You are on page 1of 14

GERAKAN ANTI-PENYERAHAN SARAWAK

1.0

PENGENALAN

Sejarah Sarawak telah menyaksikan penguasaan kekuasaan keluarga Brooke yang bermula
pada tahun 1841 dan berakhir 105 tahun kemudian. Berikutnya, satu episod baru telah
bermula dalam sejarah Sarawak apabila Jepun telah mengambil alih dan menduduki Sarawak
dari Disember 1941 sehingga September 1945. Selepas tamatnya Perang Dunia Kedua,
Sarawak telah diambil alih oleh British. Hal ini telah menyebabkan berlakunya perubahan
taraf Sarawak iaitu dari sebuah negeri merdeka[1] di bawah pemerintahan Brooke menjadi
sebuah tanah jajahan mahkota British.[2]
Perang Dunia Kedua telah membawa kepada kemusnahan yang teruk kepada Sarawak.
Selepas perang, Sarawak perlu dibina semula serta memerlukan perbelanjaan yang banyak.
Keadaan ekonomi pada ketika itu adalah sangat menyedihkan. Hal ini dapat dilihat apabila
padang-padang minyak telah musnah dan kebun-kebun getah juga terbiar.[3] Oleh kerana
mengalami kerosakan dan kerugian besar, Rajah Charles Vyner Broke mendapati bahawa
Sarawak terlalu miskin untuk membangunkan semula negerinya. Beliau berpendapat bahawa
hanya kerajaan British sahaja yang sanggup untuk berbuat sedemikian. Rajah Charles Vyner
Brooke berharap sekiranya Sarawak diletakkan di bawah kerajaan British, Sarawak dapat
menjadi sebuah negeri moden kerana mempunyai sumber kewangan yang kukuh serta
pengalaman teknikal yang diperlukan untuk pembangunan sebuah negeri moden.
Usia Rajah Charles Vyner Brooke juga telah lanjut tetapi beliau berkeberatan untuk
menyerahkan pentadbirannya kepada anak saudaranya, Anthony Brooke mahupun pada
adiknya, Betram Brooke. Hal ini demikian kerana, beliau tidak yakin kepada warisnya untuk
memerintah Sarawak dengan baik. Selain itu, Sarawak memerlukan bantuan ekonomi dan
teknikal daripada British. Bantuan daripada British tidak akan berlaku sekiranya Sarawak
masih di bawah pemerintahan Dinasti Brooke. Masalah peribadi keluarga Brooke ditambah
dengan keadaan ekonomi yang mundur telah mendesak Rajah Charles Vyner Brooke
mengambil keputusan untuk menyerahkan negeri Sarawak kepada kerajaan British. Dengan
itu alasan keadaan Sarawak selepas perang dijadikan peluang yang baik untuk menyerahkan
Sarawak kepada kerajaan Britain.
Majoriti daripada penduduk Sarawak bersetuju sekiranya Sarawak diserahkan kepada
kerajaan Britain. Namun begitu, pada masa yang sama, terdapat juga golongan yang
menentang penyerahan tersebut. Orang Dayak dan orang Cina menyokong perubahan ini
kecuali segelintir kecil yang menentang. Kebanyakan orang Melanau juga bersetuju dengan
keputusan tersebut. Sementara itu, orang Melayu pula berpecah kepada dua kumpulan, iaitu
satu kumpulan yang menerima baik penyerahan Sarawak dan majoriti orang Melayu yang
menentang dengan hebat. Gerakan penentangan ini lebih dikenali sebagai gerakan antipenyerahan (anti-cession movement). Pelbagai surat bantahan telah dihantar ke London dan
demonstrasi telah dilakukan. Namun, bantahan daripada penduduk Sarawak ini tidak

mendapat reaksi positif daripada kerajaan Bristih, sebaliknya British tetap meneruskan
usahanya untuk menjadikan Sarawak sebagai tanah jajahan. Pada awalnya, perjuangan
penentangan ini bermula secara aman tetapi telah mencapai kemuncak apabila berlakunya
pertumpahan darah pada penghujung tahun 1949.
2.0

FAKTOR GERAKAN ANTI-PENYERAHAN

Penelitian tentang kedudukan politik orang Melayu Sarawak pada tahun 1946 hingga 1958
tidak seharusnya melupakan perkembangan yang telah berlaku sebelum era tersebut hel ini
demikian kerana, perkembangan inilah yang kemudiannya telah menjadi asas kepada
pergerakan politik Sarawak. Sebagai contoh, Persatuan Melayu Sarawak (PMS) yang
ditubuhkan pada tahun 1939, telah memainkan peranan yang penting dalam gerakan antipenyerahan dari tahun 1946 hingga tahun 1951.
Gerakan anti-penyerahan telah dikaitkan dengan pelbagai faktor. Terdapat dua
pendapat yang menimbulkan kontroversi berkenaan perkara tersebut. Pendapat pertama
mengatakan bahawa gerakan anti-penyerahan bukanlah satu gerakan untuk kemerdekaan,
tetapi merupakan gerakan orang Melayu untuk mendapatkan kembali keistimewaan mereka
seperti semasa zaman Brooke. Pendapat kedua pula mengatakan bahawa gerakan antipenyerahan merupakan satu gerakan kemerdekaan kerana pada ketika itu, ungkapanungkapan kemerdekaan telang dilaung-laungkan.[4] Ramai penulis barat yang mempercayai
bahawa gerakan anti-penyerahan adalah merupakan gerakan untuk mengembalikan semula
hak keistimewaan orang Melayu sebagaimana yang diperoleh oleh mereka semasa zaman
Brooke.
Selain itu, terdapat juga penulis tempatan yang menyatakan bahawa dengan
menjadikan Anthony Brooke sebagai raja yang keempat, hal ini bermakna bahawa gerakan
anti-penyerahan bukanlah gerakan kemerdekaan kerana orang kulit putih menjadi raja.
Namun begitu, pendapat tersebut telah disanggah oleh penulis seperti Yusof Peter Heaton,
James P. Ongkili dan Sanib Said yang menyatakan bahawa gerakan anti-penyerahan
merupakan satu gerakan menuntut kemerdekaan. Sanib Said menyatakan bahawa gerakan ini
sebagai satu gerakan untuk membebaskan diri daripada British berdasarkan alasan bahawa
tidak semua orang Melayu mendapat hak keistimewaan. Hal ini demikian kerana, golongan
yang mendapat keistimewaan adalah seperti golongan kelas perabangan Kuching. Oleh kerana
gerakan ini disertai oleh orang Melayu kelas bahawan dan orang Dayak, maka gerakan ini
bukanlah merupakan gerakan untuk mengembalikan hak istimewa orang Melayu. Usaha
untuk mengembalikan pemerintahan Brooke pula hanyalah dianggap sebagai alat untuk
perjuangan.
Golongan anti-penyerahan juga mendakwa bahawa perjuangan mereka bukanlah
perjuangan Rajah Muda, tetapi merupakan perjuangan rakyat Sarawak. Gerakan antipenyerahan yang dianggap sebagai gerakan anti-British sememangnya tidak dapat dinafikan

