah bersifat kekal dan tidak boleh
dibetulkan. Manakala kehilangan penglihatan yang disebabkan oleh rabun atau katarak adalah
bersifat sementara dan boleh dibetulkan dengan pembedahan. Walau bagaimanapun, kehilangan
penglihatan yang disebabkan oleh masalah pada kornea, adakalanya boleh dibetulkan dengan
pembedahan atau kanta lekap bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi.
Rawatan
Rawatan kepada masalah penglihatan terhad dan kebutaan ini juga bergantung kepada
penyebabnya. Di negara dunia ketiga, di mana penyebab utama masalah penglihatan adalah
disebabkan oleh rabun, pemberian preskripsi dan sepasang cermin mata sudah mencukupi untuk
menangani masalah ini.
Masalah nutrisi juga boleh menyebabkan masalah penglihatan dan pengolahan diet mungkin
boleh membantu mengurangkan komplikasi penglihatan. Selain dari itu, terdapat beratus ribu
pesakit katarak yang boleh mendapat semula penglihatan normal mereka sekiranya mereka
berpeluang menjalani pembedahan membuang katarak tersebut.

Pencegahan
Antara 80-90% masalah penglihatan di dunia boleh dicegah melalui kombinasi pendidikan dan
kebolehcapaian kepada penjagaan kesihatan yang baik. Kebanyakan kes yang disebabkan oleh
trauma/kecederaan boleh dicegah melalui amalan menggunakan peralatan perlindungan mata
yang bersesuaian semasa melakukan kerja-kerja yang berisiko.
Bagi kes yang berkaitan dengan nutrisi boleh dicegah melalui pengambilan diet yang betul. Bagi
kes yang berkaitan glaukoma, kehilangan medan penglihatan boleh dicegah melalui rawatan
yang bersesuaian di peringkat awal. Bagi kes yang berkaitan dengan jangkitan kuman, ianya
dapat dikurangkan melalui promosi kesihatan awam.
Kebanyakan masalah penglihatan yang berpunca daripada diabetik retinopati, boleh dielakkan
melalui kawalan tahap glukosa dalam darah, senaman, elakkan diri daripada menjadi obes dan
elakkan daripada merokok. Penekanan juga harus diberikan kepada pengambilan makanan yang
tidak meningkatkan jumlah gula dalam darah.
Peningkatan jangka hayat populasi dunia juga mendedahkan mereka kepada masalah penglihatan
yang disebabkan oleh penuaan seperti degenerasi makula. Pemeriksaan mata secara berkala
dapat mengesan sebarang penyakit yang berpotensi mendatangkan kerosakan pada penglihatan
dan medan penglihatan dan dengan itu rawatan yang bersesuaian dapat diberikan kepada pesakit.
Rehabilitasi
Bagi pesakit yang mengalami masalah penglihatan terhad dan kebutaan yang tidak boleh
dirawati, mereka perlu mengatur semula kehidupan mereka daripada segi rutin harian dengan
berlatih melakukannya dalam bentuk dan cara yang berbeza.
Alat bantuan penglihatan terhad selalunya dapat memudahkan mereka yang berpenglihatan
terhad untuk menjalani rutin mereka.

Rajah 1 : Alat bantuan optikal dan bukan optikal serta peralatan elektronik untuk kegunaan orang
berpenglihatan terhad dan buta
Rajah 2 : Aktiviti orang berpenglihatan terhad dan buta di Pusat Rehabilitasi Penglihatan
Bagi mereka yang mengalami kebutaan, program orientasi dan mobiliti membolehkan mereka
bergerak tanpa bantuan di persekitaran yang biasa. Di sesetengah negeri terdapat projek Program
dalam Komuniti yang melibatkan lawatan daripada pakar orientasi dan mobiliti, ahli terapi cara
kerja dan profesional-profesional lain yang boleh membantu mereka menyesuaikan diri dengan
persekitaran.
Bagi yang berminat untuk membaca dan menulis, mereka boleh menghadiri kelas Braille
ataupun datang ke mana-mana pusat rujukan untuk OKU penglihatan dan mendapatkan latihan di
bidang yang berkaitan dengan minat mereka.

Rajah 3 : Aktiviti orang berpenglihatan terhad dan buta di Pusat Rehabilitasi Penglih

You might also like