You are on page 1of 13

FAKULTI SAINS SOSIAL DAN KEMANUSIAAN

PUSAT PENGAJIAN SOSIAL, PEMBANGUNAN DAN


PERSEKITARAN

SKAG 3113
PEMBANGUNAN & PENGURUSAN
ALAM SEKITAR

SEMESTER 1 SESI 2010/2011

PENSYARAH:
DR NOORAZUAN BIN MD HASHIM

NAMA : SITI NAIELAH BINTI IBRAHIM

NO MATRIK : A125408
ISI KANDUNGAN

PENDAHULUAN

PERMASALAHAN KAJIAN

METODOLOGI

PERBINCANGAN

RUMUSAN

BIBLIOGRAFI
TAJUK : PEMBANGUNAN DI MALAYSIA TELAH MEMBAWA KEPADA
KEMEROSOTAN KUALITI ALAM SEKITAR. BINCANGKAN.

PENDAHULUAN

Alam sekitar secara fitrahnya wujud dalam keadaan seimbang dan memerlukan keseimbangan
kerana setiap komponen dalam alam sekitar saling bergantungan antara satu sama lain.
Terdapat 5 komponen alam sekitar iaitu kepelbagaian organisma, ekosistem, populasi,
pengkolonian dan sesaran dan juga interaksi antara organisma. Sekiranya salah satu
daripadanya musnah ianya akan mengganggu atau memusnahkan komponen lain.

Pembangunan adalah satu proses untuk mencapai kemajuan dalam kehidupan.


Pembangunan membawa implikasi kuantitatif dan kualitatif oleh kerana proses pembangunan
melalui proses perubahan yang berterusan. Pembangunan turut meliputi pembangunan
ekonomi, pembangunan teknologi, pembangunan pertanian dan juga pembangunan industri.

Pembangunan ekonomi di Malaysia mula dijalankan apabila terlancarnya Dasar


Ekonomi Barun(DEB) pada tahun 1971 dan juga Rancangan Malaysia Kedua(RMK2). DEB
merupakan pendekatan baru dalam rancangan pembangunan negara yang melibatkan program
20 tahun yang mana sepanjang tempoh ini pelbagai jenis pembangunan giat dijalankan
termasuklah pembangunan bandar, pembangunan infrastruktur dan juga pembangunan
teknologi. Ini menyebabkan penggunaan sumber alam yang banyak dan mengalami
kemerosotan apabila ianya tidak dikawal.

Pembangunan perindustrian mula pesat membangun setelah Pelan Induk


Pembangunan yang telah diumumkan pada tahun 1986. Pelan Induk Perindustrian (PIP)
telah mengenalpasti 12 sektor industri yang patut diberi penekanan untuk pembangunan
bagi memajukan negara. Tujuh daripada sektor-sektor ini adalah yang berasaskan sumber
tempatan iaitu industri yang berasaskan getah, kelapa sawit, kayu-kayan, makanan, kimia,
logam bukan ferus dan keluaran- keluaran galian bukan logam. Lima sektor lagi merupakan
industri yang bukan berasaskan sumber iaitu eletrik dan eletronik, peralatan
pengangkutan, mesin dan kejuruteraan, logam-logam ferus, dan tekstil dan pakaian.

Setelah terlaksananya dasar pertanian negara, bermulalah pembangunan pertanian.


Dasar pertanian negara merupakan sebahagian daripada Wawasan 2020 untuk menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara maju dan dasar ini bertujuan untuk menjadikan sektor
pertanian sebagai sebuah sektor yang matang, maju, berdaya saing dan berdaya tahan. Antara
strategi bagi menjayakannya adalah pembukaan tanah baru,pembangunan in-situ,
perkhidmatan sokongan pertanian, pembangunan sosial dan institusi, penswastaan dan
penyertaan pihak swasta dan juga pembangunan komoditi.

Sebelum merdeka, pembangunan di Malaysia lebih tertumpu kepada sektor yang


membekalkan bahan mentah untuk penjajah. Namun keadaan ini berubah dari semasa ke
semasa di mana ekonomi Malaysia tertumpu kepada pertanian dan juga perindustrian
termasuklah perindustrian berat. Keadaan ini pastinya akan melibatkan penggunaan sumber
alam dan juga alam sekitar.

