You are on page 1of 12

Pengenalan PPSMI

Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
diwujudkan pada sesi persekolahan 2003 di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketika itu
iaitu Tun Dr Mahathir bin Mohamad. Perintis kepada dasar PPSMI ialah murid Tahun Satu di
sekolah rendah serta murid Tingkatan Satu dan Tingkatan Enam Rendah di Sekolah
Menengah. Pelaksanaan penuh bermula pada tahun 2008 bagi sekolah rendah dan 2007 bagi
sekolah menengah. Kementerian Pelajaran Malaysia telah mengambil langkah untuk
melaksanakan PPSMI dengan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),
Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi
Pelajaran Malaysia (STPM) dalam dwibahasa bermula daripada tahun 2003 hingga 2007.
Apabila keputusan dasar kerajaan ini diumumkan, terdapat pelbagai reaksi termasuk
daripada pemimpin masyarakat, guru dan ibu bapa. Terdapat golongan yang menyokong dan
ada juga yang tidak menyokong akan dasar ini. Salah faham timbul tentang apakah matlamat
dasar ini dibuat serta rasional kerajaan memilih mata pelajaran Sains dan Matematik yang
lebih mudah difahami jika diajar dalam bahasa ibunda. PPSMI seterusnya dimansuhkan
mulai tahun 2012 di sekolah rendah dan sekolah menengah. Walau bagaimanapun, bahasa
Inggeris tetap menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti, matrikulasi dan tingkatan
enam. Pemansuhan itu diumumkan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada 8 Julai 2009.
Pelaksanaan PPSMI
Terdapat beberapa objektif pelaksanaan dasar PPSMI. Antaranya ialah memudahkan murid
untuk memahami bahan rujukan dan maklumat mengenai perkembangan sains dan matematik
yang rata-ratanya banyak terdapat dalam Bahasa Inggeris. Apabila mereka mempelajari Sains
dan Matematik dalam Bahasa Inggeris, ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka
mengakses sumber pembelajaran dalam Bahasa Inggeris dengan baik. Jika kita lihat, bukubuku rujukan, jurnal dan artikel-artikel berkaitan subjek Sains dan Matematik lebih mudah
didapati dalam Bahasa Inggeris. Sumber yang datang daripada Bahasa Melayu adalah terhad.
Pelbagai inovasi dan penemuan baru berlaku dengan pantas dan kebanyakan sumbernya
adalah dalam Bahasa Inggeris. Apabila mereka dapat mengakses segala maklumat tanpa
sebarang masalah, ilmu pengetahuan yang mereka perolehi adalah meluas.
Objektif yang kedua ialah memudahkan perolehan ilmu dalam Sains dan Matematik.
Peluang pendidikan Sains dan Matematik amat meluas di peringkat global. Sekiranya murid
mempunyai asas Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris maka mereka tidak mengalami
masalah yang besar sekiranya ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih di
universiti-universiti dalam mahupun luar negara. Mereka telah menyesuaikan diri dengan
Bahasa Inggeris sebagai medium mencari ilmu Sains dan Matematik sejak dari bangku
sekolah rendah lagi. Ini tidak memberikan satu kejutan yang besar sekiranya mereka belajar
di peringkat yang lebih tinggi kelak. Dengan terlaksananya dasar ini akan menyebabkan
mereka lebih bersedia dari segi ilmu pengetahuan Sains dan Matematik untuk bersaing
dengan pelajar-pelajar luar. Jika kita lihat dengan lebih mendalam, kebanyakan bidang
pengajian seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain memerlukan mereka untuk

fasih dan memahami Bahasa Inggeris dengan baik. Rata-rata negara menggunakan Bahasa
Inggeris sebagai medium penyampaian ilmu.
Untuk negara mencapai taraf negara maju selaras dengan Wawasan 2020 juga
memerlukan warganegara yang celik dan fasih berbahasa Inggeris. Ini bukan bermaksud
negara mengabaikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda dan bahasa rasmi negara. Kita
harus melihat konteks mendalami atau menekankan Bahasa Inggeris ini dalam konteks yang
positif. Kerajaan mengambil langkah atau inisiatif ini adalah untuk kesan jangka panjang.
Dengan penggunaan Bahasa Inggeris dalam Pendidikan Sains dan Matematik, akan
menyediakan pelajar yang mampu bersaing di peringkat global standing dengan pelajarpelajar hebat dari negara luar. Kita sendiri sedia maklum bahawa Bahasa Inggeris merupakan
bahasa pengantar antarabangsa. Untuk meneroka dunia luar memerlukan kita faham dan
boleh menggunakan Bahasa Inggeris dengan baik. Pemilihan pengambilan pekerja juga lebih
menekankan mereka yang mahir berbahasa Inggeris. Ketika mencadangkan dasar ini, Tun Dr
Mahathir bin Mohamad berpendapat bahawa Malaysia adalah makin ketinggalan dalam arus
globalisasi, dan mengharapkan dasar ini lebih membawa kebaikan kepada negara dengan
mencontohi Singapura dan India yang semakin kehadapan kerana kebiasaan dengan Bahasa
Inggeris.