ekoran daripada tindakan mereka yang menentang British. Berdasarkan akhbar Utusan
Sarawak:
Bangsa Timor telah sedar. Ini boleh di-saksikan dengan terang menahan taraf kebangsaan
dan kemerdekaan itu wajib pada demokrasi dan Islam. Merosak dan menghapuskan taraf itu
berlawanan dengan kedua2nya. Hidop-nya subor taraf itu ia-lah mengambil berat
memajukan puak2 raayat yang terkebelakang.Tetapi pengakuan hendak mengangkat mereka
itu dengan menghapuskan hak kebangsaan dan hak kemerdekaan mereka dalah menipu
mereka dengan terang.[5]
Hal ini jelas memperlihatkan bahawa sentimen antipenjajah sememangnya telah
tersemat dalam diri orang Melayu. Walau bagaimanapun, gerakan anti-penyerahan boleh
dianggap sebagai bukan menuntut kemerdekaan secara tulen. Hal ini demikian kerana,
gerakan mereka telah dikaburi dengan tuntutan agar pemerintahan Brooke dikembalikan
dengan anggapan bahawa kerajaan Brook adalah sebuah kerajaan yang mempertahankan
kemerdekaan rakyat Sarawak. Oleh itu, tuntutan rakyat Sarawak agar keluarga Brooke
menjadi raja adalah dikatan semata-mata untuk mengekalkan kemerdekaan Sarawak yang
telah mencecah 100 tahun. Majalah Kenchana pada April 1947 mengatakan bahawa:
Disini tentu ada pula pertanyaan, kalau hendak merdeka atau mepertahankan kemerdekaan,
mengapa perlu minta dikembalikan Raja Brooke, pada hal ia pun Bangsa British juga?
Mengapa tidak minta beraja bangsa sendiri? Ini adalah menunjokkan kepada dunia, bahwa
umat Sarawak tidak benchi atau bermusohan dengan bangsa British yang maha adil itu
menaungi kerajaan Sarawak yang merdeka, tetapi bukan meminta merampas
kemerdekaannya.[6]
Terdapat beberapa alasan yang telah dinyatakan bagi menunjukkan bahawa Sarawak
telah merdeka di bawah pentadbiran Brooke. Antaranya ialah:[7]

a) Tahun 1841 dianggap sebagai satu tarikh Sarawak mencapai kemerdekaan.


b) Pemerintahan Raja Melayu Brunei tidak dianggap oleh mereka sebagai merdeka.
c) Penyerahan Sarawak kepada James Brooke menyebabkan Sarawak merdeka terpelihara
selama 100 tahun.
Alasan yang diberikan bagi membuktikan Sarawak merdeka di bawah Brooke adalah
disebabkan oleh taraf kemerdekaan itu yang telah diperakui oleh kerajaan Amerika dan
British. Berdasarkan pandangan tersebut, sebahagian daripada ahli gerakan anti-penyerahan
mengakui hak ketuanan Brooke terhadap negeri Sarawak. Oleh itu, mereka tidak menganggap
Brooke sebagai penjajah. Hubungan rapat Brooke dengan rakyat pribumi dan keistimewaan
yang diberikan oleh Brooke kepada pribumi khususnya Melayu telah mengukuhkan lagi
kenyataan tersebut. Oleh itu, mereka tidak merasakan bahawa Brooke merupakan satu
penjajahan.

Sesungguhnya sekalian umat Sarawk mempunyai keperchayaan yang sepenoh2 dan


setegoh2nya bahawa Sarawak merdeka dengan hak ketuanan sepenoh2nya berada di tangan
bumiputera mesti akan dikembalikan dengan berajakan Anthony Brooke dan bernaong
dibawah panji2 keadilan kerajaan British.[8]
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan pendirian tersebut timbul. Pertama, orang
Melayu yakin bahawa mereka akan dapat pemerintahan sendiri sekiranya mendapat
bimbingan daripada Brooke berdasarkan janji-janji Brooke di dalam Perlembagaan 1941.
Kedua, penyerahan Sarawak kepada Britain memperlihatkan bahawa negeri itu akan dijajah
secara mutlak oleh Britain. Namun begitu, hal ini adalah berbeza dengan penajjahan Brooke
yang memberikan peluang kepada mereka untuk turut serta dalam pentadbiran. Brooke juga
telah dianggap sebagai raja mereka meskipun Brooke adalah berketurunan British. Hal ini
dapat dilihat melalui pandangan beberapa orang ahli gerakan anti-penyerahan yang
menganggap bahawa dengan berada di bawah pentadbiran Brooke, maka situasinya adalah
berbeza berbanding kedudukan Sarawak di bawah kerajaan British. Perbezaan tersebut adalah
seperti:[9]

a) Raja kuasa tertinggi. Raja dilantik menurut adat resam Sarawak.


