You are on page 1of 11

HAK-HAK WANITA SELEPAS PERCERAIAN

January 18th, 2012 by admin


Number of View: 71254
Pengenalan Enakmen Keluarga Islam
Undang-Undang Keluarga Islam adalah kesinambungan daripada kondisi
masyarakat yang berbilang bangsa, budaya dan adat resam. Walaupun ia adalah
jelmaan daripada Undang-Undang Inggeris pada asalnya, tetapi Undang-Undang
Keluarga Islam telah diperluaskan dan diperbaiki serta dikembalikan kedudukan
asalnya sebagaimana yang dikehendaki oleh Fiqh Islam.
Undang-undang keluarga Islam hari ini adalah rombakan daripada fiqh yang
memperbaiki kedudukan wanita dan kanak-kanak terutamanya dalam
masyarakat moden hari ini. Hal ini dapat dilihat daripada beberapa peruntukan
undang-undang yang menyentuh khusus tentang hak-hak mereka. Ini diseliputi
hak-hak berhubung dengan kewangan seperti mahar, nafkah, mutah, harta
sepencarian dan lain-lain peruntukan semasa dalam tempoh perkahwinan dan
juga selepas perceraian berlaku.
Perkahwinan di dalam Islam adalah tidak menyentuh mengenai kedudukan
peribadi seorang perempuan Islam. Perempuan tersebut mempunyai hartanya
dan apa-apa gaji atau pendapatan yang diperolehi atau didapati olehnya adalah
kepunyaannya. Dia berhak menuntut atas namanya sendiri hartanya dan kontrak
yang diikatnya olehnya.
Akta Perempuan-Perempuan Bersuami 1957 memperuntukan bahawa Akta itu
berkuatkuasa di negeri-negeri Johor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang,
Perak, Perlis, Selangor, Terengganu dan Wilayah-Wilayah Persekutuan berhubung
dengan perempuan Islam yang bersuami dan hak harta mereka dan
tanggungjawab mereka tertakluk kepada undang-undang Islam dan adat Melayu
mengenai perhubungan antara suami isteri setakat mana ia terpakai dan di
negeri-negeri Melaka dan Pulau Pinang, dan tertakluk kepada undang-undang
Islam negeri-negeri ini dalam semua perkara di mana undang-undang Islam itu
terpakai.
Telah diperuntukan bahawa tertakluk kepada Akta tersebut seorang perempuan
yang bersuami hendaklah:a) berkebolehan memperolehi, memegang dan melupuskan mana-mana harta;
b) berkebolehan menyebabkan dirinya atau disebabkan ia bertanggungan,
berkenaan dengan tort, kontrak, hutang atau tanggungan;
c) berkebolahan mendakwa dan didakwa atas namanya sendiri sama ada
berhubung dengan tort atau kontrak atau kaedah lain dan berhak kepada semua
remedi dan tebus rugi untuk semua perkara;

d) tertakluk kepada undang-undang kebankrapan dan penguatkuasaan


penghakiman dan perintah-perintah;
Semua peruntukan ini sama seperti perempuan yang belum
berkahwin.Sehinggalah baru-baru ini Akta Perempuan-perempuan Bersuami
1957 memperuntukan bahawa kecuali untuk perlindungan atau keselamatan
hartanya, tidak ada seorang suami atau isteri berhak menuntut pihak yang satu
lagi bagi Tort. Peruntukan tersebut dimansuhkan dan diperuntukan sekarang
bahawa seorang suami atau isteri berhak mendakwa masing-masing mengenai
Tort untuk mendapat gantirugi berkenaan dengan kecederaan kepada badan
mereka,seperti juga mana-mana dua orang berasingan. (Seksyen 4A ditambah
oleh Akta A893 pada tahun 1994).
Berdasarkan peruntukan seksyen 128 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga
Islam Kedah 2008 bahawa seseorang suami atau isteri yang dengan sengaja
menganiaya isterinya atau suaminya atau menipu harta isterinya atau suaminya,
mengikut mana-mana yang berkenaan, adalah melakukan suatu kesalahan dan
hendaklah dihukum denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara tidak
melebihi enam bulan atau kedua-duanya denda dan penjara.128 (2) Mahkamah
boleh, sebagai perintah tambahan, memerintahkan supaya dibayar pampasan
bagi harta yang telah ditipu itu.
HAK-HAK WANITA SELEPAS PERCERAIAN
2.1.1

