You are on page 1of 7

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

Prosiding Nadwah Ulama Nusantara (NUN) IV: Ulama Pemacu Transformasi Negara disunting oleh: Azmul Fahimi Kamaruzaman, Ezad Azraai Jamsari, Ermy Azziaty Rozali, Farid Mat Zain, Hakim Zainal, Izziah Suryani Mat Resad @ Arshad, Maheram Ahmad, Md Nor Abdullah, Napisah Karimah Ismail & Zamri Arifin Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor ISBN 978-983-9368-57-4 (2011), http://www.ukm.my/nun/prosiding%20atas%20talian.htm

Sumbangan Syeikh Tahir Jalaluddin (1860-1965M) terhadap Perkembangan Fiqh di Nusantara


1

Mohamad Amin Abu Bakar, 1Mohd. Ridzuan Awang & 1,2,3Ibnor Azli Ibrahim
1

Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB), 3Institut Sains Angkasa (ANGKASA) Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor

Abstrak: Syeikh Tahir Jalaluddin merupakan ulama terkenal di Nusantara yang banyak memberi sumbangan besar terhadap perkembangan ilmu dalam pelbagai disiplin termasuk fiqh. Walaupun Syeikh Tahir Jalaluddin dilahirkan di Indonesia namun selepas menamatkan pengajian di Timur Tengah, beliau memilih menetap dan menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Tanah Melayu. Kajian ini bertujuan untuk melihat sejauh mana sumbangan Syeikh Tahir Jalaluddin terhadap perkembangan fiqh di Nusantara. Antara objektif penulisan ini juga untuk memperkenalkan dan menganalisis biodata Syeikh Tahir Jalaluddin yang merangkumi asal usul, pendidikan, perkahwinan dan karya-karya penulisan beliau yang pelbagai. Dalam memahami isu-isu fiqh, Syeikh Tahir Jalaluddin telah mencetuskan pemikiran baru yang bertentangan dengan arus realiti pemikiran ulama-ulama tradisional iaitu Kaum Tua. Kemuncak dari pertentangan itu menimbulkan polemik di kalangan mereka dan seterusnya mencetuskan kepada perbincangan ilmiah yang digarap melalui penulisan karya fiqh bagi mempertahankan pemikiran dan pendapat masing-masing. Kajian akhir penulisan ini mendapati bahawa Syeikh Tahir Jalaluddin merupakan tokoh yang terawal di Nusantara yang memperkenalkan penulisan fiqh bentuk baru yang berbeza dengan corak penulisan ulama-ulama sebelum ini. Penulisan bentuk baru ini dikenali fiqh berbentuk khilafiyyah. Kajian ini juga membuktikan bahawa Syeikh Tahir Jalaluddin merupakan satu-satunya ulama di zamannya yang mahir dan dapat mengaplikasikan kajian ilmu falak moden dan tradisional dalam penulisan fiqh. Beliau bukan saja dapat menghasilkan fiqh khilafiyyah tetapi juga karya fiqh yang berkaitan dengan ilmu falak yang digarap melalui penulisan berbentuk deskriptif dan kuantitatif.

PENGENALAN Syeikh Tahir Jalaluddin dilahirkan pada 7 Disember 1869M di Ampek Angkek Bukitinggi, Sumatera Barat, Indonesia. Pada masa kecil, Syeikh Tahir Jalalaluddin dikenali dengan nama Muhammad Tahir (Surat Persendirian 2006/003564 t.th; Surat Persendirian 2006/0036682 t.th.). Gelaran Jalaluddin yang terdapat pada hujung namanya diambil bersempena dengan nama datuknya Syeikh Jalaluddin (Yulizal 2001). Selepas menamatkan pengajian di Mekah dan Mesir, beliau dikenali dengan nama lengkapnya Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin al-Azhari al-Falaki. Menurut Deliar Noer (1973), gelaran al-Azhari yang diletak pada hujung nama Syeikh Tahir Jalaluddin adalah disebabkan beliau sendiri mengakui bahawa pengajian ketika berada di Universiti al-Azhar begitu bererti dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam hidupnya. Manakala gelaran al-Falaki menurut Hamka (1982), diambil sempena dengan kepakaran beliau dalam bidang ilmu falak. Dalam perkembangan seterusnya, Syeikh Tahir Jalaluddin juga dikenali juga sebagai pelopor gerakan Kaum Muda, islah, reformis dan modenis (Mohd Koharuddin 2005). Sepanjang beliau terlibat dengan

gerakan Kaum Muda, beliau juga sering dilemparkan dengan pelbagai tuduhan oleh kelompok ulama Kaum Tua (ulama tradisional) seperti cuba membawa ajaran baru, pengikut Qadiani, tidak bermazhab, menolak mazhab Shafii dan sebagainya (Mahayuddin 1998; Semenanjung 1958; Fatwa Mufti Kerajaan Johor 1977; Abdul Rahman 2010; Hamka 1968). Tuduhan-tuduhan ini masih berterusan hingga kini dan sering diulang semula oleh penulis-penulis baru. Ketika berumur 11 tahun Syeikh Tahir Jalaluddin melanjutkan pelajaran ke Mekah. Selama 13 tahun di Mekah, beliau telah mempelajari pelbagai bidang ilmu. Keperibadian beliau banyak dipengaruhi oleh ilmu, pendekatan dan kealiman peribadi gurunya Syeikh Ahmad Khatib (18601915M) yang merupakan Imam bagi mazhab Shafii di Masjidilharam dan yang juga merupakan abang sepupunya. Beliau juga selalu mendapat galakan dari Syeikh Ahmad Khatib agar terus mendalami ilmu pengetahuan Islam sedia ada (Mukhtar 1980; Bachtiar 1994). Sebagai seorang ulama yang dahagakan ilmu, pembelajaran selama berada di Mekah masih dianggap belum mencukupi. Lantaran itulah, Syeikh Tahir Jalaluddin telah melakukan penghijrahan kali ke dua dalam hidupnya iaitu

