You are on page 1of 4

TUANKU KISA-I AL-MINANKABAWI

Lahirkan Tokoh Besar Hamka


Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

NAMA lengkap Tuan Kisa-i ialah Syeikh Muhammad Amrullah Tuanku Abdullah
Saleh. Beliau inilah yang melahirkan dua orang tokoh besar di dunia Melayu. Yang
seorang ialah anak beliau sendiri, Dr. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah. Dan yang
seorang lagi ialah cucu beliau, Syeikh Abdul Malik Karim Amrullah. Cucunya sangat
terkenal walaupun tanpa melalui pendidikan tinggi formal dan diberi gelaran Professor
Doctor (Prof. Dr.). Cucunya itu lebih dikenali sebagai Prof. Dr. Hamka atau nama mesra
yang dipanggil orang, Buya Hamka.
Saya sempat bertemu Buya Hamka pada Februari 1971 di rumahnya di Kemayoran Baru,
Jakarta. Selain hampir semua karangan beliau sempat dibaca, saya juga berpeluang
mendengar ucapan lisan beliau secara berdepan.
Apabila kita menyelusuri karakter ketiga-tiga mereka, bermula dengan perjuangan datuk
(Tuan Kisa-i), ayah (Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah) dan cucu (Buya Hamka) secara
global dalam penyebaran Islam, kita akan menemui persamaan.
Walau bagaimanapun, pegangan dalam pemahaman dan langkah-langkah perjuangan
mereka terdapat perbezaan-perbezaan yang begitu ketara. Tuan Kisa-i tetap mengamal
Thariqat Naqsyabandiyah, istiqamah mengikut Mazhab Syafie. Pemahaman Islam Tuan
Kisa-i sama dengan pegangan Kaum Tua, tetapi pada zaman beliau istilah Kaum Tua
dan Kaum Muda belum tersebar luas.
Anak beliau, Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah, adalah seorang pelopor dan termasuk
tokoh besar dalam perjuangan Kaum Muda. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah
menolak amalan Thariqat Naqsyabandiyah, sekali gus menolak ikatan taqlid, tetapi
lebih cenderung kepada pemikiran Syeikh Muhammad Abduh.
Buya Hamka sukar dinilai orang, kerana dalam beberapa tulisan kadang-kadang
mengecam Kaum Tua, kadang-kadang membenarkannya. Demikian halnya dengan
Kaum Muda. Bahkan dalam penilaian tasawuf, Buya Hamka adalah bersifat sederhana.
Buya Hamka sebagai seorang ilmuwan perlu ditempatkan pada tempat baik dan bijak,
namun tidak dapat dinafikan ada golongan Kaum Tua menyetujuinya di tengah-tengah
ramai ulama yang mengecam beliau. Demikian halnya pihak Kaum Muda lebih ramai
yang menyetujuinya terutama setiakawan dalam satu organisasi Muhammadiyah.
Sungguhpun demikian, pihak Kaum Muda ada juga yang tidak bersetuju dengan jalan
pemikiran Buya Hamka.
Asal usul
Artikel ini tidak memfokuskan kepada Dr. Syeikh Haji Abdul Karim Amrullah dan Buya
Hamka tetapi menjurus kepada kisah Tuan Kisa-i atau Syeikh Muhammad Amrullah yang

