You are on page 1of 5

Syeikh Abdul Qadir al-Fathani Tok Bendang Daya II

Oleh WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH

NAMA Tok Bendang Daya pada satu ketika dulu cukup popular bagi masyarakat Patani,
Kedah, Kelantan, Perak, Terengganu dan lain-lain. Walau bagaimanapun orang jarang
dapat membezakan siapakah sebenarnya Tok Bendang Daya itu. Tok Bendang Daya
sebenarnya ada dua orang, iaitu Tok Bendang Daya I, beliau ialah Syeikh Haji Wan
Mustafa bin Muhammad al-Fathani. Yang seorang lagi ialah Tok Bendang Daya II,
beliau ialah Syeikh Abdul Qadir al-Fathani, iaitu anak kepada Tok Bendang Daya I yang
tersebut. Syeikh Haji Wan Mustafa (Tok Bendang Daya I) adalah salah seorang
panglima atau hulubalang Fathani Darus Salam, juga sebagai pengasas Pondok
Pengajian Bendang Daya. Pondok tersebut kemudian menjadi pondok pengajian yang
paling banyak pelajarnya di dunia Melayu setelah dipimpin oleh anak beliau, iaitu Syeikh
Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II). Memang pada zaman itu sistem pengajian pondok
di Patani paling menonjol dari tempat-tempat lainnya di dunia Melayu. Oleh itu pelajar-
pelajarnya berdatangan daripada berbagai-bagai tempat di dunia Melayu.

Terkenal
Yang sangat menarik tentang sejarah hidup ulama ini bahawa sangat ramai muridnya
yang membuka pondok di tempat-tempat lain di dunia Melayu, ramai juga yang menjadi
tokoh-tokoh besar terkenal dalam masyarakat, ditambah lagi dua orang anak beliau
yang menjadi ulama besar yang terkenal. Kedua-duanya ialah Syeikh Wan Ismail al-
Fathani atau lebih terkenal dengan sebutan Pak De El Makkah dan yang seorang lagi
ialah Syeikh Wan Ibrahim al-Fathani atau lebih terkenal dengan sebutan Pak Cu Him
Kedah. Aktiviti Pak De El mengajar di Mekah menjadi pakar rujuk ulama-ulama dunia
Melayu pada zamannya terutama dalam bidang akidah dan ilmu-ilmu `Arabiyah. Pak Cu
Him pula terkenal dengan Pondok Gajah Mati di Kedah. Pendek kata kedua-dua ulama
itu masih banyak diperkatakan orang, kerana sampai artikel ini saya tulis masih ramai
murid kedua-duanya yang masih hidup, bahkan beberapa orang di antara mereka masih
aktif dalam pelbagai bidang keIslaman.

AnataEdited by: galung_gung@yahoo.co.id 1


PENDIDIKAN DAN AKTIVITI
Syeikh Abdul Qadir (Tok Bendang Daya II) yang lahir di Sena Janjar tahun 1234 H/1817
M adalah adik kepada Syeikh Wan Muhammad Zain al-Fathani (1233 H/1817M - 1325
H/1908 M). Sejak kecil lagi Abdul Qadir dididik oleh ayah dan ibunya menghafal
berbagai-bagai matan terutama matan ilmu tauhid, nahu dan saraf. Seiringan dengan itu
ditekankan menghafal ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis yang dipandang sebagai
asas untuk membolehkannya meningkat lebih maju pada masa-masa akan datang.
Oleh sebab Pondok Bendang Daya yang dipimpin sendiri oleh ayahnya Syeikh Mustafa
al-Fathani (Tok Bendang Daya I) dipandang sebagai pondok yang berautoriti pada
zaman itu, maka dipercayai Syeikh Abdul Qadir al-Fathani tidak belajar ke pondok-
pondok lainnya. Walau bagaimanapun beliau hanya pergi menziarahi beberapa pondok
terkenal yang masih masuk keluarga Sena, iaitu Pondok Teluk Manuk, Pondok Wadi
Husien, Pondok Cenak dan Pondok Pauh Bok. Pondok- pondok tersebut letaknya
sangat berjauhan. Pada zaman itu perjalanan ditempuh dengan berjalan kaki dan masih
melalui hutan tebal. Sekurang-kurangnya dalam dua tahun sekali acara ziarah mesti
dilakukan kerana untuk mendekatkan hubungan kekeluargaan dan informasi dalam
berbagai-bagai hal dan peristiwa. Perkara-perkara yang tersebut di atas sangat
ditekankan oleh Syeikh Wan Mustafa al-Fathani, hal ini selain beliau sebagai bekas
hulubalang Fathani Darus Salam, beliau juga dipandang sebagai orang tua dan
berpengaruh di kalangan keluarga besar Sena dan Bendang Daya di mana saja mereka
berada. Sebaliknya dari pondok-pondok yang tersebut hampir setiap bulan ada saja
utusan ke Pondok Bendang Daya.