a) Mahar Yang Belum Dijelaskan

Berdasarkan hukum syarak sebarang mas kahwin yang diberikan kepada


seorang isteri semasa berkahwin adalah menjadi hak isteri dan tidak boleh
diambil balik oleh suami kecuali dengan izinnya, kecuali apabila berlakunya
perceraian sebelum berlakunya persetubuhan.
Firman Allah,Surah An-Nisa :19
Maksudnya
Wahai orang-orang yang beriman, tidak halal bagi kamu mewarisi perempuanperempuan dengan jalan paksaan, dan janganlah kami menyakiti mereka
( dengan menahan dan menyusahkan mereka) kerana kamu hendak mengambil
balik sebahagian dari apa yang telah kamu kepadanya, kecuali (apabila) mereka
melakukan perbuatan keji yang nyata..
Ini menunjukkan bahawa, hak untuk mendapatkan mas kawin atau mahar ini
merupakan hak isteri yang wajib ditunaikan oleh suami. Hak ini juga tidak akan
terjejas walaupun berlakunya perceraian. Oleh itu, sekiranya jumlah penuh mas
kawin atau sebahagian darinya belum dijelaskan lagi oleh suami, isteri berhak
untuk menuntutnya selepas terjadinya perceraian. Berhubung dengan hak ini,
Seksyen 59, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008
memperuntukkan bahawa, tiada apa-apa jua yang terkandung dalam Enakmen
ini boleh menyentuh apa-apa hak yang mungkin ada pada seorang isteri di
bawah Hukum Syarak terhadap mas kawinnya dan pemberian kepadanya atau