b) Sarawak ditadbir oleh kerajaan negeri Sarawak berpusat di Kuching.

c) Sarawak merdeka di bawah naungan British


d) Rakyat Sarawak mempunyai kebangsaannya sendiri.
Pemerentahan Kolonial
a) Gabenor menjadi wakil kerajaan British yang tidak dilantik oleh rakyat.
b) Sarawak ditadbir oleh Colonial Office.
c) Mempunyai taraf tanah jajahan British.
d) Kebangsaan Sarawak terlepas menjadi raayat British kerana penaalokan.
Sesetengah pendapat yang mengatakan bahawa tindakan golongan anti-penyerahan
yang ingin mengembalikan Raja Brooke hanyalah sebagai satu alat. Meskipun kenyataan
tersebut memperlihatkan ada kebenarannya, tetapi sikap sedemikian hanyalah wujud dalam
kalangan segelintir pemimpin anti-penyerahan terutamnya golongan muda yang tidak
menyenangi Anthony Brooke seperti Johari Anang. Sikap yang menganggap Anthony Brooke
sebagai individu yang seharusnya menjadi raja keempat masih lagi wujud dalam kalangan ahli
gerakan anti-penyerahan bahkan sikap sebegini masih kekel sehingga tahun 1960-an.
[10] Oleh itu, gerakan anti-penyerahan adalah dilihat sebagai satu gerakan yang bersifat antipenjajahan dan anti-British tetapi tuntutan kemerdekaan yang dilakukan bukanlah tuntutan
kemerdekaan yang tulen.

3.0 TOKOH GERAKAN ANTI-PENYERAHAN


3.1 Parti Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS)

Datu Patinggi Abang Haji Abdillah


Datu Patinggi Abang Haji Abdillah merupakan penaung kepada PKMS yang awalnya dikenali
sebagai Persatuan Melayu Sarawak (PMS). Nama penuh beliau ialah Patinggi Abang Haji
abdillah bin Datu patinggi Abang Haji Mohamed kassim. Beliau merupakan pemimpin
Melayu yang gigih menentang penjajahan Sarawak oleh kerajaan British, dilahirkan pada
tahun1862. Beliau menjadi Guru pada tahun 1887. Pada tahun 1905, beliau berkhidmat dalam
Pejabat KerjaRaya dan seterusnya Jabatan Polis sebagai Sub-lnspektor pada tahun 1917. Pada
tahun 1921, beliau dianugerahkan gelaran Datu Bandar. Seterusnya beliau diberi gelaran
Datu Petinggi pada tahun 1937oleh Raja Vyner Bmoke. Beliau telah dilantik sebagai penaung
pertama PKMS yang ditubuhkan pada tahun 1939. Dalam pemerintahan Brooke, Datu
Patinggi Abang Haji Abdillah sangat disegani oleh pihak kerajaan sebagai seorang pentadbir
yang benwibawa, cekap dan bijak. Apabila ketiadaan Rajah danTuan Muda, beliau
memangku dan mcngambil alih tugas-tugas pentadbiran. Beliau meninggal dunia pada 22
November 1946.[11]
Terdapat banyak penubuhan kelab dan persatuan namun penubuhan dan kelab-kelab
ini bagaimanapun tidaklah penting dan berperanan dalam konteks membangkitkan kesedaran
masyarakat Melayu Sarawak secara ketara sehinggalah muncul persatuan Melayu Sarawak
pada tahun 1939. PMS ditubuhkana lapan orang Datu, pemimpin tradisional Melayu di
Kuching yang merupakan organisasi bercorak tradisional. Dengan terdirinya PMS maka
kesedaran berpesatuan dalam kalangan orang Melayu telah timbul kerana PMS tidak terhad di
kawasan Kuching sahaja. Persatuan ini lebih membela nasib orang Melayu serta menyaingi
organisasi yang ditubuhkan oleh orang cina. Namun mereka bukan anti cina.
Persatuan ini tidak menunjukkan tanda-tanda menentang Brooke kerana mereka
merupakan persatuan yang didirikan oleh golongan Datu atau Aristokrat. Pemimpin PMS,
datu patinggi yang menjadi penaung dan Datu Amar pengerusi persatuan merupakan orang
kanan dalam pentadbiran Brooke. Pada tahun 1941, temenggong menjadi timbalan
presidennya.
Sambutan yang diberikan masyarakat Melayu amat menggalakkan. Dalam mesyuarat
agung tahun 1940, PMS telah menarik seramai 500 orang Melayu di seluruh Sarawak,
manakala dalam pada tahun 1941 pula 700 orang telah menghadirinya. Mereka mengadakan
beberapa congress termasuk congress persatuan Melayu di Singapura pada tahun disember
1940, melalui kongres ini kesedaran terhadap kepentingan orang membela kedudukan orang
Melayu dari segi politik, pelajaran dan ekonomi telah tersemai di hati pemimpin orgnisasi itu,
idea baharu daripada pertemuan dapat diperoleh. Berdasarkan kepimpinan yang wujud serta
kegiatan yang dijalankan, PMS bukanlah persatuan yang bercorak politik tetapi menjadi
wadah kepada masyarakatnya.[12]