272

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

menyambung pengajian ke Universiti al-Azhar di Mesir pada tahun 1893. Di sana beliau telah mendalami ilmu- ilmu seperti pengajian Arab, syariah, riadiyyah (matematik) dan ilmu falak. Ketika menuntut di Universiti al-Azhar, beliau telah menjalinkan persahabatan yang erat dengan Muhammad Rashid Ridha iaitu murid terkanan dan kepercayaan Syeikh Muhammad Abduh. Hasil dari perhubungan itulah maka idea-idea islah yang disiarkan oleh Muhammad Rashid Ridha melalui penerbitan al-Manar mempengaruhi Syeikh Tahir Jalaluddin sehingga beliau turut menyebarkan ideaidea tersebut ketika berada di tanah air melalui penerbitan majalah Al-Imam (Ismail 1977). Melalui pembacaan juga, Syeikh Tahir Jalaluddin memperoleh idea-idea pembaharuan yang diperjuangkan oleh ketiga-tiga tokoh reformis yang terkenal iaitu Syed Jamaluddin al-Afgani, Syeikh Muhammad Abduh dan Muhammad Rashid Rida (Fadhlullah 2003). Syeikh Tahir Jalaluddin dianggap sebagai tokoh yang terawal yang menerima pengaruh secara langsung daripada tokoh-tokoh islah ini. Beliau bukan sahaja bersahabat baik dengan Rashid Ridha tetapi juga kemungkinan besar pernah bertemu dengan Syeikh Muhammad Abduh sendiri kerana beliau berada di Mesir pada tahun 1893 hingga 1897, sedangkan Syeikh Muhammad Abduh meninggal dunia pada tahun 1905 (Nik Mohd Rosdi 2003). Berdasarkan kajian penulis juga, Syeikh Tahir Jalaluddin merupakan anak Melayu pertama dan terawal di Nusantara yang belajar di Mesir dan seterusnya menamatkan pengajian sehingga berjaya mendapat Shahadat al-Alamiyyah iaitu anugerah tertinggi dari Universiti Al-Azhar (Surat Persendirian 2006/0036682 t.th.). Berdasarkan pelbagai catatan yang ditulis oleh Syeikh Tahir Jalaluddin yang terdapat Arkib Negara Malaysia dan tulisan-tulisan lain, penulis melihat sepanjang perjalanan hidup Syeikh Tahir Jalaluddin, beliau pernah berkahwin sebanyak lima kali (Surat Persendirian 2006/003564 t.th.; Hamka 2006). Satu perkahwinan berlaku di Mekah, tiga kali di Minangkabau (Sumatera Barat, Indonesia) dan satu di Tanah Melayu. Dengan berstatus ulama yang mendapat pendidikan tinggi di Mekah dan Mesir menyebabkan beliau dihormati dan menjadi pilihan utama di kalangan ibubapa di Minangkabau untuk dijadikan suami kepada anak-anak perempuan mereka. Lantaran itulah Syeikh Tahir Jalaluddin telah berkahwin ramai sepanjang hidupnya. Perkahwinan ketika berada di Minangkabau merupakan jumlah yang terbanyak. Ini kerana telah menjadi kebiasaan masyarakat Minangkabau pada masa itu yang suka mengahwinkan anak-anak perempuan dengan tokoh-tokoh ulama bagi tujuan untuk mendapatkan zuriat yang baik. Namun begitu, Syeikh Tahir Jalaluddin tidak memperolehi zuriat dari perkahwinan ketika di Minangkabau. Walau bagaimanapun perkahwinan tersebut tidak kekal lama dan perceraian yang berlaku dari perkahwinan