Implikasi PPSMI
Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI) pada tahun 2003 mendapat banyak jenis reaksi dari pelbagai pihak sama ada dari
segi penerimaan mahupun penentangan kepada dasar tersebut sehinggalah ianya
dimansuhkan pada Julai 2009. Sepanjang tempoh pelaksanaan dasar PPSMI tersebut pelbagai
pihak terutamanya pihak pendidik dapat melihat keburukan atau kelemahan-kelemahan yang
telah membawa kepada pemansuhan PPSMI. Walau bagaimanapun terdapat juga kesan
positif yang dapat dilihat melalui penerapan atau pelaksanaan PPSMI ini di seluruh sekolah
di Malaysia.
Antara implikasi positif bagi pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik
dalam Bahasa Inggeris adalah ianya boleh memudahkan perolehan ilmu oleh pelajar
terutamanya dari segi istilah-istilah yang terdapat dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.
Hal ini kerana terdapat banyak istilah Bahasa Inggeris yang telah diterjemahkan kepada
Bahasa Melayu dan kadangkala menyebabkan murid salah faham atau kurang faham dengan
istilah tersebut. Tambahan pula kebanyakkan bahan rujukan bagi Sains dan Matematik adalah
dalam Bahasa Inggeris dan dengan melaksanakan PPSMI murid akan dapat memahami bahan
rujukan tersebut dengan mudah.
Selain itu melalui PPSMI ini juga negara telah dapat membangunkan generasi pelajar
yang mampu menguasai bidang Sains dan Matematik di tahap yang tinggi. Ini kerana melalui
pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris, negara Malaysia
dapat melahirkan pelajar yang mahir dan cerdik pandai bagi ketiga-tiga mata pelajaran iaitu
sains, matematik dan juga Bahasa Inggeris. Perkara ini juga membolehkan murid menjana

ilmu dan teknologi baru dalam bidang-bidang tersebut pada masa akan datang sebagai satu
sumbangan kepada masyarakat dan negara. Selain dapat menyumbang kepada masyarakat,
pendedahan kepada sains dan matematik dalam PPSMI juga dapat membantu murid
mengakses dan menerokai maklumat dengan mudah. Perkara ini sekaligus memberi
kesedaran kepada semua rakyat Malaysia tentang pentingnya menguasai Bahasa Inggeris agar
negara kita mampu bersaing dengan negara maju yang lain .

Selain memberi manfaat kepada murid dalam mengakses maklumat, PPSMI juga
mampu melahirkan pekerja yang berwibawa dan berkualiti standing dengan kualiti pekerja
yang dimiliki oleh negara maju yang lain yang menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa
perantaraan. Ini kerana para pekerja yang berpengalaman melalui dasar PPSMI sewaktu di
zaman persekolahan berpeluang meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris terutamanya
dalam sains dan matematik dan menyebabkan mereka lebih berkeyakinan dalam
menggunakan dan bertutur dalam Bahasa Inggeris dalam bidang pekerjaan yang mereka
ceburi.
Walaupun dasar pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam Bahasa
Inggeris ini mempunyai kebaikan yang tersendiri namun wujud juga kritikan negatif yang
mengatakan dasar ini tidak wajar diteruskan dan akhirnya membawa kepada pemansuhan
dasar ini pada tahun 2009. Antara keburukan atau kesan negatif bagi PPSMI yang dapat
dilihat sepanjang ianya dilaksanakan selama lebih kurang 7 tahun ini adalah pertama dari segi
kesan negatif terhadap nasionalisme. Nasionalisme adalah satu semangat yang merujuk
kepada perasaan cinta akan negara. Terdapat pihak yang menganggap bahawa pelaksanaan
PPSMI ini boleh menyebabkan bahasa ibunda iaitu Bahasa Melayu akan ketinggalan dan
dilupakan. Mereka juga beranggapan bahawa PPSMI ini boleh menyebabkan masyarakat
terutamanya murid yang menjalani dasar ini kurang mempunyai semangat nasionalisme
untuk memartabatkan bahasa ibunda negara agar standing dengan negara lain.
Bagi pihak yang mungkin lebih fasih bertutur dalam bahasa Inggeris mereka mungkin
beranggapan bahawa PPSMI ini banyak memberi manfaat dan wajar diteruskan namun
terdapat pihak lain yang berpendapat pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik
dalam bahasa Melayu adalah lebih mudah difahami kerana ianya merupakan bahasa yang
digunakan dalam kehidupan seharian. Terdapat juga pandangan yang menyatakan bahawa
pelaksanaan PPSMI tidak akan menyelesaikan masalah penguasaan bahasa Inggeris dalam
kalangan murid kerana masalah tersebut berpunca pada mata pelajaran bahasa Inggeris itu
sendiri dan bukannya dengan menukar pengajaran sains dan matematik kepada bahasa
Inggeris. Masalah penguasaan murid dalam bahasa Inggeris tersebut berpunca daripada
kaedah pengajaran dalam mata pelajaran itu sendiri dan dapat diselesaikan dalam pengajaran
mata pelajaran itu sendiri tanpa melibatkan mata pelajaran lain seperti sains dan matematik.
Selain itu perbezaan ketara dapat dilihat melalui pencapaian murid di sekolah bandar
dan luar Bandar dalam sains dan matematik apabila dasar ini dilaksanakan. Perkara ini dapat