3.2 Sarawak Dayak Association (SDA)


Philip Jitam
Sementara ini terdapat juga orang Dayak yang tidak begitu bersetuju dengan penyerahan
Sarawak kepada kerajaan British. Orang Iban, khasnya di Bahagian Pertama telah
menubuhkan persatuan untuk menyertai golongan anti-penyerahan Sarawak. SDA telah
ditubuhkan di bawah pimpinan Philip Jitam bagi tujuan itu. Beliau pernah mengeluarkan satu
kenyataan dengan tujuan menentang perubahan taraf Sarawak menjadi tanah jajahan mahkota
British. Kenyataannya dalam Bahasa Iban itu diterjemahkan seperti berikut:
Therefore on behalf of my colleagues and with honesty to myself I oppose the Cession.
Further I cannot compel myself to agree even in principle, since in the first instance, this
proposal of Cession does not appear to have been mutually agree upon; unless and until
reconciliation has been effected and mutual consent has been given, than I consider it
inappropriate to bring this subject for discussion.
Beliau juga pernah bercakap bagi pihak persatuan Dayak berkenaan dengan soal
tersebut dengan menegaskan sokongan akan diberi kepada penyerahan sekiranya sembilan
prinsip dalam perlembagaan Sarawak itu dihormati. Dalam ha1 ini beliau menyatakan:
We want to know whether these Nine Cardinal Principles would be observed by His
MajestysGovernment after the Cession? If we have the assurance that these principles would
be respected, then we will not only agree to the Cession but the will support His Highness the
Rajah.
Selain itu terdapat juga orang Dayak dan Bumiputera lain yang memerlukan lebih
banyak masa untuk mempertimbangkan perkara tersebut tetapi akhirnya mereka akan
mengikut keputusan Raja sebagai tanda menghormati raja mereka. Terdapat juga orang Iban
dan kumpulan Bumiputera lain yang menyokong penyerahan memandangkan ia adalah hasrat
Raja, asalkan dipastikan hak-hak seperti adat lama dipelihara. [13]
SDA merupakan satu-satunya pertubuhan anti-penyerahan Dayak. la ditubuhkan pada
1 Mac 1946 oleh sekumpulan kecil orang Bidayuh dan lban dari Bahagian Pertama serta
Kedua yang telah menetap di Kuching. Philip Jitam mengundi menentang penyerahan dalam
Majlis Negeri pada 15 Mei 1946 selepas beliau sedar bahawa penyerahan itu tidak disokong
oleh Tuan Muda, Betram Brooke. Dalam kegiatan anti-penyerahan, SDA bekerjasama rapat
dengan PKMS dan ia juga bimbang terhadap dominasi orang Cina. Namun ahli-ahli SDA
menolak untuk mengikuti tindakan PKMS dalam meletak jawatan di bawah Surat Pekeliling
No. 9.
3.3 Pergerakan Pemuda Melayu (PPM)

Rosli Dhobi dan awang Rambli


Dalam tahun 1946, Pergerakan Pemuda Melayu telah ditubuhkan di Sibu, Sarawak. Di antara
puluhan
persatuan
yang
ditubuhkan
khas
bagi
menentang
penyerahan Sarawak kepada Britain, Pergerakan Pemuda Melayu merupakan sebuah badan
yang terpenting dan radikal di luar bandar Kuching. Kalau Malayan Union telah dirancang
oleh kerajaan British untuk Tanah Melayu, selepas Perang Dunia Kedua, maka negeri
Sarawak pula telah disyorkan supaya diserahkan kepada Kerajaan British untuk dijadikan
tanah jajahan. Tindakan Kerajaan British ini telah menyemarakkan nasionalisme bumiputera
negeri Sarawak. Untuk tujuan ini rakyat bumiputera telah bangkit menetang penjajahan
dengan menubuhkan persatuan-persatuan, terutama sekali di sekitar bandar Kuching. Orangorang Melayu di Sibu, bandar yang kedua terbesar, tidak mahu ketinggalan menentang
Penyerahan Sarawak.
Maka pertengahan tahun 1946 Pergerakan Pemuda Melayu telah ditubuhkan.
Mesyuarat penubuhan persatuan ini telah diadakan di Kampung Datu, Nombor 2, Sibu. Dalam
masyarakat tersebut Sirat Hj. Yaman telah dipilih menjadi Presiden, Awang Rambli Deli
menjadi Setiausaha Agung, Mohamad Abet sebagai Bendahari dan Abang Han Ahmad
menjadi Setiausaha Penerangan. Pergerakan Pemuda Melayu telah berkembang di Bahagian
Ketiga dengan pesatnya di bawah pimpinan Awang Rambli Deli. Cawangan-cawangan telah
ditubuhkan di Kanowit, Song, Kapit, Belaga, Binatang, Sareikei, Matu, Igan, Dalat dan
Mukah dengan jumlah ahli sebanyak 30, 000 orang. Disamping itu Awang Rambli secara
senyap-senyap telah membentuk satu kumpulan kecil dalam Pergerakan Pemuda Melayu
dengan nama Rukun Tigabelas.
Ahli Kumpulan Sulit ini terdiri dari Awang Rambli, Bujang Suntong, Abang Han
Ahmad, Che Osman Che Ahmad, Morni Onei, Othman Dollah, Ahmad Hj. Abu Bakar, Awang
Osman Moh, Wan Zain Abdullah dan Rosli Dhobi. Tujuan Rukun Tigabelas ialah untuk
menebus kemerdekaan Sarawak dengan cara kekerasan. Mereka bersumpah untuk membunuh
setiap orang putih dan pemimpin-pemimpin Melayu yang belot. Pada 3 Disember 1949, Rosli
Dhobi telah diarahkan untuk menyerang Gabenor Sir Duncan Stawart yang melakukan
lawatan rasmi di bandar Sibu. Akibat serangan itu Sir Duncan Stewart telah mendapat luka
parah dan akhirnya meninggal dunia. Ekoran daripada itu Pergerakan Pemuda Melayu telah
diharamkan dan ahli-ahli Rukun Tigabelas telah ditangkap. Awang Rambli, Rosli Dhobi dan
Bujang Suntong telah didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati sementara yang
lain dihukum penjara. Pergerakan Pemuda Melayu seterusnya lenyap begitu saja, tetapi
perjuangannya tetap tercatit dalam sejarah nasionalisme bumiputera Sarawak.
3.4 Kaum Ibu (PKMS)
Lily Eberwaine