tersebut semuanya adalah di atas persetujuan dan kerelaan isteri-isterinya serta dilakukan dengan cara yang baik. Hanya seorang sahaja isterinya yang kekal hingga ke akhir hayat iaitu Aishah Haji Mustafa yang dikahwini di Tanah Melayu iaitu di Kuala Kangsar, Perak pada 28 September 1899. Di antara anak-anak beliau yang paling berjaya ialah Tun Hamdan Syeikh Tahir, yang pernah menjawat jawatan sebagai Naib Canselor Universiti Sains Malaysia pada tahun 1976-1982 dan pernah dilantik menjadi Yang diPertua Negeri Pulau Pinang pada 1989-2000 (Anon 1991). Walaupun Syeikh Tahir Jalaluddin dilahirkan di Indonesia namun selepas menamatkan pengajian di Timur Tengah, beliau memilih untuk menetap dan menghabiskan sebahagian besar hidupnya di Tanah Melayu. Syeikh Tahir Jalaluddin pulang ke rahmatullah pada hari Jumaat 26 Oktober 1956 selepas menunaikan solat subuh. Karya-Karya dalam Penulisan Fiqh: Berdasarkan carian penulis dari pelbagai sumber dan juga bahanbahan yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia, penulis mendapati Syeikh Tahir Jalaluddin merupakan seorang penulis yang prolifik. Beliau telah menghasilkan sekurang-sekurang 16 buah kitab dalam bahasa Melayu dan Arab serta ratusan artikel dalam pelbagai bidang seperti agama (merangkumi fiqh, falak, tajwid, faraid, ibadah dan akidah), pendidikan, politik dan islah, bahasa, sastera Islam dan sejarah. Sejumlah 3 buah kitab beliau masih lagi berada dalam bentuk manuskrip. Kitab penulisan beliau yang pertama dihasilkan ialah Tadhkirat alNasik fi al-Manasik yang ditulis pada tahun 1897 di Mekah ketika berumur 28 tahun. Manakala kitab yang terakhir ialah Risalah Penebas Bidaah-bidaah di Kepala Batas yang diterbitkan pada tahun 1953 iaitu kira-kira 3 tahun sebelum beliau meninggal dunia iaitu ketika berumur 84 tahun. Kitab-kitab beliau bukan sahaja dicetak di Tanah Melayu dan Singapura tetapi juga di Timur Tengah iaitu Mesir. Di samping itu, artikel-artikel beliau banyak tersiar dalam majalah dan surat khabar seperti al-Imam (1906-1908), al-Ikhwan (1926-1931), Semangat Islam (1929-1931), Saudara (1928-1941), Bumiputera (1933-1936), Pengasuh (1918-1937) dan lain-lain lagi. Beliau mulai dikenali ramai apabila menjadi editor kepada Majalah Al-Imam yang diterbitkan bersama rakan-rakan di Singapura pada tahun 1906. Jika dilihat karya-karya penulisan Syeikh Tahir Jalaluddin dalam bidang fiqh sebenarnya melibatkan 7 buah kitab yang utama iaitu: Tadhkirat al-Nasik fi al-Manasik (1897), Irshad al-Khaid fi Ilm alFaraid (1929), Huraian Yang Membakar: Taman Persuraian Haji (1932), Tayd Tadhkirat alMuttabi al-Sunnat fi al-Rad Ala al- Qail bi alSunniyyat Rakatain Qabl al-Jumuat (1932), alQiblat fi Nusus Ulama al-Shafiiyyah fima Yataallaq Bi Istiqbal al-Qiblat al-Shariyyat

273

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

Manqulat min Ummahat Kutub al-Mazhab (1951). Tatimah Irshad al-Khaid li Ilm al-Faraid (1952) dan Risalah Penebas Bidaah-bidaah di Kepala Batas (1953). Namun begitu, amat disayangi kebanyakkan kitab fiqh karangan Syeikh Tahir Jalaluddin sudah tidak ditemui lagi pada masa sekarang kecuali tersimpan di Arkib Negara Malaysia, Kuala Lumpur sahaja. Mungkin status beliau sebagai ulama Kaum Muda yang banyak mengkritik pemikiran dan pegangan ulama tradisional menyebabkan hasil karya fiqh beliau dilupakan atau cuba dilupakan. Sumbangan terhadap Perkembangan Fiqh di Nusantara: Dalam sebuah buku yang ditulis oleh Abdul Kadir (1996) yang bertajuk Sejarah Penulisan Hukum Islam di Malaysia yang mengkaji tentang penulisan hukum Islam di Tanah Melayu sejak mula menerima Islam sehingga abad ke-20 menyatakan bahawa karya khilafiyyah yang terawal ditulis dan dijumpai ialah karya yang ditulis oleh Haji Wan Musa bin Wan Abdul Samad bertajuk Risalah Mana Niat. Ketebalan risalah itu ialah satu setengah halaman dan masih lagi berbentuk manuskrip. Tahun penerbitan tidak dinyatakan, tetapi menurut Abdul Kadir risalah itu dipercayai dihasilkan sekitar tahun 1925-an. Ini berdasarkan perselisihan yang terjadi tentang permasalahan niat dalam solat pada tahun tersebut di Kelantan. Risalah ini dihasilkan sebagai perjelasan pengertian niat kepada Sultan Ismail, Sultan Kelantan pada masa itu.1 Namun begitu, berdasarkan kajian yang dilakukan, penulis tidak bersetuju dengan pendapat yang menyatakan Risalah Mana Niat merupakan karya terawal berbentuk khilafiyyah yang dihasilkan di Tanah Melayu. Ini disebabkan beberapa faktor: 1) Risalah itu masih di dalam bentuk manuskrip dan belum dicetak. 2) Risalah itu tidak dinyatakan tahun dihasilkan. Andaian bahawa risalah ditulis pada tahun 1925 berdasarkan peristiwa yang berlaku pada tahun tersebut tidak dapat diterima. Ini kerana mungkin karya itu ditulis pada tahun tersebut ataupun ditulis pada tahun lain. 3) Terdapat artikel dan tulisan dalam majalah Al-Imam yang diterbitkan pada 1906-1908 yang turut memaparkan tulisan berbentuk ikhtilaf. Ini bermakna karya yang diterbitkan oleh Al-Imam muncul lebih awal daripada Risalah Mana Niat.2 Di antara contoh yang dapat penulis kemukakan ialah: Al-Imam keluaran 17 November 1906, halaman 150 di dalam ruangan soal jawab, telah menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh pembaca daripada Padang Panjang Sumatera Barat iaitu Tuan Haji Abdullah bin Haji Ahmad. Tuan Haji Abdullah bertanya mengenai pendirian Al-Imam tentang majlis membaca Maulud Nabi adakah dituntut oleh syarak untuk berdiri ataupun tidak. Ini kerana menurut ulama