disimpulkan bahawa dasar ini jelas kelihatan lebih memihak kepada murid di sekolah Bandar
yang mempunyai lebih banyak kemudahan untuk belajar. Hal ini juga kemungkinan
disebabkan oleh perbezaan pendedahan kepada murid di sekolah Bandar dan luar Bandar.
Kebanyakkan murid yang berada di sekolah Bandar lebih terdedah kepada kemudahan
teknologi daripada murid sekolah luar Bandar yang kekurangan kemudahan teknologi.
Kebanyakan ibubapa bagi murid sekolah Bandar juga mempunyai pekerjaan dan tahap
pendidikan yang lebih baik daripada ibubapa bagi murid yang berada di sekolah luar Bandar.
PPSMI ini juga mewujudkan perbezaan prestasi antara murid yang mempunyai ibu
bapa berpendapatan rendah sama ada di luar Bandar dan di Bandar. Perkara ini kerana ibu
bapa yang berpendapatan rendah kurang mampu untuk menghantar anak mereka ke kelas
tambahan untuk membantu anak mereka mendapat pengetahuan tambahan selain daripada
pengetahuan yang diperolehi daripada kelas biasa di sekolah. Ini menyebabkan murid
tersebut tidak mempunyai peluang yang sama dengan murid yang mempunyai ibu bapa
berpendapatan lebih tinggi atau sosioekonomi yang lebih baik. Walaupun terdapat pihak yang
berpendapat bahawa taraf hidup tidak mempengaruhi pencapaian murid dan hanya usaha
yang membezakan pencapaian tersebut namun tidak dapat dinafikan bahawa perbezaan
peluang tersebut dapat dilihat dengan jelas dalam kalangan murid.
Keburukan atau kesan negatif yang terakhir yang akan dibincangkan adalah mengenai
risiko pelaksanaan dasar PPSMI itu sendiri. Keputusan kerajaan untuk melaksanakan dasar
itu sendiri pada tahun 2003 merupakan satu risiko yang sangat besar. Risiko tersebut wujud
dari segi kemampuan guru itu sendiri dalam melaksanakan dasar tersebut atau melaksanakan
pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris. Ini kerana guru sains dan maatematik
tidak semestinya guru yang fasih dan mahir berbahasa Inggeris. Perkara ini dikhuatiri akan
menjadi halangan yang paling besar dalam menyampaikan isi pengajaran dalam sains dan
matematik serta mempengaruhi objektif pembelajaran yang ditetapkan bagi sesuatu
pengajaran tersebut. Dalam perkara ini, risiko terbesar yang perlu ditanggung oleh pelbagai
pihak adalah wujud kemungkinan tiada peningkatan penguasaan bahasa Inggeris dalam
kalangan murid dan pada masa yang sama penguasaan ilmu sains dan matematik terjejas
disebabkan masalah bahasa.

