You are on page 1of 4

Perbezaan Antara Buta Dan Penglihatan Terhad

Pengenalan
Sehingga Jun 2012 terdapat kira-kira 285 juta orang mengalami masalah penglihatan di serata dunia dengan 39 juta
daripadanya dikategorikan sebagai buta dan selebihnya iaitu seramai 246 juta lagi mengalami penglihatan terhad.
90% daripada mereka ini berada di negara membangun.
Dianggarkan 80% daripada masalah penglihatan ini boleh dielak atau dipulihkan. Penyebab utama masalah
penglihatan adalah rabun yang tidak dibetulkan. Manakala katarak pula adalah penyebab utama kebutaan di negara
yang rakyatnya berpendapatan rendah dan sederhana.
Takrifan penglihatan terhad dan kebutaan mengikut definisi yang diberikan oleh World Health Organizatin
(WHO) mengikut International Statistical Classification of Diseases, Injuries and Causes of Death adalah seperti
berikut :
1.

Penglihatan terhad - seseorang individu dikatakan mempunyai penglihatan terhad apabila tahap
penglihatan pada mata terbaik selepas pembetulan kurang daripada 6/18 hingga 3/60. Atau keluasan
medan penglihatan kurang dari 10 darjah dari titik fiksasi.

1.

Kebutaan - seseorang individu dikatakan buta apabila mempunyai tahap penglihatan di mata terbaik
selepas pembetulan kurang daripada 3/60.

Pengkelasan antara penglihatan terhad dan buta yang digunakan oleh WHO ataupun oleh sesuatu negara ini
biasanya digunakan untuk mengesahkan status penglihatan dan hak seseorang mengikut istilah perundangan.
Mereka yang dikategorikan buta mengikut pengkelasan ini kebanyakannya masih lagi mempunyai sedikit sebanyak
sisa penglihatan yang boleh dimanfaatkan.
Manakala daripada segi perubatan pula, kebutaan sebenar hanya terjadi ke atas individu yang tidak mempunyai
sebarang sisa penglihatan walaupun untuk melihat cahaya iaitu tidak dapat membezakan keadaan antara gelap dan
terang pada mana-mana mata.
Berdasarkan kepada definisi oleh WHO - yang membezakan antara seseorang yang berpenglihatan terhad dan buta
adalah keupayaan dan potensi maksimum mereka dalam memanipulasikan sisa penglihatan yang masih ada.
Ringkasnya tahap penglihatan dan keluasaan medan penglihatan individu yang berpenglihatan terhad adalah lebih
baik daripada individu buta. Oleh itu proses penyesuaian dan rehabilitasi penglihatan ke atas individu berpenglihatan
terhad adalah lebih mudah berbanding ke atas individu yang mengalami kebutaan.
Di Malaysia, istilah Kurang Upaya Penglihatan yang boleh didaftarkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah
bermaksud buta di kedua-dua belah mata ATAU buta sebelah mata ATAU penglihatan terhad di kedua-dua belah
mata ATAU lain-lain gangguan penglihatan kekal.
Bagi mana-mana individu yang tergolong dalam kategori seperti yang dinyatakan di atas, boleh memohon untuk
didaftarkan sebagai OKU penglihatan setelah mendapat pengesahan daripada Pakar Oftalmologi. Di Malaysia
pendaftaran OKU bukanlah sesuatu yang diwajibkan; namun begitu sekiranya anda telah berdaftar, anda layak
mendapat semua keistimewaan yang sepatutnya anda peroleh sebagai seorang OKU.

Simptom dan Tanda

Individu yang mempunyai masalah penglihatan biasanya akan mengadu simptom sukar untuk melihat dengan jelas.
Bagaimanapun, kesan simptom ini berbeza antara individu walaupun masalah penglihatan yang mereka alami
hampir sama. Seseorang yang dilahirkan sebagai buta lebih mudah menyesuaikan diri berbanding individu yang
mengalami kebutaan agak lewat dalam fasa kehidupan mereka. Individu yang kehilangan penglihatan secara tibatiba juga mengalami kesukaran menyesuaikan diri berbanding mereka yang kehilangan penglihatan secara beransuransur.
Pelbagai masalah penglihatan lain juga boleh menjadi petanda seseorang itu akan menjadi buta; antaranya adalah
melihat objek menjadi herot, melihat titik-titik hitam, melihat cahaya terang secara tiba-tiba dan penglihatan
berganda.
Tanda-tanda awal individu yang berisiko menjadi buta adalah melihat cahaya yang sangat terang dalam penglihatan
mereka. Cahaya tersebut boleh jadi malap, sangat terang atau muncul berwarna-warni. Cahaya terang seperti ini
mungkin menjadi petunjuk awal kepada kelekangan atau koyakan pada retina yang akhirnya boleh menyebabkan
kebutaan.
Kehilangan penglihatan boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Oleh itu setiap simptom dan tanda yang dialami oleh
seseorang individu tidak boleh dipandang ringan. Namun begitu ia tidaklah bermakna jika seseorang itu mengalami
satu atau dua daripada simptom seperti yang dinyatakan, beliau akan mengalami kebutaan secara automatik.