tradisional, berdiri ketika marhaban adalah sunat (Ketetapan Majlis Muzakarah Ulama Se Malaya 1953). Al-Imam menjawab dan menyatakan bahawa tiada satu hadis pun yang sahih yang dapat menjadi sandaran kepada amalan mengadakan Majlis Maulud tersebut. Al-Imam juga menyatakan bahawa ketika hidup Rasulullah s.a.w tidak membenarkan para sahabat berdiri kerana diri Baginda sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad bin Hambal: 1) Jangan berdiri kerana aku, tetapi berdiri kerana Allah s.w.t 2) Jangan berdiri sekalian kamu seperti berdiri orang-orang ajam membesarkan mereka setengah mereka akan setengahnya. Al-Imam keluaran 27 Oktober 1908, halaman 162-173, di dalam ruangan soal jawab, telah memaparkan sebuah artikel sepanjang 11 halaman, yang bertajuk masalah hukum solat sunat sebelum sembahyang Jumaat (qabliyyah Jumuat) turut memaparkan masalah khilafiyyah berkaitan isu tersebut. Al-Imam menyatakan sembahyang sunat sebelum Jumaat merupakan amalan yang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah termasuklah Saidina Abu Bakar dan Umar. Al-Imam turut menyatakan permasalahan ikhtilaf ini bukan sahaja menjadi perdebatan di kalangan mazhab-mazhab fiqh yang lain, tetapi juga turut mengundang perbezaan pendapat di dalam mazhab Shafii itu sendiri. Tulisan AlImam ini, tanpa berselindung turut mengkritik pendapat ulama-ulama Shafiiyyah yang menyatakan solat sunat sebelum Jumaat merupakan amalan sunat sedangkan menurut AlImam adalah perbuatan bidaah yang tidak dilakukan oleh Rasulullah. Contohnya hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majjah daripada Jabir. Maksudnya:
Datang Sulayk al-Ghatfani dan Rasulullah s.a.w. sedang berkhutbah. Maka bertanya Rasulullah apakah engkau sudah solat sebelum datang. Katanya tidak. Sabda Rasulullah maka solat oleh mu dua rakaat dan ringkaskan pada keduanya.

Al-Imam menyatakan bahawa ulamak hadis dan fiqh yang muktabar memahami bahawa suruhan Nabi kepada Sulayk al-Ghatfari melakukan solat dua rakaat itu merupakan solat sunat tahiyat al-masjid dan bukannya solat sunat sebelum Jumaat. Al-Imam melahirkan kehairanan kerana begitu ramai para ulama (mazhab Shafii) yang menggunakan hadis Ibnu Majjah ini dalam kitab karangan mereka seperti Ibnu Hajar alHaitami (Tuhfat al-Muhtaj), Jalal al-Din alMahalli (al-Mahalli), al-Qalyubi (Hashiyah Li Sharaf Jalal al-Din al-Mahalli), al-Bajuri dan lain-lain lagi. Lantaran itulah dapat difahami kenapakah mereka mempertahankan pendapat mereka yang menyatakan bahawa solat sebelum Jumaat adalah sunat. Walaupun jawapan daripada Al-Imam tidak menyatakan pengarangnya, namun penulis

274

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

meyakini tulisan dan jawapan itu ditulis sendiri oleh Syeikh Tahir Jalaluddin. Ini berdasarkan jawaban Al-Imam keluaran 17 November 1906 keseluruhannya sama dengan isi kandungan kitab penulisan beliau yang berjudul Risalah Penebas Bidaah-Bidaah Kepala Batas yang terdapat pada halaman 31-32 yang pertama kali dicetak pada 27 April 1953 Masihi. Begitu juga tulisan di dalam Al-Imam keluaran 27 Oktober 1908, yang persis dengan kitab tulisan beliau yang bertajuk Huraian Yang Membakar: Taman Persuraian Haji (1932), Tayd Tadhkirat al-Muttabi alSunnat fi al-Rad Ala al- Qail bi al- Sunniyyat Rakatain Qabl al-Jumuat (1932). Walaupun kitab-kitab tersebut diterbitkan pada tahun 1953 dan 1932, namun isu yang dibangkitkan itu telah disiarkan lebih awal oleh majalah Al-Imam pada tahun 1906-1908. Ini bermakna tulisan berbentuk khilafiyyah telah mula ditulis dan disiarkan pada tahun 1906-1908. Berdasarkan bukti yang dikemukakan ini, memperlihatkan bahawa, di dalam bidang penulisan fiqh, Syeikh Tahir Jalaluddin merupakan tokoh yang paling awal menulis karya khilafiyyah di Tanah Melayu. Di Indonesia, penulisan karya khilafiyyah paling awal dikesan ialah pada tahun 1911 di Sumatera Barat (Minangkabau). Sebelum era 1911 perbincangan masalah khilafiyyah hanya di dalam bentuk lisan sahaja (Mahmud 1979). Tetapi selepas tahun 1911, perselisihan mereka telah menjangkau kepada bentuk baru iaitu melalui penulisan dalam bentuk buku-buku dan majalah Islam. Kewujudan majalah al-Munir yang diterbitkan pada tahun 1911 sehingga 1916 (banyak mengambil contoh Al-Imam sebagai model) telah mempelopori penulisan fiqh bentuk baru di Indonesia, yang sudah tidak terikat lagi dengan penulisan bentuk lama yang hanya menukil dan mensharah pendapat dalam mazhab Shafii. Al-Munir turut memaparkan pendapatpendapat di luar lingkungan dan pandangan mazhab Shafii serta berani mengkritik beberapa pendapat di dalam mazhab Shafii. Cara penulisan Al-Munir amat berbeza dengan penulisan ulama sebelumnya. Mahmud (1979) mengungkapkan: Sesungguhnya dalam AlMunir telah dikupas soal-soal agama yang sulit seperti taqlid kepada imam lain dari imam Syafii, soal berhimpun-himpun di rumah orang kematian seperti malam satu, malam dua dan malam tiga, soal niat dan membaca usalli, soal berfoto (hukum berpotret), soal berdiri waktu membaca marhaban (waktu berzanji maulid), soal tuah burung ketitiran dan balam (perkutut), berpuasa dengan hisab falaki dan sebagainya. Pendeknya soal yang sulit-sulit itu telah dibahas dan dikupas dalam majalah Al-Munir dalam masa tahun 1911-1916 Berdasarkan kajian terhadap naskah asal alMunir yang masih tersimpan di Perpustakaan 275