Konflik dalam PPSMI


Terdapat beberapa konflik yang timbul semasa pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran
Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Antara konflik tersebut adalah reaksi dari
pelbagai pihak yang menyatakan bahawa PPSMI mewujudkan jurang perbezaan dua
kumpulan. Kewujudan PPSMI juga telah mewujudkan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) serta
konflik mengenai guru tidak terlatih mengajar dalam Bahasa Inggeris serta perbezaan
pencapaian antara murid di sekolah Bandar dan luar Bandar. Empat konflik yang dinyatakan
ini merupakan yang utama walaupun masih terdapat konflik lain yang timbul dan mungkin
diperkatakan ketika PPSMI ini dilaksanakan.
Konflik pertama yang akan dihuraikan adalah berkaitan dengan wujudnya jurang
perbezaan antara dua kumpulan. Dua kumpulan tersebut adalah golongan murid mahupun

guru yang mampu belajar dan mengajar dalam bahasa Inggeris dan juga golongan murid atau
guru yang kurang mahir dalam bahasa Inggeris. Murid yang mahir dan boleh menerima
bahan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris akan mempunyai anggapan
positif terhadap dasar PPSMI malah dapat memanfaatkan peluang tersebut untuk
meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris mereka. Mereka juga dapat memikirkan rasional
pelaksanaan dasar PPSMI ini dan mengangggap diri mereka bertuah kerana berpeluang
memahirkan diri secara tidak langsung dalam menggunakan bahasa pengantara kebangsaan
iaitu bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun bagi murid yang kurang mahir dan tidak dapat
menerima bahan pengajaran dalam bahasa Inggeris akan cenderung hilang minat terhadap
mata pelajaran tersebut disebabkan tidak faham akan isi pengajaran yang disampaikan.
Hal yang sama juga terjadi kepada para guru yang kurang mahir dalam menggunakan
bahasa Inggeris dalam pengajaran mereka. Jurang ini dapat dilihat melalui pencapaian murid
yang diajar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik. Guru yang mahir dan berkebolehan
mengajar dalam bahasa Inggeris dapat menyampaikan isi pengajaran dengan berkesan dan
sekaligus dapat meningkatkan pencapaian murid manakala guru yang kurang mahir mengajar
dalam bahasa Inggeris berkemungkinan akan terus mengajar dalam bahasa Melayu dan
menyebabkan murid tidak dapat menjawab soalan peperiksaan yang diberikan kerana ianya
dalam bahasa Inggeris.
Konflik seterusnya adalah mengenai kewujudan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).
Gerakan ini telah diwujudkan dengan tujuan untuk membantah pelaksanaan PPSMI dan
mencadangkan pemansuhan PPSMI atas sebab-sebab tertentu. Antara sebab GMP
membantah PPSMI adalah kerana ianya dinyatakan tidak sah di sisi undang-undang serta
bertentangan dengan beberapa Akta Pendidikan seperti Seksyen 2 yang mentafsirkan bahawa
Sekolah Kebangsaan mahupun Sekolah Menengah sebagai sekolah kerajaan atau sekolah
bantuan kerajaan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.
Seksyen 17(1) Akta Pendidikan pula memperuntukkan bahawa Bahasa Kebangsaan
hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem
Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah
Seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan daripada sub seksyen
ini.
Antara lain objektif GMP adalah kerana PPSMI ini dianggap membunuh Bahasa
Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu dalam jangka masa yang panjang. Selain
itu, dasar ini juga dinyatakan telah menggelapkan masa depan pelajar sekolah luar Bandar
dalam bidang Sains dan Matematik. Ahli Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) juga
menyatakan bahawa mereka menyokong sekuatnya pengajaran bahasa Inggeris sebagai suatu
bahasa tetapi tidak melalui mata pelajaran Sains dan Matematik. Secara ringkasnya, motif
bagi penubuhan GMP ini adalah berhubung kait dengan nasionalisme, identiti bangsa serta
semangat patriotisme.
Selain konflik penubuhan GMP, konflik lain yang wujud disebabkan PPSMI ini
adalah dari segi pencapaian murid terutamanya murid di sekolah luar Bandar yang kurang
terdedah kepada penggunaan teknologi dan kemudahan dalam pembelajaran. Jurang

pencapaian ini mungkin tidak begitu jelas dan ketara di kawasan Bandar kerana murid yang
berada di Bandar lebih terdedah kepada kemudahan teknologi dan kurang mengalami kejutan
budaya pelaksanaan dasar PPSMI tersebut. Walau bagaimanapun bagi murid yang berada di
sekolah luar Bandar yang mempunyai pencapaian sederhana dalam Sains dan Matematik
walaupun diajar dalam bahasa kebangsaan apatah lagi apabila ianya diajar dalam Bahasa
Inggeris menghadapi masalah dalam memahami bahan pengajaran bagi mata pelajaran
tersebut. Oleh yang demikian perkara ini dapat disimpulkan bahawa walaupun terdapat
kebaikan yang boleh dilihat dan dirasai dalam pelaksanaan dasar PPSMI namun ianya
akhirnya tidak menampakkan dan memberikan hasil yang membolehkannya dikekalkan
dalam sistem pendidikan negara.