Komplikasi
Kehilangan penglihatan yang disebabkan oleh kerosakan saraf optik, diabetes retinopati, glaukoma, kelekangan
retina dan degenerasi makula adalah bersifat kekal dan tidak boleh dibetulkan. Manakala kehilangan penglihatan
yang disebabkan oleh rabun atau katarak adalah bersifat sementara dan boleh dibetulkan dengan pembedahan.
Walau bagaimanapun, kehilangan penglihatan yang disebabkan oleh masalah pada kornea, adakalanya boleh
dibetulkan dengan pembedahan atau kanta lekap bergantung kepada jenis masalah yang dihadapi.

Rawatan
Rawatan kepada masalah penglihatan terhad dan kebutaan ini juga bergantung kepada penyebabnya. Di negara
dunia ketiga, di mana penyebab utama masalah penglihatan adalah disebabkan oleh rabun, pemberian preskripsi
dan sepasang cermin mata sudah mencukupi untuk menangani masalah ini.
Masalah nutrisi juga boleh menyebabkan masalah penglihatan dan pengolahan diet mungkin boleh membantu
mengurangkan komplikasi penglihatan. Selain dari itu, terdapat beratus ribu pesakit katarak yang boleh mendapat
semula penglihatan normal mereka sekiranya mereka berpeluang menjalani pembedahan membuang katarak
tersebut.

Pencegahan
Antara 80-90% masalah penglihatan di dunia boleh dicegah melalui kombinasi pendidikan dan kebolehcapaian
kepada penjagaan kesihatan yang baik. Kebanyakan kes yang disebabkan oleh trauma/kecederaan boleh dicegah
melalui amalan menggunakan peralatan perlindungan mata yang bersesuaian semasa melakukan kerja-kerja yang
berisiko.
Bagi kes yang berkaitan dengan nutrisi boleh dicegah melalui pengambilan diet yang betul. Bagi kes yang berkaitan
glaukoma, kehilangan medan penglihatan boleh dicegah melalui rawatan yang bersesuaian di peringkat awal. Bagi
kes yang berkaitan dengan jangkitan kuman, ianya dapat dikurangkan melalui promosi kesihatan awam.

Kebanyakan masalah penglihatan yang berpunca daripada diabetik retinopati, boleh dielakkan melalui kawalan tahap
glukosa dalam darah, senaman, elakkan diri daripada menjadi obes dan elakkan daripada merokok. Penekanan juga
harus diberikan kepada pengambilan makanan yang tidak meningkatkan jumlah gula dalam darah.
Peningkatan jangka hayat populasi dunia juga mendedahkan mereka kepada masalah penglihatan yang disebabkan
oleh penuaan seperti degenerasi makula. Pemeriksaan mata secara berkala dapat mengesan sebarang penyakit
yang berpotensi mendatangkan kerosakan pada penglihatan dan medan penglihatan dan dengan itu rawatan yang
bersesuaian dapat diberikan kepada pesakit.

Rehabilitasi
Bagi pesakit yang mengalami masalah penglihatan terhad dan kebutaan yang tidak boleh dirawati, mereka perlu
mengatur semula kehidupan mereka daripada segi rutin harian dengan berlatih melakukannya dalam bentuk dan
cara yang berbeza.
Alat bantuan penglihatan terhad selalunya dapat memudahkan mereka yang berpenglihatan terhad untuk menjalani
rutin mereka.

Rajah 1 : Alat bantuan optikal dan bukan optikal serta peralatan elektronik untuk kegunaan orang berpenglihatan
terhad dan buta
Rajah 2 : Aktiviti orang berpenglihatan terhad dan buta di Pusat Rehabilitasi Penglihatan
Bagi mereka yang mengalami kebutaan, program orientasi dan mobiliti membolehkan mereka bergerak tanpa
bantuan di persekitaran yang biasa. Di sesetengah negeri terdapat projek Program dalam Komuniti yang melibatkan
lawatan daripada pakar orientasi dan mobiliti, ahli terapi cara kerja dan profesional-profesional lain yang boleh
membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran.
Bagi yang berminat untuk membaca dan menulis, mereka boleh menghadiri kelas Braille ataupun datang ke manamana pusat rujukan untuk OKU penglihatan dan mendapatkan latihan di bidang yang berkaitan dengan minat
mereka.

Rajah 3 : Aktiviti orang berpenglihatan terhad dan buta di Pusat Rehabilitasi Penglih

You might also like