Nasional Republik Indonesia di Jakarta, penulis mendapati begitu banyak tulisan khilafiyyah yang disiarkan dalam majalah al-Munir. Di sini penulis mengemukakan satu contoh masalah khilafiyyah yang diterbitkan pada tahun 1911 iaitu Al-Munir keluaran ke sepuluh yang bertarikh 10 Ogos 1911 di halaman 129. Tulisan ini merupakan jawapan Al-Munir kepada pertanyaan seorang pembaca tentang hukum solat Jumaat diiringi dengan solat Zohor. Masalah ini berpunca dari beberapa masjid di Maninjau Sumatera Barat yang mendirikan solat Jumaat walaupun jemaah kurang daripada 40 orang. Menurut ulama Tradisional sekiranya ahli jemaah Jumaat tidak mencapai 40 orang, maka mereka boleh meneruskan solat Jumaatnya. Menurutnya agar lebih elok, mereka perlu mengulanginya dengan bersembahyang Zohor sebagai ihtiyat. Pandangan ini dibantah oleh AlMunir kerana melihat perbuatan tersebut tidak berdasarkan al-Quran, Sunnah, Ijmak, Qiyas dan juga pandangan para Sahabat dan imam mujtahid. Pandangan yang menyatakan solat Jumaat perlu diiringi solat Zohor merupakan pandangan ulama-ulama mutaakhirin sematamata. Jawapan ini ditulis dalam satu halaman sahaja, kemudian di sambung lagi jawaban di dalam al-Munir keluaran ke sebelas yang bertarikh 25 Ogos 1911 di halaman 144. Persoalan yang sama turut ditanggapi oleh alMunir apabila masalah tersebut dilontarkan kembali oleh pembaca lain dalam al-Munir keluaran ke enam belas pada 6 November 1911 di halaman 215. Jawapan al-Munir hampir sama dengan sebelumnya, yang menyatakan perbuatan tersebut tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan merupakan perbuatan bidaah. Menurut Wan Mohd. Shaghir pula, perkembangan khilafiyyah yang banyak terjadi di Tanah Melayu dan Indonesia tetapi tidak berlaku di negeri Patani dan Brunei (Wan Mohd. Shaghir 2000). Ini kerana ulama-ulama di Patani terutamanya, rata-rata masih kuat berpegang kuat berpegang dengan mazhab Shafii. Cuma pertikaian hanya berlaku di kalangan muridmurid mereka yang berada di luar Patani. Contohnya perselisihan pendapat murid kepada Syeikh Ahmad al-Fatani di negeri Kelantan iaitu antara Haji Wan Musa bin Wan Abdul Samad (ulama Kaum Muda) dengan Tengku Mahmud Zuhdi bin Abdul Rahman al-Fatani (ulama Kaum Tua) dalam masalah niat. Pendirian Syeikh Ahmad al-Fatani pada masa itu tidak mencampuri sama sekali persoalan khilafiyyah yang mulai dibicarakan itu. Menurut Wan Mohd Shaghir, masalah khilafiyyah antara Kaum Muda dan Kaum Tua di Patani mulai muncul pada tahun 1980-an manakala di Brunei merupakan negeri yang tidak mengalami tempias masalah khilafiyyah ini (Wan Mohd. Shaghir 1985).