Mengirim
Oleh sebab Syeikh Wan Mustafa (Tok Bendang Daya I) memandang kedua-dua orang
anaknya; Wan Muhammad Zain dan Wan Abdul Qadir sudah cukup memadai ilmu-ilmu
yang diterima langsung daripadanya, maka beliau mengirim kedua-dua anaknya itu ke
Mekah. Dipercayai kedua-dua orang anak beliau itu sempat belajar kepada Syeikh
Daud bin Abdullah al-Fathani, walaupun tidak begitu lama namun melebihi lima tahun.
Pada tahun-tahun terakhir Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani sibuk dengan

AnataEdited by: galung_gung@yahoo.co.id 2


penulisannya. Syeikh Abdul Qadir al-Fathani belajar juga kepada beberapa ulama lain,
di antara mereka ialah Syeikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki dan Sayid
Ahmad bin Zaini Dahlan. Kedua-dua ulama berbangsa Arab itu usianya hanya lebih
beberapa tahun daripada beliau.

Atas kehendak kedua-dua ulama yang besar pengaruhnya di Mekah ketika itu, Syeikh
Abdul Qadir Bendang Daya al-Fathani diminta mengajar di Masjidil Haram dan di
rumahnya sendiri. Dalam masa belajar dan mengajar itulah beliau bersahabat dengan
ulama-ulama yang berasal dari tanah Jawi (dunia Melayu) lainnya, di antara mereka
ialah Syeikh Nawawi al-Bantani, Syeikh Wan Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani dan
lain-lain. Sama ada kepada Syeikh Nawawi al-Bantani mahupun Syeikh Wan Ali al-
Kalantani, terjadi tukar menukar ilmu pengetahuan dengan Syeikh Abdul Qadir.

Oleh sebab ayahnya, Syeikh Mustafa (Tok Bendang Daya I) memikirkan bahawa kedua-
dua anaknya sudah cukup lama belajar di Mekah, sedangkan anaknya yang bernama
Wan Abdul Lathif dirasakan perlu pula mendalami ilmunya di Mekah, maka beliau
memanggil kedua-dua anaknya supaya kembali ke Jawi untuk memimpin Pondok
Bendang Daya. Tok Bendang Daya I bersama anaknya Abdul Lathif berangkat ke
Mekah, alangkah terkejut dan gembiranya beliau setelah sampai di Mekah kerana baru
diketahuinya kedua-dua anaknya telah dibenarkan mengajar di Masjidil Haram, Mekah.
Selama ini beliau tidak mendengar khabar itu, disangkanya kedua-dua anaknya itu
hanyalah sebagai pelajar saja.

AKTIVITI DI PONDOK BENDANG DAYA


Setelah Tok Bendang Daya I memandang bahawa anaknya Abdul Qadir lebih tinggi nilai
keulamaannya daripada Muhammad Zain, maka beliau menyerahkan kepercayaan
untuk memimpin Pondok Bendang Daya itu kepada Abdul Qadir. Syeikh Abdul Qadir
mengevaluasi sistem pengajian pondok pada keseluruhan sektornya, dari sehari ke
sehari Pondok Bendang Daya bertambah terkenal, nama beliau sendiri menjadi harum
ke seluruh tanah Patani, ke seluruh tanah semenanjung Melayu, bahkan hingga ke

AnataEdited by: galung_gung@yahoo.co.id 3


peringkat sejagat dunia Melayu yang membentang demikian luasnya. Berduyun-duyun
orang datang menghantar anakmereka memasuki Pondok Bendang Daya itu.

Seluruh waktu beliau digunakan untuk mengajar, dimulai dari sesudah sembahyang
Subuh hingga istirahat sekitar jam 11.00. Sesudah Zuhur pelajaran disambung lagi
hingga waktu Asar. Sesudah Asar merupakan jam istirahat bagi Tok Bendang Daya II,
waktu itulah digunakan untuk bersukan. Tetapi sukannya bukan seperti sekarang,
sukannya digunakannya untuk menanam sirih dan menyiram tanaman sirih yang telah
hidup. Dalam waktu yang sama digunakan juga untuk menternak lembu. Dalam kedua-
dua pekerjaan itu beliau sekali-kali tidak membenarkan murid-murid menolongnya,
kerana pekerjaan itu dianggap untuk mengeluarkan peluh menjaga kesihatannya.