Pengenalan MBMMBI
MBMBMBI ialah singkatan bagi Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa
Inggeris. Ia sebenarnya mula diperkenalkan setelah terdapat pelabagai polemik dan
ketegangan dalam masyarakat sejak PPSMI yang mula dilaksanakan pada tahun 2003. Pada 8
Julai 2009, Kabinet memutuskan untuk melaksanakan MBMMBI ini setelah terdapat kajian
dan pemantauan Pelaksanaan PPSMI serta Meja Bulat PPSMI.
Definisi Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris
(MBMMBI)
Memartabatkan Bahasa Melayu bermaksud meletakkn Bahasa Melayu pada tempat yang
sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub
dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Melayu juga merupakan bahasa
pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Memperkukuh Bahasa
Inggeris pula membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa
yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan
antarabangsa.
Tujuan MBMMBI
Tujuan utama untuk memartabatkan Bahasa Melayu adalah kerana Bahasa Melayu
merupakan bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan
bahasa ilmu kea rah membina Negara bangsa untuk mencapai hasrat 1 Malaysia. Tujuan
utama memperkukuh Bahaa Inggeris pula adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa
komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan
penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.
Rasional MBMMBI
Rasionalnya pelaksanaan MBMMBI menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan
Matematik dalam Bahasa Inggeri (PPSMI) adalah rentetan daripada status pelaksanaan
PPSMI itu sendiri. Didapati bahawa keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR),

Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran MAlaysiai (SPM) memperlihatkan
pencapaia murid dalam Bahasa Melayu adalah jauh lebih tinggi daripada Bahasa Inggeris
sama ada bagi murid-murid di kawasan Bandar dan luar Bandar. Keputusan menunjukkan
murid akan lebih mudah mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu
berbanding Bahasa Inggeris.
Selain itu, keputusan peperikaan Sains dan Matematik UPSR di Sekolah Kebangsaan
(SK) menunjukkan penurunan pencapaian gred ABC bagi kohort pertama yang melalui
PPSMI sepenuhnya di sekolah rendah. Jurang pencapaian antara sekolah Bandar dan luar
Bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik juga semakin melebar semasa PPSMI
dilaksanakan. Dapatan United Nations Educational, Scientific and Cultural
Organization (UNESCO) menunjukkan pelajar lebih mudah mempelajari pelajaran dalam
bahasa ibunda pada peingkat awal persekolahan. Profisiensi Bahasa Inggeris guru pada tahap
cemerlang dan baik adalah sekitar 25%. Hanya sebahagian kecil guru menggunakan Bahasa
Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik. Ini
menyukarkan proes pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Secara purata peratusan penggunaan Bahasa Inggerisa adalah antara 53-58 peratus
daripada keseluruhan masa yang digunakan bagi matapelajaran Sains dan Matematik.
Penggunaan Bahasa Inggeris oleh guru dalam bilik darjah adalah sekitar 55%. Laporan
Trends in Mathematics Science Study (TIMSS) 2007 menunjukkan pencapaian murid
Malysia merosot dari tempat ke 10 pada tahun 2003 ke 20 bagi Matematik dan bagi mata
pelajaran Sains dari tempat ke 20 pada 2003 ke 21 pada tahun 2007.
Kajian pelbagai pihak menunjukkan kebanyakan murid khususnya daripada luar
bandar sukar memahami pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa
Inggeris. Kajian universiti-universiti tempatan pula mendapai tahap peningkatan penguasaan
Bahasa Inggeri murid adalah normal, iaitu tidak lebih 3 peratus sepanjang pelaksanaan
PPSMI. Tahap penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid terutamanya di luar bandar
masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains
dalam Bahasa Inggeris. Selain itu, penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar
telah mantap bagi semua mata pelajaran yang dimulakan sejak tahun 1970an dan kebanyakan
negara di dunia berusaha keras untuk memartabatkan bahasa kebangsaan mereka masingmasing sebagai bahasa ilmu.
Pelaksanaan MBMMBI
Antara strategi pelaksanaan MBMMBI dalam memartabatkan Bahasa Melayu ialah
pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia di Tingkatan Satu
hingga Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK)
manakala Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Bahasa Tamil di
Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), menambah waktu pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Malaysia di SJKC dan SJKT, menggunakan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Malaysia, menyediakan bahan bacaan Bahasa Malaysia dan memperkenalkan seni
bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.