apa-apa bahagian daripadanya apabila pernikahannya dibubarkan. Ini jelas


menunjukkan bahawa, hak-hak isteri yang diceraikan masih lagi boleh dituntut
walaupun perceraian telah berlaku, dan suami wajib membayar mahar yang
belum dijelaskannya terhadap isterinya.
Disamping itu juga, Seksyen 23 (8) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam
Kedah 2008 memperuntukkan bahawa mana-mana orang yang membuat akad
nikah bersalahan dengan subseksyen (1) hendaklah membayar dengan serta
merta jumlah mas kawin dan pemberian yang kena dibayar kepada isteri atau
isteri-isteri yang sedia ada, dan jika jumlah itu tidak dibayar sedemikian, boleh
dituntut sebagai hutang.
b)Nafkah Iddah
Iddah dari sudut bahasa bermaksud pengiraan yang diambil daripada perkataan
(adad) yang memberi makna bilangan kerana ia mengandungi tempoh suci
ataupun bilangan bulan (al Zuhaily, Wahbah, Al Fiqh Al Islam wa Adillatuh,jil
7,hlm 624)
Dari sudut istilah Fuqaha pula ialah satu masa yang ditentukan untuk
menamatkan apa-apa kesan daripada perkahwinan. Apabila berlaku perpisahan
di antara seorang lelaki dengan isterinya maka hubungan perkahwinan antara
isteri dengan suaminya tidak akan terputus kesemuanya hanya dengan
berlakunya perpisahan, bahkan isterinya wajib menahan dirinya dan tidak
mengahwini orang lain sehinggalah tamat tempoh yang telah ditetapkan oleh
syarak tadi.
Pensyariatan Iddah ini adalah untuk di atas perkahwinan yang telah berlalu.
Oleh itu, tidak sah seorang perempuan yang bebas lagi mulia untuk berkahwin
sebaik sahaja berlaku perceraian kerana ia dikira menghina perkahwinan yang
pertama dan juga hubungan yang telah dijalin bersama yang wajib ditunaikan. Ia
juga adalah satu waktu yang ditetapkan untuk memastikan kekosongan rahim
dari mengandungkan anak. Maka ia boleh berkahwin selepas dari memastikan
bahawa rahimnya tadi adalah kosong. Bagitu juga iddah disyariatkan kerana
asalnya dalam perceraian adalah talak rajie maka semestinya wujud peluang
bagi pihak lelaki untuk rujuk kembali kepada isterinya. Maka iddah adalah
selama lebih kurang tiga bulan untuk meneliti kembali keadaan dirinya semoga
Allah akan menyedarkannya akan sesuatu.
Islam bukan sahaja memelihara hak dan kepentingan wanita semasa
perkahwinan, malahan juga selepas berlakunya perceraian, selepas perceraian
bekas isteri masih berhak menuntut kewangan daripada bekas suaminya iaitu
nafkah iddah. Ini berdasarkan seksyen 60 (1) Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam Kedah 2008 yang memperuntukan bahawa tertakluk kepada
Hukum Syarak, Mahkamah boleh memerintah seseorang lelaki membayar nafkah
kepada isteri atau bekas isterinya. Seksyen 60 (2) menyatakan tertakluk kepada
Hukum Syarak dan pengesahan Mahkamah, seseorang isteri tidaklah berhak
mendapat nafkah apabila dia nusyuz atau enggan dengan tidak berpatutan
menurut kemahuan atau perintah sah suaminya, iaitu antara lainnya:-

a)

apabila dia menjauhkan dirinya daripada suaminya;

b)
apabila dia meninggalkan rumah suaminya bertentangan dengan
kemahuan suaminya; atau
c)
apabila dia enggan berpindah bersama suaminya ke suatu rumah atau
tempat lain,
tanpa apa-apa sebab yang sah mengikut Hukum Syarak.
Selain dari aspek kewangan bekas isteri juga boleh menuntut untuk
mendapatkan tempat tinggal semasa di dalam tempoh iddah. Ini berdasarkan
seksyen 72 (1) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008 yang
menyatakan bahawa Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak
tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dia berkahwin selagi suami
tidak mendapatkan tempat tinggal yang sesuai untuk isteri.Seksyen 72 (2)
Enakmen yang sama menyatakan hak tempat tinggal yang diperuntukkan dalam
seksyen (1) akan terhenti:a)

jika tempoh iddah telah tamat;

b)

jika tempoh penjagaan anak telah tamat;

c)
jika perempuan itu telah bersalah melakukan perbuatan yang
memberahikan secara terbuka (fahisyah).
Dan sesudah itu, suami boleh memohon kepada Mahkamah supaya dikembalikan
rumah itu kepadanya.
Tempoh iddah seorang isteri yang diceraikan iaitu bagi wanita yang
mengandung sehingga melahirkan anak dan bagi wanita yang masih mempunyai
kitaran haid iaitu selama tiga kali kitaran haid.
Kadar nafkah
Kadar nafkah yang diwajibkan hendaklah sekadar keperluan dan hajat, menurut
keadaan dan kekuasaan orang yang berkewajipan serta menurut adat tiap-tiap
tempat, ini berdasarkan hadis nabi riwayat Bukhari dan Muslim:
Maksudnya : Dari Aisyah, Hindun Binti Utbah telah berkata, Ya Rasulullah,
sesungguhnya Abu Sufyan (suaminya) seorang yang kedekut. Dia tidak memberi
kepada saya dan anak saya belanja yang cukup, kecuali saya ambil dengan tidak
diketahuinya (adakah yang demikian itu harus bagi saya) Rasulullah menjawab,
Ambillah olehmu daripada hartanya sekadar yang mencukupi keperluanmu dan
anakmu dengan cara yang baik.
Al Quran surah al Talaq:6
Maksudnya,
Wahai nabi, Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteriisteri kamu maka ceraikanlah mereka pada masa mereka daapat

