You are on page 1of 2

PEMILIHAN JODOH

Isteri merupakan pasangan hidup sehidup semati dan teman perkongsian segala suka dan duka. Amat
penting sebelum memilih bakal isteri yang terbaik, perlu kepada pemilihan mengikut panduan yang telah
diberikan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Sebaik-baik jodoh yang bakal dijadikan isteri ialah yang dapat
memenuhi nilai-nilai maknawiyah dan jasmaniyah, tetapi jika tidak didapati maka nilai-nilai maknawiyah itu
mestilah diberi keutamaan berbanding dengan nilai jasmaniyah. Pemilihan jodoh ini juga bukanlah khusus
kepada lelaki, namun kaum wanita juga perlu kepada pemilihan jodoh bakal suami

Di antara ciri-ciri utama yang dianjurkan dalam pemilihan jodoh ialah:

1. Yang beragama dan berakhlak mulia

Yang dimaksudkan dengan agama di sini ialah bukanlah agama Islam semata-mata tetapi menghayati
prinsip-prinsip dalam agama Islam serta mempunyai akhlak dan perlakuan yang mulia.

2.Bersifat pengasih dan penyayang

Sebaik-baik wanita ialah mereka yang pengasih dan penyayang, mampu memberikan kasih sayang kepada
suami dan anak-anak. Wanita yang kasar, pendendam dan pemarah tidak akan dapat menjadi seorang
isteri yang baik dan mampu meneruskan hidup dengan suami dan kehidupan berumah tangga akan
menjadi tidak selesa. Begitu juga dengan suami, mereka perlu bersifat pengasih dan penyayang serta
pandai mendidik isteri dan anak-anak bersesuaian dengan keadaan.

3. Boleh melahirkan zuriat

Tujuan perkahwinan ialah untuk menyambung dan memperkembangkan zuriat. Maka, bakal suami dan
isteri perlulah mampu dari segi zahir dan batin serta boleh memperkembangkan zuriat. Kehidupan tanpa
anak-anak akan sunyi dan tidak bahagia.

4. Masih perawan

Yang dimaksudkan di sini ialah wanita yang bersih dan belum biasa mengenali permainan cinta lebih baik
daripada janda yang telah biasa dengan permainan asmara kecuali pada keadaan tertentu.

5. Keturunan yang baik

Bukanlah di sini bermaksud keturunan bangsawan ataupun hartawan tetapi keturunan yang yang baik dari
segi keagamaan, kecerdasan, kesihatan dan akhlak yang mulia.

6. Tiada jurang perbezaan yang besar

Seeloknya tidak ada jurang umur, status sosial, pendidikan yang terlalu besar antara calon suami dan isteri.
Perbezaan yang jauh daripada aspek yang dinyatakan tadi akan menyukarkan lahirnya keserasian dan
keharmonian dalam kehidupan berkeluarga. Oleh kerana itu beberapa mazhab mensyaratkan adanya
kufu'(setaraf) antara calon suami dan isteri.
7. Bukan keluarga yang terdekat

Perkahwinan dengan keluarga yang terdekat seperti sepupu kurang digalakkan kerana ianya tidak dapat
membina jaringan keluarga yang lebih luas. Sebaiknya, calon suami dan isteri datangnya daripada keluarga
yang jauh seperti perumpamaan benih pokok jika dicantumkan dengan baka yang berlainan akan
melahirkan baka yang baik. Antara hikmah perkahwinan dengan keluarga yang jauh ialah antaranya dapat
melahirkan zuriat yang sihat sama seperti benih pokok itu tadi.

Itulah antara ciri-ciri pemilihan jodoh mengikut pendapat penulis berdasarkan kepada penelitian kepada
kehidupan berkeluarga secara realiti dan panduan yang telah diberikan oleh syariat Islam itu sendiri.
Walaubagaimanapun, kita sebagai manusia hanya mampu merancang, tetapi yang menetapkan adalah
Allah S.W.T. sendiri. Sebaik mana pun perancangan manusia, tetapi perancangan Allah S.W.T. lebih baik
lagi. Semoga dengan ikhtiar dalam pemilihan jodoh ini akan memberikan kebahagian kepada kehidupan
berkeluarga dan dalam membina masjid dalam hidup akan kekal hingga ke akhir hayat. Apa yang penting
ialah perlunya kepada hubungan yang dekat dengan Allah S.W.T. serta baiknya hubungan dengan
keluarga terdekat serta semua masyarakat. Doa sebagai pemandu arah dalam kehidupan suami isteri.
InsyaAllah...

You might also like