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

Menurut Abdullah Yeelah (2010) pula, masalah khilafiyyah di Patani bermula pada tahun 1960-an lagi. Perbezaan pendapat ini berlaku secara langsung dan tidak langsung. Pertamanya melalui perdebatan yang bersemuka antara kedua pihak atau melalui tulisan masingmasing, dan yang kedua berlaku secara jawab menjawab melalui perantara murid masingmasing. Antara karya khilafiyyah yang terawal di kesan di Patani ialah dalam masalah atau isu mengadakan kenduri di rumah si mati dan membaca qul huwa Allah ahad atau bertahlil di rumah si mati. Isu ini telah menjadi suatu isu besar di Patani pada dekad 1960-an. Isu ini muncul apabila Haji Abdullah Bendang Kebun menfatwakan dalam bukunya: Al-Kawakib alNayyirat fi Rad Ahl al-Bida wa al-Adat, bahawa menjamu makan ketika kematian adalah bidaah makruhah, malah dalam keadaan tertentu menjadi bidaah muharramah. Fatwa ini menimbulkan kesan yang tidak sedikit dan pelbagai reaksi, baik dari kalangan ulama mahupun di kalangan orang awam. Antara ulama yang menentang pendapatnya ialah Haji Ahmad bin Abdul Wahhab al-Pusani yang telah menulis Khulasah al-Mardiyyah fi Masail alKhilafiyyah dan risalah Penjelasan Buat Makan Kematian. Manakala Haji Wan Idris (Baba Yeh Tokjong), beliau menulis Ini Beberapa Jawaban yang Bagus daripada Soalan yang Datang daripada Majlis Agama Islam Changwad Pattani bagi menentang pendapat Haji Abdullah Pendang Kebun (Abdullah Yeelah 2010). Mengaplikasi Kajian Ilmu Falak dalam Penulisan Fiqh: Syeikh Tahir Jalaluddin merupakan seorang ulama yang mahir dan dapat mengaplikasikan kajian ilmu falak moden dan tradisional dalam penulisan fiqh. Beliau bukan saja dapat menghasilkan fiqh khilafiyyah tetapi juga karya fiqh yang berkaitan dengan ilmu falak. Contohnya kitab beliau yang bertajuk al-Qiblat fi Nusus Ulama al-Shafiiyyah fima Yataallaq Bi Istiqbal al-Qiblat al-Shariyyat Manqulat min Ummahat Kutub al-Mazhab (1951) banyak memaparkan aplikasi unsur-unsur falak yang berkaitan dengan kajian ilmu falak seperti penentuan arah kiblat. Penulisan kitab ini agak ringkas dan banyak memaparkan pendapat-pendapat dalam mazhab Shafii yang berkaitan dengan konsep mengadap kiblat. Walaupun diketahui sebelum ini dalam penulisan bidang fiqh, Syeikh Tahir Jalaluddin agak kritis dan berani melontarkan kritikan tajam terhadap beberapa pendapat dalam mazhab Syafii. Namun dalam penulisan kitab ini, beliau banyak pula mengutip dan bersetuju dengan pandangan Shafiiyyah. Ini menimbulkan persoalan kepada penulis terhadap perbezaan pendekatan yang dibawa oleh Syeikh Tahir Jalaluddin dalam memahami fiqh

dan falak. Menurut Syafi`iyah arah kiblat bagi orang yang berada dekat ataupun jauh daripada Kaabah tetap ain al-kabah. Cuma yang membezakannya ialah bagi mereka yang melihat Kaabah, arah kiblatnya ain al-kabah secara yakin. Manakala bagi orang yang tidak dapat melihat atau beradadi luar Mekah ialah ain al-kabah secara zan (alBayjuri t.th.). Ini bermakna menurut Shafiiyyah, umat Islam tetap perlu menentukan arah kiblat dengan tepat ke Kaabah ketika solat, baik jauh atau dekat dengan ain al-kabah. Berbeza dengan Hanafiyah dan Malikiyah, walaupun mereka sepakat menyatakan bahawa orang yang berada di Mekah yang dapat melihat Kaabah arah kiblatnya ain alkabah. Namun dalam menetapkan arah kiblat bagi orang yang berada di luar Mekah yang tidak melihat Kaabah pula, mereka berpandangan cukup dengan jihah al-kabah iaitu mengarahkan saja ke Kaabah (al-Ayni 1990; Ibn Abidin 1966). Berdasarkan analisis yang dibuat, penulis melihat faktor Syeikh Tahir Jalaluddin cenderung kepada pendapat mazhab Shafii dalam masalah ini kerana pandangan yang dikemukakan oleh mazhab Shafii lebih signifikan dan selari dengan perkembangan ilmu falak yang menitik beratkan kepada ketepatan. Kajian ilmu falak bagi menentukan arah kiblat, tidaklah termasuk perkara yang menyukarkan sebaliknya ia dapat dilakukan dengan mudah dan tepat. Para ahli falak telah berjaya menyusun formula-formula trigonometri dan pelbagai kaedah lain bagi menentukan arah kiblat, di samping terciptanya alat-alat tradisional dan moden. Dengan menggunakan formula, kaedah dan instrumen tersebut, mereka bukan saja dapat menentukan pergerakan objek-objek samawi secara benar tetapi juga dapat menentukan kedudukan sesuatu tempat atau koordinat di permukaan bumi dengan lebih tepat berdasarkan perkiraan darjah, minit, dan saat. Lantaran itu, ilmu falak pada masa sekarang dianggap salah satu daripada ilmu-ilmu pasti. Pengamalan ilmu tersebut adalah berdasarkan kepada kaedah atau cara yang menyakinkan dan bukan berdasarkan kepada keraguan atau dugaan (Mohamad Amin 2002). Berdasarkan itulah, penulis membuat konklusi bahawa faktor Syeikh Tahir Jalaluddin yang cenderung kepada pendapat Shafiiyyah dalam tulisan ini, disebabkan pendapat tersebut lebih selari dan sesuai dengan perkiraan dan perkembangan ilmu falak semasa jika dibandingkan dengan pendapat dalam mazhab yang lain. Tulisan ini membuktikan bahawa Syeikh Tahir Jalaluddin merupakan seorang ulama yang masih berpegang kepada mazhab Shafii. Tuduhan yang menyatakan bahawa beliau seorang ulama Kaum Muda, yang menolak bermazhab merupakan tuduhan yang tidak berasas, yang dibuat tanpa kajian yang mendalam. Tulisan beliau turut mendapat pujian dan respon yang baik dari ulama-ulama Tanah Melayu terutama ulama Kaum Tua. Antara mereka ialah Haji Zubir bin Haji Ahmad Ismail