memulakan ciddahnya dna hitunglah masaciddah itu dengan betul, serta


bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka
dari rumah-rumah kediamannya dan janganlah pula dibenarkan mereka keluar
dari situ kecuali jika mereka melakukan perbuatan keji yang nyata.
Al Quran dan hadis tidaklah menyebut dengan tegas atau mensyaratkan kadar
jumlah nafkah yang tertentu; di dalam al Quran surah al Talaq:6&7 hanya
memberi gambaran umum iaitu nafkah cuma diberi sekadar yang patut dan
cukup bagi keperluan isteri dan sesuai dengan pendapatan suami. Menurut
Imam al-Syafie jumlah maksimum dan minimum nafkah berdasarkan kepada
nilai kafarah yang terbanyak iaitu 2 mud ( 2 kg beras sehari) dan kadar
terendah iaitu 1 mud ( lebih kurang 1 kg lebih beras). Dan sebaik-baik nafkah
ialah yang sederhana, jangan terlalu kedekut dan jangan terlampau membazir
sebagaimana firman Allah yang bermaksud orang yang berkemampuan
hendaklah memberi nafkah mengikut kemampuannya.
Menurut, Hakim Harussani menyatakan kadar nafkah iddah adalah mengikut
kedudukan atas nisbah kaya, miskin dan pertengahan.
Hukum Nafkah Iddah
Hukum Nafkah adalah wajib berdasarkan al Quran dan juga Sunnah. Di dalam Al
Quran telah dijelaskan mengenai nafkah iddah berdasarkan firman Allah Taala
dalam surah al-Talak 65:6
Bermaksud: Tempatkanlah isteri-isteri yang menjalani iddahnya itu
ditempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu, dan
janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka ditempat
tinggal itu dan tujuan menyusahkan kedudukan mereka supaya mereka
keluar meninggalkan tempat itu.
Hikmah Nafkah Iddah
Setengah fuqaha menafikan adanya hikmah di sebalik pensyariatan iddah
kerana ia adalah perkara yang berbentuk ibadah dan tidak boleh difikirkan
dengan akal mana dinyatakan oleh Ibn Hazm al Zahiry. (Muhammad Mustafa al
Shalabi, 1977, Jil 2, hlm 630) walau bagaimanapun menurut pendapat fuqaha
yang lain hikmah pensyariatan iddah boleh simpulkan seperti berikut:a)
Untuk memastikan kekosongan rahim supaya tidak bercampur benih
kerana pada kebiasaannya perceraian hanya berlaku selepas daripada
persetubuhan di mana ia adalah merupakan fitrah manusia. Oleh sebab itulah
Iddah sememangnya dikenali semasa zaman jahiliah kemudian Islam datang
menetapkan dan menegaskannya selepas daripada menghapuskan segala
kemudharatan yang berlaku ke atas kaum wanita.
b)
Menunjukkan kepentingan perkahwinan dan memberitahu manusia
bahawa ia adalah suatu perkara yang mempunyai risiko yang mampu merubah
kesemua bentuk akad kerana ia merupakan akad perkongsian hidup. Oleh
kerana akad itu tidak sah melainkan dengan kehadiran dua orang saksi begitu

jugalah halnya ia tidak semestinya berakhir semata-mata dengan perpisahan.