Tanggal 16hb Mac 1947, Kesatuan Kaum Ibu ditubuhkan dan penubuhannya mendapat
sokongan sepenuhnya daripada ibu-ibu di Sarawak ketika itu dan keahlian mereka yang
seramai 1000 orang di dominasi oleh bekas tenaga pengajar wanita yang telah turut sama
meletakkan jawatan bagi membantah Circular 9/46 yang diusulkan oleh pihak pentadbiran
Kerajaan Kolonial British pada waktu itu. Kebanyakan daripada ahli-ahli Kesatuan Kaum Ibu
ramai dianggotai oleh wanita-wanita daripada Kuching dan Sibu. Pengerusi Kaum Ibu pada
waktu itu adalah Cikgu Lily Eberwein, seorang Guru Besar di Permaisuri Malays School.
Allahyarhamah merupakan seorang wanita berbangsa Eurasian hasil perkahwinan Melayu
Sarawak dan seorang penjawat awam Kerajaan Brooke. Allahyarhamah merupakan bonda
kepada
mantan
menteri
kabinet
Sarawak
iaitu
Datuk
Habsah
Harun.

Wanita besi kedua adalah Setiausaha kepada Kesatuan Kaum Ibu iaitu Datuk Ajibah
Abol. Allahyarhamah Datuk Ajibah Abol merupakan seorang guru dan rakan sekerja kepada
Allahyarhamah Lily Eberwein di Permaisuri Malays School.
Datuk Ajibah Abol merupakan mantan menteri wanita pertama di dalam Kabinet Sarawak
suatu waktu dahulu (1973 1976) Mereka berdualah yang telah menjadi wakil kepada
Kesatuan Kaum Ibu di dalam setiap mesyuarat Anti Cessionist yang dikelolakan oleh Datuk
Patinggi Ali di rumahnya Darul Kurnia. Di setiap mesyuarat inilah mereka bersama-sama
mengatur strategi tindakan dan aksi Gerakan Anti Penyerahan 1946.
Komuniti pengelola Anti Penyerahan Sarawak mengetahui bahawa kejayaan gerakan
anti penyerahan tidak hanya boleh diadakan di kawasan Bandar-bandar sahaja malah ianya
harus disemarakkan di seluruh ceruk rantau bumi Sarawak pada waktu itu. Maka tugas itu
telah dipikul oleh Kesatuan Kaum Ibu yang telah secara relahati memikul tugas berat ini.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di ketika itu hampir majority daripada mereka yang
berada di dalam Gerakan Anti Penyerahan tidak mempunyai sumber pendapatan lagi kerana
mereka telah meletak jawatan kerana membantah circular 9/46. Kerana inginkan gerakan
membantah ini menjadi satu kenyataan, maka tampillah Kesatuan Kaum Ibu yang telah
sanggup mengorbankan segala wang ringgit malah bergolok bergadai dengan barang kemas
mereka bagi menampung perbelanjaan untuk ke kawasan pendalaman di Sarawak.
Episod sesi penerangan dan sokongan terhadap Anti Penyerahan Sarawak 1946 bermula di
rumah-rumah panjang dan kampong-kampung terpencil di seluruh Sarawak. Wanita-wanita
besi ini telah mempertaruhkan nyawa mereka samada dengan berjalan kaki melalui perjalanan
darat dan juga menggunakan perahu untuk kawasan kampong yang terpencil. Lily Eberwaine
telah berusaha mendapatkan cap jari sebagai bukti mereka tidak bersetuju dengan penyerahan
ini. [14]Hasilnya ramai wanita-wanita dari pelbagai lapisan di rumah-rumah panjang dan
kampong-kampung tanpa mengira bangsa dan budaya mahupun agama bersama-sama
menyokong Gerakan Anti Penyerahan 1946. Inilah pengorbanan besar wanita-wanita besi ini
di sebalik Gerakan Anti Penyerahan 1946 suatu waktu dahulu. Kejayaan demonstrasi besarbesaran Anti Penyerahan 1946 yang disertai oleh wanita-wanita bangsa Sarawak dengan
membawa sepanduk serta meletakkan sepanduk serta mengibarkan bendera Negara Sarawak

suatu waktu dahulu adalah hasil kesedaran dan pengorbanan yang dilakukan oleh wanitawanita besi ini.

4.0

KESAN GERAKAN DALAM KONTEKS SEMANGAT KEBANGSAAN


4.1

KEMUNCULAN PERTUBUHAN-PERTUBUHAN BAHARU

Gerakan anti-penyerahan telah memperlihatkan penentangan masyarakat tempatan terhadap