PERMASALAHAN KAJIAN

Pembangunan yang tidak mengikut garis panduan yang dijalankan di kawasan pinggir pantai
akan menyebabkan kemerosotan alam sekitarnya. Sebagai contoh, di kawasan pinggir pantai
Pulau Tioman. Pembangunannya yang meliputi pembinaan resort dan pembinaan marina akan
menjejaskan persekitaran terutamanya terumbu karang kerana terumbu karang agak sensitif
dengan pencemaran. Selain itu, ianya juga turut menyebabkan masalah pencemaran air,
sedimentasi, kehilangan biodiversiti dan juga pemendapan dan hakisan di suatu tempat sahaja.
Malahan, ianya secara tidak langsung akan menjejaskan habitat hidupan akuatik sekitarnya.
Pembinaan Empangan Sg. Selangor telah mendapat tentangan pelbagai pihak yang
mendakwa akan menjejaskan koloni kelip-kelip di Kg. Kuantan dan Bukit Belimbing. Namun
begitu, hasil kajian yang dilakukan telah mendapati bahawa pembinaan empangan tidak
menjejaskan populasi kelip-kelip di Sg. Kuantan. Keadaan sungai sedikit tercemar dan keruh
bukannya akibat daripada pembinaan empangan tetapi berpunca daripada pertanian kelapa
sawit. Pertanian kelapa sawit menyebabkan pencemaran air kerana baja dan racun daripada
ladang akan menyusup masuk ke dalam tanah dan menjadi air larian dan seterusnya akan
mengalir ke sungai berdekatan.

Pertambahan penduduk adalah selari dengan pembangunan yang dilakukan. Hal ini
kerana, pertambahan penduduk menyebabkan bertambahnya permintaan tempat tinggal dan
juga bertambahnya permintaan infrastruktur bagi memenuhi keperluan budaya dan sosial.
Pada masa ini pembangunan yang dijalankan bukan hanya memberikan tekanan kepada
kawasan tanah pamah di sekitar bandar utama dan pusat pertumbuhan yang sebelumnya
sebaliknya turut memberi tekanan di kawasan bukit, lereng bukit serta jaluran pinggir pantai.
Secara tidak langsung ini akan menyebabkan berlakunya perubahan kepada alam sekitar dan
sekiranya pembangunan yang dijalankan melampaui kemampuan alam, ianya akan
mendatangkan impak negatif kepada alam sekitar.

Pembangunan yang dijalankan berdekatan Sungai Skudai menyebabkan kualiti airnya


menurun. Hal ini kerana aktiviti pertanian, perindustrian dan juga petempatan menyumbang
kepada pencemaran di mana pertanian menyumbang kepada pencemaran daripada bahan
kimia organik seperti baja. Malahan penggunaan biosid yang berlebihan dan tidak terkawal
akan menyebabkan implikasi yang buruk terhadap persekitaran akuatik. Dari segi petempatan
pula, penduduk sekitar koridor sungai akan menjejaskan sungai dengan aktiviti pembuangan
sampah ke dalam sungai serta pelepasan sisa air domestik yang tidak dirawat. Keadaan ini
pastinya menghasilkan bau busuk serta akan memudaratkan penduduk yang menggunakan air
sungai itu untuk keperluan harian dengan jangkitan pelbagai penyakit. Aktiviti penternakan
khinzir di kawasan berdekatan juga menjadi punca terjadinya pencemaran di Sungai Skudai.

METODOLOGI
Pengenalan

Di dalam sebuah kajian, metodologi kajian amat penting dan menjadi fokus utama bagi
mengetahui bagaimana sesuatu data diperolehi. Di samping itu, metodologi juga menjadi satu
petunjuk bagaimana untuk melakukan sesuatu kajian dengan cara yang ditetapkan supaya
kajian yang dilakukan tidak bercelaru dan mengikut langkah yang telah ditetapkan. Sesuatu
kajian yang teratur akan mempengaruhi data sesebuah kajian sama ada kajian tersebut baik
atau sebaliknya.

Terdapat beberapa langkah utama dalam melakukan sesuatu kajian iaitu rujukan di
perpustakaan, rujukan kajian lepas serta kerja di lapangan. Namun untuk kajian ini, hanya
satu kaedah yang digunakan iaitu rujukan di perpustakaan.