Bahkan perempuan yang telah dicampuri itu mesti menunggu satu tempoh yang
cukup kepada pasangan suami isteri untuk mengkaji balik segala keputusan
sebelum berpisah.
c)
Membolehkan perempuan yang kematian suami menzahirkan kesedihan
yang dialaminya kerana kehilangan suami dengan meninggalkan segala
perhiasan diri. Ini adalah satu cara untuk menunaikan tanggungjawabnya,
kerana bukanlah menjadi satu perkara yang bermaruah seorang isteri bersegera
berkahwin sebaik sahaja kematian suaminya sekalipun suami belum
mengaulinya. Begitu juga, perbuatannya itu akan menimbulkan kesan buruk
kepada keluarga mentuanya itu kerana dapatkah dibayangkan bagaimana
seorang isteri boleh menikmati kehidupan yang baru saat keluarga suaminya
masih di dalam keadaan yang hiba.
c)Tunggakan nafkah
Dari segi bahasa nafkah bermaksud mengeluarkan dan membelanjakan.Nafkah
menurut pandangan syarak ialah mengeluarkan perbelanjaan atau nafkah
kepada mereka yang wajib atas seseorang itu menafkahkannya atau
mengeluarkan belanjanya, tetapi yang dimaksudkan dengan belanja disini ialah
semua hajat dan keperluan yang berlaku mengikut keadaan dan tempat seperti
makanan, pakaian, tempat tidur dan sebagainya.
Nafkah wajib dibayar kepada isteri apabila berlakunya perkahwinan selama
mana isteri masih taat kepada suami. Nafkah tersebut termasuklah makanan,
pakaian, tempat tinggal, pekakas rumah dan lain-lain lagi menurut keadaan dan
adat ditempat masing-masing berdasarkan juga kemampuan suami untuk
menyediakan keperluan tersebut.
Sekiranya isteri taat kepada isteri dan sentiasa menjaga maruah diri dan
rumahtangga kepada suami, namun begitu, suami gagal menyediakan makan
minum isteri dan keperluan isteri, maka akan menjadi hutang kepada suami
untuk membayar nafkah yang tertunggakan tersebut. Isteri tersebut perlu
membuktikan di mahkamah bahawa sepanjang perkahwinan tersebut suami
telah gagal menyediakan keperluan isteri tersebut selama mana suami gagal
membayar akan terbeban ke atas suami untuk menjelaskannya. Ini berdasarkan
seksyen 70 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008, yang
menyatakan tunggakan nafkah yang tak bercagar, boleh dituntut sebagai suatu
hutang daripada pihak yang mungkir itu dan, jika tunggakan itu terkumpul kena
dibayar sebelum suatu perintah penerimaan dibuat terhadap pihak yang mungkir
itu, tunggakan itu boleh dibuktikan dalam kebankrapannya dan, jika tunggakan
itu terkumpul kena dibayar sebelum dia mati, tunggakan itu hendaklah menjadi
suatu hutang yang kena dibayar daripada harta pusakanya. Seksyen 70 (2)
menyatakan tunggakan nafkah yang tak bercagar yang berkumpul kena dibayar
sebelum orang yang berhak kepadanya itu mati boleh dituntut sebagai suatu
hutang oleh wakil diri disisi undang-undang orang itu.
d)Hak Terhadap Mutah