Manakala strategi bagi memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris pula ialah melalui
penyediaan guru Bahasa Inggeris yang mencukupi menerusi pengambilan guru bersara, guru
dari luar negara dan IPTS selain pengambilan melalui Institut Pendidikan Guru Malaysia
(IPGM) dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA), menyediakan guru Bahasa Inggeris di
luar norma iaitu dua orang guru bagi setiap kelas berenrolmen tinggi contoh : melebihi 35
orang pelajar), menyediakan bahan bacaan Bahasa Inggeris dan memperkenalkan seni bahasa
dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris.
Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI)
Bil. 12/2011 Pelaksanaan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuhkan Bahasa
Inggeris (MBMMBI) bertarikh 4 November 2011 yang menjelaskan pelaksanaan dasar
MBMMBI. Di bawah dasar MBMMBI, pengajaran Sains dan Matematik dilaksanakan dalam
Bahasa Malaysia di Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK),
Bahasa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan bahasa Tamil di Sekolah Jenis
Kebangsaan Tamil (SJKT). Bagi melicinkan pelaksanaan dasar tersebut dala tempoh
peralihan ini, garis panduan berikut disediakan bagi membantu pihak sekolah untuk membuat
keputusan tentang pemilihan bahasa dalam melaksanakan sesi pengajaran dan pembelajaran
Sains dan Matematik.
Garis panduan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan SPI Bil. 12/2011. Pihak
sekolah boleh meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi Sains dan Matematik
berdasarkan situasi semasa yang sedang dijalankan di peringkat sekolah masing-masing
iaitu :
a) Kelas yang menggunakan bahasa Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik hendaklah terus menggunakan bahasa tersebut atau
b) Kelas yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik juga boleh terus menggunakan bahasa tersebut atau
c) Bagi kelas yang menggunakan dwibahasa, penggunaan bahasa Malaysia amat digalakkan.
Walaubagaimanapun, penggunaan Bahasa Inggeris dibenarkan bagi menerangkan istilah dan
konsep.
d) Murid dibenar untuk meneruskan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik
dalam bahasa yang diikuti sebelum ini.
Pemilihan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik tertakluk kepada kesediaan guru dan murid di peringkat sekolah. Kesediaan guru
ini bermaksud kompetensi guru yang sediaada di sekolah untuk mengajar dalam bahasa
Inggeris dan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah mempertimbangkan kesediaan murid untuk
mengikuti pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris.
Selain itu, pihak sekolah dibenar untuk menentukan bilangan kelas yang akan
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atau
bahasa Malaysia berdasarkan keputusan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah. Sekolah pula
diminta menggunakan glosari yang dibekalkan oleh Kementerian Pendidikan dalam usaha
untuk menerangkan istilah dan konsep Sains dan Matematik dalam pengajaran iaitu :
a) Sekolah akan dibekalkan dengan buku glosari bagi membantu PdP Sains dan Matematik.

b) Sekolah juga boleh memuat turun glosari daripada laman web Kementerian Pendidikan.
Tambahan pula, pengetua sekolah yang menerima murid Tingkatan 1 hendaklah
mengealpasti bahasa yang digunakan dalam pembelajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik semasa murid tersebut berada di Tahun 6. Bagi tujuan pendaftaran atau
penempatan murid ke Tingkatan 1, dasar dan prosedur penempatan yang sedia ada
dikekalkan. Urusan pendaftaran murid Tingkatan 1 perlu dilaksanakan pada awal bulan
Disember.
Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia sangat jelas kerana ia merupakan
bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasaperhubungan utama dan bahasa ilmu
ke arah membina negara dan bangsa untuk menacapai hasrat 1Malaysia. Begitu pula dengan
memperkukuh Bahasa Inggeris kerana ia merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang
perlu dikuasai bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat
nasional dan global.
Dalam melaksanakan dasar MBMMBI, PdP Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris
diperlukan menerusi pendekatan yang lebih berkesan. Dengan pemansuhan menerusi PPSMI,
mulai tahun 2011, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan akan menggunakan Bahasa
Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan
Matematik.
Dalam usaha menjayakan dasar ini, Kementerian Pendidikan Malaysia mengangkat
kembali mata pelajaran Bahasa Melayu sebagai mata pelajaran utama dan Bahasa Melayu
sebagai bahasa utama negara, semua rakyat negara malaysia khususnya guru mestilah
menjaga dan memelihara Bahasa Malaysia kerana hilang bahasa lenyaplah bangsa. Oleh
demikian peruntukan masa untuk pengajaran Bahasa Melayu akan ditambah mulai tahun
2011, apabila dasar MBMMBI dilaksanakan sepenuhnya. Pertambahan masa BahasaMelayu
daripada 270 minit kepada 330 minit di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina atau Tamil, manakala
untuk Sekolah Kebangsaan dikekalkan kepada 270 minit, menunjukkan komitmen KPM
dalam usaha memartabatkan kembali BahasaMelayu di sekolah.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri
Pelajaran, inisiatif berkenaan diambil sebagai usaha melaksanakan MBMMBI yang
menggantikan PPSMI mulai 2011. Namun begitu, denganpertambahan masa tersebut tidak
akan memanjangkan waktu persekolahan semasa kerana ia hanya melibatkan pengubahsuaian
peringkat dalaman sahaja.Menurut pelbagai sumber media dasar yang diperkenalkan amat
ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar rakyat Malaysia yang sebenarnya lebihs elesa
menggunakan bahasa melayu sebagai bahasa pengantar. Langkah menambahkan masa
pembelajaran dalam Bahasa Inggeris adalah amat wajar bagi memperkukuhkan penguasaan
para pelajar. Kita perlu faham, Bahasa Inggeris bukan untuk Sains dan Matematik sahaja,
tetapi untuk semua mata pelajaran.