Berwibawa
Tok Bendang Daya II adalah seorang tok guru pondok yang berwibawa kerana sangat
banyak keramatnya yang nyata. Doanya sangat dikabulkan Allah. Menurut riwayat,
pada suatu malam bulan Ramadan beliau juga pernah mendapat Lailatul Qadar di perigi
Bendang Daya sebagaimana yang berlaku terhadap ayahnya. Ketika itulah beliau
berdoa, meminta dalam tujuh keturunannya mesti ada yang menjadi ulama. Salah satu
di antara keramatnya, jika orang akan menyabung ayam ataupun berlaga lembu/kerbau,
melalui kawasan rumahnya ataupun kira-kira masih kelihatan bumbung rumahnya,
maka orang yang menyabung ataupun berlaga itu tidak akan menang. Bahkan pelaku
pekerjaan itu akan ditimpa pelbagai musibah. Apa saja jenis bunyi-bunyian seumpama
gendang, gong dan lain-lain, jika dibunyikan, kedengaran di rumahnya ataupun di
kawasan Pondok Bendang Daya, nescaya alat bunyi-bunyian itu akan pecah ataupun
rosak. Oleh hal-hal yang tersebut itulah bagaimana jahat

dan bengisnya manusia pada zaman itu tidak berani membantah, apatah lagi berbuat
jahat kepada Tok Bendang Daya II itu. Di manakah letaknya rahsia kehebatan Tok
Bendang Daya II itu, mudah saja jawabnya, bahawa tiada lain hanyalah ketaqwaannya
kepada Allah jua segala peristiwa keredhaan Allah boleh berlaku. Allahlah yang
mengurniakan kekeramatan yang dikehendaki-Nya.

AnataEdited by: galung_gung@yahoo.co.id 4


KARYA-KARYA
Tok Bendang Daya II banyak meninggalkan karangan, selain itu juga kegiatannya
dalam penyalinan pelbagai kitab yang dikarang oleh ulama-ulama yang terdahulu
daripadanya. Di antara karyanya yang sempat disalin dan ditahqiqkan oleh muridnya
Tok Kelaba ialah Syarabatul Washilin al-Muflihinal Maqbulin, tarikh salinan tahun 1314
H/1896 M. Pada manuskrip kitab ini Tok Kelaba menyebut bahawa Tok Bendang Daya
II itu adalah seorang al-'Arif ar-Rabbani, iaitu seorang yang telah mencapai martabat
`Wali Allah'. Sebutan yang sama juga pernah beliau tulis di bahagian kulit luar karyanya,
Hidayatus Sail fi Bayanil Masail. Manuskrip tersebut menjadi milik penulis, keadaan
manuskrip uzur sekali. Pada saya juga terdapat sebuah manuskrip Tok Bendang Daya
II yang membicarakan tasawuf dan kumpulan amalan-amalan ilmu hikmah karangan
beliau. Manuskrip yang tersebut adalah asli tulisan tangan beliau. Oleh sebab karangan-
karangan beliau ada yang tinggal di Bendang Daya yang tidak teruruskan, ada juga
yang dibawa ke Mekah oleh saudara kandungnya Syeikh Daud bin Mustafa al-Fathani,
dan oleh anaknya Syeikh Ismail al-Fathani sehingga karangan-karangan beliau banyak
belum diketahui. Pengumpulan ke arah menyelamatkannya sedang saya jalankan.

MENINGGAL DUNIA
Tok Kelaba mencatat tahun meninggal dunia gurunya Tok Bendang Daya II di dalam
karyanya Hidayatus Sail fi Bayanil Masail, ``Diwafatkan dia pada Mekah al-Mukarramah
pada tahun seribu tiga ratus sepuluh dua (1312 H, pen) dari Hijrah Nabi s.a.w. pada hari
Ahad enam belas hari bulan Zulhijjah. Syahid akhirat, dengan sebab sakit muntah jerah,
kadar sehari semalam. Dikuburkan dia pada penjiratan Ma'ala di hilir kubur Saiyidatina
Khadijah al-Kubra, zaujah (isteri, pen:) Saiyidina al-Mustafa Muhammad s.a.w., 1312 H''
(1894 M, pen). Adalah kepergian beliau ke Mekah pada tahun yang tersebut kerana
menjunjung perintah Sultan Fathani Darus Salam untuk menghajikan beberapa orang
keluarga Diraja Fathani Darus Salam. Daripada lima orang anaknya, tiga lelaki dan dua
perempuan, Tok Bendang Daya II telah menurunkan zuriat yang ramai. Di antara
mereka ramai yang menjadi ulama besar dan tokoh masyarakat yang bertebaran di
pelbagai negara.

AnataEdited by: galung_gung@yahoo.co.id 5

You might also like