penyerahan Sarawak kepada British. Parti Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) yang
merupakan parti pertama yang bangkit menentang penyerahan telah mendapat cemuhan
British kerana menganggap penentangan itu hanya mewakili jumlah masyarakat yang tidak
ramai iaitu hanya seramai 2000 orang. Namun begitu, setelah pemimpin PKMS, Datu
Patinggi Abang Haji Abdillah meninggal dunia pada tahun 1946, pertubuhan yang membantah
penyerahan semakin bertambah. Pada tahun 1946 sehingga awal 1947, sebanyak 52 buah
pertubuhan anti-penyerahan telah ditubuhkan seperti Barisan Pemuda Sarawak (BPS) dan
Pergerakan Pemuda Melayu, Sibu (PPM).[15]
BPS yang berpusat di Kuching ditubuhkan pada tahun 1947 oleh pemuda Melayu yang
berpelajaran yang tidak suka kepada pimpinan PKMS. Pemimpin pertubuhan ini ialah Suut
Hj, Tahir sebagai Presiden dan Abang Kassim sebagai Setiausaha Agung. Pertubuhan ini
menentang penguasaan golongan aristokrat dalam politik Melayu. [16] Mereka menganggap
PKMS sebagai pertubuhan orang-orang tua yang berfikiran konservatif, pasif dan tidak
mempercayai idea serta pimpinan orang muda.[17] Pertubuhan ini bukan sahaja dianggotai oleh
pemuda Melayu malah turut mencuba mencari sokongan daripada pemuda Dayak.
PPM pula merupakan pertubuhan yang berpusat di Sibu dan ditubuhkan pada tahun 1946.
PPM dipimpin oleh Sirat Hj. Yaman sebagai Presiden, Awang Rambli sebagai Setiausaha
Agung. Ahli-ahli pertubuhan ini terdiri daripada pemuda-pemuda dari Bahagian Ketiga
Sarawak. Di bawah pimpinan Awang Rambli, PPM menjadi pertubuhan anti-penyerahan yang
aktif dan kuat sehingga mendakwa mempunyai 30 000 orang ahli dan mempunyai cawangancawangan di Kanowit, Song, Kapit, Belaga, Binatang, Sarikei, Matu, Daro, Igan, Dalat, Oya
dan Mukah.[18]
Pertubuhan-pertubuhan anti-penyerahan ini bukan sahaja bergerak di Sarawak,
masyarakat Sarawak yang berada di Singapura untuk bekerja juga turut menubuhkan satu
pertubuhan dikenali sebagai United Sarawak National Association (USNA). Pertubuhan ini
dipimpin oleh Sirat Mohamad sebagai Presiden, Awang Kipli sebagai Pengerusi dan Annuar
Ahmad sebagai Setiausaha. USNA berpusat di Geylang dan mempunyai ahli seramai 300
orang menggabungkan orang Melayu, Iban dan sebilangan orang Cina.[19] USNA tidak seperti
pertubuhan lain di Sarawak kerana USNA mempunyai strategi yang tersendiri dan tidak
berhubungan secara langsung dengan pertubuhan yang berada di Sarawak. USNA hanya

memberikan tumpuan kepada edaran publisiti kepada gerakan-gerakan di Sarawak. Mereka


mencetak pamplet-pamplet supaya menyokong anti-penyerahan di Singapura dan diedarkan di
Sarawak. Pertubuhan ini mempunyai hubungan yang baik dengan ahli politik Tanah Melayu
dan Indonesia khususnya golongan sayap kiri.[20]
Gerakan anti-penyerahan ini juga telah membawa kepada kemunculan pertubuhanpertubuhan baharu yang lain termasuklah Angkatan Semangat Anak Sarawak (ASAS),
Persatuan Bumiputera Sarawak (PBS), PKMS Kaum Ibu, Persatuan Melayu Miri, Persatuan
Melayu Limbang, Perhimpunan Kebajikan Awam, Kesetiaan Kaum Muda Matu, Kesetiaan
Melayu Simanggang, Kesetiaan Club Dalat, Sulam Mas Seria, Kaum Ibu PPM dan Angkatan
Bintawa-Astana Sarawak (ABAS).[21]
Kemunculan pertubuhan-pertubuhan baharu ini dalam jangka masa setahun yang
dianggarkan sebanyak 52 buah persatuan memperlihatkan bahawa masyarakat Sarawak telah
mempunyai semangat nasionalisme yang tinggi untuk mempertahankan tanah air daripada
dijajah oleh British. Dengan adanya pertubuhan-pertubuhan ini, masyarakat lebih mudah
berbincang, menyalurkan idea dan menyemai semanagat kebangsaan. Walaupun tidak berjaya,
pertubuhan golongan muda bersifat radikal ini telah memberi nafas baru kepada masyarakat
Sarawak agar mempertahankan tanah air dengan jiwa dan raga. Kesanggupan anak-anak
muda terutamanya Rukun 13 yang muncul daripada PPM mengambil risiko bertindak agresif
memperlihatkan keperkasaan jiwa mereka. Kemunculan pertubuhan-pertubuhan baharu ini
telah menggalakkan semangat kebangsaan untuk terus bercambah.
4.2

MENINGKATKAN SEMANGAT UNTUK BERKERAJAAN SENDIRI

Dengan adanya semangat kebangsaan yang tinggi, sudah semestinya mereka mahukan satu
pemerintahan yang dipimpin oleh rakyat tempatan sendiri. Gerakan anti-penyerahan telah
membawa kesedaran dan semangat kepada masyarakat Sarawak untuk berkerajaan sendiri.
Semangat itu bukan sahaja tumbuh dalam kalangan lelaki tetapi kaum wanita juga mahukan
kerajaan sendiri sehingga tidak gentar untuk mempunyai gerakan sendiri.[22] Lily Ebrawine
ada menyatakan,
Kami kaum ibu Sarawak sama berjuang dengan kaum bapa dan tidak berhenti menuntut
kemerdekaan tanah air kami supaya kembali seperti dulu.[23]
Semangat ini telah menuntut masyarakat Sarawak untuk menubuhkan pertubuhanpertubuhan bagi menentang penyerahan dan menuntut pengekalan kemerdekaan. Mereka
mahu Sarawak dikembalikan kepada keluarga Brooke kerana mereka menganggap Brooke
tidak menjajah malah Brooke yang telah memerdekakan Sarawak. Hal ini disebabkan oleh
hubungan rapat Brooke dengan masyarakat tempatan dan adanya keistimewaan yang
diberikan kepada masyarakat tempatan terutamanya orang Melayu.[24] Orang Melayu percaya

