You are on page 1of 4

1) Keluarga ialah kepimpinan melalui teladan

Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa
mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang
berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan
pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri
mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya
daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang
berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka.
Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50
peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik
keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan
yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.

2) Sikap ibu bapa

Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang
danbekerja keras dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan
yang lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan
dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang
penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-
anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka
hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi
makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan
anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos
yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan
lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan
Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit
bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan
apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan
bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai
nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan
untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran

3) Memberikan anak-anak didikan agama yang sempurna


Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan terang
hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip
hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh
gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada
ini.Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa
pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan.
Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala
ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang
sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi
kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik.

4) Dorongan daripada ibu bapa

Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur
dengan tebing dan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman
sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat
melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang
dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai “Pak Lah”.
Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak
lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah
bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama
rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.

5) Ibu bapa harus membimbing dan mendidik anak supaya dapat membezakan
perkara yang berfaedah dan yang tidak boleh dilakukan sejak kecil.

Apabila anak melakukan kesalahan, ibu bapa perlu mendenda anak supaya mereka
dapat sedar dan insaf akan kesalahan sendiri. Sekiranya ibu bapa tidak membetulkan
kesalahan yang dilakukan oleh anak, anak akan menganggap bahawa perbuatan
tersebut adalah betul. Lama-kelamaan, perbutan buruk itu menjadi tabiat anak kerana
alah biasa tegal biasa. Jadi, memang jelaslah bahawa didikan ibu bapa sejak kecil
lagi diperlukan bagi mewujudkan modal insan yang berdisiplin dan berguna.

Janganlah kita lupa bahawa “melentur buluh biarlah dari rebungnya”


6) Memberikan didikan agama kepada anak dari semasa ke semasa. (Isi sama
dengan isi ke-3, huraian tak sama)

Setiap agama mengajar penganutnya melakukan perkara yang bermoral serta


menjauhi perbuatan yang boleh menjatuhkan maruah diri dan keluarga. Amalan yang
tidak bermanfaat dilarang sama sekali oleh semua agama. Antaranya ialah berzina,
membunuh, merompak, berjudi dan sebagainya. Dengan adanya ajaran agama yang
teguh, seseorang itu tidak akan terjebak ke lembah kehinaan. Hal ini demikian kerana
mereka sedar bahawa mereka akan menerima tulah dan dikenakan hukuman oleh
Tuhan jika mereka melanggar didikan dan ajaran agama. Tambahan pula, orang yang
menerima didikan agama sejak kecil lagi mempunyai pemikiran yang lebih matang dan
rasional. Mereka tidak mudah terpengaruh oleh budaya dan rakan sebaya yang tidak
baik. Hal ini disebabkan segala ajaran agama telah serasi dengan jiwa mereka.
Melalui cara ini, insan yang sempurna dari segi rohani dapat dilahirkan.

7) Membekalkan kasih sayang yang mencukupi kepada anak.

Ibu bapa sepatutnya mencurahkan kasih sayang dan memberikan keprihatinan


kepada anak di samping sibuk mencari nafkah. Mereka tidak harus mementingkan
kejayaan dan kecemerlangan dalam kerjaya semata-mata sehingga mengabaikan
anak. Mereka tidak boleh berpendapat bahawa sudah cukup untuk menyediakan
keperluan makanan dan minuman serta wang ringgit sahaja. Ibu bapa mestilah
meluangkan masa untuk berinteraksi dengan anak. Apabila anak menghadapi
masalah, ibu bapa harus membantu dan membimbing anak untuk menyelesaikan
masalah tersebut melalui cara yang betul. Anak tidak akan berasa diabaikan dan
dilupakan oleh ibu bapa. Sebaliknya, mereka akan berasa mereka disayangi dan
diambil berat oleh keluarga memandangkan ibu bapa sanggup mendampingi mereka
dan mendengar masalah yang dihadapi.
8) Mewujudkan sebuah keluarga yang sempurna dan harmoni supaya anak
dapat membesar dalam keadaan yang bahagia.

Ibu bapa seharusnya berusaha membentuk keluarga yang damai dan aman seperti
syurga. Anak yang membesar dalam lingkungan kebahagiaan lebih mudah menerima
perkara-perkara positif dalam membina diri mereka. Mereka lebih tenang dan lebih
senang menerima pelajaran bagi mendapat keputusan yang cemerlang dalam bidang
akademik. Keluarga bahagia menjadi tulang belakang mereka. Jadi, kepincangan
institusi keluarga akibat krisis rumah tangga perlu dielakkan supaya tidak
menimbulkan konflik dalam jiwa anak. Perbalahan antara ibu bapa, ibu bapa yang
bercerai serta terpaksa hidup dengan ibu atau bapa sahaja menyebabkan keluarga
tidak bahagia diwujudkan. Bagi anak, keluarga seperti itu merupakan neraka. Anak
tidak dapat memperoleh ketenangan emosi dari keluarga tersebut. Secara tidak
langsung, modal insan yang cemerlang tidak dapat dilahirkan.

9) Ibu bapa yang menjadi model kepada anak perlu menjaga perlakuan dan
sahsiah sendiri.

Anak yang belum mempunyai minda yang matang berfikiran bahawa segala perbuatan
ibu bapa adalah betul dan boleh ditiru. Mereka mengikut-ikut apa shaja yang dilakukan
oleh ibu bapa. Sebagai teladan dan contoh kepada anak, ibu bapa harus menunjukkan
nilai-nilai murni dalam kehidupan harian dan tidak melanggar undang-undang.
Janganlah kita lupa “bagaimana acuan, begitulah kuihnya” dan “bapa borek, anak
rintik”. Bagaimanakah ibu bapa boleh melarang anak merokok sedangkan mereka
sendiri yang menghisap rokok setiap hari? Adakah anak akan menerima nasihat ibu
bapa untuk mengamalkan amalan membaca dengan rela hati memandangkan ibu
bapa sendiri tidak membuat demikian? Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlu
memastikan bahawa mereka selalu menunjukkan tingkah laku yang terbaik supaya
menjadi contoh yang terbaik untuk anak.

You might also like