276

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

(Pengetua Madrasah al-Idrisiah), Haji Muhammad Zin Amin (bekas Mufti Perak), Haji Abdullah Fahim (Mufti Pulau Pinang), Haji Ahmad bin Tuan Hussin Kedah (Guru Besar Sekolah Arab Pokok Sena Seberang Prai) dan lain-lain lagi (Syeikh Tahir Jalaluddin 1951). Ini membuktikan bahawa beliau merupakan seorang seorang tokoh ulama yang dihormati oleh rakan dan lawan. Dengan kata lain, dalam beberapa segi pemikiran beliau masih diteima oleh ulama Kaum Tua (Wan Mohd Shaghir 2005). KESIMPULAN Kajian ini juga membuktikan bahawa penulisan karya khilafiyyah di Tanah Melayu bermula seawal 1906, Indonesia pula pada tahun 1911 dan Patani, Thailand pada dekad 1960-an. Kajian penulisan ini mendapati bahawa Syeikh Tahir Jalaluddin merupakan tokoh yang terawal di Nusantara yang memperkenalkan penulisan fiqh bentuk baru yang berbeza dengan corak penulisan ulama-ulama sebelum ini. Penulisan bentuk baru ini dikenali fiqh berbentuk khilafiyyah. Beliau bukan sahaja menghasilkan fiqh khilafiyyah tetapi juga karya fiqh yang berkaitan dalam disiplin ilmu falak. Dalam memahami isu-isu fiqh, Syeikh Tahir Jalaluddin telah mencetuskan kepada pemikiran baru yang bertentang arus dengan pemikiran ulama-ulama tradisional yang dikenali sebagai ulama Kaum Tua. Pemikiran beliau sebagai pelopor Kaum Muda, menampakkan beliau menyeru kepada berijtihad, tidak fanatik, dan beramal apabila terdapat nas yang menyokong amalan tersebut. Berbeza dengan lawannya lebih cenderung kepada berpegang kepada sesuatu pendapat tanpa membuat penilaian semula terhadap sumber dalil dan cara-cara istinbat hukum dari dalil yang digunakan. Walaupun Syeikh Tahir Jalaluddin agak selektif dan berani mengkritik pendapat dalam mazhab Shafii bukanlah bermakna beliau tidang berpegang kepada mazhab Shafii, cuma beliau agak kritis dalam menilai sesuatu pendapat yang diutarakan oleh para ulama. Gagasan pemikiran beliau menghasilkan karya fiqh khilafiyyah yang berdominasi di Tanah Melayu, membuktikan bahawa penulisan karya khilafiyyah yang pertama bermula di Tanah Melayu. Walaupun Tanah Melayu dilihat lebih awal berbicara mengenai khilafiyyah namun dalam realitinya Indonesia lebih kehadapan dalam mengaplikasikannya. Penulisan karya khilafiyyah yang dipelopori oleh Syeikh Tahir Jalaluddin telah telah membuka lembaran baru kepada umat Islam dalam memahami fiqh dengan lebih mendalam dan dapat melonggarkan kafanatikan kepada sesuatu mazhab. Beliau juga berjaya menyemarakkan perkembangan fiqh dan memberi kesan yang baik dari aspek perkembangan pemikiran dan keluasan pembahasan fiqh di kalangan masyarakat Islam di Nusantara walaupun tidak dinafikan turut mengundang implikasi sebaliknya.

NOTA HUJUNG
1

Karya khilafiyyah ialah suatu penulisan fiqh yang mengandungi perbezaan pendapat dan pandangan tentang sumber-sumber hukum dalam masalah-masalah tertentu. Perbezaan itu boleh sahaja terjadi disebabkan perbezaan memberi keutamaan kepada sumber-sumber hukum yang diakui atau perbezaan dalam mentafsir sumber hukum yang sama atau perbezaan memberi keutamaan dalam menggunakan dalil daripada sumber hukum yang sama (Abdul Kadir Muhammad 1996). Majalah Al-Imam diterbitkan di Singapura yang diterbitkan dari tahun 1906 sehingga 1908. Pengarangnya terdiri 1) Syeikh Tahir Jalaluddin (1906-Mac 1908). 2) Syed Syeikh Ahmad Al-Hadi (1906-1908). 3) Haji Abbas Mohd Taha (Mac-Dis 1908). Manakala Pengelolanya ialah Syeikh Mohd Salim AlKalali (1906) dan Haji Abbas Mohd Taha (1906-1908). (Lihat dalam A.M. Iskandar Haji Ahmad 1980 dan Hamedi Mohd Adnan 2002). RUJUKAN