Cabaran Dan Isu Pendidikan Masa Kini


Isu pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merupakan satu isu
pendidikan yang perlu diberi perhatian. Kejayaan PBS ini bergantung pada guru
tersebut. Sekiranya guru menganggap PBS tidak penting maka ia akan menyulitkan
proses pelaksanaannya. Selain itu, dari segi kebolehpercayaan maklumat yang
diambil pelaksanaan sistem PBS ( Mokhtar Ismail, 2009 ). Dalam konteks PBS tugas
dan arahan tentang ujian diberi oleh guru kepada calon. Dahulu kita tahu, ia dipikul
oleh Majlis Peperiksaan Malaysia tetapi dalam PBS guru memberikan arahan dan
tugas kepada calon. Kejayaannya bergantung pada sistem kepercayaan guru. Jika
guru mempunyai sistem kepercayaan negatif terhadap PBS, maka nilai
kebolehpercayaan yang rendah akan di perolehi terhadap tugasan atau kerja kursus
yang dilaksanakan oleh calon. Ini akan memberi kesan terhadap kesahan ujian
berkenaan.
Perkara pokok yang perlu diberi perhatian ialah kesediaan murid sebagai calon PBS
untuk mengambil ujian berdasarkan perkembangan mental mereka. Isu ini
mungkin tidak kritikal kerana dalam sistem pendidikan semua murid menghadapi
kurikulum yang sama pada umur yang sama. Sekiranya ada isu yang timbul
melibatkan murid lemah yang memerlukan pemulihan. Cara mereka diurus untuk
mengambil ujian PBS merupakan suatu perkara yang perlu dipertimbangkan dan di
ambil perhatian. Selain itu, PBS yang dilaksanakan memerlukan guru mengisi
pelbagai jenis borang dan menganalisis markah pelajar yang mengambil masa yang
lama.
Penekanan untuk menguasai Bahasa Inggeris dalam pengajaran Matematik dan
Sains dalam Bahasa Inggeris melalui pengenalan PPSMI (Pengajaran dan
Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) kepada pelajar-pelajar
dan guru-guru menambah tekanan dan mempengaruhi prestasi pengajaran guruguru. Belum reda isu PPSMI, kemunculan MBMMBI (Memartabatkan Bahasa
Melayu memperkukuh bahasa Inggeris) turut memberi tamparan yang hebat kepada
guru-guru dan juga kepada pelajar. Konsep PPSMI belum habis di mengertikan
muncul pula MBMMBI bagi menggantikan PPSMI. akibat dua dasar ini, institusi
pelajaran bagi sekolah rendah dan menengah bagai terumbang-ambing atau seperti
berada di persimpangan dilema, dan secara kasarnya, institusi ini terbelah kepada
dua kelompok penyokong, PPSMI dan MBMMBI dan yang terkeliru sudah tentulah
warga pendidik dan pelajar. Ini akan memberi tamparan yang hebat kepada pelajar
dalam meneruskan pembelajaran dan guru dalam meneruskan proses pengajaran.
Lapan tahun dulu, awal perlaksanaan PPSMI, ditentang hebat sebab takut sukar
dipelajari pelajar. namun, selepas perlaksanaannya, ia semakin diterima oleh