Kaedah penyelidikan di perpustakaan

Kaedah ini digunakan untuk mendapatkan beberapa maklumat tertentu yang berkaitan dengan
pembangunan di Malaysia dan kesannya kepada kualiti alam sekitar terutamanya dari segi
pencemaran. Kaedah ini bagi membolehkan seseorang penyelidik mendapat maklumat
tambahan seperti jurnel, buku akademik, laporan kerajaan, tesis-tesis yang lepas, kertas kerja
yang dibentangkan di dalam dan luar negeri. Malahan data ini digunakan sebagai bukti atau
sokongan semasa kajian dilakukan. Data-data ini diperolehi di Perpustakaan Tun Sri Lanang
(PTSL), perpustakaan Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran (PPSPP),
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) serta pusat rujukan yang berkaitan.

Selain daripada rujukan bertulis, rujukan melalui laman sesawang juga dilakukan bagi
mendapatkan maklumat yang tidak diterbitkan oleh buku bertulis. Rujukan diperolehi
daripada pihak ataupun badan tertentu sama ada di dalam negara mahupun luar negara.
PERBINCANGAN

Pembangunan yang berlaku pastinya akan menyebabkan perubahan terhadap persekitaran


fizikal. Pada peringkat awal petempatan manusia di negara ini, pembangunan terdapat di
pinggir pantai serta di tepi-tepi sungai dan muara sungai namun ianya tidak mewujudkan
tekanan yang jelas terhadap persekitaran kerana pada ketika itu, teknologi, bahan dan tenaga
yang digunakan adalah lebih mesra alam. Pembangunan yang diwujudkan setelah zaman
penjajah telah menyebabkan tekanan kepada persekitaran. Antara pencemaran yang telah
berlaku adalah pencemaran bunyi, air, udara, bau dan berlaku perubahan suhu.

Pembangunan yang berlaku mempengaruhi bunyi bising. Hal ini kerana pembangunan
negara akan seiring dengan pembangunan industri, pembangunan pengangkutan,
pembangunan teknologi dan juga pembangunan infrastruktur. Perkembangan sektor
perindustrian akan mempengaruhi pembangunan pengangkutan dan juga berlakunya
pertambahan penduduk. Pertambahan bilangan kenderaan bermotor dan konsentrasi penduduk
yang tinggi di kawasan kediaman telah menimbulkan masalah persekitaran terutamanya di
kawasan bandar. Keadaan ini akan mempengaruhi kesihatan fizikal dan psikologi
manusia,terutamanya di kawasan perumahan di mana akan menyebabkan masalah bunyi.

Masalah bunyi bising turut dikesan di kawasan yang padat penduduk. Kawasan ini
biasanya mempunyai masalah pencemaran bunyi bising komoditi di Malaysia. Daripada
kajian yang dilakukan, sepuluh peratus daripada sampel di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur
telah merekodkan aras bunyi yang melebihi 76.0 dBA dan 74.5 dBA. Aras tersebut telah
melebihi standard bunyi bising yang dicadangkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO)
bagi komoditi bandar iaitu 55 dBA. Pencemaran bunyi ini pastinya menimbulkan keadaan
tidak selesa kepada penduduk yang terlibat terutamanya pada waktu tertentu seperti waktu
malam, tidur ataupun waktu sedang beristirehat.
Bunyi yang berpunca daripada bunyi kapal terbang juga dikenali sebagai bunyi bising
sekiranya kawasan sekitarnya berdekatan dengan kawasan lapangan terbang. Kapal terbang
diperlukan bagi negara membangun seperti Malaysia bagi memudahkan ketersampaian di
suatu kawasan. Sepatutnya bunyi kapal terbang tidak akan menimbulkan apa-apa masalah
bunyi kepada kawasan kediaman di sekitarnya namun oleh kerana lapangan terbang di
Malaysia kebanyakannya sudah dikelilingi oleh rumah-rumah kediaman, ianya mungkin akan
mewujudkan tekanan bagi penduduk sekitarnya. Bagaimanapun masalah ini terjadi akibat
kesilapan dari segi perancangan dan pihak berkuasa yang meluluskan projek pembinaan
kawasan itu.