Selain dari hak seorang isteri yang diceraikan untuk menuntut nafkah, terdapat
lagi hak isteri yang diceraikan untuk menuntut mutah. Mutah bermaksud
pemberian oleh suami kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut.
Ayat Quran yang menjelaskan tentang wajib member Mutah kepada isteri yang
diceraikan dalam surah al-Baqarah 2:241,
Maksudnya;
Dan isteri-isteri yang telah diceraikan, berhak mendapat mutah (pemberian
sagu hati ) dengan cara yang patut, sebagai satu tanggungan yang wajib atas
orang yang bertaqwa.
Hukum syarak jelas menyebut tentang kewajiapan seorang lelaki membayar
mutah kepada isteri yang telah diceraikan seperti dalam surah Al Baqarah ayat
236 maksudnya:
Tidaklah kami bersalah (dan tidaklah kamu menanggung bayaran
maskahwin) jika kamu ceraikan isteri-isteri kamu sebelum kamu sentuh
(bercampur) dengan mereka (sebelum) kamu menetapkan maskahwin
untuk mereka, walaupun demikian, hendaklah kamu memberi mutah
(saguhati) kepada mereka (yang diceraikan) iaitu suami yang senang
menurut kemampuannya dan suami yang susah pula menuntut
kemampuannya sebagai pemberian saguhati menurut yang patut lagi
menjadi satu kewajipan atas orang-orang yang mahu berbuat
kebaikan.
Menurut pendapat Imam Syafie, mutah itu wajib diberikan kepada isteri
samada dia diceraikan sebelum disetubuhi, sudah ditentukan maharnya atau
belum. Ianya perlu dibayar dalam semua bentuk perceraian bagi perempuan
yang diceraikan setelah maharnya ditentukan dan pensucian itu berlaku sebelum
persetubuhan.
Di dalam Seksyen 58, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah 2008
menyatakan sebagai tambahan kepada haknya untuk memohon nafkah,
seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh
suaminya boleh memohon mutah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah,
dan mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila
berpuashati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut,
memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut
Hukum Syarak.
Namun begitu, tiada cara tertentu untuk menentukan kadar-kadar
mutah, namun begitu, terdapat prinsip umum iaitu sesuatu pemberian
hendaklah diasaskan kepada kemampuan suami yang menceraikan isterinya itu
serta faktor-faktor lain seperti lamanya sesuatu perkahwinan tersebut.
e)Harta sepencarian
Definisi

Harta sepencarian boleh ditakrifkan sebagai harta sama ada harta alih atau tidak
alih yang diperolehi bersama oleh pasangan suami isteri semasa kewujudan
perkahwinan mereka hasil dari sumber-sumber atau usaha mereka. Harta ini
dikenali sebagai harta sepencarian dan menurut Adat Temenggong atau harta
carian laki-bini menurut istilah Adat Pepatih.
Di Kedah, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Kedah Darul Aman) 2008
ada memperuntukkan dibawah seksyen 122 (1)
Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talak
atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk
memerintahkan supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa
perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka
atau supaya mana-mana asset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu
dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi
antara mereka atau supaya mana-mana asset itu dijual dan hasil jualan
itu dibahagi antara pihak-pihak itu.
Seksyen 122 (2) menyatakan pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh
subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang:a)
takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak
dalam bentuk wang, harta, atau usaha ke arah memperolehi asset-aset itu;
b)
apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan
bagi manfaat bersama mereka;
c)
keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu,
jika ada,
dan , tertakluk kepada pertimbangan pertimbangan itu, Mahkamah hendaklah
membuat pembahagian yang sama banyak. Seksyen 122 (3) Mahkamah
hendaklah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz atau apabila
membuat perintah perceraian, memerintahkan supaya apa-apa asset yang
diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada
perkahwinan itu dibahagikan antara mereka atau supaya asset itu dijual dan
hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana asset itu dijual
dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu. Peruntukan seksyen 122 (4)
menyatakan pada menjalankan kuasa yang diberikan oleh subseksyen (3),
Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada:a)
takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak, yang tidak
memperolehi asset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara
rumahtangga atau menjaga keluarga;
b)
keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu,
jika ada,
dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah boleh
membahagikan asset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang

