You are on page 1of 2

Peranan Ibubapa dalam Pembinaan Sahsiah Kanak-Kanak

Oleh Badariah binti Khalid

Penulisan ini bertujuan untuk membincangkan pendidikan kanak-kanak yang melibatkan


keperibadian dan pembinaan keyakinan diri. Perbincangan meliputi galakan dan peranan
ibubapa dalam pembinaan sahsiah kanak-kanak. Didikan dilihat daripada pelbagai sudut
merangkumi pendidikan semasa iaitu meliputi kolaborasi ibu bapa dan juga pendidik di pusat
didikan awal kanak-kanak. Penulis juga turut membincangkan pendapat ahli falsafah barat dan
sudut pandangan Islam. Penulis mengajak pembaca turut menilai ciri-ciri keyakinan diri kanak-
kanak yang dibimbing secara positif sejak usia awal lagi.

Pengenalan

Anak-anak adalah anugerah Allah yang lahir bagai kain putih yang suci dan akan diwarnakan
oleh ibu bapa yang membesarkannya. Oleh kerana itu ibu bapa perlu sedar didikan positif
ataupun negatif akan mencorakkan keperibadian seseorang anak itu. Ibu bapa memainkan
peranan penting dalam membentuk sahsiah dan keperibadian anak mereka. John Amos
Comenius (1592-1670), dalam bukunya Didactica Magna Comenius dalam Modul Pengajaran:
Perkongsian Ibu Bapa Dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak membincangkan tentang
kepentingan mendidik anak-anak:

“It is the nature of everything that comes into being, that while tender it is easily bent and
formed, but that, when it has hard, it is not easy to alter. Wax when soft, can easily fashioned
and shaped; when hard it cracks readily”. (Comenius, 1967) Menurut Imam Al-Ghazali,
pembangunan sahsiah merangkumi keseluruhan aspek diri individu iaitu melibatkan
pengetahuan agama, akidah, penghayatan Al-Quran, adab kehidupan, perhubungan sesama
manusia, akhlak, budi pekerti dan pembangunan jiwa serta hati.

Pembinaan Sahsiah

Pembinaan sahsiah merujuk kepada proses pembinaan peribadi kanak-kanak. Sahsiah


membawa maksud keperibadian, biasanya dikaitkan dengan akhlak. Sahsiah atau personaliti
ialah ciri-ciri dalam diri seseorang yang tersendiri dan unik, dizahirkan dalam bentuk tingkah
laku dan cara berfikir. Mengikut Sidek Baba (2006), seperti yang disebut di dalam Modul
PERMATA sahsiah ialah kualiti diri insan. Ibu bapa dan pendidik hendaklah berpegang kepada
tujuan dan prinsip mendidik anak-anak untuk mencapai matlamat membina sahsiah yang mulia
umpama peribahasa jika menebang menuju pangkal, jika melanting menuju tangkai yang
bermaksud berbuat sesuatu pekerjaan hendaklah dengan maksud dan tujuannya. Begitulah
juga peranan dalam mendidik anak-anak agar mereka mengamalkan nilai-nilai murni yang
disanjung.

Pendidikan pembinaan sahsiah

Ibu bapa perlu tegas dalam mendidik anak-anak, dan mendisiplin mereka sejak kecil lagi;
dengan menanam elemen positif dalam diri mereka, anak-anak akan membesar dan menjadi
insan yang positif, sedia menghadapi cabaran dan rintangan dalam kehidupan dengan penuh
berani dan yakin. Anak-anak hendaklah diberi peluang untuk berdikari walaupun dalam usia
muda. Mereka perlukan (memerlukan) bimbingan pada mulanya, tetapi lama kelamaan akan
mampu menaakul dan membuat keputusan sendiri. Kebanyakan ibu bapa enggan melepaskan
anak-anak mereka untuk memulakan kehidupan berdikari. Tetapi ibu bapa juga mahu anak-
anak mereka mempunyai keyakinan diri dalam menjalani kehidupan mereka. Biasanya ibu bapa
akan teragak-agak untuk membiarkan anak mereka meneroka dan menguruskan diri mereka.
Hakikatnya, ibu bapa harus sedar yang mereka perlu melepaskan kawalan dan menyokong
anak-anak mereka untuk menjalani kehidupan mereka sendiri.