Selain itu, pembangunan kawasan industri juga menyebabkan salah satu daripada
punca pencemaran bunyi bising. Bunyi bising yang dihasilkan bukan hanya menyebabkan
ketidakselesaan pekerja di dalam kilang tetapi akan mempengaruhi penghuni kediaman di
kawasan berdekatan. Dalam satu kajian mendapati sebuah kilang kelapa sawit di Klang pada
1979, mendapati bunyi bising yang dikeluarkan oleh kilang berkenaan mengganggu penduduk
yang tinggal di kawasan berkenaan, terutamanya pada waktu malam. Malahan didapati bunyi
bising daripada kilang itu antara 67.5 dBA hingga 70.5 dBA dan nilainya adalah lebih tinggi
daripada bunyi bising ambien.

Peningkatan jumlah penduduk yang tinggal di suatu kawasan akan menyebabkan


peningkatan jumlah bahan buangan pepejal atau sampah sarap terutamanya di kawasan
bandar. Ini menyebabkan pihak berkuasa bandar terbeban kerana perlu menguruskan bertan-
tan sisa setiap hari. Sisa-sisa ini juga meliputi sisa dari kilang dan sisa domestik. Sisa yang
tidak diuruskan dengan sempurna akan mencemarkan alam sekitar seperti pencemaran sungai
dan pencemaran bau. Air kumbahan mengandungi kandungan bahan tercemar yang tinggi dan
jika tidak dirawat dengan sempurna ianya akan dilepaskan ke sungai sebagai air yang
tercemar dan akan menyebabkan pelbagai penyakit kepada masyarakat. Malahan, bau yang
terhasil daripada kawasan pelupusan sisa dan loji kumbahan juga akan menyebabkan
ketidakselesaan kepada penduduk di sekitarnya.
Perkembangan petempatan bandar dan industri telah diketahui akan menyebabkan
peningkatan suhu bandar sementara penggunaan kenderaan bermotor serta pembakaran
terbuka dan pembakaran hutan telah menyebabkan masalah jerebu. Hal ini kerana terbebasnya
gas-gas beracun seperti gas metana, karbon dioksida(CO2), nitrogen oksida (NO2) dan gas
hidrokarbon lain serta debu. Di kawasan bandar, pencemaran udara banyak dipengaruhi oleh
aktiviti industri dan juga kenderaan bermotor. Di dapati pada waktu puncak, kenderaan
bermotor menjadi punca utama peningkatan pencemaran udara kerana jumlah kenderaan yang
banyak ketika itu. Keadaan lapisan troposfera di bandar yang kering juga akan menyebabkan
udara memerangkap lebih banyak bahan pencemar. Keadaan ini pastinya boleh menyebabkan
berlakunya jerebu.

Pembakaran hutan dan juga pembakaran terbuka yang dijalankan oleh segelintir pihak
untuk pertanian untuk pembukaan ladang dan juga penanaman baru boleh menyebabkan
berlakunya jerebu. Hal ini kerana, mereka ingin mengambil langkah yang mudah dan
menjimatkan kos tanpa memikirkan kesannya kepada alam sekitar. Aktiviti pembakaran
ladang pertanian dan hutan telah dibakar sebagai persediaan untuk menanam semula kelapa
sawit. Malahan aktiviti ini telah dikenalpasti telah menyebabkan berlakunya jerebu di
Semenanjung Malaysia pada tahun 2005. Malahan jerebu yang teruk ini menyebabkan
beberapa negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia telah diisytiharkan darurat.