difikirkannya munasabah, tetapi walau bagaimanapun, pihak yang telah


memperoleh asset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar
yang lebih besar.
Peruntukkan 122 (5) menyatakan bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan
mengenai asset yang diperoleh dalam masa perkahwinan oleh satu pihak
termasuklah asset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu
yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu
oleh pihak yang satu lain itu atau dengan usaha bersama mereka.
Haji Harussani Bin Haji Zakaria, ketika menjadi Kadi Besar Pulau Pinang
menyarankan bahawa harta sepencarian itu ialah harta yang diperolehi
bersama, suami isteri itu hidup bersama dan berusaha bersama, sama ada
kedua-dua pasangan itu sama-sama bekerja dalam bidang yang sama atau
dalam bidang yang berlainan dan sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, sama
ada dibahagi-bahagikan tugas atau tidak. M.B. Hooker dalam bukunya Personal
Laws Of Malaysia menyatakan bahawa harta sepencarian ialah harta yang
diperolehi bersama suami isteri dalam masa perkahwinan.
Di sini jelas menunjukkan, bahawa harta sepencarian merupakan harta yang
diperolehi bersama oleh pasangan suami isteri dari hasil usaha mereka bersama,
sama ada mereka berusaha dalam satu bidang kerja seperti sama-sama bekerja
membuat bendang, sama-sama bertani, berniaga atau berlainan bidang kerja
umpama suami bekerja makan gaji dan isteri pula berniaga atau sama-sama
bekerja makan gaji. Hasil dari pendapatan itu dibelikan sesuatu harta tak alih
atau harta alih seperti saham dan sebagainya, sama ada harta itu atas nama
bersama atau atas nama suami atau isteri, pokoknya ialah mereka hendaklah
sama-sama menyumbangkan tenaga atau modal dalam mengadakan harta
tersebut dalam jangkamasa bersuami isteri atau dalam tempoh perkahwinan.
Asas Hukum
Islam merupakan satu agama yang syumul dan lengkap. Kesyumulannya itu,
dapat dilihat dalam pelbagai bidang yang berhubung dengan keperluan manusia,
di antaranya ialah berkaitan dengan pengurusan atau pembahagian harta. Islam
telah meletakkan beberapa prinsip dalam mentadbir harta bagi mengatur serta
menjamin kemaslahatan manusia sejagat. Prinsip-prinsipnya itu sesuai
diamalkan di setiap tempat dan masa. Di anatara prinsip tersebut ialah harta
adalah amanah dari Allah Taala kepada manusia dan mereka hendaklah
mentadbirkannya mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh
Allah Taala sebagai tuan empunya harta tersebut.
Sebagaimana yang dimaklumi harta sepencarian pada asalnya adalah suatu
amalan yang bertunjangkan kepada adat semata-mata. Namun ia tidak
bermakna bahawa perkara itu tidak termasuk dalam mana-mana kategori
hukum. Hal ini disebabkan amalan individu, kelompok, mahupun masyarakat
tetap tunduk kepada satu daripada kategori iaitu harus atau tidak harus, boleh
atau tidak boleh ataupun yang ketiga, penerimaan dengan pindaan.

