You are on page 1of 4

Pemikiran Ekonomi Syeikh Muhammad bin Ismail

Daud al-Fathani dalam kitab Matla' al-Badrain wa


Majma' al-Bahrain
PEMIKIRAN EKONOMI SYEIKH MUHAMMAD BIN ISMAIL DAUD AL-PATANI DALAM
KITAB MATLA’ AL-BADRAIN WA MAJMA’ AL-BAHRAIN

Muhammad Yusri bin Yusof @ Salleh


Mohd Zahirwan Halim bin Zainal Abidin
Hamdi Rahman bin Mohd Yaacob
Paiz bin Hassan
Saidi Adnan bin Md Nor

Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam


Universiti Teknologi MARA

(Kertas Kerja ini dibentangkan di Simposium Sejarah dan Warisan Islam,


anjuran Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya pada 28 Disember 2009)

ABSTRAK

Kitab Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain adalah antara kitab jawi yang
popular bagi pengajian tidak formal di masjid-masjid di Malaysia, Singapura
dan Selatan Thai. Ia menjadi kitab rujukan asas bagi pelajar-pelajar yang
belajar secara sistem pondok di Kedah dan Kelantan. Penggunaannya yang
meluas di sekolah-sekolah Agama di Johor pada satu ketika dulu menghasilkan
sebuah kamus kepada kitab ini yang dinamakan sebagai Suluh Matla’ al-Badrain
yang khusus untuk menghuraikan perkataan-perkataan sukar dalam kitab ini
sama ada perkataan itu berasal daripada bahasa Arab, dialek Patani atau
bentuk ejaan melayu lama. Kertas kerja ini akan menelusi pemikiran ekonomi
Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani berdasarkan kepada bab-bab
muamalat yang ditulis oleh beliau dalam kitab Matla’ al-Badrain. Antara bab-
bab muamalat yang ditulis oleh beliau ialah jual beli, salam, pinjam-
meminjam, untung rugi, zakat. Dapatan akhir bagi kertas kerja ini ialah
bagaimana Sheikh Muhammad bin Ismail dalam beberapa aspek mengambil kira
persekitaran ekonomi pada zamannya dalam mengeluarkan hukum fiqh.

BIODATA SHEIKH MUHAMMAD BIN ISMAIL DAUD AL-PATANI

Beliau dikenali sebagai Syeikh Nik Mat Kecik Patani. Nama penuh beliau ialah
Syeikh Muhammad Shaghir bin Ismail bin Ahmad al-Patani. Syeikh Daud bin
Abdullah al-Patani merupakan datuk saudaranya yang juga ulama besar Melayu
abad ke-18.

Syeikh Muhammad bin Ismail al-Patani dilahirkan di Pulau Duyung Kecil, Kuala
Terengganu pada 1260 H / 1844 M selepas penghijrahan ibu bapanya dari
Patani. Beliau lahir daripada keluarga besar ulama Patani yang berhijrah pada
masa peperangan dahsyat gabungan Patani-Terengganu-Kedah dan Kelantan
daripada pencerobohan Siam ketika itu.

Pada tahun 1845, Syeikh Daud bin Abdullah al-Patani telah pulang ke Tanah
Jawi dan mengambil Syeikh Muhammad ke Kota Mekah namun Syeikh Daud
telah meninggal dunia pada tahun 1847. Beliau dibesarkan di sana dan diberi
pendidikan oleh Syeikh Abdul Kadir bin Abdullah al-Patani.

Beliau mendapat pendidikan awal di Kota Mekah dengan berguru dengan Syeikh
Hasbullah dan Syeikh Abdul Kadir bin Abdul Rahman al-Patani. Beliau
mendalami dalam bidang ilmu fiqh, usul fiqh, tafsir dan ilmu-ilmu lain. Dengan
ilmunya yang meluas dalam pelbagai bidang, beliau kemudiannya mengajar di
rumah dan juga di Masjid al-Haram. Murid-muridnya sangat ramai khususnya
yang datang dari Alam Melayu. Keilmuannya diiktiraf sehingga Syeikh Nik Mat
Kecik dilantik menjadi Hakim Mahkamah Syarie Makkah al-Mukarramah pada
zamannya bahkan beliau merupakan satu-satunya tokoh yang berasal dari dunia
Melayu yang berjaya memegang jawatan tertinggi itu pada zamannya . Hampir
semua anak didiknya menjadi ulama besar di antaranya Haji Omar bin Ismail
Sungai Keladi, Tok Kenali, Tok Kemuning, Haji Wan Abdullah bin Ismail Getting
dan lain-lain.