bahawa mereka akan dapat memerintah sendiri dan mempunyai kerajaan sendiri selepas itu
jika keluarga Brooke memerintah kerana mereka boleh mendapat bimbingan daripada Brooke.
Tambahan pula, semasa Sarawak di bawah pemerintahan Charles Vyner Brooke ciri-ciri
untuk pemerintahan diserahkan kepada masyarakat tempatan itu sudah ada. Hal ini dibuktikan
dengan pembentukan perlembagaan pertama Sarawak pada tahun 1941. Satu badan yang
dinamakan Majlis Tertinggi dibentuk sebagai badan rujukan tertinggi. Selepas itu, Brooke
membentuk Majlis Negeri dengan 25 ahli dan memberi peluang kepada masyarakat tempatan
melahirkan keinginan, cadangan dan menyuarakan ketidakpuasan.[25]Pemerintahan berasaskan
perlembagaan ini memberi harapan kepada masyarakat untuk berkerajaan sendiri kerana
pemerintahan bercorak ini mengizinkan penglibatan rakyat dalam pemerintahan.[26] Oleh
kerana itu, masyarakat amat berharap pemerintahan kembali kepada keluarga Brooke agar
proses untuk berkerajaan sendiri itu dapat diteruskan.
Gerakan-gerakan anti-penyerahan ini telah memberikan impak yang besar dalam diri
masyarakat untuk berkerajaan sendiri memandangkan telah bangkitnya semangat
nasionalisme dalam diri mereka. Sesebuah masyarakat yang telah dipimpin oleh bangsa lain
dalam tempoh yang lama semestinya mempunyai kesukaran untuk membina kembali kerajaan
baru. Pertubuhan-pertubuhan yang muncul telah membangkitkan kembali semangat
perpaduan dan cintakan tanah air seterusnya menanamkan keinginan untuk berkerajaan
sendiri dengan bimbingan pemerintah yang dipercayai.
4.3

PERTUMBUHAN PESAT PARTI POLITIK

Oleh kerana gerakan anti-penyerahan gagal menghalang penyerahan Sarawak kepada British,
British telah menguasai Sarawak atas kepentingan ekonomi. Namun begitu, desakan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menghentikan penjajahan menyebabkan
British bersikap lebih terbuka. Dasar liberalisasi seolah-olah diamalkan dan pemimpin politik
dibenarkan untuk membentuk pertubuhan, berucap dan berkempen.[27] Lantaran daripada
wujudnya gerakan anti-penyerahan, banyak pertubuhan telah diasaskan. Gerakan membawa
kepada pengalaman yang banyak kepada masyarakat Sarawak untuk berpolitik dan
berpertubuhan.[28] Hal ini telah memudahkan masyarakat Sarawak untuk menubuhkan parti
politik.
Sarawak United Peoples Party (SUPP) merupakan perintis dalam arena politik Sarawak.
SUPP yang ditubuhkan pada 12 Jun 1959 telah menjadi ilham kepada orang Melayu dan
Dayak untuk menubuhkan parti politik sendiri. Parti ini ditubuhkan oleh segolongan orang
Cina yang berpendidikan, kebanyakannya daripada suku Hakka dan Hokkien. [29] SUPP
dipimpin oleh Ong Kee Hui dan Stephen Yong Kuet Sze sebagai Setiausaha Agung. Parti ini
pada awalnya merupakan parti bersifat majmuk, keahliannya tidak menampakkan monopoli
satu kaum. Selain orang Cina, orang Iban, Dayak dan Bidayuh juga menganggotai parti ini
sebagai ahli biasa.

Kemunculan SUPP dan sokongan orang ramai terhadap pertubuhan itu telah
menyemarakkan lagi rasa kesedaran politik dalam kalangan golongan atasan Melayu tentang
pentingnya penubuhan parti politik untuk menjaga kepentingan mereka. Tambahan pula,
Anthony Brooke telah mendorong PKMS menubuhkan parti politik untuk memelihara
kepentingan orang Melayu.[30]Rentetan itu, orang Melayu mula menubuhkan Parti Negara
Sarawak (Panas) dan Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa) manakala orang Dayak pula
menubuhkan Sarawak National Party (SNAP) dan Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka).[31]
Memandangkan masyarakat Sarawak terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, parti
politik yang terasas juga terpengaruh dengan struktur perkauman tersebut. Parti politik yang
bersifat perkauman tumbuh pesat demi memenuhi aspirasi kaum dan pemimpin politik dengan
mudah mendapat sokongan dengan menggunakan dan memanipulasi isu primordial
(perkauman).[32] Penubuhan parti-parti politik ini telah membawa masyarakat Sarawak
khususnya golongan yang terlibat dalam politik untuk memikirkan masalah masyarakat
terutamanya masalah ekonomi. Parti-parti politik ini yang akhirnya menyertai pilihan raya
dalam membentuk Sarawak yang berkerajaan sendiri.
5.0 KESIMPULAN