Abaza, Mona. 1993. Changing Images of Three Generations of Azharites in Indonesia. Singapura: Institute of Southeast Asian Studies. Abdullah Yeelah. 2010. Amalan Percampuran Mazhab dalam Ibadat: Kajian di Kalangan Masyarakat Pattani, Thailand. Tesis Doktor Falsafah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Abdul Kadir Muhammad. 1996. Sejarah Penulisan Hukum Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Abdul Rahman Abdullah. 2010. Sejarah Ikhtilaf Mazhab di Malaysia: Suatu Kajian Tentang Perkembangan Pemikiran Tajdid dan Islah. Shah Alam: Karisma Publications. Al-Ayni, Abu Muhammad Mahmud bin Ahmad. 1990. Al-Binayah Fi Sharh al-Hidayah. Jil. 2. A.M. Iskandar Ahmad. 1980. Persuratkhabaran Melayu 1876-1968. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Anon. 1991. Pendidik Istimewa: Tun Haji Hamdan bin Sheikh Tahir. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Bachtiar Djamily. 1994. Riwayat Hidup dan Perjuangan Syeikh Tahir Jalaluddin al-Azhari al-Falaki. Kuala Lumpur: Asmah Publisher. Deliar Noer. 1973. Gerakan Moderen Islam di Indonesia 1900-1942. Jakarta: LP3ES. Fatwa Kerajaan Johor. 1977. Johor: Bahagian Penerbitan Jabatan Agama Johor. Fadhlullah Jamil. 2003. Pengaruh Pemikiran Syed Jamaluddin al-Afghani dan Syeikh Muhammad Abduh Terhadap Syeikh Tahir Jalaluddin. Dlm. Sohaimi Abdul Aziz (pnyt.). Syeikh Tahir

277

PROSIDING NADWAH ULAMA NUSANTARA (NUN) IV, 25-26 NOVEMBER 2011

Jalaluddin Pemikir Islam, hlm. 30-47. Pulau Pinang: Universiti Sains Malaysia. Hamedi Mohd Adnan. 2002. Direktori MajalahMajalah Melayu Sebelum Merdeka. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Hamka. 1968. Pengaroh Muhammad Abduh di Indonesia. Jakarta: Tintamas Hamka. 1982. Ayahku. Jakarta: UMINDA. Hamka. 2006. Islam dan Adat Minangkabau. Selangor: Pustaka Dini. Ibn Abidin. 1966. Hashiyyah Radd al-Mukhtar. Jil. 1. al-Qahirah: Mustafa al-Babi al-Halabi. Ismail Ibrahim. 1977. Sheikh Tahir Jalaluddin Seorang Reformis Islam. Dlm. Cendermata Majlis Memperingati Tokoh/Ulama Islam Silam 1976/77: Sheikh Tahir Jalaluddin (1869-1956), hlm. 20-21. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Ismail Ibrahim. 1993. Syeikh Tahir Jalaluddin. Dalam Ismail Mat (pnyt). Ulama Silam Dalam Kenangan, hlm. 20-29. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia. Al-Imam. 1906. 17 November. Al-Imam. 1906. 27 Oktober. Ketetapan Majlis Muzakarah Ulama Se Malaya. 1953. Pulau Pinang: Jafar Siddiq Rawa. Mahayudin Haji Yahya. 1998. Islam Di Alam Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Mahmud Yunus. 1979. Sejarah Pendidikan Islam di Indonesia. Jakarta: Penerbit Mutiara. Mohamad Amin Abu Bakar. 2002. Pemakaian Asas Astronomi Dalam Menentukan Arah Qiblat di Malaysia: Suatu Pendekatan Hukum. Disertasi Sarjana, Fakulti Syariah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya. Mohd Koharuddin Mohd Balwi. 2005. Peradaban Melayu, Johor Darul Tazim. Johor Bahru: Universiti Teknologi Malaysia. Mukhtar Ramli. 1980. Inventori Surat-Surat Persendirian Sheikh Tahir Jalaluddin. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia. Al-Munir. 1911. 10 Ogos.

Al-Munir. 1911. 25 Ogos. Al-Munir. 1911. 06 November. Nik Mohd Rosdi Nik Ahmad. 2003. Gerakan Tajdid Timur Tengah (Mesir dan Hijaz): Sejarah dan Pengaruhnya Kepada Pemikiran Politik dan Sosio-Budaya Masyarakat Melayu di Malaysia 1940-1990. Tesis PhD. Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Semenanjung. 1958. 14 Julai. Surat Persendirian 2006/003564. t.th. Catatan Pelayaran Sheikh Tahir Jalaluddin. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia. Surat Persendirian 2006/0036682. t.th. Catitan Peribadi. Kuala Lumpur: Arkib Negara Malaysia. Syeikh Tahir Jalaluddin.1929. Irshad al-Khaid fi Ilm al-Faraid. Singapura: al-Matbaah alAhmadiah. Syeikh Tahir Jalaluddin. 1932. Ini Huraian Yang Membakar: Taman Persuraian Haji Bakar. alQahirah: Maktabah al-Marbawi. Sheikh Tahir Jalaluddin.1951. al-Qiblat fi Nusus Ulama al-Shafiiyyah fima Yataallaq Bi Istiqbal al-Qiblat al-Shariyyat Manqulat min Ummahat Kutub al-Mazhab. Taiping: Maktabat al-Zaininiyyah. Syeikh Tahir Jalaluddin.1952. Tatimah Irshad alKhaid li Ilm al-Faraid. Singapura: alMatbaah al-Ahmadiah. Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 1985. Perkembangan Ilmu Fiqh dan Tokoh-tokohnya Di Asia Tenggara (1). Solo: Ramadhani. Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 2000b. Wawasan Pemikiran Islam Ulama Asia Tenggara Jilid 1. Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah. Wan Mohd. Shaghir Abdullah. 2005. Tulisan Syeikh Tahir Jalaluddin Pedoman Ilmu Falak Melayu. Berita Harian, 25 Oktober: 7. Yulizal Yunus. 2001.Syeikh Thaher Jalaluddin. Dlm. Mestika Zed, dkk (pnyt.). Riwayat Hidup Ulama Sumatera Barat dan Perjuangannya, hlm. 93-110. Padang: Islamic Centre Sumatera Barat.

278

You might also like