Sebagai tokoh ulama dan ilmuan yang ulung di rantau Alam Melayu beliau
banyak menghasilkan karya-karya yang bermutu tinggi dan berautoriti yang
mencakupi pelbagai bidang seperti tauhid, fiqh, sejarah, sains perubatan dan
kosmologi Islam. Antara kitabnya yang masyhur ialah :

1. Al-Bahjah al-Mardhiyah fi Fawaid al-Ukharawiyah. Selesai ditulis pada 20


Syaaban 1296 H/1878 M di Kota Mekah

2. Matla’ al-Badrain wa Majma' al-Bahrain. Selesai ditulis pada 12 Syaaban 1303


H/1885 M. Kitab ini pernah ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani untuk
cetakan ketiga dan keempat. Kitab ini sangat masyhur di Alam Melayu bahkan
banyak dijadikan teks pengajian di masjid dan surau di seluruh Tanah Melayu.
Disebabkan kitab ini terlalu banyak digunapakai, maka kerajaan Johor
menganjurkan penyusunan sebuah kamus yang khusus mengenai kitab ini. Lalu
terhasillah sebuah kamus dengan judul Suluh Matla’ al-Badrain yang disusun
oleh Haji Abdul Ghani Yahya. Kamus ini ditulis di Johor Baharu pada 1 Oktober
1941 M. Kitab Matla’ al-Badrain ini juga pernah diterbit oleh Jabatan Agama
Islam Wilayah Persekutuan.

3. Al-Kaukab al-Durri fi Nur al-Muhammadi. Kitab ini diselesaikan penulisannya


pada 13 Sya’ban l304 H/1886 M di Makkah.

4. Al-Durr al-Basim fi Ashhab al-Kahfi wa al-Raqim. Kitab ini diselesaikan


penulisannya pada 19 Rejab 1310 H/1892 M di Makkah. Cetakan pertama adalah
pada tahun 1310 H/1892 M oleh Mathba'ah al-Miriyah, Makkah. Kitab ini
ditashih oleh Syeikh Ahmad al-Fathani.

5. Kitab al-Farqadain wa Jawahir al-`Iqdain. Kitab ini diselesaikan pada 13


Syawal 1311 H/1893 M di Mekah.

6. Wusyah al-Afrah wa Ashab al-Falah. Kitab ini diselesaikan pada Zulkaedah


1312 H/I894 M.

7. Sawathi' al-Barqi wa al-Luma'i fi Ahkami al-Tayammum wa al-Jama'i. Kitab


ini diselesaikan pada pada hari Jumaat, 25 Jamadilawal 1323 H/1905 M di
Makkah.

8. Al-Bahr al-Wafi wa al-Nahru al-Shafi. Kitab ini diselesaikan pada 18 Rejab


l331 H/1912 M.

Pada akhir tahun 1913 beliau telah mengalami penyakit darah tinggi dan
meninggal dunia pada hari Sabtu 20 Rabiulakhir 1333 bersamaan dengan 6 Mac
1915. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Ma’la di Kota Mekah.

BEBERAPA ASPEK PEMIKIRAN EKONOMI SYEIKH MUHAMMAD BIN ISMAIL DAUD


FATHANI DALAM KITABNYA MATLA’ BADRAIN WA MAJMA’ BAHRAIN

PEMBAYAR DAN PENERIMA ZAKAT

Zakat adalah antara instrumen yang sangat berfaedah bagi membangunkan


sosioekonomi sesebuah negara dan asnaf. Selain daripada itu, zakat juga dapat
dijadikan alat fiskal bagi merencanakan kestabilan ekonomi sesebuah negara.
Keadaan ini dapat dilihat pada zaman Khalifah Umar Abd Aziz, apabila kita
dapati hasil daripada pungutan zakat melebihi keperluan pengguna sehingga
pembayar zakat sukar untuk menemui penerima agihan zakat.

Kewajipan zakat serta agihannya adalah perkara yang disyariatkan oleh al-
Quran dan al-Sunnah. Jika ditelusuri sejarah pengagihan zakat dalam konteks
pemikiran fuqaha’ silam, kita dapati banyak perbahasan berkaitan dengan
agihan zakat, termasuklah juga Sheikh Muhammad bin Ismail dalam kitabnya;
antara perbahasan yang disentuh ialah asnaf zakat, aspek pemindahan zakat
dan golongan yang tidak wajar menerima zakat.

Pemikiran berkaitan teori fakir dan miskin jika ditinjau daripada perspektif
fuqaha’ silam terbahagi dua pendapat; pertama Jumhur berpandangan
seseorang dalam kategori miskin apabila harta yang dimiliki tidak mencukupi
keperluan hidupnya dan keluarga walaupun ianya melebihi kadar nisab.
Bagaimanapun dalam masa yang sama mereka mewajibkan pemilik harta
membayar zakat apabila harta yang dimiliki mencukupi nisab tanpa melihat
keperluan hidup pemilik harta tersebut. Kesan daripada itu ia mewujudkan
ketidak seimbangan dalam ekonomi antara pembayar dan penerima.
Bagaimanapun pada mazhab Hanafi, seseorang yang memiliki harta melebihi
keperluan asasi masih dianggap miskin sekiranya lebihan tersebut kurang
daripada dua ratus dirham.

Daripada penulusan pemikiran Sheikh Muhammad bin Ismail Daud al-Patani


dalam persoalan cukup nisab, kita dapati bahawa Sheikh Muhammad bin Ismail
Daud al-Patani masih terikat dengan pandangan Shafie yang termasuk dalam
Jumhur di atas yang tidak mengambil realiti ekonomi semasa pada ketika itu.

You might also like