lahir pada malam Khamis 6 Rejab 1256 H/4 September 1840 M. Beliau wafat pada 1327
H/1909 M. Sebagaimana telah disebut di atas, nama ayahnya ialah Tuanku Abdullah
Saleh. Tuanku Abdullah Saleh digelar Tuanku Syeikh Guguk Katur dan digelar juga
Ungku Syeikh Tanjung. Beliau ialah seorang alim murid Abdullah Arif. Abdullah Arif
digelar juga dengan nama Tuanku Pariaman dan Tuanku Nan Tuo di Koto Tuo, IV
Koto.
Buya Hamka menulis, yang didengar daripada ayahnya, tentang Tuanku Abdullah Saleh:
Kata ayah saya: Engku Syeikh Suku Tanjung atau Tuanku Guguk Katur itu adalah
seorang ulama yang sangat besar perhatiannya kepada Ilmu Tasawuf sehingga kitab
Hikam Ibnu 'Athaillah beliau hafal di luar kepala. Beliau pun seorang cerdik ahli adat,
sehingga bukan saja urusan agama yang ditanyakan orang kepada beliau, bahkan juga
urusan adat. Tambah ayahku pula: Pelajaran Imam al-Ghazali tentang khalawat sangat
termakan oleh beliau Tuanku Syeikh Guguk Katur atau Engku Suku Tanjung itu.
Lantaran itu beliau lebih suka berkhalawat di suraunya di Guguk Katur. (Lihat Ayahku
cetakan ketiga, Djajamurni, Jakarta, 1963, hlm. 46.)
Selanjutnya Buya Hamka menulis, Kepada murid yang soleh inilah tertarik hati gurunya
Tuanku Syeikh Pariaman, sehingga setelah anaknya Siti Saerah menjadi gadis remaja,
beliau ambillah Tuanku Suku Tanjung itu menjadi menantu. (Lihat Ayahku, hlm. 46-47.)
Daripada petikan di atas dapat disimpulkan bahawa kedua-dua belah pihak, sama ada
daripada pihak ibu mahupun daripada pihak ayah, Syeikh Muhammad Amrullah adalah
ulama dan tokoh yang terkenal dalam masyarakat. Datuk beliau, atau ayah ibunya,
Abdullah Arif atau Tuanku Pariaman atau Tuanku Nan Tuo di Koto Tuo, IV Koto
adalah salah seorang yang menyebarkan Islam di beberapa tempat di Minangkabau dan
merupakan pahlawan yang gigih melawan Belanda dalam Perang Paderi yang dipimpin
oleh Tuanku Imam Bonjol.
Hendaklah diperhatikan bahawa Abdullah Arif yang disebut di sini bukan Syeikh
Abdullah Arif pengarang kitab Bahr al-Lahut, penyebar Islam di Aceh pada abad ke-12
dan 13 M. Belum diketahui apakah Abdullah Arif (datuk Syeikh Muhammad Amrullah)
keturunan Syeikh Abdullah Arif (di Aceh). Yang dapat dipastikan nama itu serupa bagi
mengambil sempena daripada nama Syeikh Abdullah Arif (di Aceh). Ibu Muhammad
Amrullah bernama Siti Saerah yang merupakan anak kepada Abdullah Arif, ulama dan
pahlawan yang terkenal itu.
Hanya sampai pada Abdullah Arif (daripada pihak sebelah ibu) datuk Syeikh Muhammad
Amrullah saja yang dapat diketahui. Daripada sebelah pihak laki-laki pula hanya
diketahui nama ayahnya, iaitu Tuanku Abdullah Saleh. Nama lebih atas daripada yang
tersebut belum diketahui. Sungguhpun demikian sudah cukup diketahui bahawa keduadua ayah dan ibunya itu memang ulama dan tokoh yang cukup besar pengaruh pada
zamannya.
Pendidikan
Mendapat pendidikan awal daripada datuk atau nenek sendiri secara tradisi di
Minangkabau, Buya Hamka menulis, Setelah cucunya itu berusia 14 tahun, setelah

khatam mengaji al-Quran dengan ayahnya, Tuanku Syeikh Pariaman memesankan supaya
cucunya itu dihantarkan ke Koto Tuo, kerana beliau sendiri yang hendak mengajarnya
ilmu-ilmu agama. Bersama saudara sepupunya Tuanku Sutan, Muhammad Amrullah
belajar Nahwu, Sharaf, Manthiq, Ma'ani, Tafsir dan Fiqh kepada neneknya. (Lihat
Ayahku, hlm. 42.)
Yang disebut oleh Buya Hamka dalam tulisan beliau hanya enam jenis mata pelajaran
yang dipelajari daripada datuknya Syeikh Muhammad Amrullah. Saya tidak pasti apa
sebab ada dua mata pelajaran yang mesti diajar dalam metod tradisional dunia Melayu
dan dunia Islam lainnya pada zaman itu yang tidak disentuh oleh Buya Hamka.
Kedua-dua mata pelajaran yang saya maksudkan itu ialah Ilmu Akidah dan Ilmu
Tasawuf. Saya tidak yakin Syeikh Muhammad Amrullah tidak menguasai kedua-dua
ilmu yang tersebut kerana pada zaman itu kedua-dua ilmu tersebut merupakan perkara
Fardu Ain. Selain itu oleh kerana Syeikh Muhammad Amrullah adalah termasuk salah
seorang pengamal Thariqat Naqsyabandiyah, setiap pengamal thariqat mestilah faham
ilmu tasawuf dalam erti kata yang syumul. Kerana thariqat adalah bahagian kecil
daripada tasawuf.
Apakah kedua-dua mata pelajaran itu memang kurang mendapat perhatian di
Minangkabau ataupun datuk beliau Syeikh Muhammad Amrullah telah mempelajari
kedua-dua itu daripada ayahnya Tuanku Abdullah Saleh? Tuanku Abdullah Saleh diakui
oleh Buya Hamka sendiri dan ayahnya Syeikh Abdul Karim Amrullah tentang beliau
hafal kitab Hikam Ibni 'Athaillah dan suka berkhalawat mengikut anjuran Imam alGhazali. Perlu saya tambah bahawa khalawat di sini bukan pendapat Imam al-Ghazali,
tetapi ulasan lanjut Imam al-Ghazali daripada sabda Nabi Muhammad s.a.w..
Mengenai guru-gurunya di Mekah, Buya Hamka menulis, Beliau berguru kepada Sayid
Zaini Dahlan, ulama Mekah yang terkenal, dan berguru juga kepada Syeikh Muhammad
Hasbullah dan beberapa ulama yang lain. Beliau juga belajar dengan Syeikh Ahmad
Khatib dan Syeikh Tahir Jalaluddin yang usianya lebih muda daripada beliau. Sayang
sekali ayahku tidak memberikan catatan tahun berapa beliau ke Mekah yang pertama
itu. (Lihat Ayahku, hlm. 49.)
Kedua-dua ulama bangsa Arab, Sayid Ahmad Zaini Dahlan dan Syeikh Muhammad
Hasbullah, yang disebutkan oleh Buya Hamka di atas adalah guru bagi hampir semua
ulama dunia Melayu. Selain Syeikh Ahmad Khatib Abdul Lathif al-Minankabawi
termasuk juga Syeikh Ahmad Muhammad Zain al-Fathani. Saya masih meragui tulisan
Buya Hamka yang menyebut nama Syeikh Tahir Jalaluddin kerana dalam catatan Syeikh
Tahir Jalaluddin beliau hanya menyebut berguru kepada Sayid Umar Syatha. Tentang
Syeikh Tahir Jalaluddin belajar daripada Syeikh Ahmad Khatib memang ada banyak
sumber.
Kedudukan Syeikh Tahir Jalaluddin sebagai murid Syeikh Ahmad al-Fathani dapat
diketahui daripada surat menyurat timbal balik antara Syeikh Ahmad al-Fathani (di
Mekah) dengan Syeikh Tahir Jalaluddin (di Al-Azhar, Kaherah, Mesir). Baik Syeikh