Kurikulum PERMATA Negara, sangat-sangat mengutamakan aspek pembangunan sahsiah


kanak-kanak. Pembangunan sahsiah akan membantu kanak-kanak membina konsep kendiri
yang positif, self-esteem yang tinggi, jati diri yang berdisiplin dan baik, serta cara berfikir yang
bebas dan terbuka. Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) pula menanam nilai-
nilai positif dalam diri kanak-kanak iaitu mengamalkan nilai murni. Dari segi Sosial pula
mendidik kanak-kanak supaya berkebolehan berkomunikasi secara mantap. Mereka juga akan
dapat menjalin perhubungan yang positif dengan rakan sebaya dan juga orang dewasa. Mereka
pastinya akan berani menyuarakan pandangan dengan penuh yakin dan boleh bekerjasama
dengan orang lain. Pendidikan prasekolah menerapkan nilai-nilai murni sebagai asas kepada
proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak dalam membentuk peribadi kanak-kanak
yang murni. Guru turut memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah kanak-kanak
selaras dengan penerapan nilai yang dimasukkan dalam kurikulum. Namun, adakalanya nilai
murni ini disalurkan tidak secara khusus tetapi secara tidak formal menerusi komunikasi yang
berkesan.

Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak
mereka menjalani kehidupan secara berdikari dan pada masa yang sama mereka tidak
dibebani dengan rasa risau tentang anak-anak mereka. Menunjukkan kepercayaan kepada
kemampuan anak-anak mereka. Ibu bapa tidak seharus terlalu mengawal dan menganggap
anak mereka masih kecil dan masih perlukan pengawasan. Ini boleh menyebabkan hilang
keyakinan terhadap kemampuan kendiri dan seterusnya terus bergantung kepada ibu bapa.
Menggalakkan anak-anak membuat keputusan sendiri. Umpamanya baju apa yang hendak
dipakai untuk menghadiri majlis hari jadi rakannya. Kanak-kanak perlu diberi bimbingan tetapi
tidak boleh dipaksa membuat keputusan mengikut kehendak ibu bapa. Ibu bapa perlu tenang
apabila anak mereka melakukan kesilapan. Mereka tidak seharusnya memarahi dan
menghukum anak mereka apabila mereka membuat kesilapan. Tindakan sebegini boleh
menyebabkan anak-anak merasa tidak yakin dan memerlukan ibu bapa mereka untuk membuat
sesuatu keputusan. Memastikan anak-anak berada dalam persekitaran yang selamat. Apabila
anak-anak dihantar ke TASKA, mereka akan merasa tidak yakin dan takut kerana berjauhan
dengan ibu bapa mereka. Mereka menjadi sangat bimbang. Ibu bapa dan juga pengasuh perlu
sedar tentang keperluan menyediakan persekitaran yang meyakinkan, supaya anak-anak ini
tidak merasa bimbang dan takut. Mengizinkan anak untuk bermain dan bergaul dengan rakan-
rakan. Mencegah anak dari bermain dan memaksanya untuk belajar sepanjang waktu akan
menyebabkan hatinya mati, kecerdasannya semakin pudar, dan kehidupan menjadi sengsara,
sehingga ia akan mulai mencari helah untuk keluar daripada keadaan itu.

Kesimpulan

Apabila kanak-kanak merasa yakin diri mereka akan merasa selesa dengan diri mereka.
Justeru akan melahirkan anak-anak yang berjaya di sekolah dan juga dalam pergaulan
seharian mereka. Mereka tidak takut membuat kesilapan dan bersedia untuk membaikinya.
Mereka akan berasa bangga dengan pencapaian dan seterusnya berusaha untuk
meningkatkan lagi keupayaan mereka.

You might also like