Sejarah perundangan sendiri menunjukkan bahawa apabila rasulullah SAW


berhadapan dengan persoalan adat (uruf), baginda mengambil sikap berbezabeza antara satu adat dengan adapt yang lain. Apabila suatu uruf atau adat
telah diakui kebaikannya dan telah diberi pengiktirafan undang-undang,
kedudukannya bukan lagi sebagai uruf atau adat, tetapi bertukar menjadi suatu
peraturan atau perundangan yang mesti diikuti dan dikuatkuasakan.
f)Hak penjagaan anak (Hadhanah)
Wanita yang diceraikan juga berhak untuk mendapatkan hak mengenai
penjagaan anak-anak mereka selepas berlakunya perceraian.
Definisi Hadhanah
Hadhanah dari perkataan Arab yang berasal dari perkataan Hadhanah yang
bermaksud rusuk atau peluk. Ini kerana, kelaziman bagi seorang ibu apabila
ia sedang mengasuh atau mendukung anaknya maka anak tersebut akan
dipangku disebelah rusuknya, jika kalimah itu dinisbahkan kepada seseorang,
maka ia memberi erti mendidik atau mengasuh atau mentadbir sesuatu.
Dari segi istilah syarak pula, para ulamak membuat pelbagai definisi mengikut
pemahaman mereka antaranya ialah:a)
Menurut al-Hanafiah, hadhanah ialah hak penjagaan anak-anak bagi
sesiapa yang dibenarkan untuk mendidik/membesarkan kanak-kanak tersebut
serta menjaga dan memenuhi segala keperluannya dalam usia yang tertentu.
b)
Al Syafiiyah pula mendefinisikan hadhanah dengan keupayaan untuk
menjaga/ mengawasi orang-orang yang tidak dapat membezakan atau tidak
mampu menjaga diri mereka (seperti anak kecil dan oang gila) serta mendidik
dan membesarkan mereka kearah kebaikan dan melindungi mereka daripada
bahaya dan kemudharatan.
c)
Al-Malikiyah pula mendefinasikan penjagaan /penyeliaan anak di dalam
kediaman (rumah) dengan menyediakan makan.minum, pakaian, tempat tidur
serta kebersihan dirinya.
d)
Al Hanabilah mendefinisikan hadhanah sebagai menjaga/menyelia budak
kecil dan selainya (orang gila) daripada apa-apa yang memudharatkannya dan
mendidiknya dengan sesuatu yang mendatangkan kebaikan untuknya.
Orang Yang Diberi Keutamaan Menjaga Anak
Para fuqaha bersepakat mengatakan bahawa hak untuk menjaga atau
memelihara anak yang belum mumaiyiz apabila terjadi sesuatu perceraian sama
ada perceraian hidup atau mati adalah milik ibu. Ia merupakan satu kesepakatan
oleh setiap imam mazhab yang empat, bahkan sudah menjadi ijmak terhadap
masalah tersebut.

Hikmah diberikan hak hadhanah kepada ibu kerana golongan tersebut


mempunyai sifat mendidik dan mengasuh seperti penyabar, belas kasihan,
lemah lembut dan sebagainya yang sesuai dengan fitrah wanita.
KESIMPULAN
Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah tahun 2008, juga adalah
peruntukan undang-undang yang boleh menangani masalah umat Islam di
Negeri Kedah selepas berlakunya perceraian, iaitu bagi memastikan pihak-pihak
isteri mahupun suami yang telah berpisah mendapatkan hak-hak mereka selepas
berlakunya perceraian. Iaitu bagi memastikan bahawa pihak-pihak yang telah
bercerai itu mendapatkan hak mereka seperti, bagi isteri boleh mendapatkan
kembali mahar yang tertangguh, iaitu mahar yang masih belum dijelaskan oleh
pihak suami semasa perkahwinan, nafkah ciddah, mutah, tunggakan nafkah dan
apa-apa hutang yang dibuat oleh suami semasa di dalam perkahwinan. Di
samping itu, kedua-dua pihak sama ada suami ataupun isteri boleh untuk
menuntut harta sepencarian yang diperolehi selepas perkahwinan berpandukan
kepada Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Kedah tahun 2008, begitu juga
dengan penjagaan anak selepas berlakunya perceraian. Tuntutan nafkah anak
juga boleh di tuntut berdasarkan peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga
Islam Kedah tahun 2008 kepada bapa ataupun waris kanak-kanak tersebut.
Dengan ini dapatlah disimpulkan, bahawa Enakmen Undang-Undang
Keluarga Islam Kedah tahun 2008 merupakan satu undang-undang keluarga
yang menjadi panduan kepada orang-orang Islam untuk menangani masalah
rumahtangga iaitu sama ada jalan pendamaian kembali pasangan tersebut
ataupun dengan jalan pembubaran perkahwinan. Walaupun pasangan-pasangan
tersebut dipisahkan setelah tidak dapat lagi menyelamatkan rumahtangga
mereka, namun begitu, hak-hak selepas perkahwinan boleh dituntut, secara
tidak langsung pihak-pihak terlibat tidak mengalami kerugian harta mahupun
kasih sayang anak-anak hasil daripada perkahwinan.

oleh :
Hasniah Hassan
Pegawai Syariah
Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Kedah

You might also like