Malaysia mempunyai sumber air yang banyak kerana Malaysia menerima hujan pada
monsun timur laut dan monsun barat daya. Pembangunan ekonomi mampu menyebabkan
berlakunya kemerosotan alam sekitar contohnya pembalakan sumber balak akan
mencemarkan sumber air. Pencemaran air yang berlaku sama ada di sungai atau laut bukan
hanya menyebabkan kemusnahan hidupan akuatik, malahan ianya akan menimbulkan
masalah kepada manusia yang mana manusia kehilangan punca pendapatan serta badan air
untuk rekreasi. Pembalakan haram yang dilakukan di hulu sungai dan juga berdekatan
kawasan tadahan air akan menjejaskan bekalan sumber air untuk berpuluh-puluh ribu
penduduk. Selain itu, bencana alam seperti runtuhan tanah dan banjir lumpur juga akan
berlaku akibat kegiatan pembalakan yang giat dijalankan di kawasan tanah tinggi.
Pencemaran sungai boleh berpunca daripada pelbagai faktor antaranya perbandaran,
perindustrian, pembetungan dan juga ternakan dan pertanian. Dari segi perindustrian, sisa
industri yang terdiri daripada bahan bauangan yang berbahaya akan dibuang ke sistem sungai.
Kilang sawit umpamanya mampu untuk mengeluarkan 25,000 mg/l BOD, 53,360 mg/l COD
dan 12,020 mg/l pepejal terampai (Mohd Ekhwan Hj Toriman. 2007) manakala industri
pakaian akan mampu mengeluarkan 875 mg/l BOD dan sebanyak 3720 mg/l COD (Mohd
Ekhwan Hj Toriman. 2007) keadaan ini pasti akan memberikan impak kepada kualiti air
sungai sekiranya sisa yang dilepaskan tidak dirawat dengan betul. Dari segi pembetungan
pula, penggunaan sistem pembetungan yang lama akan menyebabkan berlakunya masalah
pencemaran kerana perkembangan pertumbuhan bandar tidak diikuti dengan perubahan
kepada sistem pembetungan.

Malahan, pada awal tahun 1998, lokasi pengambilan air di Sungai Langat telah
dicemari dengan teruk oleh minyak diesel dan kandungan amonia yang tinggi akibat daripada
aktiviti perindustrian. Ianya bukan sahaja menyebabkan gangguan bekalan air yang teruk
kepada penduduk sekitar Lembah Kelang selama beberapa bulan tetapi turut menyebabkan
banyak industri yang terpaksa menutup operasinya dan mengalami kerugian berjuta-juta
ringgit. Pada tahun 1991, beberapa batang sungai di Semenanjung Malaysia telah mula
dicemari oleh logam berat terutamanya plumbum(Department of Environment 1992).

Pencemaran air turut meliputi pencemaran marin yang berlaku yang berpunca daripada
pembangunan yang dilakukan berdekatan dengan sumber air. Penebangan dan pembersihan
kawasan tanah lembap, terutamanya di kawasan tanah bakau untuk tujuan pembalakan dan
projek akuakultur telah berkembang dengan banyaknya sejak beberapa tahun kebelakangan
ini. Pembangunan industri rekreasi dan peranginan telah menyebabkan kemusnahan habitat
hidupan akuatik yang penting sebagai sumber bekalan protein penduduk negara ini, malahan
ianya turut menimbulkan banyak lagi masalah di perairan pinggir pantai dan juga hakisan di
kawasan pantai yang berhampiran. Kewujudan beberapa bandar besar di zon pinggir pantai
didapati menyumbangkan konsentrasi BOD, minyak dan gris serta bakteria Coliform yang
tinggi. (Jamaluddin Md Jahi 2000).
Pembangunan juga akan menyebabkan kita kehilangan sumber yang ada sekiranya
pembangunan yang dijalankan itu secara haram. Hal ini telah berlaku di kawasan Sungai
Lalang di mana kegiatan mencuri pasir untuk pembangunan giat dijalankan oleh pihak tidak
bertanggungjawab. Malahan sumber kayu juga akan dimusnahkan dan bukit ditarah bagi
mendapatkan pasir tersebut.Hal ini secara tidak langsung akan memungkinkan berlakunya
kejadian runtuhan tanah dan juga air sungai berkelodak. malahan kawasan rekreasi yang
berdekatan seperti kawasan air terjun juga tercemar dengan kelodak dan lumpur apabila
berlakunya hujan lebat di kawasan itu.

Pembangunan juga memungkinkan berlakunya bencana alam seperti banjir kilat,


banjir lumpur dan juga kemarau. Sebagai contoh banjir, ianya berlaku akibat daripada
kurangnya kawasan telap air kerana apabila tanah baru dibuka, ianya akan digantikan dengan
banyak kawasan tak telap air. Berdasarkan satu kajian yang dilakukan di Georgetown, Pulau
Pinang, kekurangan kawasan lapang atau hijau merupakan salah satu punca-punca
berlakunya banjir di kawasan Jalan P. Ramlee dan Jalan Terengganu. Malahan didapati
bahawa kawasan berturap, konkrit, batu-bata, bertar dan permukaan jalan raya lebih banyak
terdapat di kawasan Jalan P. Ramlee dan Jalan Terengganu berbanding dengan kawasan
lapang atau hijau yang peratusannya mungkin kurang daripada 10% daripada luas keseluruhan
kedua-dua kawasan tersebut. Malahan pemendakan kelodak di dalam sungai turut
menyebabkan berlakunya bencana ini kerana sungai menjadi cetek.
RUMUSAN