Gerakan anti-penyerahan telah meninggalkan kesan yang penting dalam perkembangan


sejarah walaupun gerakan tersebut telah gagal mencapai tujuannya dalam mengembalikan
pemerintahan Brooke di Sarawak. Pergerakan anti-penyerahan telah memainkan peranan yang
penting dalam membawa Sarawak ke arah pembentukan Malaysia. Hal ini demikian kerana,
salah satu sebab yang mendorong pihak British menyokong penuh pembentukan Malaysia
ialah mereka sedar bahawa mereka tidak disukai oleh golongan anti-penyerahan di Sarawak.
Secara keseluruhannya, penglibatan penduduk Sarawak dalam pergerakan politik tempatan
telah memperlihatkan bahawa mereka sedar dan giat dalam lapangan politik di Sarawak sejak
tahun 1940-an, tetapi kegiatan politik yang wujud pada ketika itu adalah yang bukan parti
politik. Ia boleh dikategorikan sebagai kegiatan politik pada peringkat pertama, iaitu tahap
yang belum lagi melibatkan penubuhan parti politik di Sarawak.
Jika dilihat dari sudut positif, pengambilan Sarawak sebagai tanah jajahan mahkota
British telah memberi kebaikan kepada semua kaum di Sarawak termasuklah orang Cina.
Kebudayaan, cara hidup yang bermanfaat dipelihara dan kedudukan istimewa kaum
Bumiputera ke atas hak-hak tanah telah dikekalkan. Tanah jajahan telah berkembang dengan
stabil menuju ke arah pemulihan daripada kesan perang dan penaklukan Jepun. Pentadbiran
kolonial juga telah menambahkan kadar kemajuan dalam ekonomi, sosial dan meningkatkan
taraf hidup penduduk Sarawak. Langkah pertama yang dilakukan oleh pihak berkuasa idalah
dengan memimpin negeri Sarawak ke arah berkerajaan sendiri. Pendek kata, pentadbiran
British telah mempercepatkan negeri Sarawak ke arah berkerajaan sendiri dan kemudian
kemerdekaan yang diharap-harapkan oleh semua penduduk Sarawak. Penglibatan kerajaan

British telah membawa politik Sarawak ke arah yang lebih matang dan berkembang dengan
lebih rancak.

6.0

RUJUKAN

Ahmad Nidzammuddin Sulaiman. 1994. Politik Sarawak. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka,
Hashim Fauzy Yaacob. 2013Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah Penjajahan
British 1946-1963. Selangor: Utusan Printcorp Sdn. Bhd.
Ho Hui Ling. 2001. Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951.Persatuan
Sejarah Malaysia.
Leigh M. 1988. The Rising Moon : The Political Change in Sarawak. Kuala Lumpur
Nidzam Sulaiman. 2006. Pakatan dalam Politik Sarawak. Bangi : Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Sabihah Osman, The Malay-Muslim Response To Cession of Sarawak To The British Crown
1946-1951, JEBAT Vol. 13, Bangi : Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia.
Sanib Said. 2010 Malay Politics In Sarawak 1946-1966: The Search For Unity And Political
Ascendancy. University Malaysia Sarawak.

[1] Dalam konteks ini, penduduk Sarawak semasa di bawah pemerintahan Brooke mengakui

bahawa raja Brooke telah member kemerdekaan kepada Sarawak daripada jajahan Brunei.
[2] Ho Hui Ling, Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951, 2001,
Persatuan Sejarah Malaysia, hlm. 43.
[3] Ibid., hlm 45.
[4] Hashim Fauzy Yaacob, Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah Penjajahan
British 1946-1963, 2013, Selangor: Utusan Printcorp Sdn. Bhd., hlm. 154.
[5] Ibid.,hlm. 155.
[6] Ibid.,hlm. 156.
[7] Ibid.
[8] Ibid.
[9] Ibid., hlm. 157.
[10] Ibid.,hlm. 158.
[11] Ho Hui Ling, Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951, 2001,
Persatuan Sejarah Malaysia, hlm 50.
[12] Hashim Fauzy Yaacob, Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah Penjajahan
British 1946-1963, 2013, Selangor: Utusan Printcorp Sdn. Bhd., hlm 137.
[13] Ho Hui Ling, Penyerahan Sarawak Kepada Kerajaan British, 1946-L951, 2001,
Persatuan Sejarah Malaysia, hlm 61.
[14] Sanib Said, Malay Politics In Sarawak 1946-1966: The Search For Unity And Political
Ascendancy, University Malaysia Sarawak, 2010, Hlmn 65
[15] Sanib Said, Malay Politics in Sarawak 1946-1966 : The Search for Unity and Political
Ascendancy, 1985, Singapore : Oxford University Press, hlm. 48.
BPS dan PPM ialah pertubuhan yang dilahirkan apabila berlakunya perpecahan di dalam PKMS.

[16] Nidzam Sulaiman, Pakatan dalam Politik Sarawak, 2006, Bangi : Penerbit Universiti

Kebangsaan Malaysia, hlm. 181.


[17] Sanib Said, 1985, hlm. 48.
[18] Ibid. Hlm. 49.
[19] Ibid.
[20] Ibid.
[21] Ibid.
[22] Hashim Fauzy Yaacob, Kedudukan Orang Melayu Sarawak di Bawah Penjajahan
British 1946-1963, 2013, Bangi : Utusan Printcorp, Hlm. 153.
[23] Ibid. Hlm 153-154.
[24] Ibid. Hlm. 156.
[25] Nidzam Sulaiman, 2006, hlm. 170.
[26] Ibid.
[27] Nidzam Sulaiman, 2006, hlm. 182.
[28] Sabihah Osman, The Malay-Muslim Response To Cession of Sarawak To The British
Crown 1946-1951, JEBAT Vol. 13, Bangi : Jabatan Sejarah Universiti Kebangsaan Malaysia,
hlm. 169.
[29] Leigh, M. The Rising Moon : The Political Change in Sarawak, 1988, Kuala Lumpur :
Antara, hlm. 19.
[30] Ibid. Hlm. 183.
[31] Ahmad Nidzammuddin Sulaiman & et.al, Politik Sarawak, 1994, Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka, hlm. 23.
[32] Nidzam Sulaiman, 2006, hlm. 188.
DISEDIAKAN OLEH:
NUR SARAHAH MOHD SUPIAN
SITI NURQALILA OMAR
NUR SYAHIRAH KHIR

You might also like