golongan pendidik.
Namun, tahun 2009, isu ini diperdebatkan sekali lagi sehinggalah suatu keputusan
drastik kerajaan memansuhkan secara berperingkat dasar PPSMI, dan bila dah
mansuh diwujudkan pula MBMMBI. Signifikan MBMMBI pula memartabatkan
bahasa ibunda dan memperkukuh bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Walau
bagaimanapun, ia tetap menimbulkan kekeliruan di kalangan pelajar dan juga ibu
bapa. Ada ibu bapa yang boleh menerima pengajaran Matematik dan Sains dalam
bahasa Inggeris dan ada ibu bapa yang tidak mahukan dalam Bahasa Malaysia (BM).
Guru terpaksa berdepan dengan pelajar dan ibu bapa serta masyarakat untuk
menjelaskan tentang pertukaran rancangan yang dirancang oleh pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM). Walaupun demikian , dalam perkembangan terkini,
kerajaan Malaysia mengubah balik pengajaran matematik, Sains dan Teknologi
dalam Bahasa Melayu pada tahun 2012 (Dr.raghbir Kaur Joginder Singh, 2012).
Konsep langit terbuka banyak mendedahkan pelajar dengan pelbagai perkara sama
ada kebaikan atau keburukan. Rela atau tidak, guru bertindak sedaya upaya untuk
menyeimbangkan keperluan perkembangan minda pelajar agar kekal mengamalkan
nilai-nilai murni. Sikap pelajar kini yang tidak menghormati guru, ibu bapa, orang
tua, rakan sebaya, percakapan yang tidak sopan serta cara berpakaian/penampilan
yang tidak senonoh menjadi cabaran untuk guru bukan sahaja mengajar mata
pelajaran yang ditetapkan oleh KPM malah guru menjadi ibu bapa dalam
membentuk peribadi murni pelajar agar kekal mengamalkan nilai dan jati diri serta
mengamalkan tatasusila ketimuran.
Tugas guru di sekolah semakin mencabar, bukan sahaja setakat mengajar, guru juga
terpaksa membuat kerja-kerja perkeranian, menjadi penjaga, menjadi doktor bila
pelajar tidak sihat, menjadi pendengar yang setia di saat ibu bapa pelajar leka
dengan tugas-tugas di pejabat, menjadi tempat pelajar melepaskan perasaan dan
juga menjadi teman berbual mengisi masa lapang. Di tengah-tengah kesibukan
menjalankan tugas, ada guru yang berkorban meningkatkan tahap pengetahuan
dengan melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi , mengejar segulung
ijazah untuk meningkatkan kerjaya di bidang perguruan. Begitulah tabahnya guru
mengejar gelaran sarjana atau Phd. Semuanya demi melahirkan generasi yang
berilmu dan berminda kelas pertama. Guru turut mengorbankan masa lapangnya,
dengan menjalankan aktiviti pengembang bakat dan potensi pelajar melalui
pengendalian kejohanan sukan, syarahan, karnival pendidikan di peringkat sekolah
sehinggalah ke peringkat kebangsaan. Segala-galanya demi melihat modal insan
yang dilahirkan seimbang dari segi ilmu, kemahiran dan sikap yang positif serta
potensi yang mampu melonjak kecemerlangan diri. Usaha ini tidak pernah minta
dibalas, hanya ingin melihat kejayaan yang di kecapi, Itu merupakan satu kepuasan
buat guru. Usaha yang dilakukan ini kadangkala tidak dihargai oleh segelintir pihak

namun atas rasa tanggungjawab, guru teruskan jua langkah demi melahirkan
generasi yang berkualiti. Pengorbanan tersebut menuntut komitmen masa, wang
ringgit dan tenaga yang tidak ternilai di samping tidak meminggirkan tugas asasi
mereka di bilik darjah.
Justeru itu, usaha Kementerian Pelajaran Malaysia untuk membekalkan pendidikan
berkualiti bergantung pada dedikasi dan komitmen guru-gurunya. Hasrat kerajaan
untuk menangani isu-isu pendidikan global dan mencapai pendidikan kelas dunia
merupakan cabaran utama kepada semua guru Malaysia.
Begitu besarnya dan berbaktinya insan bergelar guru. Guru ibarat lilin, menerangi
sesiapa sahaja sehingga membakar diri sendiri pepatah itu cukup untuk
membuktikan tentang peranan guru dalam sistem pendidikan negara. Setiap apa
yang dicurahkan bukan untuk minta dibalas, ilmu disemai untuk di cambah,
kegagalan murid tanda kesedihan seorang guru, kejayaan yang ditempa kejayaan
buatnya. Namun segala apa yang dilakukan bukanlah kerana perlukan balasan hanya
sekadar melahirkan insan yang berilmu, berpengetahuan, beramal dan berbudi.
Ibarat benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau, dicampak ke darat menjadi
bukit.

You might also like