You are on page 1of 1

Sains UPSR bocor: Ambil tindakan & iktibar, jangan ulangi

11 SEPTEMBER 2014
0 0
Oleh : AFEEQA AFEERA
SHAH ALAM, 11 SEPT : Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr
Halimah Ali hari ini melahirkan kekecewaannya berhubung isu kebocoran kertas Sains Ujian Penilaian
Sekolah Rendah (UPSR) sehingga ia terpaksa ditangguh pada 30 September depan.
Beliau berkata perkara itu menyebabkan timbulnya tekanan serta kekecewaan dan akan memberi kesan
mendalam di kalangan pelajar sekolah yang menduduki peperiksaan berkenaan.
Katanya isu kertas soalan bocor tidak hanya berlaku pada tahun ini, sebaliknya ia boleh dikatakan
berlaku hampir setiap tahun.
"Saya harapkan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil tindakan atau pengajaran yang
besar daripada masalah ini kerana ia sepatutnya tidak berlaku.
"Saya minta pihak kementerian untuk membuat kajian apa puncanya sebenarnya yang berlaku dan jujur
sahaja kerana kita tidak mahu ia berulang," katanya kepada Selangor Kini.
Halimah berkata ucapan maaf daripada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri
Muhyiddin Yassin juga tidak mencukupi kerana masalah sama sering berulang, namun tiada tindakan
diambil.
"Tindakan perlu lebih dari minta maaf kerana ia selalu berulang dan saya harapkan semasa Peperiksaan
Tingkatan 3 (PT3) tidak berulang lagi perkara seperti ini," katanya yang juga Adun Selat Klang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming, berkata kesilapan utama pihak Lembaga
Peperiksaan bukan sahaja memberi kesan kepada 472,853 pelajar darjah enam, tetapi turut menjejaskan
keluarga mereka.
Katanya pelajar yang sudah bersiap sedia untuk menghabiskan peperiksaan dalam masa tiga hari kini
terpaksa menunggu selama tiga minggu sebelum menduduki semula kertas ujian Sains.
"Keyakinan kedua-dua ibu bapa dan pelajar terhadap integriti kertas peperiksaan di masa hadapan juga
akan terjejas.
"Justeru Muhyiddin mesti memberi jaminan bahawa kebocoran tidak akan berlaku untuk kertas Sains
UPSR pada 30 September ini termasuklah kebocoran sama tidak akan berlaku untuk kertas PT3, Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Pelajaran Tinggi Malaysia (STPM) kelak," katanya.
Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia mengumumkan bahawa tarikh peperiksaan untuk mata
pelajaran Sains bagi UPSR ditunda ke tarikh baru pada 30 September.
Ia memandangkan kertas peperiksaan tersebut dikesan tersebar luas di laman sosial.
Ia melibatkan peperiksaan bagi kertas Sains dengan kod "018, 028, dan 038".

You might also like