Ahmad Khatib al-Minankabawi mahupun Syeikh Ahmad al-Fathani, kedua-duanya


memang jauh lebih muda daripada Syeikh Muhammad Amrullah (Tuan Kisa-i).
Pada usia 26 tahun (1282 H/1864 M), Syeikh Muhammad Amrullah telah diberi ijazah
dan tugas mengajar oleh datuknya, Abdullah Arif atau Tuanku Pariaman atau Tuanku Nan
Tuo di kampungnya. Ilmu-ilmu yang diajarkan, menurut Buya Hamka, ialah Ilmu Tafsir,
Fiqh, Tasawuf, dan ilmu-ilmu alat, iaitu Nahwu, Sharaf, Manthiq, Ma'ani, Bayan, Badi.
(Lihat Ayahku, hlm. 48.)
Pandangan
Syeikh Muhammad Amrullah (Tuan Kisa-i) mengalami lapan kali perkahwinan, dan
bilangan kesemua anak beliau ialah seramai 46 orang. Anak beliau adik-beradik seibu
sebapa dengan Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah yang disebut oleh Buya Hamka dalam
buku beliau, Ayahku, ada seramai tujuh orang. Adik-beradik daripada satu ayah disebut
ada 10 orang.
Sungguhpun antara anak dan cucu beliau terdapat beberapa orang yang masyhur
namanya, saya tinggalkan saja kerana sudah cukup diwakili oleh Dr. Syeikh Abdul Karim
Amrullah (anak) dan Prof. Dr. Hamka (cucu) yang kemasyhurannya sangat diketahui
ramai pada zamannya.
Kekeluargaan yang sedang dibicarakan ini bukanlah merupakan satu-satunya keluarga
ulama dunia Melayu yang dapat mempertahankan beberapa generasi menjadi ulama,
tetapi turut berlaku dalam keluarga Syeikh Daud Abdullah al-Fathani, Syeikh Muhammad
Arsyad al-Banjari dan lain-lain. Bahawa sangat berbahagia dunia dan akhirat bagi
seseorang ulama yang berhasil mendidik anak, cucu, dan keturunannya menjadi ulama
pula.
Saya berpendapat walaupun Syeikh Muhammad Amrullah, ayahnya Tuanku Abdullah
Saleh dan datuknya (ayah kepada ibunya) Syeikh Abdullah Arif berpegang mengikut
aliran Kaum Tua, sedangkan anak beliau Dr. Syeikh Abdul Karim Amrullah dan
cucunya Prof. Dr. Hamka dikatakan orang sebagai pelopor Kaum Muda atau di pihak
yang lain dikatakan pembawa fahaman Wahabi, namun mereka adalah jauh lebih baik
jika dibandingkan anak atau cucu ulama yang tidak berjuang untuk kepentingan Islam.
Menjulang tinggi kemasyhuran nama di dunia ini tiadalah bermakna dan bererti di akhirat
nanti sekiranya ia lalai atau tidak mempedulikan kepentingan Islam. Tertipulah ia kerana
mendahulukan urusan hidup di dunia yang sekejap, lalu mengabaikan urusan hidup di
akhirat yang kekal abadi.

You might also like