Walaupun setiap pembangunan ada kesannya, ianya perlu bagi memastikan ekonomi negara
dapat dijana, sekiranya pembangunan dihentikan, ianya akan turut menjejaskan ekonomi
sesebuah negara dan juga akan membantutkan pertumbuhan negara. Oleh itu, pembangunan
negara akan tetap berlaku namun pihak yang terlibat seharusnya memenuhi piawaian yang
telah ditetapkan oleh Kualiti Alam Sekeliling (EIA). Hal ini kerana EIA telah menetapkan
beberapa etika bagi menjamin kesejahteraan bersama. Para pemaju pembangunan perlu sedar
dengan apa cara sekalipun tentang nilai alam sekitar semasa pembangunan dilakukan.

Selain itu, langkah kerajaan mewartakan beberapa hutan yang ada sebagai hutan
simpan juga boleh dianggap langkah yang bijak seperti hutan simpan, hutan dara dan juga
taman negara. Selain itu, usaha memindahkan tumbuhan yang terancam untuk ditanam ke
kebun khusus atau abretum juga antara salah satu cara untuk memelihara sumber alam.
Malahan, pusat pembiakan haiwan yang terancam dengan kepupusan di tempat khas juga
adalah satu proses pemeliharaan dan pemuliharaan.

Diharapkan pengisytiharan tahun 2010 sebagai Tahun Inovasi Malaysia adalah sebagai
satu usaha murni dan baik bagi memperkenalkan dan mempergiatkan lagi penerokaan eko-
inovasi bagi membela alam sekitar yang kian celaru sekarang. Diharapkan eko-inovasi dapat
menyumbang kepada pembangunan mapan sekaligus mengurangkan impak pembangunan
kepada alam sekitar.
BIBLIOGRAFI

Suzane M.Samy. 2007. Kesan-kesan Pembangunan ke Atas Ekosistem Terumbu Karang Di


Pulau Tioman. Bangi:Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mahani binti Mohamad. 2008. Penilaian Terhadap Kelimpahan Dan Taburan Populasi
Kelip-Kelip Sebagai Produk Eko Pelancongan Di Kg. Kuantan Selepas Pembinaan
Empangan Sungai Selangor. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Katiman Rostam & Asmah Ahmad. 2006. Penilaian & Pengurusan Sumber Alam.
Bangi:Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mohd Ekhwan Hj Toriman. 2007. Status Alam Sekitar. Ke Arah Keseimbangan Alam Dan
Pembangunan Di Malaysia. Puchong:Scholar Press (M) Sdn. Bhd.

Sham Sani, Abdul Samad Hadi & Jamaluddin Md Jahi. 1993. Alam Sekitar Dan
Pengurusannya Di Malaysia.

Katiman Rostam,Noraziah Ali, Yaakob Mohd Jani & Mokhtar Jaafar. 2000. Alam, Manusia
Dan Pembangunan Di Malaysia : Dasar, Strategi dan Kelestariannya. Bangi: Persatuan
Kebangsaan Geografi Malaysia (PGKM) & Jabatan Geografi, FSSK, Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Ahmad Norazhar bin Mohd Yatim. 2008. Perubahan Guna Tanah Dan Kesan Terhadap
Kualiti Air Sungai Skudai. Bangi. Universiti Kebangsaan Malaysia.

Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan. http://pmr.penerangan.gov.my/index.


php?option=com_content&view=article&id=1375%3Adasar-perindustriannegara&catid
=300%3Adasar-dasar-ekonomi&Itemid=3 (26 Oktober 2010)

Kementerian Pelajaran Malaysia. http://apps.emoe.gov.my/bppk/nota/DASAR/DASAR%2


0PERTANIAN%20NEGARA%201. Pdf (30 September 2010)

IKIM. http://www.ikim.gov.my/v5/index.php?lg=1&opt=com_article&grp=2&sec=&key=
2185&cmd=resetall (9 Oktober 2010)

Berita Harian. http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Sentral_Bukitkiangondol/Article


(14 Oktober 2010)

You might also like